Bukan anggota PERKASA

Bukan anggota PERKASA

Monday, May 30, 2011

IC HARAM; usaha menidakkan kuasa rakyat sendiri

IC HARAM; usaha menidakkan kuasa rakyat sendiri

Saya segera bersetuju dengan kenyataan Tuan Haji Mohamad Sabu (Harakah 27-29 Mei 2011) bahawa sindrom pemberian kad pengenalan segera kepada rakyat asing untuk dimasukkan ke kawasan tenat BN adalah suatu tindakan menggadai negara. Malah ia merupakan suatu pengkhianatan tanahair yang tidak wajar diampunkan oleh rakyat yang sedar.

Sama ada rakyat Malaysia sedar atau tidak, membaca atau tidak, jahil atau pandai, mereka perlu diberikan penerangan berkenaan konsep pilihanraya yang menjamin pengekalan maruah tanah nusa bangsa. Memenangkan parti tertentu denganmenggunakan sokongan pihak luar seperti rakyat negara lain sebagai penentu politik dan siasah masa depan negara adalah agenda yang cukup bejat.

Gettell menegaskan negara adalah: komuniti yang bermastautin mendiami wilayah tertentu, menuntut dengan sah kemerdekaan dan mempunyai sebuah organisasi pemerintahan, dengan mencipta dan menjalankan hukum secara menyeluruh didalam sempadan negaranya. Negara tidak akan berdaulat jika keutuhannya diraih melalui undi dan sokongan rakyat luar.

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:- 1. warganegara Malaysia; 2. berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan; 3. seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan 4. tidak hilang kelayakan. Akan tetapi jauh daripada itu, rakyat yang dibenarkan untuk memilih perlu diterapkan agar memahami peri penting undinya mencorak kemakmuran negara, kemerdekaan, keharmonian dan kedaulatan daripada dicemari anasir luar.

Dalam aspek siasah Islam, si pengundi perlu memahami tujuan membuang undi adalah untuk memastikan masa depan negara masih berada dalam lingkungan wilayah pentadbiran dan mengamalkan syariah serta syiar islam. Mereka perlu celik dan kenal mana calon yang adil, bermatlamat ke arah kebaikan serta mendokong keutuhan agama.

Pilihan raya adalah satu proses demokrasi di mana undian digunakan untuk memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat di parlimen. Ia merupakan suatu mekanisme demokrasi untuk memilih calon yang sesuai untuk memenuhi jawatan-jawatan penggubal undang-undang, eksekutif, perundangan dan kerajaan tempatan. Di sisi syara', pilihan raya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan). Dan dalam peristiwa baiat 'Aqabah II, Rasulullah s.a.w. meminta 12 orang sebagai wakil dari 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh).

Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat. Justeru itu, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan “Bai‘ah”. Jika zaman Rasulullah, baiah mudah diperolehi lantaran penduduk Madinah menyerah urusna pemilihan kepada ahli halli wal aqdi yang adil iaitu sahabat Nabi yang tersohor, zaman terkemudin menyaksikan pemilihan ketua negara Islam lebih kompleks dan akhirnya pilihanraya demokrasi ala Barat diterima pakai kerana ia mendekati kaedah pemilihan kepimpinan zaman Rasulullah. Kerencaman pemikiran rakyat, fertiliti yang semakin meningkat, umat Islam yang pelbagai bangsa dan budaya menghendaki sistem pilihanraya mengantikan undi baiah secara ahli halli wal aqdi yang terhad kepada beberapa orang sahaja zaman Rasulullah.

Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada rakyat, rakyat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara rakyat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru itu, Dr. Yusof Al Qardhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian (syahadah) terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih.

Namun hal ini tidak bermakna jika politikus yang gilakan kuasa sanggup meremehkan urusan kewarganegaraan, memberi lesen kuasa undi kepada sesiapa sahaja yang sanggup membuta tuli mengundi mereka, yang akhirnya akan menghasilkan parti pemerintah yang menang dari aspek kertas undi tetapi kalah dalam perleksanaan mandat negara kerana rakyat tidak lagi menyokong mereka. Dalam erti kata lain mereka memerintah dalam situasi ‘syok sendiri’. Adakah ia suatu kenikmatan hidup yang mereka kejari?

