Thursday, October 22, 2009

SPRM sesuai jadi Suruhanjaya Pembela Rasuah Malaysia

SPRM sesuai jadi Suruhanjaya Pembela Rasuah Malaysia

Mungkin ia satu yang membanggakan apabila rakyat Malaysia membela maruah negara sendiri. Tetapi bagaimana pula jika berada dalam situasi menyimpan pekung dan kebejatan dalam negara sendiri. Adakah ia termasuk dalam asas aspek patriotism? Hal ini adalah antara dilema SPRM di negara kita sendiri apabila terpaksa bertindak mengeluar kenyataan bahawa Indeks Persepsi rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International adalah tidak adil

Datuk Seri Ahmad Said Hamdan terpaksa menyangkal kajian terperinci TI tersebut yang dikatakan tidak mengambilkira jumlah penduduk Negara-negara yang dikaji dalam indeks berkenaan sehingga meletakkan Malaysia ditangga ke 47 untuk tahun 2008 berbanding tangga 43 pada tahun 2007. Adakah perubahan dan naiktaraf BPR (Badan Pencegah rasuah) kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tidak cukup membuktikan komitmen negara ini untuk memerangi rasuah? Hakikatnya hal ini hanya tindakan kosmetik para pemimpin negara ini setiap kali perubahan pucuk pimpinan berlaku.

Jika kita pertikaikan integrity dan profesionalisme TI dalam membuat penilaian kadar rasuah negara ini, bagaimana pula dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh PEMUDAH? Malah, PEMUDAH yang ditubuhkan dalam zaman pemerintahan Abdullah Badawi, pernah menganggarkan negara ini kehilangan sebanyak RM10 billion kerana rasuah dalam tempoh setahun.

Tindakan SPRM yang mengeluarkan kenyataan bahawa TI tidak adil seolah-olah merendahkan kredibiliti dan kemahiran tenaga pakar TI dalam melaksanakan kerja profesional mereka yang jauh dari pengaruh politik dan ‘bias symptom’ sepertimana SPRM yang sejak bergelar BPR mengamalkan penyiasatan selektif yang cukup menghancurkan masa depan negara.

SPRM perlu memeriksa dan muhasabah sebelum melulu menuduh pihak lain tidak adil kerana tindakan mereka dalam menangani kes Khir Toyo yang belum ada perkembangan, Eric Chua yang disiat secara selesa, politik wang dalam perhimpunan Agung UMNO, Teoh Beng Hock, PKFZ yang melibatkan pemimpin tertinggi BN, kes salah guna dana awam oleh BN Selangor, tuduhan rasuah Rafidah Aziz dan pelbagai tuduhan rasuah yang antaranya difailkan dan disebarkan oleh rakyat, masih belum berjaya menunjukkan ‘keadilan’ SPRM.

Lihat sahaja bagaimana jika ada ahli UMNO terbabit rasuah berpuluh ribu ringgit, maruah mereka dijaga dan mereka disiasat ala temuduga mencari kerja sahaja. Baru-baru ini seorang Setiausaha politik seorang menteri Umno telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerana disyaki terbabit dalam rasuah melibatkan RM70,000. Kes rasuah yang cuba dikaitkan dengan pemimpin PR seperti melibatkan hal kenduri lembu, hal bendera yang remeh-temeh ditokok tambah menambahkan sikap sebenar SPRM.

Malah sikap menangguh siasatan terhadap Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang dikatakan memalsukan bukti penyiasatan kes mata lebam DSAI pada tahun 1998 sehingga beberapa bulan menunjukkan KPI buruk serta jauh bercanggah dengan piawaian kualiti kerja kerajaan Malaysia sendiri.

Adakah wajar SPRM menunding jari sementelah diri sendiri belum mahu berubah? Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat hanya disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 3 jam sahaja berhubung skandal yang melanda projek Zon bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan bahawa beliau menerima RM10 juta daripada kontraktor projek siap guna. Berbeza dengan kes Teoh Beng Hock yang disiasat hingga mati apabila dituduh terlibat dengan rasuah sebanyak RM 2400 sahaja!

Adakah SPRM buta mata wang Malaysia, tidak tahu prioriti antara kes bernilai RM 10 juta dengan RM 2400 yang hanya senilai gaji eksekutif junior?

Dunia mengamat hal ini dan ketidak adilan ini bakal merendahkan FDI negara sepertimana tahun 1998 dahulu.

Tempoh siasatan SPRM adalah melebihi waktu jam bekerja iaitu tidak melebihi jam 6.30 petang. Perkeliling dari kerajaan Selangor telah dikeluarkan dan bagaimana pula halnya apabila SPRM menyiasat sehingga lewat pagi? Adakah anggota SPRM diberi latihan siasatan di bukit Aman?

SPRM tidak perlu malu apabila berhadapan dengan penilaian sesuatu Badan Khas antarabangsa seperti TI. Lihat sahaja sikap profesionalisme Tunku Abdul Aziz yang menyertai Forum Sedunia Pendemokrasian di Asia pada 21 September yang lalu, apabila menjawab dengan jujur soalan peserta (Penasihat Presiden Mongolia) yang bertanyakan sikap rakyat Malaysia yang tergamak memilih Najib sebagai PM walaupun dunia masih menganggap palitan isu Altantuya masih belum hilang.

Jika sebelum ini populariti PM berada pada tahap 65% akibat pelbagai dasar ‘hadiah rakyat’ seperti liberalisasi perkhidmatan awam, ekonomi da biasiswa, kini selepas 6 bulan mentadbir imejnya menurut ke tahap 56%. Antara faktor kejatuhan sokongan sebanyak 9% ini (dijangka akan lebih banyak lagi) adalah korupsi dan sikap BN yang memperalat agensi negara seperti polis, FRU, SPR dan tidak ketinggalan SPRM yang cukup meningkat popularitinya akibat kematian Teoh.

Jika benar SPRM ingin menjaga imej negara, sila berani tampil menyiasat kesemua kes-kes yang melibatkan profil tinggi BN dan standardkan teknik siasatan mereka. Jika tidak SPRM bukan bertindak membenteras rasuah, sebaliknya S.P.R.M adalah Suruhanjaya PEMBELA Rasuah Malaysia.

Bukankah ini lebih memalukan dan adil?

Muhammad Nuruddin Bashah

AJK Lajnah Politik Dewan Pemuda PAS Pusat

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)