Sunday, August 28, 2011

Fahaman Perkauman musuh Negara no.1


Disiar dalam Harakah Daily

http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/5148-fahaman-perkauman-musuh-negara-nombor-1



Fahaman Perkauman musuh Negara no.1

Fahaman perkuaman adalah barah no. 1 negara dan ia bukan merupakan preskripsi ubat yang cocok untuk menyelesaikan masalah politik dan sosial negara ini. Jika dahulu penjajah menjual fahaman ini sebagai syarat utama peralihan pewarisan kuasa daripada tangan penjajah ke tangan kerajaan Persekutuan, kini ia masih digunakan sebagai senjata tembak terakhir apabila segelintir pihak gagal menyelesaikan sesuatu isu.

Bila Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, perkauman melayu ditiupkan da dilagakan dengan polisi kerajaan negeri. Bila Pilihanraya Sarawak 2011 menyaksika peningkatan undi pembangkang, rasis melayu terpekik melolong mengatakan kaum Cina bersatu menghancurkan melayu.

Bila isu gereja menyuap makanan kepada fakir miskin melayu, perkauman sekali lagi dikumandangkan walaupun ada cara agama yang labih baik dan sesuai boleh digunakan.

Selepas Abdullah Badawi kini Perdana menteri terbaharu Najib pula kelihatan ingin dguling oleh rakan-rakannya sendiri atas nada perkauman walaupun diberikan alasan ekonomi, sosial dan kestabilan politik.

Laporan dalam portal berita, oleh Muda Mohd Noor, mencerita berkenaan Penawar, sebuah badan bukan Kerajaan yang disertai oleh beberapa bekas ahli Parlimen UMNO yang dikatakan tidak puas hati dengan Dato Seri Najib sebagai Perdana Menteri.

Isu siapa lebih melayu antara Najib atau mahyudin yasin memberi kesan besar kepada masa depan UMNO lebih daripada isu sispa lebih bertaqwa atau siapa lebih bermoral antara najib dengan mahyudin.

Dengan banjirnya NGO perkauman seperti PERKASA yang bukan sahaja taksub dengan DNA Melayu (yang tidak akan ditanya oleh Allah di mahsyar kelak) malah cukup aktif mengeluar kenyataan jahil dan dangkal minda berhubung denga isu semasa (isu BERSIH, Kes tuduhan Liwat dan sebagainya). NGO sebegini diproksikan untuk menjadi tajdid semangat taksub bangsa, sebagai timbangtara jika UMNO tersasar daripada matlamat perkaumannya atau cenderung kepada Malaysian.

Najib dimomokkan sebagai pelopor fahaman Malaysian apabila giat mengantikan islam hadhari dengan fahaman 1 Malaysia yang semestinya ada nilai kejamakan kaum dalamnya. Sedangkan dahulu DAP pernah diserang teruk di Pulau Pinang apabila giat berkempen fahaman malaysian untuk semua warganegara.

Jika perkauman melayu digunakan untuk menjatuhkan dan memburuk kerajaan pakatan rakyat, kini ia menjadi senjata merosakkan dalaman UMNO.

Mahathir sendiri dalam blognya cuba melegitimasi fahaman perkauman;

Saya pernah dilabel Malay ultra tetapi sepanjang saya menjadi Perdana Menteri apakah Melayu sahaja yang diberi layanan dan mendapat nikmat. Apakah pembangunan Malaysia dihasilkan oleh orang Melayu semata-mata dan mereka sahaja yang meraih kekayaan” . (http://chedet.cc/blog/?p=566#more-566 )

Biarlah digelar perkauman asalkan semua kaum ada peluang dalam negara ini. Ini bukan alasan yang bijak untuk menghalalkan semangat perkauman etnik yang jelas rekos pentadbiran beliau penuh dengan kronisme dan ketidak adilan.

Adalah lebih baik beliau berkata “ walaupun saya penganut islam dan menobatkan syariah Islam, agama lain masih boleh diamal secara bebas di negara ini”. Inilah jawapan yang kita inginkan daripada pemimpin etnik Melayu.

Fahaman perkauman umpama konsep ‘daurr’ dan ‘tasalsul’ dalam ilmu kalam (Aqidah) iaitu tiada kesudahannya, tiada penyelesaian, malah Hitler sendiri keletihan akhirnya apabila berjuang atas nama ras Aryan. Yang masih mendabik dada atas nama kaum hanyalah Zionis atas nama ras yahudi bani Israel. Adakah kita menjejak langkah Israel?

