Friday, June 05, 2020

Mengintai Ekonomi Malaysia Pasca PKP-PKPB



Mengintai Ekonomi Malaysia Pasca PKP-PKPB
Muhammad Nuruddin Bashah
Jabatan Strategik DPPNK

Status ekonomi sepanjang PKP-PKPB akibat  Covid-19[1]
Situasi ekonomi rakyat Malaysia sepanjang PKP memang terjejas. Bukan sahaja rakyat terjejas malah ekonomi  negara juga menerima impak yang teruk.  Pada 1 Mei, Tan Sri Muhyiddin umum  Malaysia kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari akibat  PKP dengan jumlah kerugian sekitar RM63 bilion[2]. Akibatnya PKPB diumumkan pula untuk memberi ruang sektor ekonomi penting berjalan agar negara tidak merudum teruk pertumbuhan ekonominya. Antara senario umum yang berlaku:
    1. Para pelancong membatalkan tempahan perlancongan, penginapan dan sebagainya.
    2. Majikan mengarahkan pekerja bercuti
    3. Eksport boleh dikatakan gencat.
    4. kerajaan menghadkan pergerakan.
    5. PKS tidak boleh berniaga jika bukan keperluan utama.
PKP mengakibatkan kerencatan aktiviti ekonomi (disruption) dalam aspek permintaan, pengeluaran, pelaburan dan pendapatan.
Kumpulan paling terkesan: Golongan rentan (vulnerables) dalam kalangan B40 dan M40 yang berdepan risiko kehilangan pendapatan, pemberhentian kerja, serta ketidakcukupan rawatan dan makanan, menjejaskan kehidupan seharian, seterusnya terdorong untuk terjebak dengan hutang.
Dari asek ekonomi negara, 5  kesan rantaian ekonomi yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia dan Malaysia amnya.
  1. Sektor pengilangan yang terjejas dengan penutupan operasi, menyumbang kepada pemberhentian pekerja dan penawaran barangan yang terhad di pasaran.
  2. Sektor pelancongan dan pengangkutan yang terjejas dengan pembatalan tempahan, menyumbang kepada kerencatan ekonomi dalam sektor perkhidmatan.
  3. Sektor komoditi yang berdepan dengan kejatuhan harga akibat kejatuhan permintaan di peringkat dunia, khususnya minyak mentah, sawit dan getah.
  4. Sektor pekerja dan pengguna yang diarahkan bercuti atau berdepan dengan sekatan pergerakan (movement control), menyumbang kepada kelemahan permintaan dan perbelanjaan.
  5. Pasaran kewangan dan matawang yang berdepan dengan ketidaktentuan global serta pemindahan modal daripada pasaran yang berisiko tinggi.
Ekonomi pasca wabak perlu kita bahagikan kepada dua iaitu ekonomi pasca PKPB (jangka pendek) dan pasca covid selesai (jangka panjang). Kita bertuah kerana seolah tidak dijangka kita bermenterikan menteri kewangan yang kompeten, berpengalaman serta mengutamakan isu ekonomi melebihi politik.
Pada 9 Mei 2020 telah berlangsung perbincangan  Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Civid 19 (jangka pendek) kerajaan Malaysia.[3]  Kelihatan Menteri kewangan kita akan terus mengadakan  sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi memastikan pelan yang bakal dihasilkan adalah menyeluruh dan membolehkan ekonomi berkembang semula demi kesejahteraan Rakyat dan negara. YB Senator Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah mengadakan perbincangan berkenaan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca COVID-19 (Jangka Pendek) bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian Kewangan Malaysia. Menariknya perkongsian berkenaan perkembangan terkini, cabaran yang di kenal pasti serta maklumbalas yang diperolehi daripada pihak berkepentingan (awam dan swasta) telah diadakan pada sesi tersebut. Pelan tersebut akan merentasi 6 tumpuan iaitu:
  1. pengoperasian untuk menjamin kesihatan
  2. meningkatkan kebolehan (kemahiran serta ilmu) dan menjana pekerjaan,
  3. menggalakkan perbelanjaan di kalangan pengguna
  4. sokongan pemulihan perniagaan PKS dan Mikro
  5. Membina ketahanan dan pembangunan syarikat-syarikat
  6. Meningkatkan keyakinan pelabur dan mengenal pasti peluang pembangunan jangka masa pendek.

