Saturday, June 28, 2014

Kenyataan Media - PERUNTUKAN RM 2 JUTA UNTUK MAAHAD TAHFIZ SAINS KULIM HANYA INGIN MEMATIKAN PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ISLAM DI KEDAH

Kenyataan Media 
28 Jun 2014
PERUNTUKAN RM 2 JUTA UNTUK MAAHAD TAHFIZ SAINS KULIM HANYA INGIN MEMATIKAN PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ISLAM DI KEDAH

Dewan  Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) merujuk  kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid bahawa Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menambah baik Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim.


1. DPPNK menggesa kerajaan Negeri Kedah yang diterajui BN hari ini agar serius dan tidak menjadikan agenda menaiktaraf Maahad Tahfiz Sains sebagai agenda politik BN semata-mata.  

2. Pengumuman itu kelihatan sangat tidak serius apabila dinyatakan Kerajaan Negeri masih memerlukan proses rundingan terlebih dahulu bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi meluluskan peruntukan itu.

3. Menurut Exco BN berkenaan juga peruntukan RM 2 juta berkenaan adalah juga untuk penambahbaikan untuk membina blok asrama serta keperluan pembelajaran yang lain termasuk makmal sains di sekolah terbabit. DPPNK berpendapat ianya adalah satu janji retorik memandangkan Maahad Tahfiz tersebut telah dijanjikan perkara yang sama untuk pembelajaran bagi sesi 2014. Namun pelajar masih lagi terpaksa menggunakan makmal sekolah lain bagi tujuan pembelajaran sains. 








4. DPPNK berpendapat,  Kerajaan BN berlepas tangan  dari tanggungjawab terhadap Maahad Tahfiz berkenaan yang kini masih di Jalan Pegawai Kulim, keadaannya padat dengan pelajar serta keadaan surau sementara yang tidak terurus dan tidak kondusif.

5. Selepas sahaja pertukaran kerajaan berlaku, projek pembinaan kampus tetap Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba telah tergendala dan tergantung. Jawapan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri adalah Maahad Tahfiz Sains Darul Aman yang dirancang akan dibina di Pulau Tuba, Langkawi ditangguhkan kerana ingin memberi laluan terhadap proses menambah bangunan asrama kampus sementaranya di Jalan Pegawai, Kulim.


6. Kerajaan negeri yang diterajui BN juga kelihatan tidak berminat meneruskan pengembangan kampus ini termasuk di KUlim kerana hanya memperuntukkan RM  2 juta untuk membaiki kampus di Kulim bukannya meneruskan projek di Langkawi dengan anggaran RM 9 juta sebelum ini.

7. DPPNK percaya, pihak Maahad Tahfiz akan berdepan masalah besar bagi pengambilan sesi hadapan memandangkan kapasiti bangunan yang ada tidak mampu menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. DPPNK percaya tindakan ini akan memusnah dan mematikan perkembangan pendidikan Islamkhususnya di Kedah. 




Dewan Pemuda PAS Kedah juga melihat retorik Makmal Transformasi yang konon ditubuhkan oleh BN untuk meningkatkan prestasi pembangunan di Kedah hanya omongan kosong dan kemungkinan juga mampu merencat perkembangan Islam jika tindakan sebegini yang diambil.

Mohd Nasir Zakaria
Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah

Wednesday, June 25, 2014

BANTUAN RAMADHAN UMNO- TIDAK SEMUDAH ITU DAPAT KEMAAFAN PENDUDUK MEMALI


KENYATAAN MEDIA 23 JUN 2014
Dewan Pemuda PAS Kedah
BANTUAN RAMADHAN UMNO- TIDAK SEMUDAH ITU DAPAT KEMAAFAN PENDUDUK MEMALI

Ungkapan Tahniah Dewan Pemuda PAS Kedah ucapkan kepada Menteri Besar Kedah kerana julung-julung kali Menteri Besar Kedah daripada kerajaan BN, turun memberi bantuan ke kampung Memali. Kampung yang dahulunya pernah berlaku peristiwa hitam sehingga kerajaan BN melabelkan pengikut Allayarham Ustaz Ibrahim Libya sebagai ‘bughah’ atau penderhaka.


