Thursday, June 11, 2020

PENJANA; SATU LANGKAH ATASI KEMELUT EKONOMI DAN PENGANGGURAN


PENJANA LANGKAH  ATASI  KEMELUT EKONOMI DAN PENGANGGURAN
Muhammad Nuruddin Bashah
Pengarah Strategik DPPN Kedah
Muqaddimah
Penguncupan ekonomi dan peningkatan kadar pengangguran  dua perkara yang saling berkaitan dan semestinta pengangguran adalah kesan sebab musabab daripada penguncupan ekonomi negara.
Justeru ramai cendiakawan, ahli akademik, ahli politik dan rakyat yang menyambut baik pakej ransangan PENJANA yang boleh dianggap satu pakej ‘wow’ yang tidak disangka rakyat.
Melalui PENJANA yang bertemakan “Bersama Menjana Ekonomi” ini  kerajaan sekarang  telah mengenalpasti 3 teras utama iaitu:
Pertama: Memperkasakan Rakyat (Empower People);
Kedua: Melonjakkan Perniagaan (Propel businesses); dan
Ketiga: Merangsang Ekonomi (Stimulate the economy)
Hal ini jelas tertib teras ini mengutamakan rakyat dan akhirnya menuju  kepada negara. Kerajaan ingin memberi perhatian serentak kepada kondisi penguncupan ekonomi negara akibat wabak covid-19 dalam masa yang sama juga ingin memberi tumpuan menyelesai masalah ekonomi isi rumah iaitu pengangguran yang boleh menghasilkan satu lagi masalah kepada negara iaitu masalah sosial, jenayah dan gangguan emosi rakyat.
Secara keseluruhan, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah pakej PENJANA atau nama penuhnya PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA ini. Daripada jumlah ini, sebanyak RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada Kerajaan.
Sebelum PENJANA diumum, pada 5 Jun Menteri Kewangan telah membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek kepada kabinet dan pelan jangka pendek merupakan lonjakan untuk perkembangan ekonomi jangka panjang.  
Ada yang berkomentar di media sosial kononnya kerajaan PN hanya tahu rancang jangka pendek.  Jangka pendek bukannya menunjukkan kerajaan PN ini kerajaan membuat keputusan semberono, gopoh dan hanya cantik di media sebelum kerajaan sebelum ini,  sebaliknya ia digarap dengan mengambil kira pandangan cerdik pandai dan pihak swasta untuk memastikan pelan jangka pendek ini tidak perlu bersifat ‘try and error’[1]. Aspek meningkatkan kebolehan (kemahiran serta ilmu) dan menjana pekerjaan, menggalakkan perbelanjaan di kalangan pengguna, sokongan pemulihan perniagaan PKS dan mikro[2],membina ketahanan dan pembangunan syarikat-syarikat serta meningkatkan keyakinan pelabur dan mengenal pasti peluang pembangunan jangka masa pendek adalah langkah awal yang perlu dan ia dijelmakan melalui PENJANA.

Pelaksanaan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek itu signifikan kepada usaha merangka pelan jangka panjang pemulihan ekonomi pasca COVID-19 seperti Rancangan Malaysia. R-M-Ke-12 misalnya dijangka  bermula selepas pelan pemulihan jangka pendek dan sederhana, selesai dilaksanakan[3]. Sebenarnya RM Ke-12 sedang dirangka dan telah berada di peringkat terakhir. Impak akibat covis-19, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri sedang dan akan menyusun semula ekonomi di bawah RMKe-12.

