Friday, December 09, 2022

Apa Pentingnya Isu Pilihanraya Tempatan?

 


Apa Pentingnya Isu Pilihanraya Tempatan?

Muhammad Nuruddin Bashah

Latar belakang isu

Terkini, Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, menegaskan akan perlunya   usaha mengembalikan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Perak, serta ia memerlukan kajian lanjut. Menurut beliau walaupun usaha mengembalikan pilihan raya itu tidak disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) atau dalam kerjasama kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN) ia wajar dikaji untuk dilaksanakan.

"Pastinya, di bawah portfolio saya, akan mengkaji semula sama ada dari segi perundangan, praktikaliti, implikasi kewangan dan setakat mana kesediaan kita untuk melaksanakan semula pilihan raya ini kerana saya rasa dalam jangkamasa panjang ini (pilihan raya kerajaan tempatan) sesuatu yang patut kita laksanakan”[1].

Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah dilaksanakan sejak kerajaan Persekutuan menggantungkan perlaksanaannya melalui undang-undang darurat pada tahun 1965. Namun begitu usaha untuk menghidupkan pilihan raya PBT banyak digerakkan oleh DAP sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi. Kerajaan Pulau Pinang sejak dari dahulu menegaskan hasratnya untuk melaksanakan pilihan raya ini. Ia dihentikan oleh kerajaan  disebabkan antaranya kekhuatiran ada kebarangkalian ia akan menyemarak ketegangan kaum, khususnya tanggapan bahawa sesetengah bandar atau kawasan didominasi kaum tertentu.

Pendirian parti politik:

  1. Mohamad Sabu pada Persidangan Pemimpin Pakatan Harapan meminta supaya negeri yang ditadbir Pakatan Harapan menghidupkan semula pilihan raya Kerajaan Tempatan bagi mengelakkan unsur penyelewengan[2].
  2. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pilihan raya Majlis Perbandaran seperti yang diperjuangkan oleh DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihanraya dalam jangka yang sangat pendek. Apatah lagi apabila melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar[3].
  3. Arveent Kathirtchelvan Ketua Pemuda Sosialis PSM  menyokong kenyataan Pemuda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan yang menggesa kerajaan untuk mengembalikan pilihanraya di peringkat wilayah dan kerajaan tempatan di Kuala Lumpur. Parti Sosialis juga menekankan pemilihan demokratik untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung[4].
  4. Dalam sidang Dewan Rakyat, Noh Omar (Umno- Tanjung Karang) berkata bahawa Umno Selangor juga menolak sebarang percubaan Zuraida bagi melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan[5].


Mari kita kenali jenis PBT.

Pilihanraya Tempatan diadakan bertujuan untuk memilih wakil kerajaan tempatan. Antaranya Datuk Bandar, Yang diPertua Majlis dan Ahli Majlis. Majoriti YDP atau datuk bandar PBT di seluruh Malaysia dilantik dari kalangan Muslim atau banyak maslahah  atau sekurang-kurangnya bukan ahli mana-mana parti. Rasional pemilihan muslim dan bumiputera kerana banda dihuni oleh pekerja awam majoritinya muslim dan mengurus bandar mesti mengikuti lunas-lunas Islam untuk mengekalkan ketenteraman bandar.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) terbahagi kepada tiga kategori iaitu majlis bandar raya, majlis perbandaran dan majlis daerah. PBT berkuasa dalam mengeluarkan lesen-lesen, mengenakan cukai-cukai tertentu, merancang dan menguruskan bandar, membina kemudahan-kemudahan awam, unit-unit perdagangan dan perumahan dan pelbagai lagi[6].

  • Majlis bandar raya adalah kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri yang mempunyai penduduk melebihi 500,000 orang dan mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM100 juta setahun.
  • Majlis perbandaran pula adalah bandar utama atau pusat pentadbiran sesebuah negeri atau daerah yang mempunyai penduduk melebihi 150,000 orang dan mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM20 juta setahun.
  • Majlis Daerah adalah kurang daripada di atas.

