Saturday, January 23, 2021

SIASAH SYARIYYAH MENCEGAH KEPANIKAN SOSIAL DALAM TEMPOH COVID



SIASAH SYARIYYAH MENCEGAH KEPANIKAN SOSIAL DALAM  TEMPOH COVID

Muhammad Nuruddin Bashah

 Disiar dalam HD : https://harakahdaily.net/index.php/2021/01/23/covid-19-siyasah-syariyyah-cegah-kepanikan-sosial/ 

Kecelaruan kefahaman hukum dan salah  maklumat  yang tercetus di kalangan masyarakat adalah antara penyebab kepanikan sosial yang kini kerap berlaku. Menurut Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Malaya, hal ini disebabkan wujudnya kelompok mengambil kesempatan melakukan ijtihad dalam menentukan hukum hingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat sedangkan mereka tidak memiliki kelayakan atau autoriti melakukannya[1].

Ketidaklayakan terbahagi kepada dua. Satu golongan yang benar tidak layak iaitu golongan ulama’ segera, yang tidak mahir satu pun ilmu alat, fiqh dan tidak menguasai usul fiqh dengan baik. Yang kedua golongan yang mahir segala keperluan ulama’ yang faqih tetapi tidak berada dalam saf autoriti negeri atau negara. Erti kata lain mereka tidak mewakili ‘ulil amri’ dalam penetapan hukum untuk golongan awam.

Kepanikan ini juga terhasil apabila rakyat tidak mengutamakan maklumat rasmi atau krisis skeptikal dengan maklumat kerajaan atas pelbagai alasan. Betapa serius kepanikan sosial dan salah maklumat boleh kita lihat teladan di Iran apabila dilaporkan  44 dilaporkan maut manakala ratusan lagi dimasukkan ke hospital di Iran akibat terminum alkohol beracun yang konon digunakan untuk merawat koronavirus (Covid-19). Tragedi  itu berlaku selepas terdapat khabar angin yang mendakwa pengambilan alkohol boleh menyembuhkan atau mencegah jangkitan virus tersebut[2].

Tulisan ini penulis khusukan perbahasan sekitar impak covid-19 yang menghasilkan kepanikan sosial.

 

 

 

Apa itu  Kepanikan sosial

Panik sosial bukanlah fenomena baru. Ia fitrah manusia sejak zaman batu. Panik itu menyediakan diri kita untuk bertindak dan menyelamatkan diri. Namun ia boleh menjadi teruk dan negatif jika tidak dikawal pemerintah. Beberapa kajian ada  membincangkan keadaan panik sosial,  antaranya adalah Goode dengan teori ‘grassroots’, Cohen dengan tulisan ‘folk devilsh’ dan Hall mengenai gelagat  masyarakat apabila melihat  satu peristiwa[3].

Cohen mengenalpasti  bahawa terdapat empat agen yang berpengaruh  dalam menanam  sebuah kepanikan sosial iaitu: media massa, usahawan, kawalan budaya dan masyarakat. Dari senarai ini  medialah yang paling berpengaruh. Cohen  menggunakan istilah ‘Folk devils’ atau pengacau masyarakat untuk menggambarkan kelompok, orang, pelaku yang menjadi “musuh media” karena dianggap membahayakan moral masyarakat. Dalam konteks ini Covid-19 adalah virus yang sangat berbahaya dan dapat membunuh dalam waktu cepat.

Media secara aktif menyiarkan berita-berita perkembangan tentang Covid-19 namun maklumat ini akan terbina  sebagai pengacau  atau folk devils, orang-orang yang tertular atau terjangkit adakan segera ditanggapi  sebagai ‘anasir pengganggu’ dalam masyarakat. Teori pelabelan penyimpangan, yang berasal dari teori sosial interaksionisme simbolik adalah teori yang paling penting dari Cohen. Masyarakatlah yang memberi label pada suatu peristiwa atau insiden. Kepanikan sosial menurut teori Cohen merupakan  situasi atau  kelompok manusia  yang muncul dan didefinisikan sebagai ancaman bagi nilai atau kepentingan masyarakat. Dalam kes  penyebaran Covid-19, media membuat norma yang awalnya berjalan dengan baik dan sesuai dengan tatanan nilai yang berlaku di masyarakat berubah menjadi kefahaman  buruk. Misalnya keburukan terpancar apabila masyaraat yang panik memborong barang secara berlebihan yang mengakibatkan kehilangan  barang seperti roti Gardinia dalam  pasaran .