Dato Seri Hj Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah bersama ahli parlimen Baling, Dato Seri Azeez Rahim, juga Exco kerajaan negeri Kedah Dato Tajudin, Dato Rawi, YB Aminuddin dan Adun Bayu Dato Azmi telah hadir pada 22 Jun lalu untuk memberi bantuan kepada golongan kurang upaya dan ibu tunggal. Beberapa balu syuhada Memali jugag diberikan Bantuan.

Dewan Pemuda PAS Kedah melihat situasi ini sebagai suatu usaha normalisasi UMNO melalui tindakan Datuk Seri Mukhriz mengunjungi kampung yang suau ketika dahulu dihina dan dimalukan dalam parlimen beberapa kali.

Normalisasi bukan suatu usaha yang mudah tambah pula jika ia dilakukan tanpa keikhlasan dan konsisten. Lihat sahaja konsep normalisasi Jepun terhadap China dan Korea yang sehingga kini masih belum berjaya 100% kerana bisa dan luka lama penyiksaan, jenayah perang kerajaan Jepun belum boleh dimaafkan oleh rakyat dua negara berkenaan.

Normaliasi boleh kelihatan berpura-pura atau wayang jika hubungan mesra hanya mealui media cetak dan media elektronik. Misalnya lagu jepun dikatakan popular di Korea menandakan rakyat Korea memaafkan kerajaan Jepun. Pastilah konsep ini salah dan tidak tepat dengan kondisi sebenar.


Sehingga kini tiada ungkapan rasmi kerajaan BN memohon maaf kepada penduduk kampung Memali dan PAS khususnya yang dipalit dengan tuduhan penderhaka, komunis, pengganas dan penganut ajaran sesat.

Jika dalam hal pemecatan Tun Salleh Abbas oleh Tun Mahathir kerajaan boleh memohon maaf, mengapa dalam hal kes memali kerajaan mendiam diri. Adakah dengan mengumpan bantuan UMNO-BN harapkan kemaafan daripada penduduk kampung berkenaan?

Hampir 30 tahun peristiwa Memali berlaku, Tun Musa Hitam pula mendedahkan bahawa perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang diberitakan sebelum ini dan ia jelas UMNO dan BN adalah kerajaan pembohong.

Pembohongan ini dilakukan kerana UMNO bukan ingin menghapuskan ajaran sesat sepertimana mereka perangi Tuhan Harun, Nabi Abd Kahar dan lain-lain, sebaliknya mereka sasarkan PAS yang menjadi tunjang Madrasah Memali dan fahaman politik utama penduduk Memali.

Sebelum ini Tan Sri Musa mendedahkan perkara ini dalam Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang diadakan di Kota Bharu.

Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985. Insiden ini mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.


Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang.
Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dihebahkan juga sebagai pengikut ajaran Komunis (rujuk luahan memoir isteri Ustaz Ibrahim Libya)

Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya terbunuh.

Polis memanggil operasi ini sebagai 'Operasi Angkara atau Operasi Hapus'. Waaupun ribuan pamplet Bughah disebar seluruh Kedah menuduh pengikut Allayarham sebagai penderhaka, Ke Bawah Duli Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim tetap menziarahi kubur Allahyarham dan pengikutnya serta menyiramkan air mawar di atas pusara mereka. Adakah itu petanda seorang penderhaka Sultan?

KDN melarangkan media massa membuat liputan mengenai kejadian itu. Semua penerbitan menerima surat larangan dan amaran.

Dewan Pemuda PAS Kedah menyokong penuh saranan Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang menggesa kerajaan membuka semula penyiasatan kes pembunuhan beramai-ramai di kampung Memali, Baling, Kedah pada 1985 yang meragut 18 nyawa termasuk empat anggota polis sebelum ia dijadikan isu perkauman.

Kata Mat Zain sebelum ini jika kes pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali atau "Batang Kali Massacre" pada 1948 yang melibatkan kaum Cina dan kerajaan British boleh dibuka semula, bukti baru didedahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam minggu lalu mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Malaysia semasa kejadian dan bukan di China seperti dipercayai sebelum ini, cukup kuat untuk dijadikan asas memulakan semula siasatan.

