IC HARAM; usaha menidakkan kuasa rakyat sendiri
Saya segera bersetuju dengan kenyataan Tuan Haji Mohamad Sabu (Harakah 27-29 Mei 2011) bahawa sindrom pemberian kad pengenalan segera kepada rakyat asing untuk dimasukkan ke kawasan tenat BN adalah suatu tindakan menggadai negara. Malah ia merupakan suatu pengkhianatan tanahair yang tidak wajar diampunkan oleh rakyat yang sedar.
Sama ada rakyat Malaysia sedar atau tidak, membaca atau tidak, jahil atau pandai, mereka perlu diberikan penerangan berkenaan konsep pilihanraya yang menjamin pengekalan maruah tanah nusa bangsa. Memenangkan parti tertentu denganmenggunakan sokongan pihak luar seperti rakyat negara lain sebagai penentu politik dan siasah masa depan negara adalah agenda yang cukup bejat.
Gettell menegaskan negara adalah: komuniti yang bermastautin mendiami wilayah tertentu, menuntut dengan sah kemerdekaan dan mempunyai sebuah organisasi pemerintahan, dengan mencipta dan menjalankan hukum secara menyeluruh didalam sempadan negaranya. Negara tidak akan berdaulat jika keutuhannya diraih melalui undi dan sokongan rakyat luar.
Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:- 1. warganegara Malaysia; 2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan; 3. seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan 4. tidak hilang kelayakan. Akan tetapi jauh daripada itu, rakyat yang dibenarkan untuk memilih perlu diterapkan agar memahami peri penting undinya mencorak kemakmuran negara, kemerdekaan, keharmonian dan kedaulatan daripada dicemari anasir luar.
Dalam aspek siasah Islam, si pengundi perlu memahami tujuan membuang undi adalah untuk memastikan masa depan negara masih berada dalam lingkungan wilayah pentadbiran dan mengamalkan syariah serta syiar islam. Mereka perlu celik dan kenal mana calon yang adil, bermatlamat ke arah kebaikan serta mendokong keutuhan agama.
Pilihan raya adalah satu proses demokrasi di mana undian digunakan untuk memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat di parlimen. Ia merupakan suatu mekanisme demokrasi untuk memilih calon yang sesuai untuk memenuhi jawatan-jawatan penggubal undang-undang, eksekutif, perundangan dan kerajaan tempatan. Di sisi syara', pilihan raya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan). Dan dalam peristiwa baiat 'Aqabah II, Rasulullah s.a.w. meminta 12 orang sebagai wakil dari 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh).
Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat. Justeru itu, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan “Bai‘ah”. Jika zaman Rasulullah, baiah mudah diperolehi lantaran penduduk Madinah menyerah urusna pemilihan kepada ahli halli wal aqdi yang adil iaitu sahabat Nabi yang tersohor, zaman terkemudin menyaksikan pemilihan ketua negara Islam lebih kompleks dan akhirnya pilihanraya demokrasi ala Barat diterima pakai kerana ia mendekati kaedah pemilihan kepimpinan zaman Rasulullah. Kerencaman pemikiran rakyat, fertiliti yang semakin meningkat, umat Islam yang pelbagai bangsa dan budaya menghendaki sistem pilihanraya mengantikan undi baiah secara ahli halli wal aqdi yang terhad kepada beberapa orang sahaja zaman Rasulullah.
Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada rakyat, rakyat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara rakyat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru itu, Dr. Yusof Al Qardhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian (syahadah) terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih.
Namun hal ini tidak bermakna jika politikus yang gilakan kuasa sanggup meremehkan urusan kewarganegaraan, memberi lesen kuasa undi kepada sesiapa sahaja yang sanggup membuta tuli mengundi mereka, yang akhirnya akan menghasilkan parti pemerintah yang menang dari aspek kertas undi tetapi kalah dalam perleksanaan mandat negara kerana rakyat tidak lagi menyokong mereka. Dalam erti kata lain mereka memerintah dalam situasi ‘syok sendiri’. Adakah ia suatu kenikmatan hidup yang mereka kejari?
Dahulu Hasnar Ebrahim pernah ditahan ISA pada tahun 1980an kerana mendedahkan bahawa beliau pernah bermesyuarat bersama Megat Junid, dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara membincangkan kaedah pemberian IC kepada pendatang di sabah. Lantaran itu sebarang retorik BN bahawa mereka sedang menyelesaikan isu pendatang haram adalah dusta malah hipokrit kerana Projek IC segera di Sabah jelas direstui oleh Mahathir.
Selepas kes IC palsu dilaporkan sekitar 1990an, 17 kakitangan JPN termasuk Jabar Khan ditahan ISA juga sebagai satu cara kambing hitam tindakan Mahathir.
Gempar juga apabila seorang buruh Indonesia yang menunggu kad pengenalan selama 30 tahun mendedahkan bahawa beliau diminta menyokong BN jika inginkan kad pengenalan biru. Malah beliau diminta mengundi bukan di alamat tetapnya di Lembah kelang sebaliknya di Johor untuk memantu kawasan BN.
Kini didedah pula hal sepucuk surat yang dihantar oleh Umno Bahagian Hulu Selangor kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein bertarikh 23 Mac 2011 menyatakan jika ingin mengekalkan kerusi parlimen tersebut, Umno bahagian meminta "jasa baik" menteri supaya membawa masuk "bakal pengundi" terutamanya pemastautin tetap (PR - Permanent Resident) sebanyak 2,000 orang.
Jika Machiavelli masih hidup, beliau juga akan mengutuk tindakan kerajaan sebegini kerana Machiavelli cukup benci kepada pemerintah yang berjaya atas bantuan tentera upahan, tentera rakyat asing serta bergantung kepada para menteri yang hanya pandai mengampu.
Rakyat perlu disedarkan bahawa mereka kini tiada lagi nilai di mata BN kerana rakyat asing akan menggantikan rakyat Malaysia sebagai penyokong dan pengundi BN.
Beri IC kepada warga asing jelas suatu tindakan menghina rakyat sendiri, menidakkan kuasa undi rakyat sendiri.
Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011
Disiar dalam HarakahDaily : http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/3534-ic-haram-menidakkan-kuasa-rakyat