Saturday, January 23, 2021

SIASAH SYARIYYAH MENCEGAH KEPANIKAN SOSIAL DALAM TEMPOH COVID



SIASAH SYARIYYAH MENCEGAH KEPANIKAN SOSIAL DALAM  TEMPOH COVID

Muhammad Nuruddin Bashah

 Disiar dalam HD : https://harakahdaily.net/index.php/2021/01/23/covid-19-siyasah-syariyyah-cegah-kepanikan-sosial/ 

Kecelaruan kefahaman hukum dan salah  maklumat  yang tercetus di kalangan masyarakat adalah antara penyebab kepanikan sosial yang kini kerap berlaku. Menurut Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Malaya, hal ini disebabkan wujudnya kelompok mengambil kesempatan melakukan ijtihad dalam menentukan hukum hingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat sedangkan mereka tidak memiliki kelayakan atau autoriti melakukannya[1].

Ketidaklayakan terbahagi kepada dua. Satu golongan yang benar tidak layak iaitu golongan ulama’ segera, yang tidak mahir satu pun ilmu alat, fiqh dan tidak menguasai usul fiqh dengan baik. Yang kedua golongan yang mahir segala keperluan ulama’ yang faqih tetapi tidak berada dalam saf autoriti negeri atau negara. Erti kata lain mereka tidak mewakili ‘ulil amri’ dalam penetapan hukum untuk golongan awam.

Kepanikan ini juga terhasil apabila rakyat tidak mengutamakan maklumat rasmi atau krisis skeptikal dengan maklumat kerajaan atas pelbagai alasan. Betapa serius kepanikan sosial dan salah maklumat boleh kita lihat teladan di Iran apabila dilaporkan  44 dilaporkan maut manakala ratusan lagi dimasukkan ke hospital di Iran akibat terminum alkohol beracun yang konon digunakan untuk merawat koronavirus (Covid-19). Tragedi  itu berlaku selepas terdapat khabar angin yang mendakwa pengambilan alkohol boleh menyembuhkan atau mencegah jangkitan virus tersebut[2].

Tulisan ini penulis khusukan perbahasan sekitar impak covid-19 yang menghasilkan kepanikan sosial.

 

 

 

Apa itu  Kepanikan sosial

Panik sosial bukanlah fenomena baru. Ia fitrah manusia sejak zaman batu. Panik itu menyediakan diri kita untuk bertindak dan menyelamatkan diri. Namun ia boleh menjadi teruk dan negatif jika tidak dikawal pemerintah. Beberapa kajian ada  membincangkan keadaan panik sosial,  antaranya adalah Goode dengan teori ‘grassroots’, Cohen dengan tulisan ‘folk devilsh’ dan Hall mengenai gelagat  masyarakat apabila melihat  satu peristiwa[3].

Cohen mengenalpasti  bahawa terdapat empat agen yang berpengaruh  dalam menanam  sebuah kepanikan sosial iaitu: media massa, usahawan, kawalan budaya dan masyarakat. Dari senarai ini  medialah yang paling berpengaruh. Cohen  menggunakan istilah ‘Folk devils’ atau pengacau masyarakat untuk menggambarkan kelompok, orang, pelaku yang menjadi “musuh media” karena dianggap membahayakan moral masyarakat. Dalam konteks ini Covid-19 adalah virus yang sangat berbahaya dan dapat membunuh dalam waktu cepat.

Media secara aktif menyiarkan berita-berita perkembangan tentang Covid-19 namun maklumat ini akan terbina  sebagai pengacau  atau folk devils, orang-orang yang tertular atau terjangkit adakan segera ditanggapi  sebagai ‘anasir pengganggu’ dalam masyarakat. Teori pelabelan penyimpangan, yang berasal dari teori sosial interaksionisme simbolik adalah teori yang paling penting dari Cohen. Masyarakatlah yang memberi label pada suatu peristiwa atau insiden. Kepanikan sosial menurut teori Cohen merupakan  situasi atau  kelompok manusia  yang muncul dan didefinisikan sebagai ancaman bagi nilai atau kepentingan masyarakat. Dalam kes  penyebaran Covid-19, media membuat norma yang awalnya berjalan dengan baik dan sesuai dengan tatanan nilai yang berlaku di masyarakat berubah menjadi kefahaman  buruk. Misalnya keburukan terpancar apabila masyaraat yang panik memborong barang secara berlebihan yang mengakibatkan kehilangan  barang seperti roti Gardinia dalam  pasaran .

