Sunday, January 31, 2010

Madrasah Hunain sebagai contoh tarbiah ta’lif untuk PAS

Disiarkan dalam Harakah 12 Feb 2010

Madrasah Hunain sebagai contoh tarbiah ta’lif untuk PAS

Berlayar bersama Lajnah Perpaduan Nasional memberi erti besar kepada diri saya sendiri betapa pentingnya sabar, tabah dan berjiwa besar dalam mengurus aktiviti parti bersama kaum bukan Islam. Faktor yang memerlukan kesabaran tidaklah terlalu besar, hanya satu iaitu pertembungan dan dialog antara budaya dan agama sedang berlaku apabila PAS mula giat menganjurkan aktiviti perpaduan dan intekasi bersama kaum bukan Islam.

Aktifnya PAS berinteraksi dan berkomunikasi secara sihat dengan kaum bukan Islam menjadi tanda besar bahawa PAS bersedia memerintah negara menggantikan UMNO.

Jika kita hanya menjalankan kerja amal Islami PAS hanya berlegar untuk ruang domain kaum Melayu, umumnya kita tidak mengalami permasalahan besar kerana domain itu masih ‘ngam’, masih sama serta harmoni dengan kehidupan sejumlah besar petugas PAS. Lantaran itu, menjadi satu ‘kejutan budaya’ kepada sesetengah individu yang diamanahkan dengan tugasan Lajnah Perpaduan Nasional apabila mula berinteraksi dengan kaum bukan melayu-Islam yang semestinya berbeza daripada rutin harian mereka.

Jelasnya inilah bermulanya dakwah dan bermulanya erti suatu perjuangan masyarakat madani Islami. Masyarakat madani Islami bukan hanya didiri oleh kaum Islam, malah ia segar membangun, maju dan terkehadapan hasil gemblengan dan paduan kerja antara kaum yang pelbagai, agama yang berbeza serta penumpuan kepakaran yang berbeza-beza. Inilah indahnya masyarakat madani Islami yang mengadun baik masyarakat bukan Islam secara saksama, adil dan terbuka.

Mengurus manusia memerlukan kita berjiwa manusia. Menubuhkan kelab Penyokong PAS (Kini Dewan Perhimpunan) atas alasan untuk mengaut undi 4 tahun sekali adalah perkara yang amat tidak masuk di akal serta zalim dari tujuan asal Islam. Tujuan utama Lajnah Perpaduan dan KPP ditubuhkan adalah menggalakkan semaksima mungkin, dialog budaya dan agama, semangat kerjasama dan toleransi, kolaborasi aktif yang positif untuk mencapai status masyarakat maju akhlak, maju peradaban dan kemakmuran.

Konflik diri di kalangan petugas PAS (mungkin) melingkari sebab yang cukup mudah iaitu diri tidak bersedia berinteraksi dengan kaum bukan melayu. Dasar pecah dan perintah British dan diteruskan oleh UMNO cukup terkesan hingga kini, malah ahli PAS juga cukup sukar keluar dari kepompong yang sama. Teoretikal dakwah yang kukuh termuat dalam usrah serta silibus haraki sukar diaplikasi secara maksima lantaran sosial kita masih terjerat dengan pemecahan sosio budaya tinggalan penjajah. Dari sebab itulah petugas LPN perlu merdekakan diri keluar daripada minda majoriti kaum melayu.

Cukup banyak isu yang timbul sepanjang perjalanan LPN menguruskan KPP. Antara yang kerap dibincang adalah perlunya kaum bukan melayu dididik cara PAS. Kaum Bukan melayu juga dikatakan hanya mendekati PAS untuk jawatan dan kuasa. Mereka tidak ikhlas melainkan hanya ingin menumpang momentum perubahan mood rakyat. Mereka banyak menuntut peruntukan dalam melakukan kerja parti, tdak seperti ahli PAS dikalangan kaum melayu yang selama ini berjihad tanpa bayaran.