Walaupun Ibnu Khaldun menyarakankan penggunaan konsep asobiyyah untuk kelancaran proses pentadbiran serta mengelakkan kesusahan kepimpinan, ia buka suatu lesen besar untuk kita membina negara melalui formula perkauman. Asobiyah atau perkauman (qaumiyyah) adalah nilai semulajadi sejajar dengan penciptaan Allah namun ia perlu dikawal sebaiknya sehingga kita memahami batas pemisah manusia hanyalah iman da taqwa kepada Allah.

Adakah pemimpin etnik Melayu Malaysia tidak mengambil iktibar betapa negara yang diasaskan oleh dasar perkauman seumpama Singapura tidak selamanya berada di atas persada dunia. Lambat laun fahaman itu pasti menggigit pemimpin-pemimpinnya. Kita hingga kini gagal bersaing dengan Singapura apabila fahaman perkauman Cina Lee Kwan Yew cuba diatasi dengan kesatuan semangat perkuaman Melayu suatu ketika dahulu.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

Sunday, August 21, 2011

Pulak dah mahathir...

Gerakan Mahathir dan Muhyiddin untuk jatuhkan Najib!

Kongsi534
SEBELUM ini telah didedahkan di MiLo SuaM, bahawa ada gerakan mendesak Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk meletakkan jawatan berikutan imej dan kepimpinannya semakin tidak diyakini [Penawar desak Najib Letak jawatan]

Portal Free Malaysia Today, FMT mengukuhkan lagi berita tersebut, malah turut menamakan siapakah gerangan orang di belakang gerakan mendesak Najib melepaskan jawatannya itu.

Menurut FMT, di sebalik tanggapan umum yang menggambarkan sokongan terhadap Najib, timbalannya Muhyiddin Yassin dengan restu bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir secara senyap melakukan gerakan ini [FMT].


Sebuah organisasi yang dianggotai oleh bekas ahli-ahli parlimen Umno telah menyuarakan ketidakyakinan terhadap kepimpinan Najib dan mahu beliau meletak jawatan.

Organisasi yang dimaksudkan ialah, Penawar yang diketuai oleh bekas menteri kabinet Aziz Shamsuddin yang juga bekas setiausaha politik Tun Mahathir sejak 1981 hingga 2002.

Salah seorang ahli Penawar yang tidak mahu dikenali berkata, organisasi tersebut telah mengadakan satu mesyuarat minggu lalu bahawa sudah tiba masanya Najib melepaskan jawatannya.

"Ianya terpulang kepada Najib, Jika beliau sayangkan negara dan orang-orang Melayu, beliau harus letak jawatan secepat mungkin".

"Jika dia bukan seorang yang pentingkan diri, maka dia harus letak jawatan" menurut salah seorang ahli penawar seperi dilaporkan oleh FMT.

Jelas sekali Najib bakal menerima nasib yang sama seperti yang dilalui oleh Imam Hadhari sebelum ini. Masih segar di ingatan, bagaimana Tun Mahathir sanggup keluar Umno, malah mengadakan "road show" ke seluruh negara semata-mata untuk menjatuhkan Pak Lah.


ReJaM© "Berhati-hati, kerana tikus akan mengeluarkan sebusuk-busuk kentut sebelum mati..."

source: http://milosuam.blogspot.com/2011/08/gerakan-mahathir-dan-muhyiddin-untuk.html#ixzz1VdhzyqUP

Siasatan SH melambangkan kelemahan SPR

Siasatan SH melambangkan kelemahan SPR

Pujian dan pengiktirafan Perdana Menteri kita terhadap usaha Sinar Harian ( SH 20 Ogos 2011) yang berjaya menyiasat isu nama berganda dalam senarai pemilih bukan suatu kejayaan yang boleh dibanggakan sebaliknya perlu dinilai sebagai kegagalan SPR mempertahankan nama serta fungsi sebagai sebuah suruhanjaya.

Maruah SPR kian tercalar sehingga isu pengundi hantu, senarai nama yang meragukan hanya mampu diselesaikan oleh sebuah akhbar harian. Kegagalan SPR ini jelas menampilkan bahawa badan ini tidak layak diadili oleh jawatankuasa (JK) parlimen khas untuk reformasi pilihanraya yang telah diadakan.

