15 Disember 2013- Sungai Rapat
YB Radzi Zainon tlah dijemput untuk menyampaikan ucapan sempena majlis penutup Kem Ibadah Rakan Muda Masjid Kampung melayu 15 Disember lalu.
YB Radzi Zainon, ADUN Sg Rapat berucap dalam majlis penutup sekitar jam 9.00 pagi tadi bertempat di Masjid Kg Melayu Sg. Rapat. Seramai 135 peserta telah menyertai kem yang berlangsung sepanjang 2 hari 1 malam ini.
Antara lain pesanan YB Radzi adalah perlunya generasi tunas muda seumpama para peserta ini didekatkan dengan progra masjid serta disesuaikan dengan agenda masjid yang lebih mesra remaja dan anak muda.
Berucap berkenaan isu 'tarbiatul aulad' atau asas pendidikan anak -anak bukan perkara asing bagi beliau. malah YB radzi sebelum ini juga merupakan salah seorang penceramah motivasi di Radio Perak sebelum beliau aktif dalam Pusat Khidmat Masyarakat Sungai Rapat.
Tuesday, December 17, 2013
Thursday, December 12, 2013
Jalanraya uzur di Kampung Teluk Pedang; YB Radzi turun padang
9 Disember 2013- Batu Gajah
oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
(Redaksi Warta Sungai Rapat)
Perjuangan ADUN PAS Sungai Rapat YB Radzi cukup signifikan dengan pembelaan nasib rakyat di Kampung Teluk Pedang Batu Gajah. Malah pada tahun 2012 ADUN BN ketika itu Dato' Hamidah Osman terpaksa menynsing tangan turun menemui rakyat untuk operasi 'counter back' yang menerima kunjungan Radzi.
Kg Teluk Pedang adalah sebuah kampung kecil dalam pentadbiran Ketua Kg Seri Jaya, dalam daerah Batu Gajah. Januari 2012 Ust Radzi telah "mempromosikan" kampung ini sebagai kampung yang masih ramai setinggan setelah wakil rakyat sebelum ini, Dato Hamidah Osman telah melaung retorik bahawa DUN Sg. Rapat telah tiada setinggan. Ini memaksa bekas wakil rakyat itu turun padang ke kampung ini setelah kenyataannya tentang setinggan sifar dapat disangkal oleh Skuad Basmi Setinggan yang diketuai Ust Radzi.
Kini, YB Radzi Zainon yang telah dipilih oleh majoriti rakyat di DUN Sungai Rapat terus istiqamah melaksanakan tugas berkhidmat untuk rakyat termasuk turun ke kampung-kampung meninjau masalah yang dihadapi oleh rakyat dikampung.
Jalan yang rosak ini bukan sekadar berlaku di satu tempat, tetapi hampir 15 lubang atau kerosakan di sepanjang jalan menuju Kg Teluk Pedang, dan jalan menuju ke Tanah Perkuburan Kg Seri Jaya sehingga Ladang Kinta Kellas. YB Radzi berharap Pejabat Daerah Batu Gajah melalui peruntukan Pembangunan Luar Bandar, (PLB) dapat membantu menyelesaikan masalah ini setelah dikemukakan aduan ini kepada mereka.
Thursday, December 05, 2013
Tamat Bahas Bajet, ADUN Sg Rapat kembali menyapa rakyat
Batu Gajah- 5 Disember 2013
Dalam kehangatan sidang DUN berkenaan isu bajet yang belum reda, YB radzi Zainon meneruskan agenda santuni rakyat pagi ini di Kampung Sungai Terap Batu Gajah.
Beliau menjengah rumah PUan Hajjah Monik yang berusia sekitar 90an tinggal bersama anak-anaknya yang juga berusia emas iaitu Cik Rohani berusia 66 tahun yang mengalami penyakit Parkinson dan anaknya Puan Ramlah 65 tahun seorang ibu tunggal.
Puan Hajjah Monik sebenarnya memiliki 9 orang anak lain yang tidak tinggal bersama beliau.
"Mengunjungi rakyat yang dhaif dan memerlukan bantuan adalah kerja pemimpin yang baik sepanjang zaman. Untuk menjadi pemimpin yang baik saya perlu istiqamah melaksanakan agenda kepimpinan yang baik", jelas Radzi berkenaan tugasan beliau yang kini semakin berlipat kali ganda sejak menyandang kerusi ADUN Sungai Rapat.
Antara aktiviti lain YB Radzi sebelum ini adalah majlis penyampaian bantuan peralatan ke sekolah yang disampaikan oleh Pusat Khidmat Masyarakat beliau kepada masyarakat sekitar Taman Desa Perlancongan, Taman Desa Pinji dan Taman Pinji Mewah.
