Tuesday, July 14, 2009

Teras dan Jamaiy di Casuarina

Teras dan Jamaiy di Casuarina

Saya telah diminta oleh Cikgu Azmi (Presiden Teras) untuk berjumpa dengannya di Hotel Casuarina, Ipoh, petang tadi. Di hotel berkenaan sebenarnya telah berlangsung Muzakarah Cendekiawan Islam sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Sebelum itu saya telah beberapa kali menghubungi Cikgu Azmi bertanyakan status perjuangan akta Tulisan jawi kerana saya ingin mengambil peranan tersebut. Selain itu, saya turut bertanya kepada beliau berkenaan pemanjangan perjuangan untuk menghadapi isu Sisters In Islam. Malah beberapa maklumat dan kajian umum telah saya berikan berdasarkan kajian saya dan aktivis Skuad Penyelamat Aqidah yang lain. Saya ingat SMS saya itu tidak relevan dengan situasi memandangkan Cikgu memang sibuk. Walau bagaimanapun, peluang berada di Ipoh digunakan untuk berjumpa saya.

Tadi saya dan AJK Jamaiy Perak bersama Cikgu Azmi dan Ustaz Azizi Abdullah bermesyuarat berkaitan pemerkasaan dan pengkaderan baru bagi aktivis muda JAMAIY. Banyak cadangan diberikan. Saya agak gembira mendengar beberapa orang pakcik dan ustaz-ustaz dalam JAMAIY menyatakan tulisan-tulisan saya banyak mempengaruhi semangat dan pemikiran kerja dakwah mereka. Saya semakin bersemangat untuk mengkaji dan menulis lagi.

Selepas mesyuarat, Cikgu ajak saya makan bersama Mufti Perak Al Fadhil Tan Sri Harussani. Saya sempat bertanya kepada Sohibul Samahah samada beliau menerima atau tidak surat yang saya kirimkan berkaitan isu Muhd Ridzwan. Malah saya kepilkan juga artikel tulisan saya untuk pihak Mufti bertindak. Gembira juga apabila mendengar beliau telah meneliti isi surat dan telah berbincang dengan pihak istana.

Cikgu Azmi meminta saya menyediakan draf laporan lengkap mengenai isu SIS, perkaitan kenyataan liberal mereka dengan pengharaman yang telah dilakukan oleh Majlis Muzakarah Fatwa serta apakah yang boleh dilakukan oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Sebenarnya laporan ini bakal diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk tindakan yang lebih berkesan dalam mendesak JAKIM bertindak. Bersama Cikgu, saya diajar untuk bertindak melaksanakan agenda dakwah melalui ruang yang lebih berkesan serta seiring dengan perundangan negara kita. Jarang kemahiran begini diajar dalam usrah-usrah.

Saya juga akan menyiapkan surat TERAS Pusat kepada Perdana Menteri berkenaan usul PERAWI untuk mengaktakan tulisan jawi. Ia akan dilakukan sesegera mungkin.

Kajian berkaitan isu Melayu, rasuah dan penyelewengan telah saya siapkan untuk kegunaan Ustaz Nasrudin Tantawi. Kajian seterusnya adalah kajian komprehensif berkaitan Sisters In Islam serta kajian Uygur untuk kegunaan TERAS. Moga saya terus belajar melalui kajian-kajian yang diamanahkan kepada saya.

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha Teras Perak
AJK Lajnah Politik DPPP

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)