Sunday, July 25, 2010
Wednesday, July 21, 2010
Lawatan ilmiah PASTI Gopeng ke Pulau Pinang
Saya diminta menjadi jurupandu perjalanan. rasanya tak banyak yang boleh dibantu kerana persiapan jawatankuasa telah lebih awal dilakukan.
Lawatan ini juga disertai oleh PASTI Kawadan Ipoh Timur. Terdapat juga beberapa pelajar sekolah rendah dan menengah graduan daripada PASTI Gopeng menyertai lawatan ini.
Lawatan bermula dengan persinggahan pertama di Muzium USM. Pihak Muzium USM mesra kanak-kanak menyebabkan saya memilih muzium ini untuk dilawati.
Destinasi kedua adalah Aquarium Batu Maung. Rezeki mereka semua kerana berjaya melihat gamat, landak laut, tapak sulaiman malahan penyu agar juga berjaya dilihat secara 'live' oleh para peserta.
Selepas itu para peserta di bawa beramah mesra dengan PAS Kaw Bayan Baru di Dewan JKK Permatang Damar Laut. Selepas makan dan solat jamak, peserta menjengah pula ke Taman Rama-rama dan setersunya ke Taman Rimba Rekreasi di Teluk Bahang.
Semoga lawatan sebegini dapat diteruskan ke negeri-negeri lain pula untuk tujuan ilmu, ziarah, ukhuwah dan tarbiah.
Muhammad Nuruddin Bashah AJK Lawatan Ilmiah PASTI Gopeng
Monday, July 12, 2010
Ustaz Zulkifli; diuji oleh ISA Malaysia dan ISA Mesir
Mohd Syamil Azhar |
LENGGONG, 12 Julai: Kerinduannya kepada keluarga serta rakyat di kawasan Parlimen yang pernah ditandinginya selepas selamat pulang ke tanahair Jumaat lalu, membuatkan Ustaz Muhammad Zulkifli Muhammad Zakaria, 41, yang hampir sebulan ditahan di Mesir, tidak sabar untuk berada di atas pentas. Kebetulan ada program ceramah anjuran PAS Kawasan Lenggong di Kampung Kota Tampan Air kelmarin (10 Julai), beliau turut bersama berada di atas pentas, bagaimanapun tidak dibenarkan berucap atas arahan pihak polis. Namun kerinduan penduduk terhadap beliau terubat dan perasaan lega orang ramai terbayang kerana beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak tidak ditahan berpanjangan di Mesir dan apabila pulang tidak dikenakan tindakan tahanan lanjut. Program ceramah itu membabitkan Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Haji Ahmad Idzam Ahmad, Exco Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria dengan kehadiran lebih 500 penduduk. Program sempena majlis akikah seekor lembu itu turut dimeriahkan dengan acara pertandingan membaca teks khutbah peringkat menengah yang berjaya dimenangi oleh adik Muhammad Muzammil Jamaluddin, di mana hadiah disampaikan oleh Razman. Sementara itu, ketika ditemui selepas program ceramah, Muhammad Zulkifli yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Ibrahim, berkata selama 25 hari berada dalam tahanan, beliau terpaksa menerima deraan seperti berdiri tiga hari tiga malam, sehari semalam dan dikenakan kejutan elektrik. Katanya, deraan itu sebagai denda kerana pihak berkenaan tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikannya selepas disoalsiasat, seperti mengenai sijil diploma yang terlupa dibawanya menyebabkan beliau tidak diterima untuk menduduki pengajian/peperiksaan peringkat sarjana. "Bila dia tanya tidak adakah orang yang boleh menghantar sijil itu, saya jawab tidak ada, dia tidak terima alasan itu, saya pun didenda berdiri sehari semalam, mula waktu asar sampai waktu asar keesokannya," katanya. Muhammad Zulkifli berkata, antara soalan-soalannya hanya mengenai tujuannya ke Mesir, di mana memang beliau ke sana untuk menyambung belajar ke peringkat sarjana dan tidak ada tujuan lain selain itu. Katanya, apabila dibebaskan dan sampai di Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pula, di mana beliau ditanya apa yang berlaku di Mesir yang mengakibatkan beliau ditahan. Beliau seterusnya melahirkan rasa kesyukurannya kerana dibebaskan tanpa terpaksa menjalani tahanan lanjut dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan supaya beliau dibebaskan segera. "Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat saya dan keluarga saya, termasuk yang sama-sama mendoakan supaya saya dibebaskan segera dan dapat pulang dengan selamat," katanya. |
Monday, July 05, 2010
UCAPAN YB SAARI SUNGIB USUL MANSUH ISA DI DUN SELANGOR
Tuan Speaker..Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim. Saya Hulu Kelang bangun untuk menyokong usul ini. Tuan Speaker, ISA adalah undang-undang dan akta yang sangat zalim. Kezaliman ISA adalah kerana ia merampas kebebasan secara tiba-tiba. Kebebasan seseorang dirampas, Anak dan isteri dipisahkan daripada suami dan bapa dan dengan tiba-tiba seseorang itu terpaksa hidup dalam keadaan menderita bahawa dia ditahan tanpa bicara.