Panik sosial yang ada di Malaysia

Antara kepanikan sosial yang tercetus pada awal penularan wabak hingga kini adalah melibatkan isu keagamaan, ibadat, isu pegurusan komoditi dan bekalan serta mekanisme penularan:

  1. PKP akan kurang makanan

Kepanikan paling awal PKP adalah hilangnya roti putih dan telur dalam pasaran akibat permintaan melampau tinggi. Ini satu pembelian panik dan ia tidak wajar berlaku sedangkan kerajaan telah memberi jaminan kecukupan makanan sebelum mengisytihar PKP.

  1. Kesan sampingan vaksin dan vaksin perlu ditolak kerana agenda Yahudi.

Antara kitab rujukan golongan ini adalah buku Jerry D. Gray di dalam buku Deadly Mist bahawa suntikan-suntikan yang diberikan adalah merupakan ciptaan Amerika Syarikat dan Yahudi untuk mengawal dan membunuh populasi dunia yang sudah terlalu ramai. Kononnya  dengan mencipta virus-virus baharu dan ianya juga digunakan untuk melemahkan sistem imunisasi.

  1. Isu negara lain boleh solat rapat kerajaan melayu Islam tetapi tutup masjid

Kempen sebegini memang tiada dalam media mainstreem tetapi banyak dalam media sosial, berbalas-balas jawab menjawab seolah-olah tiada isu besar untuk dibahas. Ada juga agamawan yang membawa contoh negara lain seolah tiada pihak autoriti agama dalam negara ini atau erti kata lain si penyebar itu merasa lebih ‘alim’ daripada pihak anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

Serangan kepanikan sosial dilancar menerusi rantaian maklumat palsu dan  samar-samar atau ‘ambiguity’ :

  1. Propaganda antivaksin

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ahmad Amzad Hashim menyatakan kerajaan memang memantau rapi dakyah antivaksin melalui media sosial hari ini.  Ada juga golongan kumpulan yang berada di tengah-tengah iaitu kumpulan 'vaccine hesitancy group' yang mempunyai keraguan terhadap vaksin terutamanya vaksin Covid-19, tetapi tidak menolak vaksin secara langsung. Mereka ini mudah dipujuk oleh dakyah antivaksin[4].

  1. Teori palsu konspirasi

New York Times, 20 April 2020 mendedahkan  virus korona telah menyebabkan banyak teori konspirasi, maklumat terpesong  dan propaganda[5]. Karen M. Douglas, ahli psikologi sosial yang mengkaji  kepercayaan konspirasi di University of Kent di England menyatakan semasa kepanikan sosial ini, masyarakat percaya ada pihak yang mengetahui sesuatu rahsia atau agenda yang menyebabkan mereka tertarik mempercayai teori konspirasi. Ahli teori konspirasi semua membawa mesej , bahawa satu-satunya perlindungan adalah datang dari mereka yang mengetahui kebenaran rahsia itu dan ini.

  1. Tokoh ulama’ selebriti atau ulama’ persendirian

Video tular baru-baru ini mengenai pendakwah terkenal tanah air Ustaz Kazim Elias yang mempersoalkan amalan norma baharu ketika penularan Covid-19 wajar dikaji semula. Menerusi video itu, pendakwah berkenaan mendakwa tatacara solat berjemaah bercanggah dengan syariat Islam apabila perlu mengambil jarak berbanding dirapatkan seperti saranan hadis[6].

  1. Golongan politikus yang mengambil kesempatan

Contoh untuk sub topik ini boleh ditinjau sendiri kerana terlalu banyak dan ia berlaku silih berganti selagi adanya minat untuk berpoliticking dalam isu melibat nyawa seperti Covid-198 ini.

Apa peranan  konsep  siasah syariyyah?

