Bukan anggota PERKASA

Bukan anggota PERKASA

Monday, September 02, 2013

Kertas Kerja : Tuntutan dan Perjuangan PAS Sepanjang Zaman

Kertas Kerja : Tuntutan dan Perjuangan PAS Sepanjang Zaman
Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kaw Gopeng 2011

Pendahuluan
Antara persiapan ahli PAS yang terpenting adalah mempersiap pengetahuan berkenaan sejarah perjuangan PAS dan bagaimana PAS memulakan pergerakan awalnya. Antara isu yang perlu diketahui adalah seperti, benarkah PAS ditubuh untuk bersaing dengan UMNO? Adakah PAS tidak pernah berjuang untuk merdeka? Benarkah tiada sumbangan PAS dalam merealisasikan pertumbuhan masyarakat Islam sehingga hari ini? Tahukah ahli, sekecil-kecil isu seperti perjuangan cuti pada Hari Raya Syawal juga merupakan perjuangan para ulama’ PAS suatu ketika dahulu? Adakah semangat persefahaman politik PAS (tahaluf siasiy) hari ini adalah suatu perlambagaan pragmatisme dalam PAS atau ia merupakan suatu juzuk awal dasar penubuhan PAS?

Diharap kertas kerja ini membantu bukan sekadar suatu induksi kepada ahli atau ta’lif hati para penyokong PAS semata-mata, sebaliknya ia menjadi materi khusus untuk diteliti secara serius oleh para pemimpin akar umbi. Dalam penyediaan kertas ini, buku Tesis Dr Ismail Said berjudul Menegak Agama Membela Bangsa (2011) menjadi rujukan terpenting penulis.

Bagi setiap perenggan bernombor, penulis berhasrat agar pembaca menilai dan meneliti betapa PAS mempelopori pelbagai isu rakyat, kebajikan, bangsa, agama dan bahasa di negara ini. Jika isu seperti kebajikan jemaah haji dan Pendidikan Islam di sekolah Inggeris dikatakan adalah hasil perjuangan UMNO, mengapa ia masih dijadikan tuntutan, resolusi, memorandum dan manifesto PAS sejak dahulu lagi? Sila baca dan nilai setiap tuntutan PAS berikut.

1. Ketika Persidangan Alim Ulama’ pada 21 dan 22 Februari 1950 di Muar Johor anjuran Bahagian Ehwal Agama Islam dan Pendidikan (Ketua: Abdullah Fahim) terdapat usul awal perjuangan PAS selepas itu;1
  • Merayu kerajaan Arab Saudi turunkan cukai haji yang dikenakan sebanyak $360 dan sediakan layanan baik.
  • Menubuhkan kolej Islam.
  • Mengisytihar hari pertama Ramadhan dan Syawal sebagai cuti.
  • Mendesak kerajaan Persekutuan (jajahan British) menubuhkan Majlis Agama di Melaka dan P.Pinang.
  • Mengadakan perhubungan antara Majlis Agama Negeri.
  • Wujudkan derma pelajaran tinggi agama Islam bagi penuntut belajar luar negara.
  • Menubuhkan dakwah agama Islam.


  1. Persidangan Alim Ulama’ Kedua diadakan pada 23 Ogos 1951 di Kelab Sultan Sulaiman, KL dan dirasmi oleh Dato’ Onn. Kata beliau2;
  • Kurangnya perwakilan pihak agama Islam setiap negeri.
  • Mengkritik ketidak kesatuan para ulama’ di Malaya.
  • Perlunya ulama’ disatukan atas nama satu perjuangan sahaja.


  1. Resolusi dibahas pada persidangan kedua iaitu;
  • Mengingati kembali usul tahun sebelumnya di Muar.
  • Mengkritik loteri UMNO (judi).
  • Penubuhan Persatuan Ulama’ Se-Malaya.


