Bukan anggota PERKASA

Bukan anggota PERKASA

Sunday, September 29, 2013

Upah Perunding Asing; Tanda BN Tidak Mampu Tadbir Negara


Upah Perunding Asing; Tanda BN Tidak Mampu Tadbir Negara

Inferior, lemah self esteem atau westomania, itulah antara ungkapan yang boleh diberikan kepada pemimpin Malaysia yang galak mengupah konsultan luar untuk membuat beberapa polisi dan dasar di negara kita.
Bertepatan dengan pandangan Presiden MAPIM Tuan Haji Azmi Abd Hamid, apabila   diumumkan di Parlimen bahawa Kementerian Pendidikan melantik  sebuah syarikat perunding McKinsey and Co dengan bayaran RM20.56 juta untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia  ianya boleh dianggap suatu skandal besar yang melibatkan halatuju tarbiah dan pengacuan minda intelek dan sahsiah anak-anak Malaysia!

Ia bukan suatu hal yang remeh atau boleh diambil ringan.

Apakah itu konsultan dan mengapa perlu mengupah konsultan? Konsultan atau perunding diperlukan jika sesuatu perkara atau projek memerlukan kehendak-kehendak piawaian tertentu yang hanya mampu dilakukan leh perunding atau konsultan yang terlatih (certified). Jika ianya tidak memerlukan piawaian tertentu di peringkat antarabangsa sepertimana menyediakan halatuju pendidikan negara sendiri yang berdaulat, mengapa perlu menghulur sampul wang kepada konsultan barat yang jelas mengalirkan wang keluar negara.

Saya sertakan senario ringkas. Jika di kilang, jika pihak Jabatan Penyelenggaraan (maintenence) mampu menyediakan sesuatu projek, baikpulih atau pemeangan mesin baru tanpa memerlukan konsultan, pihak ketiga yang sediakan ia adalah KPI terbaik untuk jabatan berkenaan. Tetai jika ada pengurus penyelenggaraan hanya tahu mengeluar quotation (sebut harga) hanya tahu mencadang pihak ketiga tertentu untuk selesaikan tugasnya, pengurus berkenaan jelas tidak efisyen atau lebih bahaya beliau telah korup.

Isu konsultan atau perunding atau isu pihak ketiga sama juga dengan isu peraih. Peraih ikan atau peraih hasil tani misalnya suatu ketika dahulu pernah menekik darah petani dan nelayan dengan harga jualan yang tidak munasabah. Hal ini menyebabkan kerajaan menyediakan FAMA, PERDA, MARDI untuk membantu mengurangkan pengaruh orang tengah dalam memasarkan hasil kerja rakyat bawahan. Malah kerajaan juga menggalakkan para penani untuk cuba mejual sendiri hasil mereka untuk mendapat keuntungan yang optima.
Bagitu juga dalam isu konsultan negara.

 Dalam hal pembelian kapal selam misalnya, korupsi seolah-olah cuba dilindungi sehingga generasi muda di kampus pun mulai ‘dangkal’, atau lemah otak sehingga tidak memahami isu korupsi dalam pembelian kapal selam negara. Pihak ketiga dalam pembelian kapal selam yang  melibatkan pembayaran RM 510 juta adalah tindakan kepimpinan lanun yang menghabiskan wang negara dan menggadai masa depan negara. Cuba menjadi hero dalam setiap pilihanraya dengan menabur wang jutaan ringgit, menjadi hero membantu jerung-jerung kepitalis aristokrat dengan memberi habuan komisyen itu dan ini, konsultan itu dan ini, adalah tindakan yang jelas merupakan sikap bermuka-muka, pragmatik atas kepentingan sendiri dan tidak menghiraukan kesan kepada sosio kehidupan rakyat akan datang.

Perdana Menteri kita berkata, transformasi sistem pendidikan yang sedang diusahakan Kementerian Pelajaran menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 perlu terus maju seiring dengan dasar transformasi negara. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 yang antara lain bertujuan menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Adakah para pemikir di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi atau sekurangnya para profesor di Malaysia sudah kering akal, tiada produktiviti  atau lembap untuk menyediakan laporan yang dikehendaki oleh Perdana Menteri?

Tidak cukupkah peluang Kementerian Pendidikan mendapat khidmat nasihat antarabangsa daripada pakar-pakar seperti UNESCO, yang telah menyediakan laporan terperinci mengenai pembangunan kurikulum, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan, pendidikan guru, latihan dan pendidikan teknik serta pentaksiran murid?

Tidak cukup jugakah usaha Panel Dialog Nasional Pendidikan Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Dato’ Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin juga telah menyediakan laporan hasil daripada mesyuarat-mesyuarat Townhall yang telah diadakan di 14 negeri?