Jawapan SPR cukup menghampakan rakyat apabila senarai no IC yang telah meninggal dunia didedahkan masih berada dalam pangkalan data SPR dengan alasan tiada makluman waris si mati. SPR telah meletakkan obligasi da tanggungjawab melicinkan daftar pemilih, pemutihan senarai pemilih kepada rakyat serta waris si mati.

Adakah ini sikap sebuah Suruhanjaya?

Bagaimana sebuah Negara yang berbangga dengan IT, Multimedia Coridor dan sebagainya tidak berjaya menghubungkan talian antara pangkalan data JPN dengan SPR? Adakah perkara ini tidak memalukan Negara?

Sinar Harian boleh dikatakan berjaya kerana inisiatif mereka menyiasat kebenaraan wujudnya dua individu berbeza bagi 3 nama yang disangsikan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia. Namun mengapa siasatan ini, tindak balas ini, respon sebegini tidak dihasilkan oleh SPR yang makan gajian sekian banyak daripada kerajaan Malaysia berbanding syarikat swasta seperti Sinar Harian?

Jawapan SPR bahawa persoalan pengundi hantu hanya layak dijawab oleh kerani SPR juga cukup mengecewakan rakyat serta cukup melambangkan bahawa tahap KPI SPR mencecah nilai negatif di bawah paras laut!

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

Saturday, August 06, 2011

Siapa Gadai Hak Melayu; PR atau UMNO?


Disiar Harakahdaily : http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/4891-umno-jual-masa-depan-melayu-kerana-dendam-pada-pas





Siapa Gadai Hak Melayu; PR atau UMNO?

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua penerangan DPPK Gopeng

Walaupun terdedah luas saham bumiputera yang hanya tinggal 2 bilion selepas terhakis sebanyak 52 bilion sejak pemerintahan BN, rakyat malaysia khususnya melayu masih cuba diyakinkan oleh media bahawa pejuang nasib mereka adalah UMNO dan BN semata-mata.

Adakah benar kebebalan rakyat dimanipulasikan oleh UMNO ataupun sebenarnya propaganda UMNO kian tidak dikemaskini sehingga masih mencanagkan jasajasa lapuk mereka sedangkan dari hari ke hari, sekian banyak keskes pengadaian hak melayu berlaku di negara ini.

Hebatnya propaganda dan perang saraf UMNO menyebabkan PAS sendri terpaksa melakukan sesuatu sebagai bukti penegasan komitmen PAS dan pakatan rakyat untuk melindungi hak bumipuetra dan Melayu dalam Konvensyen Nasional pengupayaan Bangsa pada 19 Feb 2011 yang lalu.

Di tangan UMNO juga, tanah rezab melayu menyusut dan terhakis sedikit demi sedikit. Kemana pergi tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah seluas 3 juta hektar. Sekarang separuh tanah telah bertukar hak milik hasil pengkhinatan amanah oleh pemimpin UMNO. Tahun 1985 sahaja tanah rezab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar.

Tetapi mengapa masih laras senjata propaganda BN masih dihalakan kepada pentadbiran DAP di Pulau Pinang serta Pakatan Rakyat di Perak dan selangor? Paling ketara, dosa penghakisan hak melayu dan masa depan melayu di Pulau Pinang dilepaskan kepada DAP yang hanya hampir sepenggal memerintah negeri. Pulau Pinang negeri pertama haramkan judi bola, sebab itu banyak negeri ikut termasuk Johor dan sebagainya. Bila Pulau Pinang menjadi peneraju kepada pengharaman judi ini, UMNO banyak rugi, untuk 'election fund' (dana pilihan raya). Lebih malang dalam jawapan Rais Yatim (Tan Sri Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan), beliau menyatakan mereka perlu luluskan judi bola beralasan untuk kaum Cina.

Jika ditinjau propaganda UMNO di Perak, jelas rahmat yanag cuba diberi oleh Pakatan Rakyat melalui pemberian geran tanah kepada kaum Cina cuba dipolitikkan serta dikalihkan seolah-olah Pakatan rakyat menggadai tanah melayu. Sekarang cuba perhatikan fakta menunjukkan Umno yang khianat tanah orang melayu dan rakyat di negeri Perak.