Apa rasional DAP mahukan pilihanraya PBT?

  1. Rasional mereka adalah akan berlaku salah guna kuasa. Alasan utama mereka pemilihan yang dilaksanakan melalui lantikan kerajaan itu didakwa mengurangkan tahap akauntabiliti. Dakwaan ini ada asasnya. Namun demikian, masalah ini boleh di atasi dengan melantik wakil-wakil parti politik yang memerintah kerajaan negeri menjadi anggota majlis PBT. Mereka boleh tampil secara jelas sebagai anggota majlis yang mewakili parti yang telah dipilih melalui pilihan raya.
  2. Pada 1 November 2006, ahli parlimen Seputeh , Teresa Kok Suh Sim mencadangkan di parlimen agar pilihan raya kerajaan tempatan ini diadakan semula berikutan Ahli Majlis Perbandaran Klang YB Datuk Zakaria Mat Deros yang membina rumah banglonya di Kampung Idaman tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Klang pada 2006. Lebih buruk anak dan isteri beliau turut dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang. 7 ekar tanah di Shah Alam diluluskan oleh MPK kepada Persatuan Badminton Selangor sedangkan beliau menjadi pengerusinya. Pelan rumah tidak diluluskan.
  3. Hujah pro Pilihanraya PBT juga mengatakan  101 daripada 192 negara di dunia mengadakan pilihan raya seumpama itu tanpa menghurai terperinci suasana ekonomi, latar belakang penduduk dan fungsi kerajaan tempatan 101 negara berkenaan.

 

Kekangan laksana :

  1. Menurut Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki  Parlimen hendaklah terlebih dahulu meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Ini kerana dalam akta ini, pemilihan Ahli Majlis akan dilakukan oleh kerajaan negeri, bukan melalui sebarang bentuk pilihanraya[7]. Namun begitu DAP berhujah bahawa dalam Perkara 113(4), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihanraya lain daripada Pilihan Raya Umum. Konflik perundangan ini terhenti disitu.
  2. Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 dibawa dan diluluskan, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan memberi komitmen untuk melaksanakan pilihanraya[8] kerana Akta 171.
  3. Pilihan raya ini menyebabkan orang ramai 'letih' , lebih banyak berpolitik dan membuang masa untuk membicarakan perkara remeh-temeh . Kempen pilihan raya menjadi tumpuan dan penggunaan wang mungkin berleluasa. Tiada jaminan prestasi perkhidmatan bertambah. Jika diadakan sekalipun, prestasi perkhidmatan belum tentu dapat dipertingkatkan[9].
  4. Sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan setiap dua tahun, tumpuan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat akan terjejas kerana terlalu banyak masa dan tenaga ditumpukan untuk kempen pilihan raya[10].
  5. Menurut Dr Mohd Fathi Yusuf , realitinya   rakyat di  Malaysia  sudah           diwakili oleh dua orang wakil rakyat (parlimen dan DUN). Penambahan seorang lagi wakil rakyat melalui pilihan raya PBT kelihatan  berlebihan   jika  diambil  kira  jumlah wakil rakyat  yang sedia ada dan  juga  tahap kadar  pewakilan  yang  sebenarnya  sudah  tinggi  di Malaysia.
  6. Kerajaan negeri            di Malaysia adalah antara yang           mempunyai bidang  kuasa  yang          paling  terhad  berbanding  negera  pengamal  federalisme  lain (DAP banyak merujuk negara luar),  Jadi  jika  diwujudkan  pilihan  raya  kerajaan  tempatan,  peranan dan fungsi pilihan    raya  peringat  negeri (DUN) semakin tidak relavan.
  7. Bandar bukan milik penghuni bandar itu sahaja malah milik semua penduduk di negeri berkenaan. Misalnya Alor setar ia bukan sahaja milik insan yang memiliki rumah di Alor Setar tetapi ia juga dihadiri orang Sungai Petani, Pendang dan Sik yang bekerja di sana dan menghabiskan 12 jam di sana. Ini menyebabkan mereka akan menerima polisi yang dibuat oleh PBT Alor Setar dan polisi itu dibuat melalui penduduk Alor Setar sahaja. Inilah punca ketegangan yang bakal berlaku dan pernah berlaku.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