Kezaliman ISA, Tuan Speaker adalah kerana ia membenarkan sebuah kerajaan dan instrumen kerajaan menahan rakyat tanpa bicara. Menghalang hak kebebasan untuk mempertahankan diri dan dibicarakan di mahkamah. Ketika mana saya ditahan di bawah ISA, orang seperti kami ini seperti tidak ada harga diri. Kami ditahan dengan tiba-tiba, dirampas daripada keluarga kami. Isteri saya masa itu berada di hospital kerana masalah kandungan dengan tiba-tiba terpisah daripada saya. Ada pula anak yang lahir kehilangan bapa, ada pula isteri yang sedang mengandung keguguran anak. Ini berlaku di bawah kezaliman undang-undang ISA.
Tuan Speaker, apabila seseorang ditahan di bawah ISA tiba-tiba dibawa ke satu tempat yang apabila dia sampai di tempat itu dia terkejut bahawa masih wujudnya tempat ini di Malaysia negara tercinta. Ketika pertama kali saya ditahan di bawah ISA ketika itu umur saya 41 tahun. Saya terkejut Malaysia yang saya cintai, saya sayangi, saya sanjungi mempunyai tempat menyeksa, mendera, mengaibkan, menghina seorang rakyat Malaysia. Saya seolah-olah tiada harga diri. Pakaian saya dicabut, saya cuba dibogelkan. Saya digari, mata saya ditutup, saya diletakkan di satu tempat yang sangat kotor dan jijik, tempat yang hancing dan hanyir dengan tujuan tidak lain tidak bukan hanya untuk menghina dan mematahkan semangat saya.
Kemudian saya dibawa dan ditahan di bawah satu tempat yang tidak saya ketahui di mana dan saya terkejut saya berhadapan dengan manusia-manusia yang tidak saya sangka. Kalau Melayu bernama Islam menengking, mengherdik, mengancam, mengugut, menakut-nakutkan saya untuk membogel-bogelkan saya, bahkan saya beberapa kali dengan maaf saya diancam untuk dibogelkan untuk dicucuk, dirodok dubur saya dengan alat kayu. Sedangkan pada masa itu saya seorang Presiden sebuah NGO yang dianggap terhormat yang mempunyai anggota-anggota di kalangan intelektual. Tetapi apabila saya ditahan kononnya di atas sebab mengancam keselamatan negara, memudaratkan keselamatan negara instrumen aparatus kerajaan (dengan izin) seolah-olah mempunyai hak sepenuhnya melakukan apa yang mereka suka terhadap kita dan orang yang ditahan ISA tuan-tuan.
Tuan-tuan Yang Berhormat, Kita seolah-olah terkejut bahawa negara yang kita cintai ini ada sekumpulan orang Islam kalau Islam, ada sekumpulan orang India kalau India, ada sekumpulan orang Cina kalau Cina yang mempunyai akhlak dan perangai yang sangat buas.
