Tuesday, June 23, 2015

Isu Kilang haram - menjengah ke MPSPk


Ahad lalu menjengah ke MPSPk follow isu Kilang haram mengeluar bau busuk di Permatang Berangan, berjumpa Pegawai Penguatkuasa selepas beberapa minggu menghantar e-aduan kepada MPSPk dan aduan kepada kerajaan negeri Kedah. Nampak ada hasil, MPSPk dah denda pemilik premis tetapi masih beroperasi, maklumlah dendanya ciput berbanding laba yang dikaut si kapitalis ini.
Menurut En Anil pegawai penguatkuasa, mesyuarat bersama ahli politik, wakil penduduk, JAS telah dilakukan dan sebulat suara mengatakan kilang ini haram.
Tunggu tindakan di mahkamah dan akan follow up Pegawai Perundangan MPSPk hari ini juga memandangkan mahkamah sahaja mampu beri arahan roboh atau sita.
Saya bersama Muhammad Izzwan Ismail Ketua DPPK Sg Petani Ahad lalu....




Isu Kilang haram -Maklum balas Pejabat daerah

Pemuda sg Petani mgadu pada CAP, CAP tembak Pegawai Daerah Kuala Muda, pejbt DO jolok MPSPk balik dgn surat Presiden CAP. CAP Kedah pun depa cover, NGO sejati demi rakyat. Kot mana pun Mpspk gak kena. Pegawai undang undang MPSPk kata dlm proses undang undang sb denda puak kilang haram ni tak layan. Tapi pegawai undang undang janji nak cal balik tp xcal pun lg. Nak kena kacau lg ni. Demi Rakyat...







Wednesday, June 17, 2015

PAS SUNGAI PETANI ANJUR PERTANDINGAN BOWLING DEKATI MASYARAKAT

PAS SUNGAI PETANI ANJUR PERTANDINGAN BOWLING DEKATI MASYARAKAT

Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah

SUNGAI PETANI - 17 JUN 2015

Lajnah Sukan dan Rekreasi Dewan Pemuda PAS Sungai Petani dengan kerjasama PAS Sungai Petani telah menganjurkan Pertandingan Bowling Ukhwah Pimpinan PAS bersama Masyarakat pada 14 Jun 2015 yang lalu.

Program yang bermula pada jam 3.00 petang bertempat di Park Avenue Bowling Center Sungai Petani Kedah.




Menurut Saad bin Ibrahim pengarah Lajnah Sukan tujuan pertandingan ini diadakan untuk merapatkan saf kepimpinan PAS sekaligus menjalinkan hubungan Mesra dengan masyarakat non partisan.

Aktiviti ini disertai kepimpinan utama PAS kawasan, Pemuda Negeri dan Pemuda Kawasan, NGO serta masyarakat sekitar. Penyertaan penuh dengan sambutan hangat ditunjukan peserta.

Pemenang dalam pertandingan ini adalah pasukanBadan Kebajikan Islam SHARP (BKI's) yang menerima Hadiah Piala Pusingan dan Piala Iringan yang disumbangkan oleh YDP PAS Kawasan sendiri. Hadiah utama disampaikan oleh YDP Pas Kawasan Sg Petani.


PAS Sungai Petani akan terus menganjrkan pertandingan sebegini memandangkan bowling adalah sukan kekeluargaan, santai dan mudah dimain oleh segenap lapisan masyarakat.

Tuesday, June 16, 2015

ADUAN RAKYAT-PEMUDA BERSAMA RAKYAT- Jalan kampung berlubang


ADUAN RAKYAT-PEMUDA BERSAMA RAKYAT

Isu : Jalan kampung berlubang

Pengadu : Mohd Anas bin Shahul Hameed

No IC : 800317025421

Alamat : no 223E Jalan Bakar Sampah 08000 SP

Kesan masalah jalan yang teruk ini:

  1. Tayar kerap Pancit

  1. Kemalangan motor bertembung bila mengelak lubang

  1. Separuh pengguna adalah warga emas
Aduan e-MPSPk telah dibuat dan alporan akan disusul kepada Ahli Parlimen berkenaan.