Tuesday, November 26, 2013
Kenyataan Media - KERAJAAN PERLU PASTIKAN BAJET SAMPAI KE SASARAN DENGAN TELUS DAN SAKSAMA
KENYATAAN MEDIA ADUN SUNGAI RAPAT
26 NOV 2013
KERAJAAN PERLU PASTIKAN BAJET SAMPAI KE SASARAN DENGAN TELUS DAN SAKSAMA
Saya menyambut baik harapan kerajaan Negeri Perak yang diterajui oleh Dato’ Seri Zambry Abd Kadir yang ingin menjadikan peruntukan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM338.98 juta dalam Bajet 2014 Negeri Perak untuk memenuhi keperluan rakyat sekaligus menepati janji kerajaan selama ini.
Daripada peruntukan RM3 juta melalui Skim Tabaruk sehinggalah bajet RM 5 juta untuk perumahan rakyat, saya melihat banyak penambahbaikan peruntukan yang disediakan oleh pihak kerajaan khusus untuk rakyat bawahan berbanding tahun-tahun yang lalu.
Namun begitu saya suka untuk mengingatkan kerajaan agar memastikan perjalanan aliran wang berkenaan benar-benar sampai ke akar umbi dan kepada yang berhak.
Dalam hal yang sama saya juga mengingatkan kerajaan agar berhemat dalam membelanjakan Bajet mengurus iaitu sekitar RM673.63 juta kerana bajet ini sememangnya lebih berbanding bajet untuk pembangunan yang bakal dirasai oleh rakyat.
Pembaziran adalah suatu kemungkaran. Kerajaan perlu memantau sekiranya ada sisa baki projek mewah yang membazirkan kekayaan negeri perlu dihentikan dan dikaji semula. Kesemua acara rasmi kerajaan yang hanya melibatkan kemegaha inter eksekutif dan elit perlu dikawal sebaik mungkin. Lebih telus kerajaan perlu mewar-warkan sebarang bajet untuk aktivit mega dalam sidang DUN agar kesemua wakil rakyat mampu menjadi check and balance yang baik sesuai dengan kehendak sistem demokrasi negara kita ini.
Berbanding tahun lalu, peningkatan bajet untuk pengurusan adalah sekitar 7.5 peratus manakala bajet untuk pembangunan adalah sekitar 5 peratus. Peningkatan bajet pengurusan yang lebih tinggi inilah yang perlu diambil berat oleh semua kepimpinan kerajaan mahupun pembangkang agar ia tidak disalahgunakan.
Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian YAB Dato’ Seri Menteri Besar untuk memperuntukkan RM3,000 sebulan kepada 59 pusat khidmat ADUN bermula tahun hadapan termasuk kawasan yang diwakili ADUN pembangkang. Namun begitu alangkah adilnya jika peruntukan geran RM 250 ribu yang diperuntukkan kepada wakil rakyat pemerintah juga dianugerahkan kepada wakil rakyat pembangkang yang juga merupakan rakyat negeri Perak ini. Hal ini adalah kerana geran bernilai tinggi itu mampu memakmurkan kawasan-kawasan seluruh Perak jika ia disalurkan kepada yang berhak dan memerlukan. Budaya menjadikan Bajet dan peruntukan wakil rakyat yang dijadikan pesta meraikan kroni dan penyokong sahaja perlu ditamatkan.
Bersempena perbahasan bajet ini juga saya yang terpilih untuk menggangotai Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pengangkutan Awam MMK bagi Menangani Jenayah juga menggesa kerajaan negeri untuk turut sama menyertakan atau melibatkan wakil rakyat pembangkang dalam Jawatankuasa Tindakan Majlis Daerah dan juga dalam hal ehwal pengurusan GLC. Sepertimana yang diketahui umum, GLC adalah nadi kerajaan negeri dan sumber untuk memastikan bajet defisit negeri kita ini kembali pulih melalui pemerkasaan dan memaksimakan potensi GLC di negeri Perak.
Y.B Radzi Zainon
ADUN Sungai Rapat
Friday, November 15, 2013
Lagi isu setinggan; Harga premium mahal, tanah kecil pula yang diberi
13 Nov 2013- Ipoh
Satu sesi lawatan antara YB Us Radzi dan YB Howard Lee, ADUN Pasir Pinji ke Kg Sri Keramat, Kg Sri Murni dan Kg Tok Cendang -Kampung Setinggan, Pasir Putih Ipoh diadakan pada 13 Nov bertujuan untuk meninjau penempatan semula bekas penghuni setinggan.
YB Radzi yang terkenal dengan perjuangan membela rakyat setinggan meninjau dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan penempatan semula bekas penghuni kampung-kampung setinggan, iaitu Kg Sri Murni, Kg Tok Cendang dan Kg Sri Keramat yang melebihi 300 orang. Ramai yang masih resah dan mengeluh panjang dengan nasib yang menimpa mereka kerana projek penempatan semula ini memakan masa yang terlalu lama untuk diselesaikan dan disempurnakan, kira-kira sejak zaman Pakatan Rakyat mengetuai kerajaan Perak pada 2008 lagi.
Pada ketika itu, Dato Seri Nizar telah berkesempatan melawat kampung-kampung ini dan memberi komitmen untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Namun kerajaan PR tidak bertahan lama setelah berlaku rampasan kuasa. Ada yang menghuni di sini telah melebihi 30 tahun, namun semasa zaman Pakatan Rakyat memerintahlah nasib mereka mula diambil peduli.