Hal ini kerana perancangan sebelum ini (RM ke- 12)  dibuat sebelum penularan COVID-19 dan anggaran harga minyak dalam lingkungan AS$55 sehingga AS$60 setong[4]. Namun mutakhir ini Dalam sehari dua ini, harga setong minyak sekitar AS$39.55 setong[5]. Landskap ekonomi juga berubah akibat covid, yang membawa perubahan  banyak sektor termasuk pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian dan ekonomi digital. Jadi bukan PN tiada idea rancangan jangka panjang, pertamanya perlu tahu dahulu apa itu rancangan pelan jangka panjang dan ketahui juga realiti negara sekarang sedang menghadapi musibah apa.
Kesan pengangguran pada negara dan petunjuk ekonomi
Pengangguran ialah seseorang yang mahu bekerja tetapi tidak dapat mendapat pekerjaan. Mereka ini digolongkan sebagai tenaga buruh sesebuah negara, iaitu mereka yang berumur 15 ke 64 tahun yang sanggup bekerja[6]. Menurut pakar ekonomi Keynes, sesebuah negara yang mempunyai kadar pengangguran 4% atau kurang menunjukkan negara tersebut telah mencapai guna tenaga penuh.
Trend Kadar pengangguran di Malaysia akibat covid-19 adalah seperti berikut:
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, bilangan penganggur di negara ini meningkat 17.1 peratus iaitu daripada 521,300 orang pada Mac tahun 2019 kepada 610,500 orang pada Mac 2020 (Kenaikan tahunan)[7]
Kadar pengangguran pada Mac 2020  adalah  3.9 peratus. Agi suku pertama 2020 ianya kadar 3.5 peratus.
Kadar pengangguran dijangka mencecah 4 peratus pada keseluruhan  2020 berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997.
Bilangan tenaga buruh pada bulan Mac 2020 menurun 0.2 peratus kepada 15.84 juta orang berbanding Februari 2020.
Apa ramalan pasaran buruh negara kita?
  1. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kadar pengangguran di Malaysia pada tahun ini dijangka mencecah sehingga 5.5 peratus (pada bulan tertentu) kerana walaupun ada perubahan norma dan trend kerja menghasilkan banyak ruang kerja baharu, namun syarikat yang terkesan akibat PKP dominonya masih kekal berlaku hingga beberapa bulan lagi dan bantuan ransangan tidak akan membantu serta merta mereka untuk  mengekalkan pekerja mereka[8].
  2. Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula  telah mengunjurkan kemungkinan kadar pengangguran sebanyak 9.2 peratus tahun ini[9].
Kadar pengangguran tertinggi yang pernah direkodkan Malaysia ialah pada tahun 1986 iaitu 7.4 peratus.
Menurut laporan bertajuk ‘Employment Outlook, the 1st Quarter of 2020, Volume 4/2020, The Impact of COVID-19 on Loss of Employment (LOE)’, SIP, individu kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini (Q1 2020), menurut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)[10].
Kemelesetan ekonomi atau penuncupan ekonomi yang panjang boleh membawa tahap pengangguran kitaran (cyclical unemployment ) kesan akibat lock down atau PKP di Malaysia[11].
Coronavirus adalah malapetaka ekonomi global (economic catastrophe)  dan menurut Mark Zandi, ketua ekonomi di Moody’s Analytics tragedi ekonomi akaibat covid ini adalah tsunami ekonomi[12].

Keberhasilan PERIHATIN
Pakej PERIHATIN yang telah dan sedang dibelanja RM 260 bilion dijangka akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara sebanyak 2.8%. Sekarang ekonomi Malaysia telah  mencatat pertumbuhan perlahan 0.7 peratus pada suku pertama 2020.
Perdana Menteri kerana telah memperuntukkan sejumlah RM260 bilion dalam Pakej Rangsangan Prihatin Rakyat. Daripada jumlah itu, sebanyak RM128 bilion atau 51.2 peratus disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat[13].
4 Mei yang lepas Kerajaan telah membenarkan pembukaan beberapa sektor dan tindakan ini dilakukan dengan berhati hati, SOP yang ketat dengan bantuan anggota keselamatan negara. Tujuannya agar ekonomi tidak terus kaku.
Sehingga 2 Jun 2020, Jabatan Perangkaan mendapati bahawa lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei 2020.
Dalam PERIHATIN juga telah dilaksana Program Pengekalan Pekerja atau Employment Retention Programme (ERP) yang mana satu kerjasama yang dilakukan oleh kerajaan bersama Pertubuhan Keselematan Sosial (PERKESO)[14]. Program ini bertujuan untuk membantu majikan yang terjejas akibat Covid-19 yang terpaksa mengambil langkah mengurangkan kos operasi dengan pendekatan mengeluarkan notis cuti tanpa gaji (CTG) berkuatkuasa Program mulai 1 Mac 2020[15].
 Sebanyak 184 ribu pekerja telah diluluskan permohonan bersamaan dengan RM110 juta sebulan. Ia berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan. Dengan menyokong 2.4 juta gaji pekerja di Malaysia, kerajaan akan memastikan bahawa sumber mata pencarian pekerja dapat dilindungi, dan sektor perniagaan dapat mengekalkan pekerjanya. Ia juga telah memberi sokongan kepada lebih 300 ribu syarikat. Pemberian BPN misalnya telah mencapai jumlah kumulatif sebanyak 96.5%. Dengan pemberian BPN ini, kerajaan berharap agar dapat meningkatkan aliran tunai dan kuasa beli rakyat.