Team Pemuda Bersama Rakyat 
Lajnah Penyelidikan DPPNK, Lajnah 3P DPPNK, DPPK Sg Petani 2015







LAPORAN - ISU ASAP BUSUK DARI KILANG HARAM MEMPROSES MAKANAN HAIWAN DI SUNGAI PETANI

LAPORAN - ISU ASAP BUSUK DARI KILANG HARAM MEMPROSES MAKANAN HAIWAN DI SUNGAI PETANI
Laporan daripada : Dewan Pemuda PAS Sungai Petani & DPPN Kedah

Lawatan Dewan Pemuda PAS Sg Petani
  1. Maklumat lawatan
Peserta lawatan:
  1. Mohd Sani Bin Mohd Md Sod Ketua Pemuda Cawangan Permatang Berangan
  2. Mohd Farhan Bin Omar Setiausaha Pemuda Cawangan
  3. Mohd Izwan Ismail Ketua Dewn Pemuda PAS Sg Petani
  4. Shafirol Lajnah Ekonomi Dewan Pemuda PAS Sg Petani
  5. Beberapa penduduk tempatan yang telah lama perjuangkan isu ini.
Masa: 6.30 petang
Tarikh: 23 April 2015
Tujuan: Menyiasat bersama penduduk tempatan selepas dimaklumkan isu oleh pemuda cawangan Permatang Berangan.
Tujuan Laporan :
  1. Tindakan pohak berkuasa untuk menutup kilang berkenaan jika terbukti ia kilang tanpa pendaftaran berdasarkan akta dan peruntukan undnag-undang yang sah.
  2. Jika memiliki permit dan lesen, diminta pihak berwajib pastikan tiada lagi perlepasan bau busuk ke persekitaran awam sebegaimana peruntukan undang-undang Akta Kilang dan Jentera dan Akta Kualiti Alam Sekeliling.
Latar belakang isu

  1. Antara pemilik Beh Eng Chuan
  2. Lokasi kilang haram (tanpa lesen perkilangan) di Kampung Pulau Tengah.
  3. Nama syarikat Enterprise sahaja - Sin Xing Long Enterprise tertera pada pintu lori.
  4. Tiada papan tanda seperti kilang-kilang lain.
  5. GPS code : 5 darjah 35’ 17 “ N dan 100 darjah 29’ 27” E
  6. Bahan mentah bulu ayam, kepala ayam dan sisa perut ayam
  7. Bau busuk dilepas tanpa mengira masa termasuk waktu malam.
  8. 5 sekolah terjejas - antaranya SM Pinang Tunggal, SRK Pinang Tunggal, Sekolah agama dan 5 buah Tabika.
  9. Kampung terjejas
    1. Permatang Berangan
    2. Kampung Pulau Tengah,
    3. Pinang Tunggal
    4. Kampung Kilang Makau
    5. Tama Seraya
    6. Taman Kempas I dan II.
  10. Jika asma atau lelah apabila bau keluar keadaan akan jadi lebih parah

Tindakan penduduk dan hasil
  1. Himpunan bantahan NGO - 24 Ogos 2014
  2. Telah disiar TV9
  3. Telah disiar dalam RTM - 5 September 2014
  4. Telah disiar dalam Sinar
    1. Tarikh 25 Ogos 2014
    2. 2000 penduduk tempatan terjejas.
    3. Waktu paling busuk 6 ptg hingga 12 malam.

  1. Telah diajukan kepada Majlis Bandaran
    1. Surat ditulis pada 8 September 2014 oleh JKKK merangkumi JKKK Kapung Kilang Makau, kampung Pulau Tengah, Kampung Permatang Berangan.
    2. Disertakan aduan rakyat, plan kilang dan tandatangan penduduk yang terjejas.
    3. Tiada tindakan sewajarnya.

  1. Telah dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar
  2. Berjumpa Exco Alam Sekitar
    1. Pada 26 Ogos 2015 perteuan dengan Exco Alam Sekitar Dato’ Dr Leong.
    2. Pengusaha kilang juga hadir.
    3. Berjanji akan selesaikan isu bau dalam sebulan. (sehingga laporan ini ditulis bau masih dilepaskan)
  3. Surat kepada Menteri Besar Kedah
    1. Bertarikh 15 Feb 2015 oleh Azhar Bin Hamat (Pengerusi JKKK Permatang Berangan)
    2. Belum ada maklum balas


Isu-isu perundangan dan akta

  1. Salah guna tanah persendirian
    1. Seksyen 127 (1A) Akta Kanun Tanah Negara 1965 Pelanggaran Syarat Tanah
    2. Denda tidak kurang RM500.00 dalam kes perlanggaran berterusan, tambahan RM100.00 bagi tiap-tiap hari tempoh perlanggaran berterusan atau tanah boleh dirampas.
    3. Jika ubah status tanah perlu ada dokumen.

  1. Melepas bahan kimia atau bau busuk di udara
    1. Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
    2. Seksyen 25(1) Mengeluar, melepas atau meletakkan apa‐apa benda berbahaya kepada alam sekeliling, pencemar atau buangan ke dalam mana‐mana perairan daratan tanpasuatu lesen.
    3. Denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua‐duanya dan denda tambahan tidak lebih daripada RM1000 sehari bagi tiap‐ tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disampaikan kepadanya suatu notis yang diberi oleh Ketu Pengarah menghendakinya menmberhentikan perbuatan yang dinyatakan di dalamnya itu.