Isu ini mudah untuk saya jawab sebelum saya menyediakan dalil sirah Rasulullah SAW. Pertamanya mereka bukan Islam. Alangkah sedihnya jika kita bercita-cita mereka memiliki sikap ‘jihad’, taqwa, ikhlas dan faham seperti kita yang ‘telah ditarbiah’. Jangankan jihad, mereka belum lagi mengenali Islam dan tujuan sosial Islam memandangkan kita masih jauh daripada melaksanakan obligasi dakwah kepada mereka. Mereka hanya menerima maklumat Isalm dari suasana masyarakat tinggalan penjajah.

Malah PAS bertuah apabila Buku Peraturan Dewan perhimpunan Penyokong PAS ada menggariskna tatatertib keahlian dan moral ahli DPP di mana PAS boleh mengawal moral dan etika mereka sepanjang bersama PAS. Lihat sahaja Fasal 23 (1) kurungan (a) hingga (f) di dalam Buku Peraturan DPP tersebut yang antaranya menegaskan kehendak ahli Dewan Perhimpunan untuk mengekal adat ketimuran, kesopanan serta menjaga kerahsiaan PAS.

Menurut YB Dr Mujahid semasa taklimat khas LPN bersama PAS ZON Utara Perak (24 januari 2010) yang lalu, disiplin yang diterapkan dalam Fasal 23 tersebut umpama ‘Baiah’ dan janji kaum bukan Islam untuk bersama dalam ‘ketumbukan’ gerakan Islam. Bukankah ini sunnah tinggalan nabi? Dakwah ‘graduality’ atau disebut sebagai sikap tadarruj dalam pemupukan budaya Islam perlu lebih awal, sebelum memahamkan mereka erti dasar perjuangan Islam.

Agenda ta’lif adalah agenda utama dalam dakwah Rasulullah sehinggakan tiada alasan lagi bagi kaum tulaqa’ (kafir yang masih berada di Mekah semasa pembukaan mekah) dengan kaum Badwi dan Tai’f yang degil dengan Islam. Konsep muallafatul qulub ada di dalam bab zakat. Sirah merakamkan pada zaman Nabi SAW kaum yang jinak dengan Islam, tetapi belum memeluk Islam akan diberi zakat. Pada Zaman Saidina Umar RA barulah diberi kepada yang telah masuk Islam (muallaf).

Aspek keduniaan boleh digunakan untuk agenda ta’lif (menjinakkan kaum bukan Islam). Kerajaan Kedah meletakkan syarat menjadi ahli KPP jika ingin melibatkan kaum bukan Islam itu dalam program kerajaan negeri. Inilah sikap Baginda SAW apabila ditanya oleh Aus dan Khazraj, adakah kami boleh disatukan sekiranya kami mengikut kamu? (kesatuan dan perpaduan adalah nilai duniawi yang dilihat oleh penduduk Madinah). Lihat juga sikap Baginda terhadap Abu Sufian dan para tulaqa’ sebelum dan selepas memeluk Islam.

Saya berminat untuk mengupas sedikit berkaitan sunnah muallafatul qulub yanag ditinggalkan oleh Nabi dalam sirah Peperangan Hunain.

Ahli PAS (angoota Lajnah Perpaduan) mungkin masak dengan konsep Himayah iaitu bantuan boleh diterima oleh Islam dari kaum bukan Islam atas dasar kekitaan, perkauman atau persaudaraan. Namun begitu dalam permulaan perang Hunain, terdapat bantuan dari kaum bukan Islam kepada Rasulullah atas dasar bernaung di bawah organisasi/sistem Islam yang sama. Rasulullah berjaya meminjam 100 baju besi daripada Safwan Bin Umaiyyah (masih kufur) serta Nabi mengucapkan terima kasih kepada Safwan atas bantuan tersebut ( Ibnu Majah 2/809).

