Tuesday, September 01, 2009

Jalan-jalan LPN ke Gerik

Jumaat lalu, 28 Ogos, saya sekali lagi ke Lubok Merbau untuk menjalani rutin sebagai anggota Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Perak, iaitu mesyuarat 'pre-council' bersama YB Zainuddin.

Melihat-lihat pejabat khidmat masyarakat Lubok Merbau yang luarnya rumah papan ala perak, dalamnya pula ala chalet yang serba lengkap mengingatkan saya betapa pejabat ini boleh dimanfaatkan oleh mahasiswa untuk mesyuarat dan bengkel. Serba mudah dan lengkap. Teringat saya, jika masih belajar, mesti tempat macam itu yang saya senaraikan sebagai tempat untuk daurah...

Selepas memberi laporan kepada YB (kami panggil Pak Din ja) mengenai beberapa Kelab Penyokong PAS India yang belum dikenalpasti, kami berbincang kaedah untuk perkukuhkan lagi tenaga kerja sokongan kaum India di beberapa kawasan. Gembira juga saya mendengar berita bahawa Pasir Panjang, DUN yang diwakili oleh MB Ir Nizar juga memiliki Kelab Penyokong PAS India.

Secara melawak saya bertanya kepada Abg Man Kasut mengapa golongan kaum bukan Islam dalam KPP memilih PAS dan bukannya DAP atau PKR kerana dalam parti tersebut mereka memiliki kuasa, suara dan pangkat. Malah ruang politik mereka luas. Abg Man jawab...itulah HIDAYAH Din oi...

Ya, mereka suka dengan organisasi PAS yang bekerja tanpa upah, tiada pengkhianatan dalam PAS malah mereka suka ditadbir secara Islam...siapa kata sistem Islam tidak memikat hati kaum bukan Islam? Bank Hong Leong adalah antara bank bukan Islam pertama yang menjalankan sistem ekonomi Islam...

Saya dan Abg Man terus ke Gerik! Rupanya ada majlis berbuka puasa PAS Kawasan Gerik yang diadakan di masjid daerah! Kami terbayangkan bubur kanji Gerik dan nasi ulam Ulu Perak....memang sedap...

Abg Man bukan saja-saja nak pi makan...

Dia ada misi walaupun selalu melawak saja kerjanya...

Beliau ingin kukuhkan Kelab Penyokong Pas di Pengkalan Hulu dan Gerik. Kami berjumpa anggota LPN Gerik dan calon parlimen Gerik.

Maksudnya kerja Abg Man ni tidak rasmi selalunya. Sambil melawak, berjalan pusing Perak sambil mengukuhkan sistem jamaah secara tidak langsung. Saya belajar banyak daripada beliau.
Abg Nazri sibuk sikit sebab banyak perlu tumpu isu Bernas di Kuala Lumpur. Beliau sekarang ayam tambatan Cikgu Azmi. Saya pun dak tawar diri menjadi pembantu Cikgu Azmi....tapi dengan kaedah saya sendiri yang kadang-kaedah orang lain tidak mampu lakukan....

Muhammad Nuruddin Bashah
Penolong SU LPN Perak

Monday, August 24, 2009

Gelombang Kelab Penyokong PAS ke Permatang Pasir

Perjuangan PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional merupakan satu lonjakan amal yang mencapah, holistik dan menepati aspirasi sebenar dakwah Rasulullah.
Sejak dahulu lagi PAS perlu melonjakan lajnah ini. Melalui Kelab Penyokong PAS yang disebarluaskan, hari ini kita boleh melihat sendiri sebuah parti ISLAM, parti agama, memiliki sekuad kempen dari kalangan bukan Islam. Mereka gagah dan berkederat waja untuk menyarung bersama baju PAS/Islam menghayun lamgkah dalam cuaca hujan untuk berkempen di perkempungan Cina di Cross Street Permatang Pasir. Kami juga bersama Kelab Penyokong PAS menjelajah rumah ke rumah di pekan Permatang Pauh.
Bermula seawal 8.00 pagi kami telah berkumpul di Markaz Perak di Permatang Pasir dan kemudiannya bergerak ke Pekan Permatang pauh. Selesai ke sana kami juga membawa sahabat bukan Islma ke Markaz Utama Permnatang Pasir iaitu pejabat Allahyarham YB Hamdan sendiri. Saudara Hamdan Fadel (AJK LPN Perak), Saudara Man Kasut (Penyelaras Kelab Penyokong PAS Perak) Saudara Vincent Lee (Penyelaras Biro keahlian KPP Pusat) dan beberapa pemimpin Kelab Penyokong PAS Pusat, Saudara Shamsul(LPN Negeri Sembilan/ YDP TERAS N.9) telah menjayakan misi ini walaupun hujan lebat dan diuji dengan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan.
Di sana berkumpul sifu Lajnah Perpaduan Nasional Pusat iaitu YB DR Mujahid bersama Peguam Hanifa Maidin. Tidak ketinggalan juga saya berjaya merakam gambar Ustaz Idris Ahmad berbincang serius dengan YB Mahfuz.
Hampir 20% kawasan Cina di DUN Permatang Pasir dan kami menjelajah sehampir 99% rumah rumah di sana bersama bekalan maklumat, ramah tamah dan komunikasi hebat Kelab Penyokong di kalangan Cina.
Saya dapat merasakan dakwah sebenar dalam hal ini apabila jelajah kempen ini berjaya membawa akhbar Harakah ke tangan kaum bukan Islam. Bayangkan kandungan Harakah yang penuh dengan aspek Islam dan tazkirah Tuan Guru, ayat Al Quran (terjemahan) dan sebagainya berjaya dihulurkan kepada non Muslim. Inilah realiti dakwah yang saya idamkan sejak dahulu. Atas nama politik dan perjuangan keadilan mereka akhirnya berpeluang menliti aspek Islam dan dapat bergaul rapat dengan orang Islam. Ini juga tarbiah kepada penggerak PAS yang 'fobia' dengan kaum bukan melayu yang terbiasa selesa berdakwah sesama bangsa sahaja.
Abg Man Kasut (Mohd Saad) Taiping tetap hadir dan bersemangat walaupun beliau baru ditimpa musibah rumah dihayun ribut sehingga memusnahkan hadapan dan ruang tamu rumahnya. Tarbiah sebegini bukan dimiliki oleh semua manusia hatta yang mengikuti tamrin-tamrin sekalipun. Tamrin sebenar adalah tamrin secara langsung dari Allah SWT.

Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Penolong Setiausaha
Lajnah Perpaduan Nasional Negeri PAS Perak

Galeri Kempen Lajnah Perpaduan Nasional di Permatang Pasir

Muslimat bersama Vincent Lee
Bersiap bergerak

YB Mahfuz bersama Ustaz Idris
Vincent Lee

Celahan rumah Cina banyak anjing, saya jumpa jenis Rod Willer, aisey..garang!! bunyi serak basah....

YB Dr Mujahid....guru awal saya dalam LPN....

Di Kedai simpang 3

Abg Man Kasut..kekanda ku...

Yang kanan tu Shamsul (Pengerusi LPN N.Sembilan)

ramai-ramai gerak...


Ini muka saya......dari Balik Pulau ke Permatang Pasir terus balik ke Ipoh lepas buka puasa...

Saturday, August 22, 2009

Fitnah terhadap Tuan Guru Nik Aziz

Sahabat saya Abg Man Taiping (Man Kasut) iaitu Ketua Penyelaras Kelab Penyokong PAS Perak telah mendapat sms ini;

Sempena bulan Ramadhan yang akan tiba dan untuk menyemak status anda ke syurga dan neraka, saudara/i boleh telefon terus kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di talian 0199105555 ingat jangan tak talipon tau, nanti dkatakan kita tak percaya Tok Guru susahlah kalau dia tak sokong lagupun syurga kan Nik Mat ( bapa dia) yng punya. Dari no ini; 012 42 96365

Saya rasa ada baiknya sahabat sekalian cuba-cuba telefon penfitnah ini dan beri ‘ayat-ayat cinta’ kepada beliau….

Thursday, August 20, 2009

Usaha Transformasi Sosial dan Qariah di Perak


Usaha Transformasi Sosial dan Qariah di Perak


Perlancaran Gerakan Qariah Negeri Perak berjalan dengan lancar sebentar tadi di Dewan Besar Masjid Ipoh. Program ‘realiti’ ini diusahakan oleh TERAS dan CAP bersama Jamaiy Perak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak.



Besar harapan Cikgu Azmi untuk membina kampung atau Qariah mithali seluruh negara di mana hampir 8000 qariah rasmi telah sedia ada di seluruh negara.



Sebelum ini pernah Cikgu menghulurkan manual dan projek qariah contoh sebegini kepada saya semasa saya masih bekerja di Pulau Pinang. Malangnya selepas puas mempromosi manual berkenaan, ia dipandang dingin oleh masyarakat di kampung asal saya sendiri.
Tetapi manual tersebut kini diperluaskan dan dikembangkan untuk dipraktikan seluruh negara. Malah sebelum ini pun Cikgu Azmi telah berjaya menerapkan manual ini di selatan Thailand serta didokumentasikan.



Program ini mensasarkan 300 Qariah di Perak untuk diaktivismekan serta diperkembang potensi untuk menjadi medan penyelesai permasalahan umat, masalah sosial dan kemelesetan kehidupan. Menjelang tahun 2012 pula seramai 1500 Teman (aktivis Qariah) disasarkan untuk dilatih.


Mujur juga Jamai’y Perak (Jaringan Permuafakatan Pertubuhan Islam Perak) telah berjaya membuka Pusat latihan Jamai’y di Ampang. 5 hingga 6 September nanti akan diadakan latihan Penggerak sosial Jamai’y. Kemurahan hati Dr Khairudin (Pengerusi Jamai’y) untuk mengeluar dana RM 50000 dalam usaha membina Pusat latihan tersebut adalah satu jasa untuk agama yang tidak terbalas. Tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang Jamai’y dan Teras berjaya mengumpulkan ahli qariah dan ajk NGO-NGO Islam seluruh Perak untuk merealisasikan hasrat mulia ini.




Pandangan salah seorang peserta bengkel tadi berkenaan pemisahan sosial dalam masyarakat adalah suatu realiti yang pelru difikirkan bersama. Masyarakat hari ini yang dibatasi dengan pagar tinggi dan tembok tebal di rumah masing-masing menyebabkan gejala ketidakterlibatan berlaku. Peminggiran masyarakat yang berpendapatan rendah seperti penggali kubur, peniaga kecil dan petani berlaku secara berleluasa walaupun dilaungkan persamaan taraf semasa khutbah-khutbah Jumaat serata Qariah.



Program ini pastinya akan disusuli dengan pembinaan tahap pertama Skima gerakan qariah ini iaitu melalui pembinaan aktivis seramai 5 orang. Teknik nukleus dakwah seperti sunnah Rasulullah ini diharapkan berhasil melalui kesedaran wakil-wakil qariah tadi selepas dimotivasi melalui video penindasan dan kesengsaraan umat Islam serata dunia.

Muhammad Nuruddin Bashah
Ajk Media Jamai’y Perak

Wednesday, August 19, 2009

Khidmat Nisa' Diteruskan


Kerancakan kempen mahupun sebarang persediaan yang dilakukan untuk pilihanraya kecil N11 DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini tidak membantutkan aktiviti tetap Nisa’ Bayan Baru daripada terus diadakan. Sungguhpun sumbangan Nisa’ turut diperlukan bagi melancarkan aktiviti di Permatang Pasir, komitmen dan sikap saling membantu antara ahli memudahkan perjalanan aktiviti yang dirancang. Alhamdulillah.