  1. Memiliki premis kilang tanpa memaklum Pemeriksa Jentera
    1. Seksyen 34 (1) Akta Kilang dan Jentera 1967
Tiap-tiap orang yang pada mula kuat kuasa Akta ini menduduki atau mengguna mana-mana premis sebagai suatu kilang hendaklah—
(a) dalam tempoh tiga bulan dari tarikh itu mengemukakan kepada Ketua Pemeriksa apa-apa butir sebagaimana yang boleh ditetapkan; dan selepas itu;
(b) dalam tempoh enam bulan apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Ketua Pemeriksa mengemukakan apa-apa butir lanjut sebagaimana yang ditetapkan.
(2) (a) Tiada seorang pun boleh kecuali dengan kebenaran bertulis Pemeriksa, mula menggunakan mana-mana premis sebagai kilang sehingga satu bulan selepas dia menyampaikan kepada Pemeriksa suatu notis bertulis mengikut bentuk yang ditetapkan.
(b) Subseksyen ini tidak terpakai bagi mana-mana orang yang mengambil alih sesuatu kilang daripada orang lain jika tiada perubahan dalam sifat kerja yang dijalankan di dalam kilang itu dengan syarat bahawa orang pertama itu hendaklah dalam tempoh satu bulan dari pengambilalihan itu menyampaikan kepada Pemeriksa notis bertulis mengikut bentuk yang ditetapkan.

  1. Memasang mesin tanpa kebenaran
    1. Seksyen 36. (1) Akta Kilang dan Jentera 1967 Tiada seorang pun boleh memasang atau menyebabkan supaya dipasang apa-apa jentera kecuali dengan kelulusan bertulis Pemeriksa dan bagi maksud mendapatkan kelulusan itu maka hendaklah dikemukakan kepada Pemeriksa apa-apa butir sebagaimana yang ditetapkan.
(2) Apabila mana-mana jentera yang berkenaan dengannya suatu perakuan kelayakan ditetapkan telah dipasang, notis bertulis hendaklah disampaikan kepada Pemeriksa yang hendaklah dengan seberapa segera yang boleh membuat suatu pemeriksaan ke atasnya
dan, jika jentera itu mematuhi Akta ini, mengeluarkan suatu perakuan kelayakan mengikut bentuk yang ditetapkan apabila dibayar fi yang ditetapkan.
(3) Notis bertulis mengikut bentuk yang ditetapkan itu hendaklah disampaikan kepada Pemeriksa sebelum mana-mana jentera selain jentera yang berkenaan dengannya suatu perakuan kelayakan ditetapkan atau yang telah dinyatakan dalam mana-mana notis
bertulis yang disampaikan kepada Pemeriksa menurut seksyen 34 mula-mula digunakan di dalam suatu kilang dan tiada jentera boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis Pemeriksa, digunakan sehingga habis tempoh satu bulan selepas penyampaian notis bertulis di bawah subseksyen ini.

B) Borang JKJ 106 perlu diisi oleh pengusaha dan penduduk boleh meminta pengusaha keluarkan salinan surat berkenaan.


  1. Tidak menyedian persekitaran selamat kepada pekerjannya sendiri
    1. Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
    2. Mengadakan dan menyenggara setakat yang praktik tempat kerja dan sistem kerja yang selamat
    3. Menyediakan kaedah atau cara yang boleh menjamin keselamatan dan kesihatan semasa pengendalian, penggunaan, simpanan dan pengangkutan bahan
    4. Dari pemerhatian, lawatan kami, suasana busuk dan pekerja menghadap bau busuk tanpa PPE (personal protective equipment), tanpa ada sistem ventilasi yang menghalang pekerja terdedah bau busuk.

  1. Undang-undang tort - kacau ganggu
    1. Penduduk boleh memohon injunksi mahkamah untuk menyekat bau tersebut.

Usaha Dewan Pemuda PAS

  1. Memaklum kepada ahli parimen Sungai Petani untuk tindakan lanjut
  2. Membuat laporan kepada Persatua Pengguna
  3. Menghantar laporan kepada Sinar dan Harakah.
  4. Membuat lawatan susulan akan datang memandangkan pihak penguasaha berjanji menyiapkan sistem penapis bau serta cerobong khas.

Laporan oleh :
Muhammad Nuruddin Bashah
(Ketua Penerangan DPPK Sungai Petani, Exco DPPN Kedah)
10 Mei 2015

















Sunday, June 07, 2015

Pelaburan sukuk 1MDB selamat dijamin kerajaan atau dijamin rakyat?