Panik sosial yang ada di Malaysia

Antara kepanikan sosial yang tercetus pada awal penularan wabak hingga kini adalah melibatkan isu keagamaan, ibadat, isu pegurusan komoditi dan bekalan serta mekanisme penularan:

  1. PKP akan kurang makanan

Kepanikan paling awal PKP adalah hilangnya roti putih dan telur dalam pasaran akibat permintaan melampau tinggi. Ini satu pembelian panik dan ia tidak wajar berlaku sedangkan kerajaan telah memberi jaminan kecukupan makanan sebelum mengisytihar PKP.

  1. Kesan sampingan vaksin dan vaksin perlu ditolak kerana agenda Yahudi.

Antara kitab rujukan golongan ini adalah buku Jerry D. Gray di dalam buku Deadly Mist bahawa suntikan-suntikan yang diberikan adalah merupakan ciptaan Amerika Syarikat dan Yahudi untuk mengawal dan membunuh populasi dunia yang sudah terlalu ramai. Kononnya  dengan mencipta virus-virus baharu dan ianya juga digunakan untuk melemahkan sistem imunisasi.

  1. Isu negara lain boleh solat rapat kerajaan melayu Islam tetapi tutup masjid

Kempen sebegini memang tiada dalam media mainstreem tetapi banyak dalam media sosial, berbalas-balas jawab menjawab seolah-olah tiada isu besar untuk dibahas. Ada juga agamawan yang membawa contoh negara lain seolah tiada pihak autoriti agama dalam negara ini atau erti kata lain si penyebar itu merasa lebih ‘alim’ daripada pihak anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

Serangan kepanikan sosial dilancar menerusi rantaian maklumat palsu dan  samar-samar atau ‘ambiguity’ :

  1. Propaganda antivaksin

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ahmad Amzad Hashim menyatakan kerajaan memang memantau rapi dakyah antivaksin melalui media sosial hari ini.  Ada juga golongan kumpulan yang berada di tengah-tengah iaitu kumpulan 'vaccine hesitancy group' yang mempunyai keraguan terhadap vaksin terutamanya vaksin Covid-19, tetapi tidak menolak vaksin secara langsung. Mereka ini mudah dipujuk oleh dakyah antivaksin[4].

  1. Teori palsu konspirasi

New York Times, 20 April 2020 mendedahkan  virus korona telah menyebabkan banyak teori konspirasi, maklumat terpesong  dan propaganda[5]. Karen M. Douglas, ahli psikologi sosial yang mengkaji  kepercayaan konspirasi di University of Kent di England menyatakan semasa kepanikan sosial ini, masyarakat percaya ada pihak yang mengetahui sesuatu rahsia atau agenda yang menyebabkan mereka tertarik mempercayai teori konspirasi. Ahli teori konspirasi semua membawa mesej , bahawa satu-satunya perlindungan adalah datang dari mereka yang mengetahui kebenaran rahsia itu dan ini.

  1. Tokoh ulama’ selebriti atau ulama’ persendirian

Video tular baru-baru ini mengenai pendakwah terkenal tanah air Ustaz Kazim Elias yang mempersoalkan amalan norma baharu ketika penularan Covid-19 wajar dikaji semula. Menerusi video itu, pendakwah berkenaan mendakwa tatacara solat berjemaah bercanggah dengan syariat Islam apabila perlu mengambil jarak berbanding dirapatkan seperti saranan hadis[6].

  1. Golongan politikus yang mengambil kesempatan

Contoh untuk sub topik ini boleh ditinjau sendiri kerana terlalu banyak dan ia berlaku silih berganti selagi adanya minat untuk berpoliticking dalam isu melibat nyawa seperti Covid-198 ini.

Apa peranan  konsep  siasah syariyyah?