Hujan turun renyai ketika ‘Smart Class’ seperti yang dijadualkan pada setiap hari Selasa dan Rabu berjalan semalam. Semuanya berjalan dengan lancar. Kehadiran adik-adik kecil ke ‘Smart Class’ jelas menunjukkan kesungguhan mereka untuk menyiapkan kerja sekolah dengan dibantu oleh ustazah-ustazah (panggilan mereka pada ahli Nisa’ yang datang membantu). Rata-rata yang datang semalam menyiapkan pembetulan ujian yang baru berlalu ataupun membaca buku sebagai persediaan untuk menduduki ujian bulanan yang akan datang. Mana yang tidak faham terjerit-jerit memanggil, "Ustazah!Ustazah!", minta datang membantu.
Mengajar mereka sebenarnya mengingatkan diri pada adik sendiri. Mengajar, marah kerana sayang. Mudah-mudahan usaha membantu adik-adik ini diberkati dan adik di rumah juga menerima guru yang baik. Bak kata orang, 'kita ajar anak orang baik-baik, nanti ada orang yang ajar anak kita baik-baik juga.'

Malam ini adalah malam terakhir ‘Smart Class’. Kelas ini belum tamat tetapi dihentikan buat sementara waktu. Minggu depan pelajar bercuti dari bersekolah dan bersempena bulan Ramadhan yang menjelang, ‘Smart Class’ turut ditangguhkan. Pesan untuk adik-adik semalam, puasa biar penuh sebulan!


Wardah bt Abdul Rahman
Nisa' Bayan Baru

Tuesday, August 18, 2009

Sidang Dun huru hara?

Pemikiran negatif Zambry bahawa pkatan rakyat ingin membuat huru hara pada 2 September ini kerana ingin membuat sidang DUN mengambarkan beliau berada dalam keadaan gelabah.

Bagaimana mungkin beliau sebagai 'Menteri Besar' tidak sedar bahawa sebegitu lama tidak diadakan sidang DUN sejak kes rampasan kuasa di hadapan raja Nazrin tempoh hari?

Tidak dapat tidak belanjawab tahun hadapan memerlukan pengesahan DUN untuk dilaksanakan. Apa akan jadi kepada negeri Perak jika tiada untuk belanjawan tahun depan?

Pakatan rakyat cuma mengikut Undang-undang Tubuh negeri. Tiada huru-hara yang PR lakukan semenjak akurnya DAP untuk menerima YAB Dato Seri Nizar sebagai menteri Besar. Penerimaan itu satu perinsip keluhuran undang-undang yang PR praktikkan di Perak.

Sidang di bawah pokok juga adalah mengikut undang-undang. Tetapi bagi Zambry ia adalah huru hara.

Muhammad Nuruddin Bashah

Seruan untuk NGO-NGO : bersamalah ke Permatang Pasir

Seruan kepada NGO-NGO
Turunlah ke Permatang pasir...bantulah PAS bertanding di sana. Sebarkan juga agenda dan perjuangan sosial anda yang semestinya bermanfaat untuk semua.
Pakatan rakyat adalah ladang subur untuk anda merealisasikan kerja amal anda.
Bersatu tenaga dan fikrah di sana...

Pilihanraya kecil, lanjutan ke arah revolusi rakyat

Artikel ini telah disiarkan di dalam Harakah edisi Jumaat, 4-6 Sept 09
Plihanraya kecil di Permatang Pasir dimulakan dengan momentum ribuan penyokong Pakatan Rakyat berkumpul terutamanya ahli PAS dari seluruh negara di hari penamaan calon hari ini. Dengan kerapnya berlaku pilihanraya kecil seluruh negara semenjak perubahan gelombang politik rakyat Mac 2008 lalu, menyebabkan terlalu ramai pihak ingin membuat spekulasi sendiri mengapa dan apa kesannya kepada rakyat, suasana politik atau landskap sikap masyarakat kita.

Saya menyedari ada satu faktor atau satu aspek mengenai hal ini. Pilihanraya kecil yang berlaku ini adalah hikmah daripada Allah SWT yang menciptakan kita semua. Ia adalah suatu anugerah untuk kita menggerakkan revolusi rakyat di negara ini melalui pelbagai aspek yang melibatkan aspek paradigma, tanggapan/persepsi, kecenderungan dan budaya politik. Hal ini bakal menyumbang saham positif kepada perjuangan menghapuskan kezaliman di bumi Malaysia.

Kebanyakan asbab semua pilihanraya berlaku adalah akibat kematian atau perletakan jawatan oleh YB di kawasan Pakatan Rakyat (PR). Walaupun tanpa wang, PR tetap bersedia bertanding sekaligus mempertahankan kawasan mereka. Jika diimbas sekali lalu mungkin kelihatan PR semakin bongkak dengan kejayaan atau takjub dengan kemenangan domino mereka. Namun begitu, dalam aspek mikro sosial yang lebih mendalam kita dapat melihat juga bagaimana sokongan tehadap PR semakin dahsyat dan marak tanpa sesiapa boleh menghalangnya lagi.

Walaupun PR tiada ruang di media perdana terutamanya media elektronik tajaan kerajaan, namun akibat pesatnya kesedaran politik kesan daripada pilihanraya kecil yang terlalu kerap ini, media alternatif PR semakin efisien dan sihat. Perluasan media baru menggunakan teknologi real player, you tube, blog dan sebagainya memangkin kebangkitan ini.