Us Ahmad Tarmizi Sulaiman
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kedah


Wednesday, June 18, 2014

Rayuan- BANTULAH MAPIM WAHAI SAHABAT-SAHABATKU....

Sahabat2 FB ku.... sesiapa yang berduit serba sedikit bolehlah menyumbang untuk ibu muda ini yang bersalin dan masih berhutang RM 900. Pelarian/warga asing bersalin di hospital kerajaan mahal. Sekarang mereka dibantu secara asasi oleh MAPIM di SP. MAPIM yang menyelenggara Sekolah anak-anak Rohingya di Bakar Arang juga mengalami masalah kenderaan mengangkut anak Rohingya ke sekolah. Van besar ingin dimiliki segera. MAPIM juga memerlukan wang untuk menambun tanah di belakang sekolah mereka untuk latihan jasmani. Anak-anak pelarian (muhajirin) ini diamanahkan kepada kita umat sesama aqidah untuk dipelihara dan dijaga sebagai bukti perlambangan ukhuwah Islamiyyah yang kita hebah-hebahkan. Bantulah MAPIM. Dengan Nama Allah saya merayu kepada rakan serta sahabat sekalian.

Al-Rajhi : 15400-1880630441 [Rohingya Humanitarian Fund-MAPIM], Bank Muamalat : 0202002665718 ( Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH)
 — with Masadah Sajadi.


Mesyuarat Agong DPPK Gopeng 2014 .....viva forever



Menyertai mesyuarat Agong DPPK Gopeng kali terakhir selepas menukarkan posisi ke kewasan Sg Petani dan Kedah..banyak kenangan manis berjuang bersama sahabat2 di Gopeng....di sini saya belajar dan meningkatkan kemahiran dalam pelbagai aspek kerana peluang yang diberikan...terima kasih kepada Tuan pengerusi tetap Cikgu Zaizi kerana memberikan peluang kepada saya untuk berucap kali terakhir...saya ceritakan bagaimana cara menyertai PAS Gopeng pada tahun 2009 dahulu....semoga ukhuwah yang terjalin tidak akan terputus malah menjadi momentum untuk terus berbakti kepada Islam dan ummah.
 — at Rapat Setia Ipoh.








Label mujahidin sebagai pengganas-putar belit ayat Al Quran


Banyak ayat jihad azimah di dalam Al Quran...melabel mujahidin sebagai pengganas adalah tindakan sesat yang memutar belit maksud ayat Al Quran. Kenapa pada tahun 1980an Malaysia iktiraf mujahidin? Kerana ketika itu Amerika juga memperomosi mujahidin untuk menjatuhkan Soviet... maka watak bangang Ramboo dowujudkan kononnya Rambo yang membantu mujahidin Afghan (rujuk filem Rambo III)... sama juga dengan isu iktiraf pelarian...pelarian Rohingya tiada istiewa...pelarian Vietnam bukan islam diiktiraf sehingga diberi sebuah pulau kerana mendambakan restu Amerika yang ketika itu sibuk di Perang Vietnam.... jiwa inferior..menunggu restu Amerika...


Monday, June 16, 2014

kenyataan media - ISU TAREKAT SESAT ; KERAJAAN JANGAN PEJAM MATA ISU AQIDAH DAN SYARIAH


 KENYATAAN MEDIA 16 JUN 2014
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
ISU TAREKAT SESAT ; KERAJAAN JANGAN PEJAM MATA ISU AQIDAH DAN SYARIAH

Soal aqidah dan syariah bukan persoalan remeh yang boleh dipermainkan. Malah dalam banyak hal di Malaysia isu syariah dan aqidah hanya menjadi topik hangat apabila ia dipolitikkan, ada ‘miledge’ politik, membawa laba atau keuntungan kewangan dan pelbagai objektif sampingan lain. Jika tidak ia kekal tidak diambil berat malah dianggap ringan.

Dalam hal isu Tarekat Naqsyabandi Al Aliyah yang dipopular oleh Shaykh Nazim Al Haqani dari Cyprus dan kini diteruskan oleh Shaykh Muhammad Hisham dari Amerika Syarikat, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menilai ianya menampika betapa agama dan aqidaH diambil ringan oleh pemerintah Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO sebuah parti yang mengakui memperjuang Islam. UMNO hanya memejam mata dalam isu agama dan aqidah. Buktinya hingga kini UMNO tidak bersungguh dalam isu anak muallaf yang ingin dimurtadkan oleh Mahkamh Tinggi Ipoh.