Malah tidak percayakah kerajaan BN dengan PEMANDU yang ditubuhkan oleh mereka sendiri dalam  melaksanakan Makmal Pendidikan dengan sokongan pasukan NKRA Pendidikan. Makmal tersebut kini diketuai oleh pakar-pakar tempatan daripada Kementerian Pendidikan termasuk daripada Institut Aminuddin Baki.
Menjemput perunding luar tambahan pula berkaitan dengan Yahudi seumpama APCO boleh juga dianggap mengundang penjajah dalam bentuk yang baru (neo-colony). Nampaknya sejarah tidak mengajar pemimpin kita untuk berhati-hati dengan agenda penjajah bentuk baru. Suatu ketika Francis Light atas nama peniaga KHTI dijemput ke Kedah sebagai perunding, konsultan mendamaikan konflik diRaja. Stamford Raffles juga dijemput atas alasan yang sama iaitu sebagai konsultan menyelesaikan konflik dalaman. 

Akibatnya penjajah menyekolahkan pemimpin kita. Perjanjian demi perjanjian dibuat atas nama nasihat dan konsultasi politik dan polisi. Dalam sedar atau tidak, api sekam penjajah terus menjarah tanahair Melayu sehinggalah tanah ini bergelar tanah jajahan British.

Cukup sahih jika rakyat skeptikal dan marah dengan pembayaran yuran konsultasi kepada syarikat seumpama APCO dan kini pula McKinsey and Co. Itu hak rakyat untuk menyoal justifikasi dan keperluan yang mendesak sehingga tangan Barat atau setidaknya air tangan Yahudi berhak menentukan imej, dasar dan polisi negara.

Jika ditinjau daripada sumber wikipedia McKinsey & Company ialah sebuah firma perundingan pengurusan sedunia yang tertumpu kepada penyelesaian isu yang berkaitan dengan pengurusan atasan. McKinsey berkhidmat sebagai penasihat kepada perniagaan, kerajaan dan institusi terunggul di dunia, serta diiktiraf sebagai firma yang terunggul dan paling berprestij dalam industri perundingan pengurusan.
Rakyat mempersoal dan juga mempertikaikan mengapa pula sebuah firma konsultasi bukan pakar pendidikan telah dilantik sedangkan kerajaan mempunyai ramai pakar yang mampu melaksanakan tugas tersebut.

Tidak ada apa yang mampu dibangunkan oleh McKinsey selagi tangan politik mencengkam kampus, kadar peruntukan penyelidikan daripada KDNK yang jauh lebih rendah berbanding negara lain, selagi mana agenda perkauman dimainkan di beberapa kampus payungan UMNO serta beberapa tindakan kegeringan intelek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN. 

Kesimpulan yang mampu disemat adalah ketidakmampuan BN memerintah, membina polisi jangka panjang dan menyelesai permasalahan dalam jabatan-jabatan kerajaan jelas kelihatan dengan kehadiran konsultan asing ini. Kebergantungan dengan orang tengah dalam sebarang perundingan antara negara adalah petanda korupsi yang kian parah. Menggajikan konsultan Yahudi untuk menasihati imj negara adalah lambang sejarah pemimpin melayu menjemput penjajah berulang kembali.

Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Dewan Pemuda PAS Kaw Gopeng

Ops Bersih - Peniaga pula tersingkir di Pasar Batu Gajah

28 Sep 2013- Batu Gajah

Muhammad Nuruddin Bashah
Unit Media dan Informasi Pusat Khidmat ADUN Sg Rapat

Rakyat didahulukan adalah retorik yang paling jahat dikeluarkan oleh UMNO dan BN, demikian yang telah diluah oleh beberapa peniaga pelbagai bangsa di Pasar Batu Gajah berkenaan nasib mereka yan diperkotak katikkan oleh kerajaan BN selama ini.

Memastikan rakyat hidup dengan selesa adalah antara misi besar YB Radzi walaupun atas kapasiti wakil rakyat pembangkang. Inilah tanggungjawab yang digalas beliau yang dimanifestasi melalui kunjungan beliau ke Pasar Batu Gajah Jumaat lalu. Yb Radzi Zainon telah melawat ke Pasar Awam Batu Gajah dengan tujuan lawatan adalah untuk mendengar sendiri  rungutan dan keluhan peniaga-peniaga di pasar tersebut.

Kelihatan para peniaga berbilang bangsa berasa  gembira kerana masalah mereka diambil peduli oleh wakil rakyat. Walaupun peniaga tanpa lesen sekalipun mereka tetap rakyat dan diberi peluang untuk berniaga dengan pelbagai cara yang mampu kerajaan lakukan. 

" Kata orang putih there are many ways to kill a cat..jadi sebagai kerajaan mereka mampu lakukan 1001 cara untuk emmastikan peniaga ada lesen dan ada kemudahan yang sewajarnya", ulas Radzi semasa sesi lawatan awal. Sebenarnya sejak diwakili ADUN UMNO lagi, para peniaga-peniaga yang berasa teraniya  dan  diibaratkan seperti mulukut di tepi gantang.