  1. Persidangan Alim Ulama’ diadakan pada 24 November 1951 di Kelab Melayu Bagan, Butterworth. Persidangan ini bukan tajaan UMNO lagi malah seolah-olah diboikot para Raja Melayu malah Raja Perlis menolak untuk merasmikannya. Dua agenda dibincang iaitu pembentangan draf perlembagaan Persatuan Ulama’ Se-Malaya dan perlantikan portfolio.3
Ucapan aluan oleh Haji Fuad Hassan (dibaca oleh wakil) menuntut:
  • Amal fardi sahaja tidak mencukupi
  • Merealisasikan kerjasama untuk dakwah
  • Menyeru kesatuan ulama’ semua.
Nama PAS (Persatuan Islam Se Malaya) dipilih dan menolak nama Perikatan Ulama’ UMNO Malaya. Ahli PAS juga masih ahli UMNO kerana tiada pemisahan dan ramai menolak perlembagaan baru Fasal 22 Bab (1) yang memisahkan keahlian.
  1. Ibnu Hashim dalam bukunya Sejarah Kebangkitan dan Masa Depan; PAS kuasai Malaya menyatakan antara sebab penubuhan PAS;
  • Menentang judi loteri kebajikan UMNO, yang menentang termasuk Abdullah Fahim, Ahmad Fuad Hassan dan haji Fathullah Suhaimi (Singapura).
  • UMNO mengekalkan falsafah sekular.
Ustaz Baharuddin Latif menyatakan;
  • Dato’ Onn tidak disukai raja Melayu kerana ingin satukan semua pertubuhan Islam Malaya.
  • Dato’ Onn ingin masukkkan kaum bukan Islam dalam UMNO.


  1. Dasar awal PAS antaranya ialah4;
  • Mewujudkan sebuah Persatuan Persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggara segala tuntutan agama Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi (muwajahah silmiyah).
  • Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di negara ini yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan Islam bagi mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan perikemanusiaan sejagat (tahaluf siasiy).


  1. PAS bukan ditubuh untuk bersaing dengan parti yang lain dalam menuntut merdeka. Sebaliknya PAS ditubuh atas gesaan Ulama’ UMNO sendiri apabila tidak bersetuju denga hala tuju sekular UMNO. Mesyuarat Agong Tahunan ke-5 PAS pada 23,24 dan 25 Disember 1956 menyatakan;
  • Kita hendaklah menuntut kemerdekaan negara dalam tempoh tidak sampai 1959.
  • Bahasa kebangsaan Semenanjung Tanah Melayu adalah Bahasa Melayu dan ianya tunggal.
  • PAS perlu beri peringatan kepada rombongan ke London agar tidak ketepikan hak Islam.
  • Agama Islam perlu dijadikan panduan pemerintahan.
  • Menuntut dan bekerja sama untuk membatalkan jawatan Penasihat British.


  1. Cogan kata PAS pada 1953 ialah MERDEKA. Kemudian cogankata diubah pada 1954 kepada ALLAHUAKHBAR dan seruan adalah MERDEKA.


  1. Muktamar Pertama PAS pada 3 dan 4 Januari 1953 di Madrasah Dairat Ma’arif, Kepala Batas bersetuju;
  • Atur Dewan Pemuda untuk dakwah, perjuangkan demokrasi, hapuskan perhambaan dan menanam jiwa Islam.
  • Wujudkan cogankata Islam untuk syiar
  • Dirikan negara merdeka dari rakyat untuk rakyat.
  • Bersetuju Malaya merdeka di bawah Komanwel.
  • Menuntut isytihar hari pertama Muharam sebagai cuti.
  • Syarikat perkapalan untuk jemaah haji
  • Turunkan kadar pasport haji dari $20 kepada $ 5
  • Memutuskan bendera PAS merah putih (sang saka melayu) dengan bulatan hijau bertulis Allah Muhammad
  • Terbitkan majalah Suara PAS.
  • Menubuhkan Dewan Ulama’ agar sayap ulama’ kekal kerana PAS mulai disertai oleh bukan Ulama’. Dewan Muslimat juga ditubuhkan.
Haji Ahmad Fuad Hassan ingatkan perwakilan;
  • Malaya sebagai tanah Islam boleh lenyap jika ahli PAS tidak persiapkan agama di negara ini.
  • Kerakyatan kaum bukan Melayu memiliki hak sama dengan Melayu yang sebagai warganegara asal tanah Melayu. Melayu perlu pastikan Islam sebagai agama yang berpengaruh terus dalam Malaya.


