Sunday, February 26, 2017

HIMPUNAN H355 MEMBENAM DEFINISI MALAYSIA NEGARA SEKULAR


HIMPUNAN H355 MEMBENAM DEFINISI MALAYSIA NEGARA SEKULAR
Muhammad Nuruddin Bashah
Jabatan Strategik DPPN Kedah
“Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah Dewata Maha Raya jika merdeka bujangpalu seratus rotan. Jika merdeka beristeri atau perempuan bersuami ditanam hinggakanpinggang dihambalang dengan batu matikan.”
– Batu Bersurat Terengganu, 22 Februari 1303
Ramai yang memberi komentar berkenaan impak Himpunan H355 pada 18 Februari 2017 yang lalu. Sama ada ia membincang dari aspek mandiri politik (survival) PAS atau membincangkan impak himpunan terhadap sesuatu decision making di negara ini atau pun terus menulis mengkritik seolah tindakan berkenaan hanya show of atau manifestasi politik pop semata-mata.

Penulis melihat daripoada beberapa intipati ucapan para orator sepanjang himpunan berkenaan dan penulis membuat sedikit kesimpulan sendiri bahawa isu Malaysia bukan sebuah negara sekular perlu dikumandangkan. Malaysia adalah bumi yang mampu dilaksana 100% undang-undang syariahnya serta rubu’-rubu’ feqahnya tanpa was-was.

Penulis optimis menyatakan Malaysia adalah darul Islam berdasarkan pembacaan buku Negara Islam karya Nik Azran Mohamed walaupun mungkin belum layak digelar Daulah Islam.

Malaysia adalah tanah yang subur untuk disemai dengan agenda,amalan dan syiar Islam. Ia bukan negara fasad dan total menidakkan Islam. Ia tanah umat Islam selaku majoriti dan memiliki peruntukan undang-undang yang jelas menunjukkan Malaysia negara yang beragama.Namun ia berlawanan dengan konsep sebenar negara Islam iaitu Istiah Daulah Islamiyyah sebagaimana dikupas lengkap oleh Sheikh Wahbah Az Zuhaili iaitu pelbagai syarat lengkap untuk sesebuah negara berge;ar daulah islamiyyah. Ya, Malaysia belum bergelar Daulah Islamiyyah tetapi ia jelas Darul Islam. Ia memiliki persejarahan perundangan dan estetika, norma dan budaya Islam yang cukup membumi, berakar berabad lamanya.

Malaysia bukan sebuah negara sekular. Ia adalah negara yang cuba disekularkan oleh agenda pensekularan tinggalan penjajah baik dalam bentuk parti politik, NGO, badan perniagaan serta individu pemikir, intelegensia yang berakar umbikan sekolah pemikiran sekular. Ia juga disalah anggap sebagai sekular oleh kaum bukan Islam yang belum mengenali penuh apa itu Islam. Selagi ada sikh mampu berserban, wanita india bersari di jabatan kerajaan sahlah Malaysia bukan sekular. Tetapi ia bukan negara agama lain. Ia adaah negara yang menjulang Islam sebagai agama rasmi. Inilah bezanya negara sekular dan negara beragama seperti Malaysia.

Negara Sekular

Mengikut sarjana Barat, makna negara sekular ialah sebuah negara yang ditadbir dan diuruskan tanpa wujud sebarang pengaruh agama mahupun unsur-unsur keagamaan. (Rujuk Madeley John T. S. dan Zsolt Enyedi, Church and State in Contemporary Europe: The Chimera of Neutrality). Secara mudahnya negara sekular terbangun di atas satu doktrin bahawa agama harus dipisahkan terus daripada urusan politik dan pentadbiran kenegaraan.