 

Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil (Surah al-Nisa’: 58)

  1. Di bawah adalah senarai bandaraya yang mana ia dihidupkan oleh multi bangsa. Antara kawasan yang boleh bertukar datuk bandarnya adalah:

·         Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur :Peratusan penduduk bumiputera: 45.9%

·         Majlis Bandar Raya Ipoh: Peratusan penduduk bumiputera: 39.8%

·         Majlis Bandar Raya Petaling Jaya : Peratusan penduduk bumiputera: 46.2%

·         Majlis Banda Raya Iskandar Puteri: Peratusan penduduk bumiputera: 38.8%

·         Majlis Perbandaran Kluang:Peratusan penduduk bumiputera: 47.1%

·         Majlis Bandar Raya Pulau Pinang:Peratusan penduduk bumiputera: 33.7%

·         Majlis Perbandaran Teluk Intan:Peratusan penduduk bumiputera: 38.8%

·         Majlis Perbandaran Subang Jaya:Peratusan penduduk bumiputera: 42.3%

Sedangkan kaum bumiputera adalah antara teramai menghidupkan bandar itu melalui penjawat awam, pekerja swasta mahupun peniaga. Mereka rata-rata menetap di pinggir bandaraya atau kawasan sekitarnya kerana bandaraya didominasi kaum bukan Melayu. Hal ini perlu diambil perhatian bagi pencinta keamanan dan kestabilan. Keadilan ini adalah meletakkan sesuatu pada haknya bukannya asal logik ia terus berhak tanpa kira kesan akan datang.



  1. Tun Dr Mahathir dalam program Bicara Minda di Shah Alam pada 22 Oktober 2019  memberikan jawapan yang cukup menarik. Beliau menyentuh mengenai risiko wujud perpecahan rakyat berasaskan kaum akibat pelaksanaan Pilihan Raya PBT. Beliau mengulas:  Kita iktiraf bahawa bandar itu, kebanyakan penduduknya orang Cina. Jadi kalau kita ada pilihan raya bagi bandar dan luar bandar, maka kita pecahkan negara kita pada dua pihak iaitu satu bandar dan satu lagi luar bandar. Kita nak supaya ada ‘interplay’ antara bandar dan luar bandar. Masa belum tiba yang mana penduduk kita bercampuran dengan cara terbaik. Sekarang ini kita terasing antara satu sama lain. Bandar satu bangsa, dan luar bandar lain bangsa. Ini tidak sihat bagi negara kita[11].”

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman:

يَا ‌عِبَادِي ‌إِنِّي ‌حَرَّمْتُ ‌الظُّلْمَ ‌عَلَى ‌نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا.

Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan sifat zalim ke atas diri-Ku dan Aku jadikannya (kezaliman) haram antara kalian, maka janganlah kalian berlaku zalim sesama kalian.” (Riwayat Muslim 2577)

 

Bandar Puteri Jaya Sungai Petani

12.19 tengahari

Jumaat 9 Disember 2022



[5] Umno, PAS tolak rancangan Zuraida adakan pilihan raya tempatan https://www.malaysiakini.com/news/534572

[6] 10 bandar utama bakal dikuasai DAP jika p’raya PBT dilaksanakan  https://www.malaysiakini.com/columns/505019

[7] Pilihan raya kerajaan tempatan bukan mudah, perlu pindaan Akta 171 – Dr. Asyraf https://malaysiagazette.com/2022/12/05/pilihan-raya-kerajaan-tempatan-bukan-mudah-perlu-pindaan-akta-171-dr-asyraf/

[10] Tiada pilihan raya kerajaan tempatan, kata menteri Umno https://www.malaysiakini.com/news/602329

Thursday, December 08, 2022

AKAN KEKALKAH DOKONGAN BUKAN MELAYU TERHADAP ANWAR IBRAHIM ?