Pelaburan sukuk 1MDB selamat dijamin kerajaan atau dijamin rakyat?
Muhammad Nuruddin Bashah
Exco Penyelidikan DPPN Kedah
Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Datuk Seri Zukri Samat bahawa pelaburan anak syarikatnya, Syarikat Takaful Malaysia Berhad (Takaful Malaysia) sebanyak RM85 juta di dalam sukuk Islamik yang diterbitkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah selamat kerana ia dijamin oleh kerajaan bukan merupakan jawapan yang melegakan kerana rakyat tidak peduli untung atau ruginya 1MDB suatu syarikat swasta yang tiada hubungan langsung dengan mereka.

Rakyat Malaysia yang kian celik ekonomi sebenarnya takut dengan kenyataan ‘dijamin kerajaan Malaysia’ kerana itulah petaka besar bahawa duit rakyat bakal dibelasah untuk menyelamatkan hutang terbitan sukuk berkenaan kepada Takaful Malaysia dan BIMB apabila 1MDB gulung tikar. Tetapi rasanya belum gulung tikar pun kerajaan akan terpaksa menyuntik wang lagi untuk syarikat ‘ntah apa apa ini’.

Sebelum ini masyarakat yang sedia senak perut dengan isu 1MDB yang kian korup, bakal tenggelam ini dilambak pula dengan isu sukuk Islamik terbitan 1MDB yang dilanggan oleh Takaful Malaysia itu mempunyai tempoh matang selama 30 tahun sehingga 2039 dengan kadar kupon 5.25 peratus. (Utusan Malaysia 15 Mei 2015)

Ada banyak sebab mengapa rakyat perlu curiga dan marah dengan 1MDB sehingga bayang bayang 1MDB pun menjadi perhatian rakyat.

1MDB ditubuh dengan niat atas kertas yang kelihatan suci namun peraktiknya cukup penuh dengan rahsia korup, kroni, ‘mark up, ali baba dan kemunafikan ekonomi yang dahsyat.

Beberapa bulan lalu Tan Sri Abdul Kadir Shiekh Fadzir dalam wawancara Harakah menyatakan syarikat 1MDB gagal dari awal lagi kerana kerajaan BN Najib hanya harapkan golongan ‘wheeler dealer’ dan bukannya usahawan sejati. Mereka hanya berprinsip membujur lalu melintang patah dalam berurus niaga tanpa kredibiliti sebagai usahawan sebenar utuk mengukuh ekonomi negara. Beliau sendiri pelik bagaimana bejet berbilion dipohon diluar Parlimen dan mudah pula Kabinet meluluskan tanpa perlu berbahas di Parlimen[ Harakah 23-26 Mac 2015]

Sebelum ini 1MDB mengeluar kenyataan bahawa untuk menangani hutang-hutang besar mereka terpaksa melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada Jun atau Julai 2015 bagi mendapatkan dana yang akan digunakan menangani masalah aliran tunai syarikat[ http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2015/03/14/1mdb-dijangka-selesai-hujung-tahun/ ].
1MDB juga katanya ingin lepas 80% pgangannya dalam aset tenaga 1MDB. Ramai percaya tindakan jual beli tanah kontroversi TRX antara 1MDB dan THP merupakan rentetan kenyataan 1MDB untuk mencairkan aset mereka tanpa perbincangan terbuka dan telus.

Rakyat juga tahu maksud ‘dijamin kerajaan’ menjadi isyarat bahawa kerajaan akan melakukan beberapa siri gelombang aktiviti merompak duit rakyat lagi dan ia bermula dengan ;
  1. Penarikan subsidi gula, minyak
  2. Perlaksanaan GST
  3. Ingin menggunakan wang KWSP
  4. Memperalat THP untuk menyelamat 1MDB secara sah hitam putih.

Ternyata rakyat yang menjamin hutang 1MDB!

Dalam web 1MDB ada tertera bahawa 1MDB merupakan syarikat ‘berdikari’ dan hanya bermodal RM 1 juta sahaja. Ia menjadi bahan jenaka hari ini.

Kalau benar berdikari dan untung dalam memberi pinjam 2013 kenapa perlu kabinet pada 25 Februari meluluskan suntikan dana sebanyak RM950 juta kepada 1MDB sebagai stand by credit, malah sebanyak RM60 juta telah digunakandemikian didedah melalui jawapan Datuk Seri Ahad Husni Hanadzlah Menteri Kewangan II di Parlimen pada 12 Mac 2015.

Manakala ada beberapa kali permohon 1MDB untuk kabinet meluluskan dana didedah oleh Tun Mahathir.

Hari ini 1MDB berhadapan dengan hutang RM 42 bilion. Dalam mereka berhutang RM 42 bilion inilah mereka sedang berhadapan tindakan daripada 6 bank antarabangsa yang diketuai oleh Deutsche Bank yang meminjamkan sejumlah USD975 juta (bersamaan RM3.6 bilion) kepada 1MDB yang kini sedang usaha mengarahkan 1MDB membayar hutang itu lebih awal dari tempoh matang iaitu September 2015.

