Wednesday, May 21, 2008

Baca fakta ini dengan teliti (hancurkan ISA)

Gerakan Mansuhkan ISA
KENYATAAN MEDIA: Selasa, 20 Mei 2008

Siasat Seksaan Tahanan di bawah ISA



1. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang dianggotai lebih daripada 83 buah organisasi terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik, kesatuan sekerja, badan hak asasi manusia, badan wanita, mahasiswa dan golongan muda, hari ini berasa amat kesal dengan penyeksaan yang didakwa berlaku ke atas tahanan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sekiranya benar, GMI mengutuk tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan berkenaan serta menuntut siasatan segera dilaksanakan.



2. Tahanan yang dimaksudkan tersebut ialah Sanjeev Kumar A/L Krishnan yang telah ditahan di bawah ISA pada 28 Julai 2007 atas tuduhan sebagai 'agen perisik asing'. Beliau mendakwa telah diseksa secara fizikal dan mental oleh pihak polis cawangan khas ketika 60 hari pertama ditahan iaitu antara 28 Julai 2007 hingga 21 September 2007.



3. Antara penyeksaan yang didakwa dilakukan terhadap tahanan ialah soal siasat berjam-jam dengan ugutan dan tanpa rehat. Diseksa, ditendang dan dibelasah dengan teruk oleh SB di bahagian badan dan kepala samada dengan kaki, objek keras atau botol berisi air. Dipaksa meminum air kencing sendiri selain kemaluan dipukul dan dubur dijolok dengan objek yang keras.



4. GMI dimaklumkan amalan penyeksaan tersebut telah membawa kesan bertambah buruk kepada tahanan setelah perintah tahanan dilanjutkan untuk dua tahun di bawah Seksyen 8, ISA. Beliau telah dihantar ke Kem Tahanan Kamunting (Kemta) pada 22 September 2007, selepas 55 hari ditahan.5. Beliau mendakwa tidak mendapat rawatan yang sempurna untuk beberapa bulan lamanya hingga mengakibatkan beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk kehidupan hariannya oleh kerana kaki dan tangan sebelah kiri tidak lagi berfungsi dan lumpuh.



6. Berikutan itu, laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga tahanan pada bulan April 2008. Hari ini, laporan kedua dibuat di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi. GMI membuat laporan polis di atas isu yang sama terhadap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, PDRM dan Kemta.



7. GMI jelas bahawa insiden penyeksaan ini bukanlah amalan baru oleh pihak polis malah tindakan sistematik untuk memaksa pengakuan palsu daripada tahanan sudah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya seperti mana yang didedahkan oleh bekas-bekas tahanan ISA dan dirakamkan dalam catatan mahkamah. Namun oleh kerana ini kes terbaru yang diketahui, GMI bertanggungjawab untuk mendedahkannya dan menuntut pembelaan.



8. GMI menuntut supaya siasatan dijalankan dengan segera dan ketiga-tiga pihak tersebut mestilah bertanggungjawab di atas apa yang berlaku termasuk membayar ganti rugi, jika didapati sahih oleh mahkamah, terhadap penderitaan fizikal, mental dan trauma yang dilalui oleh tahanan dan ahli keluarga.



9. GMI juga menuntut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk menyiasat aduan berkenaan dan mengesyorkan langkah tegas supaya perkara yang sama tidak berulang.



10. Tindakan menahan seseorang tanpa bicara adalah suatu tindakan yang tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Ditahan di bawah ISA sudah merupakan satu kezaliman, apatah lagi diseksa dengan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Tanpa proses mahkamah dan pembuktian yang sebenar di bawah ISA, tidak seperti yang didakwa oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini (beliau kata ISA ada proses mahkamah), ruang untuk salahguna kuasa terbuka luas.



Menteri, Kerajaan dan Polis tidak boleh lari daripada tanggungjawab ini.



Mansuhkan ISA!Bebaskan Semua Tahanan!Tutup Kem Tahanan Kamunting!



Syed Ibrahim Syed NohPengerusi

Lim Guan Eng guna ball pen harga murah


Salmah Mat Husain Tue May 20, 08 4:05:26 pm MYT
KOTA BHARU, 20 Mei (Hrkh) - Rakyat Pulau Pinang diingatkan tidak termakan hasutan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan umat Islam dan penduduk bukan Melayu selepas DAP mentadbir di negeri itu.


Ini kerana pelbagai dakwaan kurang berasaskan dilemparkan pihak lawan bagi menggambarkan konflik sedang berlaku di Pulau Mutiara selepas Pakatan Rakyat menguasai negeri tersebut.
Anggota Jawatankuasa PAS Balik Pulau, Ustaz Mohd Fauzi Yusof berkata, akibat rasa cemburu dan iri hati pihak terbabit membuat pelbagai kenyataan untuk melaga-lagakan umat Islam dengan bukan Islam.


Sedangkan apa yang berlaku sekarang umat Islam berada dalam keadaan aman, bahkan dalam masa yang sama kuliah dan ceramah agama boleh diadakan lebih bebas.

PAS tidak pernah dipinggirkan kerajaan negeri bahkan aktiviti parti boleh diadakan dengan lebih baik dan teratur berbanding sebelum ini,? katanya ketika ditemui semasa lawatannya ke sini, baru-baru ini.


Beliau bersama rombongan seramai 60 orang dari PAS Kawasan Balik Pulau mengunjungi kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10. Mereka berada di sini selama dua hari.
Mohd Fauzi juga mengakui hasrat Ketua Menteri Melaka, Lim Guang Eng, ingin jadikan Khalifah Umar Abdul Aziz dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai idolanya dalam pentadbirannya semakin menjadi kenyataan.
Menurutnya ia dapat dibuktikan dengan sikapnya yang lebih bersederhana dalam mengurus harta kerajaan dan tidak menggunakannya bagi tujuan peribadi.
Rakyat Pulau Pinang sekarang sedang memerhatikan pemimpin kerajaan baru mentadbir negeri selepas diberi mandat pada 8 Mei lalu.


Alhamdulillah setakat ini apa yang saya perhatikan Ketua Menteri memang melaksanakan apa yang dicakapnya sebelum ni. Guna ball pen pun yang harga tak sampai seringgit,? ujarnya.
Beliau juga berkata, pada masa ini PAS Pulau Pinang tidak mempunyai masalah untuk mengaturkan program bersama rakyat kerana turut mendapat kerjasama kerajaan negeri.

Kelas-kelas agama, dewan kerajaan juga boleh digunakan sekarang. Syukur Alhamdulillah sekiranya kerajaan berjaya menawan hati rakyat, mereka tetap akan bersama kita sampai bila-bila,? ujarnya. - mj

Monday, May 19, 2008

Ada seruan

Ada Seruan…

Keputusan itu adalah gempa di persada siasah perdana…

Kau tahu? Keputusan itu kata orang tak secocok dengan iltizammu sedari 1946 dalamnya…

Keputusan itu seakan diduga oleh kawan dan lawan….

Kau diibarat bagai beruang yang ganas…memukul dan menghentam sesiapa sahaja…

Kau Perdana Menteri yang paling ramai memilki Timbalan kerja..

Dari Si Musa…ke Tun Ghaffar….pernah menatang Anwar….akhirnya si Abdullah pula yang kau puja…

Kau pernah mendapat jolokan Perdana dalam segala sarwa dan buana…

Dari jendela teknologi….menelusuri pembentung kemajuan madaniyyah…

Dari sendi-sendi kekuatan bangsa hingga Perdana dalam menggunakan ISA !!!

Kau yang dipuja sejolok Adi Jagat

Kini rasanya telah tergugat…

Kenapa? Kerana Tuhan itu yang mampu melipat…

Menyerlah yang pasti dan hakikat…

Ada seruan kau tahu?

