Wednesday, June 10, 2009

Memorandum Perjuangan Ulama’ dan Intelektual menentang PPSMI kepada Majlis Raja-raja Melayu




Memorandum Perjuangan Ulama’ dan Intelektual menentang PPSMI kepada Majlis Raja-raja Melayu




Hari ini 10 Jun 2009 berlangsung suatu agenda besar bagi rakyat Malaysia, apabila kelompok Ulama’ dan pendakwah agama turut bersama menderap langkah untuk menyerahkan Memorandum Ulama’ Menentang PPSMI kepada Penyimpan Mohor-mohor Besar Raja-Raja Melayu Tan Sri Datuk Seri Engku Ibrahim Engku Ngah . Memorandum bertajuk Muafakat Ulama’ Mansuhkan PPSMI ini diserah melalui rombongan ulama’ dan ahli akademik bahasa yang diketuai oleh Yang Berbahagia Al Fadhil Ustaz Abdul Ghani Shansuddin Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA). Sebenarnya program bermakna ini adalah kesinambungan dan rentetan daripada program sebulan yang lalu iaitu Deklarasi Ulama’ Menentang PPSMI yang diadakan di Surau Taman Meru 2B (An Nuriah) pada 10 Mei 2009.

Penyerahan tersebut berjalan dengan lancar tepat pada pukul 11.15 pagi selepas penyerahan diterima oleh Tan Sri Datuk Seri Engku Ibrahim Engku Ngah di Pejabat Penyimpan Mohor-Mohor Besar Raja-Raja Melayu. Sebelumnya rombongan ini berkumpul di Koperasi Buku Dewan Bahasa Dan Pustaka pada pukul 10.30 pagi.

Pembentangan awal dilakukan oleh Pengerusi SHURA sendiri iaitu Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dengan kata awalnya adalah penegasan bahawa Ulama’ adalah antara kelompok yang turut memandang penting dan kritikal terhadap isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan hari ini. Malah penegasan beliau adalah bertepatan dengan aspirasi awal memorandum ini iaitu Bahasa Melayu mendokong entiti, identiti serta norma agama Islam itu sendiri. Haji Azmi Abdul Hamid turut berucap untuk menerangkan perjalanan perjuangan SHURA serta ulama’-ulama’ tanahair yang mengambil serius isu bahasa ini. Prof Abdullah Hassan selaku wakil Gabungan Mansuh PPSMI (GMP) pula menghuraikan signifikasi dan keterikatan budaya Islam yang terlarut erat di dalam Bahasa Melayu. Malah pada pandangan beliau gejala liberalisasi beragama, sekularisme yang menimpa umat Islam adalah majoriti daripada kelompok yang pro kepada pendidikan ala Inggeris dan pendidikan berteraskan bahasa berkenaan. Bahasa Melayu telah lama dipakejkan dengan nilai Islam sejajar juga dengan perkembangan tulisan jawi yang menggantikan tulisan Pallava Sanskrit.

Memorandum berkenaan akan diserahkan kepada Majlis Raja-raja melayu yang akan bersidang pada 29-30 Julai nanti. Malah usul ini perlu diberi lebih awal iaitu pada proses ‘pre-council’ lagi. Pada pandangan Tan Sri, pihak SHURA wajar untuk menyerahkan juga memorandum berkenaan kepada setiap Raja secara berasingan untuk tindakan yang lebih efektif.

Memorandum ‘keramat’ ini dimulai dengan kesedaran bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa Eka yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta diakhiri dengan seruan agar semua warga pendidik, waris-waris pelajar serta rakyat bersatu untuk terus mendesak pemansuhan PPSMI ini. Adalah wajar apabila SHURA, TERAS dan Persatuan Ulama’ Malaysia tadi bersetuju untuk menjelajah ke setiap negeri mengadap Sultan dan Raja Melayu bagi memanjangkan lagi perjuangan menentang PPSMI yang merugikan jatidiri bangsa Melayu Islam, serta mencarik maruah sebuah negara bangsa yang beridentiti.

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha TERAS Perak

http://munawwarah.blogdrive.com
Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
017 6291368

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)