Hal ini ekoran daripada tindakan Majlis Daerah Batu Gajah yang mengadakan operasi penguatkuasa dan pembersihan pada 25 September 2013(Rabu).

        Dalam operasi tersebut banyak barang peniaga yang telah disita, kerana mempamerkan barang-barang jualan melebihi kawasan premis perniagaan. Tindakan peniaga-peniaga tersebut adalah disebabkan saiz premis yang terlalu kecil.Sekiranya tindakan tersebut tidak dibenarkan, maka hanya sedikit sahaja barang yang mampu dijual.
Hal ini diburukkan lagi dengan kemunculan sebuah pasar raya yang beroperasi berhampiran Pasar Awam Batu Gajah. Pihak Majlis Daerah Batu Gajah sepatutnya perlu  menyelami masalah sebenar peniaga-peniaga agar tindakan yang sewajarnya yang diambil.

Tindakan pihak Majlis kelihatan seumpama menabur pasir ke dalam periuk nasi peniaga-peniaga kecil yang mencari rezeki menampung kehidupan keluarga.

Pihak Majlis perlu memberi fokus kepada prasarana bukan membuat 'wash out' menyapu bersih rezeki para peniaga. 
Lihat sahaja isu  longkang-longkang di kawasan Pasar Awam Batu Gajah tidak dibersihkan dan dipenuhi sampah sarap.

Sepatutnya itu yang perlu dilakukan oleh pihak Majlis Daerah Batu Gajah bukannya menggangu operasi peniaga- peniaga.

Selain itu notis yang diberikan sebelum operasi dijalankan memaklumkan bahawa tujuan operasi adalah untuk memastikan kawasan luar dan didalam pasar bersih daripada barangan tidak berguna bagi mengelakkan pembawa nyamuk dan serangga pembawa penyakit.

Sebaliknya barang-barang elok yang diniagakan yang telah dirampas seolah-olah barangan tersebut tak berguna.

Lebih pahit perit lagi peniaga-peniaga tanpa lesen  diminta berpindah ke bahagian belakang bangunan untuk berniaga.Tindakan tersebut seolah-olah memberi isyarat umtuk mereka menghentikan operasi. Majlis Daerah Batu Gajah seharusnya mengambil langkah yabg bijak dalam usaha membantu masyarakat bukannya bersikap lepas tangan walaupun rakyat sedar Majlis Daerah bukan pihak kebajikan masyarakat. Namun sedikit sebanyak pihak Majlis perlu terjemahkan dahulu retorik rakyat didahuluan yang diwar-warkan oleh kerajaan BN pusat mahupun negeri.

YB Radzi selaku Adun bersetuju dengan kebanyakan peniaga bahawa sebarang tindakan dari pihak majlis daerah mestilah lebih berhemah dan bertolak ansur/guna budi bicara.

"Saya, Insya Allah akan  membawa isu sebahagian bumbung bocor di Pasar Batu Gajah ini ke pengetahuan majlis daerah dalam masa terdekat. Saya lihat t
indakan Majlis Daerah Batu Gajah dilihat tidak seiring dengan matlamat mereka  iaitu memastikan Pasar Awam Batu Gajah sentiasa dalam keadaan bersih" jawab Radzi semasa disoal tindakan lanjut beliau.



























Friday, September 27, 2013

Kenyataan Media -MEMBAYAR PERKHIDMATAN PERUNDING LUAR NEGARA ADALAH SUATU SKANDAL



Kenyataan Media MAPIM
25 hb September 2013

MEMBAYAR PERKHIDMATAN PERUNDING LUAR NEGARA ADALAH SUATU SKANDAL  .

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengesa kerajaan menyemak semula amalan melantik dan membayar yuran perunding luar negara yang sangat tinggi untuk perkhidmatan perundingan tertentu .

Kami tidak faham kenapa amalan ini berterusan sehingga melibatkan jutaan ringgit yang menguntungkan syarikat perunding luar negara . Apatah lagi perunding yang dilantik bukan pakar dalam bidang yang dimandat untuk mendapatkan perkhidmatannya.


Apapun alasan yang diberi untuk melantik syarikat perunding luar , wang awam telah digunakan yang sepatutnya  diurus dengan amanah dan telus.

Namun bila  perunding luar dipilih yang tidak mempunyai kedalaman faham dan kepakaran mengenai negara ini ,maka perbelanjaan membayar perunding luar berjumlah jutaan ringgit , bagi kami  adalah suatu skandal.

Kami terkejut bila diumumkan di Parlimen bahawa Kementerian Pendidikan melantik  sebuah syarikat perunding McKinsey and Co dengan bayaran RM20.56 juta untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia .

Lebih mengejutkan lagi ada dakwaan bahawa syarikat perunding itu tidak mempunyai kelayakan dalam bidang kajian pendidikan. Soalnya kenapa pula ia dimandatkan untuk melakar sebuah perancangan sektor yang terpenting dalam pembangunan negara iaitu sektor pendidikan.

Soalnya bagaimana keputusan dibuat untuk melantik perunding ini , apa tujuan dan untuk keperluan apa  syarikat itu dilantik serta apakah kriteria syarikat perunding itu dipileh?

Persoalannya ialah bukan sahaja peruntukan yang sangat tinggi dibayar untuk menghasilkan dokumen PPM dibayar kepada syarikat perunding luar , akan tetapi apakah setelah 56 tahun negara ini merdeka kita maseh memerlukan konsultasi orang luar untuk menghasilkan sistem pendidikan kita sendiri?

Dimanakah yang dikatakan Majlis Professor Negara yang menghimpun ratusan ahli sarjana yang pakar dalam pelbagai bidang?  Apakah mereka lebih rendah ilmunya untuk menjadi pemikir bagi melakar rancangan sistem pendidikan negara ini , lalu kita memerlukan orang luar untuk melaksanakan tugas ini?

Kami kesal amalan melantik dan membayar perunding luar negara menjadi amalan biasa kerajaan yang ada.

Pengelaman kerajaan selama ini dapat direkodkan bahawa ia telah sering membayar perunding luar  untuk mendapat nasihat bagaimana mempromosi pentadbiran pemimpin negara .

Khidmat itu diguna adalah untuk memberi nasihat bagaimana membina imej Malaysia termasuk untuk menaikan imej pemimpin . Bayaran yang  dilaporkan bernilai RM 1.2 juta dibayar kepada syarikat perunding yang dilantik tanpa pengetahuan rakyat.

Sehingga ini tidak ada penafian syarikat perhubungan awam AS yang dilantik itu mengenai  pendedahan ia menerima pembayaran dari kerajaan Malaysia diatas khidmat nasihat yang diberi itu.

Demikian  sebelum ini pada 2002 suatu perbelanjaan  untuk mengatur pertemuan antara PM Malaysia dengan Presiden US melibatkan RM 4.4 juta dibayar kepada perunding yang dilantik.

Begitu juga betapa jutaan ringgit dihabiskan untuk membayar perunding mengatur pembelian pelbagai barangan dan alatan tentera . Komisyen untuk perunding yang mengkordinasi pembelian kapal selam sahaja melibatkan pembayaran RM 510 juta.

Kami menegaskan ini adalah suatu amalan yang pincang , tidak sensitif dengan amanah wang rakyat serta dilakukan dengan tidak telus.

Walaupun Kementerian Kewangan ada menyediakan manual perolehan Khidmat Perundingan , kami berpandangan bahawa rasional memilih dan meluluskan perkhidmatan perundingan hendaklah dikaji semula , terutama yang melibatkan syarikat perundingan luar negara.

Kami mendesak kerajaan menghentikan amalan ini dan segala perlantikan perunding yang melibatkan projek dan khidmat kerajaan hendaklah diutamakan syarikat tempatan. Itupun hendaklah dilakukan dengan telus dan dikawal selia dengan ketat supaya tidak berlaku penyelewengan dan  pembaziran wang awam.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

Kami Penduduk Sudah Tidak Tahan Lagi-wakil Penduduk Desa Pinji

Kami Penduduk Sudah Tidak Tahan Lagi-wakil Penduduk Desa Pinji


26 Sept 2013- Pengkalan Pegoh
Muhammad Nuruddin Bashah
Unit Media dan Informasi Pusat Khidmat ADUN Sg Rapat

Penduduk sudah tidak tahan lagi, begitulah antara luahan perasaan Saudara Shan kepada YB Radzi Zainon semasa kunjungan Pusat Khidmat bersama wartawan Sinar Harian di Taman Desa Pinji Changkat Larang.

Antara isu yang pernah didedah oleh YB Radzi sebelum bergelar wakil rakyat adalah isu loji kumbahan dan tangki air bocor di perumahan ini.  Rakyat juga mengadu berkenaan isu semak samun, longkang tersumbat serta  longgokan sampah yang tidak terurus.

 Isu lori, habuk dan keselamatan pula menghantui penduduk sekitar  hala pengkalan barat 14, tmn pengkalan barat. 

Antara yang menjadi permasalahan sekian lama penduduk di sini adalah isu lori besar yang keluar masuk melalui jalan perumahan. Hal ini menyebabkan kerosakan jalan yang kerap, isu habuk dan debu yang tidak pernah selesai serta isu keselamatan para penduduk.

Kunjungan pada jam 5,00 petang yang disertai hujan renyai-renyai itu juga membuah suatu kata sepakat daripada Saudara Shan yang mewakili penduduk untuk bekerjasama menyalur maklumat dan isu-isu berkaitan penduduk perumahan kepada pihak ADUN Sungai Rapat agar suara rakyat dapat terus dibawa oleh YB Radzi ke dalam Dewan Undangan Negeri.