Jika kita ahli PAS risau kebajiran kaum bukan Islam dalam PAS hanya bertujuan untuk pangkat dan kedudukan, lihat pula bagaimana Rasulullah memaafkan golongan Tulaqa’ yang baru memeluk Islam (ada yang belum Islam) yang meminta Rasulullah membuat seumpama berhala dengan menggunakan pohon Dhat Anwat semasa perjuangan di Hunain. Bayangkan bagaimana sikap kita jika kaum bukan Islam meminta kita berbuat demikian. Mereka bukan sekadar ingin pangkat malah ingin membuat berhala sepanjang kempen peperangan Islam. Rasulullah menolak dengan lembut malah menasihati mereka berkenaan budaya dan syariat Islam. (Sunan At Tarmizi 3/3212-2, Hasan sahih)

Sepanjang bersama kaum Tulaqa’ dan Badwi di Hunain, Rasulullah sedar dan faham benar bahawa kaum-kaum ini tidak faham apa erti jihad. Mereka sertai perang hanya untuk rampasan perang dan nama baik keluarga mereka. Mereka fokuskan keduniaan dalam peperangan suci kaum Islam. Mereka menumpang disebalik kemenangan kaum Islam, mereka akan senang dan selesa di bawah pemerintahan Islam. Ini sikap biasa bagi kaum bukan Islam. Rasulullah cukup sabar mentarbiah mereka walaupun jumlah mereka yang ingin dita’lif tersebut ramai.

Sikap optimis Safwan Bin Umayyah (muallaf belum memeluk Islam) terhadap kejayaan Islam cukup tinggi. Beliau memarahi sesiapa sahaja yang tidak yakin dengan kemenangan Islam. Beliau rela diperintah oleh Quraisy (Rasulullah) berbanding kaum lain (Hawazin dari Taif). Lantaran atas sikap perkauman dan kekitaan mereka menyokong Rasulullah. Rasulullah tidak mencela walau sedikitpun sikap mereka.

Kesetiaan kaum bukan Islam terhadap PAS perlu dipupuk melalui SIKAP dan DAKWAH ahli PAS kepada mereka. Mereka setia selagimana mereka memandang PAS boleh memberi kemakmuran, keadilan dan keharmonian hidup kepada mereka. Jika ahli PAS masih mewarisi persempadanan kaum tinggalan British dan UMNO, mungkin terlalu jauh lagi misi perpaduan nasional yang ingin dipeluk oleh PAS. Semasa sengit di medan Hunain, sejumlah besar Badwi dan Tulaqa’ meninggalkan Nabi sehingga hanya belasan sahabat besar Nabi sahaja yang menjadi perisai kepada Baginda. Bayangkan, tanpa kefahaman Islam (malah belum memeluk Islam) bagaimana mungkin Bagi boleh memaksa mereka setia dalam peperangan yang mengorbankan nyawa? Adalah logik jika kaum bukan Islam meninggalkan perjuangan Islam atas dasar keduniaan atau kebendaan. Itu lumrah. Yang menjadi tugas kita adalah mendidik mereka faham erti perjuangan Islam sebenarnya.

Ummu Sulaym memohon nabi membunuh para Tulaqa’ dan Badwi yang melarikan diri tersebut (Sahih Muslim 3/1442). Nabi enggan berbuat demikian, malah Nabi sedar terdapat beberapa Tulaqa’ dan Badwi yang kembali berjuang apabila melihat pasukan nabi mulai kuat.

Sebenarnya masa depan PAS akan kian cerah jika gemblengan tenaga dan kesatuan pemikiran ahli dan pendokong berlaku dalam hal membina interaksi sihat dan konstruktif dengan kaum bukan Islam. Tuntasnya Islam untuk semua tanpa mengira kaum dan keturunan.

Muhammad Nuruddin Bashah

SETIAUSAHA LAJNAH PERPADUAN NASIONAL NEGERI PERAK

Thursday, January 28, 2010

Sehari Lajnah Perpaduan di Parit Buntar

24 Januari 2010 yang lalu (Ahad), Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Perak telah mengadakan program sehari bersama PAS ZON Utara.

Pada sesi awal pagi, Mesyuarat Agung Pertama Dewan Perhimpunan Penyokong PAS Perak telah diadakan di Pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Parit Buntar (YB Dr Mujahid). Alhamdulillah, Perak kini telah memiliki struktur organisasi Dewan Perhimpunan peringkat negeri yang lengkap. Malah organisasi penaja ini telah sekian lama mengadakan aktiviti seluruh perak bersdama rakyat serta membantu beberapa siri pilihanraya seluruh Malaysia.

