Tuesday, May 12, 2009

Program Ulama’ menentang PPSMI bersama budayawan dan sasterawan negara

Program Ulama’ menentang PPSMI bersama budayawan dan sasterawan negara.

Teras Pengupayaan Melayu cawangan Perak bersama SHURA dan Jamaiy Perak telah berjaya menganjurkan Program Deklarasi Ulama’ Menentang PPSMI di Surau Taman Meru 2B semalam (10 Mei 2009). Saya bersama Teras Perak mempromosikan program berkenaan dan dengan kerjasama kariah serta PAS Tambun, hadirin yang hadir melampaui jangkaan awal

kami.


Selepas Cikgu Azmi Abd Hamid membacakan memorandum keramat Ulama’ menentang PPSMI yang akan diserahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu bulan Julai nanti, sesi kedua menyusul iaitu ceramah umum isu PPSMI dan isu DUN Perak. Turut hadir adalah YAB Ir Nizar, En Dinsman (budayawan dan seniman), sasterawan negara Pak Abdul Samad Said serta para hadirin yang turut memperjuangkan isu pemansuhan PPSMI.





Saya amat tertarik dengan isi penyampaian Pak Samad. Terpana seketika melihat kelakuan lembut dan sederhana beliau, lengkap dengan bacaan puisi selepas habis ceramah ringkas yang beliau sampaikan. Kalimah penting yang saya hafal (Pak Samad menyebut dengan lembut dan berhati-hati sekali) iaitu “ dikatakan bahasa inggeris itu bahasa rezeki duniawi. Tetapi Bahasa Melayu itu bahasa jati diri. Rezeki duniawi itu penting. Tetapi antara rezeki duniawi dengan jatidiri…..pilihlah jatidiri”…..saya terdiam dan terus sebarkan SMS akan kalimah beliau ini kepada beberapa rakan saya.



Benar kata Pak Samad, PPSMI bukan agenda tahun 2002. Malah sejak awal Mahathir telah mula mempersiapkan pentas untuk maju dan melestarikan visi iaitu Malaysia ingin MAJU tiada yang lain, tidak perlu fikir aspek jatidiri dan aspek budaya. Wawasan 2020 yang dijadikan visi penting beserta 9 prinsip umumnya tidak pula menjelaskan Bahasa Melayu menjadi penghalang. Malah objektif Wawasan 2020 adalah menjadikan kemajuan negara melalui cara yang ‘tersendiri’. Semestinyalah maju dengan tradisi, bahasa dan budaya kita sendiri dan jika adapun etika kerja dan pengurusan yang berkiblatkan tradisi luar ia semestinyalah tidak menghancurkan matlamat Dasar Kebudayaan dan hak-hak undang-undang bahasa kebangsaan.

Pak Samad banyak mengetuk ingatan pendengar berkaitan sikap dan hati pejuang bahasa pada tahun 1967 yang tidak sanggup melihat kerajaan Melayu sendiri gugup dan pesimis dengan kemajuan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerajaan. Malah kajian ingin pula dibuat agar Bahasa Melayu difikir semula kesesuaiannya menggantikan Bahasa Inggeris dalam urusan rasmi terutama kehakiman.

Dahulu pernah sasterawan negara, Shahnon Ahmad menyelar Pak Samad apabila tidak bersama beliau berjuang Islam melalui PAS. Pak Samad berdiamkan diri dan terus mengkritik dasar kerajaan melalui puisi dan penulisan beliau. Beliau berkata dengan perlahan, saya terus menegur kerajaan tetapi dengan pena dan puisi kerana saya pemuisi….saya mula sedar beliau ingin jelaskan jiwa beliau sebenarnya. Pak Samad adalah golongan pejuang kiri pada saat sebelum merdeka. Pak Samad pernah berkempen untuk PKMM suatu masa dahulu malah beliau antara penulis yang banyak menegur rakyat melalui tulisan-tulisan tersusun rapi dengan warna-warna estetikanya tersendiri. Tidak secara zahir tegurannya.

Perjuangan Pak Samad bersama NGO lainnya terutama Gerakan Mansuh PPSMI adalah suatu rahmat kepada rakyat.

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha Teras Perak
AJK Media Jamaiy Perak




No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)