  1. Muktamar Kedua pada 25 Ogos 1953 di Madrasah Al Ulum, Batu 20, Bagan Datuk, Perak5.
  • Mendesak kerajaan meluluskan mengadakan pelajaran agama Islam kepada anak-anak Islam di sekolah Inggeris dan dijadikan mata pelajaran wajib dalam peperiksaan.
  • Mendesak larangan menjual arak kepada orang Islam.
  • Merayu Pesuruh Jaya Tinggi British Gerald Templer mengecualikan kedai bermodal kurang $ 1000 daripada Undang-undang Pendaftaran dan Perlesenan.
  • Bersetuju akan menganjur satu muktamar khas bersama pertubuhan Islam serata negara untuk mendesak pengharaman loteri dan judi di Tanah Melayu


  1. Muktamar Ketiga diadakan pada 12 hingga 14 Ogos 1954 di madrasah At tahzib Ad Diniyah, Titi Serong, Parit Buntar, Perak dengan diketuai oleh Dr Abbas Alias6;
  • Mengesahkan pindaan untuk tekad menubuhkan negara Islam Malaya.
  • Menekankan keahlian PAS hanya untuk PAS tanpa dualisme seperti sebelumnya.
  • Mengambil keputusan untuk terlibat dalam pilihanraya.
  • Berkecuali daripada National Convention tetapi menyokong mana-mana gerakan untuk merdeka.
  • Mewujud lagu rasmi PAS.
  • Mendesak kerajaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi.


  1. Kongres Kebangsaan 23 Ogos 1953 di Hotel Majestic KL, PAS menyertainya serta memberi banyak pandangan walaupun tiada wakil PAS dalam Jawatankuasa Khas. Pandangan dan desakan PAS;
  • Mendesak kuasa undi hanya diberi kepada rakyat Sultan dan raja Melayu sahaja kerana masih sangsi dengan kesetiaan kaum bukan Melayu pada ketika itu yang belum menjadi warga negara sepenuhnya.
  • Mendesak 65% ahli majlis Mesyuarat Perundangan terdiri di kalangan Melayu.
  • Orang Melayu dilahirkan di Singapura perlu diberi hak mengundi juga.


  1. Sebaik sahaja Dr Burhanuddin Al Helmi memegang jawatan yang Dipertua PAS pada tahun 1956, beliau menegaskan;
  • Dasar Kebangsaan negara perlulah Melayu.
  • Mesti diakui bahawa kaum Melayu adalah tuan negeri ini.
  • Satu sahaja bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu
  • Islam adalah agama rasmi.
  • Menentang jus soli. Kerakyatan perlu melalui majlis perundangan.


  1. Selepas merdeka, PAS masih lagi menegur kerajaan dan memberi saranan khusus untuk mempertingkat prestasi sekolah dan sistem pendidikan Islam. Mesyuarat Jawatankuasa Agung ke-3 pada 26 Februari 1959 telah mengambil ketetapan berikut;
  • Menuntut kerajaan mengeluar dengan segera bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Tanah Melayu seperti yang dijanjikan.
  • Mendesak kerajaan memperbanyak Sekolah Tinggi Islam di Tanah Melayu.
  • Mendesak kerajaan mengadakan kelas agama untuk orang dewasa di setiap kampung dengan kos ditanggung kerajaan mulai 1959.


  1. Idea perpaduan dan kerjasama antara kaum telah diasaskan oleh Dr Burhanuddin pada 1947, jauh lebih awal sebelum beliau menyertai PAS apabila PKMM bersekutu dengan PUTERA-AMCJA7. Apabila menerajui PAS beliau menyarankan;
  • Menegur secara sihat perlembagaan negara.
  • Memperbaiki organisasi PAS
  • Menyusun badan penerangan dan tabligh PAS.


  1. Teguran dan cadangan PAS kepada Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan pada 1962 (dibaca oleh Dr Burhanuddin dalam Parlimen);


1. Ini ada-lah satu penyata di-kemukakan oleh Persatuan Islam Sa-Malaya (PAS) kepada Suruhan Jaya Perlembagaan yang di-tugaskan bagi memereksa dan membuat shor, pindaan atau sa-bagai-nya atas Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memerhatikan asas2 yang di-tentukan dalam tugas Surohan Jaya itu.