Dahulu Hasnar Ebrahim pernah ditahan ISA pada tahun 1980an kerana mendedahkan bahawa beliau pernah bermesyuarat bersama Megat Junid, dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara membincangkan kaedah pemberian IC kepada pendatang di sabah. Lantaran itu sebarang retorik BN bahawa mereka sedang menyelesaikan isu pendatang haram adalah dusta malah hipokrit kerana Projek IC segera di Sabah jelas direstui oleh Mahathir.

Selepas kes IC palsu dilaporkan sekitar 1990an, 17 kakitangan JPN termasuk Jabar Khan ditahan ISA juga sebagai satu cara kambing hitam tindakan Mahathir.

Gempar juga apabila seorang buruh Indonesia yang menunggu kad pengenalan selama 30 tahun mendedahkan bahawa beliau diminta menyokong BN jika inginkan kad pengenalan biru. Malah beliau diminta mengundi bukan di alamat tetapnya di Lembah kelang sebaliknya di Johor untuk memantu kawasan BN.

Kini didedah pula hal sepucuk surat yang dihantar oleh Umno Bahagian Hulu Selangor kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein bertarikh 23 Mac 2011 menyatakan jika ingin mengekalkan kerusi parlimen tersebut, Umno bahagian meminta "jasa baik" menteri supaya membawa masuk "bakal pengundi" terutamanya pemastautin tetap (PR - Permanent Resident) sebanyak 2,000 orang.

Jika Machiavelli masih hidup, beliau juga akan mengutuk tindakan kerajaan sebegini kerana Machiavelli cukup benci kepada pemerintah yang berjaya atas bantuan tentera upahan, tentera rakyat asing serta bergantung kepada para menteri yang hanya pandai mengampu.

Rakyat perlu disedarkan bahawa mereka kini tiada lagi nilai di mata BN kerana rakyat asing akan menggantikan rakyat Malaysia sebagai penyokong dan pengundi BN.

Beri IC kepada warga asing jelas suatu tindakan menghina rakyat sendiri, menidakkan kuasa undi rakyat sendiri.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng 2011

Disiar dalam HarakahDaily : http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/3534-ic-haram-menidakkan-kuasa-rakyat

Thursday, May 12, 2011

Surat kepada Hishammuddin :Tindakan keras ke atas laporan palsu Utusan Malaysia

Surat kepada Hishammuddin :Tindakan keras ke atas laporan palsu Utusan Malaysia

YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn,
Menteri Dalam Negeri,
Kementerian Dalam Negeri Malaysia. 11 Mei 2011

Yang Berhormat Datuk Seri,

Tindakan Keras Ke atas Laporan Palsu Utusan Malaysia Tentang Konspirasi Di Antara DAP Dan Paderi-paderi Kristian Di Pulau Pinang Untuk Menubuhkan Sebuah Negara Kristian Dan Melantik Perdana Menteri Beragama Kristian.

Kerajaan negeri Pulau Pinang secara rasmi ingin meminta Yang Berhormat Menteri mengambil tindakan keras ke atas lapuran palsu yang dibuat oleh Utusan Malaysia pada muka depannya tanggal 7hb Mei tentang konspirasi di antara DAP dan paderi-paderi Kristian di Pulau Pinang untuk menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri beragama Kristian.

Ini diputuskan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) yang bermesyuarat pada pagi ini berikutan pengakuan dua ADUN UMNO daripada Pulau Pinang Hilmi Yahya (BN-Teluk Bahang) dan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 10 hb Mei 2011 bahawa kedua-dua mereka tidak percaya konspirasi Kristian ini oleh Utusan Malaysia.

Memandangkan ada dua ADUN UMNO di Pulau Pinang yang kini tidak percayai laporan konspirasi Kristian oleh suratkhabar milikan UMNO, adalah jelas Utusan Malaysia telah laporkan suatu pembohongan dan fitnah yang amat bahaya sekali. Betapa bahaya pembohongan ini boleh dilihat dengan begitu banyak laporan polis yang dibuat oleh ramai pemimpin UMNO lain terhadap konspirasi Kristian ini.

Contohnya, demonstrasi yang mendapat ilham dari Pemuda UMNO Pulau Pinang pada 8hb Mei 2011 telahpun mengutuk YAB Ketua Menteri atas konspirasi Kristian dan membuka jalan alternatif percuma. Kerajaan negeri tidak ada masalah dengan demonstrasi terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang semasa upacara membuka jalan alternatif baru yang percuma di Jalan Bagan 29-Jalan Siram pada 8hb Mei.