Pada sesi tengahari satu kenyataan media dan temuramah oleh akhbar Cina dan India telah di adakan. YB Zainuddin (Pengerusi LPN Perak) telah memberi penjelasan lengkap berkenaan hala tuju frwan Perhimpunan di Perak.

Di sebelah petangnya kami ke Markaz PAS Titi Serong untuyk mengadakan pula Taklimat KHAS Lajnah Perpaduan Nasional Perak kepada ahli Dewan Harian Pas kawasan zon Utara iaitu PAS Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Taiping dan Bukit Gantang.

Turut hadir ialah pengerusi LPN kawasan-kawasan yang terlibat.

Saya jadi penegrusi majlis merangkap penulis laporan program. YB Zainuddin membentagkan Draf Buku Peraturan Dewan Perhimpunan kepada hadiri. Dr Mujahid pula memberi sorotan perjuangan LPN menubuhkan Dewan ini. Insya Allah, sasya akan pparkan banyak fakta sejarah penubuhan Dewan yang unik ini dalam sebuah gerakan Islam pertama dunia memiliki sayap bagi kaum bukan Islam!

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha
Lajnah Perpaduan Nasional Perak




Monday, January 11, 2010

Sehari bersama Lajnah Perpaduan Nasional di Teluk Intan (II)

Wardah di Pejabat Kelab Penyokong PAS Teluk Intan

Ah Seng, Ketua Pemuda KPP Perak meluahkan rasa dirumahnya semalam...kami pi singgah rumah di di Trong Bukit Gantang

Rombongan Dr Mujahid...lepak dulu di homsestay sebelum ceramah LPN malam nanti...tapi kami 3 orang cabut balik Taiping (saya, isteri dan abg Man Kasut)

Teluk Intan memang maju....Kelab Penyokong PAS dia ada pejabat sendiri....Suriya Pengerusi KPP Perak bersedia bertanding atas nama PAS...ini semua suntikan dana beliau dan YB Changkat Jong....

Sehari bersama Lajnah Perpaduan Nasional di Teluk Intan

Saudara Saad (Man Kasut ) sedang memberi penerangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa KPP Perak
Saya sedang memberi penerangan berkenaan tindakan setiausaha KPP selepas mesyuarat.

YB Zainuddin (Pengerusi Lajnah LPN Perak) mengadakan bengkel Fikrah dan politik kepada ahli KPP untuk tarbiah.

Sempat lagi tangkap gambar ni....saya bawa isteri (Wardah) sepanjang hari (Ahad 10 Januari) ke Teluk Intan untuk memahamkan beliau peri penting gerak kerja konsisten dalam Lajnah Perpaduan Nasional. Dia jadi kerani tak rasmi pulak di Pejabat KPP T.Intan kelmarin.....

Tengah bercakap, Dr Mujahid,paling kanan Sheikh Kabir Teluk Intan, YB Zainuddin, YB Changkat Jong, Abg Saad (Man Kasut) dan saya sedang menaip laporan...

Sedang mengadakan Bengkel Taklimat KHAS LPN Zon Hilir Perak. Khas untuk Kaw B.Gajah, Tapah, P.Salak, Bgan Datoh, Batu Gajah dan Tg Malim. Ini kerana tidak semua mereka hadir ke Taklimat Peringkat negeri di Air Kuning 5 Disember lalu. Jadi Lajnah mengambil inisiatif menjelajah setiap zon Perak bertemu sendiri dengan penggerak PAS kawasan-kawasan. Takbir!!!

Kembalikan Fitrah Dakwah sejati PAS

Disiar dalam Harakah 18 Jan 2010

Kembalikan Fitrah Dakwah sejati PAS

Lajnah Perpaduan Nasional adalah satu jawatankuasa yang diamanahkan untuk menerbitkan semula dakwah dan hubungan harmonis antara PAS selaku sebuah Gerakan Islam dengan kaum bukan Islam. Walaupun pada dasarnya ia lebih menonjol sebagai satu identiti hubungan berasaskan politik, namun disebaliknya ia sarat dengan agenda memahamkan kaum bukan Islam berkenaan kondisi Islam, mengeratkan hubungan antara rakyat majmuk sekaligus merealisasikan dakwah rasul yang mengutamakan keadilan dan keamanan luar dan dalam negara.