Seolah-olah apa yang dinyatakan oleh seorang bekas tahanan, Dr. Syed Husin Ali, mereka ini dua wajah. Di depan kita mungkin dia saudara kita, sahabat kita, sahabat handai kita, anak saudara kita, abang kita, tetapi di bilik kurungan ISA mereka adalah manusia yang sungguh buas. Mereka sanggup melakukan segala-galanya. Mereka sanggup memukul, menerajang, menendang hingga ada ditelanjangkan, ditonggengkan, dipaksa untuk meminum air kencing dan kemudian dijolok duburnya dengan kabel telefon. Ada juga dijolok duburnya (dengan maaf) saya terpaksa menggunakan istilah ini dalam Dewan yang mulia ini agar kita dapat merakamkan betapa zalimnya undang-undang ini yang melahirkan manusia-manusia yang cukup rakus.
Tuan-tuan Yang Berhormat yang dimuliakan, ISA adalah undang-undang yang hanya digunakan untuk kepentingan melindungi kuasa dan kepentingan politik UMNO-Barisan Nasional. ISA pada asalnya dikuatkuasakan pada tahun 1948 sebagai undang-undang Darurat yang pelaksanaannya dikuatkuasakan oleh penjajah British serentak di Malaya dan di Palestin. Pada tahun yang sama 1948, kalau di Malaya dengan tujuan untuk memastikan pejuang-pejuang kemerdekaan tulen tidak menuntut dan mendapatkan kemerdekaan. Kalau di bumi Palestin, untuk memastikan bumi Palestin tidak mendapat kemerdekaan tulen daripada pejuang-pejuang yang hendak kemerdekaan yang tulen. Selepas berlakunya Undang-Undang Darurat itulah maka pemerintah British memberi ruang seluas-luasnya kepada pakatan politik Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MIC dan MCA untuk bertapak. Hingga dirundingkan satu bentuk kemerdekaan pada tahun 1957.
Tuan-tuan di Dewan yang mulia ini, Saya ingin menarik perhatian kalau kita kaji dalam sejarah kemerdekaan dan pejuang kemerdekaan tidak mungkin kita dapati mana-mana negara yang mendapat kemerdekaannya dalam tempoh darurat. Oleh kerana itu saya yakin bahawa darurat diwujudkan untuk memastikan bahawa kemerdekaan negara ini hanya diserahkan kepada sebuah parti yang (dengan izin) friendly dengan penjajah. Itu sebabnya Pilihan raya pertama diadakan pada tahun 1959 dalam keadaan darurat untuk memastikan Perikatan boleh bergerak sebebas-bebasnya dalam rapat-rapat umum dan ceramah-ceramah terbuka sedangkan pakatan parti pembangkang pada masa itu tidak dapat bergerak.
Walau bagaimanapun oleh kerana desakan antarabangsa, tuntutan rakyat pada masa itu sedar tentang kebebasan dan hak asasi mereka, menuntut sekiranya kalau Perikatan menang dalam Pilihan raya 1959 agar ditamatkan darurat. Maka selepas Perikatan memenangi Pilihan raya 1959 walaupun gagal menawan Kelantan dan Terengganu mereka telah terpaksa memenuhi janji politik Pilihan raya dengan menamatkan darurat pada 30 Julai 1960. Tetapi hanya selepas 24 jam, diluluskan di Dewan Rakyat sebuah Akta pada 1 Ogos 1960 yang bernama Akta Keselamatan Dalam Negeri, iaitu ISA.
Jadi tuan-tuan Yang Berhormat, kalau kita meneliti sejarah ini kita faham bahawa UMNO-Barisan Nasional tidak akan wujud kalau tidak diberikan subsidi atau tongkat penahanan tanpa bicara. Dan tidak mungkin hingga tahun ini kalau tidak ada undang-undang zalim ISA yang membenarkan kerajaan menahan rakyat tanpa bicara, UMNO dan Perikatan dan juga Barisan Nasional boleh bertahan.