Kepentingan pakej ransangan ekonomi sesebuah negara

Antara petunjuk awal yang digunakan di Amerika Syarikat untuk mengukur prestasi ekonomi adalah melalui statistik tuntutan bantuan pengangguran.
Sebelum bulan April, rekod paling tinggi dicatat pada 2 Okt 1982 dengan 695,000 tuntutan.
Menjelang April 2020, seramai  6.7 juta warga Amerika yang hilang kerja telah membuat tuntutan[16].
International Labor Organization (ILO) telah meramalkan 1.25 bilion pekerja di seluruh dunia akan kehilangan pekerjaan mereka akibat masalah COVID-19. Ini merupakan 38 peratus dari tenaga kerja di seluruh dunia.  Di Amerika Syarikat ada  laporan mengatakan semenjak bermula wabak ini sehingga kini, 33 juta rakyat telah kehilangan pekerjaan. Di negara China, laporan dari CNN mengatakan setakat ini 80 juta rakyatnya telah kehilangan pekerjaan pada akhir bulan Mac[17].
Namun ini status di Amerika yang jauh dahsyat daripada kita di Malaysia. Suntikan fiskal dan campurtangan kerajaan serta suntikan ransangan ekonomi adalah kaedah yang wajar di alu-alukan oleh rakyat apabila diumum oleh kerajaan. Duit mesti cair dan mengalir dalam negara untuk memastikan ekonomi negara tidak lumpuh.
Semasa kemuncak The Great Depression 1930an di Amerika (1929 hingga 1938) yang menyaksikan pengangguran pada kadar 25%, kapitalisme yang berakar di Amerikakaku dan masih mengutanaan sikap biarkan masa yang memulihkan kerana mereka bebas dan tidak mahu campur tangan kerajaan. Namun idea bernas  John Maynard Keynes telah membantu ekonomi Amerika ketika itu. Revolusi Keynesianisme antaranya:
  1. Menghapuskan dominasi faham laissez-faire
  2. Mengkritik, sikap austerity (jimat dan kedekut kerajaan) hingga mengabaikan pelaburan dan membiarkan pengangguran jangka yang lama.
  3. Menggalak suntikan fiskal dan cash di tangan rakyat demi tujuan menggalakkan penggunaan dan merangsang permintaan. Permintaan yang tinggi akan mendorong pihak pengusaha untuk meningkatkan pengeluaran.
  4. Menyeru kerajaan  gandakan  projek-projek awam semasa ekonomi merosot. Berdasarkan konsep yang digelar the multiplier effect (kesan pengganda), setiap perlaburan  satu dolar oleh kerajaan ke dalam ekonomi akan menghasilkan pertumbuhan yang lebih besar daripada satu dolar.
  5. Mendidik kerajaan untuk mengambil langkah yang lebih berprihatin terhadap kelas pekerja dalam kemelesetan ekonomi.
Hal ini dilaksana juga di Malaysia hari ini dan keberhasilan suntikan ransangan adalah memastikan wang sampai kepada rakyat secara menyeluruh dan kerajaan perlu membuat penyelidikan kelompok insan yang terbabas daripada menerima rasangan ekonomi ini.
Sebenarnya Malaysia memiliki satu lagi kekuatan yang istimewa.  Walaupun ada kelompok atau segmen masyarakat yang tidak menerima (tercicir, terbabas daripada menerima)  manfaat Perihatin atau Penjana dan ia semestinya akan memberi impak negatif kepada objektif pakej ransangan yang dilancarkan. Kekuatan istimewa itu adalah budaya bantuan dan agihan bahan makanan yang dilakukan oleh NGO, kariah kampung, perumahan, individu berpengaruh tertentu dan ia satu budaya yang telah lama diamal di Malaysia menyebabkan kesan pengangguran menjadi minima dan tidak mencetus masalah sosial yang melampau. Kerja kerja amal yang dipapar dalam media sosial kelihatannya rentas kaum, rentas agama dan inilah sebenarnya corak sosial di Malaysia yang rukun aman selama ini. Konsep sedekah, infaq, zakat adalah konsep pengurusan fiskal cara Islam yang diaplikasi melalui Pusat Zakat negeri negeri seluruh negara. Ini antara resepi kekuatan ekonomi Malaysia yang mungkin  tidak digaris di peringkat antarabangsa.