2. Dalam mengemukakan penyata ini Persatuan ini lebeh dahulu menarek perhatian Surohan Jaya itu kepada beberapa perkara saperti berikut:-


A. Bahwa negeri ini ada-lah NEGARA MELAYU dan hak BANGSA MELAYU yang telah di-buktikan oleh sejarah dan di-akui oleh undang2 dari satu ka-satu masa. Maka tugas Surohan Jaya Perlembagaan ini pada perenggan yang kelima Cheraian 5 untok mengawal kedudokan Melayu di-negeri ini jangan-lah di-lihatkan dari segi yang lain dari pada hakikat yang tersebut di-atas. Sa-barang perchubaan, sama ada berpelembagaan atau tidak-nya hendak mengubah hakikat ini ada-lah salah dari segi hak manusia dan undang2. Bangsa Melayu hanya mempunyai satu kedudokan dalam negeri ini ia-itu mereka-lah yang punya negeri ini dan kedaulatan mereka ada-lah kedaulatan mutlak dalam negeri ini.


B. Jadi dari itu tugas yang kelima yang tersebut jangan-lah ditafsirkan hendak memberi ke-istemewaan kechil2 bagi Bangsa Melayu, sa-balek-nya ada-lah tugas Surohan Jaya itu menetapkan bahwa KEDAULATAN BANGSA MELAYU DI-NEGERI INI IA-LAH MEREKA MEMPUNYAI KEDAULATAN MUTLAK DI-DALAM-NYA.


C. Bahwa kenyataan Politic yang ada dan sedang berjalan di-Persekutuan Tanah Melayu ini tidak-lah sa-benar2-nya merupakan hakikat yang sejati bagi kedudokan Politic-nya. Sa-balik-nya kenyataan2 itu ada-lah di-timbulkan oleh beberapa keadaan2 yang di-bawa oleh penjajahan Politic dan Economy yang bermaharajalela dalam negeri ini samenjak beratus2 tahun.


D. Jadi jangan-lah kenyataan2 itu di-jadi-kan ukuran yang hak dalam Politic negeri ini. Kelemahan kedudokan bangsa Melayu dalam economy dan pelajaran telah meletakkan mereka di-satu taraf yang menyebabkan hak Politic mereka yang mutlak itu tiada berkesan dan longgar. Maka dari segi undang2 ada-lah salah sa-kira-nya keadaan itu di-jadikan helah bagi merampas kuasa Politic mereka. Kalau-lah bangsa Melayu itu kuat dalam economy dan pelajaran-nya sudah barang tentu pada masa ini tiada terdapat kekusutan2 Politic yang memaksa kedatangan Surohan Jaya itu ka-negeri ini.


E. Persatuan ini, oleh sebab yang di-atas, menuntut supaya Surohan Jaya ini berpegang kepada hak manusia yang menegaskan bahwa lemah atau kuat-nya sa-sa-suatu bangsa itu bukan-lah menjadi ukuran kepada berhak atau tidak-nya mereka dalam sa-suatu.


F. Bahwa negeri ini dari satu masa ka-satu masa telah membuka-kan pintu-nya kepada bangsa2 asing yang telah tertarek kepada kekayaan negeri ini dan telah mendapat ni’mat hidup di-dalam-nya dengan tiada terganggu walau sedikit pun hingga-kan pada masa ini bilangan orang2 asing dinegeri ini dan kedudokan mereka dalam semua lapangan telah lebeh dari pada bangsa Melayu yang ada-lah bumiputra bagi negeri ini. Sa-siapa yang datang ka-negeri ini dapat melihat, bahwa tiada sa-buah negeri pun atau satu bangsa pun yang telah menerima baik dan memberi layanan penoh kepada orang2 asing lebeh dari pada Negeri Melayu dan Bangsa Melayu.


G. Jadi tuntutan berkenaan dengan hak kera’ayatan sama ada berupa Jus Soli atau pun berupa kelonggaran sharat2 kera’ayatan yang di-kemukakan oleh orang2 asing itu bukan-lah di-asaskan atas kesempitan hak hidup ma’amor yang di-rasai mereka, tetapi ada-lah di-terbitkan oleh perasaan tama’ dan haloba kepada kuasa yang telah pun di-dapati mereka pada masa ini.