Inilah keyakinan saya bahawa Hulu Kelang menegaskan dan kajian-kajian yang telah saya buat khususnya di dalam tahanan Kem Kamunting, saya berkeyakinan bahawa ISA tidak lain tidak bukan adalah sebuah undang-undang yang hanya digunakan untuk melindungi, mempertahankan, memperkukuhkan dengan menakut-nakutkan rakyat dengan kekuasaan yang digunakan oleh UMNO dan Barisan Nasional.
Dengan itu tuan-tuan Yang Berhormat, Tuan Speaker, saya ingin menyatakan bahawa kezaliman ISA adalah kerana ia membenarkan rakyat ditakut-takutkan oleh pemerintah, rakyat dicabut hak kebebasannya dan rakyat akan sentiasa merasa gerun, sekiranya undang-undang ini ada dan selagi mana undang-undang ini wujud maka selagi itulah demokrasi yang tulen, kebebasan yang tulen, hak asasi sebenarnya yang dimiliki oleh rakyat tidak akan dapat diwujudkan.
Dan saya ingin membezakan Tuan Speaker, bahawa kezaliman ISA adalah kerana satu undang-undang yang sangat pelik. Undang-undang ISA ini terkandung 85 seksyen dan di kalangan bahagian terhujungnya adalah miscellaneous ataupun pelbagai dan dalam seksyen pelbagai inilah terdapatnya Seksyen 73. Seksyen 73 inilah yang sangat-sangat kerap digunakan, iaitu memberi kuasa yang penuh kepada pihak polis menahan seseorang itu untuk siasatan lanjut sehingga 60 hari, dan di bawah Seksyen 8 membenarkan Menteri Dalam Negeri menahan sekiranya dia berpuas hati seseorang itu telah memudaratkan keselamatan dalam negeri bagi tempoh dua tahun yang boleh disambung.
Mana lagi terdapat undang-undang begini di dunia ini Tuan-tuan Yang Berhormat? Satu, Singapura ada persamaan. Satu lagi, Brunei ada persamaan. Tetapi kalau kita mengatakan rejim yang bengis, maka undang-undang ini wujud dalam Zionis rejim Israel. Tapi kita perhatikan tuan-tuan Yang Berhormat dalam Military Order 1500, Military Order 1500 menegaskan bahawa pihak keselamatan Israel boleh menahan seseorang tanpa bicara bagi tempoh 8 hari, dan sekiranya hendak disambung maka tahanan itu hendaklah dihadapkan ke mahkamah tentera dan mahkamah tentera kalau berpuas hati bolehlah tahanan itu ditahan bagi tempoh 6 bulan lagi.
Bandingkan Military Order 1500 dengan ISA, ISA membenarkan pihak polis menahan 60 hari sedangkan rejim Zionis yang zalim dan bengis itu menahan hanya 8 hari. Ini bermakna bahawa pihak keselamatan diberi kuasa oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional untuk menzalimi lebih zalim hampir-hampir 8 kali daripada kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis. Hampir-hampir 8 kali, kita boleh menahan 60 hari sedangkan Zionis hanya menahan 8 hari. Dan begitu juga kalau kita bandingkan kuasa tribunal tentera yang boleh menahan hanya 6 bulan walaupun memang zalim, boleh disambung tetapi Menteri Dalam Negeri boleh membuat satu perintah tahanan sekali gus selama 2 tahun. Jadi 4 kali lebih zalim daripada apa yang diamalkan oleh rejim Zionis.
Tuan-tuan Yang Berhormat, Tuan Speaker yang saya muliakan.
Oleh kerana itu, saya amat menyeru dan menyokong agar usul ini diterima dan sekiranya usul ini diterima, ini menunjukkan satu kejayaan kerana saya adalah mangsa tahanan ISA dua kali di atas nama Reformasi dan di atas dasar itulah wujudnya pakatan yang dinamakan pergerakan Sosial Rakyat Malaysia ataupun GERAK, Daripada GERAK wujudnya BA kita masuk Pilihan raya pada tahun 1999 membuat satu kejutan besar dalam politik negara. Kemudian sekali lagi kebangkitan Reformasi 2001 saya ditahan sekali lagi dan kali ini Gerakan Mansuhkan ISA atau GMI diwujudkan, sekali lagi sebagaimana GERAK dan GMI dia mengukuhkan pakatan BA yang berkesudahan dengan sepanjang 10 tahun perjuangan kita, kita menang dalam Pilihan raya 2008 dan akhirnya berjaya membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat.
