Sunday, November 27, 2022

Ulang bicara ‘Struktur Asas Perlembagaan Malaysia’ bukan tanda pemikiran sempit

 



Ulang bicara  ‘Struktur Asas Perlembagaan Malaysia’ bukan tanda pemikiran sempit

Muhammad Nuruddin Bin Bashah[1]

Mutakhir ini pihak politik, NGO atau perseorangan yang mengutarakan isu kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan Raja Melayu akan dimomok persepsi sebagai chauvinis melayu, etnosentrik, jumud, tidak toleransi dengan kaum lain atau lebih parah dianggap menunggang isu lapuk untuk keabsahan kedudukan kebudayaan kebangsaan yang berteras melayu Islam.

Dari mana datangnya peruntukan berkenaan kedudukan bahasa melayu, agama Islam, raja melayu dan seangkatan dengannya itu? Benarkah ia hanya senjata untuk mengekal kuasa orang melayu sahaja? Jangan hairan jika ada anak muda mulai ragu kewujudan unsur ini walaupun mengenalpastinya mudah hanya dengan menekan ‘google’ sahaja.

Sebenarnya apa yang mereka bahaskan atau hujahkan itu ada asas yang kuat dan bukan sekadar mereka-reka naratif atau paradigma chauvinisme melayu untuk melegitimasikan ketuanan melayu atau mengada-ngada hujah untuk cenderung  kepada  nilai Islam. Sebenarnya ia adalah  Struktur Asas Perlembagaan Malaysia menurut perseptif Malaysia’ yang bercirikan melayu Islam serta Raja Berperlembagaan.

Dalam perlembagaan kita kesemua kandungan dalam Perkara 1 hingga 183 boleh dipinda melalui sokongan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara sebelum ianya disahkan oleh Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong melalui perkenannya. Namun 4 perkara yang berasaskan  struktur asas perlembagaan Malaysia tidak boleh diubah  melalui kuasa Dewan Rakyat atau Dewan Negara melainkan jika dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong[2]. Perkara itu adalah perkara yang kerap diulang ucap oleh parti politik, NGO-NGO tertentu iaitu ;

·         Kedudukan Agama Islam,

·         Kedudukan Bahasa Melayu,

·         Hak Keistimewaan Orang Melayu dan pribumi (termasuk Sabah Sarawak)

·         Kedudukan Raja-Raja Melayu.

Hak dan ketetapan diatas bukan ditetap oleh parti melayu atau kelompok jumud tertentu sebaliknya ia ditetap sejak pentadbiran Inggeris. Menurut, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sesiapa yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan kerana hal ini  sudah ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi[3].

Memang ada pihak yang menggunakan 4 elemen penting ini untuk membuat kenyataan hasutan atau perkauman untuk mengherdik kaum lain. Namun reaksi Nurul Izzah Anwar (semasa menjadi MP Lembah Pantai)  menulis dalam portal berita The Malaysian Insider bahawa idea 'hak orang Melayu' yang dibawa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakar umbikan Perlembagan adalah komentar yang tidak bijak dan tersasar jauh daripada subjek Pengajian Am STPM kita. Ramai pemikir dan ‘politician’ aliran liberal dan sekularis mulai mahu mengikis unsur atau semangat asas kerangka perlembagaan Malaysia yang berteras Melayu Islam.

Baik mari kita teliti darimana asasnya British mengiktiraf 4 perkara yang menjadi asas kerangka Perlembagaan Persekutuan itu?

Menurut Wan Ahmad Fauzi Wan Husain,   Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) : lima perkara pokok di bawah  perlu difahami, iaitu[4]:    

1.  Raja-Raja Melayu  yang bertanggungjawab  menandatangani Perjanjian Negeri 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. 

2.  Perjanjian Negeri 1948 adalah asas utama  kepada sistem Perlembagaan moden Kerajaan-Kerajaan  Melayu  (kecuali  Johor  dan  Terengganu  yang  lebih  awal memiliki Perlembagaan moden) dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. 

3.  Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan  Tanah Melayu 1957 dikurnia dan dikuatkuasakan melalui kedaulatan sembilan orang  Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang Di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah) yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu. 