Ini bermakna sebuah kerajaan sekular tidak boleh sesekali menggunakan dana negara untuk sebarang program, polisi mahupun dasar yang memberikan kelebihan kepada mana-mana agama. Demikianlah asas-asas negara sekular yang banyak diamalkan di kebanyakan negara di Barat, bahkan di negara majoriti umat Islam seperti Turki, Algeria, Tunisia dan Lebanon hingga dimaktubkan dalam Perlembagaan masing-masing.

Negara sekular seperti Perancis, Turki dan India menyatakan dengan jelas dalam perlembagaan mereka bahawa negara itu adalah negara sekular tanpa merujuk kepada sebarang agama.

Hujah pejuang sekularisme Malaysia
Mereka membawa hujah  Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan - semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.


Peruntukan undang-undang Malaysia mampu dijadikan negara Islam

Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengisytiharkan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan tanpa menafikan hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas.
Lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong yang dimulakan dengan ungkapan ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ sebagaimana disebut dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan istimewa Islam dalam negara ini juga dizahirkan dengan adanya peruntukan lain seperti dalam Fasal (4) Perkara 11 berkenaan dengan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang Negeri dan Persekutuan.
Dalam Fasal (2) Perkara 12 tentang hak berkenaan dengan pendidikan, adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan, menyenggarakan, membantu dalam menubuhkan atau menyelenggarakan institusi Islam atau membantu untuk mengadakan ajaran dalam agama Islam serta melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu.
Malaysia bukan Negara Sekular. Tiada didalam Perlembagaan Persekutuan menyebut Malaysia sebuah Negara Sekular. Perlembagaan Malaysia juga tidak menyebut Malaysia sebagai Negara Teokratik. Tetapi undang-undang Syariah dilaksanakan hanya kepada Muslim dan tidak kepada bukan-Muslim.
Malah, dengan pindaan Perlembagaan pada 1988 menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa mengganggu keputusan Mahkamah Syariah, sekali gus menaikkan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah walaupun ada kalangan masyarakat tidak berpuas hati dengan kedudukan Perkara 121 (1A)
Sewaktu Perlembagaan Persekutuan ditulis ketika pembentukan Malaya 1957, agama Islam telah lama bertapak di Tanah Melayu sejak awal 1400-an dan pihak British tidak mahu mengubah perkara tersebut demi menjaga kepentingan Raja-Raja Melayu walaupun kuasa Mahkamah syariah diperkecilkan kuasa oleh Portugis, Belanda dan British. Perlu diketahui Portugis mengwesternisasi Tanah Melayu 130 lamanya manakala Belanda selama 160 tahun manakala British sekitar 160 tahun lebih.
Walaupun Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman ada menjelaskan dalam satu sesi Parlimen bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk tujuan rasmi negara, itu hanyalah pandangan beliau. Jelasnya dalam Perlembagaan Persekutuan  tidak sama sekali menyebut negara ini sebagai negara sekular.
Pakar undang-undang Perlembagaan seperti Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Dr Abdul Aziz Bari, Dr Shamrahayu Abd Aziz, Dr Khairil Azmin Mokhtar dan Dr Farid Shuib Sufian semuanya bersetuju Malaysia bukan sebuah negara sekular sebagaimana yang terdapat di dalam kajian-kajian ilmiah mereka.


