Dunia diselimuti penyakit Al Wahnu. Apakah itu Al Wahnu? Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menta’rifkan penyakit ini sebagai cintakan dunia dan takutkan mati. Apakah implikasi penyakit ini kepada sistem sosial Islam?
“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya,” Apakah karena jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi saw, menjawab,”Bahkan, pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu.”Seorang sahabat bertanya, ‘Apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?’ Rasulullah saw, menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.” (Hr Abu Dawud dan Ahmad)
Dalam usaha untuk memahami maksud dari hadis Nabi Muhammad s.a.w. di atas :
Ramai insan hari ini lebih takutkan surat PTPTN lebih daripada surah-surah dan ayat-ayat Al-Quran yang menganjurkan hukum zakat harta. Alangkah malangnya umat Islam hari ini. Lebih menyedihkan ramai di antara kita yang mampu menyebut satu-persatu rukun Islam dari kalimah syahadah hingga ke menunaikan haji. Zakat adalah salah satu daripadanya. Bukannya kita tidak sedar bahawa rukun Islam wajib ditunaikan dan haram dilanggar.
Kepedulian sosial dan kesusahan orang lain semakin lama semakin tipis. Budaya ananiyyah atau individualisme semakin bermaharajalela. Kita semakin lupa dan alpa bahawa dalam wang harian kita terdapat hak Allah dan hak manusia yang lain. Ini bermakna terdapat rezeki manusia lain yang dialirkan ke dalam akaun gaji kita, justeru kita disarankan menginfaqkan harta.
Harta dialirkan kepada yang memerlukan melalui jalan yang paling mudah iaitu sedekah, jalan zakat fitrah, zakat harta bagi yang cukup syarat serta jalan korban haiwan ternak semasa Aidiladha.
Ingatkah kita bahawa Saidina Abu Bakar pernah memerintahkan hukuman bunuh kepada kelompok kaum yang enggan menunaikan zakat malah menyatakan bahawa zakat itu tidak wajib. Sabda Nabi SAW,
Hadith riwayat Bukhari dan Muslim:-
‘Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Saya diperintahkan untuk memerangi mereka, kecuali bila mereka sudah mengikrarkan syahadat bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya, mendirikan sembahyang, dan membayar zakat. Bila mereka sudah melaksanakan hal itu, maka darah mereka sudah memperoleh perlindungan dari saya, kecuali oleh kerana hak-hak Islam lain, yang dalam hal ini perhitungannya diserahkan kepada Allah.”
Rata-rata di kalangan kita enggan membayar zakat harta bukan kerana kedekut tetapi malas atau tidak mengambil tahu cara mengira hasil tahunan dan cara membayarnya. Bagi yang menyimpan wang melalui Tabung Haji, pihak TH akan memotong wang mereka untuk zakat sekiranya cukup syarat dan nisab.
Malah perkara yang lebih malang ialah apabila ada mahasiswa yang sudah bekerja, tetapi zakat fitrahnya masih dibayar oleh si bapa sendiri kerana si anak langsung tidak tahu bahawa nyawa dan ruhnya ada bayaran yang ditetapkan oleh agamanya sendiri. Bayaran nyawanya tadilah yang dikenali sebagai zakat fitrah.
Saya menyarankan kepada rakan-rakan untuk memotong sedikit wang saban bulan kepada mana-mana badan zakat bertauliah, atau menyalurkannya kepada badan-badan amal yang jelas membantu golongan miskin dan fakir. Alasan cukai pendapatan tidak dimansuh oleh majikan jika berzakat tidak boleh digunakan. Kita membayar cukai pendapatan saban bulan hanya kerana ia dipotong secara tetap oleh kerani kewangan majikan kita. Jika majikan tidak mahu menggantikan cukai pendapatan dengan potongan zakat, kita merasakan rugi kerana terpaksa membayar kedua-duanya sekali sedangkan harta bulanan mungkin telah melimpah-limpah. Bagi saya cukai pendapatan adalah tanggungjawab kita kepada kerajaan yang menjaga prasarana awam. Sedangkan zakat adalah harta UMMAH dan harta pembangunan insaniyyah Islam.
Zakat berasal daripada perkataan tanam dalam bahasa Arab. Ini bermakna, sesiapa yang berzakat, hartanya akan bercambah dan tumbuh bagaikan harta tanaman. Jika kita yakin dengan janji Allah, kita pasti akan merasa tenang selepas membayar zakat..
Jika ada yang bertanya kepada saya tentang kaedah mengira nisab dari gaji bulanan, saya katakan sahaja, buat sahaja potongan bulanan kepada mana-mana badan kebajikan. Insya Allah anggaran wang yang sama dengan cukai pendapatan itu akan meliputi keseluruhan harta kita bagi yang tidak memiliki tunai pendam di dalam bank sebanyak RM 6000. Jika ada emas dan wang pendam, perlulah dilakukan sedikit pengiraan semula.
Jalankan pengiraan harta terpendam dan emas simpanan anda saban tahun. Tugasan mengira yang ringan ini akan membantu kesusahan kita di akhirat kelak.
Terlalu banyak amal Islami dan kebajikan boleh kita lakukan sekiranya wang zakat banyak terkumpul. Kesedaran daraipada golongan berkemampuan amat perlu.
“Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa perihal bakhil itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat.” (Al-Imran – 3:180)
Penyakit Al Wahnu yang menjadikan kita takut mati menyebabkan saban waktu kita berfikir tentang harta simpanan, kesihatan yang memungkinkan nyawa kita panjang dan sebagainya. Malah ia juga menjadikan kita gila harta dan keduniaan sehingga lupa bahawa ada manusia lain yang tidak makan dan minum di sekeliling kita.
Saya bersama dengan sahabat saya, Muhammad Bin Kamarulazizi sedang merancang untuk mengadakan plan potongan gaji kepada yang berkemampuan untuk membayar zakat kepada Muslim Aid Asia. Zakat akan digunakan sepenuhnya bagi membantu golongan lemah (mustadhafin) di Malaysia dan mangsa perang di luar negara. Selain korban melalui pengetinan daging yang dilaksanakan oleh Muslim Aid, projek bayar zakat harta ini juga akan membangunkan ummah kita serta melancarkan badan kebajikan menjalankan kerja menyalurkan rezeki kurniaan Allah kepada yang berhak.
Muhammad Nuruddin b Bashah (Agen 004)
Wakil Muslim Aid Asia, Pulau Pinang.
017-6291368