Malah PAS lebih maju dalam aspek perpaduan dan toleransi kaum kerana tidak memerlukan entiti lain untuk ‘berkawan’ dengan kaum bukan Islam. Sebaliknya UMNO terpaksa menggunakan BN untuk menjadi wadah penyatuan dan perhubungan UMNO dengan kaum bukan Melayu. UMNO bukan parti agama, ia hanya untuk melayu dan bumiputera. Hubungan UMNO dengan kaum bukan melayu melalui BN barulah boleh disebut hubungan berasaskan niat politik semata-mata. Jelas retorik 1Malaysia adalah agenda bermotifkan politik dan bukan perpaduan jangka panjang seperti yang kita harapkan.

Jelas rasulullah adalah pelopor utama pembinaan perlembagaan dunia berasaskan kepelbagaian kaum walaupun kaum-kaum di Madinah berbahasa dengan bahasa yang hampir sama iaitu keluarga bahasa arab-semitik. Lihat sahaja Fasal ke-2 hingga fasal ke-10 Piagam Madinah yang membahaskan tanggungjawab/obligasi ketua kaum dalam menjalankan peranan mereka menjaga keamanan dan keadilan sepanjang bernaung di bawah negara Madinah. Ini membuktikan bahawa Islam amat meraikan kepelbagaian kaum, adat dan agama, malah Islam memberi hak perundangan kepada mereka secara sunnah Piagam Madinah ini (pada 622M bersamaan tahun pertama Hijrah).

Bagaimana pula sikap yang perlu ada dalam jiwa petugas PAS? Sewajarnya setiap ahli mengambil inisiatif untuk proaktif mengembalikan semula tugasan dakwah terhadap kaum bukan Islam melalui pemupukan kefahaman Islam sebenar kepada mereka. Sekian lama mereka menerima maklumat dari sumber yang salah malah manipulasi UMNO terhadap agama begitu bejat dan merosakkan paradigma kaum bukan Islam di Malaysia selama ini.

Sekian lamanya PAS berjuang mendaulatkan Islam dari seawal-awal organisasi, kewujudan Dewan Ulama’ (Persatuan Ulama’), penubuhan Unit Amal dan sebagainya sebagai agen dakwah PAS. Namun begitu sedar atau tidak konsentrasi dakwah ini hampir 90% menumpu kepada domain kaum Melayu. Malah seolah-olahnya PAS adalah parti dielektik UMNO sahaja tanpa sedar ia bukan bertugas untuk menyaingi UMNO semata-mata, tetapi juga untuk memahamkan seluruh rakyat Malaysia apa itu Islam, apa itu pentadbiran dan keadilan Islam.

Sejarah PAS yang bermula sejak pra merdeka dan bertitik tolak daripada penolakan ulama’ terhadap dasar sekular UMNO mengheret PAS untuk terus bergelumang dengan politik yang hampir kesemuanya menjawab isu kemelesetan UMNO ataupun menyiarkan hasrat PAS untuk memerintah.

Kebanyakan pertubuhan Islam/NGO pasca merdeka adalah menjurus kepada penjagaan dakwah syiar Islam negeri Melayu, menjaga adat istiadat melayu serta warisan keilmuan Islam di Tanah Melayu. Gelombang NGO seterusnya pula menerbitkan gerakan Islam yang mulai inklusif terhadap dakwah kaum bukan Islam dan inilah aspek yang PAS giatkan melalui KPP.

Kaum bukan Islam? Semasa itu pemisahan sosial antara kaum cukup besar, malah gelombang kedua pembawaan kaum Cina dan India oleh British ke Malaya adalah untuk mengisi kerja ekonomi penjajah. Mereka terasing dan terpencil dek kerana budaya bahasa dan agama. Mereka datang untuk bekerja dan mereka memiliki kaum kerabat di Cina, belajar juga berasaskan sistem vernakular China. Mereka bukan berebut politik bersama kaum Melayu. Hal ini menyisihkan kegiatan dakwah PAS terhadap kaum bukan Islam akibat faktor sosiopolitik dan budaya dan ia berbeza pada hari ini.