Sepanjang berkempen, PR berpeluang membuat ceramah umum yang selalunya disekat oleh BN dan alat mereka iaitu polis. Di sinilah peluang PR memanaskan semula isu kezaliman yang dilakukan oleh BN, segala penyelewengan yang berlaku serta medan utama untuk menjawab tomahan murahan ala ‘ad-hoc’ yang BN sediakan. Lihat sahaja isu ‘Derhaka’ dijawab mudah oleh Pakatan Rakyat di Bukit Gantang. Isu pembangunan ditolak lagi di Manek Urai. Kini isu ‘pengkhianat bangsa’ pula akan diwacana hebat secara kritikal di Permatang Pasir.

Pilihanraya kecil juga memainkan peranan melalui khidmat sosial yang amat ampuh. Lihat sahaja di Bukit Gantang baru-baru ini bagaimana NGO-NGO bersatu membantu PAS bertanding. Malah NGO tersebut memaparkan idea serta gagasan juang mereka sendiri di samping berkempen. TERAS, GMP, Women for Women dan Seniman Paksi serta Jamaiy Perak adalah antara NGO yang menghidupkan semangat sosial dan isu masyarakat di Bukit Gantang. Isu PPSMI disebar luas juga melalui kempen NGO bersama Lajnah Perpaduan Nasional di Bukit Gantang. Momentum ini berlarutan sehinggalah penghapusan terus dasar PPSMI baru-baru ini. Inilah ruang kerja politik yang bermanfaat.

Saya jamin, sekiranya PR benar-benar memainkan isu ISA secara konsisten di Permatang Pasir, demostrasi aman sebelum ini akan diteruskan auranya melalui kempen rumah ke rumah. Kuasa pilihanraya kecil bukan boleh dianggap enteng. Jika pilihanraya tidak efektif dalam perubahan dan perombakan sosial, mengapa pula sejak 1950an para ulama’ dan intelektual Melayu memilih pilihanraya sebagai manifestasi simbol sikap serta hasrat mereka? Inilah hikmah pilihanraya.

Tarbiah ahli PAS akan bertambah sepanjang pilihanraya kecil. Doa munajat, solat hajat dan tazkirah berkala akan diadakan di markaz-markaz setiap negeri. Mereka yang datang dari jauh berkorban masa dan wang ringgit untuk menyerah diri ditamrin melalui pilihanraya kecil. Muslimat bertungkus lumus menyebar bahan dan menyedikan makanan sekaligus mentarbiah diri mereka sendiri.


Jangan memandang rendah pilihanraya kecil. Ia adalah lanjutan untuk revolusi rakyat.

Muhammad Nuruddin Bashah
Pegawai Penyelidik dan AJK Lajnah Politik DPP Pusat


Monday, August 17, 2009

Polis biadab di Permatang pasir

Di bawah ni luahan perasaan sahabat saya melalui YM apabila melihat kekejaman polis!

mohd izzuddin (8/17/2009 11:08:27 PM): alhamdulillah...terbukti kebenaran. Lihat dalam buletin TV3 tadi, YB Padang Serai seolah-olah memukul polis2 disitu. Tetapi realitinya dalam full video di Youtube menghidangkan satu pembohongan nyata oleh TV3. YB dikasari dengan kejam oleh polis2 tersebut dan seluarnya dilondehkan. Dompet dicuri. Apakah budaya ini? Polis sejelek inikah yang dapat membela kita? Sama2 fikirkan...

saya baru sahaja menonton versi oenuh video berkenaan melalui GB.TV di kuliah politik PAS tambun sebentar tadi. dahsyat.

Ya Allah hapuskan kezaliman ini walaupun menimpa kepada kaum bukan Islam seperti kami....