H. Dalam menegaskan ini, Persatuan ini tidak-lah sekali2 memandang soal ini dari segi perkauman atau dari perasaan dengki atas kemajuan dan kemewahan yang dichapai oleh bangsa asing dalam negeri ini. Sa-benar-nya Bangsa Melayu tiada-lah sekali2 merasai dengki saperti itu, sa-balek-nya suka kepada kemajuan2 mereka; akan tetapi dalam masharakat negeri ini menuju kemerdekaan-nya dan segala usaha-nya, di-tumpukan untuk itu.


I. Bangsa Melayu merasa tersinggong kerana burok-nya niat pehak yang menuntut kuasa Politic itu dengan tiada sebab yang ma’kul mengehendaki mereka berbuat begitu. Langkah mereka itu hanya akan merosakkan perjuangan umat negeri ini menchapai kemerdekaan;dan Persatuan ini ada-lah menentang sa-barang perbuatan yang munkin melambat-kan kemerdekaan negeri ini.


J. Bahwa persamaan hak dan kera’ayatan Jus Soli yang di-tuntut oleh orang2 dagang itu dengan alas an bahwa itu ada-lah hak2 asasi manusia tidak-lah boleh di-jadikan sandaran dalam hal ini dalam negeri ini. Kerana negeri ini, dengan sebab2 yang di-timbulkan oleh penjajahan ka-atas bangsa Melayu, telah pun mereka mendapat hak2 saperti itu saperti mana yang telah tersebut di-atas tadi. Pada pendapat Persatuan ini sa-belom memberikan hak penoh dan tanggong jawab penuh kepada orang2 itu ada-lah mustahak kita merasa puas hati terlebeh dahulu tentang keta’atan mereka yang tidak berbelah bahagi dan tanggong jawab mereka yang penoh terhadap negeri ini dalam lapangan Politic, Undang2, Kebudayaan dan kemusharakatan. Ini, Persatuan Islam Sa-Malaya ini berani menegaskan belom-lah terdapat lagi pada semua orang2 dagang itu, walau pun yang di-peranakkan di-negeri ini hingga masa ini. Jadi Persatuan Islam Sa-Malaya suka memperingatkan Surohan Jaya ini jangan-lah keliru atau terpedaya dengan riuh rendah yang di-buat2 oleh mereka itu dalam soal ini, kerana bahwa tuntutan2 itu ada-lah di-kemukakan oleh orang yang tak pun berhak dalam negeri ini, sebab kebanyakan mereka bukan-lah rakyat negeri ini.


K. Surohan Jaya ini ada-lah di-ingatkan Bahwa sekira-nya kera’ayatan Jus Soli dan hak persamaan di-beri kepada mereka itu, maka negeri i ni akan menjadi sa-buah negeri yang terdedah kepada pengkhianatan2 yang akibat-nya akan mem-bahyakan kemerdekaan negeri ini. Itu ada-lah ber-lawanan dengan tugas Surohan Jaya ini menggubal Perlembagaan negeri ini sa-bagai sa-buah negeri yang MERDEKA yang mempunyai kerajaan pusat yang kuat.


  1. Suruhanjaya Reid mencadangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi bahasa Inggeris perlu digunakan dalam tempoh 10 tahun sesudah merdeka. Reaksi PAS adalah seperti berikut;
  • Datuk Asri Muda menyatakan: Beliau merasakan tempoh sepuluh tahun ubah Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu terlalu lama, malah Dasar Undang-undang Bahasa Kebangsaan hanya memperuntuk bahasa kebangsaan pada sekolah rendah. Beliau malah menggesa supaya sekolah menengah dan pengajian tinggi juga menggunakan bahasa kebangsaan (semasa ini Dr Burhanuddin dalam ISA).
  • Pada 23 Februari 1967, 10 tahun selepas merdeka, sejajar dengan Suruhanjaya Reid, bahasa kebangsaan ingin dinobatkan, kerajaan gubal Undang-undang Bahasa Kebangsaan yang masih memihak kepada Bahasa Inggeris dalam kehakiman, pentadbiran dan pengajian tinggi. PAS menentang habis-habisan sehingga muncul gerakan Keranda 152. Bahasa Melayu tercatat dalam Fasal 152 Perlembagaan dan dalam Akta Bahasa Kebangsaan (1967/68). Ironinya, timbul persoalan sejauh manakah dasar itu dilaksanakan secara telus terutama oleh sektor awam dan swasta.
  • PAS menentang Undang-undang Bahasa Kebangsaan kerana Tunku Abdul Rahman dan UMNO walaupun memperjuangkan kedudukan Bahasa Melayu tetap mempunyai sikap liberal terhadap perkembangan bahasa kaum bukan Melayu.
  • PAS telah mengulangi tuntutan mereka supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang tunggal dengan serta merta. Dengan adanya peruntukan seperti itu maka bahasa lain selain dari bahasa Melayu tidak akan ada kesempatan dan ruang untuk dijadikan sebagai bahasa rasmi di Tanah Melayu. PAS juga menolak multilingualism dalam Dewan Perundangan. Sekiranya dasar ini diterima, maka ia akan membuka ruang kepada bahasa lain diangkat sebagai bahasa rasmi. Lanjutan dari menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka hak untuk mendapatkan kerakyatan mestilah mengetahui Bahasa Melayu dengan baik8.
  • PAS juga membantah penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka kerana ia dianggap oleh PAS sebagai “hendak membina sesuatu, dan dalam membina itu meruntuhkannya sendiri”.
  • PAS menuntut supaya penegasan dibuat dalam Suruhanjaya Reid bahawa “bahasa rasmi Tanah Melayu dan bahasa Bahasa KEBANGSAAN Tanah Melayu yang TUNGGAL ialah BAHASA MELAYU”