Pejuang Islam pra mereka telah mempengaruhi isi kandungan Perjanjian Ried

Penulis merujuk tulisan daripada PEMBINA yang membongkar polemik sekularosme dalam Suruhanjaya Reid. Majoriti peneliti undang-undang Malaysia merujuk tulisan Tommy Thomas yang bertajuk “Is Malaysia is an Islamic State?” yang dibentangkan di Malaysian Law Conference ke-13.  
Menurut Tommy Thomas, terdapat satu kenyataan tegas di dalam Laporan Suruhanjaya yang menyebut kedudukan agama Islam tidak akan menggangu kesekularan negara ini. Beliau telah memetik Laporan Suruhanjaya Reid pada perenggan 169 secara tidak benar. Perenggan ini menyebut:
“We have considered the question whether there should be any statement in the Constitution to the effect that Islam should be the State religion. There was universal agreement that if any such provision were inserted it must be made clear that it would not in any way affect the civil rights of non-Muslims – ‘the religion of Malaya shall be Islam. The observance of this principle shall not impose any disability on non-Muslim nationals professing and practicing their own religion and shall not imply that the State is not a secular State’.”
Menurut perenggan ini, Suruhanjaya Reid telah membuat satu penegasan kedudukan islam sebagai The Religion of Malaya tidak akan mengganggu status sekular negara ini. Sebenarnya, kenyataan ini salah, telah diubah maksud,  dan dibuang ayat yang tidak diingini. Kenyataan sebenar perenggan 169 telah dibuang satu ayat yang telah mengubah secara langsung status sekular negara ini iaitu:
We have considered the question whether there should be any statement in the Constitution to the effect that Islam should be the State religion. There was universal agreement that if any such provision were inserted it must be made clear that it would not in any way affect the civil rights of non-Muslims. In the Memorandum submitted by the Alliance it was stated – “the religion of Malaya shall be Islam. The observance of this principle shall not impose any disability on non-Muslim nationals professing and practicing their own religion and shall not imply that the State is not a secular State.
Ayat “In the memorandum submitted by the Alliance it was stated” telah memberi kefahaman bahawa status sekular Malaysia hanyalah sekadar cadangan ataupun laporan verbatim dari rekomendasi Parti Perikatan sendiri. Namun perikatan tetap mencadang Islam ada;ah agama rasmi dan ini menunjukkan status sekular gugur. Terdapat banyak bukti tidak tercatat bahawa pejuang Islam dalam PAS, Hizbul Muslimin dan sebagainya mempengaruhi cadangan Parti Perikatan yang masih memiliki golongan ulama di dalamnya ketika itu.

Kondisi syariah di Malaysia menurut Dr Aziz Bari.
Pemerintah mengguna hujah escapisme, anggap perlaksanaan syariah banyak rukhsah dan boleh ditangguh kerana tidak sesuai.
Istilah sekular tiada dalam perlembagaan negara. Hanya ada dalam kertas putih Constitutional Proposals For The Federation of Malaya, London, HMSO 1957.
Akta parlimen boleh digubal atau dipinda. Bergantung kepada kehendak dan usaha parlimen.

Halangan perlaksanaan undang-undang Islam (jenayah) 
Menurut Dr Abdul Aziz Bari, beberapa peruntukan undang-undang memang perlu dipinda. Bermakna ruang melaksana Islam di Malaysia tetap ada.
Akta Mahkamah Keadilan 1964.
Kanun Kesiksaan
Kanun Acara Jenayah
Akta Keterangan 1950
Akta Mahkamah Syariah 1984
menghadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak melebihi 5 ribu ringgit atau sebat tidak lebih 6 sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman itu. (3,5,6)
Bidang kuasa ini masih rendah atau sempit jika dibandingkan dengan bidang kuasa Mahkamah Majistret Kelas Pertama. Akta Mahkamah Rendah 1948 memberi bidangkuasa jenayah kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama menjatuhkan hukuman sehingga sepuluh tahun penjara atau rotan 12 kali atau gabungan kedua-dua.
Akta Undang-undang Sivil 1972
Kini ia menjadi ‘hub’ mengaut common law ke dalam mahkamah sivil Malaysia.
Perlu dipinda untuk mengimport prinsip Islam dalam akta ini.
Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutan Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.
Parlimen menggubal undang-undang dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama manakala Dewan Undang Negeri menggubal undang-undang dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.
Perkara jenayah terletak di dalam item 4 Senarai Persekutuan. Jika undang-undang hudud tertentu seperti mencuri ingin digubal oleh Dewan Undang Negeri Pindaan terhadap Item 4 ini perlu dilakukan terlebih dahulu.
Bandar Puteri Jaya 8.49 malam
24 Februari 2017

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)