Rakyat juga layak tidak yakin atau curiga dengan sebarang urus niaga dengan 1MDB kerana punca pembayaran hutang lebih awal didesak 6 bank berkenaan adalah kerana aset -aset 1MDB yang dibanggakan sangat iu sebenarnya palsu iaitu:
Aset USD 1.103 bilion - Swiss Private Bank, BSI Singapura yang melibatkan anak syarikatnya Brazen Sky yang didakwa pihak Singapura bahawa CEO Brazen Sky mengeluar kenyataan palsu.

Kiranya di peringkat antarabangsa selain isu JLow, isu 6 bank ini membuktikan 1MDB adalah syarikat penipu. Kisah cara jual ubat gaya Do Re Mi adalah petua kejayaan bisnes mereka sejak awal lagi.

Mari kita perhalusi intipati hutang RM 42 bilion:
  1. RM3.6 bilion daripada 6 bank antarabangsa (cross default boleh dikenakan pada perjanjian jika 1MDB gagal bayar tuntutan 6 bank berkenaan iaitu 1MDB dianggap gagal bayar semua hutang dan perlu ditanggung kerajaan atau erti kata lain rakyat!)
  2. sukuk dan bon yang dibeli oleh Lembaga Tabung Haji, Takaful dll syarikat.
  3. Pinjaman daripada bank tempatan
  4. 1MDB berhutang RM 10 bilion untuk beli beberapa janakuasa

Persoalanya di mana untung perniagaan di Cayman yang kononnya tersimpan di Singapura?




PENANGAN 1MDB UMNO HANCUR ATAU RAKYAT TERUS TERIMA AKIBAT?