Pemuda UMNO Pulau Pinang boleh mengambil pendiiran mahukan jalan bertol. Memang kerajaan negeri berpendirian berbeza bahawa suatu jalan alternatif percuma mesti disediakan sebelum mengenakan tol, yang juga mesti munasabah. Ini adalah semangat demokrasi mempunyai pandangan berbeza.

Akan tetapi, adalah salah dan bahaya untuk Pemuda UMNO Pulau Pinang mengadakan demonstrasi mengutuk dengan bahasa kesat YAB Ketua Menteri terlibat dalam konspirasi Kristian ini yang merupakan fitnah. Berdemonstrasi atas satu fitnah besar ini bukanlah demokrasi tetapi satu tindakan rakus yang mudaratkan keselamatan negara.

Paderi-paderi Kristian dan Christian Federation Malaysia, yang mewakili 90% penganut Kristian di Malaysia, menafikan konspirasi Kristian ini. Utusan Malaysia tidak menarik balik dan meminta maaf atas laporan palsu ini, sebaliknya terus memainkan isu ini. Kini, laporan palsu ini disebarkan luas dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat yang mengancam keharmonian kaum dan agama.

Kerajaan negeri Pulau Pinang memang mendokong kebebasan maklumat dan kebebasan akhbar sebagai suatu hak asasi manusia dan demokrasi. Akan tetapi kebebasan ini tidak bermakna memberikan kebebasan untuk membohong dan membuat fitnah. Laporan palsu ini berniat jahat, tidak lain tidak bukan serupa bermain dengan api yang boleh membakar satu Malaysia dengan sentiman perkauman dan ekstremis berdasarkan suatu pembohongan dan fitnah.

Jika ada dua ADUN Pulau Pinang UMNO yang kini tidak percayai laporan palsu ini oleh suratkhabar milikan parti mereka, Yang Berhormat Dato Seri mesti bertindak tegas dan segera ke atas tindakan tidak bertanggungjawab Utusan Malaysia ini. Selain daripada mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan meminta maaf atas laporan palsu ini, tindakan tegas juga mesti diambil keatas Utusan Malaysia dan pegawainya yang terbabit.

Sekian terima kasih.

Yang benar,

LIM GUAN ENG

KETUA MENTERI



Dipetik daripada blog Lim Guan Eng



Saturday, May 07, 2011

Jawapan terhadap hujah sumpah Aisyah


Jawapan saya terhadap hujah sumpah Aisyah

http://www.anwaraidc.com/?p=10627&cpage=1#comment-13843

jawapan saya terhadap hujah pihak di atas

Yang saya faham istilah demi Allah adalah uruf bagi masyarakat mekah malah yang bukan islam juga menggunakan istilah itu seperti Abu jahal dan sebagainya. istilah Demi Allah yang Aisyah guna bukannya suatu sumpah pertahankan diri kerana sumpah dalam bab Lian perlu kedua-dua pihak suami dan isteri. Dalil yang anda gunakan tidak tepat.

Friday, May 06, 2011

OSAMA LADEN MENINGGAL DUNIA

OSAMA LADEN MENINGGAL DUNIA

GAMBAR PALSU KEMATIAN OSAMA TAHUN 2009 (TENGAH) DAN SKRG-GAMBAR SEBENAR BELUM RELEASE LAGI DISEBABKAN LEBIH NGERI

1. Osama Laden sudah meninggal dunia ditembak komando Amerika Syarikat (AS).

2. Saya tidak pernah percaya dengan kewujudan “watak” Osama Laden kerana semasa saya berada di Quetta dan Chaman, dua bandar sempadan yang terletak di sempadan Afghanistan/Pakistan. Warlord-warlord Taliban dan pihak Perikatan Utara di situ mengaku tidak pernah tahu dan kenal akan Osama.

3. Mereka sendiri ketawa dengan kewujudan Osama malah di bandar-bandar yang penuh dengan pejuang mujahidin, tidak ada langsung “Demam Osama” macam yang kita lihat di Malaysia.

4. Saya sempat juga bertemu dengan Menteri Petroleum Afghanistan ketika itu, beliau memberitahu Osama tidak wujud dan memberitahu secara lengkap pelan penjajahan AS di Afghanistan dan beberapa lagi negara Arab. Pelan itu benar-benar terjadi sekarang ini.

