Monday, January 11, 2010

Kembalikan Fitrah Dakwah sejati PAS

Disiar dalam Harakah 18 Jan 2010

Kembalikan Fitrah Dakwah sejati PAS

Lajnah Perpaduan Nasional adalah satu jawatankuasa yang diamanahkan untuk menerbitkan semula dakwah dan hubungan harmonis antara PAS selaku sebuah Gerakan Islam dengan kaum bukan Islam. Walaupun pada dasarnya ia lebih menonjol sebagai satu identiti hubungan berasaskan politik, namun disebaliknya ia sarat dengan agenda memahamkan kaum bukan Islam berkenaan kondisi Islam, mengeratkan hubungan antara rakyat majmuk sekaligus merealisasikan dakwah rasul yang mengutamakan keadilan dan keamanan luar dan dalam negara.

Malah PAS lebih maju dalam aspek perpaduan dan toleransi kaum kerana tidak memerlukan entiti lain untuk ‘berkawan’ dengan kaum bukan Islam. Sebaliknya UMNO terpaksa menggunakan BN untuk menjadi wadah penyatuan dan perhubungan UMNO dengan kaum bukan Melayu. UMNO bukan parti agama, ia hanya untuk melayu dan bumiputera. Hubungan UMNO dengan kaum bukan melayu melalui BN barulah boleh disebut hubungan berasaskan niat politik semata-mata. Jelas retorik 1Malaysia adalah agenda bermotifkan politik dan bukan perpaduan jangka panjang seperti yang kita harapkan.

Jelas rasulullah adalah pelopor utama pembinaan perlembagaan dunia berasaskan kepelbagaian kaum walaupun kaum-kaum di Madinah berbahasa dengan bahasa yang hampir sama iaitu keluarga bahasa arab-semitik. Lihat sahaja Fasal ke-2 hingga fasal ke-10 Piagam Madinah yang membahaskan tanggungjawab/obligasi ketua kaum dalam menjalankan peranan mereka menjaga keamanan dan keadilan sepanjang bernaung di bawah negara Madinah. Ini membuktikan bahawa Islam amat meraikan kepelbagaian kaum, adat dan agama, malah Islam memberi hak perundangan kepada mereka secara sunnah Piagam Madinah ini (pada 622M bersamaan tahun pertama Hijrah).

Bagaimana pula sikap yang perlu ada dalam jiwa petugas PAS? Sewajarnya setiap ahli mengambil inisiatif untuk proaktif mengembalikan semula tugasan dakwah terhadap kaum bukan Islam melalui pemupukan kefahaman Islam sebenar kepada mereka. Sekian lama mereka menerima maklumat dari sumber yang salah malah manipulasi UMNO terhadap agama begitu bejat dan merosakkan paradigma kaum bukan Islam di Malaysia selama ini.

Sekian lamanya PAS berjuang mendaulatkan Islam dari seawal-awal organisasi, kewujudan Dewan Ulama’ (Persatuan Ulama’), penubuhan Unit Amal dan sebagainya sebagai agen dakwah PAS. Namun begitu sedar atau tidak konsentrasi dakwah ini hampir 90% menumpu kepada domain kaum Melayu. Malah seolah-olahnya PAS adalah parti dielektik UMNO sahaja tanpa sedar ia bukan bertugas untuk menyaingi UMNO semata-mata, tetapi juga untuk memahamkan seluruh rakyat Malaysia apa itu Islam, apa itu pentadbiran dan keadilan Islam.

Sejarah PAS yang bermula sejak pra merdeka dan bertitik tolak daripada penolakan ulama’ terhadap dasar sekular UMNO mengheret PAS untuk terus bergelumang dengan politik yang hampir kesemuanya menjawab isu kemelesetan UMNO ataupun menyiarkan hasrat PAS untuk memerintah.