Para fuqaha mentakrifkan siyasah syar`iyyah sebagai tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzuknya. Dalam penakrifan lain mereka berkata menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak[7]. Kebanyakan tulisan yang berkaitan dengan siyasah syar`iyyah mendefinasikan pengertian siyasah dengan definasi yang berkisar di atas kedua-dua takrif tersebut.

Ibn Khaldun  membahagi siasah kepada ‘siasah diniyah’ pengurusan keagamaan dan ‘siasah aqliyah’ iaitu berlaraskan akal, polisi dan kebijakan pemerintah. Siasah yang  bersandarkan kepada kekuatan akal (siyasah aqliyyah) juga wajib dipatuhi[8]. Kewajiban mematuhi siyasah akal ini kerana tindakan, keputusan dan dasar yang diambil melalui kaedah ini tetap berpandu kepada kepentingan dan kemaslahatan masyarakat seluruhnya. Siasah inilah yang diterap oleh kerajaan Malaysia dalam menentukan kaedah saf dalam solat semasa wabak, bilangan jemaah dalam masjid, mewajibkan vaksin dan mewajibkan swab test, menyekat perjalanan harian rakyat, mengawal perjalanan industri sepanjang wabak. Ia bukan semata-mata bersumberkan para ulama’ arahan kerajaan melalui KKM juga merupakan siasah kerajaan Malaysia untuk menjaga ‘Ad dharuriah al khams’ rakyatnya.

Misalnya kerajaan melaksanakan PKP adalah bersumberkan kaedah sadd az zirai’   سَدُّ الذَّرِيعَةِ merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan.

Majoriti rakyat Malaysia akur dan patuh dengan arahan KKM, Majlis Keselamatan Negara serta Jabatan Perdana Menteri hal Ehwal Agama serta majlis-majlis agama negeri-negeri. Hanya segelintir kecil sahaja yang kononnya memberontak namun ia tidak popular. Bersatunya rakyat bersama ketetepan kerajaan mengharungi wabak adalah satu kesatuan yang berkat dan benar.

Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a’zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka’ (Hadits riwayat Ibn Majah).

Siasah kerajaan mengurus kefahaman dan pengamalan

a)      Isu vaksin

Arahan KKM

Pada  Januari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia keluarkan hebahan menasihatkan orang awam agar tidak terpedaya dengan sebarang iklan , ‘claim’ atau kenyataan terhadap tuntutan pencegahan atau rawatan Covid-19 termasuklah di Internet melainkan sumbernya daripada KKM[9]. Hal ini bukan menampilkan KKM itu ‘ arrogant’ atau apa. Bukan pula menunjukkan kerajaan menyempitan definisi kesihatan hanya melalui KKM. Ia sebagai satu pencegahan daripada berlakunya eksploitasi terhadap minda pengguna agar membeli dengan gopoh sehingga terkena produk yang menipu. Ia satu tindakan menjaga maslahah umum di kalangan rakyat terbanyak.

Berbicara tentang antivaksin, Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun menganggap  mereka sebagai  ancaman kepada negara kerana kempen mereka mampu  merencatkan usaha kerajaan mengekang penularan wabak berkenaan[10]. Golongan ini  yang turut terdiri daripada cerdik pandai  itu dengan mudah boleh mempengaruhi orang lain untuk menolak vaksin Covid-19 sekiranya penularan pandemik itu masih berlaku dalam keadaan negara sudah menerima vaksin. Bekalan vaksin yang akan diterima pada peringkat awal memmang terhad  beberapa juta sahaja manakala populasi rakyat kira-kira 30 juta. Bermakna Covid 19 tidak akan segera lenyap dengan penvaksinan peringkat awal. Ia perlu beberapa peringkat dan gelombang.  Selalunya golongan anti vaksin mampu memanipulasi keadaan ini.

Sokongan pihak autoriti agama

Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri  ada mengupas pandangan tokoh ulama dunia, Sheikh Abdallah Sheikh Al-Mahfoudh Bayyah mengenai vaksin Covid-19.  Sheikh Abdallah yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu ada membuat penghuraian penggunaan vaksin itu dalam kalangan umat Islam secara tuntas menurut empat mazhab[11]. Sheikh Abdullah juga berpandangan adalah wajib di sisi syarak kepada semua pihak yang lain untuk menghulurkan bantuan kepada kementerian negara masing-masing menguruskan hal ini dengan bantuan yang sepatutnya, bagi menghalang penyebaran dan menghapuskan wabak ini. Hal ini dengan tidak menyebarkan info-info yang tidak benar dan hanya menyebarkan maklumat rasmi daripada kementerian[12].