Muhammad Nuruddin Bashah
Ipoh

Sunday, August 16, 2009

Pemerkasaan Kelab Penyokong PAS Perak: usaha dakwah siasah PAS

YB Mohd. Zainuddin Mohd.Yusof (Lubok Merbau) yang menerajui Lajnah Perpaduan Nasional PAS Perak memang benar-benar menumpahkan kepakaran dan karismatik beliau sebagai bekas pegawai kerajaan dalam kerja buat beliau sekarang. Buktinya, pendekatan aspek pra-mesyuarat(pre-council) yang diadakan telah meminimakan perbincangan remeh-temeh dari berlaku dalam mesyuarat sebenar. Saya menerima tempiasan aura pengurusan baru ini sejak berada di Perak ini. Sumbangan dan garapan idea dari perwakilan LPN seluruh Perak sebentar tadi (di pejabat Perhubungan Negeri Perak) menunjukkan PAS kini semakin menerapkan aspek profesionalisme dan pengurusan atur Lajnah yang SMART dan efesien.
Kelab Penyokong PAS (KPP) akan diperjuang sehingga menjadi Dewan Penyokong PAS. KPP ini telah berjaya menambat sebegitu ramai bekas ahli Gerakan termasuk MCA dan MIC untuk bersama menyokong agenda Islamik PAS. Malah ahli PKR dan DAP yang berminat dengan dasar PAS juga ada yang menyertainya.
Terharu saya apabila mendengar beberapa sahabat bukan Islam menyuarakan bahawa mereka sedia ditadbir secara Islam melalui pengurusan KPP! Inilah politik Islam. Siasah yang mendekatkan diri dengan golongan bukan Islam sekaligus menggalakkan interaksi dan pemahaman Islam secara benar dan absah. Konsep Rahmatal Lil Alamin diperluaskan dan diulang-ulang juga oleh kaum bukan Muslim dalam KPP.
Saudara Nazri Sahat adalah Setiausaha Lajnah ini di peringkat Negeri Perak dan saya adalah penolongnya di peringkat negeri dan di peringkat kawasan Gopeng. Nazri turut membantu YB Zainudin menyiapkan modul pengkaderan dan pentarbiahan untuk warga lajnah dan golongan peserta/ahli bukan Muslim. Banyak modulnya. Antaranya adalah modul memperkenalkan perjuangan PAS, dasar Islam dalam PAS, perbandingan agama (sekaligus menafikan tomahan PAS tiada kerja dalam dakwah kepada bukan Muslim), modul pemahaman budaya hidup Melayu, Cina, India, modul hak bukan Islam di Malaysia serta hak Islam di Malaysia, serta modul yang paling menarik perhatian saya adalah modul pemahaman antara aktiviti keagamaan (ritual) serta bezanya dengan aktiviti kebudayaan. Hal ini memudahkan orang Melayu memahami masyarakat lain melalui perspektif agama serta menggalakkan penglibatan dan keharmonian tanpa ada lagi simptom islamofobia.
Saya bercadang untuk membina modul tambahan iaitu modul menjawab tuduhan terhadap Islam serta mengenengahkan aspek bagaimana yang dikatakan sebagai penghinaan terhadap Islam. Aspek ini akan membantu bukan Muslim menghindarkan tindakan tertentu yang boleh mencarik sensitiviti umat Islam sekaligus menghalang perpaduan berlaku.
Jelas. Saya bersetuju dengan modul sebegitu kerana UMNO dahulu memanipulasikan kejahilan orang Cina dengan mengatakan PAS akan mengkhatankan mereka jika PAS berjaya berkuasa kelak. Orang Melayu dituduh syirik apabila membawa lilin sedangkan ia perkara biasa bagi orang Cina Muslim di China. Kejahilan ini perlu dimusnahkan melalui aktiviti pengkaderan dan pendidikan LPN yang bernas dan sihat ini. Saya merasakan jika hal ini dipraktikkan di negeri majoriti bukan Islam seperti Pulau Pinang dan Melaka, ia boleh membawa satu perubahan besar, iaitu politik mencerahkan Islam.
Terdapat juga modul memasyarakatkan ahli PAS melalui aktiviti NGO. Saya mendapat tahu Cikgu Azmi,Presiden TERAS sendiri akan menjadi mentornya. Tiada apa lagi yang dapat saya katakan selain modul tersebut pasti berjaya dengan sentuhan hemah dan wibawa oleh Cikgu Azmi kelak.
Saudara Nazri dan saudara Khalilul (Setiausaha Eksekutif Pejabat PAS) adalah individu yang banyak mengintegrasikan NGO dengan PAS serta menubuhkan banyak NGO yang menjadi sayap kanan dan kiri PAS Perak. Saya mulai belajar daripada mereka.
Moga Islam terus berkembang melalui tindakan futuristik, tersusun dan berstrategi yang kita bersama garapkan. PERAK boleh menjadi makmal bagi kajian perlaksanaan dakwah yang komprehensif sebegini.
Pada saya Lajnah Perpaduan Nasional paling layak menerajui agenda 1 Malaysia menggantikan UMNO.
Muhammad Nuruddin Bashah
Penolong Setiausaha
Lajnah Perpaduan Nasional PAS Perak.

Saturday, August 15, 2009

Saya baru diberi tanggungjawab sebagai penolong Setiausaha lajnah Perpaduan Nasioanal PAS Perak. Kemudian diminta juga bertugas sebagai Setiausaha lajnah Perpaduan Nasional PAS kawasan Gopeng.

Lajnah ini adalah lajnah yang amat saya minati. Bukan memilih-milih. Cuma jiwa lebih suka dan cenderung. Dahulu pernah menyumbang tenaga sebagai Pegawai penyelidik dalam Lajnah ini diperingkat Pusat di bawah kendalian Ustaz Mujahid. Cuma hal itu semasa saya masih belajar dan berkemungkinan kurang efisien.

Tugas penerangan mungkin akan diteruskan kerana pernah berpengalaman di Pulau Pinang tahun lepas. Insya Allah setiap ahli PAS perlu mainkan diri sendiri sebagai agen penerangan yang efektif.

Friday, August 14, 2009

Good Bye AUKU

Artikel ini telah disiarkan di dalam akhbar Harakah edisi Isnin, 17-20 Ogos 2009

Jeritan Hidup Mahasiswa berkumandang di hadapan DTC semasa selesai sahaja majlis konvokesyen sesi hari kedua di Universiti Malaya. Seperti biasa semua alumni sekolah-sekolah cina selalu riuh meraikan kemenangan sahabat mereka yang berjaya bergelar graduan di universiti bertuah ini. PMIUM bersama Pro M turut bersama meraikan senior-senior mereka yang berjuang atas nama mahasiswa sedar yang bukan sahaja dalam bidang akademik masing-masing malah juga dalam aspek perjuangan ‘hidup’ mahasiswa.

Sorakan good bye AUKU turut menarik perhatian saya. Good bye AUKU membawa makna yang cukup luas samada lega kerana lepas terhadap kongkongan AUKU yang menjerut kemampuan mahasiswa atau rasa lega kerana ruang untuk aktif berpolitik masa depan makin jelas.

Jelasnya mahasiswa terjerut dengan AUKU yang mengongkong mereka dalam mengartikulasikan idea dan minda mereka sebagai pemerhati fenomena negara, menilai situasi dan pengimbang politik. Jelasnya Parti mahasiswa Negara adalah manifestasi kepada hasrat membitarakan mahasiswa. Ia satu misi komprehensif.

Tetapi sayang juga apabila terlalu ramai mahasiswa yang ditakdirkan lepas dari AUKU tetapi mula akur dengan tekanan politik psikologi sendiri hingga ada yang sudah tidak kenal apa itu politik sebenar. Malah ada yang jika disebut politik, hanya terkerisin, malu mungkin kerana sudah lupa dunia politik.

Suatu ketika dahulu banyak kampus dan universiti di negara tertentu melatih mahasiswa menggunakan senjata dan teknik peperangan kerana negara mereka berperang dengan Amerika atau Soviet Union. Sekitar mereka menuntut mereka untuk berpolitik dengan AK 47 dan Bozooka motar.