Solidariti untuk OKZ Peringkat Parlimen Gopeng

Solidariti untuk OKZ Peringkat Parlimen Gopeng

25 Sept 2013- IPOH
Muhammad Nuruddin Bashah
Unit Media dan Informasi Pusat Khidmat ADUN Sungai Rapat

Suatu Majlis Penerangan berkaitan Solidariti OKZ Ops Bubar telah diadakan di perkarangan Markaz PAS Kawasan Gopeng Rapat Setia bermula jam 9 malam.









Majlis ini adalah bersempena roadshow kepimpinan PAS memberi penerangan kepada rakyat berkenaan isu 13 tahanan yang kini berjaya diikat jamin sementara menunggu proses rayuan berikutan hukuman 2 tahun penjara kerana kesalahan menyertai himpunan membantah rampasan kuasa BN pada tahun 2009 lalu.

Antara yang berucap tadi antaranya adalah Saudara Salman Saleh wakil Dewan Pemuda Pas Perak, Ucapan YB Us Abu Bakar Hussin Pesuruhjaya PAS Perak, YB Dr Lee Boon Chye Ahli Parlimen Gopeng serta ADUN Sungai rapat sendiri YB Radzi Zainon.

Hasil kutipan derma daripada Pusat Khidmat ADUN Sungai Rapat sebanyak RM 1140 telah diserahkan kepada pihak PAS Negeri untuk tujuan kebajikan para mangsa.

Wednesday, September 18, 2013

Radzi Zainon Tinjau Masalah Tebing Runtuh Di Kg MTD Batu Gajah

Radzi Zainon Tinjau Masalah Tebing Runtuh Di Kg MTD Batu Gajah

oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
(Unit Media dan Informasi Pusat Khidmat ADUN Sg Rapat)

15 September 2013- Batu Gajah

Mendekati kaum bukan Islam adaah agenda tetap YB Radzi sebelum bergelar wakil rakyat lagi. Semalam YB  Radzi Zainon bersama komuniti kaum India  telah meninjau masalah tebing runtuh dan longkang pecah di sebuah rumah berdekatan Kuil Hindu Penganut Maha Mariamman, Kg. Baru MTD Batu Gajah.




Dalam masa yang sama beliau mengambil kesempatan bertemu dan bertanya khabar dengan beberapa orang masyarakat India beragama Hindu yang ada di Kuil tersebut.

YB  Radzi juga sempat meninjau rumah-rumah dhaif yang didiami masyarakat miskin yang ada di sekitar kawasan itu yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib.Namun, apa yang lebih mengejutkan dan menyedihkan masih ada lagi masyarakat keturunan India yang lahir di Malaysia yang ada dalam DUN Sg. Rapat masih lagi memiliki kad pengenalan merah ! Persoalannya apakah yang wakil rakyat sebelum ini lakukan  dan perjuangkan untuk rakyat Sg. Rapat selama lebih 8 tahun ?


Sunday, September 15, 2013

Kenyataan Media : RAKYAT KESAL HUKUMAN 13 PESERTA HIMPUNAN RAKYAT BUKIT CHANDAN TIDAK DIBENARKAN TANGGUH



Keyataan Media
15 September 2013

RAKYAT KESAL HUKUMAN 13 PESERTA HIMPUNAN RAKYAT BUKIT CHANDAN TIDAK DIBENARKAN TANGGUH 

Saya antara rakyat yang berasa sedih sejurus selepas mendengar keputusan  Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar  pada 13 September 2013 Jumaat, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada semua aktivis yang membantah Rampasan Pemerintahan pakatan Rakyat di Bukit Chandan pada 6 Februari 2009. 

Keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada semua aktivis yang berhimpun secara aman di Bukit Chandan pada 6 Februari 2009  dengan Seksyen 145 Kanun Keseksaan Akta 574.

Menurut Seksyen 145 itu ada dinyatakan “Menyertai atau berterusan dalam perhimpunan haram, mengetahui bahawa ia telah diperintahkan untuk menyuraikan. Sesiapa yang menyertai atau terus dalam perhimpunan haram, mengetahui bahawa perhimpunan menyalahi undang-undang itu telah diperintahkan mengikut cara yang ditetapkan oleh undang-undang untuk menyuraikan, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya”.

Saya tidak bertindak membantah keputusan Mahkamah terhadap hukuman yang telah dijatuhkan tetapi terkilan dan kesal kerana 13 yang tertuduh rata-rata terdiri daripada kalangan rakyat tanpa rekod jenayah daN berpendapatan rendah tidak pula dibenarkan hukuman ditangguh untuk mendengar rayuan. 