Matlamat PENJANA mengatasi pengangguran dan jana ekonomi
Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi & Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berpandangan PENJANA ini berusaha mengangkat isu pengangguran sebagai agenda utamanya[18]. Hal ini jelas apabila muqadimah ucapan Perdana Menteri memuatkan isu pengangguran 600 ribu tenaga buruh dengan data –data tindakan yang ingin dilaksanakan.
Antara isi PENJANA ke arah mengurangkan pengangguran adalah:
  1. Menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan.
  2. Memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia. Ini akan memanfaatkan lebih daripada 200 ribu orang.
  3. Insentif bagi menggaji penggangur berumur di bawah 40 tahun sebanyak RM800 sebulan bagi setiap pekerja; dan Insentif bagi menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan OKU sebanyak RM1,000 sebulan.
  4. Bagi membantu dan menggalakkan penganggur meningkatkan kemahiran, elaun latihan sehingga RM4,000 boleh dituntut daripada PERKESO oleh mereka yang hilang pekerjaan, walaupun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.
NGO belia dan sayap muda parti politik misalnya dapat memainkan peranan untuk memastikan kejayaan peruntukan PENJANA ini:
  1. Mengumpul data pengangguran komuniti di kariah, taman, kawasan tertentu. Menyalur kepada pihak kerajaan (saluran tertentu) untuk memastikan maklumat terkini dan praktikal.
  2. Menyediakan khidmat bantuan pendaftaran, saringan dan soft reminder untuk memastikan belia dan penganggur tidak terlepas informasi atau terlepas pendaftaran tertentu.
  3. Terlibat dalam kegiatan peningkatan kemahiran belia.
Selain mengupayakan penganggur, PENJANA berusaha menaik ekonomi isi rumah dan rakyat melalui peruntukan fiskal RM10 bilion secara langsung daripada RM35 bilion yang mana  suntikan fiskal secara langsung itu dalam bentuk[19]:
  1. penerusan subsidi upah,
  2. insentif pengambilan pekerja,
  3. e-dompet RM50. Ini untuk menggalak rakyat berbelanja tanpa sentuh selain ia merupakan saluran one off wang kepada tangan rakyat.
  4. Geran kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
  5. 300,000 orang kurang upaya dan ibu tunggal yang tersenarai dalam Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) layak menerima bayaran 'one off; sebanyak RM300 dan bayaran itu akan diberikan sebelum Aidiladha.
  6. Pemberian Internet 1GB secara percuma kepada semua pengguna setiap hari sehingga 31 Disember. Ini adalah bentuk modal yang kerajaan berikan di mana internet merupakan aset maya yang amat penting bagi peniaga e dagang yang kini meningkat berlipat kali ganda.
  7. Pengguna pengangkutan awam akan menikmati pas perjalanan RM30 sebulan tanpa had menerusi program MY30 yang sebenarnya satu bentuk subsidi sementara untuk  meringankan beban rakyat yang menggunakan pengangkutan awam. Bantuan ini khas untuk kawasan tumpuan inudstri ekonomi negara iaitu lembah Klang dan pengangkutan seliaan Prasarana di Lembah Klang.
Harapan rakyat melalui PENJANA
Belia terjejas
Jika menurut The Impact of COVID-19 on Loss of Employment (LOE), kadar pengangguran belia kekal stabil pada tahap lapan ke 11 peratus.Namun begitu golongan belia  adalah usia  yang paling mudah terdedah kepada pemberhentian pekerja. Data  menunjukkan 61 peratus kehilangan pekerjaan adalah dalam kalangan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah, dengan 31 hingga 40 tahun menyumbang 32 peratus manakala pekerja di bawah 30 tahun sebanyak 29 peratus. Inilah usia di mana institusi kekeluargaan baru utuh dan tahap wang simpanan para belia memang merisaukan.