Para fuqaha mentakrifkan siyasah syar`iyyah sebagai tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzuknya. Dalam penakrifan lain mereka berkata menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak[7]. Kebanyakan tulisan yang berkaitan dengan siyasah syar`iyyah mendefinasikan pengertian siyasah dengan definasi yang berkisar di atas kedua-dua takrif tersebut.

Ibn Khaldun  membahagi siasah kepada ‘siasah diniyah’ pengurusan keagamaan dan ‘siasah aqliyah’ iaitu berlaraskan akal, polisi dan kebijakan pemerintah. Siasah yang  bersandarkan kepada kekuatan akal (siyasah aqliyyah) juga wajib dipatuhi[8]. Kewajiban mematuhi siyasah akal ini kerana tindakan, keputusan dan dasar yang diambil melalui kaedah ini tetap berpandu kepada kepentingan dan kemaslahatan masyarakat seluruhnya. Siasah inilah yang diterap oleh kerajaan Malaysia dalam menentukan kaedah saf dalam solat semasa wabak, bilangan jemaah dalam masjid, mewajibkan vaksin dan mewajibkan swab test, menyekat perjalanan harian rakyat, mengawal perjalanan industri sepanjang wabak. Ia bukan semata-mata bersumberkan para ulama’ arahan kerajaan melalui KKM juga merupakan siasah kerajaan Malaysia untuk menjaga ‘Ad dharuriah al khams’ rakyatnya.

Misalnya kerajaan melaksanakan PKP adalah bersumberkan kaedah sadd az zirai’   سَدُّ الذَّرِيعَةِ merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan.

Majoriti rakyat Malaysia akur dan patuh dengan arahan KKM, Majlis Keselamatan Negara serta Jabatan Perdana Menteri hal Ehwal Agama serta majlis-majlis agama negeri-negeri. Hanya segelintir kecil sahaja yang kononnya memberontak namun ia tidak popular. Bersatunya rakyat bersama ketetepan kerajaan mengharungi wabak adalah satu kesatuan yang berkat dan benar.

Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a’zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka’ (Hadits riwayat Ibn Majah).

Siasah kerajaan mengurus kefahaman dan pengamalan

a)      Isu vaksin

Arahan KKM

Pada  Januari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia keluarkan hebahan menasihatkan orang awam agar tidak terpedaya dengan sebarang iklan , ‘claim’ atau kenyataan terhadap tuntutan pencegahan atau rawatan Covid-19 termasuklah di Internet melainkan sumbernya daripada KKM[9]. Hal ini bukan menampilkan KKM itu ‘ arrogant’ atau apa. Bukan pula menunjukkan kerajaan menyempitan definisi kesihatan hanya melalui KKM. Ia sebagai satu pencegahan daripada berlakunya eksploitasi terhadap minda pengguna agar membeli dengan gopoh sehingga terkena produk yang menipu. Ia satu tindakan menjaga maslahah umum di kalangan rakyat terbanyak.

Berbicara tentang antivaksin, Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun menganggap  mereka sebagai  ancaman kepada negara kerana kempen mereka mampu  merencatkan usaha kerajaan mengekang penularan wabak berkenaan[10]. Golongan ini  yang turut terdiri daripada cerdik pandai  itu dengan mudah boleh mempengaruhi orang lain untuk menolak vaksin Covid-19 sekiranya penularan pandemik itu masih berlaku dalam keadaan negara sudah menerima vaksin. Bekalan vaksin yang akan diterima pada peringkat awal memmang terhad  beberapa juta sahaja manakala populasi rakyat kira-kira 30 juta. Bermakna Covid 19 tidak akan segera lenyap dengan penvaksinan peringkat awal. Ia perlu beberapa peringkat dan gelombang.  Selalunya golongan anti vaksin mampu memanipulasi keadaan ini.

Sokongan pihak autoriti agama

Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri  ada mengupas pandangan tokoh ulama dunia, Sheikh Abdallah Sheikh Al-Mahfoudh Bayyah mengenai vaksin Covid-19.  Sheikh Abdallah yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu ada membuat penghuraian penggunaan vaksin itu dalam kalangan umat Islam secara tuntas menurut empat mazhab[11]. Sheikh Abdullah juga berpandangan adalah wajib di sisi syarak kepada semua pihak yang lain untuk menghulurkan bantuan kepada kementerian negara masing-masing menguruskan hal ini dengan bantuan yang sepatutnya, bagi menghalang penyebaran dan menghapuskan wabak ini. Hal ini dengan tidak menyebarkan info-info yang tidak benar dan hanya menyebarkan maklumat rasmi daripada kementerian[12].