Kawasan tiga kampung berkembar berkeluasan 84 ekar ini sangat strategik di tengah-tengah kawasan pembangunan baru Station 18 dalam Bandaraya Ipoh. Oleh itu, ia menjadi kawasan hartanah bernilai tinggi. Namun nasib bekas penghuni setinggan terus tidak menentu kerana untuk mendapatkan satu lot tanah mereka terpaksa menyediakan hampir RM10,000 untuk penyediaan tapak dan bayaran premium. Tambahan pula tapaknya jauh lebih kecil daripada yang dijanjikan iaitu hanya berkeluasan 45×70 kaki sahaja, sedangkan yang dipersetujui bersama-sama pada asalnya 50×80 kaki.
Bagi golongan yang telah lanjut usia dan tidak berkemampuan, mereka mungkin "terpaksa" melupakan angan-angan dan cita-cita mereka untuk mendapat sekeping tanah bergeran di sini walaupun telah hidup dan turut membesarkan anak-anak mereka di kampung setinggan ini sejak sekian lama.
Tiada siapa yang mampu membela mereka. Mereka bagaikan telah terjatuh ditimpa tangga pula. Hanya kerajaan yang benar-benar berkebajikan dan prihatin akan nasib mereka mampu membela mereka. Adakah kerajaan BN mampu, kita tunggu dan lihatlah kesudahannya. Kami hanya mampu membawa kisah duka mereka.
Thursday, November 14, 2013
Parlimen: PR Bantah bazir RM 1.6 juta, BN koyak kertas Usul
14 Nov 2013
Mungkin boleh dikatakan hari ini adalah hari mengoyak kertas di parlimen Malaysia. Dikhabarkan pagi tadi mengoyakkan kertas usul berhubung penggantungan Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana dikatakan menghina Dewan dan Speaker.
Pada waktu petang semasa membahas usul yang dibawa oleh YB Hajjah Fuziah Salleh (AP Kuantan) wakil rakyat BN berang dan membuat ribut seperti yang terakam dalam video di atas kerana usul itu menemplak bajet kerajaan untuk 5 penasihat koruptor BN untuk menjadi penasihat kerajaan dalam bidang tertentu.
Mereka antaranya adalah Dato' Seri Noh Omar yang dilantik penasihat PM untuk menangani kerajaan Selangor sedangkan Selangor telah ada MB. Tindakan ni seolah tindakan strategi jentera UMNO menawan Selangor dan mengapa bajet negara di bawah Jabatan Perdana Menteri dikeluarkan untuk membayar elaun beliau?.
UMNO juga terlalu cintakan koruptor wanita bernama Dato' Seri Shahrizat Abd Jalil yang dilantik sebagai penasihat hal ehwal wanita sedangkan Menteri Hal Ehwal Wanita telah ada.
Tan Sri Rais Yatim pula diamanahkan sebagai penasihat Budaya? Ia melucukan kerana menteri seolah-olah telah menjadi dungu sehingga memerlukan mantan menteri dibayar elaun untuk mentusyenkan Menteri baru!
Bagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, bajet sebanyak RM 1.6 juta untuk membayar elaun 5 orang insan yang ada rekos korupsi ini adalah suatu pembaziran, berniat nepotisme, berunsur percaturan politik serta menyeleweng wang rakyat.
Antara Ahli Parlimen yang dihalang berucap walaupun pada awalnya dibenarkan adalah AP temerloh YB Nasrudin Tantawi. Akhirnya AP Pakatan keluar Dewan Beramai-ramai. BN pula galak menjerit dan mengoyak kertas usul.
Sekian Hikayat Perjuangan Membawa usul Menyelamatkan Wang rakyat di Malaysia!
Monday, November 11, 2013
ADUN Sungai Rapat Tukar Pandangan dengan Majlis Agama
7 November 2013- Batu Gajah
Satu kunjungan hormat pihak ADUN Sg Rapat dan rombongan Pusat Khidmat PAS ke Pejabat Majlis Agama Islam Daerah Bt. Gajah dan Pejabat JKM Daerah Bt. Gajah telah diadakan pada hari ini.
Tujuan kunjungan ini adalah bertujuan untuk berbincang dari hati ke hati serta bertukar-tukar fikiran dengan Pegawai Majlis Agama Islam. Kunjungan YB Radzi dan rombongannya ini berlangsung hampir sejam, iaitu bermula seawal jam 9.15 pagi hingga jam 10.10 pagi sebelum turut mengunjungi pula ke Pejabat Jabatan Kebajika Masyarakat kira-kira 5 minit perjalanan dari pejabat ini.
Di JKM, beliau disambut pula oleh kakitangan JKM dengan diketuai En. Mohd Noor selaku pegawai utama di Pejabat JKM Bt. Gajah dan berakhir pada jam 11.00 pagi.
Sebagai cenderahati YB Radzi menyampaikan hamper berisi buah-buahan kepada anggota kedua-dua jabatan yang diziarahi sebagai tanda hubungan baik dan kerjasama erat antara pihak ADUN dan agensi kerajaan.