  

Imbas KDNK negara



Bank Dunia meramalkan Malaysia berdepan kemelesetan ekonomi bagi tahun 2020, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dianggarkan pada kadar negatif (-) 0.1 peratus[4].
Namun sebaliknya ekonomi Malaysia telah  mencatat pertumbuhan perlahan 0.7 peratus pada suku pertama 2020,  mengatasi jangkaan umum sebahagian besar penganalisis yang mengunjurkan penguncupan antara -0.2 peratus hingga -4.2 peratus atau -0.1 mengikut ramalan Bank Dunia.
Pertumbuhan perlahan adalah akibat  PKP yang dilaksana pada pertengahan Mac memperlihatkan sektor perkhidmatan dan perkilangan sederhana sementara sektor lain mencatatkan penguncupan. Permintaan luaran dan pelaburan merosot, sementara penggunaan swasta mencatatkan pertumbuhan sederhana[5].  Langkah kawalan pergerakan termasuk perjalanan luar negara dan domestik, had kerja dan tempoh operasi serta jarak sosial telah menjejaskan aktiviti ekonomi secara ketara. Namun ekonomi domestik rancak melalui suntikan ransangan ekonomi BPN dan akibat kuasa wang yang masih ada pada rakyat yang bergaji menjadikan pertumbuhan masih positif walaupun merosot.  Insya Allah berdasar banyak pandangana ahli akademik, suku ketiga 2020 ekonomi Malaysia akan rancak semula.
Malah menurut ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mereka mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada 9  peratus pada 2021[6].  Unjuran IMF 2021 untuk Malaysia lebih tinggi daripada jangkaan pertumbuhan oleh Fitch Ratings sebanyak 5.8 peratus.