Kebanyakan pertubuhan Islam/NGO pasca merdeka adalah menjurus kepada penjagaan dakwah syiar Islam negeri Melayu, menjaga adat istiadat melayu serta warisan keilmuan Islam di Tanah Melayu. Gelombang NGO seterusnya pula menerbitkan gerakan Islam yang mulai inklusif terhadap dakwah kaum bukan Islam dan inilah aspek yang PAS giatkan melalui KPP.

Kaum bukan Islam? Semasa itu pemisahan sosial antara kaum cukup besar, malah gelombang kedua pembawaan kaum Cina dan India oleh British ke Malaya adalah untuk mengisi kerja ekonomi penjajah. Mereka terasing dan terpencil dek kerana budaya bahasa dan agama. Mereka datang untuk bekerja dan mereka memiliki kaum kerabat di Cina, belajar juga berasaskan sistem vernakular China. Mereka bukan berebut politik bersama kaum Melayu. Hal ini menyisihkan kegiatan dakwah PAS terhadap kaum bukan Islam akibat faktor sosiopolitik dan budaya dan ia berbeza pada hari ini.

Trend PAS kini kian terbuka. Jika dahulu semasa PRU 1999, sebarang isu dan hal yang melibatkan kaum bukan Islam, PAS akan serahkan kepada DAP atau PKN. Namun begitu keterbukaan minda berlaku akibat kematangan dan asakan maklumat yang luas. Kaum bukan Islam mula mengenali PAS dan berhasrat bersama PAS. Kini PAS proaktif untuk mengambil niche yang terbuka luas dengan menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP).

Kerja buat Rasulullah bukan sekadar menjaga kebajikan dan beraktiviti bersama sesama penganut Islam sahaja. Bayangkan di zaman Rasulullah, daripada hanya seorang muslim (Rasulullah sendiri) boleh menerbitkan lebih 400 muslim selepas 10 tahun berdakwah. Adakah ini berjaya jika rasul berpuas hati dengan 10 sahaja sahabat akrab Baginda?

Kerja Lajnah Perpaduan adalah kerja ‘sawwabit’ (tetap), pillar atau asas dalam PAS bagi sesiapa yang memahami. Kerja ini mentransformasikan kegiatan PAS kepada kefahaman kaum-kaum lain. Memang kerja di dalam PAS cukup sarat dengan kegiatan dan takwim tahunan. Namun begitu, wujudnya lajnah ini serta Kelab Penyokong PAS adalah petanda KEMBALINYA dakwah Islam sejati (Rasulullah) kepada PAS. Kerja ini bukan kerja samblan yang boleh diambil mudah.

Rasul tidak pernah memaksa sesiapa menganut Islam. Yang berlaku adalah contoh, sunnah, ajakan, perbahasan berhikmah, politik serta hubungan ekonomi yang adil oleh Rasulullaah terhadap kaum bukan Islam.

Obligasi bertugas dalam Lajnah Perpaduan bukan tugasan yang mudah. Mengurus Kelab Penyokong PAS sehingga mereka mampu bergerak secara konsisten dan mandiri adalah tugasan serius ahli PAS dan memerlukan komitmen dan kesabaran ahli. Hubungan yang erat antara Lajnah Perpaduan dengan anggota Kelab perlu baik serta mencanai satu hubungan antogonistik yang bernilai.

Cuba renungkan, dengan komposisi melayu 53.4%, Bumiputera 11.7%, Cina 26.0%, dan India 7.7%, di Malaysia, cukup untuk PAS bertindak menghargai kaum bukan Melayu serta meraih undi/sokongan mereka terhadap PAS. Adakah ia hanya berjaya jika komunikasi dan interaksi hanya berlaku 4 tahun sekali? Sebaliknya selepas pilihanraya ahli akan kembali bekerja seolah mereka hanya berjuang untuk kaum melayu dan akhirnya kembali mendekati kaum bukan melayu pada pilihanraya seterusnya? Bukankah ini jauh dari sikap dai’ ?

Muhammad Nuruddin Bashah

SETIAUSAHA LAJNAH PERPADUAN NASIONAL NEGERI PERAK


No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)