Tuesday, March 31, 2009

Kempen di Bukit Gantang- Isu bahasa

Saya kini dalam proses menukar tapak kerja dalam PAS dari kawasan Balik Pulau ke kawasan Gopeng, Perak. Alhamdulillah, saya telah dapat menghubungi petugas Parti di sana. Individu harakah perlu melaporkan diri di mana dia berada agar kesinambungan kerja (amal mutawasil) boleh berlaku. Sempena pilihanraya kecil Bukit Gantang ini, saya diserapkan dalam jentera Penggerak Pilihanraya Kelab Penyokong PAS Perak berpusat di Kampung Boyan. Lebih menarik apabila Kelab Penyokong PAS menaungi NGO-NGO di Perak yang bersama bekerja keras untuk mengembalikan kuasa rakyat dan keadilan di bumi Perak. Markaz ini adalah markaz NGO-NGO Perak, Jamaiy Perak serta menjadi pusat gerak kerja golongan non muslim yang bersama kami, berkempen siang dan malam di Bukit Gantang kelak.

Semalam saya sempat bermesyuarat di Pejabat PKR Bahagian Tambun bersama golongan non muslim. Mereka sedia bekerjasama dengan Kelab Penyokong PAS demi memenangkan YB Ir Nizar yang mereka kasihi.

Saya juga kini menjadi penyelaras Program Kempen Cintai Bahasa dengan kerjasama Jamaiy Perak dan Gabungan Mansuh PPSMI (GMP). Alhamdulillah, saya telah berjaya menghubungi Prof Shahrir, Prof Abdullah Hassan, Cikgu Azmi dan Ustaz Azahan (Juara Akademi Nasyid) untuk konsert Cintai Bahasa.

Program ini bakal berlangsung satu hari pada 4 April nanti. Program ini bermula sekitar pukul 2 petang iaitu menjelajah kampung ke kampung untuk menjelaskan isu PPSMI dan penataran hak bahasa Melayu. Pada pukul 5 petang pula di adakan jamuan Hi-Tea bersama pemimpin gerakan GMP, pencinta bahasa dan rakyat Bukit Gantang. Pada sebelah malam pula akan diadakan ceramah masjid ke masjid untuk menjelaskan lagi isu bahasa melayu ini. Pada pukul 9 malam akan diadakan konsert Cintai Bahasa yang disusun bersama Seniman Paksi. Insya Allah, Saudara Dinsman serta beberapa artis akan berada di Bukit Gantang.

Insya Allah kempen kali ini akan lebih bermakna di samping terus membawa isu PPSMI di peringkat massa dan peringkat akar umbi. Tanpa sokongan massa, isu bahasa ini akan dimanipulasi oleh pemerintah hingga membutakan rakyat. Isu ini bukan isu intelektual sahaja, tetapi isu rakyat.

Kali ini saya terpaksa menolak perlawaan JIM Ipoh untuk bertugas dalam Mafrel kerana perlu memberi tumpuan kerja dalam siri kempen ini. Insya Allah akan datang saya akan berada dalam Mafrel untuk belajar teknik pemantauan pilihanraya.

Muhammad Nuruddin Bashah
Ipoh Perak

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)