Ini Malaysia. Menuntut keadilan dan perjuangan apa-apa misi baik kebajikan, ruang hidup dan nilai hidup yang lebih baik serta perjuangan Aqidah menghendaki kita menuntutnya dari pemegang politik negara. Ironi yang membelakangkan politik atas dasar ingin bebas hakikatnya tidak berada dalam persekitaran yang sebenar. Mungkin berisolisasi dalam teori yang mereka sendiri tidak fahami. Politik itu memegang dasar. Dasar ada yang disepakati dan ada yang diengkari oleh rakyat atas sebab musabab keadilan. Nah, politiklah ruang untuk bertegas-tegas.

Teringat saya dalam satu Forum mahasiswa di UM baru-baru ini. Dikotomi antara keperluan mahasiswa untuk bergerak dalam massa melalui politik atau obses kepada teori intelek semata-mata. Terfikir panjang saya bila menilai tajuk wacana sebegitu. Keduanya ada keterlibatan dan signifikasi mendalam. Tetapi saya tetap berpegang kepada dasar, mahasiswa perlu ke hadapan. Buku dan idea adalah pemegang dasar bukan rangka skeleton yang mengongkong pragmatik aksi dan plan tindakan. Mahasiswa perlu melancarkan idea yang unik bukan bergantung dengan pemboleh ubah sosial yang menjerut identiti mereka. Agak malang bila mahasiswa kadang-kadang terikut dengan mana-mana persepsi sehingga menenggelamkan persepsi mereka. Akibatnya kenyataan media atau suara mereka kelihatan tidak lagi ikhlas.

Jika ingin berpolitik, berpolitiklah sehingga akhir hayat. Jika suasana politik buka lagi demokrasi, maka lainlah pula rentak pencak yang perlu ditampilkan. Di kampus, mahasiswa wajib mengambil peluang belajar politik.

Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Sunday, August 09, 2009

UMNO tidak layak bergelar pembela Islam

Artikel ini telah disiarkan di dalam akhbar Harakah edisi Jumaat (14-16 Ogos 2009)
UMNO tidak layak bergelar pembela Islam

Rentetan kenyataan kasar YB Jeff Oi terhadap Haji razali ahli majlis Perbandaran Pulau Pinang, Pemuda Umno pula mencabar Pemuda PAS yang selama ini ini mendakwa mereka memperjuangkan Islam supaya sama-sama menyertai pergerakan itu mengutuk penghinaan terhadap agama Islam oleh pihak-pihak tertentu dalam ceramah perdana yang akan diadakan di Shah Alam pada 14 Ogos.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata UMNO ingin melihat sejauh mana pendirian dan keberanian Pemuda PAS dalam mengutuk sikap lantang pihak tertentu termasuk rakan sekutu mereka DAP yang semakin berani menghina agama Islam kata mereka (sumber Bernama 7 Ogos 2009).
"Kita rela untuk sama-sama (PAS) pada hari Jumaat akan datang, tetapi terpulang kepada PAS .. sama ada mereka merasa hendak bangkit, hendak bersuara ataupun dihina oleh pihak berkenaan," kata Khairi ala pendekar membela Islam.
Sedarkah beliau, beliau bercakap atas pentas UMNO? Tulisan ini bukan berhujah secara ‘fallacy’, tetapi mengenal hakikat sebenar yang cuba ditampilkan dalam mengerti kalimah ‘membela Islam’.

UMNO bukan sebuah litar perjuangan yang berjuang untuk Islam. Jika benar, mengapa Tuan guru dan para ulama’ keluar daripada UMNO dan menubuhkan Persatuan Ulama’ Setanah Melayu pada 1951? Mengapa antara penasihat agama UMNO keluar menubuhkan PAS yang dianggap Khairi tidak cakna dengan isu penghinaan Islam. Di mana pemuda UMNO turun ke Palestin, Afghanistan, Uyghur untuk membantu masyarakat Islam di sana yang dihina, dicabul hak mereka, dibunuh. Mereka boleh sahaja turun ke sana membela Islam atas nama kerajaan, atas nama parti utama kerajaan dan pastinya kerajaan wajib member wang kepada mereka.