Trend PAS kini kian terbuka. Jika dahulu semasa PRU 1999, sebarang isu dan hal yang melibatkan kaum bukan Islam, PAS akan serahkan kepada DAP atau PKN. Namun begitu keterbukaan minda berlaku akibat kematangan dan asakan maklumat yang luas. Kaum bukan Islam mula mengenali PAS dan berhasrat bersama PAS. Kini PAS proaktif untuk mengambil niche yang terbuka luas dengan menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP).

Kerja buat Rasulullah bukan sekadar menjaga kebajikan dan beraktiviti bersama sesama penganut Islam sahaja. Bayangkan di zaman Rasulullah, daripada hanya seorang muslim (Rasulullah sendiri) boleh menerbitkan lebih 400 muslim selepas 10 tahun berdakwah. Adakah ini berjaya jika rasul berpuas hati dengan 10 sahaja sahabat akrab Baginda?

Kerja Lajnah Perpaduan adalah kerja ‘sawwabit’ (tetap), pillar atau asas dalam PAS bagi sesiapa yang memahami. Kerja ini mentransformasikan kegiatan PAS kepada kefahaman kaum-kaum lain. Memang kerja di dalam PAS cukup sarat dengan kegiatan dan takwim tahunan. Namun begitu, wujudnya lajnah ini serta Kelab Penyokong PAS adalah petanda KEMBALINYA dakwah Islam sejati (Rasulullah) kepada PAS. Kerja ini bukan kerja samblan yang boleh diambil mudah.

Rasul tidak pernah memaksa sesiapa menganut Islam. Yang berlaku adalah contoh, sunnah, ajakan, perbahasan berhikmah, politik serta hubungan ekonomi yang adil oleh Rasulullaah terhadap kaum bukan Islam.

Obligasi bertugas dalam Lajnah Perpaduan bukan tugasan yang mudah. Mengurus Kelab Penyokong PAS sehingga mereka mampu bergerak secara konsisten dan mandiri adalah tugasan serius ahli PAS dan memerlukan komitmen dan kesabaran ahli. Hubungan yang erat antara Lajnah Perpaduan dengan anggota Kelab perlu baik serta mencanai satu hubungan antogonistik yang bernilai.

Cuba renungkan, dengan komposisi melayu 53.4%, Bumiputera 11.7%, Cina 26.0%, dan India 7.7%, di Malaysia, cukup untuk PAS bertindak menghargai kaum bukan Melayu serta meraih undi/sokongan mereka terhadap PAS. Adakah ia hanya berjaya jika komunikasi dan interaksi hanya berlaku 4 tahun sekali? Sebaliknya selepas pilihanraya ahli akan kembali bekerja seolah mereka hanya berjuang untuk kaum melayu dan akhirnya kembali mendekati kaum bukan melayu pada pilihanraya seterusnya? Bukankah ini jauh dari sikap dai’ ?

Muhammad Nuruddin Bashah

SETIAUSAHA LAJNAH PERPADUAN NASIONAL NEGERI PERAK


Sunday, January 10, 2010

Kelab Penyokong PAS, memberi ERTI kepada DAKWAH PAS.

Disiar dalam Harakah 15 jan 2010

Kelab Penyokong PAS, memberi ERTI kepada DAKWAH PAS.

Semasa saya cuba berfikir berkenaan halatuju dan kemewahan faedah yang PAS dapati semenjak tertubuhnya Kelab Penyokong PAS (KPP) saya terbaca satu makalah bertajuk Managing Ethnic Relations in Post-Crisis Malaysia and Indonesia Lessons from the New Economic Policy? yang dikarang oleh Khoo Boo Teik (United Nations Research Institute for Social Development). Sepintas lalu sejarah perhubungan etnik di Malaysia dikupas secara konvensional iaitu hubungan yang terbina atas dasar toleransi orang Melayu beserta khidmat jasa kaum India Cina sejak zaman penjajahan British.