Wednesday, November 06, 2013
Nota Mudah Faham- ISU GULA SUBSIDI ATAU KRONI?
Nota Mudah Faham- ISU GULA SUBSIDI ATAU KRONI?
Susunan : Muhammad Nuruddin BashahKronologi Subsidi ditarik - Pelbagai Alasan
- Tahun 2011
- Subsidi gula ditarik 20 sen harga jadi 2.30/KG
- Alasan terlalu banyaknya penyeludupan gula ke Negara Thailand, dengan menaikkan harga gula, dapat kurangkan penyeludupan gula ke negara jiran. (Berita Harian 14 Mei 2011)
2.Tahun 2012 - Belanjawan 2013
- pengurangan subsidi 20 sen sekilogram harga jadi 2.50/KG
- Kerajaan masih menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kilogram ( RM278 juta)
- Alasan pesakit diabetes 2.6 juta rakyat.
3.Tahun 2013 - Belanjawan 2014
- Menghapuskan subsidi gula RM551.25 juta, hapuskan subsidi 30 sen harga jadi 2.84 /KG
- Alasan juga pesakit diabetes 2.6 juta.
- Laman web Futures pada September 2013 - peningkatan pengeluaran gula di Brazil, India dan Thailand, dalam masa yang sama permintaan gula rendah di pasaran dunia.
- Harga gula dunia sebenarnya rendah.
Gula dan Kroni UMNO
- Perbahasan Bajet 2014
- penghapusan subsidi itu hanya menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM551.25 juta.
- Penghapusan subsidi 34 sen sekilogram beri keuntungan sebelum cukai syarikat monopoli gula sehingga RM1 bilion
- Keuntungan 20% hingga 25%. (Malaysian Sugar Manufacturing (MSM) milik Felda Global Ventures dan Central Sugar milik Tradewinds yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary )
- kenaikan kelima sejak industri gula dikuasai Syed Mokhtar pada 2009 hingga 2013.
Harga naik kerana Kerajaan beli gula mahal
- Januari 2012, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - kerajaan sain perjanjian tiga tahun untuk mengimport gula mentah dengan harga AS$25 (RM78.59) setiap 45.36 kg.
- Harga pasaran = AS$18.91 (RM59.44) setiap 45.36 kg
- Beza harga kontrak melebihi 10 % daripada harga pasaran.
- Kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM64 juta setiap tahun.
- Malaysia (BN) tidak menyediakan pakar untuk membaca pasaran selain kumpulan perunding sebelum membuat sesuatu perjanjian dengan pengeluar gula antarabangsa.
Gula bukan komoditi anjal
- Jika barang anjal, sedikit sahaja perubahan harga akan menyebabkan permintaan barang berkurangan mendadak atau bertambah mendadak.
- Ceteris Paribus (all other things being equal.)
- Semakin tinggi harga barang, semakin kurang kuantiti barang yang diminta.
- Sebaliknya, semakin rendah harga sesuatu barang semakin banyak kuantiti barang yang diminta
- Dari segi teori permintaan (ekonomi), gula dikategorikan sebagai barang mesti dan bersifat tidak anjal sempurna. Maksudnya, perubahan harga gula tidak akan memberi kesan kepada perubahan kepada kuantiti gula yang diminta
- Naik harga gula tidak semestinya rakyat tidak membeli atau kurang mencari gula.
- Pesakit diabetes sentiasa meningkat dengan kadar sebanyak :
6.3 % pada 1986,
8.3 % pada 1996,
14.9 % pada 2006
20.8 %. Pada 2011
10.Punca sebenar diebetes - berat badan berlebihan, genetik, gaya hidup dan diet tidak sihat, meminum alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan secara tetap.
11.Faktor-faktor yang mempengaruh permintaan Gula;-
- Harga barang itu sendiri ( harga naik mungkin kurang beli)
- Harga barang lain (barang pengganti dan penggenap jika ada pengganti gula)
- Citarasa (citarasa asia memang perlukan gula, sukar kurang permintaa hanya disebabkan harga)
- Pendapatan (faktor pendapatan kurang mempengaruhi penggunaan gula di Malaysia)
Gula adalah ‘barang mesti’ (Tak anjal sempurna)
- Barang yang diperlukan oleh pengguna dan permintaan terhadap barang ini tidak dipengaruhi oleh perubahan dalam tingkat pendapatan. Kuantiti barang diminta tetap sama walaupun tingkat pendapatan pengguna berubah. Contoh barang mesti ialah gula, garam dan beras.
- Contohnya garam. Apabila harga naik dari 50sen ke 60 sen atau sebaliknya. Kuantiti permintaan garam tetap pada 1kg sebulan.
- Grafnya menegak.
- Harga naik dari P 0 hingga P2, namun permintaan tetap Q0.
- Rakyat tanggung kos walaupun naik kerana tiada alternatif seperti rokok (pilihan rokok daun/rokok seludup)
Nota Mudah Faham- NASIB EKONOMI NEGARA PASCA PRU 13
Nota Mudah Faham- NASIB EKONOMI NEGARA PASCA PRU 13
Susunan : Muhammad Nuruddin Bashah
Defisit dan Hutang
- Bajet 2014 masih kekal sebagai bajet defisit 16 tahun berturut-turut.