Pengekalan pelaburan, penyediaan pekerjaan cabaran utama Malaysia - Bank Dunia[7]
Perlaburan adalah antara petunjuk ekonomi yang penting dalam negara dan ia adalah antara yang kerajaan PN sekarang sedang usahakan. Langkah meningkatkan keyakinan pelabur sedia ada untuk kekal, menyediakan peluang pekerjaan serta memantapkan semula rantaian bekalan adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan Malaysia dalam memulihkan ekonomi  kita. Menurut Ahli Ekonomi Kanan Ahli Ekonomi Kanan, Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Globalnya di Malaysia, Smita Kuriakose beliau  berpendapat  agar negara kita membuka semula ekonominya dengan segera sebaik sahaja penularan virus berkenaan dapat dibendung, sekali gus merangsangkan semula pertumbuhan melalui perhatian khusus untuk  firma sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang terdedah kepada kejutan permintaan dan kekangan bekalan diberi sokongan. Hal ini adalah untuk pengekalan perlaburan dan mengelar pembuangan pekerja besar-besaran bagi sektor berkenaan.
Antara cadangan beliau yang wajar diambil perhatian kerajaan :
  1. Kerajaan boleh menstruktur semula sistem insentif pelaburan dan rangka kerja penggalakkan pelaburan.
  2. Senarai sektor yang layak untuk insentif boleh disemak semula supaya ia sejajar dengan aspirasi pelaburan kebangsaan.
  3. Insentif boleh dilakukan secara automatik bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan.
  4. Objektif dasar perlu beralih untuk membantu firma kembali semula kepada pengeluaran dan paras pekerjaan ketika pra-krisis secepat mungkin dengan menyediakan asas pertumbuhan yang dipacu produktiviti jangka panjang, kukuh dan berdaya saing.
  5. Reformasi struktur untuk membantu memendekkan waktu untuk pemulihan, meningkatkan kemampuan syarikat untuk mengguna pakai teknologi baharu dan berinovasi, meningkatkan kemahiran pekerja, memperdalamkan hubungan perdagangan dan meningkatkan iklim pelaburan.
Peluang yang wujud dalam bencana
Peningkatan jualan online dan sektor tertentu sepanjang PKP-PKPB
Semua memaklumi pihak yang  menerima faedah PKP/lockdown adalah portal pembelian dalam talian (e-dagang)  seperti  Lazada dan  Shopee. Akibat PKP dan penjarakan sosial mengakibatkan peluang besar kepada pihak penghantaran makanan seperti  Foodpanda, GrabFood, rangkaian makanan segera dan PKS yang turut mengiklan penghantaran makanan ke rumah-rumah.
Misalnya kini sepanjang PKP dan PKPB dan lockdown serata dunia, ada satu budaya escapism untuk keluarkan emosi dan mental dari tekanan akibat pengurungan diri iaitu melalui membaca dengan aktif.
Menurut laporan BBC di UK, penjualan fiksyen meningkat dan tajuk pendidikan anak-anak naik 234% ke tahap ketiga tertinggi yang dicatat pada minggu terakhir bulan Mac. Begitu juga di AS, terdapat peningkatan sebanyak 66% dalam penjualan buku bukan fiksyen kanak-kanak pada minggu yang berakhir pada 21 Mac, menurut Kumpulan NPD. (sumber weforum.org)
Lock Down dan pengasingan diri (uzlah moden akibat wabak) di seluruh dunia telah mengakibat kenaikan trend membaca dan pembelian buku digital mahupun cetak. ( astro awani)
Menurut kata Hugo Setzer, presiden Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA) peningkatan dalam membaca,dan pembelian buku adalah cara yang ideal untuk melarikan diri dari empat tembok kita,malah juga untuk memahami apa yang berlaku di sekitar kita, bagaimana mengatasinya dan bagaimana menjadikan kehidupan kita lebih baik di masa depan.
Akibat sekolah ditutup di banyak tempat di dunia, ibu bapa beralih ke sumber dalam talian dan buku teks tradisional. Data Kumpulan NPD menunjukkan peningkatan buku kanak-kanak di AS didorong oleh penjualan buku aktiviti umum, telah meningkat 128%, alat bantu belajar yang meningkat 235% (tablet, pc dan sebsagainya), dan tajuk sekolah dan pendidikan yang meningkat 143%.
Penulis sendiri membeli banyak buku yang dijual murah melalui shopee dan rakan-rakan jual online yang menawar harga bagus sepanjang PKP ini. Saya sasarkan dalam tempoh PKP untuk dalami balaghah, mantiq, nahu, buku ekonomi dunia, sejarah melayu dan info militari.
Poslaju misalnya telah mengiklan jawatan kosong ‘runner’  untuk memenuhi keperluan penghantaran pos yang berlipat kali ganda sepanjang PKP.