Saya sedar dan tidak membantah alasan diberikan hakim iaitu adalah demi kepentingan umum dan juga institusi Raja kerana kejadian ini berlaku semasa proses perlantikan Menteri Besar  di hadapan Istana dan mahkamah memandang serius kesalahan ini dan perlukan satu hukuman yang bersifat deteren ataupun pencegahan di masa-masa akan datang.

Namun begitu adalah suatu yang munasabah bagi hakim juga untuk menangguh hukuman selagi mana peluang luas bagi mereka untuk mendapatkan rayuan masih ada. 

Mahkamah pernah menangguhkan hukuman beberapa kes atas alasan menantikan rayuan dan saya memetik kes pada 11 Oktober 2012 di mana Mahkamah Tinggi Shah Alam pernah menangguhkan pelaksanaan hukuman enam tahun penjara dan denda RM400,000 terhadap Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya,  Rosli Busro yang disabitkan atas tuduhan membuat tuntutan palsu. Penangguhan adalah disebabkan tertuduh mempunyai peluang terakhir untuk mengemukakan rayuan terhadap sabitan hukuman tersebut di Mahkamah Rayuan.

Saya yakin hukuman yang disegerakan dan mereka yang dilabel seolah-olah penjenayah berat ini adalah suatu tindakan berbaur politik. Mahkamah mampu meringankan hukuman terhadap Dr Khir Toyo serta pernah hanya mendenda RM 25 kepada beberapa penari tiang lucah sebelum ini. Mahkamah juga mampu meringankan hukuman apatah lagi menangguhkan hukuman. 

Kisah mereka akan terus didendangkan dan mencetuskan semangat juang rakyat terhadap kezaliman yang ada. Sebagaimana isu Memali yang kembali menjadi back fire kepada aparat pemerintah yang giat memalukan mereka, melabel dengan tuduhan komunis, bughah (penderhaka) dan sebagainya, akhirnya terbukti kesucian dan kemurnian diri para penduduk kampung Memali dan kisah mereka kini menjadi muzium semangat yang membakar terus api semangat rakyat menentang kezaliman.

Radzi Zainon
ADUN Sg Rapat

ADAKAN REFERENDUM RAKYAT ISU TPPA



Kenyataan Media MAPIM
10hb September 2013

ADAKAN REFERENDUM RAKYAT ISU TPPA

MAPIM mengesa agar kerajaan adakan referendum jika bantahan rakyat dan pelbagai pihak mengenai isu TTPA tidak mahu dilayan oleh kerajaan.

Dengan pelbagai persoalan yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak , Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mewakili kerajaan maseh mahu meneruskan perundingan dalam TTPA dan menentukan  penyertaan Malaysia akhirnya akan turut menandatangani perjanjian tersebut.

Kami tidak faham apa sebenarnya yang mendorong kerajaan bersungguh mahu meneruskan penyertaan dalam proses perundingan TTPA ?. Apakah ada pihak yang menekan Malaysia  untuk terus menyertai TTPA.? Kepentingan siapa yang sebenarnya yang mahu dijaga dan kenapa kerajaan seolah terlalu terdesak untuk menyertai TTPA?




Kami mempersoalkan dan membantah penyertaan Malaysia dalam proses perundingan TTPA adalah kerana kita tidak perlu mengikatkan diri dengan mana-mana pihak untuk berdagang. Kita harus bebas mahu berdagang dengan mana-mana negara tanpa perlu terikat dengan perjanjian yang mensyaratkan negara kepada ikatan undang-undang.

Oleh kerana terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab dan banyak pula yang dirahsiakan , maka kami merumuskan perjanjian TPPA bukan suatu perundingan yang pro rakyat akan tetapi pro bisnes semata-mata yang lebih menguntungkan kuasa besar dan melanjutkan proses penjajahan semula negara ini.

Apabila TTPA merupakan perundingan yang penuh kerahsian sehingga para penggubal undang-undang negara iaitu ahli parlimen sendiri tidak mengetahui perincian dalam perjanjian yang bakal ditandatangani itu , kami berpendapat sudah sampai masanya suatu pengumpulan suara rakyat dilancarkan untuk menentukan semada rakyat mahu atau menolak TPPA.

Kami mendapati kerajaan nampaknya tidak peka dengan suara rakyat sedangkan rakyat berhak membantah kerana ia mempunyai implikasi besar kepada kehidupan mereka.

Kami dengan itu berpendapat referendum ini akan benar-benar menggambarkan kehendak rakyat terhadap isu TPPA dan kerajaan perlu mengambil sikap terbuka dalam hal ini.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

MEMBANGUN EKONOMI BUMIPUTERA PERLU BENTERAS AMALAN KRONI DAN GANGUAN POLITIK


Kenyataan Media TERAS
15hb September 2013

MEMBANGUN EKONOMI BUMIPUTERA PERLU BENTERAS AMALAN KRONI DAN GANGUAN POLITIK

TERAS Pengupayaan Melayu  melihat pelancaran Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera kelmarin akan menjadi tidak lebih dari menukar nama kepada program yang sama jika kerajaan tidak bersikap terbuka , telus dan membenteras amalan kronisme.

