Thursday, April 15, 2010

Ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda PAS Gopeng

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam..Selawat dan salam ke atas penghulu anbiya’ dan kaum muslimin..

………………………

Yang dihormati saudara pengerusi majlis, Muhammad Nuruddin bin Bashah

Yang dikasihi ayahanda Al-Fadhil Ustaz Hj. Abu Bakar bin Husin, Pesuruhjaya PAS Perak

Yang dimuliakan Al-Fadhil Ustaz Faisol

Yang dimuliakan Tn. Hj. Abd Rahim bin Md Arif, YDP PAS kawasan Gopeng, merangkap Bendahari PAS Perak

Saf kepimpinan DPP kawasan Gopeng

Pimpinan AMK Cabang Gopeng, saudara Ramihadi bin Ros

Ketua Dewan Muslimat, Pn Nor Kamariah

Seluruh ahli Pemuda sidang muktamar Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng

Bersyukur pada Allah dengan izinNya dapat kita sama-sama hadir pada pagi ini untuk menjayakan Mesyuarat Agung DPPK Gopeng bagi kali ke-14.

Mesyuarat ini amat penting bagi kita untuk mengukur beberapa aspek yang perlu diperbaiki dan diperhalusi bagi sama-sama kita mengambil satu langkah yang lebih proaktif bagi mendukung perjuangan suci ini.

Sepenggal telah berlalu, DPPK Gopeng telah berusaha menjayakan beberapa aktiviti dan pendekatan bagi kemajuan seluruh Ummah di dalam rangka yang telah dipertanggungjawabkan. Namun sehingga kini DPPK Gopeng masih belum boleh menarik nafas lega kerana didapati banyak aspek yang masih ketinggalan.

Justeru itu, atas kesedaran ini, pihak DPPK Gopeng mengambil tema pada mesyuarat ini iaitu ‘Memperkasakan Pemuda’ sebagai satu lonjakan ataupun kata semangat untuk terus menyusun saf pejuang yang bakal menggegarkan arena perjuangan ini.

Kami sedar Pemuda yang berkualiti amat diperlukan bagi menjadi tenaga penggerak demi menuntut kemenangan yang dijanjikan Allah.

Tanpa usaha memantapkan seluruh pemuda yang menjadi sayap parti, maka akan berlakulah kepincangan dalam menuju kemenangan yang dijanjikan itu. Oleh itu, bagi penggal yang masih berbaki ini, gerak kerja akan lebih tertumpu untuk meneruskan program memperkasakan pemuda. Di samping itu, aktiviti untuk menerjah kejayaan merampas DUN Sg Rapat tetap menjadi agenda utama. Beban yang digalas pemuda amatlah berat sekali, maka amatlah rugi bagi pemuda yang tidak mahu bersama memikul amanah ini kerana kemanisan kejayaan pasti tidak dapat dirasai sama seperti pemuda yang turun berjuang ke jalan ini.

Sidang mesyuarat yang dihormati sekalian,

Demi mencapai hasrat ‘Memperkasakan Pemuda‘ ini pelbagai pihak mesti sanggup bersama-sama berkongsi idea dan pendapat. Ia bukan hanya dibiarkan digalas oleh AJK DPP sahaja tetapi ia adalah tanggungjawab semua. Kami barisan AJK hanyalah memikul amanah yang telah diberi untuk menyusun beberapa strategi, namum ahli di semua peringkat tidak lepas untuk menjayakan semua yang telah dirancang.

Tidak adil meninggalkan seluruh AJK DPP sahaka yang mendayung perjuangan ini, sedangkan pemuda di peringkat cawangan hanya bertindak sebagai penonton sahaja.

Marilah kita bersama-sama memuhasabahkan diri masing-masing, mengoreksi diri, adakah berbaloi penglibatan kita selama ini.

Tuan-tuan yang dihormati,

Saya ingin berkongsi satu pepatah Cina, yang berbunyi,

Jikalau kamu merancang untuk satu tahun, maka tanamlah gandum,

Jikalau kamu merancang untuk 10 tahun, maka tanamlah pokok,

Jikalau kamu merancang untuk 1000 tahun, maka tanamlah manusia.

Maksudnya ialah kita mesti berusaha melahirkan pendokong yang berkualiti sebagai satu usaha untuk menjamin kemenangan yang diperolehi terus kekal. Usaha ini pula haruslah benar-benar teliti. Jika dipandang pepatah ini ada persamaannya dengan sirah Rasulullah SAW. Baginda benar-benar teliti menyusun pendokong sehingga akhirnya Islam telah berjaya menguasai dunia ini. Lihatlah apa yang berlaku sekarang, seorang demi seorang dahulunya rakan kita kini telah lari akibat sikap tamak haloba. Silapnya mungkin kerana kita tidak benar-benar merancang untuk memilih yang terbaik.

Pelan strategic telah siap dibina untuk mengambil satu tindakan perlaksanaan. Harapannya, semoga selepas kita bermesyuarat ini, kita membina keyakinan baru untuk sama-sama memajukan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng dan kemajuan Parti Islam Semalaysia (PAS) khususnya. Seterusnya kita terus istiqamah mendepani perjuangan ini kerana jalannya masih panjang.

Saya ingin berkongsi satu lagi kata-kata perangsang yang boleh kita ambil pengajaran daripadanya, berbunyi

‘You can’t win unless you know how to lose’- Kareem Abdul Jabbar

Iaitu kita tidak akan berjaya kecuali jika kita tahu bagaimana kita akan kalah. Maksudnya di sini ialah tanpa usaha sudah pasti kita tidak akan berjaya kerana pokok kejayaan adalah usaha yang berterusan.

Analoginya begini, saya ingin menduduki peperiksaan, saya tahu kalau saya tidak baca buku, saya akan gagal. Oleh itu, untuk berjaya saya mesti membaca buku.

Para hadirin yang dihirmati sekalian,

Tidak lupa juga akan rakan seperjuangan kita dalam Pakatan Rakyat (dari Parti Keadilan Rakyat). Terima kasih atas sikap saling bantu membantu dalam beberapa siri gerakan yang telah dijalankan. Semoga persefahaman ini akan tetap terpelihara dan dihindarkan dari sikap buruk sangka. Kita mesti sedar untuk menghapuskan musuh durjana, persefahaman dalam rakan seperjuangan amatlah penting sekali. Jangan sesekali merendahkan rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat ini. Kita umpama aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.

Akhir sekali dengan peluang yang diberikan ini, penuhilah masa mesyuarat agung ini untuk kita sama-sama memuhasabah diri. Juga jangan lupa, muda kita hanyalah sekali, amat rugi masa muda ini dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa ada rasa sama-sama mendayung perjuangan suci ini kerana perjuangan ini adalah satu jihad. Berazamlah kita untuk terus istiqamah berada di dalamnya.

Sekian, terima kasih.

Takbir (Allahuakbar!)

26 Rabiul Akhir 1431H/11 April 2010

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)