  1. Mesyuarat Agung PAS tahunan ke-9 pada 12 dan 13 Februari 1961 membuat ketetapan dan desakan agar kerajaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai pengantar sekolah menengah mulai awal 1961. Antara lain PAS menegaskan;
  • Mendesak kerajaan melarang penjualan tanah kepada kaum asing.
  • Meminta kerajaan membina Taman Bacaan setiap daerah.
  • Mendesak kurangkan gaji menteri sebanyak 10%.
  • Meminta kerajaan membela mangsa buruh paksa Jepun.
  • Meminta kerajaan melantik jawatan Khadi Agung dan Mufti Persekutuan.
  • Mendesak kerajaan mengubah tanda palang kepada bulan sabit (hospital).
  • Mendesak kerajaan jangan sediakan kenderaan kepada pengundi.
  • Mendesak kerajaan mengharamkan PELACURAN (yang pernah disyorkan oleh UMNO agar dilesenkan).
  • Mendesak kerajaan mengharamkan judi dan hidangan arak dalam jamuan kerajaan.
  • Mendesak kerajaan jangan gunakan harta kerajaan untuk Parti Perikatan.


  1. Tunku Abd Rahman isytihar dalam parlimen pada 1958 bahawa Malaya bukanlah negara Islam sebaliknya hanya ada peruntukan agama rasmi sahaja. Reaksi PAS adalah seperti berikut;
  • Perlu tubuhkan Majlis Islam Pusat bagi memusatkan segala urusan agama persekutuan.
  • Perlu dibentuk Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah.
  • Perlu ditubuhkan Majlis Fatwa.
  • Pelajaran Agama Islam perlu jadi bahan asasi di sekolah kerajaan (perjuangan pelajaran Pendidikan Islam belum diambil serius oleh kerajaan).
  • Pada 16 Oktober 1961, Zulkifli Mohamad tidak bersetuju dengan Akta Pelajaran 1961 mengenai agama Islam dan mengkritik jam Pengajian Islam tidak mencukupi iaitu hanya 2 jam seminggu!
  • Zulkifli Mohamad juga tegaskan penukaran Kolej Islam Malaya kepada Universiti Islam Malaysia pada 1966.
  • Menentang Haji Ahmad Said (AP Seberang Perai Utara) yang mencadangkan kerajaan melesenkan pelacuran yang berjalan semasa itu atas alasan mengawal aktiviti perlacuran.


  1. PAS telah menggesa kerajaan cakna dan perihatin dengan isu global zaman itu.
  • Dr Burhanuddin gesa kerajaan campurtangan dan bawa kes Selatan Thai yang ditindas kepada PBB tetapi dianggap kerajaan sebagai mencampuri urusan dalaman negara lain9.
  • Kerajaan lebih pentingkan hubungan 2 negara daripada matlamat Melayu serantau.
  • Kerajaan telah iktiraf penubuhan negara Israel dan dibantah oleh PAS10.
  • Wakil UMNO serang PAS menyatakan Malaya akan hilang wibawa kerana ubah prinsip terhadap Israel.