Bagi kami mendaya modal Insan Bumiputera tidak harus dilihat hanya kepada soal kemahiran dan pengijazahan semata. Hal ini telah dilakukan sedemikian lama namun maseh belum melahirkan bumiputera yang mempunyai jati diri yang kukuh untuk hidup berdikari.


Kami berpendapat tidak wajar graduan hanya dilihat dari sudut kebolehpasaran sahaja. Apa yang sangat diperlukan ialah membina keperibadian graduan yang kuat sehingga boleh menjadi warga masyarakat yang bermanfaat.

Apa yang menjadi persoalan utama ialah kedayaupayaan generasi muda yang lemah didorong oleh pelbagai pengaruh yang negatif dalam persekitaran sekarang.

Kemahiran tanpa jatidiri insan yang kuat akan mengakibat lahir generasi muda bumiputera yang rapuh. Apa yang sangat diperlukan ialah melahirkan bumiputera yang mampu berfikir kritikal , berdaya upaya dan mempunyai kekuatan akhlaq yang kukuh.

Kami juga prihatin kepada soal pelbagai skim yang diujudkan untuk meningkatkan  pemilikan Ekuiti Bumiputera Dalam Sektor Korporat . Beberapa saham bumiputera yang telah diagihkan selama ini tidak menambah nilai ekuiti akibat harga saham yang menurun yang tidak menjana kekayaan yang diharapkan. Suntikan pelaburan atas nama bumiputera harus dilihat dengan kritikal supaya dayatahan pemilikkan saham tidak menurun.

Mentransformasikan program pelbagai skim hanya bermakna jika ia diuruskan dengan amanah dan tidak diganggu oleh keputusan politik yang akan menjejaskan ekuiti bumiputera .

Dalam hal memperkukuhkan pemilikan Aset Bukan Kewangan Bumiputera , kami memerhatikan berlaku ketidaktelusan dalam pembelian dan penjualan aset oleh pelbagai agensi yang mengendali aset atas nama bumiputera. 

Membeli bangunan atau aset hartanah yang tidak telus sehingga menjadi beban kepada kewangan agensi tidak membawa makna. Malah ada aset yang terbiar tanpa diurus secara produktif. Ada juga penjualan aset yang tidak wajar sehingga aset yang dimilikki sedemikian berpindah milik kepada bukan bumiputa.

Kami menuntut agar semua agensi yang diamanahkan untuk mengurus aset hartanah dipantau secara professional dan tidak dipengaruhi oleh ganguan politik.

Memperkemaskan Yayasan Wakaf Malaysia dan peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Bhd (AHB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawasan Nasional Bhd (Punb) bagi membangun dan memperoleh hartanah komersil dan industri mesti dilakukan secara professional.



Kami menilai bahawa memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada bumiputera melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dengan kerajaan negeri perlu dilihat secara menyeluruh dari sudut kualiti.

Kedudukan kawasan perumahan yang tidak munasabah untuk kaum bumiputera tidak akan mencapai matlamat sepatutnya. Hakikikat bahawa maseh banyak perumahan rakyat yang tidak ada pembeli kerana faktor kesesuaian tempat. 

Kami berpendapat kuota perumahan untuk kaum bumiputera dikawasan strategik hendaklah dikuatkuasakan dengan tegas dan tidak membiarkan pemaju melepaskan tanggungjawab sosial mereka untuk meningkat taraf kehidupan kaum bumiputera.

Peranan agensi seperti UDA Corporation untuk membangunkan hartanah dikawasan bandar hendaklah dinilai dengan kritikal kerana banyak hartanah orang Melayu yang terjual akibat pembangunan yang dijalankan oleh Uda yang akhirnya dimilikki oleh bukan bumiputera.



Demikian juga dalam hal saranan terhadap  Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam pembangunan hartanah. Pembangunan hartanah bumiputera hendaklah dilakukan dengan berhati-hati kerana matlamat keuntungan tidak boleh dibiarkan mengatasi tujuan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi bumiputera.

Mengenai membangunkan  Keusahawanan Dan Perniagaan Bumiputera kami berpendapat para usahawan bumiputera perlu dibina dengan skim yang berbeza. Semua agensi yang sedia ada nampaknya tidak melahirkan usahawan bumiputera yang diharapkan. 

Prosidur perniagaan perlu dipermudahkan dan anugerah projek-projek kerajaan hendaklah dilakukan secara meritokrasi yang telus . Kaum bumiputera yang benar-benar menunjukkan daya perniagaan yang baik hendaklah diberi peluang meningkatkan perniagaan. 