Kerajaan PR Perak memberi tanah 102,000 lot kampung tersusun (kebanyakan Melayu) melibatkan 7,000 ekar. Manakala 47,000 lot kampung baru (kebanyakan China) dan sebilangan kecil kampung adat (orang asli). Jumlah yang diberi kepada orang China adalah 3,000 ekar sahaja. Perlu diperingat bahawa tanah tersebut sudah diduduki orang China lebih daripada 70 tahun lalu (sebelum merdeka lagi).

Cukup tidak cerdik jika hal tanah 3000 ekar yang diberi kepada orang Cina yang memang haknya untuk dapat kerana mereka adalah rakyat di negara ini berbanding tindakan kerajaan memberi IC kepada warga asing semata-mata untuk menawan semula Selangor.

UMNO mengajar rakyat melatah dengan 3000 ekar tanah yang telah lama diduduki oleh kaum Cina marhain, sedangkan UMNO mengajar orang melayu diam terpinga-pinga apabila tanah Rezab melayu yang jelas dilindungi oleh enakmen digugurkan dan diserahkan kepada aristokrat dan korporat bukan melayu yang kaya raya!

Apa makna tanah rezab melayu kepada maruah bangsa melayu?

Undang-undang Tanah Rizab Melayu (selepas ini ERM) mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan dinegeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. 2 objektif yang disasarkan ialah menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu serta menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.

Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentinagan, tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. (Rujuk Perkara 89(4) Perlembagan Persekutuan]

200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong diserahmilik kepada YTL. (sekarang YTL kerana di gadai oleh pemimpin UMNO kepada YTL! ) Ini adalah tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Highway! YTL CORP BHD DIKUASAI OLEH KELUARGA TAN SRI YEOH TIONG LAY MELALUI YEOH TIONG LAY & SONS HOLDINGS SDN BHD.

9 ribu hektar tanah Rezab Melayu di Selangor telah ditukar status kepada bukan rezab Melayu. Hanya 1/3 sahaja (lebih kurang 3 ribu hektar sahaja yang diganti. UMNO lupa jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti.Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah. [ Rujuk Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan].

Jika UMNO mengaku boleh membantu rakyat di negeri Pakatan rakyat, sila perhatikan fakta ini di negeri lubuk UMNO sendiri. Pada 13 Jun 2008 (Utusan Malaysia) melaporkan penduduk sekitar daerah Kota Tinggi, kecewa dengan tindakan pejabat tanah menolak permohonan mereka mendapatkan tanah seluas 182.11 hektar di Batu 15 Jalan Kulai, Mukim Ulu Sungai Johor di sini. Tanah yang sudah dipohon sejak 20 tahun dahulu telah diberi kepada syarikat bukan bumiputera. Adakah ini salah DAP dan pakatan Rakyat?

Menurut kajian Ustaz Idris Ahmad (Ketua Penerangan PAS Pusat), Tanah rezab Melayu seluas 94 ekar yang diteroka sejak 72 tahun telah terkorban untuk projek Pencala Link dekat Damansara Kuala Lumpur.

Sebanyak 840 hektar tanah rezab melayu di Pahang bakal hilang apabila projek ECER (Koridor ekonomi pantai timur)

Pengkhianatan Umno kepada orang Melayu telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995). Bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun. Nampaknya penjajah lebih berhati perut daripada pemimpin Umno dalam menjaga orang melayu. Kalau tidak disekat maka tahun 2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja.

Ironinya aktiviti 'Gadai tanah' kepada orang asing dan kepada kaum Cina melibatkan tanah kerajaan termasuk banyak tanah 'rezab Melayu' adalah jenayah kerajaan UMNO/BN selama berpuluh-puluh tahun. Singapura adalah tragedi gadaian terhebat oleh UMNO yang berlarutan hingga terpadamnya Pulau Batu Putih daripada peta Malaysia. Kehilangan tanah KTM ratusan hektar yang menimbulkan kontroversi di dalam hubungan kedua-dua negara ialah isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Republik Singapura. Tanah pajakan kekal 999 tahun itu diperoleh melalui perjanjian di antara Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Kerajaan Melayu Bersekutu yang dikenali sebagai Perjanjian Tahun 1918. Perjanjian ini telah digazetkan dalam The Singapore Railway Transfer Ordinance (Chapter 380) pada tahun 1918 kini telah terlepas kepada Singapura dalam bentuk perjanjian yang tidak menguntungkan bangsa dan tanahair pada masa akan datang.