Suatu ketika dahulu, ada manusia yang berani mempertikai malah meminta Majlis Raja-raja membuang nama Islam pada nama pertubuhan Islam di Malaysia. Khairi perlu sedar, bukan PAS sahaja menggunakan nama Islam tetapi juga NGO seperti ABIM dan sebagainya. Walaupun mungkin JIM tidak menggunakan kalimah Islam, sebaliknya ‘islah’, namun domino daripada tindakan menghapus nama Islam akan member genctan dan kemerosotan kepada agenda dakwah gerakan Islam seperti JIM. JIM tidak terkecuali.
Siapa pula yang menghina hukum hudud, menyekat hukum hudud di Kelantan dan Terengganu, memperlekeh mahkamah Syariah melalui memorandum kepada Pak Lah juga melobatkan sekutu UMNO.
Perbuatan Jeff Oi mengkin perbuatan peribadi seorang non muslim yang kemudiaannya ditegur oleh pemimpinnya dan kembali menarik kenyataan beliau. Malah beliau adalah golongan bukan Islam yang mungkin terjebak dengan idea islamophobia.
Saya tidak menyokong langsung tindakan Jeff malah tindakan tersebut merugikan perjuangan menghapus korupsi di Pulau Pinang serta merencatkan agenda perpaduan dan keadilan rakyat di sana. Kenyataan beliau terhadap Haji Razali akan menimbulkan bibit ketidakpercayaan masyarakat melayu Islam terhadap pentadbiran DAP. Namun sekurangnya Jeff hanya mengeluarkan kenyataan berbaur prejudis kepada umat Islam yang dikatakan ekstrim dengan optimisme sistem syariah Islam. Beliau mengeluar kenyataan yang mencerminkan Islamofobia di kalangan bukan Islam. Hal ini adalah simptom negetif yang melanda serata dunia akibat sekularisasi dan agenda ‘counterterrorist’ tajaan Bush suatu ketika dahulu. Sekurangnya beliau adalah Cina bukan Melayu seperti UMNO.
YB Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong (DAP) membuat kenyataan didalam akhbar 'The Sunday STAR' bertarikh 2 Ogos 2009 mukasurat N.12. Didalam kenyataannya, YB Ooi melemparkan kritikan hebat kepada Sdr. Mohd. Razali bin Abdullah, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang daripada PKR.YB Ooi menuduh Sdr. Mohd. Razali sebagai "Muslim extremist" kerana menjadi ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang mempunyai misi "to develop Malaysia into a country which fully adopted Syariah law by 2020" (membentuk Malaysia sebagai negara yang menerima pakai undang-undang Syariah sepenuhnya menjelang tahun 2020). YB Ooi mendesak "the council should not allow "a religious extremist" in its administration" (pihak majlis tidak sepatutnya membenarkan seorang ekstremis agama (Islam) didalam pentadbirannya)
JIM Pulau Pinang serta FORUM (Forum Gabungan NGO Islam Pulau Pinang) telah menghantar bantahan terhadap beliau malah beliau telah menarik kembali kenyataan media beliau. YB Zulkifli Nordin juga ada membuat kenyataan akhbar membantah kenyataan beliau.
Pemuda UMNO teringin menjadi pahlawan dalam isu ini kerana mereka hanya berani menghentam ‘musuh Islam’ di kalangan bukan Islam. Mereka tidak sedar dasar mereka sendiri telah banyak mengecewakan para alim ulama’ kita sejak sebeleum merdeka hingga kini. Khairi mendokong parti yang jelas menghina hudud iaitu hukum Islam secara langsung. Khairi berada dalam parti orang melayu yang dikaitkan dengan Artikel 160 iaitu melayu adalah Islam. Sebagai Islam, mereka bukan sekadar memusuhi bukan Islam yang fobia dengan Islam, tetapi perlu menegur pemimpin-pemimpin mereka yang menghina Islam, raja melayu dan institusi syariah di Malaysia. Malah persidangan UMNO meletakkan naskhah Al Quran di atas meja dalam masa yang sama pesertanya tidak menutup aurat. Ini juga adalah penghinaan terhadap Islam.

Jika benar membela Islam, silalah bantu Pemuda PAS mengubah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 agar ia memberi ruang luas untuk hukum Hudud dijalankan di Kelantan. Jangan hanya menangguk di air yang keruh.

Muhammad Nuruddin Bashah
Pegawai Penyelidik dan AJK Lajnah Politik DPPP

Sunday, July 19, 2009

Persiapan untuk menawan dan berdakwah di DUN Sg rapat Gopeng

Persiapan untuk menawan dan berdakwah di DUN Sg rapat Gopeng.

Saya sertai Bengkel Taklimat Penerangan PAS kawasan Gopeng. Sejak berhijrah ke Perak, kini saya melihat bagaimana kemajuan analisa PAS Perak malah peringkat Kawasan juga memiliki RnD dan kajian yang amat terperinci. Sebentar tadi hala perbincangan adalah persiapan untuk menghadapi pilihanraya ke-13. Strategi penerangan kelihatannya seperti berpolitik semata-mata tetapi peserta diingatkan mengisi plan strategik penerangan untuk menang dengan agenda mendidik masyarakat mengenali Islam sekaligus mengenal Islam. Saya bersetuju dengan agenda PAS Gopeng.

YDP Pas Gopeng menyarankan kami mencontohi petugas Kelantan dlam setiap kali Pilihanraya Kecil .Denga bekal tarbiah dan sikap rajin mereka, mereka benar-benar bertugas secara optimum memenangkan Islam. Bagi mereka bertugas di pilihanraya kecil adalah kegiatan cuti kerja untuk bergembira cra membantu Islam.

YDP juga mengingatkan kami betapa kemenangan PR tidak dapat diisi dengan baik sekiranya ahli PAS tidak menguasai ilmu pengurusan, ilmu ekonomi serta kepakaran lainnya. Beliau memberi contoh bagaimana cara ingin meningkatkan pretasi pegawai penerangan dengan mengguakan internet, mencari skill berucap, mengkaji isu glovbal dan tempatan serta rajin menimba ilmu baru. Walaupun majoriti DUN di Gopeng adalah kaum Cina dan bukan Melayu, tetapi PAS di sini kelihatannya bersedia untuk memiliki kesemua kerusi jika rakyat boleh menerima PAS sebagai wakil. Persiapan rapi dengan bacaan politik yang tajam menyebabkan saya semakin kuat berhasrat bertugas dalam arena penerangan PAS Gopeng.

Pas cawangan Pengkalan Gate meminta saya membantu unit penerangan UPU Pengkalan Gate. UPU ini hanya meliputi cawangan ini sahaja dan hanya memiliki 700 pengundi sahaja. Strategi berdasarkan keperatusan telah saya cadangkan serta mendapat maklum balas positif dari SU Kawasan Cikgu Badrin.

Jika di Pulau Pinang saya selaku SU Penerangan Negeri pernah membuat manual operasi 3 tahun Penerangan negeri serta membuat manual ceramah kelompok Pulau Pinang menjelang pilihanraya ke-12, di sini cara yang sama telah dilakukan terperinci di peringkat kawasan-kawasan lagi. Malah istilah Lajnah Penerangan dan Dakwah diperincikan hingga jelas perkaitan Penerangan dengan Dakwah.

Saya telah memberi SMS kepada SU Pemuda Kawasan iaitu sauara Zainal. Saya tawarkan diri untuk berkhidmat serius dalam PAS Gopeng. Saya baru menerima taklifan sebagai AJK Lajnah Politik Pemuda Pusat. Jadi saya memerlukan pasak tugasan di peringkat kawasan dahulu untuk menguatkan kerja parti saya. Pada saya kerja jamaah perlu dicari…bukan melarikan diri. Beliau menyatakan saya akan dilantik sebagai AJK Penerangan Kawasan. Bermula lembaran baru pada hari ini.