Apa yang ingin saya tegaskan bahawa selama ini kita wujud dan bangkit dalam front-front dalam wajah-wajah NGO, gabungan NGO dan kali ini sekiranya Dewan yang mulia ini, menyokong usul ini, maka inilah buat pertama kali sebuah kerajaan negeri memberi sokongan untuk memansuhkan ISA, membebaskan tahanan ISA dan bersama-sama dengan Gerakan Mansuhkan ISA menentang kezaliman ISA. Terima kasih Tuan Speaker.
Usul Mansuhkan ISA di DUN Selangor pada 26 Mei 2008
Ucapan Dr. Mohd Nasir Hashim
GMI adalah Gerakan Mansuhkan ISA. Menteri Besar Selangor telah pun menerima memorandum dari GMI dan kami berasa bangga seorang MB sanggup menerima memo dan memberi ketegasan untuk membantu keluarga tahanan ISA. Satu tindakan yang bagus bagi Kerajaan Negeri.
Saya adalah mangsa ISA Operasi Lalang 1987. Maka, setiap kali sesiapa kena tahan di bawah ISA, saya akan terasa bahangnya kerana pengalaman saya ditahan. Semasa saya ditahan saya adalah seorang intelektual Islam tapi masuk parti sosialis, maka saya telah menerima berbagai-bagai tekanan yang
Tuan Speaker, ISA adalah undang-undang kejam draconian law. Rakyat ditahan tanpa dibicara, tanpa bukti, tanpa disiasat, disumbat begitu saja. Semasa kami ditahan ada kawan-kawan yang ditahan 12 hingga 16 tahun begitu saja dan tidak dibawa untuk dikaji semula kedudukan mereka.
ISA juga memperlekehkan perlembagaan seolah-olah ‘With ISA, we don’t need a constitution’. Perlembagaan menjadi sumbang, sumbing dan songsang akibat adanya ISA. Memang ada undang-undang yang lain yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini tetapi pemerintah enggan kerana semua undang-undang lain terpaksa dibicarakan di mahkamah.
ISA dikekalkan oleh pemerintah kerana takut pada bayang-bayang sendiri. Mereka gunakan ISA untuk menutup mulut musuh-musuh mereka dan juga untuk menimbulkan satu ‘ketegangan’. Dengan ISA mereka mahu menguasai keadaan dengan memanipulasikan media sehingga menimbulkan satu keadaan seige mentality seolah-olah kita diserang dari dalam dan luar. Dengan itu mereka boleh menggunakan apa sahaja untuk membendung kononnya ‘ketegangan’ itu. Pilihan raya baru-baru ini mendedahkan bahawa Barisan Nasional telah lumpuh.
ISA digunakan atas alasan keselamatan. Keselamatan siapa? Keselamatan Barisan Nasional atau apa? ISA juga adalah undang-undang pencegahan. Pencegahan untuk siapa? Itu juga kita pertikaikan.
Usul Mansuhkan ISA di DUN Selangor pada 26 Mei 2008
ISA adalah undang-undang yang menahan seseorang di bawah Seksyen 73, di mana tahanan akan ditahan di bawah pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 60 hari sebelum ditentukan sama ada beliau perlu dan terus wajar terus ditahan di Kamunting atau tidak. Tetapi terdapat kes di mana penahanan dibuat di bawah Seksyen 8 dan terus dihantar ke Kamunting untuk selama 2 tahun di bawah arahan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tanpa melalui siasatan polis. Ini berlaku buat pertama kali terhadap 5 orang aktivis Hindraf yang ditahan pada Disember 2007. Ini juga merupakan kali pertama Seksyen 8 digunakan untuk menahan individu di bawah akta ISA.