Dari segi fatwa, keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang mengambil ketetapan untuk mengharuskan penggunaan vaksin Covid-19[13]. Keputusan pandangan ini telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Syah, Sultan serta Raja di negeri-negeri bagi mendapatkan perkenan untuk tindakan selanjutnya. Menurut Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, penetapan wajib mengambil vaksin yang  ditetapkan kerajaan adalah satu usaha yang sangat baik. Malah umat Islam  tidak sewenang-wenangnya memberikan hukum dan menghalang umat Islam daripada mengambil vaksin tersebut tanpa bukti-bukti yang kukuh. Muzakarah dibuat secara kolektif bukannya secara keputusan ulama’ persendirian atau bebas. Muzakarah mengambil keputusan yang penuh tanggungjawab terhadap masa depan rakyat dan realistik dengan kondisi negara.

b)      Ijtihad saf dan bilangan jamaah masjid

Arahan autoriti agama Islam di  Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan bagaimana norma baru ke masjid adalah menurut syarak dan ianya mematuhi kehendak Islam.

  • Keputusan berkaitan masjid adalah  dalam kerangka hukum ditetapkan melalui ijtihad dalam wewenang sebuah kerajaan yang sah.
  • Berpandukan kaedah kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa tindak-tanduk imam (pemerintah) terhadap rakyatnya hendaklah didasarkan kepada maslahah (kepentingan umum semasa).

عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَة تَصَرَّفُ الإمَامِ

Kaedah ini bermakna pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.

  • Norma baharu ini bukanlah bergantung kepada satu pendapat ulamak sahaja.
  • Pembudayaan norma baharu juga adalah berdasarkan pandangan daripada Muzakarah Majlis Fatwa (MF) Kebangsaan, fatwa di peringkat negeri, bahkan fatwa ulama di peringkat antarabangsa.

Apa komentar ulama’ yang murshid?

Ulama tersohor kini Habib Umar Ibn Hafiz pernah berucap bahawa masjid boleh  menjadi tempat-tempat kesembuhan. Selagi mana  pemerintah tidak melarang untuk menghadiri solat Jumaat maka mereka tetap wajib hadir. Akan tetapi jika ada larangan maka mereka wajib berkumpul untuk solat di rumah-rumah mereka. Mereka juga wajib merutinkan zikir-zikir mereka dan bersedekah sebagai cara untuk menjaga (dari virus). Habib Umar juga menyarankan bawang merah dan bawang putih sebagai ubat alternatif  untuk menghadapi virus sebagai satu ikhtiar tambahan bukannya menafikan perubatan biasa.  Rakyat juga harus tetap tenang dan tidak panik[14].

Seorang ulama Islam terkemuka Kanada Menurut Sheikh Mohammed Tahir Al-Qadri mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan teori konspirasi mengenai vaksin COVID-19.  Dakyah itu  viral di media sosial sebagai cubaan mempengaruhi orang ramai menolak suntikan vaksin COVID-19 dan menurut beliau bertentangan dengan ajaran Islam kerana menyelamatkan nyawa adalah satu ibadah dan ia dituntut dalam ajaran agama kita[15].

Demikian nasihat para ulama’ yang mursyid, tidak mementingkan diri malah membawa mesej ketaatan kepada ulul amri dalam hal siasah syariyyah yang menguntungkan rakyat.