Suatu ketika dahulu Dr Mahathir meneropong Pulau Pinang dari Seberang Perai dan terlihat kawasan perkampungan melayu jelutong yang terhakis dan dhaif sedangkan Gerakan-BN sedang memerintah Pulau Pinang. Beliau mengatakan penduduk melayu Jelutong seperti melayu selepas Perang.

Masalah Melayu Pulau Pinang yang dikatakan terpinggir biasanya dibangkitkan setiap kali menjelang Perhimpunan Agung Umno. Agenda siapa, tak tahulah. Selepas itu suara-suara marah reda sehinggalah tahun berikutnya. Namun selepas Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum Mac 2008, isu Melayu Pulau Pinang yang biasanya timbul setahun sekali, secara tiba-tiba golongan ini menjadi terpinggir dan ditindas setiap hari; setidak-tidaknya itulah yang dilaporkan oleh media arus perdana saban hari.

Berdasarkan ringkasan laporan disediakan bersama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan tanah Melayu di sebelah pulau merosot berikutan perpindahan mereka ke Daerah Barat Daya selain Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah.

Ramai Melayu turut berhijrah ke negeri lain seperti Kedah dan Perak. Semua kawasan ini dianggap tidak strategik, nilai ekonominya rendah, kurang membangun serta kawasan pertanian. Bukan Bumiputera menjadi majoriti di Daerah Timur Laut dan Seberang Prai Selatan. Kawasan itu sangat pesat termasuk membabitkan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan projek Penang Global City Centre (PGCC), sedangkan pemilikan tanah Melayu di daerah itu semakin mengecil.

Walau pun tidak dinafikan wujudnya kemiskinan Melayu di Pulau Pinang terutamanya di kawasan bandar serta masalah-masalah berkaitan perniagaan kecil, pemilikan rumah dan hartanah serta penguasaan bidang-bidang kerja, Umno mempunyai lebih 50 tahun untuk membantu menyelesaikan masalah itu atas dasar pegangan kuasa di peringkat pusat bukan menyalahkan DAP yang hanya menduduki Komtar sejak tahun 2008 sahaja.

Persempadanan semula kawasan pilihanraya 2003 dengan tidak menambah kawasan kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah sedangkan itu negeri majoriti melayu. Dalam masa yang sama UMNO kerap berhujah bahawa kemenangan Pakatan Rakyat hanya akan menyebabkan kerusi kaum melayu kurang dalam parlimen dan DUN.

Sila baca fakta di bawah,

Pada PRU 2008, Pembangkang menguasai 38.3% kerusi di Dewan Rakyat. Wakil rakyat Melayu didalam pembangkang yang melonjak kepada 51.8%. Wakil rakyat Bukan Melayu di dalam Pembangkang pula ialah 48.2%.

Pada PRU 2008 juga, wakil rakyat BN Melayu adalah 62.8%. Wakil Rakyat BN Bukan Melayu pula 37.2%.

Baik Pakatan Rakyat mahupun BN, pemilihan wakil ke Parlimen adalah berdasarkan komposisi kaum justeru tiada isu bahawa Pakatan Rakyat mengenepi kaum Melayu.

Isu gadai melayu bukan suatu isu kecil yang boleh dipermainkan. Begitu mudah UMNO menuduh kerajaan rakyat serta DAP terutamanya sebagai petualang menggadai Melayu dalam masa yang sama rakyat dialpakan seumpama ‘kuman seberang laut nampak, gajah sebelah tidak kelihatan’. Bagaimana dengan usaha menidakkan royalti minyak di Terengganu dan Kelantan sedangkan ini negeri majoriti Melayu. Negeri yang miskin itu sebenarnya dikayakan oleh Allah denga hasil bumi bernama petroleum. Dendam UMNO terhadap PAS melulu sehingga sanggup menjual masa depan bangsa melayu di timur semenanjung melalui usaha menidakkan royalti minyak.

Usaha penerangan kepada masyarakat berkenaan isu ini masih tidak mencukupi. Usaha keras dan meluas perlu dilakukan untuk memberi maklumat sahih kepada kaum melayu terutamanya. Isu ini bukan sekadar pemahaman melalui fungsi minda tetapi kepercayaan hati kaum melayu yang perlu dididik agar keluar daripada fahaman propaganda chauvinisme UMNO.

11.10 malam

3 Ogos 2011

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)