Belia yang merupakan tonggak masa depan negara adalah segmen masyarakat yang kini turut mendapat perhatian kerajaan PN.
Kita bersyukur apabila kajian dalam talian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dari 14 hingga 24 April lalu, menunjukkan hampir keseluruhan atau 97.2 peratus daripada 2,928 responden turut berpendapat langkah kerajaan dalam pakej ransangan sebelum ini telah membantu mereka menangani impak ekonomi dan sosial  COVID-19. Belia daripada golongan berusia 15 hingga 30 tahun turut didapati berpuas dan  89.4 peratus menyatakan setuju mereka[20].
Sesuatu program dipersetujui keberkesanan jika ia berkesan dan bukan sekadar data statistik yang indah.
Cadangan untuk memaksima keberkesanan dana PENJANA untuk pengangguran belia:
  1. Modul latihan mestilah cocok dengan situasi Covid yang masih memerlukan penjarakan sosial dan mengelakkan berhimpun. Jadi program latihan perlu mengaut kesemua belia tanpa ada tercicir hanya kerana mereka tiada eknologi maklumat yang baik.
  2. Modul latihan perlukan relevan dengan kehendak industri dan keperluan semasa.
  3. Perlu menyasarkan peratusan peserrta latihan yang berjaya diambil kerja pasca latihan.
  4. Pihak Kesatuan sekerja dan persatuan persatuan pekerjaan boleh memainkan peranan menjadi suara bagi pihak pekerja adan penganggur agar dana dan segala program telus dilaksana, sampai  kepada sasaran dan memberi impak kepada sasaran itu[21]. Inilah pengkritik yang diperlukan untuk mengelokkan negara. Mana-mana program melibatkan majikan dan ada penyelewengan misalnya wang diambil pekerja tetap dibuang atau pekerja latihan tidak diambil perlu diberikan laporan segera.
Jika ditinjau kelompok yang tidak bersetuju dengan kejayaan pakej ransangan sebelum ini (berdasar apabila kajian dalam talian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES)) iaitu sekitar  2.8 peratus dalam kalangan responden berpendapat:
  1. Wujud kelemahan dalam pengendalian bantuan diberi kerajaan.
  2. Contohnya, 'blind spots' dalam kumpulan sasaran seperti bantuan tidak sampai sepenuhnya kepada yang layak
  3. Isu komunikasi dengan PKS
  4. Kelemahan proses atau sistem penyampaian, yang mana proses permohonan dianggap tidak jelas
  5. Bantuan bersifat jangka pendek
  6. Batasan infrastruktur seperti kekurangan akses kepada internet di kawasan mereka.
Hal ini kita yakin telah diambil berat dan maklum oleh Kementerian Kewangan serta pasukan kajian Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek. Namun para rakyat perlu terus menyuarakan pandangan melalui media akhbar, surat pembaca, media sosial kerajaan atau melalui badan badan belia yang mewakili suara mereka.
Menurut Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan, bila bercakap tentang pemulihan semula ekonomi, apa yang diidamkan kita pastinya keluk pertumbuhan berbentuk 'V' iaitu pemulihan yang mendadak susulan keadaan merudum[22]. Demikian besarnya harapan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Maka bersama kita menggunakan segala saluran bantuan ke arah kebaikan.

BPJ Sg Petani 9 Jun 2020 5 petang




[14] Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) ialah bantuan segera (immediate assistance) sebanyak RM600 sebulan kepada majikan bagi setiap pekerja yang diminta bercuti tanpa gaji akibat penularan Covid-19.
Jadi majikan tidak perlu membuang pekerja sebaliknya terus memberi cuti tanpa gaji kepada mereka kerana pendapatan mereka akibat potongan gaji itu  diganti  melalui RM 600 ini.

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)