Muhammad Nuruddin Bashah
Pegawai Penyelidik Lajnah Politik DPPP

Tuesday, July 14, 2009

Teras dan Jamaiy di Casuarina

Teras dan Jamaiy di Casuarina

Saya telah diminta oleh Cikgu Azmi (Presiden Teras) untuk berjumpa dengannya di Hotel Casuarina, Ipoh, petang tadi. Di hotel berkenaan sebenarnya telah berlangsung Muzakarah Cendekiawan Islam sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Sebelum itu saya telah beberapa kali menghubungi Cikgu Azmi bertanyakan status perjuangan akta Tulisan jawi kerana saya ingin mengambil peranan tersebut. Selain itu, saya turut bertanya kepada beliau berkenaan pemanjangan perjuangan untuk menghadapi isu Sisters In Islam. Malah beberapa maklumat dan kajian umum telah saya berikan berdasarkan kajian saya dan aktivis Skuad Penyelamat Aqidah yang lain. Saya ingat SMS saya itu tidak relevan dengan situasi memandangkan Cikgu memang sibuk. Walau bagaimanapun, peluang berada di Ipoh digunakan untuk berjumpa saya.

Tadi saya dan AJK Jamaiy Perak bersama Cikgu Azmi dan Ustaz Azizi Abdullah bermesyuarat berkaitan pemerkasaan dan pengkaderan baru bagi aktivis muda JAMAIY. Banyak cadangan diberikan. Saya agak gembira mendengar beberapa orang pakcik dan ustaz-ustaz dalam JAMAIY menyatakan tulisan-tulisan saya banyak mempengaruhi semangat dan pemikiran kerja dakwah mereka. Saya semakin bersemangat untuk mengkaji dan menulis lagi.

Selepas mesyuarat, Cikgu ajak saya makan bersama Mufti Perak Al Fadhil Tan Sri Harussani. Saya sempat bertanya kepada Sohibul Samahah samada beliau menerima atau tidak surat yang saya kirimkan berkaitan isu Muhd Ridzwan. Malah saya kepilkan juga artikel tulisan saya untuk pihak Mufti bertindak. Gembira juga apabila mendengar beliau telah meneliti isi surat dan telah berbincang dengan pihak istana.

Cikgu Azmi meminta saya menyediakan draf laporan lengkap mengenai isu SIS, perkaitan kenyataan liberal mereka dengan pengharaman yang telah dilakukan oleh Majlis Muzakarah Fatwa serta apakah yang boleh dilakukan oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Sebenarnya laporan ini bakal diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu untuk tindakan yang lebih berkesan dalam mendesak JAKIM bertindak. Bersama Cikgu, saya diajar untuk bertindak melaksanakan agenda dakwah melalui ruang yang lebih berkesan serta seiring dengan perundangan negara kita. Jarang kemahiran begini diajar dalam usrah-usrah.

Saya juga akan menyiapkan surat TERAS Pusat kepada Perdana Menteri berkenaan usul PERAWI untuk mengaktakan tulisan jawi. Ia akan dilakukan sesegera mungkin.

Kajian berkaitan isu Melayu, rasuah dan penyelewengan telah saya siapkan untuk kegunaan Ustaz Nasrudin Tantawi. Kajian seterusnya adalah kajian komprehensif berkaitan Sisters In Islam serta kajian Uygur untuk kegunaan TERAS. Moga saya terus belajar melalui kajian-kajian yang diamanahkan kepada saya.

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha Teras Perak
AJK Lajnah Politik DPPP

Sunday, July 05, 2009

Pembentangan kertas kerja Perjuangan Tulisan Jawi di Kedah

Alhamdulillah, TERAS dengan kerjasama Perpustakaan Awam Kedah telah berjaya menganjurkan Muktamar PERAWI Pertama. PERAWI adalah suatu platform baru untuk TERAS bersuara dan memperjuangkan status tulisan jawi di Malaysia. Desakan demi desakan oleh golongan bukan Islam terhadap penggunaan isu ini, ditambahi dengan sikap umat Islam sendiri yang sepi dengan nasib dan maruah tulisan ini menyebabkan TERAS mengambil ruang juang ini untuk dipikul bersama dengan masyarakat.

Saya diminta menjadi pembentang ke-3 kertas kerja dalam muktamar itu. Duduk sebaris dengan Cikgu Azmi adalah mimpi suatu ketika dahulu. Bila berada dalam perjuangan TERAS, saya mengambil peluang untuk meneliti pemikiran dan kerjabuat Presiden Teras untuk diwarisi juga.

Saya masih ingat bagaimana saya mula tahu apa itu TERAS. Semasa mengikuti Usrah Pemuda PAS Balik Pulau, saya menggunakan teks usul 20 yang dicetak oleh TERAS. Saya mula mengkaji apa perjuangan TERAS. Saya kurang mengikuti bengkel didikan secara langsung dari Cikgu Azmi kerana pangkalan Cikgu Azmi lebih rapat dengan mahasiswa USM berbanding di UM. Apabila berkesempatan bersama TERAS, saya ingin belajar dan bekerja dalam masa yang sama.

Jawi adalah perjuangan saya sejak menjadi mahasiswa. Diskusi kitab-kitab jawi lama adalah antara kerja istiqamah saya hingga kini dan tidak ramai yang berminat. Namun begitu telah ada beberapa pemuda pemudi yang menyebarluaskan kegemaran mentelaah kitab jawi di serata tempat akibat diskusi ringkas yang kerap diadakan. Saya berhasrat mengambil tugas untuk memperjuangkan usul muktamar dan merealisasikan tulisan jawi sebagai akta dalam perundangan Malaysia.

























Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)