- Hutang negara bagi tahun 2013 dijangka meningkat kepada RM541.3 bilion dan akan terus meningkat kepada RM578.4 bilion iaitu 54.7% daripada jumlah KDNK. (Maybank Berhad)
- Akta 637 Akta Pinjaman Tempatan 1959 dan Akta 275 Akta Pelaburan Kerajaan 1983 - gabungan pinjaman tidak boleh lebih 55 peratus dari (KDNK).
Pendapatan Negara
- Sejak lima tahun lalu, pendapatan negara telah meningkat kepada RM50 bilion namun ia dibazirkan
- Petronas terpaksa menyumbangkan lebih RM30 bilion setahun sejak 2008.
- 1.8 juta rakyat Malaysia membayar cukai Pendapatan peribadi, (hanya 28% daripada jumlah keseluruhan 6.4 juta orang pembayar cukai berdaftar atau 14% daripada keseluruhan 13 Juta Tenaga kerja;
- 107,043 Syarikat membayar Cukai Pendapatan korporat Daripada 508,150 syarikat Membayar cukai yang berdaftar;
- Pergantungan Berlebihan kepada Minyak dan Gas yang Menyumbang 35%-‐40% daripada jumlah pendapatan;
Pembaziran
- RM20 bilion hingga RM30 bilion boleh dijimatkan sekiranya semua pembaziran dan penyelewengan yang dilaporkan Ketua Audit Negara dihentikan (Laporan Audit 2012).
Contoh pembaziran 2012:
- Pembaziran dianggarkan sebanyak RM1.6 billion. dari 2010 ke 2012 dari jumlah RM3.689 billion peruntukan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membayar pengawal tidak bersenjata bagi mengawal sekolah pengawal yang berumur dan tidak disahkan latar belakang dan juga CCTV yang tidak berfungsi.
- Kementerian Kerja Raya mengalami kerugian kira-kira RM1.1 billion atau 50 peratus daripada nilai asal akibat kelemahan pemantauan projek dan kegagalan menuntut balik bayaran daripada kontraktor.
- Dari tahun 2010 hingga 2012, sebanyak 83 projek mansuh dianggarkan berjumlah RM2.2 billion.
- Manakala Kementerian Pengangkutan pula membelanjakan hampir RM1.42 billion dari jumlah peruntukan RM1.47 billion untuk menambah baik Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
- Walaupun lebih 96 peratus peruntukan telah diguna, namun projek yang dimulakan pada tahun 1996 ini masih belum siap.
- Bukan sekadar RM20 juta. Sebenarnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membayar RM270 juta kepada jururunding latihan bahasa Inggeris daripada Britain, jawapan Parlimen yang saya terima daripada Menteri Pendidikan, Kementerian telah melantik tiga perunding luar iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group, dalam program tiga tahun yang bertujuan untuk 'meningkatkan kapasiti' guru bahasa Inggeris.
- Pihak kementerian menjelaskan, tiga firma perunding telah dianugerahkan kontrak mulai tahun 2011 hingga 2013 dengan kos keseluruhan berjumlah RM268.5 juta atau RM89.5 juta setahun.
Ciri dan masalah utama Bajet 2014-
- Perbelanjaan pengurusan negara naik daripada RM 216.2 billion (2013) kepada RM 217.6 billion (2014), (Kementerian membazir)
- Perbelanjaan pembangunan dikurangkan daripada RM 45.1 billion (2013) kepada RM 44.5 billion (2014). (pembangunan dikurang)
Keadaan ekonomi rakyat
- FOMCA melaporkan sejumlah 47% pekerja muda di negara ini dibebankan dengan jumlah hutang yang begitu serius.
- Kajian Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna menyatakan lebih 30% daripada gaji golongan muda digunakan untuk membayar hutang.
- Nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada KDNK berada pada tahap 83%, antara yang tertinggi di rantau ini, berbanding 71.7% pada 2009 dan 39% pada permulaan krisis kewangan Asia 1997.
Subsidi ditarik
- Sejak 2008 Subsidi RM74 billion untuk rakyat ditarik balik, subsidi RM84 billion untuk korporat dikekalkan.
- Bajet 2014 memotong RM7.29 bilion jumlah subsidi kepada rakyat.
- Sebelum Bajet 2014 kerajaan menarik balik subsidi gula untuk rakyat berjumlah RM551.25 juta
- Tarik subsidi minyak masak untuk rakyat bernilai RM505.4 juta
- Akibat penghapusan subsidi gula- industri gula akan dimonopoli oleh 2 syarikat utama iaitu Malaysian Sugar Manufacturing (dimiliki Felda Global Ventures) dan Central Sugar (dimiliki Tradewinds).
- Pendapatan kasar industri gula adalah sekitar RM 4 billion setahun.
- Setelah kemasukan syarikat dimiliki Tan Sri Mokhtar ke dalam sektor ini, keuntungan sebelum cukai telah melonjak naik kepada 15%.