 



AKAN KEKALKAH DOKONGAN  BUKAN MELAYU TERHADAP ANWAR IBRAHIM ?

Muhammad Nuruddin Bashah

Dato’ Seri Anwar Ibrahim (saya singkatkan kepada Anwar sahaja) bukan sahaja dinantikan oleh penyokongnya atau die hard fan clubnya sendiri, malah tindakan dan perlakuan Anwar juga dinantikan oleh lawan politiknya mahupun orang awam atas pagar kerana terlalu lama menyaksikan hasrat beliau yang cukup bersungguh mahu menjadi Perdana Menteri. Malah kegagalan demi kegagalan yang tidak dihiraukan beliau akhirnya pernah digelar netizen sebagai ‘PM tepi”.

Apa ada pada Anwar sehingga beliau dinantikan ‘ kelakuan’nya oleh ramai pihak. Hal ini disebabkan beliau antara pemimpin yang paling banyak beraksi melalui medan orator, medan pengucapan awam dan tidak lari dengan janji-janji yang mempesona pendengar mahupun penyokongnya.

Cumanya hari ini dengan sokongan  97 peratus pengundi Cina, berbanding hanya 11 peratus pengundi Melayu kepada PH menyebabkan banyak peminat di kalangan bukan melayu beliau beraksi dalam portal, media bahasa Inggeris hanya segelintir melayu sahaja masih behujah bagi pihaknya di media berbahasa melayu.

Naik sahaja Anwar sebagai PM beliau melakukan terlalu banyak u-turn atau erti kata lain pembohongan kepada khalayak ramai. Hal ini kerana bohong atau tabur tuduhan dahulu adalah modus operandinya yang paling ampuh.

Antara scamming nya yang terbesar adalah apabila melantik DS Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Malah menurut TS Muhyiddin Yasin, penipuan PH dan BN   dalam PRU 15 yang menatijahkan dua paksi itu bergabung dan berdakap adalah "the biggest electoral fraud ever" dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini.

Baiklah. disenaraikan tindakan Anwar yang bersifat membohongi rakyat, tindakan populis beliau serta movement beliau yang canggung daripada janji dan aspirasi perjuangan PH.

1.      Menipu mengatakan TSMY menyeleweng dana RM 600 bilion sepanjang pendemik dan akhirnya beliau uturn[1] mengakui dana itu termasuk KWSP dan Moratorium Bank dan bukannya semua duit negara. Pada 6 Ogos 2020, TSMY sudah membentangkan RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) 2020 untuk menaikkan had Akta Pinjaman Tempatan 1959 (Akta 637), dan jumlah wang yang boleh di terima di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275), bagi menubuhkan Kumpulan Wang COVID-19. Malah dalam Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2021 telah memperincikan segala perbelanjaan untuk Covid-19, serta di bentangkan di Parlimen. Isu RM600 bilion ni sebenarnya sudah ada jawapan melalui RUU, Laporan Audit, Laporan PAC serta Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah di bentang di Parlimen. Malah TSMY juga berkata adalah lebih ‘molek’ Anwar ‘direct’ bertanyakan sahaja Tengku Zafrul, kerana beliau pasti  yang lebih tahu dari TSMY  semasa kesemua dana RM600 bilion di keluarkan/diluluskan.

2.      Bercakap tanpa tanggungjawab bahawa PN didanai oleh taukeh judi dengan menggunakan istilah beliau ‘membayangkan’ tanpa bukti dan asas semasa mengisyihar tindakan populis beliau menurunkan cabutan judi daripada 22 kali kepada 8 kali. Ketika zaman PH berkuasa, kutipan cukai perjudian yang tertinggi mencecah RM3.43 bilion. Manakala pada zaman BN pula mencatat RM2.69 bilion, sebaliknya zaman PN hanya RM1.72 bilion sehingga September 2021, hanya RM560 juta di kutip kerajaan Muhyiddin dari cukai industri perjudian.