Isu ini hangat selepas program Majlis Gema Zikir & Qasidah bersama Shaykh Muhammad Hisham Kabbani pada 13 Jun, tidak dibenarkan berlangsung oleh Majlis Fatwa Kedah berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000 yang memutuskan tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyah menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ramai yang tidak mampu menjawab apabila pihak penganjur program Majlis Gema Zikir & Qasidah yang sepatutnya diadakah di KUIN Kedah ingin memohon penjelasan daripada Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad kerana pemimpin kerajaan juga dikatakan maklum dengan kehadiran Sheikh Kabbani tersebut.

Antara isu yang boleh dibangkitkan adalah:

Program yang dikatakan sesat itu berada dalam pengetahuan kerajaan negeri apabila salah seorang penganjur memuatnaik status Facebook dan gambar bersama Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dalam pertemuan mereka di Wisma Darul Aman pada 25 Mei lalu.

Adakah pihak Exco tidak membuat kajian atau mendengar dahulu pandangan Majlis Fatwa Negeri atau Kebangsaan sebelum bermualamah dengan kelompok sesat ini?

Penganjur mengakui ramai pihak termasuk KUIN tidak mempersoal isu kesesatan yang dilibatkan dalam program malah penarikkan balik kebenaran menggunakan dewan KUIN menampilkan KUIN tidak cakna dengan isu-isu melibatkan aqidah sebegini.

Keghairahan kerajaan negeri yang ingin ‘mengislamkan’ negeri Kedah dengan hanya menggalakkan program qasidah dan selawat telah menjadikan ramai pihak termasuk NGO ingin mengaut keuntungan melalui penganjuran banyak majlis selawat dan qasidah sehingga pihak sesat mampu menerobos benteng kerajaan negeri untuk melebarkan agenda sesat mereka.


Kami Dewan Pemuda menyokong kuat saranan Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kedah, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi yang mendesak pihak berkuasa berpendirian tegas dalam mencegah kemungkaran termasuk menyekat penularan ajaran sesat ke negara ini, dengan apa cara sekalipun.

Fatwa berbunyi :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-48 yang bersidang pada 3 Apr 2000 telah membincangkan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani. Muzakarah telah memutuskan bahawa Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam. Pengamal ajaran ini hendaklah segera bertaubat.

Semua negeri dikehendaki memfatwa dan mewartakan bahawa tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim diharamkan dan tidak boleh diamalkan oleh umat Islam kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
Merujuk desakan Dr Aziz, kami suka untuk mengingatkan kerajaan UMNO Kedah dan UMNO Pusat agar membaca kesemua fatwa-fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Malah fatwa-fatwa negeri-negeri berkaitan ajaran sesat juga wajar dibaca dan dikuatkuasa.

UMNO hanya bersifat kelam kabut hanya selepas sesuatu isu agama disensasikan seumpama isu Kalimah Allah walaupun isu itu berada daam skop khilafiyah. Bagaimana pula dengan isu anti hadis dan ungkapan menafikan kenabian Rasulullah yang di bawa oleh rakyat Kedah sendiri iaitu Dr Kassim Ahmad? Banyak negeri yang telah menfatwakan idea dan buku-buku beliau sebagai haram dan sesat. Namun begitu tiada desakan langsung agar ahli UMNO yang sesat tersebut diambil tindakan undang-undang. Malah pada 16 Februrai lalu, agenda sesar Dr Kassim tergamak dianjurkan di Wisma Putrajaya dengan kerjasama Tun Mahathir yang juga merupakan rakyat serta mantan ahli parlimen Kedah.

Dewan Pemuda PAS Kedah mendesak agar isu-isu aqidah tidak dijadikan isu selektif yang berkasta rendah. Islam adalah perkara besar malah dimaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Namun ia diperlekeh kerana penguatkuasaan dan penerpan oleh kerajaan yang masih tempang dan bermotif politik.