Kupasan makalah seperti ini sama sahaja dengan persepsi umum masyarakat Malaysia berkenaan ‘muhibbahnya’ hubungan etnik di Malaysia yang didasari oleh beberapa tindakan kerajaan seperti DEB, Transformasi politik sehingga tertubuhnya Perikatan dan BN, dan hubungan atas dasar rukunegara dan dasar dasar umum negara.

Namun begitu agak ketinggalan jika para penganalisa tidak memerhatikan aspek terpencil yang mampu membawa kepada pertautan erat antara kaum di Malaysia iaitu aspek budaya dan agama. Kini masyarakat mulai sedar keperluan mengadakan bengkel dan seminar antara kaum untuk memberi kefahaman dan memupuk ‘sikap memberi dan menerima’ di kalangan etnik.

Namun begitu formula pemahaman agama dan budaya juga mampu dilakukan melalui pentas politik atau menggunakan nilai homofili (sepunya) iaitu nilai politik, kehendak politik, persepsi politik dan sebagainya.

Kesedaran kaum-kaum bukan melayu terhadap kebejatan UMNO dan BN telah membuka peluang kepada PAS untuk mendekati mereka sekaligus memperkenalkan Islam dan PAS kepada mereka. Adakah ini satu tindakan drastik yang memaksa kaum bukan Islam menganut Islam? Apabila PAS menyebut istilah dakwah, ia bukan membawa maksud sedemikian. Berasaskan contoh dan model, PAS kini giat memperkenal dasar PAS dan pemerintahan cara Islam kepada kaum bukan Islam sekaligus mereka boleh kekal dengan agama dan resam masng-masing di bawah semangat keadilan Islam.

Adakah ini retorik? Jika kita menemubual sebilangan besar anggota Kelab Penyokong PAS, mereka akan secara yakin menyatakan, mereka bersedia berada di bawah sistem pentadbiran yang adil serta memahami dasar perjuangan PAS yang membela rakyat jelata tanpa mengira kaum.

Hebatnya aura DSAI suatu ketika dahulu pernah membawa satu fenomena ubah sokongan di kalangan Melayu apabila tragedi fitnah dan penangkapan DSAI secara biadab dan terancang. Saya masih ingat Majalah Lanun yang diketuai oleh saudara Ujang (dahulunya beliau mengetuai Majalah Ujang) membawa mesej dakwah, memapar potret Tuan Guru Nik Aziz, membawa mesej Barisan Alternatif dan mesej menentang kezaliman.

Tetapi hal ini hanya melanda kaum Melayu. Kaum Bukan Melayu tidak berganjak daripada menyokong MIC dan MCA sehinggalah PRU ke-12 baru baru ini. Krisis demi krisis, kezaliman dan kepura-puraan BN dalam menjalinkan hubungan antarakaum membawa fenomena lebih besar iaitu peralihan undi kaum bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat kukuh akibat meningkatnya sokongan kaum bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat. PAS menang di banyak kerusi juga akibat sokongan kaum ini.

Persoalannya, adakah boleh kita mengabaikan kaum bukan melayu ini yang telah memberi peluang kepada PAS untuk menampilkan aspirasi dan dasar PAS? Adakah kaum ini hanya perlu didekati setiap 4 tahun sahaja yang langsung tidak menampilkan jiwa dan sunnah Rasulullah yang menjadikan agenda ‘engagement’ dengan kaum bukan Islam sebagai rutin baginda?

Saya juga kerap meninjau minda saudara Saad bin Ismail (Man Kasut) yang juga merupakan Penyelaras Kelab Penyokong PAS Perak. Beliau kerap berceramah menerangkan dengan adanya KPP, PAS berjaya memahamkan ramai kaum bukan Islam terhadap sistem syariah, keadilan ekonomi Islam dan agenda kebajikan Islam. KPP mengukuhkan Pakatan Rakyat serta memperkuatkan juga DAP dan PKR kerana segmen yang gagal ditembusi oleh perti tersebut berjaya diisi pula oleh KPP. KPP memusnahkan ruang paranoid, alah atau ketakutan kaum bukan Islam terhadap PAS. Tiada lagi ruang sesiapa menafikan peranan PAS terhadap kaum bukan Islam-Melayu kerana KPP boleh menjadi model dan fasilitator terhadap pelbagai tomahan dan lemparan isu berkenaan.