 

BPJ SP

23 Jan 2021 12.45 mlm.



[1] Halaman 35, Berita Harian  Januari 2021

[3] Ririn Purba , Kepanikan Sosial Akibat Munculnya Covid-19

 

[7] Prof. Dr. Abd Jalil Borham , Konsep Siyasah Syari’yyah dan Perlaksanaannya dalam konteks Malaysia

[8] Pengantar Pengajian Syariah, Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid, Paizah Hj Ismail

[15] https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/01/778233/umat-islam-kanada-diingatkan-jangan-terpedaya-teori-konspirasi-anti 

Wednesday, January 20, 2021

HINDAR BUDAYA POLITIK YANG MERESAHKAN RAKYAT

 



HINDAR BUDAYA  POLITIK  YANG MERESAHKAN  RAKYAT

Muhammad Nuruddin Bashah

Jabatan Strategik DPPNK


Disiarkan dalam HD : https://harakahdaily.net/index.php/2021/01/21/hindar-budaya-politik-yang-meresahkan-rakyat/

Mood Rakyat mutakhir ini

Mood melibatkan faktor emosi dan hati. Mood bukan suatu yang boleh dipupuk melainkan ia ‘trigger’ secara semulajadi berdasarkan persekitaran dan pengalaman semasa. Jika berbahas mood rakyat kita boleh mudah menilai melalui kupasan netizen yang mewakili hati nurani rakyat semasa.

Rakyat sejak PRU  hanya tenang beberapa minggu sahaja sebaliknya terus merasa jelak dan muak dengan politik apabila pemimpin dan parti sandaran mereka tidak membawa perubahan sebaliknya hanya memperbanyakkan polemik, pergaduhan sesama mereka, perubahan sosial yang melampau dan kenyataan yang mengguris perasaan sesama etnik[1].

Faktor mood dan perasaan rakyat juga amat dicermati oleh YAB Perdana Menteri kita terkini. Misalnya beberapa kali beliau menyatakan pendirian tidak menumpu memikirkan soal politik kepartian sejak mula dilantik Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu serta mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berbaur politik, kerana sedar rakyat telah lama muak dengan 'cerita politik', terutama yang menyentuh soal parti dan kuasa. Justerus, beliau terus menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang berdepan penularan wabak COVID-19 dan merangka pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi negara terus stabil[2].

Raja kita adalah payung rakyat. Ternyata raja mengetahui segala sudut keadaan rakyat. Sultan  Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menyatakan rasa  dukacita baginda dengan sikap kebanyakan ahli-ahli politik. Melalui Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, baginda tahu  keresahan rakyat dan sedar rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa bercakaran serta bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara[3].

Faktor mood yang jelak politik bukan menunjukkan rakyat kita menjadi zombie anarki yang memusuhi feudal, memusuhi establishment atau anti peraturan. Mereka patuh peraturan, masih membayar cukai, saman dan mamatuhi perauran PBT dan sebagainya. Mereka muak kepada soal parti, siapa kawan dengan siapa, siapa nak jadi perdana menteri dan sewaktu dengannya. Hal ini disebabkan:

Kekecewaan mereka dengan prestasi PH dan banyak krisis berbanding penyelesaian.

  • Kekecewaan apabila Tun M yang dianggap simbol penyatu dalam PH tetapi disanggah sendiri oleh politikus kerajaan PH sehingga mendesak beliau sehingga terpaksa meletak jawatan dan berhasillah peralihan kuasa.
  • Wabak Covd-19 yang belum malap dan semakin membuak yang mengubah gaya hidup yang menekan emosi rakyat.
  • Trauma pasca banjir, kehilangan, kerugian dan sebagainya cukup membebankan rakyat.
  • Penurunan prestasi ekonomi isi rumah akibat PKP dan sebagainya.
  • Segala angan-angan politik, manifesto dan janji pilihanraya  rupanya tidak semudah memetik jari dan peratusan rakyat skeptikal dengan kertas yang bernama manifesto sedang meningkat.