Agar kau kembali kepada jalan tinggalan dahulu…

Jalan dalam kerja utama sebagai amanah dari Yang Satu …

Mari kau bersama Parti Islam….

Mari bersama menyelam

Dalam bahtera juang yang tak akan karam

Dalam pentas yang tiada istilah DENDAM…

Ada seruan kau tahu?

Agar kau jangan malu bersama kami dalam bahtera ini,

Walau kau pernah mencaci..

Para ulama’nya yang amat ikhlas hati…

Pernah dulu ada hemburan kata..menghina nizam syar’iy dari Ilahi…

Pernah kau mengetuai lanskar ingin mematikan daya juang insani

Yang tegar merempuh tirani…

Tetapi dalam Parti Islam..tiada nada sinisan herdik padamu..

Mari bersama menghabiskan sisa nafasmu…

Kepada jalan nalurimu..

Jalan Parti Islam….

Doa ku…..kau akan bersama kami

Dalam Parti Islam Semalaysia

Puisi ini didedikasikan kepada Tun Dr Mahathir, sempena pengisytiharaan beliau keluar daripada UMNO lantaran kecewa dengan kepimpinan Pak Lah yang mengetuai regim korup. Lihatlah sendiri bagaimana komen Musa Hitam pada dirinya…herdikan Nazri dan Khairi padanya…yang dahulu terlalu ramai yang ingin menatang dan menggengam erat tangannya. Inilah politik manusiawi. Dalam Parti Islam tiada istilah keluar parti kecuali sesiapa yang bencikan Islam (perjungan Parti itu sendiri). Dahulu YB Amaludin Darus pernah keluar dari PAS pada era Nasionalisme Dato’ Asri dalam PAS.Hari ini PAS adalah gerakan Islam....yang faham tak akan meninggalkannya....

Pendita Bitara

USM

19 Mei 2008

Saturday, May 17, 2008

Amal Islami melalui tugasan siasah

Akhirnya saya dapat juga mengikuti program tarbiah anjuran JIM. Di surau Pagar Buloh Sg Ara semalam ( 16 Mei 2008), telah diadakan Himpunan JIM Barat Daya Pulau Pinang yang disertakan dengan Forum Khidmat Sosial. Selepas mentadabbur Al Quran iaitu surah Al-Insan dari ayat pertama hingga 31, majlis bermula dengan pembentangan amal Islami oleh tuan Hji Bakhtiar.

Naqib Haji Bakhtiar di Amerika Syarikat dahulu pernah berpesan bahawa setiap anak usrahnya adalah seperti permata yag akan bersinar di mana sahaja mereka berada samada di tempat orang di tanahair sendiri. Mesti mempengaruhi suasana sekitar serta mendominasi massa sedaya yang mampu.
Memperingati pesan itulah beliau bersedia menjadi sebahagian daripada ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Beliau secara bergurau berkata sebagai pekerja dnegan gaji RM 600 kini ( sebenarnya pendapatan haji ni banyak sangat Cuma dalam MPPP elaun maksima adalah RM 1000 sahaja), beliau tetap komited cuba membawa misi Islam dalam MPPP. Saya teringat kata-kata Tuan Haji Halim (Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang) yang juga menjadi ahli Majlis, bahawa peranan PAS walaupun hanya seorang yang menjadi ADUN, tetap akan cuba melestarikan Islam melalui khidmat sosial juga. Bukankah Islam hadir untuk menstabilkan sosial, membawa cahaya kepada kegelapan masyarakat daripada kezaliman, diskriminasi, perhambaan sesama manusia, budaya bodek membodek, pecah amanah dan lain-lain.

Dahulu dalam era UMNO dan BN memerintah, ahli Majlis dipilih dikalangan Ketua Bahagian UMNO dan Gerakan serta Ketua Pemuda yang tidak menjadi wakil rakyat. Tanpa mengira latar belakang pendidikan dan mentaliti, jawatan penting ahli majlis disogok dan disumbat kepada mereka sebagai gula-gula selepas pilihanraya.

Malang jika PKR dan DAP juga ingin bersikap begini di mana jawatan ahli Majlis ingin diberi kepada yang berjawatan dalam parti pemerintah tanpa mengira latar belakang, kesungguhan dan minat mereka dalam membangunkan negeri ini secara saksama dan adil.

Ada juga suara-suara sumbang yang mempertikai Tuan haji Bakhtiar yang hanya menjadi ahli biasa PKR….janganlah PKR juga ingin bersikap neo-UMNOisme pula…..hancur kemenangan jika begitu….kita perlukan individu berkelayakan bukan sahaja dari segi akademik tetapi kemampuan akal dan semangat yang tulen. Haji Bakhtiar adalah juga diantara individu yang berkelayakan dari segi akademik dan pengalaman. Bukan mempertikaikan pekerja buruh, pemandu teksi atau penjual majalah sebagai ahli MPPP, tetapi janganlah sampai kerja menjadi tumpul hanya sekadar meraikan ketua-ketua bahagian dan ketua pemuda parti pemerintah semata-mata.....

JIM amat berpengaruh dalam organisasi PKR Pulau Pinang. Diharapkan praktikal amal Islami secara perlahan-lahan dan berimpak positif akan berjaya dilakukan oleh mereka yang ditugaskan oleh Jamaah dan parti Pakatan Rakyat. PAS pula sebagai Harkah Islamiyyah yang berproksikan politik semasa telah lama merangka gerak kerja untuk membawa nilai Islam dalam setiap Perbadanan negeri, majlis dan kerajaan tempatan walaupun hanya memperolehi 1 kerusi dalam DUN.

Sebagai contoh, ahli majlis yang bekefahaman amal Islami boleh untuk tidak meluluskan plan atau projek yang membawa masalah dan bahaya kepada masyarakat walaupun menguntungkan. Rasuah boleh dicegah dan ditangkap dalang-dalang koprat yang telah lama membina perniagaan berkuncikan duit ‘bawah meja’ di negeri tercinta ini.

YB Halim juga menceritakan pengalaman beliau sebagai ahli JIM yang terlibat dalam politik hari ini. Beliau menyarankan agar ahli gerakan Islam terutama yang berorientasikan NGO perlu menceburkan diri dalam arena politik sama ada melalui PAS atau PKR. Kini kuasa Melayu Islam hanya tinggal 4 orang sahaja berbanding UKNO yang memenangi 11 kerusi. Agenda melayu Islam hanya terletak pada tangan 4 orang ini semata-mata. Kuasa ubah angin Cina menyaksikan semua 19 kerusi Dap menang, manakala 6 kerusi Cina juga dari PKR. PAS pula kalah 4 dari 5 kerusi yang bertanding, PKR pula kalah 6 daripada 10 kerusi orang Melayu. Jadi agenda untuk membawa gelombang Islamisasi perlu dilaksanakan bersama oleh ahli PAS dan JIM yang berada dalam PKR untuk menajdikan Kerajaan Tempatan sebaga saluran perkhidmatan yang telus serta adil untuk semua kaum.

Teluk Kumbar

Pendita Bitara

8 malam 17 Mei 2008

Thursday, May 15, 2008

Siapa Hizbut Tahrir?