3.      Menggempur TS Syed Mokhtar dengan alasan monopoli beras sedangkan tiada ungkapan langsung beliau terhadap belasan taikun lain berbangsa bukan Melayu yang mermonopoli pelbagai sektor. Hal ini cukup menaikkan kemarahan bumiputera dan kaum melayu. Syed Mokhtar monopoli namun beliau  dapat kontrak Bernas secara sah dan bukan secara rasuah. Beliau memohon lesen perdagangan beras daripada LPN yang kini di kenali sebagai Bernas pada tahun 1975. Syarikat Shah  milik Syed Mokhtar kemudian berjaya mendapat kontrak membekalkan beras kepada FELDA, MARA, Senama, Pernas Edar serta Sergam dan ia hasil dari "Dasar Ekonomi Baru" oleh Mahathir Mohamad ketika menjadi PM ke-4 selama 22 tahun.

4.      Tiada pengumuman turun harga minyak pun sebaliknya yang dikalutkan adalah projek unconventional energy (saki baki minyak)  di Abu Dhabi. Minyak bukan konvensional ni kebanyakannya berdensiti rendah berbanding minyak konvensional. Apabila densiti atau ketumpatan rendah, maka kaedah untuk mengambilnya juga bukan murah serta berisiko tinggi. Yang ditunggu rakyat adalah penurunan harga Ron 95 sebagaimana yang dijanjikan beliau dalam banyak siri ceramah[2].

5.      Tindakan berbangga selepas menurunkan cabutan judi tahunan daripada 2 kali kepada 8 kali. Sebenarnya tiada perbezaan ketara antara Cabutan khas 22 dan 8 setiap tahun, yang sepatutnya dikurangkan kerajaan ialah cabutan mingguan dan bulanan sehingga 165 kali atau lebih baik tutup terus. Pada zaman TSMY yang menaikkan dari 8 zaman PH ke 22 kali zaman PN adalah Tengku Zafrul. Sebenarnya taukeh judi tidak suka cabutan khas kerana hasilnya masuk kepada negara. Manakala hasil cabutan biasa atau mingguan yang menjadi keuntungan taukeh judi. Cabutan khas diadakan misalnya pada  zaman Tun Mahathir untuk bantu mangsa epidemik JE dan Nipah yang telah memberi kesan kepada penternak babi.

6.      Bertindak tidak terlalu memperkecilkan saiz kabinet beliau iaitu 28 orang. Berbanding zaman  TSMY seramai 32. Malah Anwar juga melantik 2 Timbalan Perdana Menteri. Menteri 28 orang itu belum ada timbalannya dan akan datang timbalan juga akan dilantik pula.

7.      Anwar juga berbohong  masa kempen di Kuala Selangor beliau , tidak akan mengambil Tengku Zafrul jika  berjaya menjadi PM ke-10.

8.      Berbohong tidak akan mengambil kerusi Menteri Kewangan sebaliknya telah terjadi kini.

9.      Anwar  berjanji akan memotong gaji menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) sebanyak separuh sekiranya PH diberi mandat mentadbir Putrajaya[3]. Namun hanya dipotong 20 peratus sahaja malah menyatakan perkara ini akan ‘direvisi semula selepas ekonomi negara berubah[4]. Bermakna ia hanya sementara.

Rata-rata bukan melayu memberi komen di portal portal ‘apa salahnya’ berikan peluang kepada Anwar kerana masih terlalu awal menilainya. Mereka kelihatan bersangka baik benar dengan Anwar. Anthony Loke telah mengeluar kenyataaan bahawa DAP hanya mahukan Amwar menjadi Perdana Menteri dan tidak akan ‘deman’ apa-apa dengan beliau[5].

Jika dinilai melalui PRK Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, melayu konsisten menolak PH malah kesan penolakan juga melanda BN di Tioman sehingga menurunkan majoriti.   Majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU 14. Selagi belum ada PRN di 5 negeri dan tiada PRK tertentu di kawasan bukan melayu kita belum boleh buat kesimpulan berkenaan kecenderungan bukan melayu terhadap kerajaan sedia ada.