Rakyat menolak sebarang PRU yang membeban sosial, ekonomi dan rakyat

Jika ditanya rakyat  dari kedai kopi ke kedai kopi, salon rambut ke salun rambut, pasar malam ke pasar malam adakah mereka mahukan Pilihanraya Umum dalam masa terdekat atau hanya angan-angan pemimpin politik,  pasti majoriti akan menolak PRU dengan pelbagai alasan yang masuk akal. Cubalah buat servey bagi badan-badan bebas yang sedia ada. Jangan hanya buat melalui talian sahaja. Idea PRU dalam keadaan wabak dan ekonomi yang teruk ini adalah idea yang amat berisiko, buruk dan tidak memahami keperitan rakyat. Fasa pemulihan kini menjadi fasa PKP semula iaitu bermula 22 Januari semua negeri selain Sarawak akan berPKP semula. Adakah ini graf pemulihan yang baik. Jika pun vaksin akan mulai sampai Februari, pelalian akan diberi dua kali dan hanya beberapa peratus sahaja rakyat akan akan divaksi dalam fasa permulaan. Kesan kepada ekonomi masih jauh dari kejayaan. Domino ini mengambil masa agak panjang untuk pulih.

Penulis  petik beberapa badan yang mewakili rakyat non partisan :

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)  mengeluar kenyataan menolak sebarang cadangan pilihan raya umum secara mengejut (snap election) malah disifatkan  sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kepada rakyat.Menurut ABIM ia jelas selepas  peningkatan mendadak jumlah kes serta kluster baharu ekoran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang  cukup menggambarkan kesan buruk menimpa rakyat yang menyebabkan berlakunya sentimen kebencian rakyat terhadap pemimpin politik yang suka bertelagah di saat wabak memuncak[4].

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Menteri Sains yang mewakili parti yang membentuk kerajaan PN menyatakan berdasarkan  data-data jangkitan (COVID-19) dan sebagainya, beliau sedar  sekiranya diadakan pilihan raya umum, ianya akan menyebabkan risiko yang tinggi kepada kesihatan awam.

 

Budaya pragmatik politikus perlu dikurang dan pentingnya memiliki tekad yang ikhlas

Penulis bersetuju dengan pandangan beberapa penulis media yang membahagikana rakyat kepada dua bahagi. Rakyat jelata atau rakyat terbanyak yang tiada berkepentingan dengan rakyat borjois politik yang memiliki kuasa dan nama. Rakyat sebenarnya kini tidak mudah dimanipulasi dengan jualangan slogan demi rakyat, untuk rakyat, kuasa rakyat dan kepentingan rakyat. Rakyat tidak tertarik dengan terma dan klausa lagi. Mereka menantikan lanjutan tindakan dari susuk politikus dan pemimpin yang sedia ada.

Pragmatisme yang masih tiada kunjung malap menyebabkan masih ada ahli politik yang cuba mengkucar kacirkan keamanan yang sudah sedia ada. Di pihak pembangkang, semasa memerintah 22 bulan bercakaran hingga terjatuh kerajaan sendiri. PM sendiri terpaksa meletak jawatan. Kini dari pihak kerajaan pula rakyat mengintai masih adakah virus yang akan merosakkan kerajaan PN yang dilihat mula ‘memberi muka’ serta mengutamakan kepada mereka.

Politik atau siasah tanpa terikat kemas dengan ideologi yang jelas adalah politik pragmatisme. Walaupun parti memiliki ideologi perjuangan tetapi jika pemimpin berideologi pragmatik ia akan membawa kepada kesan dalam sesuatu pasukan politik. Pragmatik memang ada kebaikan bagi rakyat apabila sesuatu gerakan politik mengubah cara berpolitik demi memberi keutamaan dan keselesaan kepada rakyat. Tetapi jika pragmatik itu tujuan untuk diri sendiri dan mula mengenepikan rakyat maka ia jelas akan merobohkan dan bukannya membangunkan.

Buat masa kini matlamat kesatuan Melayu Islam adalah matlamat besar merentasi matlamat peribadi parti politik yang mendokong kerajaan. Maka seharusnya agenda memperkasa matlamat ini diutamakan termasuk mengekalkan kerajaan PN yang mengutamakan kesatuan melayu Islam, menjaga agama, sistem beraja, perlembagaan, keharmonian kaum dan kebajikan rakyat terbanyak.

