Saturday, September 03, 2011

PROJEK PELABURAN GAS: KENAPA BN PERLU BOHONG?

Kenyataan Media (16 Ogos 2011)

PROJEK PELABURAN GAS: KENAPA BN PERLU BOHONG?

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak melihat Kerajaan Negeri rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) gagal memberikan penjelasan manasabah terhadap isu projek pelaburan gas di Manjung yang dianugerahkan kepada Syarikat Atigas Technology yang tidak jelas kedudukannya setelah didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pantai Remis, Nga Kor Ming di Sidang DUN Perak semalam. Sepertimana kebiasaan BN, teks alasan ‘kepentingan rakyat’ telah sekali lagi dijadikan lesen mereka bagi menutup sebarang kelemahan dan pembohongan dengan tujuan mengaut keuntungan dan kepentingan pihak tertentu.

Beberapa persolan yang tidak dijawab secara jujur oleh Datuk Hamidah Osman di dalam Sidang DUN Perak semalam, jelas menunjukkan keraguan terhadap projek yang bernilai RM5.8 bilion tersebut. Ini kerana melalui carian syarikat tersebut menunjukkan ianya tidak aktif dalam pengkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiada rekod urusan perniagaan dan keuntungan syarikat dan hanya mempunyai modal awal sebanyak kurang daripada RM100. Namun setelah didedahkan isu syarikat tersebut, tiba-tiba syarikat tersebut dilaporkan mempunyai modal berbayar sebanyak RM5 Juta.

Keputusan Kerajaan BN ini amat mendukacitakan rakyat dan membuktikan bahawa BN masih tidak berubah dalam memperjudikan nasib dan wang rakyat demi kepentingan mereka. Adalah tidak masuk akal projek bernilai RM5.8 bilion itu diserahkan kepada syarikat yang bukan hanya tiada pengalaman di dalam mengendalikan urusniaga mega bahkan amat diragui akan latar belakangnya kerana tiada maklumat yang jelas mengenai syarikat tersebut. Malah terdapat juga keraguan berikutan kelulusan tanah seluas 60 hektar kepada syarikat tersebut kerana ternyata hanya selepas kelulusan itu syarikat tersebut terus dilaporkan mempunyai modal berbayar yang amat tinggi.

Persoalan yang timbul kini, kenapa projek besar tersebut tidak dibuat secara tender terbuka bagi menunjukkan ketelusan Kerajaan Negeri Perak di bawah BN. Siapakah dibelakang tadbir Syarikat Atigas Technology yang dipertahankan oleh Datuk Hamidah? Banyak persoalan yang tidak terjawab di dalam pemberian projek besar ini yang tentunya akan membawa kepada keraguan dan pertikaian rakyat terhadap ketelusan projek ini dan kewibawaan BN di dalam membuat keputusan tepat demi kepentingan rakyat Perak. Malah isu ini secara umumnya menggugat kredibiliti setiap pemberian dan kelulusan projek besar yang dibimbangi mempunyai agenda tersembunyi BN.

Oleh yang demikian, kami mencabar BN agar bersikap adil dan telus di dalam menguruskan ‘wang rakyat’ dan bukannya untuk kepentingan kroni-kroni tertentu sahaja. BN perlu jujur di dalam menjalankan tanggungjawab serta amanah rakyat!

AHMAD NURI AL-AMIN

Ketua Penerangan,

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)