Disebabkan Anwar amat banyak bercakap isu ekonomi, beliau dianggap pakar ekonomi dan mampu tangani krisis ekonomi dan masalah rakyat. Kaum bukan melayulah yang paling yakin dalam hal ini kerana itulah mereka paling ramai mengundi PH.  Ramai yang terlupa bagaimana Anwar hampir rosakkan ekonomi apabla menandatangani perjanjian pinjaman Bank Dunia pada tahun 1998 dahulu. Isu ini perlu dibahas dalam tulisan dan medan yang lain kerana banyak fakta perlu dibincang selain peranan Tun Mahathir yang tidak dapat dinafikan.

Kata peribahasa arab,

لا تَحْمدنَّ امْرَاً حتَّى تُجرِّبَهُ

‘Jangan engkau memuji seseorang sebelum engkau mengujinya’.

Bersama-sama kita saksikan bagaimana beliau dan rakan formulasi ekonomi beliau Rafizi menterjemah janji politik ekonomi mereka kepada suasana sekarang selepas berkuasa.

Kukuhkah tapak kaki Anwar sebagai Perdana Menteri hari ini? Semua maklumi baik daripada DAP mahupun kem Zahid, mereka memiliki senarai tuntutan yang tinggi untuk dilayani Anwar jika mahu kekal sehingga 5 tahun. Tidur tak akan lena, tidak dapat tenang dengan status politik sebegini. Anwar juga sedar undi popular PH hanyalah 38 peratus dari jumlah pengundi PRU 15, berbanding 49 peratus ketika PRU 14 dan 51 peratus ketika PRU 13.

Dalam suasana tidak tenang dan tidak stabil, kaum bukan melayu boleh beralih arah kerana mereka bukan sekadar mahu melawan, mereka juga mahukan suasana ekonomi subur kerana rata-rata mereka berpaksikan ekonomi dan perniagaan. Walaupun tahu prestasi Perikatan Naasional yang stabil dan tiada kekeruhan dalaman semasa memerintah sekejap dahulu, namun seperti dinyatakan di atas mereka mahu lihat dahulu bagaimana Anwar beraksi.

Kata orang arab;

العقلُ يَنْمُو  كَما يَنْمُو النَبَاتُ و نُمُوُّهُ يكُونُ بالعلمِ والتَّجَارِبِ

Akal itu tumbuh sebagaimana tumbuhnya tanaman, pertumbuhan itu adalah melalui ilmu dan pengalaman.

Kata mereka juga;

اَعْقَلُ الناسِ مَن اعتَبَرَ بِما رَاَى

Sebijak-bijak manusia adalah sesiapa yang mengambil iktibar/pelajaran daripada apa yang disaksikannya.

Kaum bukan melayu yang berprinsip akan mulai menolak PH. Mereka juga memerhati.

Dalam laporan BBC[6]

Anwar Ibrahim: Honeymoon as Malaysian PM will be brutally short

The most controversial is the appointment of Ahmad Zahid, the powerful UMNO president, as one of the two deputy prime ministers. There was strong opposition to the appointment because Mr Zahid faces multiple criminal charges dating back to his time in the discredited administration of former prime minister Najib Razak, who is serving a 12-year prison sentence for corruption.

Terjemahan :

Anwar Ibrahim: Bulan madu sebagai PM Malaysia akan menjadi sangat singkat

Yang paling kontroversi ialah pelantikan Ahmad Zahid, presiden UMNO yang berkuasa, sebagai salah seorang daripada dua timbalan perdana menteri. Terdapat tentangan kuat terhadap pelantikan itu kerana Encik Zahid berdepan pelbagai pertuduhan jenayah sejak zamannya dalam pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak yang dihina, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah.

Moga pengalaman berada dalam pentadbiran Anwar akan membuka mata semua. Walaupun permulaannya masih dalam mood pembangkang dan menabur pembohongan. Sama-sama kita saksikan.