Keputusan PRK Bukit Gantang (boleh dijadikan indikator) menunjukkan peningkatan undi dikalangan kaum Cina sebanyak 10 % , kaum India meningkat 5% dan sedikit penurunan dalam undi Melayu, khususnya pada saluran satu. Dalam PRK ini isu Hudud, isu negara Islam tidak lagi menjadi senjata UMNO/BN kerana isu tersebut ternyata gagal di Kuala Terengganu (PRK sebelumnya).

Sejurus sahaja Presiden PAS menandatangani watikah penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS hari ini (Ahad 10 januari 2010), maka dunia dakwah menyaksikan sendiri bagaimana sebuah Parti/jamaah Islam yang memiliki skuad penyokong dan pendokong yang terdiri dari kaum bukan Islam, membenarkan kaum bukan Islam mengundi pemimpin gerakan Islam dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan betapa PAS sebuah gerakan yang cukup RELEVAN dalam kosmo hidup majmuk di Malaysia. Peruntukan artikel 23 (7) (e) Perpembagaan PAS membenarkan di mana jawatankuasa PAS Pusat mempunyai kuasa untuk membina pasukan khas dan menyediakan peraturan sendiri.

Susur galur perjuangan ini bukan suatu yang mudah dicapai tanpa memahamkan ahli PAS sendiri berkenaan hakikat Dakwah Rasulullah. Resolusi Seminar Taklimat Lajnah Perpaduan Nasional Perak di Air Kuning 5 Disember 2009 menyaksikan ‘flow’ kerja yang cukup profesional di kalangan penggerak lajnah ini serta anggota Kelab Penyokong PAS negeri Perak.

Antara lain resolusi itu menyatakan kepentingan memperkukuh LPN/KPP di setiap kawasan-kawasan, mengemaskinikan keahlian Kelab Penyokong di kawasan masing-masing, menyelia dan menyelaras aktiviti KPP di kawasan, KPP dilibatkan dalam aktiviti parti mengikut kesesuaian PAS kawasan, serta mengukuhkan struktur organisasi KPP untuk transformasi sebagai salah satu sayap parti.

Konsep Prinsip Pendekatan Hikmah dan Bertahap (tadarruj) yang dinyatakan oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali (Seminar Pemerkasaan Belia Islam Serantau pada 2 Disember 2004) adalah antara konsep yang jarang sekali dikupas oleh pejuang PAS. Ahli PAS perli diberi pendidikan yang komprehensif berkaitan WAJIBnya mendekati kaum bukan Islam. Disiplin yang tinggi untuk bersabar membina generasi baru penguat PAS dari kalangan kaum bukan Islam. Generasi yang berhikmah perlu subur disemai di mana mereka perlu sedar antara perkara fiqh yang bersifat konseptual dengan fiqh harakiy/dakwah yang kontekstual serta tawazun(seimbang) dalam pelbagai aspek. Ahli PAS perlu memiliki keazaman yang kental serta optimis berkaitan masadepan KPP sebagai punca ahli PAS mencapai dasar PAS sebenarnya iaitu menyebar Islam dan menyemai nilai Islam di segenap lapisan masyarakat.

Tujuan perjuangan PAS diperincikan dalam Fasal 6 Perlembagaan PAS, antara lainnya:

1. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

2. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

3. Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan dikalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dam masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

Tanpa KPP, adakah benar dakwah kita, sikap kita, hasrat kita sampai ke dada dan sanubari kaum bukan Islam?

Sebenarnya Fasal 6 inilah yang menjadi titik tolak kepada konsistennya anggota Lajnah Perpaduan Nasional bergelut dan bersusah untuk menubuhkan Kelab Penyokong di serata Malaysia dengan satu tujuan, iaitu menekuni dan menginssafi DAKWAH sebenar Rasulullah SAW.

Muhammad Nuruddin Bashah

SETIAUSAHA LAJNAH PERPADUAN NASIONAL NEGERI PERAK

Hadapan 360 MKJ Kampung Terang

11000 Balik Pulau

Pulau Pinang

017 6291368

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)