Saturday, May 23, 2009

Menobat Kepimpinan Ulama’ dalam gerakan Islam

Tulisan ini disiarkan dalam Harakah edisi 1-4 Jun 2009 (Isnin)
Menobat Kepimpinan Ulama’ dalam gerakan Islam.



Saya berpeluang mengikuti Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama’ (25 tahun) di Taman Melewar hari ini. Saya menyertai rombongan PAS Tambun di mana kebetulan Ustaz Wan Ahmad Tarmizi iaitu Ketua Urusan Ulama’ PAS Tambun memasukkan nama saya sebagai antara delegasi AJK Ulama’ PAS Tambun. Saya hargai peluang ini dan saya perolehi pelbagai ilmu serta pengalaman dalam program sebegini. Bagi saya, sebarang program pengisian dan daurah umum yang dilakukan oleh parti adalah program tarbiah dan ahli PAS perlu merebut peluang agar dirinya disertakan atau dipilih untuk mengikuti mana-mana himpunan semangat mahupun himpunan fikrah sebegini.

Saya amat tertarik dengan penerangan Tuan Guru Nik Abd Aziz berkaitan nilai kerja istiqamah dalam kehidupan. Istiqamah adalah sunnah burung kecil yang ingin menyelamatkan Nabi Ibrahim walaupun berkemungkinan akan gagal kerjanya. Istiqamah adalah kerja buat ibu Nabi Musa yang menolak logik akal apabila diarahkan membuang anak ke sungai dalam usaha menyelamatkan nyawa anaknya. Benar seperti ayat ke-13 Al Ahqaf yang mengaitkan perilaku istiqamah dengan pengakuan Allah sebagai tuhan. Ulama’ perlu istiqamah berjuang dalam gerakan Islam. Jadi kita yang bukan ulama’ apatahlagi.

Dr Harun Din sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS ada menyebut bahawa Imam Mawardi menetapkan dalam Kitabnya Ahkam al Sultaniyyah mengenai krateria untuk menjadi pemimpin iaitu faqih dalam segi ilmu-ilmu yang menjurus kepada mujtahidin. Apakah ilmu itu? Itulah ilmu wahyu dan ilmu hadis serta metod-metod ulum yang disepakati jumhur ulama’. Beliau ada menyebut di dalam penulisan penulis atau pemerhati luar PAS atau ahli biasa PAS, ada menyabitkan istilah ulama’ dengan terminologi yang terlalu luas hingga menenggelamkan intisari pengistilahan itu. Malah istilah ulama’ bukan istilah sebarangan kerana ia disabitkan dengan identiti sebagai golongan yang ‘takut’ kepada Allah. Menterjemah samberono ayat Al Fathir bahawa yang takut kepada Allah semuanya Ulama’ atau yang kenal tentang penciptaan Allah semua adalah ulama’ menyebabkan ada penulis blog, artikel yang sering membina dikotomi ulama’ agama dengan ulama’ sains. Bagi saya ulama’ daripada segi etimologi ianya sah jika dikatakan pakar sains sebagai ulama’. Dari segi terminologi ianya amat sedikit menepati apa yang dibebankan dengan hadis Ulama’ pewaris Nabi. Bukan semua pakar sains dan ilmu sosiologi yang sanggup menerima tanggungjawab sebagai waris Nabi!

Malah pada pandangan saya erti ulama’ ialah alim. Sebelum adanya sekularisasi ilmu, pengetahuan agama dan pengetahuan dunia adalah seia dan sekata. Bukan seperti realiti hari ini. Lantaran itu surah Al Fathir menceritakan sesiapa yang tahu dan mengkaji ilmu dunia serta penciptaan Allah dan mereka takutkan Allah, mereka adalah ulama’.

Sistem pensarjanaan dunia Islam telah lama mengikuti sistem binaan barat yang sekular. Pengaliran ilmu-ilmu Islam sejak kejatuhan Granada 1492 adalah bertumpu dan terfokus sehingga menerbitkan sekular. Bermulalah era ulama’ agama dan golongan pemikir. Darihal itu, waima apa sekalipun, memilih ulama’ yang paling hampir kepada kriteria tinggalan Nabi adalah pilihan yang paling bijak bagi mengisi tempat yang dikatakan ulama’. Tafsiran wewenang ahli sarjana orientalis disertai dengan warna-warna pemikiran sekular akan hanya merumitkan keadaan dengan menidakkan aspek sebenar tanggungjawab sebagai seorang ulama’.

Tuan Guru Nik Aziz dan Haji Subki Latif serta tidak ketinggalan Dato Haji Mustafa Ali telah menceritakan secara terperinci rentetan peristiwa bagaimana ulama' yang pada awalnya menyertai Kongres Kebangsaan dan bersetuju dengan Kongres UMNO (pada waktu itu UMNO adalah himpunan pejuang kemerdekaan bukannya parti) hingga menerbitkan Persatuan Ulama’ Setanah Melayu (1951). Namun begitu Engku Ismail Abdul Rahman iaitu YDP Jabatan Agama Johor dalam satu perjumpaan penaja PAS (Persatuan Ulama’) telah menggagaskan idea agar persatuan ulama’ ini ditransformasikan sebagai Parti Muslimin Malaya kerana metod dan kehendak massa pada waktu itu adalah memerdekakan Malaya melalui jalan politik pilihanraya. Malah parti politik sahaja organisasi yang akan diberi perhatian oleh masyarakat bukannya sekadar persatuan biasa. Inilah bezanya KMM dengan PAS.

Memahami keperluan institusi ulama’ dinobatkan adalah suatu keperluan bagi masyarakat kini. Malah Tuan Guru Nik Abd Aziz menegaskan ulama’ adalah untuk sekalian alam bukannya untuk PAS. Keperluan ulama’ bekerja keras mengkaji Islam adalah maslahah umum bukan sekadar manfaat PAS. Berada di dalam Dewan Ulama’ bukan untuk mendabik dada sebagai ulama’ sebaliknya menjadi wakil kepada institusi ulama’ yang berjuang berhadapan terhadap kezaliman sekaligus mendaulatkan Islam.

Muhammad Nuruddin Bashah
Menglembu, Ipoh, Perak

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)