Saturday, May 08, 2010

Kes Aminulrasyid: Gesa Tubuh Suruhanjaya Diraja Segera

Kenyataan Media: 07 Mei 2010

Mustahil Panel Khas Capai Matlamat, Tubuh Suruhanjaya Diraja Segera

SUARAM mengutuk kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Abu Seman Yusop pada 7 Mei 2010 selaku pengerusi Panel Khas berhubung dengan kes Aminulrasyid yang ditembak mati oleh polis, dan sekaligus mempersoalkan penubuhan Panel Khas tersebut. Di dalam kenyataannya, Abu Seman berkata bahawa terdapat maklumat yang tidak konsisten di antara kenyataan saksi dan bukti kes tersebut. Kenyataan tersebut menampakkan Abu Seman seolah-olah bertindak sebagai jurucakap polis kerana ianya semata-mata berdasarkan kepada maklumat yang diberikan oleh polis.

Kenyataan sedemikian juga membuktikan bahawa matlamat penubuhan Panel Khas tersebut – iaitu untuk memantau dan memastikan siasatan polis terhadap kes Aminulrasyid dijalankan dengan adil, telus dan cepat – adalah mustahil untuk dicapai. SUARAM melihat perlantikan Panel Khas ini bukan sahaja tidak dapat menyakinkan orang awam mengenai proses siasatan, malah meningkatkan curiga orang awam terhadap siasatan yang dipantau oleh Panel Khas ini.

Penubuhan Panel Khas oleh kerajaan di dalam kes ini mengingatkan kita mengenai perlantikan panel khas untuk menyiasat insiden klip video V.K. Lingam pada 2007 sebelum Suruhanjaya Diraja akhirnya ditubuhkan. Dalam kes tersebut panel tiga orang sekadar telah melambatkan proses mendapatkan kebenaran kes. SUARAM beranggapan penubuhan Panel Khas di dalam kes Aminulrasyid hanya melengahkan proses penyisatan yang sepatutnya dijalankan oleh sebuah badan yang bebas dan berkuasa, seperti Suruhanjaya Diraja.

Bukan itu sahaja, kenyataan Abu Seman bahawa terdapat maklumat tidak konsisten di antara kenyataan saksi dan juga bukti kes turut membuka lebih ruang kepada pihak polis untuk terus mengganggu saksi-saksi penting kes ini. Setakat ini, saksi utama Azamuddin Omar telahpun dipanggil oleh polis sebanyak tiga kali dan saksi kedua Zafrullah Zainal Abidin sebanyak dua kali.

SUARAM memandang serius terhadap bilangan tinggi kes tembakan oleh pihak polis yang kian kerap didedahkan, dengan semakin ramai mangsa yang tampil untuk menuntut kebenaran dan keadilan. Kes-kes ini termasuklah Norizan Salleh dan yang terkini ialah dakwaan Siti Nasrinda Sumirin bahawa beliau ditembak oleh polis di Klang pada Ogos tahun lalu.

Kesemua kes ini, yang berlaku tanpa sebarang tindakan undang-undang dikenakan ke atas anggota polis yang bertanggungjawab, telah melahirkan persepsi umum bahawa pihak polis cenderung melepaskan tembakan sewenang-wenangnya di dalam mengendalikan tugas harian mereka. Menurut Menteri Dalam Negeri, seramai 183 orang telah ditembak mati oleh polis antara tahun 2007 hingga 2009. Secara purata, 5 orang mati akibat ditembak mati oleh polis setiap bulan. Ini adalah satu angka yang cukup membimbangkan dan tidak boleh diterima. SUARAM ingin menegaskan bahawa hak untuk hidup adalah hak asasi yang terjamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Malaysia. SUARAM juga menegaskan bahawa polis tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengambil nyawa seseorang sewenang-wenangnya.

SUARAM menyeru kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes kematian Amirulrasyid dan kes-kes penembakan polis yang lain. Suruhanjaya Diraja tersebut juga harus meneliti prinsip dan garis panduan penggunaan senjata api oleh polis yang sedia ada, agar selaras dengan prinsip hak asasi manusia. Prinsip dan garis panduan ini juga harus diumumkan untuk maklumat orang awam.

Sementara itu, SUARAM mendesak kerajaan segera mengambil tindakan melaksanakan kesemua 125 cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia khususnya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dapat memainkan peranan mendisiplinkan anggota polis.

Yap heng Lung

Penyelaras SUARAM

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)