Norma Baru
Norma Baru dan budaya kerja –talian satu cabaran masa depa yang wajib diharungi.
Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, ‘norma’ adalah sukatan yg standard untuk  menentukan sesuatu; ukuran; kaedah. Ia juga bereerti  kriteria, gren, tingkat, garis panduan, model, keunggulan, pola, contoh, sampel, spesifikasi. Norma baharu yang disaran kerajaan adalah bermaksud model, pola dan kaedah hidup baharu berdasarkan kekangan keadaan akibat wabak pendamik.
Norma baharu kini membuktikan bahawa masyarakat dunia khususnya Malaysia mampu bekerja secara fleksi atau anjal[8]. Menurut Dr Rabeatul Husna Abdull Rahman, Pensyarah kanan di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, UTM, sejak PKP berlangsung, bekerja di  rumah telah men jadi norma baharu dan ia boleh dikatakan buadaya kerja fleksi.
PKP menghasilkan majikan yang kreatif dan berinovasi  untuk memikirkan apakah tugasan pekerjaan yang boleh pekerja mereka  lakukan dari rumah. Pihak majikan yang rata-rata bukan sahaj memandang keuntungan syarikat sebaliknya turut rasa bertanggungjawab mengawal wabak covid kelihatan bersedia menjadikan pekerjaan dari rumah dan pelaksanaan bekerja secara fleksi sebagai salah satu norma baharu bagi sektor tertentu.
Antara inovasi budaya kerja yang perlu majikan fikirkan :
  1. Pengaturan kerja fleksi
  2. perkongsian kerja
  3. penggiliran kerja
  4. pemampatan minggu kerja
  5. kerja hujung minggu
  6. pertukaran syif kerja
  7. tugasan kerja berasaskan projek.
Kajian di Finland, United Kingdom, Amerika Syarikat dan China menunjukkan pekerja di negara-negara tersebut menjadi lebih produktif apabila mereka dapat mengimbangi antara tuntutan kerja dengan keluarga dengan lebih berkesan, malah dilaporkan kurang mengambil cuti sakit.
Jika budaya ini kekal berlangsung iaitu budaya kerja fleksi (dari rumah atau penggiliran yang efisyen), kadar buruk wanita boleh meningkat. Hal ini kerana berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (2019), kadar penyertaan tenaga buruh wanita  hanya mewakili sebanyak 39.2% daripada penyertaan tenaga buruh keseluruhan. Hal ini merupakan satu angka yang agak rugi memandangkan Indeks Jurang Gender Malaysia (2019) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan golongan wanita mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi di semua peringkat pengajian, dan jangka hayat yang lebih lama berbanding lelaki.
Evolusi sosioekonomi Malaysia pasca COVID-19 telah  mengalami perubahan yang ketara.[9]
Antara evolusi sosioekonomi yang sedang dan akan  berlaku:
  1. Rakyat Malaysia cenderung melakukan aktiviti jual beli dalam talian. Peningkatan aktiviti e-dagang  atau perniagaan digital  dilihat berterusan biarpun selepas COVID-19 berakhir.
  2. Perkembangan jualan dalam  talian  juga sejajar keperluan pemerkasaan sektor logistik, pengangkutan dan penghantaran. Melihat keadaan semasa, aktiviti e-dagang mengambil masa agak lama sebelum sesuatu barang sampai ke tangan pembeli disebabkan penggunaan khidmat yang meningkat.
  3. Pembabitan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam jualan dalam talian yang kian bercambah. Produk kampung kini bukan mustahil dimiliki oleh orang bandar. Penulis sendiri pernah melihat penjual daun sireh dan bidara melalui kaedah talian dan shopee. Dijangka semakin banyak peniaga baharu muncul dengan memanfaatkan platform dalam talian sebagai medan jual beli.
  4. Kini kelihatan ketara peningkatan penggunaan pembayaran tanpa tunai. Malah,  pembayaran zakat fitrah turut dilaksanakan secara dalam talian.
  5. Akibat  COVID-19 juga dijangka meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia, terutama dalam pemilikan takaful berkaitan kesihatan. Masyarakat lebih cakna dan menghargai pentingnya skim ini dalam memberikan perlindungan kesihatan pada masa hadapan.
Norma baru dan peluang kerja pasca PKPB/covid
Seperti yang dibincang sebelum ini  peluang pekerjaan rakyat Malaysia pasca COVID-19  tetap akan wujud[10]. Menurut  Profesor Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed Pensyarah di Universiti Putra Malaysia, hanya dengan cara rakyat Malaysia memperolehi pekerjaan dan mempunyai pendapatan sahaja yang akan dapat membantu untuk mengangkat semula ekonomi negara pasca COVID-19.  Ini realiti ekonomi.
Data menunjukkan:
Berdasarkan data tenaga buruh di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga Mei 2019 menunjukkan bahawa seramai 15.12 juta rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai bekerja iaitu peningkatan 1.8% jika dibandingkan dengan tahun 2018.
Manakala berdasarkan data bilangan pekerja asing yang bekerja secara sah di Malaysia juga menunjukkan peningkatan iaitu daripada 1.57 juta pekerja asing pada tahun 2011 meningkat kepada melebihi 2 juta pada tahun 2019 (sehingga Jun 2019).
Unjuran yang diperolehi daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada ketika ini  menunjukkan 2.4 juta rakyat Malaysia berkemungkinan kehilangan pekerjaan pasca COVID-19 disebabkan oleh penutupan atau pengurangan pengoperasian industri termasuk sebahagiannya daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta pengucupan ekonomi Malaysia dan dunia.
Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta lulusan SPM dan STPM yang ingin terus berkerja bilangannya boleh mencecah antara 3 ke 4 juta rakyat Malaysia yang perlu mencari pekerjaan pasca COVID-19.
Berlaku peningkatan dalam kadar pengangguran disebabkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP), yang meningkat kepada 3.5 peratus untuk suku pertama 2020 daripada 3.2 peratus suku sebelumnya.
Tetapi  jumlah bilangan keseluruhan buruh sebenarnya telah meningkat kepada 1.6 peratus atau 15.24 juta orang pada suku pertama 2020. Bermakna kata pekerja di negara ini kian bertambah.
Pakej tambahan bernilai RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan PKS termasuk Program Subsidi Upah, Geran Khas Prihatin, pembiayaan mikro tanpa faedah dan inisiatif lain yang memberikan impak yang positif untuk merancakkan perniagaan terutamanya pasca COVID-19 dan dijangka mampu untuk menjamin 2/3 daripada pekerja negara ini terus mendapat pekerjaan dan majikan juga wajib mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya selama 6 bulan melalui Program Subsidi Upah.
Tindakan serbuan kerajaa n di sarang sarang niaga haram pendatang tanpa izin dan warga asing adalah antaranya untuk menghapus dominasi dan monopoli kaum yang diluar bancian negara ini untuk mengisi ruang ekonomi negara. Misalnya tindakan kerajaan di pasar borong Kuala Lumpur dan kini dikatakan mulai diisi oleh anak-anak tempatan. Inilah kejayaan awal PN yang membuka mata rakyat sebenarnya dan ia perlu diteruskan hingga ekonomi domestik kita boleh dikawal dengan unjuran yang tepat berdasarkan bancian yang sedia ada.  DBKL memiliki senarai 23 jenis aktiviti perniagaan yang dilarang dikendalikan syarikat dan warga asing dalam usaha mengurangkan kesan kebanjiran tidak terkawal golongan itu dalam sektor peruncitan dan perdagangan sekitar ibu negara. Antara yang dilarang meliputi penjaja / peniaga kecil, pasar raya / pasar mini (kurang 3,000 meter persegi), kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak (dengan atau tanpa kedai runcit), pasar basah kekal, kedai kali lima kekal / kiosk, tekstil / pakaian / kasut (kecuali jenama antarabangsa atau eksklusif), perniagaan beg (kecuali jenama antarabangsa atau eksklusif)[11]. Peluang kekosongan ini perlu diisi oleh rakyat tempatan kerana pengguna kekal membeli dan mengguna serta permintaan masih kekal wujud.
Akibat wabak, imigresen bertindak sekaligus membuka ruang ekonomi rakyat tempatan.
Pasaran buruh kini lebih fleksibel. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi ruang 'eksperimen' kepada syarikat perniagaan untuk menilai keberkesanan kaedah bekerja dari rumah. Ini memungkinkan syarikat mengurangkan ruang perniagaan dan pastinya menjimatkan kos. Lebih ramai 'pekerja bebas' (freelancers) dijangka akan wujud. Ini juga satu ruang pekerjaan yang mulai wujud.

