Wednesday, December 10, 2008

Masih ada yang sanggup Menyokong ISA?

Artikel disiarkan oleh Harakah Isnin 15-18-Disember 2008
Saya rasa terpanggil untuk menulis dan menyelar sekerasnya tindakan beberapa individu dan pertubuhan yang secara terang-terangan menyokong ISA. Sebagai rakyat biasa saya hanya fikirkan menteri, kerajaan dan polis sahaja yang akan mempertahankan ISA, malah kini PEWARIS secara terbuka pula dengan lantangnya berusaha mengiklankan slogan ‘Kekalkan ISA’ dan ‘Yes To ISA’.

ISA adalah suatu akta kejam dan zalim menurut kacamata manusia yang berakal. Hujah Dato Ma’mor Osman iaitu jurucakap kepada PEWARIS ( Permuafakatan Melayu) bahawa ISA adalah suatu akta yang menjaga keselamatan adalah hujah tanpa bukti yang praktikal. Malah beliau mengatakan bahawa dalam tempoh 60 hari tahanan tanpa bicara (soal-siasat) mangsa masih boleh memberi alibi bahawa pertuduhan terhadap mereka tidak benar. Hujah saya pula, adakah semua mangsa tahanan ISA memiliki pengetahuan undang-undang seperti Raja Petra yang berjaya membuktikan Herbes Corpusnya? Adakah semua mampu membayar wang yuran guaman? Malah melalui majority maklumbalas mangsa, mereka menyatakan dalam tempoh 60 hari, mereka langsung tidak mengetahui pertuduhan tepat terhadap mereka. Bagaimana mereka mampu menyatakan alibi yang sahih? Hujah dangkal dato ma’mor lagi adalah, mereka yang takutkan ISA hanyalah si pesalah. Hujah saya lagi, barang sesiapa yang takutkan hudud dan undang-undang Islam, mereka juga si pesalah. Adakah beliau sanggup menerima undang-undang Islam?

PEWARIS mewakili entity dan etnik melayu yang menyokong ISA. Dengan songkok yang dipakaikan kepada belia dan remaja untuk berdemostrasi di hadapan dewan BAR Council 1 disember lalu, mereka telah menampilkan bahawa masih ada anak melayu yang jahil tentang akta zalim ini. Akta ini tidak menangkap mat rempit, perogol bersiri atau pengedar dadah, tetapi akta ini menjadi ancaman kepada yang menegakkan kebenaran. Sedarkah PEWARIS bahawa anak bangsa mereka sendiri iaitu melayu yang paling ramai ditahan di dalam akta ISA ini sejak merdeka. Sungguh simplistik apabila Dato’ Ma’mor berterus terang mengapikan peperangan antara kaum yang bakal dimenangai kaum cina hanya disebabkan PAS telah lama bersama DAP dan PKR menentang ISA. PEWARIS perlu sedar tanpa DAP juga, PAS telah lama menentang ISA. ISA ditentang bukan atas dasar bangsa, tetapi kerana ia mencarik nilai kemanusiaan.

Alangkah malang apabila Dato’ Ma’mor yang juga Setiausaha agong Persatuan Pengguna Islam (PPIM) menyokong ISA atas dasar keselamatan. Seluruh pejuang ‘pengguna’ sedunia menentang apa sahaja akta yang menjadi alat mengekang kebebasan asasi dan fitrah kemanusiaan. Isu ISA adalah isu kepenggunaan! Apatahlagi Kepenggunaan cara Islam seperti mana yang PPIM bawakan. Telah ramai rakyat malaysia sedar tentang produk halal haram melalui kempen PPIM. Kini suara PPIM pula yang mencederakan kepercayaan pengguna Islam negara ini.

Jika benar ada perwakilan PEKIDA dalam Dewan Bar Council yang turut bersama PEWARIS cuba memboikot perjuangan anti ISA, ia amat menyedihkan lagi. PEKIDA yang sinonim dengan ajakan amar ma’ruf nahi mungkar kini bersama menyokong ISA yang jelas besar mungkarnya di bumi Malaysia ini.

Saya amat tertarik dengan kata-kata semangat Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkenaan usaha variasi menentang ISA. Kata beliau” jangan senyap dalam menentang hal bercanggah dengan syarak. Buatlah apa sahaja. Hantar surat ke, tulis lagu ke, sajak, kartun dan sebagainya. Yang penting kita kena lawan benda (Akta ISA) yang salah”. Ya, GMI pulau Pinang saban minggu melakukan pelbagai aktiviti menonjolkan simbol anti ISA. Malah seluruh pejuang Islam juga tanpa mengira apa NGO dan Parti politik yang berkesedaran.

Muhammad Nuruddin Bashah
jihadin82@yahoo.com

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)