Terlalu ramai yang ingin berbahas dengan saya berkenaan halatju dan kerelevanan perjuangan Hizbut Tahrir ( Diasaskan oleh Sheikh Taqiyuddin An Nabhani) di Malaysia. Lebih malang lagi dalam sebuah Negara yang sekangkang kera, masih berpolitik cara klasik, taasub dengan politik perkauman tinggalan penjajah, kini telah ada parti Islam kedua yang ingin bersaing dengan PAS dalam perjuangan perlestarian masyarakat Islam. Malah lebih membingungkan mereka ini menolak Demokrasi yang dikatakan system kuffar, memboikot sebarang sistem yang dikatakan bukan sunnah tanpa memberi alternatif dan wasilah yang tuntas untuk menjayakan matlamat dakwah mereka dalam usaha menubuh Khilafah Islamiyyah di Malaysia. Di bawah ini saya sertakan 3 artikel memberi gambaran kritikal terhadap Hizbut tahrir. Adapun untuk mendapat hujah umum dan isi materi daklwah mereka, silalah mendapatkannya di laman web Hizbut Tahrir.

Pendita Bitara
SMI Al Itqan PP


Hizbut Tahrir ( 3)

HIZBU TAHRIR : PULANGLAH KE PALESTIN

Saya pernah 2 atau 3 kali dikunjungi oleh rakan - rakan dari Hizbu Tahrir . Sebahagiannya ada yang datang dari Kuala Lumpur bagi berbincang mengenai PAS dan Hizbu Tahrir bersama idealogi perjuangan masing - masing .


Mereka tanpa segan membawa salah seorang ahli PAS yang berjaya dibawa masuk ke dalam Hizbu Tahrir ke rumah saya .( pada anggapan saya ini sebagai satu tekanan psikologi justeru saya adalah ketua DPP Negeri Pahang . )

Mereka menjelaskan bahawa mereka dalam usaha bertemu dengan pimpinan PAS dan ahli - ahli PAS bagi memperkenalkan Hizbu Tahrir .

Pada waktu itu , saya tidak mempunyai kesempatan selesa untuk memberi penjelasan panjang lebar sehinggalah kini , saya lihat rakan - rakan Hizbu Tahrir masih mensasarkan ahli PAS .

Ramai sahabat ahli PAS bertemu saya dan mula memuji - muji Hizbu tahrir , sedang mereka masih baru dengan perjuangan Islam . Justeru itu saya rasa terpanggil untuk memberi ulasan yang ditujukan khas kepada sahabat - sahabat Ahli PAS terutamanya pemuda PAS .

Saya telah meminta sahabat karib saya Al fadhil Ustaz Ahmad Adnan Fadhil ( Ketua DPPN Perlis ) untuk turut sama membantu meneliti perkara ini dan mengemukakan pandangan untuk membuat ulasan dan penjelasan terhadap isu Hizbu Tahrir .

HIZBU TAHRIR ?

Tahun 1924 adalah tahun yang amat gelap dalam lembaran sejarah umat Islam. Pada tahun tersebut runtuhnya Institusi Khilafah yang merupakan Institusi Pemerintahan Islam yang telah menguasai dunia lebih 1000 tahun. Institusi yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. itu dan bertukar tangan dari satu dinasti ke satu dinasti hinggalah kepada dinasti yang terakhirnya iaitu Turki Utsmaniyah, telah lenyap dari alam ini hasil perancangan rapi anasir-anasir jahat Yahudi dan Salibiyah Barat.


Dendam kesumat Yahudi dan Salibiyah berkurun-kurun lamanya akhirnya mencapai kejayaan apabila mereka berjaya melenyapkan penguasaan umat Islam ke atas dunia dengan kehancuran Institusi Khilafah itu. Bukan kerana serangan bersenjata mereka berjaya, tetapi hasil dari serangan pemikiran atau ghazwul Fikri. Ghazwul fikri yang mereka lancarkan berjaya mengikis semangat jihad dari jiwa dan hati sanubari umat Islam hingga tidak ada lagi pada mereka kekuatan untuk mempertahankan Institusi pemerintahan Islam itu.


Keruntuhan Institusi Khilafah tersebut membawa kepada penjajahan yang amat hebat kuasa-kuasa Impirealis Barat ke atas dunia Islam. Empayar umat Islam yang luas, yang asalnya bernaung di bawah satu pemerintahan iaitu pemerintahan al-Khalifah, setelah ditakluki dibahagi-bahagikan kepada negeri-negeri kecil. Semangat asabiyah dan perkauman ditanam dalam jiwa-jiwa umat Islam. Idealisme perjuangan yang berteraskan Islam telah ditukar kepada semangat perjuangan sempit berteraskan asabiyah dan perkauman. Umat Islam tidak lagi mementingkan Islam dan ummat, tetapi mementingkan bangsa dan tanah-air sendiri.

Undang-undang syari’ah dihapuskan dan digantikan dengan undang-undang Barat. Tidak tinggal dari ajaran Islam yang diamalkan melainkan saki-baki/cebisan-cebisannya sahaja yang berupa amalan-amalan yang berbentuk spiritual dan bersifat peribadi. Adapun ekonomi, politik, pemerintahan, pentadbiran Negara, pendidikan, mahkamah dan sebagainya semuanya memakai undang-undang Barat…


Umat Islam sejurus selepas keruntuhan Khilafah tersebut berada di dalam suasana yang amat membingungkan. Mereka hilang arah-tuju dan kekuatan untuk berhadapan dengan serangan bertubi-tubi kuasa-kuasa Barat berbentuk serangan pemikiran dan serangan bersenjata. Kalau dahulunya saf mereka dipimpin dan disatukan oleh Institusi Khilafah apabila berhadapan dengan serangan musuh-musuh mereka, tetapi kini Institusi tersebut telah lenyap. Umat Islam ibarat anak yang kematian ibu dan bapanya, tiada tempat untuk mengadu dan bergantung. Ribut dan badai yang melanda mereka tidak pernah menimpa generasi-generasi sebelumnya.


Umat yang dalam kebingungan itu lalu diselamatkan Allah S.W.T. dengan kehadiran tokoh-tokoh Islam seperti Jamaludin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Rasyid Ridha, Syeikh Badi’uzzaman Said Nursi, Syeikh Mustafa Sobri, Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna, Imam Abul ‘Ala Al-Maududi, Syeikh Waliyullah Ad-Dahlawi dan sebagainya. Mereka adalah ulama’-ulama’ Islam yang muncul sebaik sahaja terjadi peristiwa keruntuhan Institusi Khilafah iaitu di saat-saat umat Islam amat menagihkan pemimpin-pemimpin yang dapat membimbing dan menentukan hala-tuju mereka.

Dengan kesedaran Tajdid yang kuat, ulama’-ulama’ ini menubuhkan Jama’ah-Jama’ah Islam dan mengajak umat Islam bersama-sama bersatu di dalam jama’ah untuk berjihad menegakkan kembali kedaulatan Islam dan mengembalikan semula Instiusi Khilafah yang runtuh itu.


Di Timur Tengah gerakan Tajdid yang paling berpengaruh dan antara terawal ialah yang dipelopori oleh Imam Hasan Al-Banna. Beliau mewarisi perjuangan yang diasaskan oleh tokoh-tokoh sebelumnya iaitu Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan juga Syeikh Rasyid Ridha. Tokoh-tokoh inilah yang membentuk aspirasi perjuangan beliau.

Tindakan bijak Imam Hasan Al-Banna ialah menghimpun pendokong-pendokong Islam dalam satu saf yang kemas dan tersusun. Beliau merasakan umat Islam tidak akan berjaya berhadapan dengan serangan-serangan kuasa Barat yang hebat itu jika mereka bergerak sendirian. Kerana itulah, beliau telah mengasaskan Jama’ah Ikhwan Muslimun pada tahun 1928 (empat tahun selepas kejatuhan Institusi Khilafah).


Imam Hasan al-Banna menyedari bahawa kegagalan umat Islam mempertahan Institusi Khilafah adalah berpunca dari hilangnya kefahaman agama dan semangat jihad dari aqal dan hati sanubari mereka. Kerana itulah, penumpuan pertama beliau ialah membina semula kefahaman Islam yang benar dalam pemikiran umat Islam dan membangunkan kembali semangat jihad dalam jiwa dan hati sanubari mereka.