Us Ahmad Tarmizi Sulaiman

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kedah

Sunday, June 15, 2014

kenyataan media - PEMUDA PAS KEDAH SOKONG RAJA MELAYU MASUK CAMPUR ISU PERTAHAN AQIDAH ANAK MUALLAF

KENYATAAN MEDIA 9 JUN 2014
PEMUDA PAS KEDAH SOKONG RAJA MELAYU MASUK CAMPUR ISU PERTAHAN AQIDAH ANAK MUALLAF

Dewan Pemuda PAS Kedah amat bersetuju dengan tekad MAPIM untuk mengadap Majlis Raja-raja Melayu berikutan kes melibatkan pembatalan pengislaman anak Muhd Ridhwan oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.



Hal ini berikutan permohonan Indira bekas isteri Riduan yang memohon agar mahkamah Tinggi Ipoh membatalkan pengislaman anak-anaknya yang telah dilakukan oleh Riduan sebelum ini.

Sebenarnya Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada April 2009 telah memberikan hak penjagaan tiga anaknya kepada beliau.

Sebaliknya 11 Mac 2010 Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh pula memutuskan hak penjagaan tiga beradik itu diserahkan kepada bekas isterinya, M Indira Ghandi, 38 walaupun banyak kes sebegini seumpama kes Deepa VS Izwan Abdullah misalnya mahkamah sivil menghormati keputusan mahkamah syariah atas semangat Perkara 121(1A). Namun dalam hal ini nampaknya tidak berlaku di negeri Perak.

Riduan atau nama asalnya K Patmanathan selepas menganut Islam pada 11 Mac 2009 turut mengislamkan anaknya Ummu Habibah (Prasana Diksa), 5; Abu Bakar (Karan Dinish), 15 dan Ummu Salamah (Tevi Darsiny), 16. Namun begitu atas masalah teknikal, Mahkamah Tinggi berhujah bahawa pengislaman itu tidak sah berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 yang menghendaki Riduan membawa anak-anaknya sendiri ke majlis agama untuk diislamkan.

Walaupun atas masalah teknikal memungkin Mahkamah Tinggi melanggar keputusan Mahkamah Syariah dengan membatalkan keputusan mahkamah syariah sebelum ini.

Namun begitu dalam kes Shubasini VS Muhammad Shafi di Kuala Lumpur, injuksi yang dipohon oleh Shubasini ditolak untuk dikenalakan kepada Mahkamah Syariah di bawah seksyen 54 (b) Akta Relif Spesifik 1950 kerana Mahkamah Syariah bukan Mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Tinggi malah Mahkamah Tinggi mengakui bahawa “Subject matter” bagi permohonan injunksi tersebut adalah termasuk dalam perkara yang berkaitan undang-undang Islam maka berdasarkan Perkara 121 ( 1A ) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Indira mungkin berjaya memiliki 2 anaknya yang lebih tua berbanding Ummu Habibah (Prasana Diksa) yang diislamkan semasa berusia 5 tahun dan kini telah berusia 11 tahun. Riduan telah mempertahankan anaknya yang bongsu malah telah memperaktikkan cara hidup Islam.

Jika masalah teknikal menyebabkan Mahkamah Tinggi berjaya menarik kembali 2 anaknya yang lain, adakah tiada langsung ruang dalam perundangan untuk menghormati status Ummu Habibah yang kini telah memperaktik cara hidup Islam? Di mana semangat Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dalam hujah para peguam dan hakim?

Hal ini mnampilkan betapa Perkara 3 tiada fungsi menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan apabila isu sebegini masih tiada penyelesaian yang menyebelahi Islam.

Keputusan demi keputusan dalam mahkamah-mahkamah di Malaysia yang masih tidak konsisten dalam menerima hujah berdasarkan Perkara 121 (1A) juga amat dikesali. Sampai bilakah hal ini akan berlarutan? Di mana UMNO dalam hal sebegini? Dimana proksi assobiyyah mereka seperti PERKASA dan sebagainya? Mengapa membisu dalam kes aqidah sebegini sebaliknya terlolong dalam isu-isu khilafiyyah seperti isu kalimah Allah misalannya?