 

Sunday, November 27, 2022

Ulang bicara ‘Struktur Asas Perlembagaan Malaysia’ bukan tanda pemikiran sempit

 



Ulang bicara  ‘Struktur Asas Perlembagaan Malaysia’ bukan tanda pemikiran sempit

Muhammad Nuruddin Bin Bashah[1]

Mutakhir ini pihak politik, NGO atau perseorangan yang mengutarakan isu kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan Raja Melayu akan dimomok persepsi sebagai chauvinis melayu, etnosentrik, jumud, tidak toleransi dengan kaum lain atau lebih parah dianggap menunggang isu lapuk untuk keabsahan kedudukan kebudayaan kebangsaan yang berteras melayu Islam.

Dari mana datangnya peruntukan berkenaan kedudukan bahasa melayu, agama Islam, raja melayu dan seangkatan dengannya itu? Benarkah ia hanya senjata untuk mengekal kuasa orang melayu sahaja? Jangan hairan jika ada anak muda mulai ragu kewujudan unsur ini walaupun mengenalpastinya mudah hanya dengan menekan ‘google’ sahaja.

Sebenarnya apa yang mereka bahaskan atau hujahkan itu ada asas yang kuat dan bukan sekadar mereka-reka naratif atau paradigma chauvinisme melayu untuk melegitimasikan ketuanan melayu atau mengada-ngada hujah untuk cenderung  kepada  nilai Islam. Sebenarnya ia adalah  Struktur Asas Perlembagaan Malaysia menurut perseptif Malaysia’ yang bercirikan melayu Islam serta Raja Berperlembagaan.

Dalam perlembagaan kita kesemua kandungan dalam Perkara 1 hingga 183 boleh dipinda melalui sokongan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara sebelum ianya disahkan oleh Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong melalui perkenannya. Namun 4 perkara yang berasaskan  struktur asas perlembagaan Malaysia tidak boleh diubah  melalui kuasa Dewan Rakyat atau Dewan Negara melainkan jika dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong[2]. Perkara itu adalah perkara yang kerap diulang ucap oleh parti politik, NGO-NGO tertentu iaitu ;

·         Kedudukan Agama Islam,

·         Kedudukan Bahasa Melayu,

·         Hak Keistimewaan Orang Melayu dan pribumi (termasuk Sabah Sarawak)

·         Kedudukan Raja-Raja Melayu.

Hak dan ketetapan diatas bukan ditetap oleh parti melayu atau kelompok jumud tertentu sebaliknya ia ditetap sejak pentadbiran Inggeris. Menurut, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sesiapa yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan kerana hal ini  sudah ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi[3].

Memang ada pihak yang menggunakan 4 elemen penting ini untuk membuat kenyataan hasutan atau perkauman untuk mengherdik kaum lain. Namun reaksi Nurul Izzah Anwar (semasa menjadi MP Lembah Pantai)  menulis dalam portal berita The Malaysian Insider bahawa idea 'hak orang Melayu' yang dibawa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakar umbikan Perlembagan adalah komentar yang tidak bijak dan tersasar jauh daripada subjek Pengajian Am STPM kita. Ramai pemikir dan ‘politician’ aliran liberal dan sekularis mulai mahu mengikis unsur atau semangat asas kerangka perlembagaan Malaysia yang berteras Melayu Islam.

Baik mari kita teliti darimana asasnya British mengiktiraf 4 perkara yang menjadi asas kerangka Perlembagaan Persekutuan itu?

Menurut Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,   Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) : lima perkara pokok di bawah  perlu difahami, iaitu[4]:    

1.  Raja-Raja Melayu  yang bertanggungjawab  menandatangani Perjanjian Negeri 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. 

2.  Perjanjian Negeri 1948 adalah asas utama  kepada sistem Perlembagaan moden Kerajaan-Kerajaan  Melayu  (kecuali  Johor  dan  Terengganu  yang  lebih  awal memiliki Perlembagaan moden) dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. 

3.  Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan  Tanah Melayu 1957 dikurnia dan dikuatkuasakan melalui kedaulatan sembilan orang  Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang Di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah) yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu. 