Dari segi fatwa, keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang mengambil ketetapan untuk mengharuskan penggunaan vaksin Covid-19[13]. Keputusan pandangan ini telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Syah, Sultan serta Raja di negeri-negeri bagi mendapatkan perkenan untuk tindakan selanjutnya. Menurut Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, penetapan wajib mengambil vaksin yang  ditetapkan kerajaan adalah satu usaha yang sangat baik. Malah umat Islam  tidak sewenang-wenangnya memberikan hukum dan menghalang umat Islam daripada mengambil vaksin tersebut tanpa bukti-bukti yang kukuh. Muzakarah dibuat secara kolektif bukannya secara keputusan ulama’ persendirian atau bebas. Muzakarah mengambil keputusan yang penuh tanggungjawab terhadap masa depan rakyat dan realistik dengan kondisi negara.

b)      Ijtihad saf dan bilangan jamaah masjid

Arahan autoriti agama Islam di  Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan bagaimana norma baru ke masjid adalah menurut syarak dan ianya mematuhi kehendak Islam.

  • Keputusan berkaitan masjid adalah  dalam kerangka hukum ditetapkan melalui ijtihad dalam wewenang sebuah kerajaan yang sah.
  • Berpandukan kaedah kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa tindak-tanduk imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maslahah (kepentingan umum semasa).

عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَة تَصَرَّفُ الإمَامِ

Kaedah ini bermakna pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.

  • Norma baharu ini bukanlah bergantung kepada satu pendapat ulamak sahaja.
  • Pembudayaan norma baharu juga adalah berdasarkan pandangan daripada Muzakarah Majlis Fatwa (MF) Kebangsaan, fatwa di peringkat negeri, bahkan fatwa ulama di peringkat antarabangsa.

Apa komentar ulama’ yang murshid?

Ulama tersohor kini Habib Umar Ibn Hafiz pernah berucap bahawa masjid boleh  menjadi tempat-tempat kesembuhan. Selagi mana  pemerintah tidak melarang untuk menghadiri solat Jumaat maka mereka tetap wajib hadir. Akan tetapi jika ada larangan maka mereka wajib berkumpul untuk solat di rumah-rumah mereka. Mereka juga wajib merutinkan zikir-zikir mereka dan bersedekah sebagai cara untuk menjaga (dari virus). Habib Umar juga menyarankan bawang merah dan bawang putih sebagai ubat alternatif  untuk menghadapi virus sebagai satu ikhtiar tambahan bukannya menafikan perubatan biasa.  Rakyat juga harus tetap tenang dan tidak panik[14].

Seorang ulama Islam terkemuka Kanada Menurut Sheikh Mohammed Tahir Al-Qadri mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan teori konspirasi mengenai vaksin COVID-19.  Dakyah itu  viral di media sosial sebagai cubaan mempengaruhi orang ramai menolak suntikan vaksin COVID-19 dan menurut beliau bertentangan dengan ajaran Islam kerana menyelamatkan nyawa adalah satu ibadah dan ia dituntut dalam ajaran agama kita[15].

Demikian nasihat para ulama’ yang mursyid, tidak mementingkan diri malah membawa mesej ketaatan kepada ulul amri dalam hal siasah syariyyah yang menguntungkan rakyat.

 

BPJ SP

23 Jan 2021 12.45 mlm.



[1] Halaman 35, Berita Harian  Januari 2021

[3] Ririn Purba , Kepanikan Sosial Akibat Munculnya Covid-19

 

[7] Prof. Dr. Abd Jalil Borham , Konsep Siyasah Syari’yyah dan Perlaksanaannya dalam konteks Malaysia

[8] Pengantar Pengajian Syariah, Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid, Paizah Hj Ismail

[15] https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/01/778233/umat-islam-kanada-diingatkan-jangan-terpedaya-teori-konspirasi-anti 

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)