Sesungguhnya Imam Hasan Al-Banna dan jamaah Ikhwanlah antara paling awal bergerak untuk menghidupkan kembali Institusi Khilafah. Bukan sekadar menghidupkannya dari sudut rangka dan binaannya, tetapi dari sudut rohnya iaitu jiwa umat Islam yang menjadi pendokong kepada Institusi tersebut.


Hizbu Tahrir


Sejarah di atas sengaja kita ungkitkan kembali supaya umat Islam yang hidup hari ini mengetahui hakikat sebenar bagaimana bermulanya gerakan tajdid Islami di saat-saat awal keruntuhan Khilafah. Gerakan Tajdid terus bermula sebaik sahaja Institusi Khilafah mengalami keruntuhan iaitu di awal kurun ke 20, bukan bermula dari tahun 50 an.

Di antara fokus utama gerakan Tajdid pada ketika itu ialah untuk menghidupkan kembali Institusi Khilafah yang runtuh walupun ia belum menampakkan kejayaannya hingga hari ini. Setelah itu, barulah gerakan tajdid ini merebak ke seluruh dunia, bukan sahaja di kawasan-kawasan di sekitar Timur Tengah atau Asia Barat, tetapi juga ke sebelah Asia Tenggara. Penubuhan PAS juga adalah hasil pengaruh gerakan tajdid tersebut.


Sejarah tersebut menyangkal dakwaan pendokong-pendokong Hizbu Tahrir yang cuba berbangga kononnya Hizbu Tahrirlah pelopor gerakan menghidupkan kembali Institusi Khilafah, sedangkan realiti sebenarnya
Hizbu Tahrir hanya wujud 20 tahun setelah kejatuhan Institusi Khilafah. Kalau benar Hizbu Tahrir adalah pelopor, kewujudannya tentulah lebih awal dari jama’ah-jama’ah yang lain termasuklah Ikhwan Muslimun. Atau sekurang-kurangnya ia seangkatan dengan jama’ah-jama’ah tersebut.

Namun, termaktub dalam lembaran sejarah bahawa kewujudan Hizbu Tahrir amat jauh terkebelakang dari kewujudan jama’ah-jama’ah yang lain terutamanya Ikhwan. Ikhwan muncul empat tahun selepas kejatuhan Institusi Khilafah iaitu tahun 1928, sedangkan Hizbu Tahrir muncul 25 tahun selepas kewujudan Ikhwan. Dalam perlumbaan, angka 25 adalah angka yang amat jauh kebelakang untuk diistilahkan sebagai pelopor atau perintis.


Dari segi usia, sebenarnya Hizbu Tahrir lebih muda dari PAS. PAS bermula sejak tahun 1948 lagi dengan nama Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 14 Mac 1948 di Gunung Semanggol. Perjuangannya ketika itu ialah sebagai gerakan dakwah dan pembebasan tanah air dari penjajah Inggeris yang didokongi oleh para ulama’ Islam. Akan tetapi Hizbul Muslimin telah diharamkan oleh British lima bulan kemudiannya iaitu pada bulan ogos 1948.

Walaupun begitu, aktiviti Hizbul Muslimin diteruskan sehingga tertubuhnya PAS pada 24 Nov. 1951. Adapun Hizbu Tahrir, ia lahir pada tahun 1953. Ia diasaskan oleh oleh Syeikh Taqiuddin An-Nabhani di al-Quds, Palestin. Tarikh kewujudan Hizbu Tahrir ini adalah berdasarkan maklumat dari buku-buku yang ditulis oleh pendokong-pendokong Hizbu Tahrir sendiri.


Kita tidak tahu apa faktor sebenar yang menyebabkan pengasas Hizbu Tahrir dan juga para pendokongnya tidak dapat memberi sokongan kepada Jama’ah yang sedia ada di Timur Tengah atau di negara-negara umat Islam yang lain di dunia hari ini? Kenapa mereka tidak memberi wala’ kepada Ikhwan di Mesir, atau kepada Jama’at Islami di India, atau kepada Refah di Turki atau kepada PAS di Malaysia..?
Apa perlunya mereka menubuhkan suatu Jama’ah yang baru jika matlamatnya adalah sama iaitu untuk mendaulatkan Islam dan mengembalikan Institusi pemerintahan Islam (al-Khilafah) di atas muka-bumi ini.


Hizbu Tahrir sebenarnya telah memilih untuk mewujudkan perpecahan dalam saf kaum muslimin dari mementingkan kesatuan mereka. Sudahlah umat Islam yang serba kelemahan terpaksa berhadapan dengan musuh-musuh mereka yang lebih kuat dari segenap sudut, tiba-tiba muncul pula Hizbu Tahrir yang bertindak memecahkan kesatuan mereka.
Dahulunya Hizbu Tahrir bertindak mengganggu perjalanan gerakan Islam di Timur Tengah, sekarang ini ia cuba mengganggu perjalanan gerakan Islam di sebelah Asia Tenggara pula.

Ia datang ke Malaysia dalam keadaan PAS amat kukuh dari segi pengaruh dan penerimaan masyarakat terhadap perjuangan Islamnya. Kalau kedatangannya membantu perjuangan Islam yang sedia wujud di sesuatu tempat (umpamanya perjuangan PAS di Malaysia ini), maka mungkin kita boleh menerima kedatangan mereka. Namun apa yang berlaku ialah kehadiran Hizbu Tahrir ini adalah untuk menjadi saingan kepada saf perjuangan Islam yang sedia ada.


Di Malaysia, para pendokong Hizbu Tahrir lebih berminat memburuk-burukkan PAS dan mengkritik PAS kepada ahli-ahlinya. Mereka menghasut ahli-ahli PAS supaya meninggalkan PAS dan bergabung dengan Hizbu Tahrir yang kononnya –kata mereka- lebih Islamik perjuangannya dari PAS. Kenapa Hizbu Tahrir tidak tampil berdakwah kepada pendokong-pendokong UMNO yang ternyata sebuah parti secular? Kenapakah Hizbu Tahrir memberi tumpuan kritikannya kepada PAS, tidak kepada UMNO?

Adakah Hizbu Tahrir takut/bimbang menghadapi pengaruh UMNO yang merupakan parti yang memerintah? Atau adakah Hizbu Tahrir adalah talibarut UMNO yang dihantar secara sulit untuk memecahkan sokongan umat Islam kepada PAS? Benar atau tidak telahan ini hanya Hizbu Tahrir dapat menjawabnya. Apa yang pastinya sikap Hizbu Tahrir itu hanya menguntungkan perjuangan secular UMNO, bukan menguntungkan perjuangan Islam yang didokongi PAS.


Kenapa tidak berjuang di Palestin?


Sebagai jama’ah yang lahir di al-Quds, Palestin, sebenarnya Hizbu Tahrir telah mempunyai kewajipan yang besar iaitu berjihad melawan Yahudi yang hari ini masih lagi membelenggu bumi Palestin dan umat Islam di Palestin. Namun kita tidak mendengar sebarang sumbangan Hizbu Tahrir di sana.

Dalam senarai jama’ah-jama’ah dan pergerakan yang berjuang melawan Yahudi di Palestin, nama Hizbu Tahrir amat jarang kita dengar, bahkan banyak ketikanya tidak kedengaran langsung. Yang selalu kita dengar ialah nama HAMAS, IKHWAN, HIZBULLAH dan sebagainya. Hizbu Tahrir lebih suka berjuang di awang-awangan dari berpijak di bumi nyata. Kita tidak menafikan pentingnya memperjuangkan Institusi Khilafah.