Menjunjung kepekaan YDPA terhadap kegeringan politik terkini

Sebelum peghisytiharan darurat terkini, permohonan darurat pernah ditolak oleh Raja-raja melayu berdasarkan keyakinan Raja-Raja melayu terhadap prestasi pentadbiran kerajaan PN. Rata-rata pemimpin kerajaan dan sebahagaian pembangkang menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong Sultan Abdullah  dan kebijaksanaan Raja-raja Melayu yang telah bersidang sebelum mengambil keputusan untuk tidak mengisytiharkan darurat di negara ini. Seri Paduka  Yang Dipertuan Agong  turut menyatakan keyakinannya dengan keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 daripada terus merebak. Pemimpin-permimpin kerajaan dan sebahagian pembangkang juga bersetuju untuk tidak berpoliticking berlebihan sebaliknya menumpukan perhatian kepada Covid -19 dan kesusahan rakyat. Semasa ada usaha pembangkang  untuk menggagalkan bajet, pada 28 Oktober, Seri Paduka sekali lagi menasihatkan ahli politik agar menghentikan segala perbalahan politik dan pembentangan Belanjawan 2021 diluluskan tanpa ada gangguan mana-mana pihak demi rakyat.

Penulis senaraikan sebahagian pihak-pihak yang menjunjung titah Seri Paduka  dan disiar melalui media semasa:

  • Gabungan Parti Sarawak (GPS) [5].
  • UMNO[6]
  • Kerajaan Pahang [7]
  • Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang boleh dianggap mewakili PAS[8].
  • Parti Warisan Sabah (Warisan)[9]
  • Parti Amanah Negara (Amanah)[10]

Secara umum kita melihat jelas banyak pihak akur untuk menghentikan politicking, usaha menggagalkan bajet.  atau desakan politik untuk menukar kerajaan dalam masa covid dan ekonomi yang masih teruk.

Jadi dari mana datangnya desakan untuk berpilihanraya sehingga YAB Perdana Menteri terpaksa memohon sekali lagi pengisytiharaan darurat agar kerajaan stabil untuk melaksana tugas untuk negara dan kebajikan rakyat yang belum selesai?

 Pentingnya stabil

Stabil politik dan sosial adalah penting untuk menangani kesan wabak Covid 19, kesan akibat banjir beberapa negeri timur dan selatan tanahair serta dampak ekonomi. Selepas akur dengan titih Seri Paduka pada Oktober yang lalu, terjadi juga beberapa keadaan yang menunjukkan ketidakstabilan politik. Kerajaan PN memang tidak kuat kerana tidak memiliki / majoriti pun. Kerajaan ini boleh tumbang jika masih ada MP yang berniat menukar mahkhoda negara. Semasa tulisan ini ditulis telah ada dua MP pro kerajaan yang telah menarik sokongan terhadap PN. Pilihanraya adalah jalan terbaik untuk membentuk semula kerajaan yang stabil dan absah pilihan rakyat.

Persoalannya, sesuaikan sekarang berpilihanraya? Siasah pilihanraya adalah asas kestabilan dan kestabilan perlu untuk tangani Covid, banjir dan ekonomi seperti yang dinyatakan di atas. Asasnya pilihanraya. Tetapi ia tidak sesuai dilaksanakan sekarang.

Atas logik penerusan menyelesai masalah rakyat, memastikan bajet tersalur kepada rakyat dengan lancar dan menarik pelabur luar, maka proklamasi darurat adalah satu keperluan.

Kerajaan sejak Mac telah menggunakan peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 324). Namun ada kekangannya berbanding peruntukan di bawah Ordinan Darurat.