GLC tidak harus menjadi pesaing kepada para ushawan bumiputera. Peniaga sederhana dan kecil perlu diberi kemudahan dan lokasi perniagaan yang strategik. Penyeliaan perniagaan bumiputera yang mendapat pinjaman dari pelbagai agensi perlu dilaksanakan agar tidak berlaku salahguna modal perniagaan.

Program pembangunan vendor perlu dilakukan berdasar penyeliaan yang rapi dan teliti. GLC yang mengujudkan skim vendor untuk bumiputera perlu melaksanakan skim pengukuhan daya maju vendor secara berterusan. Para Pengurus GLC yang tidak menunjukkan prestasi dalam melahirkan vendor bumiputera hendaklah ditukar.

Kami meneliti banyak usahawan bumiputera yang terbantut dan gagal ialah akibat amalan kronisme dalam menganugerah projek . Mereka yang maseh mengamalkan perniagaan atas angin tanpa menunjukkan daya kemahiran perniagaan yang layak maseh berterusan diberi projek . 

Polisi "carve out" yang dicadangkan oleh Perdana Menteri harus dilihat dengan teliti kerana perlaksanaannya terdedah kepada penyelewengan jika tidak dilakukan dengan telus.

Kami berpendapat menambah pelajar dan kampus UITM tidak akan bermakna jika keupayaan pengurusannya tidak dipastikan berjalan dengan baik . Kualiti pelajar UITM perlu dipastikan dengan menjaminkan  pembinaan keperibadian dan jatidiri berjalan dengan sempurna.

Semua agensi yang berkait dengan memastikan sistem penyampaian berlaku dengan lancar hendaklah tidak terlalu birokratik. Agensi yang terlalu banyak dan mengguna peruntukan yang tinggi hendaklah dinilai semula .

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS 

Saturday, September 14, 2013

Radzi; UTC Perlu Beri Manfaat Maksima Untuk Rakyat

Kenyataan Media

10 September 2013

UTC PERLU BERI MANFAAT MAKSIMA KEPADA RAKYAT

Ke arah mendapatkan gambaran lebih jelas perjalanan perkhidmatan yang ditawarkan di Urban Transformation Centre (UTC) Ipoh, Saya  Radzi Zainon, ADUN Sg Rapat telah menghabiskan masa sekitar dua jam melawat dan bersuamuka dengan para pegawai dan kakitangan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan  di sana.

Hal ini disebabkan terlalu banyak rungutan rakyat berkaitan proses dan sistem pengurusan di UTC.

Antara jabatan yang sempat dilawati ialah Jabatan Pendaftaran Negara, JPJ, Jabatan Imigresen, Pejabat Tanah & Daerah Ipoh, Bahagian Perumahan Awam, MBI, MARA Daerah Kinta dan lain-lain lagi. 




Saya  sempat bertanya khabar dan berbincang dengan Pegawai MARA Daerah Kinta, En. Nawawi yang telah beliau temui kali pertama pada sidang DUN Perak bermula 26 Ogos yang lalu.

Kedatangan saya  pada waktu lewat petang kira-kira jam 7.10pm memberi sedikit kelegaan kerana masalah utama di kawasan ini adalah tempat meletak kenderaan.

Saya bernasib baik kerana tidak perlu berpusing-pusing terlalu jauh pada waktu sebegini untuk mencari tempat meletak kenderaan  kerana di waktu siang kenderaan penuh sesak di kawasan sekitar UTC ini.

Antara jabatan yang agak sibuk selepas dibuka semula jam 8 malam setelah rehat untuk solat maghrib dan makan malam ialah JPN, Imigresen dan JPJ. Semua pejabat mula ditutup sekitar jam 10 malam.

Sebelum ini saya  pernah membawa keluarganya untuk berurusan di JPN dan meninjau kali pertama di UTC Ipoh kira-kira dua bulan yang lalu. Tindakan sebegini yang beliau lakukan adalah untuk menambah ilmu dan maklumat serta proses "enggagement" berterusan yang harus dilakukan oleh seseorang Wakil Rakyat yang benar-benar mahu mewakili rakyatnya.

Mudah-mudahan kewujudan UTC Ipoh ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat jelata kerana ia menelan kos yang sangat tinggi ke arah merealisasikannya seperti sekarang !

Seharusnya ramai lagi wakil rakyat bukan sahaja sekitar bandaraya Ipoh perlu caknak dan turun adag melihat sendiri prosedur, perjalanan dan pengurusan sektor awam untuk melihat sendiri senario yang ada tanpa menunggu rungutan rakyat.

Pada saya, siri lawatan dan kunjungan saya ke UTC akan terus dilakukan untuk memastikan UTC benar-benar memberi manfaat maksima kepada rakyat.

Yang menjalankan tugas,

Radzi Zainon
ADUN Sg Rapat

PAPAN TANDA

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk
Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)