Penutup
Jelasnya, PAS sejak di masa ‘janin’ lagi telah memiliki aspirasi dan keazaman yang kuat untuk membentuk negara yang bakal merdeka ke arah yang berlainan daripada impian UMNO. Pengasas-pengasas PAS saat itu telah mengimpikan negara yang tunduk kepada hukum Allah sejajar dengan agama dominan di Tanah Melayu berbanding UMNO yang cenderung mengekalkan suasana ‘biah’ penjajah yang penuh dengan judi, arak, perlacuran, tiada syiar Islam serta tiada perlindungan kepada pendidikan agama. Semoga tulisan ini merangsang penggerak PAS untuk terus mencetus tuntutan dan gesaan ke arah negara lebih baik. Kitalah pelopor isu dan gagasan yang baik.




Lampiran :
Perlembagaan rakyat 1948 PUTERA-AMCJA.
  • Singapura disatukan dengan Malaya
  • Suatu kerajaan Pusat ditubuhkan
  • Raja Melayu memiliki kuasa sebenar memerintah melalui Majlis Mesyuarat.
  • Keistimewaan tertentu untuk Melayu
  • Adat istiadat Melayu dikawal oleh Melayu sendiri.
  • Kerakyatan terbuka tetapi kesetiaan tidak berbelah bagi kepada tanahair.
  • Bahasa Melayu bahasa rasmi dan tunggal.
  • Pertahanan luar adalah tanggungjawab Malaya dan British (sementara).
  • Kerakyatan Malaya perlu digelar Malaya.
  • Merah dan putih dijadikan latar belakang bendera Malaya.
(Perlembagaan ini membuktikan Dr Burhanuddin berjaya dalam tahalluf, mendominasi kaum bukan Melayu dalam memberi keadilan sejagat dalam masa yang sama membela bangsa asal serta adat dan agama Islam).

25 September 2011 Siputeh Perak
1 Suara UMNO, 17 Julai 1950.
2 Suara UMNO 15 September 1951
3 Utusan Zaman 25 November 1951.
4 Warta Negara 26 November 1951
5 Peringatan Mesyuarat Agung tahunan PAS kedua 1953
6 Peringatan Mesyuarat Agung tahunan PAS kedua 1954
7 Mendalami gabungan PUTERA-AMCJA - PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) merangkumi beberapa buah parti-parti nasionalis Melayu yang berpengaruh pada masa itu yang terdiri daripada:
1. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) merupakan parti nasionalis Melayu yang terbesar,
2. Angkatan Pemuda Insaf (API),
3. Angkatan Wanita Sedar (AWAS),
4. Gerakan Angkatan Muda (Geram),
5. Barisan Tani SeMalaya (Batas) dan,
6. Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (Mata) atau lebih dikenali sebagai Hizbul Muslimin.Manakala, gabungan di dalam AMCJA (Majlis Tindakan Bersama SeMalaya) terdiri daripada beberapa buah parti-parti politik pelbagai kaum dan kesatuan-kesatuan sekerja:
1. Kesatuan Demokratik Malaya (MDU),
2. Persekutuan Kesatuan-kesatuan Sekerja SeMalaya,
3. Kesatuan Perkhidmatan Perkeranian P.Pinang, Perak, Selangor dan Melaka,
4. Liga Pemuda Demokratik Baru Malaya,
5. Persatuan Bekas-bekas Gerila Anti Jepun Malaya,6. Parti Komunis Malaya (PKM),
7. Kesatuan Buruh Am
8. Kongres India Malaya (MIC),
9. Dewan Perniagaan India Selangor,
10. Dan pelbagai pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan umum.
Sebelum pembentukan Umno, beberapa buah pertubuhan dan parti-parti politik di dalam dua gabungan ini telahpun mula memperkasakan perjuangan kemerdekaan mereka sejak seawal tahun 1940an lagi sehinggalah ke tahun 1948.
8 PAS, Ulasan Terhadap Penyata Perlembagaan Suruhanjaya Reid yang dikeluarkan pada 2 Mei 1957.
9 Parliamentary Debates, First Parliament Dewan Rakyat Vol. III, Third Session Part II April-August 1961 Cetakan Kerajaan 1962.
10 Penyata Tahunan PAS 1958/59.

PAPAN TANDA

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk
Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)