Namun adakah kerana menumpukan kepada perjuangan Khilafah itu, lalu kita mengabaikan kewajipan di tempat kita sendiri? Haruskah kerana menumpukan kepada kewajipan puasa –sebagai contohnya-, lalu kita meninggalkan kewajipan solat, sedangkan kedua-duanya adalah wajib?


Adakah Hizb Tahrir menganggap perjuangan membebaskan Baitul-Maqdis dan bumi Palestin itu tidak wajib dan tidak ada nilai di sisi Islam? Adakah pada pandangan Hizbu Tahrir darah umat Islam Palestin halal semata-mata kerana dunia hari ini tidak ada Khalifah untuk mengistihar jihad?
Wahai para pendokong Hizbu Tahrir! Sedarilah bahawa medan perjuangan kamu lebih utama di bumi Palestin. Bersama-samalah dengan HAMAS, JIHAD, HIZBULLAH dan IKHWAN berjuang dan berjihad menghadapi Yahudi/Israel bagi membebaskan bumi Palestin dan al-Quds.

Di Malaysia ini, berilah kepercayaan kepada PAS untuk memperjuangkan Islam. Biarlah kami berlawan dengan UMNO di sini. Pulanglah kamu berhadapan dengan Yahudi/Israel di sana. Apabila kamu berjaya di Palestin di mana al-Quds dapat dibebaskan dan Negara Israel dapat diruntuhkan, maka pada ketika itu datanglah membantu kami pula di Malaysia ini. Kami Insya Allah akan menerima kedatangan kamu. Adapun sekarang, kami tidak dapat menerima kedatangan kamu di sini, kerana kamu meninggalkan perjuangan kamu di sana. Untuk apa datang ke sini bagi memikul kewajipan baru, sedangkan di atas bahu-bahu kamu sudah ada kewajipan yang perlu kamu tunaikan di tanah air kamu…Pulanglah wahai Hizbu Tahrir…Umat Islam Palestin sedang menangis menanti kamu…


Demokrasi dan pilihanraya


Di antara faktor Hizbu Tahrir menghujum (menyerang) jama’ah-jama’ah yang lain (Ikhwan, PAS dan sebagainya) ialah keterlibatan keterlibatan dengan pilihanraya. Bagi mereka pilihanraya adalah tidak syar’i kerana ia datang dari sistem Demokrasi yang merupakan sistem jahiliyah pada zaman ini.

Cara mereka menghujum jama’ah-jama’ah yang lain dalam hal ini menggambarkan seolah-olah pada anggapan mereka, Hizbu Tahrir sahaja yang mempunyai ilmu, jama’ah-jamaah lain semuanya jahil belaka, dalam kumpulan mereka sahaja ada ulama’, di dalam jama’ah lain tidak ada ulama’, mereka sahaja yang ada kelayakan untuk berijtihad, mereka sahaja yang ikhlas berjuang……

Sedangkan kita melihat di persada dunia hari ini, ulama’-ulama’ Ikhwan antara yang menonjol sebagai tokoh-tokoh ilmuan dan pemikir Islam di zaman mutakhir ini. Antaranya ialah Dr. Yusof Al-Qardhawi, Syeikh Said Sabiq, Syeikh Muhammad Al-Ghazali dan sebagainya. Ketokohan mereka diakui oleh pendokong-pendokong gerakan Islam juga oleh sebahagian besar ilmuan dan cendekiawan Islam di dunia hari ini, walaupun Hizbu Tahrir keberatan untuk mengiktiraf mereka kerana mereka bukan dari kalangan Hizbu Tahrir.


Demokrasi sememangnya bukan berasal dari Islam. Ia adalah salah satu dari sistem jahiliyah moden. PAS sebagaimana Ikhwan dan juga jama’ah-jama’ah yang lain (Jama’at Islami, Refah dan sebagainya) tidak pernah menyatakan ia beriman dengan Demokrasi. PAS tidak menganut fahaman demokrasi. Begitu juga, PAS tidak memperjuangkan ideologi Demokrasi.

Apa yang berlaku ialah PAS (begitu juga jama’ah-jama’ah yang lain) memanfaat beberapa peraturan dan amalan yang ada dalam sistem demokrasi sebagai salah satu medan baginya untuk mencapai tujuannya iaitu mewujudkan sebuah negara dan pemerintahan Islam di Malaysia. Amalan Demokrasi yang dimanfaatkan itu antaranya ialah amalan Pilihanraya dan kebebasan untuk menyatakan pandangan kepada rakyat.


Di dalam sistem jahiliyah dan undang-undang jahiliyah terdapat beberapa kesempatan dan peluang yang boleh diambil manfaat untuk menegakkan Islam dan mempertahankan Islam. Cara ini telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya iaitu melalui peraturan al-himayah dan al-jiwar (memberi perlindungan kepada orang-orang yang lemah dan dizalimi).

Rasulullah s.a.w. sendiri memanfaat peraturan tersebut dengan mengambil al-Himayah dari bapa saudaranya (Abu Thalib). Saidina Abu Bakar juga pernah mengambil al-Himayah dari Ibnu Al-Daghnah. Terdapat beberapa sahabat lagi yang memanfaatkan perturan tersebut. Kedua perturan tersebut (yakni al-Himayah dan al-Jiwar) menjadi amalan kebanggaan di dalam masyarakat jahiliyah. Adalah menjadi suatu kemegahan kepada seseorang yang kuat kedudukannya dalam masyarakat jahiliyah kalau ia dapat membela atau memberi perlindungan di bawah pengaruhnya.


Dari apa yang berlaku dan dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. itu, menunjukkan kepada kita bahawa dibenarkan kita mengambil kesempatan dari peraturan-peraturan atau amalan-amalan jahiliyah jika sekiranya ia tidak merugikan perjuangan dan tidak menjejaskan dasarnya. Dari sinilah maka gerakan Islam di zaman kini mengambil kesempatan dari sistem demokrasi dan menyertai pilihanraya. Bukan kerana mereka beriman dengan sistem itu tetapi mengambil kesempatan dari peluang yang diizinkan untuk melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dan menyampaikan mesej Islam kepada manusia.


Memanfaatkan sesuatu dari seorang kafir tidak bermakna kita turut beriman dengan aqidahnya. Begitu juga, memanfaatkan sesuatu amalan atau peraturan dari sistem jahiliyah, tidak bermakna kita mengiktiraf sistem tersebut apatahlagi dalam keadaan kita terpaksa melakukannya. Apabila kita mengambil seorang pekerja kafir dan memanfaatkannya untuk urusan-urusan kita, tidak bermakna kita mengiktiraf/menyetujui agama atau aqidah anutannya.

Apabila Rasulullah s.a.w. memanfaatkan perlindungan dari bapa saudaranya (Abu Thalib) di Mekah, adakah bermakna baginda mengiktiraf kemusyrikan bapa saudaranya itu? Apabila Rasulullah s.a.w. mengizinkan para sahabatnya untuk berhijrah ke Habsyah bernaung di bawah Raja Habsyah (An-Najasyi) kerana keadilannya, adakah bermakna baginda beriman dengan aqidah kristian Najasyi itu?

Apabila dalam peperangan-peperangan baginda, Rasulullah s.a.w. memakai sistem al-Khumus (iaitu sistem membahagikan angkatan tentera kepada lima battalion) yang asalnya merupakan corak peperangan dari Parsi, adakah bermakna baginda juga turut mengiktiraf Parsi dan agama Majusinya? Apabila Saidina Umar meniru sistem ad-Diwan yang diamalkan dalam kerajaan Parsi, adakah bermakna beliau mengiktiraf kerajaan Parsi dan agama Majusi yang dianuti Parsi?


Banyak perkara baru yang berlaku dalam dunia hari ini yang memerlukan para ulama’ dan pimpinan harakah Islam menetapkan pendirian yang tepat dari sudut siayasah dengan mera’ikan pandangan Syara’.