- Dengan penghapusan subsidi, keuntungan sebelum cukai syarikat-syarikat di dalam sektor ini dijangka melonjak ke 20% hingga 25%.
Tuesday, November 05, 2013
Nota Mudah Faham- GST BAHAM RAKYAT BAWAHAN
Nota Mudah Faham- GST BAHAM RAKYAT BAWAHAN
Susunan : Muhammad Nuruddin Bashah
Sebelum GST (Goods and Services Tax)
- Orang Cina ialah pembayar cukai tertinggi di Malaysia di mana ia penting untuk pembangunan negara.
- Kaum Cina membentuk majoriti golongan berpendapatan sederhana dan tinggi di Malaysia.
- Hingga kini, mereka menjadi bangsa terkaya di Malaysia dengan penguasaan 40.9 peratus (tahun 2004)
- Kaum Melayu majoriti tidak terkena cukai pendapatan hanya cukai tidak langsung seperti SST (Sales Tax and Services Tax).
- Selepas GST, Melayu susah pun terpaksa bayar cukai.
Beza GST dan SST
- GST atau CBP (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) akan dilaksanakan di negara ini. Kadar asal yang diumumkan sebelum ini ialah 4%.
- Ia adalah lebih rendah dari Sales tax (6%) dan Services tax (10%) yang memang telah dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan terpilih (barang mewah/bukan keperluan) cth bil telekomunikasi, langganan ASTRO, Pizzahut, KFC, Tesco, Parking, tiket wayang dsbnya.
- GST akan dikenakan kepada semua barangan tanpa kecuali. Ini termasuklah pakaian, susu, tepung, beras, semua barang keperluan, tiket bas, LRT, ubat-ubatan dan seterusnya walaupun kerajaan nafi kenakan kepada beberapa barang makanan. Namun kesan pengeluaran yang naik harga akibat GST akan menghasilkan barang makanan itu naik juga.
- SST ditanggung oleh mereka yang mewah dan golongan pertengahan jika mereka membeli barang-barang dan melanggan perkhidmatan yang diketegorikan sebagai 'mewah'.
- GST pula akan ditanggung oleh semua rakyat kerana semua barangan dan perkhidmatan yang kurang perlu (mewah) dan perlu akan dikenakan GST. Namun kadarnya lebih rendah iaitu 4% berbanding 6% bagi cukai jualan dan 10% bagi cukai perkhidmatan.
- Kadar yang lebih rendah ini mungkin menguntungkan orang yang mampu berbelanja namun bagi golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah akan menanggung GST yang sebelumnya tidak ditanggung oleh mereka
Alasan kerajaan ingin GST
- GST boleh mengatasi berbagai kelemahan yang terdapat dalam sistem cukai kepenggunaan sedia ada.
- Antara kelemahan-kelemahan yang ketara yang tidak boleh diatasi di bawah sistem cukai sedia ada adalah seperti
- kesan cukai bertindih,
- cukai berganda dan cukai bertingkat,
- isu kebocoran dan ketirisan hasil akibat daripada aktiviti pemindahan harga dan sebagainya.
- GST yang sudah dilaksanakan di lebih 140 negara dikatakan BN hanya akan memberi faedah kepada golongan berpendapatan rendah, malah seluruh rakyat selain meningkatkan hasil cukai kerajaan serta mengelakkan ketirisan dalam menjana pendapatan negara. (Soalnya ketirisan RM 20 bilion adalah akibat rasuah, salah urus kementerian/agensi kerajaan - rujuk laporan Audit Negara 2012)
Sebenarnya kenapa kerajaan ingin GST?
- Sebenarnya GST dilaksana kerana kerajaan gagal mendapat kutipan cukai pendapatan secara menyeluruh dari pembayar yang cukup ‘haul’ menyebabkan pendapatan negara bocor.
- Logiknya pencarum aktif KWSP sehingga tahun 2012 adalah sekitar 13 juta. Sebalik menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan daripada kira-kira empat juta rakyat yang mempunyai fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya 1 juta rakyat diklasifikasikan sebagai pembayar cukai.
- Kerajaan ingin dapat pendapatan RM27 bilion setelah membazir RM 20 bilion 2012. (Laporan Audit Negara 2012)
Kesan GST (selepas dilaksana 1 April 2015)
- Tahap inflasi akan meningkat sebanyak 2% apabila GST dilaksanakan.
- Kalaupun barang itu tidak dkenakan GST, harga akan tetap melambung kerana penarikan subsidi atau akibat GST yang menaikkan kos pengilangan barang itu.
- Konsep win-win situation yang BN hebahkan- 70 peratus Perusahaan Kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dijangka menikmati pengecualian GST, manakala syarikat besar pula akan dikecualikan daripada membayar cukai bagi beberapa yuran profesional.
- Hakikatnya peralatan, servis dan bahan mentah perusahaan kecil itu akan terkena GST juga dan perusahaan kecil tetap terpaksa berhadapan tekanan ekonomi.
- Hartanah kediaman tidak akan dikenakan GST tetapi bahan binaan yang digunakan dalam pembinaan hartanah kediaman terkena GST.
- Beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu, belacan tidak dikenakan GST.
- Dengan kenaikan bahan mentah/bahan maintenence untuk memproduksi barangan di atas, adakah harga baragan itu tidak naik. Misalnya tarif elektrik industri, serta penyelenggaraan kilang. Tambah-tambah subsidi juga semakin ditarik balik menyebabkan harga barang tetap melambung.
Perhatikan rajah di bawah:-
- Sifir di atas memang menonjolkan harga yang dibayar pengguna kekal sama cuma yang membezakan ialah SST cukai hanya kerajaan dapat dari pengeluar sebaliknya GST kerajaan dapat ambil wang bagi setiap lapisan pemborong.
- Cuma adakah ada jaminan setiap lapisan tadi tidak menaikkan lagi harga untuk melindungi kerugian akibat membayar GST? Akibatnya pengguna akan terkena harga yang terakhir iaituakibat kenaikan dari pengeluar, kenaikan oleh pemborong dan kenaikan oleh peruncit.
GST boleh dilaksanakan tetapi...
- Di negara maju, falsafah perlaksanaan GST bukanlah untuk mencipta hasil baru atau meningkatkan pendapatan bagi negara tetapi untuk memastikan satu sistem percukaian yang saksama dan menyeluruh.
- Najib kata Singapura buat GST.
- Singapura, cukai korporat dan cukai peribadi jauh lebih rendah antara 16 hingga 17 peratus.
- Malaysia walaupun diumum turun satu hingga dua peratus tetapi kadar dua cukai itu masih tinggi antara 23 hingga 24 peratus.
- Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, GST boleh dilaksanakan apabila pendapatan minimum isi rumah mencapai satu tahap yang dikira sesuai untuk menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli cukai tersebut. Masalahnya pendapatan minmum isi rumah kaum melayu paling meleset. (rujuk Ucapan Ketua Pembangkang dalam Bajet 2014 Parlimen)
- Lebih 40% rakyat berpendapatan isi rumah kurang daripada RM 2,500 sebulan; 80% daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera.
Melayu Sokong GST Melayu Tempah Malang
Melayu Sokong GST Melayu Tempah Malang
Hikayat malang kaum Melayu akan semakin memuncak apabila sebahagian besar kaum ini bersetuju dengan GST apabila mengundi BN dalam PRU ke-13 yang lalu. 63 peratus pengundi melayu yang memilih BN sebenarnya alpa dengan isu-isu seperti kalimah Allah (sedangkan KDN yang beri permit cetak bible bahasa melayu), isu ketuanan Melayu, Perdana Menteri Cina serta beberapa isu perkauman yang lain sehingga mereka lupa mereka semakin hampir dengan kondisi ‘makan pasir’.
Istilah Najibnomic bolehlah diertikan sebagai usaha menghisap kebahagiaan rakyat. Buktinya, kaum melayu yang selama ini terlalu kurang membayar cukai terutama cukai pendapatan kini terpaksa menghadapi gergasi cukai wajib yang bernama GST.
Menurut Dr.Mahathir Mohamad,masyarakat Cina ialah pembayar cukai tertinggi di Malaysia di mana ia penting untuk pembangunan negara. Kaum Cina membentuk majoriti golongan berpendapatan sederhana dan tinggi di Malaysia. Hingga kini, mereka menjadi bangsa terkaya di Malaysia dengan penguasaan 40.9 peratus (tahun 2004) jumlah ekuiti hak milik ekonomi negara.
Menurut Sulaiman Mahbob, pada Disember 2007, pendapatan rumah tangga bulanan kaum Cina a berada di RM 4437 ringgit. Akibatnya kaum Cina menjadi penyumbang terbesar cukai pendapatan dan pelbagai cukai kerajaan kepada dana kerajaan. Ini fakta.
Kaum melayu majoritinya tidak perlu membayar cukai pendapatan kerana tidak cukup ‘haul’. Dengan pendapatan sederhana ditambah dengan banyak rebat dan tanggungan, kaum melayu hanya membayar cukai jalan, serta cukai SST yang terlalu sedikit.
Kaum Cina selama ini yang membayar banyak cukai pendapatan lantaran taraf ekonomi mereka. Dan itu adalah tanggungjawab mereka.
Kini apabila kerajaan berhasrat membuat GST yang sebenarnya telah dihebah sebelum pilihanraya lagi (majoriti kaum melayu tidak faham ekonomi), kaum melayu yang berada di taraf rendah ekonomi ini terpaksa pula membayar sebahagian besar cukai dalam barangan harian. Kalaupun barang itu tidak dkenakan GST, harga akan tetap melambung kerana penarikan subsidi atau akibat GST yang menaikkan kos pengilangan barang itu.
Kerajaan BN sedang mengelirukan rakyat apabila mendakwa melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) harga barangan keperluan akan jauh lebih murah berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Kata laman penerangan kerajaan pula, GST boleh mengatasi berbagai kelemahan yang terdapat dalam sistem cukai kepenggunaan sedia ada. Katanya antara kelemahan-kelemahan yang ketara yang tidak boleh diatasi di bawah sistem cukai sedia ada adalah seperti kesan cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat, isu kebocoran dan ketirisan hasil akibat daripada aktiviti pemindahan harga dan sebagainya.