4.  Kedaulatan  Raja-Raja  Melayu  bukanlah  ciptaan  Perlembagaan  Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi bersusur-galur daripada Kesultanan Melayu Melaka mengikut adat Melayu.  (ini fakta yang tidak boleh dinafikan)

5.  Perjanjian Malaysia 1963 pula terus mengekalkan kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ke atas Persekutuan yang dinamakan Malaysia.

Bukan satu kerja mudah jika mana-mana parti politik mahu mendoktrin rakyat ‘melanggar’ 4 peruntukan perlembagaan berkenaan.

Suatu fakta lain yang mengabsahkan struktur asas perlembagaan Malaysia  bercirikan 4 elemen itu adalah memahami hakikat persekutuan Malaysia itu sendiri. Ketahuilah bahawa Persekutuan  Malaysia asalnya tidak mempunyai apa-apa seperti  tanah dan tidak mempunyai kekuasaan. Sebaliknya  Persekutuan memiliki  tanah dan kekuasaan melalui kedaulatan negeri-iaitu  hasil daripada persetujuan dan penyerahan kuasa oleh negeri-negeri. Menurut Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Abd Aziz  Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen perjanjian antara negeri-negeri[5]. Makan nilai tradisi negeri-negeri inilah yang dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baiklah, kadangkala kita melihat golongan kiri/liberal di negara ini menganggap meminda  atau mewacana untuk dirungkai 4 perkara perlembagaan itu mudah dilakukan seperti meminda akta. Mari kita lihat bagaimana cara untuk meminda perlembagaan negara kita.

  • Perkara 159 (4) menjelaskan bahawa sesetengah perkara boleh dipinda dengan hanya memerlukan sokongan lebih 2/3 setiap dewan, antaranya seperti sumpah dan ikrar taat setia, pemilihan dan persaraan ahli Dewan Negara.
  • Perkara 161 (E) menjelaskan sesetengah perkara boleh dipinda, iaitu perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan dipersetujui oleh Yang di Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi membabitkan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti bidang kuasa kerajaan negeri dan kedudukan istimewa Bumiputera.
  • Perkara 159 (5) menjelaskan bahawa perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja yang membabitkan perkara seperti kedaulatan Raja, kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama persekutuan.

Perkara 159 (5) inilah yang meresahkan sesetengah pihak yang galak mewacana liberalisasi 4 tonggak utama perlembagaan negara itu.

Menurut Prof Madya Dr Nazri Muslim dari Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia tidak kira parti mana yang memerintah, walaupun kerajaan mendapat kerusi lebih dua pertiga, selagi tidak diperkenankan Majlis Raja-Raja, pindaan terhadap Islam, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan Raja Melayu dan kewarganegaraan tidak boleh dilakukan. Hanya isu ini akan kekal disentuh atau cuba diwacana untuk  menyatakan prinsip mereka yang menolak unsur tradisi Perlembagaan, kebudayaan dan nilai sejarah atas nama kebebasan, hak sama rata dan keadilan. Dalam ilmu propaganda ia adalah retorik ‘glittering generality’.

Bagi pihak yang cintakan perlembagaan dan asas strukturnya, kita perlu  fahamkan rakyat berkenaan Perkara 159 (5) ini serta menangkis hujah dan ideologi liberalisme yang mahu membina  generasi yang menolak asas keamanan negara yang terbina sekian lama.



[1] Penulis adalah penulis sambilan isu sosial, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan UM dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Pnegurusan) OUM.

[2] Islam, Keistimewaan Melayu & Pribumi, Bahasa Melayu & Kedudukan Raja-Raja Melayu Adalah Struktur Asas Perlembagaan Malaysia  https://www.samudera.my/islam-keistimewaan-melayu-pribumi-bahasa-melayu-kedudukan-raja-raja-melayu-adalah-struktur-asas-perlembagaan-malaysia-haniff-khatri/

[3] Khoo Kay Kim: Hak istimewa Melayu tak boleh dipadam https://www.malaysiakini.com/news/142082

[4] jurnal QALAM International Journal of Islamic and Humanities Research

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)