5. Antara pelan itu, AS sebenarnya mahu menguasai minyak di Afghanistan.

6. Selepas saya balik Malaysia, negara benar-benar dilanda demam Osama. Rasa lawak pun ada tetapi saya tidak berani nak buat andaian keterlaluan kerana kita sendiri pun tidak tahu Osama ini memang wujud secara individu atau wataknya sahaja yang terzahir.

7. Orang Melayu memang mudah dipusingkan pemikiran mereka, dahulu, kawan-kawan saya menuduh saya ini anti-Islam kerana tidak mahu menyokong Saddam Hussein.

8. Buat apa saya nak sokong Saddam, beratus ribu nyawa Saddam termasuk perempuan dan kanak-kanak dikorbankan dengan penggunaan senjata kimia ke atas penduduk Iran dan Kurdistan.

9. Tup tup!! selepas AS mahu menyerang negaranya, barulah Saddam yang dahulu menjadi sahabat AS tersedar bahawa dia sudah dipermainkan oleh kuasa besar itu dan sejak itu juga mengubah bendera Iraq dengan meletak tulisan Allah dan Muhammad pada bendera negara tersebut.

10.Lepas itu boleh kaitkan kebangkitan Islam dengan Saddam, akhirnya bila tentera Saddam berkecai menyerah diri beramai-ramai pada AS, seorang pun tak berani buka mulut bincangkan isu itu.

11.Kalau kita lihat dari segi teori konspirasi, orang kata Osama ini adalah agen CIA sendiri yang kononnya nama sebenar beliau adalah Tim Osman.

12. Mungkin Osama memang Tim Osman, hanya AS sendiri yang tahu.

13. AS mampu mewujudkan pelbagai watak malah dalam tahun 80an, saya pernah terbaca satu rencana di akbar Mingguan Malaysia mengenai rancangan AS untuk mewujudkan Imam Mahadi palsu.

14. Imam Mahadi palsu ini akan memesongkan umat Islam yang beranggapan bahawa memang dialah penyelamat akhir zaman yang ditunggu, kewujudan Imam Mahadi palsu dendangan AS ini akan dibantu dengan teknologi satelit.

15. Bagaimana satelit itu digunakan, tidaklah saya ingat kerana saya masih masih kecil ketika itu.

16.Mungkin Osama ini wujud secara individu, mungkin dia memang seorang pejuang tetapi dia bukanlah arkitek kepada kemusnahan World Trade Centre di New York pada 11 Sept, itu sudah pasti.

17.Mungkin Osama ini merupakan agen CIA yang menyelinap masuk ke dalam kelompok pejuang Mujahidin sebagaimana Lawrence of Arabia mencampurkan diri ke dalam puak-puak bangsa Arab untuk menghasut mereka menentang kerajaan empayar Turki Ottoman semasa perang dunia pertama dahulu.

18.Saya secara peribadi memang tidak pernah percaya pada watak Osama Laden, kalau ada sesiapa yang mahu membela Osama, silakan…

19.Jika Osama sebenar masih hidup dan memang benar seorang individu, lelaki tersebut sudah pasti membuat celahan dalam keributan sekarang ini bahawa beliau masih bernyawa dan dakwaan menyatakan beliau mati oleh Presiden AS, Obama adalah palsu.

20.AS sudah pasti mengetahui mengenai siapa sebenarnya Osama, lantas tidak berkira-kira lagi untuk membuka kad terakhir empayar tersebut, “OK cukup, rasa-rasa sudah sampai masa untuk kita matikan watakkan Osama. Ekonomi kita pun tengah goyah, kalau dunia tahu kematian Osama, nilai mata wang kita akan naik mendadak selepas jatuh beberapa lama…sudah nak bangkrap negara kita ini”.

21.Memang benar, sebaik sahaja pengumuman kematian Osama, nilai dollar AS mendadak naik. Habis duit kawan-kawan saya yang main forex kerana berita kematian Osama ini.

22.Atau pun mungkin, Osama sebenarnya sudah lama mati sejak beberapa tahun lepas tetapi AS merahsiakan kematiannya untuk kegunaan pada satu masa yang sesuai.

23.Yang anehnya, agensi perisikan Pakistan (ISI) sendiri tidak diberitahu mengenai operasi ini dan mayatnya dibuang ke laut. Jadi sehingga sekarang tidak ada sumber sahih dari pihak kedua atau ketiga, semua sumber mengenai Osama hanya datang dari AS sendiri semata-mata.

