Tuesday, October 07, 2008

Mahukah daging korban anda ditinkan?

Semalam saya berkunjung ke sebuah rumah kakitangan sekolah (tempat saya bekerja) untuk menziarahi keluarganya sempena hari raya. Walaupun kami berdua tinggal di kawasan yang sama-Balik Pulau, saya hanya pergi ke rumahnya sekali sekala dan tidak pernah berkesempatan melihat sendiri ke dalam rumahnya.

Beliau adalah antara keluarga yang layak menerima zakat tetapi terpinggir dari senarai penerima bantuan kebajikan masyarakat. Buktinya, beliau belum pernah menerima sebarang bantuan walaupun berhadapan dengan kesempitan hidup dan perbelanjaan harian. Gaji yang sekadar RM 700 ++ tidak cukup untuk menampung belanja makan dan pendidikan 6 orang anak. Ketiadaan kenderaan yang sempurna juga menyukarkan sedikit urusan perjalanannya yang perlu berulang alik ke Teluk Kumbar saban hari.

Saya mengambil keputusan untuk menyalurkan bantuan bulanan iaitu beras dan milo (2 makanan ruji keluarga dia katanya). Mungkin wang ringgit yang sekadar RM 50 – RM 100 tidak akan bermakna bagi sesetengah orang. Tetapi bagi keluarga ini, jika ia ditukar kepada beras dan barang dapur, ia bagaikan nyawa buat mereka.

Tentang misi kebajikan juga, saya ada berjumpa dengan Ketua Unit Amal Balik Pulau iaitu saudara Roslan Mat Atan untuk membincangkan hubungan kerjasama antara Unit Amal dengan Muslim Aid di Kuala Lumpur. Kami di sini berminat untuk membuat kerjasama untuk mengedarkan daging korban dalam tin yang diagihkan oleh Muslim Aid di Balik Pulau bersama-sama bahan bantuan lain dari kami seperti beras dan barang dapur.

Tegasnya, Muslim Aid memerlukan pengorban iaitu individu yang berkemampuan serta suka menginfaq harta di jalan Allah. Korban yang disalurkan melalui Muslim Aid berlainan sekali. Dengan hanya bayaran RM 350, kita akan diberi seekor kambing atau bahagian lembu. Korban ini akan dilaksanakan melalui amanah kita kepada Muslim Aid dan kos bayaran tadi akan digunakan untuk menyembelih, memasak daging dan ditinkan. Tin tersebut tahan selama 2-3 tahun dan mampu diagih juga ke luar negara untuk misi perang dan kebajikan antarabangsa.

Saya terfikir, betapa nutrisi dan zat makanan amat penting untuk kehidupan, bukan sekadar nasi dan tepung sebagai penyambung nyawa. Alangkah mulianya jika kita mampu berikan zat dan vitamin dari setin daging korban kepada sebuah keluarga yang kurang mampu.

Di KL dulu saya tertarik dengan cara 'Food Not Bomb' mengedarkan makanan vegeterian kepada pengemis dan orang yang lapar. Mereka memilih sayur kerana sesuai untuk semua agama dan kaum. Diharapkan dengan sumbangan sayur yang pelbagai, sekali dalam seminggu ini, mereka mendapat antibodi yang cukup untuk meneruskan hidup bagi minggu yang seterusnya.

Saya berharap dan menyeru agar lebih ramai menjalankan ibadat korban melalui Muslim Aid. Anda boleh menghubungi saya di 017-6291368 ( jihadin82@yahoo.com) atau Muhammad ( 012 3377195) muhammad@muslimaidasia.com. Daging yang ditinkan boleh disalurkan sepanjang tahun berbanding pengedaran daging mentah yang terhad dalam masa yang singkat.

Melalui kerjasama dengan Unit Amal, daging korban tersebut akan tepat sampai ke sasaran, Insya Allah. Mereka benar-benar bekerja untuk Allah. Buatlah keputusan yang bijak.

Muhammad Nuruddin Bashah
Anggota Unit Amal Balik Pulau
Aktivis Muslim Aid

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)