Amalan pilihanraya adalah kaedah yang diterima-pakai oleh masyarakat dunia hari ini –termasuklah dalam negara-negara umat Islam- untuk menentukan siapakah pemimpin yang akan menerajui negara mereka untuk suatu tempoh tertentu?. Hari ini, sama ada umat Islam menerima atau tidak, pilihanraya apabila tiba masanya tetap akan dilaksanakan dalam negara mereka –oleh pemerintah yang sedia ada- dan wakil-wakil yang dipilih rakyat akan menerajui negara dan kerajaan.

Pilihanraya menjadi fenomena yang berlaku di hadapan mata umat Islam hari ini. Dalam hal ini umat Islam mesti menetapkan pendirian mereka sama ada akan turut terlibat atau memulau sahaja pilihan raya yang berlaku dan menerima siapa sahaja pemimpin yang bakal naik; apakah ia memanfaat Islam atau akan menjahanamkan Islam?


Menetapkan pendirian Syara’ dalam sesuatu urusan –apatahlagi yang berkait dengan hal-hal umat dan kemaslahatan mereka- bukan suatu yang mudah. Hanya orang-orang yang pendek aqal sahaja yang cepat/tergesa-gesa membuat keputusan dalam hal-hal yang rumit dan ternyata memerlukan pemerhatian teliti.

Pendirian Syara’ tidak boleh dibuat hanya melalui pemerhatian yang rambang dan dangkal terhadap sesuatu masalah. Ia hendaklah dibuat melalui pemerhatian yang teliti, dengan mera’ikan nas-nas Syara’, maqasid-maqasid Syari’ah, qaedah-qaedah Syara’ dan sebagainya yang menjadi bidang usul Fiqh. Penelitian juga bukan hanya melihat kepada teori-teori di atas kertas sahaja, tetapi juga dengan mengkaji implikasi-implikasi yang bakal diterima umat jika keputusan di ambil untuk menerima atau menolak sesuatu perkara baru itu.


Semenangnya mudah bagi Jama’ah atau Harakah Islam membuat keputusan tidak menyertai pilihanraya dengan alasan; pilihanraya adalah dari sistem Demokrasi dan sistem Demokrasi itu adalah sistem Kafir dan Jahiliyah. Tetapi pastikah kita bahawa memulau pilihanraya itu benar-benar suatu sikap yang akan menguntungkan Islam dan umat Islam pada masa ini dan akan datang?


Sebagaimana dinyatakan tadi bahawa, pilihanraya tetap akan berjalan dalam sebuah negara Demokrasi seperti Malaysia ini. Sama ada Jama’ah Islam melibatkan diri atau memulaukannya, pilihanraya tetap akan dijalankan. Wakil-wakil yang dilantik rakyat akan tetap menguasai negara sama ada kita umat Islam bersetuju atau tidak.

Memulau pilihanraya bermakna memberi kemenangan mudah kepada golongan secular untuk terus menguasai negara dalam keadaan kita mampu memberi saingan dan cabaran kepada mereka. Dalam suasana di Malaysia ini, memulau pilihanraya bererti memberi kemenangan kepada UMNO untuk terus memerintah dengan dasar sekularnya dan meneruskan kezaliman yang biasa dilakukan oleh pemimpin-pemimpinnya ke atas rakyat selama ini.

Apatahlagi dalam sebuah negara bermasyarakat majmu’ (yang terdiri dari orang Islam dan bukan Islam) seperti Malaysia, memulau pilihanraya memberi implikasi yang lebih buruk iaitu memberi peluang kepada kaum bukan Islam untuk menguasai politik negara dan menjadi pemimpin ke atas umat Islam sendiri.


Tidakkah akan memudaratkan masa depan Islam dan juga umat Islam jika golongan secular terus memerintah negara atau jika kuasa politik negara diambil alih oleh orang-orang bukan Islam kerana tindakan kita umat Islam memulau pilihanraya?


PAS telah membuktikan bahawa penglibatannya dalam pilihanraya mendatangkan keuntungan yang amat besar kepada Islam dan umat Islam khususnya di bumi Malaysia ini. Kemenangan menawan Kelantan dan Trengganu dalam tahun 1990 dan 1999 telah memberi peluang kepada PAS yang membawa mesej perjuangan Islam untuk memperkenalkan sistem pemerintahan Islam kepada rakyat sehingga rakyat boleh menilainya dan membandingnya dengan sistem pemerintahan secular yang diamalkan UMNO sejak merdeka.

Hari ini, kita melihat bukan sahaja rakyat beragama Islam telah mula celik terhadap kehebatan sistem pemerintahan Islam, bahkan rakyat bukan Islam sedikit-sebanyak sudah dapat menerimanya sebagai suatu sistem yang mendatangkan kebaikan bagi mereka. Bayangkan apa akan terjadi jika PAS menyahut seruan Hizbu Tahrir supaya memulau pilihanraya. Sudah pastinya UMNO yang merupakan sebuah parti secular akan terus selesa memerintah tanpa ada saingan dan tentangan dari saf perjuangan Islam dan tidak mustahil golongan bukan Islam nantinya akan menguasai dan menerajui kepimpinan negara Malaysia.


PAS dengan mandat yang diberikan oleh rakyat untuk memerintah di dua negeri tersebut telah berjaya membuat suatu reformasi ke arah Islam antaranya menguat-kuasakan pengharaman arak, judi dan riba, memperkenalkan hisbah, sistem percukaian al-Kharaj, sistem jenayah Islam (hudud) dan corak kepimpinan Islam yang bersifat adil, telus dan mengikut sepenuhnya peraturan Syara’.

Ketika Hizbu Tahrir masih dalam peringkat membicarakan sistem pemerintahan Islam (al-Khilafah) hanya sebagai suatu teori di dalam buku-buku, majlis-majlis usrah dan majlis-majlis pengajian mereka, PAS telah melaksanakannya secara praktikal di dalam pentadbiran kerajaan dan negeri.


Mafsadah Demokrasi –sebagaimana yang diketahui umum- ialah ia memberi hak yang mutlak kepada pemimpin untuk menggubal undang-undang di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Wakil-wakil rakyat yang dilantik melalui proses pilihanraya diberi mandat oleh rakyat untuk meminda atau menggubal undang-undang melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tanpa tertakluk kepada ketetapan Syara’. Sama ada sesuatu undang-undang yang digubal itu bercanggah atau tidaknya dengan ketetapan Syara’, itu tidak menjadi persoalan asalkan wakil-wakil rakyat yang dipilih menyetujuinya.


Kefasadan tersebut sebenarnya dapat kita atasi jika sekiranya wakil-wakil rakyat yang dipilih adalah dari kalangan orang-orang memahami Islam dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin Islam. Ini bergantung kepada kesedaran rakyat kerana merekalah yang membuat pemilihan semasa pilihanraya. Jadi tugas dan peranan Jama’ah Islam ialah meletakkan seberapa ramai calon-calon yang mempunyai kelayakan mengikut Islam dan menanamkan kesedaran dalam hati rakyat sebagai pengundi supaya membuat pemilihan yang tepat iaitu dengan melihat kepada kepentingan agama dan umat.


Terbukti di Kelantan dan Terengganu apabila rakyat memberi mandat kepada saf kepimpinan ulama’ untuk menjadi wakil-wakil mereka di Dewan Undangan Negeri, tidak ada undang-undang yang digubal di Dewan tersebut yang bercanggah dengan Islam. Ini kerana wakil-wakil yang dipilih rakyat itu merupakan orang-orang yang memahami tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim dan sebagai pemimpin Islam iaitu melaksanakan hukum-hakam Syari’at Allah, bukan memindanya atau menggubal undang-undang yang bertentangan dengannya.