24.Sekarang terserah, kematian Osama akan membawa fokus AS ke rantau Asia Tenggara atau pun Venuezela.

(AS sendiri boleh wujudkan peristiwa 9 11, setakat nak wujudkan watak Osama, lagilah kacang)

Tambahan : Osama mungkin wujud cuma wataknya ditokok tambah AS. Bak Kata orang Osama ini dijadikan kambing hitam AS lah. Apa pun, saya berdoa jika beliau wujud, semoga roh beliau diletakkan bersama orang-orang Mukmin

Tuesday, May 03, 2011

PEMBUNUHAN OSAMA BIN LADEN TANDA KUASA IMPERIALIS BARAT BOLEH DIKALAHKAN.

Kenyataan Media Bersama

SHURA dan MAPIM

2hb Mei 2011


PEMBUNUHAN OSAMA BIN LADEN TANDA KUASA IMPERIALIS BARAT BOLEH DIKALAHKAN.

SHURA (Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia dan MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) mengutuk sekeras-kerasnya operasi pembunuhan As Syahid Osama Bin Laden oleh tentera Amerika kelmarin.

Kami juga merakamkan kutukan keras terhadap tindakan tentera Amerika membuang jenazah As Syahid Osama ke laut. Tindakan ini adalah suatu penghinaan yang jelas dan dunia harus membantah sikap Amerika yang samasekali tidak boleh diterima. Jenazah As Syahid sepatutnya dikembalikan kepada keluarga dan sahabat andainya dan diuruskan pengkebumian yang selayaknya sebagai seorang Muslim.

Operasi tersebut adalah gerakan asasinasi seorang sasaran secara uni-lateral ( sebelah pihak )oleh Amerika untuk membunuh seorang yang diburu diluar tanah Amerika yang boleh dianggap paling ganas dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Ternyata kerajaan Pakistan menjadi talibarut kepada Amerika untuk menjayakan operasi pembunuhan ini yang samasekali tidak dapat diterima oleh umat Islam.

Setelah 10 tahun Amerika mengguna seluruh kekuatan dan kapasiti perisikan dan operasi militerinya pada tahap maksima dan menelan belanja berbilion dolar untuk mengesan As Syahid Osama Bin Laden , baru kini Amerika mendapatkan sasarannya.

Sebagai seorang penentang kuasa imperialis yang konsisten lebih 37 tahun , As Syahid Osama percaya dan yakin bahawa sebesar dan sehebat manapun kekuatan kuffar yang menzalimi umat Islam seluruh dunia , mereka tetap boleh dikalahkan.

Terbunuhnya As-Syahid Osama seperti yang dilaporkan oleh Presiden Amerika Barak Obama , bukan suatu yang dapat dibanggakan oleh mereka .

AS dan seluruh kuasa Barat tahu ini bukan perjuangan seorang individu , tetapi bersamanya adalah sebuah kepercayaan dan keyakinan yang utuh untuk melawan bukan sahaja musuh Islam malah musuh kemanusian seluruhnya.

Kepercayaan dan keyakinan ini tersemat didada setiap umat Islam yang menentang kezaliman dan cintakan kebenaran.

Syahidnya Osama akan melahirkan seribu Osama lagi. Ini pasti akan dilaungkan dan digemakan oleh anak muda yang melihat beliau sebagai pejuang yang dihormati . Kata-kata “Sekarang Semua Kami adalah Osama” !!! pasti akan kedengaran dimana-mana.

Amerika sedia maklum isu sebenar kenapa pelbagai gerakan Islam diserata dunia mempunyai sikap menentang Amerika dan kenapa polisi luar Amerika Syarikat ditolak sejak kejatuhan blok Komunis Russia.

Seluruh dunia arif tentang hegemoni politik-ekonomi dan militeri yang digerakkan oleh Amerika yang cuba menjadi polis dunia.

Rekod jenayah Amerika yang menggunakan operasi perisikan , penangkapan , penyiksaan dan pencerobohan menjadi punca kenapa As Syahid Osama dan seluruh pejuang yang membela hak orang Islam tidak akan menyerahkalah.