PENANGAN 1MDB UMNO HANCUR ATAU RAKYAT TERUS TERIMA AKIBAT?
Muhammad Nuruddin Bashah
Exco Penyelidikan
Bejat, fasad, korup, jahanam semua terkeluar dari bibir sesiapa sahaja yang faham isu skandal 1MDB. Isu ini dianggap pukulan maut yang boleh menjahanamkan politik UMNO, menggulung tikarkan parti tua yang dianggap gergasi politik paling lama dan angkuh.
Tidak cukup fasadkah ....
  • ....Jika 1MDB yang dibangga pada awalnya rupanya hanya syarikat yang memacu perniagaan dengan ‘hutang’ bukan dengan lebihan wang keuntungan dan sebagainya malah ia dijamin kerajaan walaupun ada ikhtilaf mengatakan kerajaan hanya menjamin hutang sukuk 1MDB RM 5.8 bilion?
  • ...Jika ingin mencairkan aset 1MDB sejumlah RM 51.4 bilion, Tabung Haji yang menjadi pilihan simpanan umat Islam dipilih dijadikan galang cagarnya?
  • ....Jika semasa 1MDB beri hutang (modal) kepada PetroSaudi (selepas tidak jadi joint venture) ada pula hutang 1MDB terhadap PetroSaudi sebanyak US 700 juta dan hutang ini dibayar pula 1MDB kepada PetroSaudi melalui kepada akaun Swiss Bank JH Low?
  • ....Jika pada awalnya Perdana Menteri mengaku dalam jawapan bertulis Parlimen mengatakan sejumlah wang AS$1.103 bilion yang dibawa pulang dari Pulau Cayman sudah ditebus dalam bentuk wang tunai dan disimpan dalam mata wang dolar AS di BSI dan kemudiannya mengakui tiada wang di Bank berkenaan?
  • ....Jika 1MDB berhutang RM 10.85 bilion untuk beli beberapa janakuasa tetapi sebenarnya kos ini lebih RM 2.5 bilion dari harga sepatutnya, kemana duit itu pergi?
  • ...Jika 6 bank dunia terpaksa menggesa 1MDB membayar hutang awal kerana mengeluar kenyataan palsu berkenaan aset mereka USD 1.103 bilion -dalam Swiss Private Bank, BSI Singapura yang melibatkan anak syarikat 1MDB Brazen Sky yang didakwa pihak Singapura bahawa CEO Brazen Sky mengeluar kenyataan palsu?
Ya 1MDB cukup menaikkan kemarahan bukan sahaja rakyat non partisan dan pembangkang malah yang mendokong Barisan Nasional juga amat marah. Marah pendokong BN ada dua ketagori:
Pertama : isu perkauman adalah mainan BN, boleh jadi bukan bangsanya yang mendapat laba maka isu 1MDB menjadi kemarahan mereka.
Kedua : Jika isu skandal wang zaman Tun Mahathir dan Tun Abdullah kurang menjadi kemarahan pendokong BN, kini berlainan kerana kelihatannya ia dibolot keluarga Najib dan Rosmah semata-mata. Dahulu mungkin labanya dikongsi bersama-sama.
Adakah kaum melayu berubah dengan isu semasa?
Jawapan mudah dan rambang tanpa perlu R&D yang mendalam boleh membuat keputusan bahawa kaum Melayu sukar meninggalkan UMNO atau sekurangnya mereka tidak mampu meninggalkan undi untuk UMNO kerana banyak faktor. Isu besar seperti kes Altantuya dan kezaliman terhadap mantap TPM juga masih belum ampuh membunuh rasa cinta Melayu terhadap UMNO.
Suka untuk penulis nyatakan isu 1MDB bukanlah satu-satunya isu kebejatan ekonomi di Malaysia.
Hingga saat makalah ini ditulis status hutang negara bagi tahun 2015 mencecah 63.8% (RM847.9 bilion) Daripada KDNK negara. Manakala hutang isi rumah di Malaysia sangat tinggi iaitu pada kadar 87.4% pada tahun 2015yang mana telah diangkat sebagai sebuah negara yang mempunyai hutang isi rumah yang paling tinggi di Asia. Pendokong UMNO masih tenang, yakin bahawa pimpinan keramat mereka mampu bermain silap mata lagi untuk menyelamatkan negara!
Jika sesiapa yang masih waras akan mengingati sejumlah besar isu kebejatan ekonomi di zaman pentadbiran sebelum ini untuk para pembaca nilaikan sendiri;
Zaman Tun Mahathir
  1. Penyuntikan modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan sebelum diambil-alih oleh bank milik Umno, Bank of Commerce lalu membentuk Bank Bumiputera Commerce (BCB).
  2. Pengambilalihan Celcom, sebuah anak syarikat TRI oleh Telekom
  3. Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian besar;
  4. Bank Negara mendakwa kerugian RM10.1 bilion pada 1992 dan RM5.7 bilion pada 1993.
  5. Penyelewengan RM40 juta wang PPRT.
  6. Kerugian pelaburan oleh Tabung Haji.
  7. Kerugian RM15 bilion di Bank Negara.
  8. Kerugian RM40 juta AIM.
  9. Kerugian LRT Putra dan LRT Star terpaksa dibail out dengan dana awam.
  10. Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS Berhad.
  11. Memaksa Petronas membeli saham Proton.
  12. Memaksa Petronas mengambil-alih Litar Sepang.
  13. Memaksa Danaharta menanggung segala hutang lapuk RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain;
  14. Pengambilalihan syarikat Umno, Renong dan UEM oleh kerajaan melalui Danaharta.
  15. Kemerosotan hasil keuntungan KWSP hampir RM600 juta pada tahun 2000.
  16. Pemilikan 200 syarikat oleh Mirzan Mahathir.
  17. Kes anak Ling Liong Sik yang memiliki harta RM1b ketika berusia baru 28 tahun.
  18. Penglibatan keluarga Daim Zainuddin dalam pelbagai jenis perniagaan.
Zaman Tun Abdullah
  1. kerajaan terpaksa menanggung bebanan bernilai RM4.6 bilion akibat kegagalan projek pembangunan Perlabuhan Klang Free Trade Zone (PKFZ). Ini sakndal terkenal zaman Pak Lah.
  2. Menyelamatkan kroni dan korporat besar sebanyak RM 11.0 bilion
  3. Penswastaan dan bail out kroni
  4. SCOMI dapat Membaikpulih 1500 gerabak keretapi KTM RM 50 juta. Bina 400 badan bas dari Syarikat Prasarana Negara bernilai RM 120 juta. Angkut 500,000 tan arangbatu sebulan kepada TNB mulai Oktober 2006, kontrak 3 tahun. Target projek monorail di Pulau Pinang RM 1.1 bilion. RM 1.5 bilion projek Petronas. 28 Dis 2005.
  5. Khairy Jamaluddin dilaporkan telah membeli saham ECM sebanyak 12.9 juta saham atau bersamaan 3% saham dengan harga RM 9.2 juta.
Pendek kata 1001 skandal ekonomi dan kewangan berlaku dalam pentadbiran Perdana Menteri UMNO -BN.
Namun kembali kepada isu 1MDB yang dikaitkan dengan pembolotan laba oleh keluarga Perdana Menteri Dato Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah yang menjadi punca utama kemarahan sejumlah besar pendokong UMNO-BN.