Apa yang kita sebut di atas hanya beberapa aspek sahaja yang kita tinjau berhubung baik-buruknya penglibatan umat Islam dalam pilihanraya…Kita yakin bahawa Jama’ah Ikhwan, Refah dan Jama’at Islami yang mempunyai barisan ulama’ yang berwibawa dan juga PAS yang dipimpin oleh saf kepimpinan ulama’, telah membuat tinjaun yang lebih lengkap dan menyeluruh tentang hal tersebut.

Mereka akhirnya memutuskan bahawa perlunya jama’ah-jama’ah Islam di setiap negara –khususnya negara-negara umat Islam- hari ini untuk terlibat dengan pilihanraya dengan meletakkan calon-calon mereka yang memperjuangkan idealisme politik Islam dan menyeru kepada sekelian kaum muslimin supaya keluar mengundi bagi memenangkan calon-calon dari jamaah Islam demi masa depan agama dan umat.


Kita akui bahawa pilihanraya ala Demokrasi hari ini tidaklah bersih secara mutlaknya. Sebagai suatu amalan yang datang dari sistem jahiliyah, ia tentunya mempunyai sedikit-sebanyak mafsadah yang tidak dinafikan akan mengenai kita umat Islam apabila terlibat dengannya. Namun kita juga terpaksa menerima bahawa memulau pilihanraya dalam suasana hari ini akan mendatangkan mafsadah yang lebih buruk lagi kepada masa depan Islam dan nasib umat Islam itu sendiri.

Memulau pilihanraya akan membawa kepada semakin kukuhnya penguasaan golongan secular, berterusannya kemaharajalelaan mereka dan mungkin membawa kepada penguasaan orang-orang bukan Islam ke atas umat Islam (khususnya bagi negara yang masyarakatnya terdiri dari orang-orang Islam dan bukan Islam.

Dalam hal ini Syara’ memutuskan bahawa apabila bertembung dua mafsadah di mana salah satu daripadanya terpaksa kita tunggangi, maka hendaklah kita tunggangi mafsadah yang paling ringan. Dalam hal pilihanraya ini, mafsadah yang paling ringan kita akan terima ialah dengan melibatkan diri dalam pilihanraya, kerana memulaukannya mendatangkan mafsadah yang lebih berat/besar. Kaedah Syara’ menyatakan;


الضرر الأشد يزال بالضرر الأخف


“Harus untuk mengelak suatu kemudaratan yang lebih besar dengan mengambil kemudaratan yang lebih ringan”.


إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمها ضررا بارتكاب أعظهما


“Apabila bertembung dua mafsadah (di mana salah satu darinya terpaksa dilakukan), maka hendaklah diberi perhatian kepada mafsadah yang lebih besar mudaratnya (untuk dielakkan), dengan dilakukan mafsadah yang lebih ringan”.


Perjuangan setempat dan perjuangan sejagat


Hizb Tahrir dalam pendekatan gerakannya menganggap tidak penting perjuangan Islam yang bersifat tempatan. Bagi mereka perjuangan Islam hendaklah bersifat sejagat sahaja iaitu untuk mengembalikan sistem Khilafah Islam di atas muka dunia ini. Sikap mereka ini terbukti apabila mereka bertindak mengabaikan tanggungjawab mereka di Palestin dan keluar menumpukan perhatian di peringkat antarabangsa.

Di Malaysia, para pendokong-pendokong Hizb Tahrir memandang ringan jihad menentang UMNO walaupun mereka menyedari kejahatan UMNO sebagai sebuah parti secular. Dan tidak pelik jika mereka juga memandang ringan jihad umat Islam di Afghanistan, Selatan Filipina, Ambon dan sebagainya menentang kuasa-kuasa kuffar di negara masing-masing.


Para pendokong Hizb Tahrir telah membawa fikrah perjuangan yang sempit, yang amat memudaratkan masa hadapan Islam jika diterima-pakai fikrah mereka itu. Pendekatan perjuangan mereka jauh berbeza dengan pendekatan perjuangan Ikhwan Muslimun, Jama’at Islami, Refah, PAS dan sebagainya yang bersifat syumul –sebagaimana syumulnya Islam- dan menyeluruh, yang merangkumi perjuangan Islam setempat dan perjuangan Islam sejagat.

Jama’ah-jama’ah tersebut tidak pernah menafikan kewajipan sejagat untuk mengembalikan sistem pemerintahan Khilafah di atas muka bumi ini, tetapi mereka juga memandang penting kewajipan yang bersifat tempatan iaitu kewajipan menegakkan negara Islam di negara masing-masing, mengembalikan undang-undang Syari’at di dalam negara, kewajipan amar makruf nahi munkar, kewajipan menangani isu-isu semasa dalam masyarakat dengan penyelesaian secara Islam dan sebagainya.


Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimun sejak mula lagi telah menegaskan bahawa tugas dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh para pendokong jama’ah atau harakkah Islam merangkumi tujuh perkara iaitu;


1. Mengislahkan diri hingga menjadi seorang muslim sejati.


2. Mendirikan rumah tangga muslim


3. Memberi pertunjuk kepada masyarakat iaitu dengan menyeru mereka kepada Islam, memerangi kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka, mengalihkan pandangan umum masyarakat kepada fikrah Islam dan sebagainya.


4. Membebaskan tanah-air umat Islam dari kuasa-kuasa asing sama ada dalam aspek politik, ekonomi atau sebagainya.


5. Mengislah kerajaan/pemerintahan hingga menjadi kerajaan Islam yang sebenar-benarnya iaitu kerajaan yang menunaikan tanggungjawabnya sebagai khadam kepada umat dan melaksanakan segala hukum-hakam dan ajaran-ajaran Islam dalam negara.


6. Mengembalikan unsur-unsur kesejagatan umat Islam iaitu dengan membebaskan seluruh tanah-air mereka, menghidupakan kembali keagungan mereka, mendekatkan jurang tsaqofah (budaya) antara mereka dan membentuk kesatuan mereka sehingga dapat dikembalikan Institusi al-Khilafah yang telah lenyap.


7. Menjadi guru kepada ‘alam/dunia dengan berusaha mengebar-luaskan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia ini.


Begitu juga, Syeikh Said Hawa -salah seorang ulama’ Ikhwan terkenal- telah menggariskan matlamat kewujudan harakah/jama’ah Islam kepada lima perkara utama iaitu;


1. Membentuk keperibadian manusia dengan acuan Islam
2. Menegakkan negara Islam di setiap kawasan yang didiami oleh umat Islam
3. Menyatukan umat Islam
4. Menghidupkan kembali Institusi Khilafah
5. Menegakkan negara Islam ‘alamiyah (sejagat).

Menegakkan negara Islam di tempat masing-masing adalah kewajipan pertama kaum muslimin –dari sudut politik- sebelum mereka berjuang untuk mengembalikan sistem pemerintahan Islam yang bersifat sejagat iaitu al-Khilafah. Inilah cara perjuangan yang ditempuh oleh Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w. pada peringkat mulanya menegakkan negara Islam di Madinah (satu kawasan kecil di Tanah Arab).

Kemudiannya sedikit demi sedikit baginda menakluki kawasan-kawasan di sekitar Madinah, hingga akhirnya seluruh Tanah Arab berada di bawah kekuasaan baginda sebagai negara Islam. Setelah kewafatan baginda, para sahabat meneruskan lagi penaklukan hingga hampir 2/3 dunia ini telah menjadi negara Islam yang bernaung di bawah satu kuasa pemerintahan yang bergelar al-Khilafah.