Operasi tentera Amerika terhadap Iraq , Afghanistan , Pakistan dan sokongan bulatnya kepada Israel yang membunuh ratusan ribu umat Islam Palestin , serta komplotnya mendokong semua pimimpin diktator di negara umat Islam adalah catatan berdarah yang menyebabkan As Syahid Osama tidak dapat berkompromi.

Alasan rakyat Amerika dan kerajaan Amerika untuk merayakan kemenangan di atas kematian As Syahid Osama kerana menuntut keadilan keatas serangan September 11 itupun boleh dipertikaikan.

Kerana ramai yang mempersoalkan sumber maklumat mengenai punca dan kesohihan serangan September 11 adalah digerakkan oleh Al Qaeda pimpinan As Syahid Osama .

Malah banyak analisa pelbagai pakar seperti yang dokumen oleh pengkaji di Amerika sendiri mempersoalkan rumusan bahawa ia direncana dari luar.

As Syahid Osama membawa bersamanya sebuah iltizam yang berasaskan sikap Islamnya yang tegas dan tidak berkompromi. Beliau tahu benar bahawa yang dihadapi bukan kekuatan militer tetapi sebenarnya ia berhadapan dengan tamadun salibi Barat bersama zionis Yahudi yang kini menguasai seluruh dunia.

As Syahid Osama mempunyai kefahaman mengenai hegemoni politik Barat yang sangat jelas ketika beliau membuat keputusan melancarkan perang ke atas segala simbol kekuatan Barat terutama Amerika.

Untuk menuduh beliau secara simplistik sebagai pengganas adalah suatu penghinaan.

Seluruh dunia tahu Amerika , Israel , Perancis , Britain dan seluruh koaliasi mereka telah meluluskan tindakan ganas menyerang , mencerobah dan membunuh rakyat negara lain kononnya diatas mandat PBB.

Keyakinan beliau untuk berdepan secara fizikal dan sanggup menyerah seluruh kekayaannya untuk berada dibarisan depan berhadapan dengan kekuatan tentera Barat adalah suatu pengorbanan yang tidak akan dipandang kecil oleh umat Islam.

Malah As Syahid Osama adalah mujahid Islam yang sangat inspirasional kepada seluruh pejuang yang lain walaupun dengan pendekatan yang berbeza.

SHURA dan MAPIM menganjurkan solat ghaib untuk jenazah As Syahid Osama diseluruh negara. Kami menyeru semua ulama , tuan guru , ustaz , aktivis Islam , pemimpin NGO Islam , para imam untuk mengadakan solat gahib jenazah untuk beliau dan mendoakan agar rohnya dikumpulkan bersama para syuhada.

Sementara itu SHURA dan MAPIM mengusulkan agar kerajaan Malaysia menyatakan sikap mengutuk serangan tentera Amerika tersebut tanpa rasa takut kerana kami percaya umat Islam bersama dengan seluruh pejuang Islam untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.


Mohd Azmi Abdul Hamid Usat Abdul Ghani Samsudin

Setiusaha Agong MAPIM Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)

Hentikan kenyataan dangkal berkenaan kematian Osama

Hentikan kenyataan dangkal berkenaan kematian Osama

Dewan Pemuda PAS Gopeng merasa kesal dengan kenyataan pemimpin utama Negara kita yang menyatakan keamanan dunia amat diharapkan selepas berita kematian Osama. Adakah beliau terlupa bahawa gejala keganasan atau military action bukan suatu fenomena sebaliknya suatu dielektika yang berlangsung akibat hambatan tertentu seumpama pembersihan etnik, diskriminasi dan tindak balas terhadap kekejaman empirelis?

Adakah pemimpin umat islam yang giat mengampu AS yang mengeluar kenyataan bahawa keganasan serata dunia berkaitan dengan kegiatan umat Islam terlupa bahawa punca utama keganasa serata dunia adalah disebabkan penjajahan dan campurtangan pihak kuasa besar terhadap negara-negara umat islam? Terlalu lemahkah otak pemimpin umat islam untuk mengingati kekejaman zionis yang saban hari mejarah tanah umat islam Palestin sehingga menjadi sekangkang kera? Maklumat terkini menyaksikan statistik 1.2 juta jenayah penculikan anak-anak dan wanita yang lemah rakyat Palestin oleh polis-polis Yahudi yang sepatutnya difokuskan keganasan mereka.