Dalam sebegini Dewan Pemuda PAS Kedah amat bersetuju sekiranya Majlis Raja-Raja Melayu juga turut masuk campur dalam menyelesaikan konflik ini kerana itulah fungsi sebenar Majlis Raja-Raja iaitu mempertahankan institusi agama Islam daripada diinjak oleh pihak tertentu.

Us Ahmad  Tarmizi Sulaiman
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kedah


kenyataan media - UMNO PERLU BERHENTI DARIPADA MENIPU RAKYAT DALAM ISU KOMUNIS AKAN DATANG JIKA BERMARUAH

 KENYATAAN MEDIA 5 JUN 2014
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
UMNO PERLU BERHENTI DARIPADA MENIPU RAKYAT DALAM ISU KOMUNIS AKAN DATANG JIKA BERMARUAH

Dewan Pemuda PAS Kedah meneliti senario kempen ‘normalisasi’ antara Malaysia dengan China yang dihebah rancak melalui media massa dengan teliti.

Media cetak juga tidak ketinggalan menyiar semula gambar-gambar pertemuan antara Tun Razak dengan Mao Tze Tung pada tahun 1974 untuk menampilkan betapa eratnya hubungan China dengan Malaysia.

Pelbagai sifir politik dibaca rakyat untuk menilai keadaan ini. Daripada isu MH370 yang melibatkan rakyat China dan dunia mengetahui bagaimana marahnya China dengan kenyataan-kenyataan pemimpin alaysia sepanjang misi pencarian pesawat berkenaan. Sehinggalah isu 2 ekor panda yang menampilkan kerajaan Malaysia dalam keadaan tertekan sehingga sanggup menyewa 2 ekor panda dengan kos mencecah RM 73 juta.

China merupakan salah satu gergasi ekonomi dunia hari ini. Jika abad ke-19 dikuasai oleh Empayar British, abad ke-20 dikuasai oleh Amerika Syarikat, kini kita memasuki abad Asia yang dikuasai oleh kebangkitan China dan mata wangnya. Demikian tulis ahli ekonomi, Nouriel Roubini dalam “The Almighty Renminbi?” yang diterbitkan oleh The New York Times pada Mei 2011.

Jika pada sekitar tahun 1960an Chia cuba bangkitkan ekonomi dan kuasa industri melalui revolusi Kebudayaan yang mengorban jutaan nyawa rakyatnya yang tidak cocok dengan gaya hidup komunisme, kini China telah mengeksploitasi gaya ekonomi kapitalis yang diserap dalam faham hidup sosialis proletariat. Ternyata komunisme mazhab China lebih berkesan berbanding mazhab Lenin, Stalin dan Korea Utara. Lantaran itu mereka mampu kekal dan berkembang.

Malaysia yang banyak bergantung dengan restu negara-negara besar terpaksa juga menjalinkan hubungan erat dengan China komunis walaupun jelas ia bertentangan dengan mazhab chauvinisme nasionalisme UMNO.

UMNO dilatih dan diasuh oleh British untuk memusuhi komunisme. Gerak juang komunisme di China yang menekankan aspek gerila dan kekerasan menjadikan PKM turut terbabit dengan gaya juang sebegitu.

Dendam para prajurit negara terhadap kekejaman PKM ada asasnya. Namun ia bukan alasan mutlak untuk tidak mahu menilai isu hipokrasi dalam bermuamalah dengan komunis.

Pada tahun 2012, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, Umno dalam sejarahnya tidak pernah menjalinkan hubungan dengan golongan fahaman komunis. Ucapan ini cukup mudah dipercayaai oleh golongan kampung kerana mereka paling trauma dan cukup mudah diasuh memusuhi komunis secara batang tubuh sehinggalah dibenci bayang-bayang komunis.

Mengaitkan sebarang entiti dengan komunis adaah cara paling mudah UMNO untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap entiti berkenaan. Misalnya pejuang memali pernah digelar komunis oleh media dan akhbar sekitar tahun 1980an.

Apabila Tuan Haji Mohd sabu cuba membela Mat Indera yang bukan berfahaman aqidah komunis sebaliknya hanya bergabung dengan gerila komunis atas tujuan menentang polis yang bernaung dengan penjejah, Mohd Sabu secara mudah dilabelkan sebagai pembela pengganas.