4.  Kedaulatan  Raja-Raja  Melayu  bukanlah  ciptaan  Perlembagaan  Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi bersusur-galur daripada Kesultanan Melayu Melaka mengikut adat Melayu.  (ini fakta yang tidak boleh dinafikan)

5.  Perjanjian Malaysia 1963 pula terus mengekalkan kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ke atas Persekutuan yang dinamakan Malaysia.

Bukan satu kerja mudah jika mana-mana parti politik mahu mendoktrin rakyat ‘melanggar’ 4 peruntukan perlembagaan berkenaan.

Suatu fakta lain yang mengabsahkan struktur asas perlembagaan Malaysia  bercirikan 4 elemen itu adalah memahami hakikat persekutuan Malaysia itu sendiri. Ketahuilah bahawa Persekutuan  Malaysia asalnya tidak mempunyai apa-apa seperti  tanah dan tidak mempunyai kekuasaan. Sebaliknya  Persekutuan memiliki  tanah dan kekuasaan melalui kedaulatan negeri-iaitu  hasil daripada persetujuan dan penyerahan kuasa oleh negeri-negeri. Menurut Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Abd Aziz  Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen perjanjian antara negeri-negeri[5]. Makan nilai tradisi negeri-negeri inilah yang dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baiklah, kadangkala kita melihat golongan kiri/liberal di negara ini menganggap meminda  atau mewacana untuk dirungkai 4 perkara perlembagaan itu mudah dilakukan seperti meminda akta. Mari kita lihat bagaimana cara untuk meminda perlembagaan negara kita.

  • Perkara 159 (4) menjelaskan bahawa sesetengah perkara boleh dipinda dengan hanya memerlukan sokongan lebih 2/3 setiap dewan, antaranya seperti sumpah dan ikrar taat setia, pemilihan dan persaraan ahli Dewan Negara.
  • Perkara 161 (E) menjelaskan sesetengah perkara boleh dipinda, iaitu perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan dipersetujui oleh Yang di Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi membabitkan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti bidang kuasa kerajaan negeri dan kedudukan istimewa Bumiputera.
  • Perkara 159 (5) menjelaskan bahawa perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja yang membabitkan perkara seperti kedaulatan Raja, kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama persekutuan.

Perkara 159 (5) inilah yang meresahkan sesetengah pihak yang galak mewacana liberalisasi 4 tonggak utama perlembagaan negara itu.

Menurut Prof Madya Dr Nazri Muslim dari Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia tidak kira parti mana yang memerintah, walaupun kerajaan mendapat kerusi lebih dua pertiga, selagi tidak diperkenankan Majlis Raja-Raja, pindaan terhadap Islam, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan Raja Melayu dan kewarganegaraan tidak boleh dilakukan. Hanya isu ini akan kekal disentuh atau cuba diwacana untuk  menyatakan prinsip mereka yang menolak unsur tradisi Perlembagaan, kebudayaan dan nilai sejarah atas nama kebebasan, hak sama rata dan keadilan. Dalam ilmu propaganda ia adalah retorik ‘glittering generality’.

Bagi pihak yang cintakan perlembagaan dan asas strukturnya, kita perlu  fahamkan rakyat berkenaan Perkara 159 (5) ini serta menangkis hujah dan ideologi liberalisme yang mahu membina  generasi yang menolak asas keamanan negara yang terbina sekian lama.



[1] Penulis adalah penulis sambilan isu sosial, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan UM dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Pnegurusan) OUM.

[2] Islam, Keistimewaan Melayu & Pribumi, Bahasa Melayu & Kedudukan Raja-Raja Melayu Adalah Struktur Asas Perlembagaan Malaysia  https://www.samudera.my/islam-keistimewaan-melayu-pribumi-bahasa-melayu-kedudukan-raja-raja-melayu-adalah-struktur-asas-perlembagaan-malaysia-haniff-khatri/

[3] Khoo Kay Kim: Hak istimewa Melayu tak boleh dipadam https://www.malaysiakini.com/news/142082

[4] jurnal QALAM International Journal of Islamic and Humanities Research

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)