Saya berpendapat bahawa penahanan kelima-lima orang aktivis Hindraf serta aktivis sosial dan semua penahanan yang lain di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri tanpa perbicaraan bukan sahaja tidak adil malahan tidak munasabah sama sekali. Dalam kes di DUN Selangor di mana seorang wakil rakyat telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan berkesan kerana terus ditahan di bawah ISA.
Mengapa ISA patut dikritik dan semua tahanan ISA perlu dibebaskan tanpa syarat dengan segera.
1.Yang Berhormat Kota Alam Shah telah menang dengan undi majoriti 7,184 yang besar dalam pilihanraya yang lepas walaupun beliau masih ditahan di Kamunting di bawah ISA dan tidak muncul untuk berkempen. Kejayaan besar ini bukan sahaja merupakan kejayaan besar untuk DAP dan beliau sendiri malahan ia cukup menjadi tamparan hebat kepada Kerajaan Pusat bahawa ia tidak boleh terus menahan mereka yang tidak bersalah tanpa perbicaraan melalui ISA.
Yang Berhormat Kota Alam Shah ditahan kerana penglibatannya dalam aktiviti Hindraf. Sebenarnya apa yang dilakukannya selama ini adalah untuk memperjuangkan hak asasi golongan masyarakat India yang tertindas dan terpinggir dan ianya tidak mengancam keselamatan negara ini. Oleh itu, beliau harus dilepaskan serta merta tanpa syarata agar beliau dapat mengangkat sumpah sebagai ADUN dan juga menjalankan tugasnya dengan sempurna sebagai Wakil Rakyat.
Dalam sejarah Malaysia, terdapat 2 orang tahanan yang juga pernah mengambil bahagian dalam pilihan raya umum semasa ditahan dan berjaya memenanginya dengan majoriti yang lebih besar. Kedua-dua orang ini kebetulannya juga merupakan bekas Ahli Parlimen DAP iaitu Encik Chang Heng Kai dan mendiang Chang Kok Kit. Kedua-dua mereka ditahan di bawah ISA pada pertengahan 1970an atas tuduahan menyokong sentimen Komunis. Biarpun begitu kedua-dua mereka masih bertanding dam pilihan raya umum tahun 1978 dan mereka juga menang dengan majoriti yang besar. Dalam konteks ini saya juga menyarankan supaya yang Berhormat Kota Alam Shah dibebaskan dari penahanaan ISA. Beliau tidak boleh ditahan secara berpanjangan kerana ini menidakkan hak rakyat Kota Alam Shah agar suara mereka dapat disampaikan dengan efektif di Dewan yang mulia ini. Dan sehingga hari ini, Dewan yang mulia ini belum lagi mendengar suara hati daripada Wakil Rakyat Kota Alam Shah. Penahanannya tidak sah dan beliau perlu dibebaskan segera.
2. Alasan Kerajaan Pusat menahan Yang Berhormat Kota Alam Shah dan aktivis-aktivis Hindraf yang lain adalah terlalu lemah. Yang Berhormat Kota Alam Shah dan aktivis-aktivis Hindraf selama ini terlibat dalam pelbagai aktiviti yang sah untuk memperjuangkan hak masyarakat India yang tertindas dan dipinggirkan. Mereka memperjuangkan isu penyingkiran masyarakat kaum India yang diabaikan oleh Kerajaan Barisan Nasional selama ini. Hakikatnya kita telah melihat sekurang-kurangnya 30,000 orang menyertai tunjuk perasaan yang berlangsung di ibu kota pada 25 November 2007 yang lalu. Tunjuk perasan ini disertai oleh rakan-rakan berketurunan India kita dari seluruh pelosok negara telah membuktikan perjuangan mereka berasas. Malahan Naib Ketua Pemuda Gerakan S. Balan Jothi dalam artikelnya yang bertajuk dengan izin Discrimination from womb to tomb menyatakan bahawa 30 ribu warga negara berketurunan India yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan tersebut adalah kerana mereka telah lama dipinggirkan, ditindas dan tidak dipedulikan.