Malah abu Chin Peng juga dimusihi oleh rakyat yang berfahaman UMNO. Sekitar 433 laporan polis dibuat seluruh negara pada tahun 2013 untuk membantah keluarga Chin Peng memasukkan abu mayatnya ke Malaysia.

Ya, Chin peng yang enggan menerima pengampunan dan kembali ke Malaysia pada tahun 1989 dianggap pengganas dan mamu mengguris luka para pejuang prajurit tanahair.

Bagaimana pula dengan akhbar hari ini yang menyiar gambar Tun Razak dengan Mao Tze Tung. Tahukah rakyat malaysia khususnya bergahaman UMNO bahawa Mao adalah penjenayah kemanusiaan yang dahsyat? Tahukah jutaan nyawa kaum Turkistan Timur Xingxiang dibunuh hanya kerana mereka beragama Islam? Tahukah mereka kekejaman Mao terhadap intelektual di China, pengamal bela diri Falun Gong yang dibunuh kejam serta kekerasan yang masih berlarutan kepada rakyat yang enggan mengakui cara hidup komunis?

Tahukah mereka bahawa Chin Peng dahulunya pernah bekerja dan berjuang kerana Mao di China?

Begitu mudah UMNO menipu rakyat Malaysia.

Setiausaha Agung UMNO , Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berkata, salah satu kandungan dalam MoU dengan China pada tahun 2013 ialah penukaran pegawai parti untuk mempelajari pelaksanaan program kedua-dua parti.

Adnan berkata, dalam perjanjian itu, Umno dan CPC bersetuju untuk meningkatkan hubungan sosioekonomi antara China dan Malaysia.

Malah beliau juga menjsutifikasikan hubungan itu dengan kononnya membezakan antara fahaman komunis dahulu dan komunis yang terdapat di China sekarang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dasar komunis kini sudah berubah. Komunis sekarang lebih terbuka dan menjalinkan hubungan perdagangan dengan banyak negara luar. Ia berlaku disebabkan peredaran dunia.

Tambah Adnan juga Malaysia bebas menjalinkan diplomatik dengan mana-mana fahaman termasuk komunis. Bagaimana pula dengan tudukan DAP komunis, Mat Sabu ejen komunis dan sebagainya? Dalam pelbagai progra patriotik dan BTN umpamanya, mengaitkan pembangkang dengan komunis adalah modul wajib UMNO. Bagaimana pula dengan kenyataan Adnan berkenaan?

Pada tahun 2013 juga isu ini dibangkitkan. Khairi Jamaludin sendiri telah menemplak Lim Guan Eng apabila Lim mengatakan bahawa Pemuda BN hipokrit kerana menjalinkan hubungan dengan Liga Pemuda Komunis China. Kata beliau dakwaan itu sebenarnya menggambarkan Guan Eng tidak tahu membezakan antara komunis pelampau, iaitu Parti Komunis Malaya yang kejam dan perjanjian bagi hubungan diplomasi. Khairi juga berhujah bahawa tindakan meterai perjanjian itu dengan kerajaan memerintah di negara China sebagai hubungan diplomasi antara parti pemerintah di Malaysia dan juga parti pemerintah di China.

Jika PKM pelampau, PKC adalah bapa pelampau kerana setiap detik minit perjuangan PKM di Malaya, semuanya dihantar untuk demaskini di Beijing. Malah rangka faham komuni yang anti agama masih kekal hingga kini. Cuma penyokong UMNO sahaja yang tidak sedar hakikat ini kerana terpaksa mengikuti mazhab faham pragmatisme UMNO.

Us Ahmad  Tarmizi Sulaiman
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kedah


kenyataan media - JAKIM PERLU BINA SEMULA KEPERCAYAAN UMAT ISLAM TERHADAP BADAN BERKENAAN

 KENYATAAN MEDIA 5 JUN 2014
Dewan Pemuda PAS Kedah
JAKIM PERLU BINA SEMULA KEPERCAYAAN UMAT ISLAM TERHADAP BADAN BERKENAAN

Dewan Pemuda PAS Kedah tidak menganggap kenyataan Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Mohd Amri Abdullah bahawa mereka sanggup memakan coklat Cadbury untuk mengesahkan kehalalannya sebagai suatu kenyataan yang remeh, namun pihak kami menilai insiden ini sebagai kehilangan kepercayaan masyarakat kepada badan berwajib berkenaan.