Perlunya anjakan kehidupan norma baharu[12]
Datuk Seri M Saravanan  Menteri Sumber Manusia menyifatkan pengamalan norma baharu sebagai alah bisa tegal biasa memandangkan fenomena dan ujian ini bukan hanya di Malaysia, bahkan seluruh dunia turut menghadapi kemelut sama.
Antara norma baharu yang perlu sama-sama kita jaga adalah:
  1. Penjarakan sosial
  2. Penjagaan kebersihan diri
  3. Penggunaan pembasmi kuman
  4. Tidak bersesak dalam sesuatu kompaun.
Antara norma yang tidak disenarai oleh kerajaan adalah: Jujur jika mengalami simptom wabak dan tidak menyembunyikan sebarang rahsia interaksi harian jika ingin membuat rawatan. Pendeknya ialah memupuk norma jujur.
Norma baharu ini bukan sahaja signifikan dengan isu kesihatan tetapi akan melibatkan inovasi  teknologi baharu, sosial kerja dan ekonomi pekerjaan.
Antara kesan psikologi rakyat akibat norma baharu dan ekonomi pasca PKPB adalah berkemungkinan ada yang mengalami :
  1. Depresi,
  2. Gelisah
  3. Stres
Hal ini  boleh memberi kesan langsung kepada proses berfikir, perasaan, tingkah laku dan boleh mengganggu kehidupan dan agenda ekonomi pasca PKPB. Hal ini perlu memerlukan peranan agamawan, NGO, institusi kekeluargaan untuk membantu jika ada simptom emosi pada yang terdekat dengan kita untuk mengelak kesan kerosakan sosial disebalik kesibukan kita merancakkan ekonomi.