  1. kerajaan tidak perlu  berlengah dalam membuat perkiraan dengan pihak swasta untuk menggunakan premis perubatan swasta serta sumber, utiliti dan aset. Kerajaan ada kuasa lebih dalam berurusan dengan pihak swasta.
  2. penguatkuasaan peraturan berkenaan kawalan penularan pandemik boleh disegerakan tanpa urusan briokrasi dan peraturan yang menyukarkan.
  3. Darurat tertakluk dengan Seri Paduka YDA dan Baginda  payung bagi semua parti politik. Baginda Yang di-Pertuan Agong juga memperoleh pandangan yang menyeluruh daripada semua pihak dan bebas daripada pengaruh politik kerana Jawatankuasa Khas Bebas ditubuhkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan keahliannya boleh  terdiri daripada anggota parti-parti kerajaan, pembangkang dan profesional.
  4. Kerajaan mampu mengambil secara sementara tanah, bangunan atau apa-apa bentuk harta alih daripada mana-mana pihak dan menggunakannya untuk tujuan yang bersesuaian dalam memerangi COVID-19.
  5. Kerajaan boleh dengan mudah mendapat kerjasama kerana semua pihak perlu mematuhi arahan apabila diminta oleh Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan sumber seperti sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset berkaitan dengannya.
  6. Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan bersidang semasa tempoh darurat. Hal ini amat tidak disukai pembangkang kerana tidak berupaya berpolemik, berpolitik serta tidak mampu membangkang. Realitinya semasa berkuasa mereka antara pemonteng sidang yang unggul hingga beralasan tidak hadir kerana parlimen sejuk.
  7.  Malah tiada Pilihan Raya Umum, Negeri atau Pilihan Raya Kecil dibenarkan sepanjang tempoh darurat. Bagi pihak yang mula berkempen agar disegerakan  PRU baru baru ini, Ordinan ini tidak disukai mereka.

Politikus bersabarlah. Rakyat mula lihat tanpa MP pun negara boleh lancar. Misalnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Gerik ditangguh akibat ancaman COVID-19 dan kawasan itu tiada wakil rakyat namun kebajikan rakyat berjalan seperti biasa kerana kerajaan kita bukan berpaksi kepada MP dan ADUN semata-mata. Misalnya selepas kekosongan Batu Sapi, dalam tempoh 60 hari SPR perlu mengambil tindakan untuk isi kekosongan itu kecuali jika kerajaan isytihar kawasan itu sebagai  darurat. Seri Paduka telah mengisytihar darurat bagi kawasan Batu Sapi dan tiada PRK berlaku. Jadi, darurat telah berjaya mengelakkan PRK yang berisko wabak, membuang wang serta menambahkan keresahan rakyat. Demikian Darurat  2021 mampu memberi keselesaan kepada rakyat.

Kestabilan politik adalah amat penting dalam merencanakan perancangan ekonomi negara. tahun 2021 merupakan permulaan Rancangan Malaysia ke-12 yang amat penting untuk menjadi tapak permulaan rancangan ekonomi Malaysia dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Situasi sekarang rakyat bukannya manja. Misalnya menurut pandangan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, beberapa perkara  perlu diteruskan mungkin hingga ke tahun hadapan 2022  kerana pemulihan ekonomi rakyat, PKS, industri  yang terjejas teruk. Menurut beliau:

  1. Keutamaan terhadap  suntikan fiskal ke dalam ekonomi domestik terutamanya suntikan fiskal langsung kepada individu, isi rumah dan peniaga wajar diteruskan.
  2. Dana untuk pinjaman perniagaan harus ditambah dan proses permohonan untuk mendapatkan pinjaman tersebut juga perlu dipermudahkan dan bersasar kepada perusahaan mikro serta Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) terutamanya dalam kalangan peniaga bumiputera. PKS adalah sektor yang penting ia merupakan sumber pendapatan rakyat, peluang pekerjaan serta menghasilkan eksport negara.

 

  1. Selain itu, moratorium wajar   dilanjutkan tetapi bersasar kepada yang amat memerlukannya sahaja. Bagi yang gajinya berjalan tidak perlu diberi kemudahan ini.
  2. Pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga harus dirombak dengan melantik golongan profesional yang benar-benar layak sahaja.
  3. Industri baharu seperti IR4.0 dan ekonomi digital juga iberi keutamaan di samping meningkatkan penguasaan Malaysia di dalam hab halal global.
  4. Golongan peniaga dan industri juga mengharapkan dasar dan polisi bantuan kepada perniagaan harus diteruskan pada tahun hadapan (2022) kerana negara kita masih belum benar-benar pulih daripada kemelut ekonomi yang melanda pada masa kini.

Kesemua hal di atas hanya mampu difikir, digarap, disusun dan dilaksana oleh kerajaan yang aman, stabil dan terhindar dari politicking yang tidak berkesudahan. Ordinan darurat adalah solusi tepat yang tersedia melalui Perlembagaan Persekutuan. Ia juga menghindarkan budaya politik yang meresahkan rakyat terbanyak.



Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)