Krisis dalaman menajdi semakin menular sehinggakan Timbalan Perdana Menteri sendiri menjadi sasaran Perdana Menteri kerana ‘memandai-mandi’ mengajar beliau untuk memecat Ahli Lembaga 1MDB yang gagal menjawab persoalan rakyat berkenaan ketirisan, urusniaga yang tidak telus, terbuka, kehilangan dana yang amat besar atas nama individu dan terbukti Dato’ Seri Muhyidin Yasin tidak keseorangan apabila Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak serta adik kepada Datuk Seri Najib Razak mengatakan satu audit bebas sepatutnya dijalankan serta merta atau para ahli lembaga penharah 1MDB perlu dipecat.

Soalnya adakah UMNO akan musnah dengan isu seperti 1MDB ini?

Lihat sahaja PRK Pengkalan Kubor sebelum ini di saat kemuncak pelbagai isu besar umpama 1MDB, GST, TPPA dan pemborosan Rosmah. Ternyata PAS belum berjaya menambat ketagori pengundi ‘gagal dikenal pasti’ seramai 6671 orang. Malah boleh dikatakan sejumlah 78.5% pengundi yang tidak berpihak telah memilih BN bukannya PAS walaupun isu besar dimainkan jentera Pakatan Rakyat. Menurut analisa Wan Nik Wan Yusof ( Harakah 20-23 Okt 2014) keadaan PAS yang tidak popular di kalangan pengundi tidak berpihak serta gagalnya isu besar negara mempengaruhi mereka menjadikan mereka memilih BN.
Mazhab yang percaya Isu ekonomi termasuk 1MDB mampu menjahanamkan UMNO-BN
Dalam aspek skala kecil, boleh dikatakan isu ekonomi mampu menjejaskan undi terhadap UMNO-BN walaupun belum cukup ampuh untuk menenggelamkan terus BN.
Dalam Video tertutup Muhyidin mengakui bahawa isu 1MDB perlu segera diselesaikan kerana ia hanya menjadi liabiliti kepada kerajaan dan menyebabkan Umno tidak dipilih rakyat.
Sebelum itu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dari Umno bahagian Batu Kawan telah menggempar juak-juak UMNO bawahan di mana keberanian beliau membuat laporan polis berkenaan skandal 1MDB dengan beberapa persoalan yang dianggap oleh pihak 1MDB sebagai tidak berasas dari aspek perundangan. Namun usaha beliau pelru dipuji sebagai rakyat celik hak dan undnag-undang. Mungkin juga beliau amat sayangkan UMNO dan ingin menyelamatkan UMNO sepertimana Tun Mahathir.
Pemuda Umno Pahang mengakui isu Felda dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sememangnya dekat dengan hati anak muda yang memberi kesan kepada majoriti diperoleh BN pada PRK Parlimen Rompin sehingga mengurangkan 41 peratus majoriti BN1.
Penganalisis politik berpandangan bahawa penurunan undi majoriti BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin antaranya disebabkan oleh isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, berlakunya undi protes dikalangan pengundi disebabkan mereka ‘terhimpit’ dengan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan mulai 1 April itu
Bagi Permatang Pauh juga majoriti YB Datin Seri Wan Azizah sebanyak 8841 adalah cukup banyak berbanding duit one off yang ditabur BN. Malah walaupun rakyat mendengar ugutan Menteri Pertanian untuk tidak membenarkan Presiden KEADILAN itu untuk memasuki lobi Kementerian Pertanian di Putrajaya, ditambahi isu konflik jentera pilihanraya, konflik dalaman Pakatan Rakyat, ternyata undi Melayu tetap meningkat kerana melayulah yang paling terkesan dengan GST.
Di Rompin undi melayu melonjak 10 peratus dengan hanya berbekal isu Felda, GST dan kos sara hidup. Di Permatang Pauh pula undi melayu meningkat 5 peratus.
Bermakna ada melayu sedar yang marahkan BN dengan undi mereka. Ribuah pengundi tegar UMNO menyorok di rumah enggan diangkut kereta BN sepanjang 2 PRK berkenaan kerana bencikan GST tetapi tidak tergamak memangkah PKR dan PAS. Hal ini bermakna masih ada peluang untuk PAS Kawasan memainkan peranan memahamkan rakyat.