Catatan rasmi FBI menunjukkan bahawa hanya 6% daripada serangan pengganas di wilayah AS antara tahun 1980 hingga 2005 dilakukan oleh mereka yang digelar 'ekstremis' Islam. Bakinya 94% berasal dari kelompok-kelompok lain (42% dari Latin, 24% dari kelompok sayap kiri ekstrim, 7% dari ekstremis Yahudi, 5% dari komunis, dan 16% dari semua kelompok lain).

Data yang dikumpulkan oleh Europol menguatkan lagi pernyataan ini. Setiap tahun Europol menerbitkan laporan tahunan berjudul 'Pengganas Kesatuan Eropah: Situasi dan Laporan Trend' dan laporan ini boleh diakses di laman web rasmi mereka.

Hasil laporan tersebut jelas membuktikan bahawa tidak semua pengganas adalah Muslim. Malah, 99.6% dari serangan pengganas di Eropah dilakukan oleh kelompok-kelompok bukan Muslim; dan 84.8% daripadanya berasal dari kelompok yang sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan Islam. Maksudnya hanya 0.4% sahaja kes sahaja yang berkaitan dengan Muslim. Itupun kerana alasan tertentu seperti penindasan, diskriminasi dan lain-lain.

Namun begitu tidak juga kita mampu nafikan kematian Osama sekadar suatu propaganda AS yang kini kian tenat menapung perbelanjaan untuk memerangi manusia yang mungkin masih wujud atau tidak. Kini hutang AS tertakluk pada jumlah yang dibenar mencecah $14.001 trilion apabila dagangan ditutup, berdasarkan kenyataan harian Perbendaharaan U.S.

Obama yang mengeluar kenyataan bahawa keadilan dunia telah tercapai dengan kematian musuh nombor 1 AS itu, kian cuak dengan jumlah kematian dan perbelanjaan dana peperangan anti pengganas yang diwarisi daripada dinasti Bush sebelumnya. AS mungkin tidak akan memberi komen implikasi mengejar manusia bernama Osama, 2 buah negara umat islam Iraq dan Afghan telah menjadi padanh jarahan tentera AS. Kini Libya pula akan diselongkar atas nama membebaskan rakyat Libya daripada tangan Gaddafi walaupun jelas serangan udara berkenaan bermotifkan egoisme dan neo-koloni teradap hasil alam Libya.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

Kecam kebiadaban MCA da perkauman PERKASA

Kecam kebiadaban MCA da perkauman PERKASA

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi pengakuan akan mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.

Perdana Menteri cuba mengalih isu yang sedang melanda BN dengan rakan komponen BN mengenai isu 1Melayu 1Bumi telah menimbulkan kemarahan MCA. Isu 1 Melayu 1 Bumi dilahirkan hasil semangat perkauman Utusan dengan NGO melayu ekstrim bernama Perkasa.

Lantaran kesal dengan sikap kaum Cina dan pribumi mengundi DAP di Sarawak menyebabkan kaum rasis melayu dalam Utusan dan Perkasa meraung menyeru kaum melayu bersatu menghadapi kesatuan kaum Cina di Sarawak.

Utusan dan Perkasa buta statistic dan daftar undi kerana yang memenanagkan DAP bukan kaum Cina di Sarawak tetapi kaum bumiputera yang sudah muak makan hasil rasuah BN di Sarawak. Jika kaum Cina Sarawak mengundi DAP pun apa pula dosa mereka sedangkan DAP parti yang halal dari segi pendaftaran ROSnya? Adakah Perkasa dan Utusan buta tentang ROS?

Kini MCA cukup jengkel dengan kemaraan DAP di Sarawak. Chua Soi Lek terlupa seketika bahawaa MCA adalah parti perkuaman Cina paling terserleh bermula daripada namanya sendiri yang melambangkan nama Cina!

UMNO, Perkasa dan Utusan juga terkesima dengan kebiadaban MCA mempertikai hak istimewa melayu dalam perlembagaan. Kini Perdana Menteri menyeru PAS meninggalkan DAP dan pakatan rakyat seolah-olah Perdana Mneteri kita tidak sempat membaca surat khabar mutaakhir ini.

Kepada kaum Melayu, kami Dewan Pemuda PAS Gopeng menyeru melihat isu PAS-DAP dengan lebih terbuka dan berfakta. Jika anda menyokong UMNO, UMNO juga bersekongkol dengan parti perkauman Cina dan teah lama menggadai nasib melayu Pulau Pinang kepada Gerakan.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

PAPAN TANDA

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk
Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)