Hal ini panas sejak tersiarnya kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 bahawa terdapat unsur DNA Babi dalam produk Cadbury.

Hal yang sama boleh dilihat bagaimana Presiden Amerika Syarikat Barrack OBama pernah mengeluar kenyataan yang disiar dalam majalah Times bahawa adakah beliau perlu menampal sijil lahir beliau yang tertera agama Kristian sebagai anutannya semata-mata untuk menafikan desas desus bahawa beliau pernah beragama Kristian.

Hal ini bukan isu pembuktian tetapi krisis kehilangan kepercayaan. Kepercayaan masyarakat terhadap JAKIM bukan suatu perkara baharu. Penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam d negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak. Kemudian bermula tahun 1994 pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan beserta logo halal dan mulai 30 September 1998 pemeriksaan halal dilaksanakan oleh Syarikat Ilham Daya iaitu sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan, dikendali sepenuhnya oleh JAKIM pada tahun 2002 dan kemudian swastakan kembali pada tahun 2008.

Kepercayaan ini kelihatan luntur dan mampu dicerap melalui komen-omen masyarakat Islam melalui media sosial mahupun media cetak sejurus selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membuat ‘qaul jadid’ yang mengesahkan bahawa dua sampel produk coklat Cadbury yang diambil terus dari kilang syarikat itu, disahkan bebas DNA babi. Jamil juga telah menyifatkan keputusan yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini mungkin tercemar.

Dalam amalan Quality Control dan Quality Assuarance mana-mana kilang yang mengamalkan pengurusan yang baik, mereka pasti memeriksa sample secara rawak di tempat yang mampu memberi keputusan yang adil dan tepat. Pastilah memilih sample daripada pasaraya lebih tepat kerana tindakan JAKIM mengambil sample di kilang boleh dieksploitasi, ditukar ganti dan pelbagai penyelewengan yang cocok sinonim agensi kerajaan yang lain.

Rakyat Malaysia yang tepu membaca rekod buruk agensi kerajaan melalui Laporan Ketua Audit Negara saban tahun cukup faham benar selok belok korupsi yang boleh berlaku.

Lebih menimbulkan keraguan dan persoalan di minda rakyat adalah, adakah tindakan segera JAKIM mengambil sample tambahan di kilang sebagai tindakan ‘double check’ atau tindakan meredakan kemarahan pihak korperat yang terlibat dalam isu ini?

Rakyat juga kelihatan menilai JAKIM selaku agensi kerajaan yang lemah dan mampu ditolak ke kiri dan ke kanan oleh pihak korperat jika hal penguatkuasaan melibatkan untung rugi sesebuah syarikat walaupun ia melibatkan halal haram dalam pemakanan masyarakat.

Dewan Pemuda juga bersetuju dengan pandangan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang telah mengkritik keras JAKIM kerana tidak memiliki makmal sendiri untuk memastikan status halal makanan lebih telus dan terkawal. Sikap suka bergantung dengan ‘third party’ serta tidak mahu membina kepakaran sendiri adalah sikap yang memundurkan umat Islam disaat negara gah melaungkan Islam Wasatiyyah.
Pihak Kementerian Kesihatan yang dikatakan membocorkan maklumat keputusan ujian DNA berkenaan pada bulan Mei yang sepatutnya dibincang pada bulan Februari juga meragukan rakyat. Adakah ada unsur melindungi kesalahan korperat tertentu oleh Kementrian Kesihatan? Adakah korupsi juga berlaku pada pihak kementerian berkenaan sehingga menangguh lama keputusan ujian tersebut dan tidak menyerahkan kepada pihak JAKIM yang kelihatan terkapa-kapa semasa pendedahan itu dibuat pada bulan Mei yang lalu?
Adakah pihak JAKIM sendiri telah maklum tetapi menyimpan maklumat ini atas desakan pihak tertentu.


Hal inilah yang perlu diperjelas oleh JAKIM untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada agensi berkenaan semula

Us Ahmad  Tarmizi Sulaiman
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kedah

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)