Rakyat India juga merupakan golongan yang tertindas dalam struktur ekonomi Malaysia seperti terbukti dalam beberapa petunjuk termasuk dalam kemasukan universiti. Mereka dilayan seolah-olah mereka merupakan warga kelas keempat. Di Pusat Penahanan Simpang Renggam yang menempatkan kira-kira 1,600 orang tahanan, yang mana lebih dari 1,000 daripada mereka terlibat dalam aktiviti penyalah gunaan dadah, manakala 574 ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah. Dari sejumlah ini, 48% daripada tahanan adalah merupakan orang India. Kami ingin bertanya mengapa rakyat India yang hanya terdiri daripada 8% daripada jumlah penduduk rakyat Malaysia boleh menyumbang 48% daripada tahanan-tahanan di Pusat Tahanan Simpang Renggam? Ini sekali gus menunjukkan bagaimana runcingnya masalah sosial yang dihadapi oleh golongan yang tertindas ini.
3. ISA mencabul hak asasi manusia. ISA merupakan punca segala bentuk undang-undang penindasan di negara ini. Malahan ia lebih berbisa jika ia dibandingkan dengan undang-undang saring yang lain seperti OSA, APPP, Akta Polis dan Akta Hasutan. Untuk itu ISA sepatutnya dimansuhkan kerana ianya sudah tidak sepadan dengan hak asasi manusia. ISA juga telah disalahgunakan sebagai instrumen oleh golongan pemerintah untuk menekan suara pembangkang dan masyarakat madani untuk kepentingan politik mereka untuk zaman-zaman yang lalu sehingga kini kerana Kerajaan Pusat masih lagi di bawah BN.
Dalam kebanyakan kes ISA ianya telah digunakan oleh polis untuk menahan mereka yang disyaki menggugat kedudukan pemerintah biar pun pihak pemerintah masih tidak ada apa-apa bukti yang kukuh.
Sebenarnya terdapat banyak judul tulisan yang dihasilkan berkaitan dengan ISA. Antara yang terkenal tak lain tak bukan buku berjudul dengan izin ’Freedom Under Negative Powers In Malaysia’ yang ditulis sendiri oleh Menteri Luar Negeri sekarang Datuk Seri Utama Rais Yatim yang juga merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari tahun 1976 hingg 1978. Beliau dalam buku itu menyifatkan bagaimana Menteri Dalam Negeri telah menandatangani arahan penahanan ISA secara automatik dengan hanya bergantung kepada cadangan dan nasihat polis tanpa menggunakan tanggungjawab sebagai menteri untuk mengesahkan sama ada perlu atau tidak beliau menahan seseorang di bawah akta zalim ini. Saya ingin memetik tulisan beliau dengan izin ‘The Day A Clear Violations of Human Rights By In looking ISA and Other Trocorom Legislation Is An Under Statement, The misery that this executive laws has brought upon individuals have left a very clear message. That there is a state of confusion in the rear excepted meaning of this foolish which is termated in the ISA as well as in the article 149 and 150 of the constitution is systematically left to the descrition of the executive’ Muka surat 293 hingga 294.
Ahli Yang Berhormat dari Hulu Kelang juga pernah menulis 8 Siri buku yang berjudul ‘Suara Dari Kamunting’ semasa beliau ditahan di bawah ISA pada tahun 2001. Ahli Yang Berhormat dari Kota Damansara di Dewan yang mulia ini juga merupakan salah seorang mangsa ISA di bawah Operasi Lalang 1987. Terdapat banyak cerita-cerita negatif tentang penyalahgunaan ISA.