Soalnya disini rakyat tidak mahu tahu cukai bertindih atau pengurusan cukai yang cekap. Yang mereka perlu tahu adaah kesan terhadap harga dan kemampuan mereka untuk membeli.
Sebenarnya antara perkara yang tidak dikenakan cukai di bawah SST tetapi akan dicukaikan melalui GST termasuk susu, kopi, teh, air mineral, buah dalam tin, akhbar, alat tulis, beg sekolah dan lain-lain lagi keperluan rakyat bawahan.
Malah pengguna elektrik melebihi 200 KWH atau melebihi RM50 (yang menggunakan air cond misalnya) juga akan dikenakan cukai GST.
SST (cukai lama) cuma terhad kepada restoran tertentu dan perkhidmatan profesional yang diberikan oleh akauntan, arkitek, perkhidmatan kenderaan bermotor dan pusat pembaikan, perkhidmatan telekomunikasi, keselamatan dan ejen hartanah.
Mari kita perhatikan putar belit GST dalam hal hartanah. Kerajaan berkata harta kediaman tidak akan dikenakan GST tetapi bahan binaan yang digunakan dalam pembinaan hartanah kediaman terkena GST.
Perdana Menteri juga cuba mengusutkan minda rakyat apabila mengumumkan bahawa bukan semua perkara dikenakan GST.
Katanya barang penting seperti Beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu, belacan tidak dikenakan GST.
Dengan kenaikan bahan mentah untuk memproduksi barangan di atas, adakah harga baragan itu tidak naik. Misalnya tarif elektrik industri, serta penyelenggaraan kilang. Tambah-tambah subsidi juga semakin ditarik balik menyebabkan harga barang tetap melambung.
GST ini akan menggantikan cukai jualan (umumnya 10 peratus) dan cukai perkhidmatan (enam peratus) yang bermula masing-masing pada tahun 1972 dan 1975 lagi.
Sebenarnya GST juga dilaksana kerana kerajaan BN gagal mendapat kutipan cukai pendapatan secara menyeluruh dari pembayar yang cukup ‘haul’ menyebabkan pendapatan negara bocor.
Logiknya pencarum aktif KWSP sehingga tahun 2012 adalah sekitar 13 juta. Sebalik menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan daripada kira-kira empat juta rakyat yang mempunyai fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya 1 juta rakyat diklasifikasikan sebagai pembayar cukai.
Sama ada tidak membayar cukai atau melakukan pelbagai cara untuk mengelak cukai. Akibatnya kerajaan mencari poket rakyat bawahan untuk dirobek.
Perdana Menteri kita yang anti DAP dan PAP ini juga menegaskan bahawa Singapura mampu melaksanakan GST dan Malaysia wajar mengikuti langkah itu.
Tetapi menurut mantan Timbalan Gabenor Negara Dr Rosli Yakob, di Singapura, cukai korporat dan cukai peribadi jauh lebih rendah antara 16 hingga 17 peratus sahaja. Ya memang Kerajaan BN umumkan penurunan satu hingga dua peratus tetapi kadar dua cukai itu masih tinggi antara 23 hingga 24 peratus. Sekali lagi Perdana Menteri kita berbuat jenaka kepada rakyat bawahan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, GST boleh dilaksanakan apabila pendapatan minimum isi rumah mencapai satu tahap yang dikira sesuai untuk menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli cukai tersebut. Masalahnya pendapatan minmum isi rumah kaum melayu paling meleset.
Malah FOMCA sendiri mengatakan 60 peratus pendapatan rakyat Malaysia digunakan untuk membayar hutang. Jadi bolehkah kerajaan menaikkan pendapatan isi rumah dahulu sebelum melaksana GST untuk mencapai win-win situation? Jawapannya situasi win-win situation adalah kempen haprak kerajaan BN yang semestinya tidak akan dilaksanakan.
Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Lajnah Penerangan PAS Perak
AJK DPPK Gopeng
Galeri Foto: Muslimat Gopeng dan Baling PRK DUN Sungai Limau
Pada minggu pertama kempen, selepas saya kembali dari perkampungan Negeri Perak untuk PRK DUN Sungai Limau, Wardah (Isteri) pun nak bersama Muslimat Gopeng yang masih ada di sana...
Ini adalah sebahagian gambar kegiatan mereka...
Dok riki tengok mana rumah tak pi lagi....
YB Nasir Zakaria AP Padang Terap (Ketua Pemuda PAS Kedah) bersama rakyat..
Wardah bersama Muslimat Gopeng dan Baling....
Muslimat Baling.....
Wardah dukung salah seorang anak pengundi Tionghua.....
Subscribe to:
Posts (Atom)
Kursus Intensif Percussion-alat ketuk




















