Hakikat Perjuangan Islam
Di antara fikrah songsang Hizbu Tahrir ialah menganggap kewujudan Khilafah adalah asas penyelesaian segala masalah umat hari ini. Bagi mereka, dengan adanya Khilafah segala masalah/kemelut yang melanda umat hari ini akan selesai. Kerana itu, mereka memulakan gerakan mereka dengan perjuangan bersifat sejagat iaitu menegakkan al-Khilafah dan memandang usaha-usaha yang lain (usaha menegakkan Syari’at Islam di negara masing-masing, amar makruf nahi munkar dan sebagainya) sebagai tidak penting atau belum masanya untuk difikirkan.

Mereka memulakan perjuangan mereka dari atas, kemudian melungsur turun ke bawah. Sedangkan perjuangan Rasulullah s.a.w. bermula dari bawah, kemudian melonjak ke atas. Rasulullah s.a.w. memulakan gerakan baginda dengan pembentukan peribadi para sahabat (dengan menanamkan aqidah yang mantap dalam aqal dan hati sanubari mereka). Langkah seterusnya baginda mengasaskan negara Islam di satu kawasan bernama Madinah dan berikutnya baginda berusaha menundukkan seluruh alam ini di bawah kuasa Islam dengan bermula dari Tanah Arab.


Bukan hasrat kita membicarakan bagaimana seharusnya perjuangan Islam bermula?, apakah dari atas ke bawah atau dari bawah ke atas? Apa yang ingin kita nyatakan di sini ialah; Harakah atau jama’ah Islam hendaklah meletakkan cita-cita perjuangannya adalah untuk melaksanakan Islam secara sempurna dan menyeluruh.

Menganggap kewujudan Institusi Khilafah sebagai satu-satunya penyelesaian kepada masalah umat hari ini, bukanlah suatu fikrah yang tepat. Yang benarnya adalah Islam itu sendiri. Sistem al-Khilafah adalah salah satu tuntutan Islam dan ia bukan Islam itu sendiri. Jadi, Islam itulah yang merupakan penyelesaian kepada masalah umat.

Apabila kita meletakkan matlamat kita adalah untuk menegakkan Islam secara sempurna dan menyeluruh, maka terkandung sama di dalamnya cita-cita untuk menegakkan sistem pemerintahan Islam (al-Khilafah) kerana ia adalah salah satu tuntutan dalam Islam.


Islam adalah agama yang telah sempurna. Rasulullah s.a.w. wafat dengan meninggalkan agama yang telah disempurnakan Allah sepenuhnya. Di saat-saat akhir sebelum kewafatan baginda, Allah telah menurunkan ayat yang menjelaskan; “Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu (yakni Islam), aku cukupkan untuk kamu nikmatKu dan Aku redha untuk kamu Islam sebagai agama kamu”.


Setiap aspek Islam merupakan penyelesaian kepada masalah umat. Mana-mana aspek Islam yang masih terabai menandakan umat akan berterusan mengahadapi kemelut dalam aspek tersebut. Penyelesaiannya ialah mengajak umat kembali kepada Islam secara sempurna dan menyeluruh.

Kemelut ekonomi umat hari ini penyelesaiannya ialah dengan kembali kepada ekonomi Islam, kemerosotan akhlak hari ini penyelesaiannya ialah dengan kembali kepada akhlak Islam, kemungkaran yang berleluasa dalam masyarakat hari ini penyelesaiannya ialah dengan menggerakkan semula kewajipan amar makruh nahi munkar, kezaliman yang melanda dalam institusi pemerintahan negara umat Islam hari ini penyelesaiannnya ialah dengan berusaha menegakkan kembali sistem pemerintahan Islam. Begitulah juga, dalam masalah-masalah yang lain; politik, pendidikan dan sebagainya, penyelesaiannya ialah kembali kepada sistem Islam.


Menyedari hakikat ini,
PAS tanpa menunggu wujudnya Khilafah telah berusaha memperkenalkan Islam yang syumul kepada rakyat dan masyarakat. Dengan memanfaatkan segala ruang dan kesempatan yang ada, PAS terjun ke tengah-tengah masyarakat untuk memperkenal sistem-sistem Islam sebagai alternative untuk menyelesai segala masalah rakyat dan umat hari ini.

Pada masa yang sama PAS tidak pernah melupai kewajipan menegakkan kembali Institusi Khilafah. Pimpinan-pimpinan PAS sentiasa menyebutkan kepada ahli-ahli PAS bahawa cita-cita perjuangan Islam bukan sekadar untuk menegakkan negara Islam di Malaysia ini sahaja, tetapi juga untuk menundukkan seluruh dunia ini di bawah kekuasaan Islam iaitu dengan menegakkan kembali Khilafah.

Kerana menyedari pentingnya perjuangan menegakkan Khilafah inilah, maka PAS berusaha mengadakan hubungan kerjasama dengan seluruh gerakan Islam yang wujud di dunia hari ini. PAS sentiasa memberi komitmen kepada persidangan-persidangan antarabangsa yang membabitkan gerakan-gerakan atau jama’ah-jama’ah Islam sedunia. Bahkan PAS sendiri pernah beberapa kali menjadi penganjur persidangan yang sedemikian.


Adapun Hizbu Tahrir, mereka masih lagi dengan matlamat perjuangan mereka yang sempit. Mereka hanya memfokuskan perjuangan mereka kepada menegakkan Khilafah dan mengabaikan kewajipan-kewajipan di tengah-tengah masyarakat untuk menegakkan Syari’at Islam, melaksanakan amar makruf nahi munkar dan mengemukakan penyelesaian Islam yang menyeluruh kepada rakyat.

Bagi mereka, kewajipan-kewajipan tersebut hanya akan dilakukan apabila telah kembalinya Institusi al-Khilafah di mana Khalifahlah yang akan menggerakkannya. Mungkin kerana itulah, penulis buku At-Tariq Ila Jama’ah Islam iaitu Husin bin Muhsin bin Ali Jabir menyamakan Hizbu Tahrir dengan Jama’at Tabligh dan Ansar as-Sunnah dari segi cita-cita dan wasilah perjuangannya yang sempit.

Hizbu Tahrir -menurut penulis buku tersebut- telah meletakkan perkara terakhir dalam tahapan perjuangan Rasulullah s.a.w. iaitu berjihad untuk menegakkan pemerintahan Islam sebagai matlamat paling utama dan tunggal dalam perjuangan mereka.


Kewajipan jama’ah menangani isu-isu semasa dalam masyarakat
Islam bukanlah agama yang bersifat teorikal semata-mata tetapi juga praktikal. Jama’ah Islam yang memikul idealisme perjuangan Islam adalah jama’ah yang hendaklah menjadi alternative kepada masyarakat untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu yang berlaku di kalangan mereka.

Hanya dengan cara ini kesyumulan dan keindahan Islam dapat dilihat oleh masyarakat. Adapun jika kita hanya melaung-laungkan kebaikan dan kesempurnaan Islam itu di dalam tulisan-tulisan atau majlis-majlis usrah sahaja, tanpa terjun ke tengah-tengah masyarakat untuk mengemukakan penyelesaian secara Islam terhadap masalah-masalah atau isu-isu yang timbul di kalangan mereka, maka sampai bila-bila pun masyarakat tidak akan dapat melihat keindahan dan kesempurnaan Islam.


- Adakah kita hanya melihat sahaja golongan secular mendekati masyarakat dengan idea-idea secular mereka untuk menyelesaikan masalah masyarakat, sedangkan kita ahli-ahli jama’ah Islam tidak ada kesedaran untuk mendekati mereka denagn membawa mesej penyelesaian secara Islam. Di Malaysia ini, ada juga parti-parti yang didokongi orang bukan Islam yang juga tampil kepada masyarakat dengan kaedah penyelesaian cara mereka…

posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi @ 12:48:00 PM

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)