Norma baru dan ekonomi mendatang negara
Dengan mengamal budaya atau norma baharu dan dengan strategi ekonomi yang baik, Malaysia InsyaAllah akan berubah landskap sosio-ekonominya dan peluang dan ruang baru tetap akan muncul betapa sukar dan sempitnya kita akibat wabak. Hal ini kerana konsep rezeki dalam Islam yang menjamin ruang ekonomi dan keupayaan hidup selagi makhluk itu hidup di muka bumi.
Namun pemulihan ekonomi pasca PKPB atau Covid-19 tetap memakan masa[13]. Jika berbincang hal makan dan minum rakyat, mungkin boleh dikatakan boleh diselesai dengan mudah tetapi jika berbahas tentang penjajaran ekonomi Malaysia kepada orbit asal sememangnya akan memerlukan masa yang panjang.
Menurut Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari  Pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM),  pemulihan perniagaan sesebuah syarikat tidak sama dengan pemulihan ekonomi sebuah negara. Pemulihan ekonomi negara memakan masa tempoh yang lama bergantung kepada bentuk krisis. Sebagai  contoh, krisis kewangan 1997/98 telah mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk dipulihkan.  Jadi  bencana ekonomi akibat Covid-19 dijangka memerlukan masa yang lebih lama untuk dipulihkan kerana ianya ‘memukul’ keseluruhan sektor-sektor ekonomi Malaysia dan juga keseluruhan ekonomi dunia. Sebelum ini SARS mengambil masa sekitar tujuh bulan untuk sektor pelancongan dipulihkan.
Matlamat dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 juga akan tersasar jika langkah-langkah pemulihan ekonomi tidak dibuat secara tepat kerana kesan ekonomi akibat covid 19 ini akan  mempengaruhi perancangan ekonomi dalam tempoh RMK-19  dan wujudnya perubahan landskap ekonomi global, perubahan struktur pasaran buruh serta gangguan sektor-sektor utama. Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) telah dirancang ketika pandemik Covid-19 belum melanda Malaysia sebenarnya.
Peningkatan penggunaan aplikasi digital bermakna peningkatan penggunaan tenaga elektrik.[14] Penghantaran barangan kepada pengguna akan meningkatkan penggunaan bahan api dan juga menyumbang kepada pencemaran karbon. Wujud kemungkinan juga orang ramai akan kurang bergantung kepada perkhidmatan awam. Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahan api. Justeru syarikat pembekalan tenaga elektrik dan bahan api perlu menyokong pertambahan permintaan ini.
Menurut Prof. Madya. Dr. Mohd Yusof Saari , perubahan hub pengeluaran dunia juga akan berlaku. Malaysia perlu melihat ini sebagai peluang bagi sektor tertentu.  Pada ketika ini terdapat tiga hub pengeluaran dunia iaitu China di rantau Asia, Jerman di rantau Eropah dan Amerika Syarikat di benua Amerika. COVID-19 yang melanda China telah menganggu pengeluaran di negara-negara lain kerana kekurangan bahan mentah yang dibekalkan oleh China. Untuk mengurangkan risiko rantaian nilai global, wujud kemungkinan negara-negara di dunia kembali mengamalkan konsep menjaga diri (self sustain) dan cenderung untuk berpusatkan tempatan (localization) atau industri untuk kegunaan domestik masing-masing.




Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)