ISA juga bertentangan dengan ajaran agama misalnya ia bercanggah dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan seperti yang diterangkan dalam Al-Qur’an iaitu ayat 58, Surah An –Nisa’ ayat 15 Surah Asy-Syura dan ayat 90 Surah An-Nahl. Apa yang jelas, penahanan seseorang tanpa perbicaraan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang boleh dikutuk dan dikritik sekeras-kerasnya kerana khususnya dalam kes ini di mana kita lihat seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat telah ditidakkan haknya dan kebebasannya untuk menjalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat. Lebih-lebih lagi seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan Gerakan Mansuhan ISA GMI pada hari ini.Saya maklumkan bahawa terdapat 16 keluarga mangsa ISA adalah penduduk di Selangor. Dengan itu, Tuan Speaker, saya memohon supaya usul ini dipersetujui. Sekian , terima kasih.
Gendang Perkauman dan ISA; dua tarian lapuk Barisan Nasional
Gendang Perkauman dan ISA; dua tarian lapuk Barisan Nasional
Agenda perkauman adalah agenda yang menjadi ‘remedi’ atau preskripsi ubat oleh British untuk meredakan ketegangan kaum sebelum mereka meninggalkan bumi yang telah gagal mereka kuasai lagi. Untuk menolak obligasi mendukung kaum Cina dan India yang telah di bawa ke Tanah melayu, menghasilkan tindakan penjajah untuk terus memisahkan hubungan sesama kaum melalui politik, sekolah pemikiran dan gaya hidup perkauman chauvinis yang cukup teruk.
Rakyat malaysia yang berakal kian muak melihat pertelingkahan antara PERKASA yang mendabik dada mampu bersuara tanpa mengira sensitiviti kaum lain (atas alasan mereka NGO Melayu) serta MCA yang merupakan parti perkauman Cina yang kian retak menanti belah.
Lebih dahsyat, mereka masih menyimpan fahaman ala israel yang cukup zalim iaitu ingin menyelesaikan perteingkahan mereka menggunakan ISA untuk menangkap sesama mereka (yang berasal daripada kelompok sekolah pemikiran perkauman BN)
Kini Timbalan setiausaha Pemuda MCA Low Chew Jun, Ketua Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nam, akhbar Sin Chew Daily dan China Press telah enggan tunduk kepada desakan NGO Melayu tersebut dan tetap mempertahankan kenyataan mereka bahawa perjuangan PERKASA bertentangan dengan gagasan 1Malaysia. Bukan sahaja PERKASA<>
Lantaran telah beku idea untuk menyerang sesama mereka, Pemuda MCA Wilayah Persekutuan dan Selangor pula mendesak Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali disiasat mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa bersifat perkauman.
Ketua Pemuda MCA Selangor, Dr Kow Cheong Wei berkata, gesaan itu disuarakan berikutan tindakan Perkasa menerbitkan artikel yang menyentuh sensitiviti perkauman dalam edisi sulung Suara Perkasa dalam rencana bertajuk ‘Tahan Ka Siong di bawah ISA’.
Artikel di dalam akhbar berkenaan melalui kenyataan Timbalan Perkasa, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar, mendesak Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, segera memohon maaf selepas mendakwa Ka Siong mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Bagaimanapun, Ka Siong menafikan dakwaan itu.
Semakin BN membuang bebrbilion wang untuk meminta nasihat yahudi, yang jelas nasihat yang sebenarnya diberikan APCO mungkin adalah menyelesaikan setiap perbalahan melalui gendang tarian perkauman.
Pakatan rakyat kian meninggalkan medan politik sebegini malah usaha PR perlu ditumpukan untuk terus memahamkan rakyat betapa agenda pekauman adalah agenda ortodoks, primitif dan sangat jahil untuk dianuti oleh rakyat negara yang kian maju ini.
Masyarakat yang maju juga celik undang-undang serta pasti akan menolak akta ISA yang cukup zalim. Akta yang menghendaki tahanan ditahan tanpa sebarang hak perundangan adalah juga akta tinggalan penjajah dan amalan Israel sehingga kini. Rakyat yang sedar akan faham, isu perkuaman dan sikap menyelesai masalah melalui ISA hanyalah nasihat mujarab daripada APCO dengan bayaran yang cukup mahal.
Muhammad Nuruddin Bashah