Mazhab yang mengatakan UMNO tidak hancur hanya dengan 1MDB
Majoriti pengundi tegar UMNO berada di luar bandar. Kerajaan BN yang memiliki undi popular 47% amat memerlukan sokongan kaum Melayu luar bandar untuk terus hidup. Bukan sahaja isu 1MDB yang jauh daripada amalan harian mereka GST pun mereka tidak faham dengan betul. Malah ada jenaka mengatakan ada ditemui penduduk luar bandar menganggap GST sebagai salah satu one off payment sepertimana BRIM. Mereka bersyukur dengan GST!!
Misalnya apabila 1MDB gagal menjelaskan hutang RM 3.52 bilion daripada 6 Bank antarabangsa yang menuntut bayaran awal (disebabkan anak syarikat 1MDB menipu kenyataan asetnya di Bank Singapura) tahukah jemaah haji dan pencarum KWSP atau mana-mana GLC seperti Takaful akan mengurangkan dividen disebabkan impak ekonomi bencana 1MDB memandangkan GLC ini semua membeli sukuk daripada 1MDB. Adakah kemarahan jemaah ini akan menelengkupkan UMNO? Sukar dijawab disebabkan jiwa nurani Melayu sukar meninggalkan Pertubuhan Melayu berkenaan.
Penulis tidak terlalu optimis untuk beria menyorak kejahanaman UMNO hanya dengan isu-isu 1MDB yang rata-rata Melayu tidak mahu dengar dengan teliti. Isu TPPA yang bakal menggasak budaya Islam pun dipekakkan telinga, isu GST jika diusap, dipujuk berulang kali mungkin akan dilupakannya juga.
Walaupun diatas penulis telah nyatakan beberapa fakta mutakhir ‘mood’ rakyat membantah GST dan 1MDB dengan undi PRK, namun secara umumnya kaum Melayu masih kaku walaupun berhadapan isu besar tempatan dan global. Misalnya isu penghakiman DSAI, undi Melayu hanya berubah 20 peratus manakala jika berhadapan isu agama misalnya kalimah Allah, Melayu hanya bertindak 10 peratus mengubah sokongan.
Berapa ramai marah dana awam diperguna kerajaan?
Belum ramai rakyat pendalaman faham (walaupun bakal pesara yang sedang berkhidmat dalam kerajaan), betapa pindaan Seksyen 4A akan menjadikan KWAP ( Kumpulan Wang Amanah Persaraan) sebagai ejen kerajaan Malaysia. Mereka belum sedar bahawa wang berkenaan akan digunakan untuk bail out sejumlah besar hutang kerajaan dan syarikat kroni seumpama 1MDB.
Para petugas penerangan perlu menterjemah perbahasan ini secara terperinci kepada masyarakat akar umbi kerana peratusan rakyat yang marah dengan isu ini boleh dikatakan masih tahap sederhana.
Penulis nayatakan di bawah sejumlah besar aktoviti penggunaan dana awam untuk menutup hutang/kerugian kapitalis;
  • Pada Mac 2000 kerajaan arahkan petronas membeli 27.2 % saham proton iaitu sebanyak RM 1.033 bilion untuk menyelamatkan Proton.
  • Kerajaan arahkan Petronas mengambil alih Litar Sepang yang tidak bermanfaat mana pun untuk rakyat pendalaman yang tegar menyokong UMNO.
  • Dana Harta ditubuhkan untukmelangsai hutang RM 39.3 bilion milik Bank Bumiputera, Sime Bank dan 66 perbankan lain.
  • KWSP pernah dirah untuk menanggung projek LRT Putra, meminjamkan RM 3 bilion untuk menubuhkan Felda Global venture (milik melayu pendalaman yang kini kian rugi merudum).
  • Khazanah Nasional menjadi kambing hitam dipaksa mengambil 100% saham MAS pada tahun 2014 kerana MAS telah hidup segan mati tidak mahu.
Sebilangan besar hal ini berlaku pada pentadbiran Tun Mahathir namun selepas diperkenalkan Mr Clean, BN menang besar semula dalam PRU 2004 memandangkan Melayu mudah lupa atau tidak faham pun erti dana awam disalahguna serta impaknya kepada masa depan negara.
Melayu mudah layu dengan one off payment...
Tun Mahathir marah benar apabila Dato Seri najib masih istiqamah melancarkan BRIM dan pelbagai kosep one off payment untuk menyejukkan kemarahan rakyat rentetan pemansuhan subsidi dan kenaikan harga minyak.
Namun Perdana Menteri kita tidak bodoh sebaliknya terus menerus akan menggunakan taktik one off kerana Melayu akan cair semaksimanya apabila menerima pemberian one off. Lantaran itu penulis percaya one off akan digandakan lagi memandangkan sasaran GST begitu mudah dicapai kerajaan maka kerajaan mampu berbelanja kecil untuk mententeramkan rakyat. Maka hilangah isu isu besar di ingatan rakyat.
Melayu mampu dipujuk dengan agenda Islamisasi mee segera
Program Ya Hanana, Kedah Berselawat, Perak Berselawat atau apa sahaja program islamisasi bersifat ‘fadhail’ amat berkesan menutup perhatian rakyat terhadap isu besar seperti 1MDB.
Ini bukan suatu ayat pasif atau jengkel, tetapi ia realiti. Lihat sahaja Dato Mukhriz yang siang malam naik masjid ke masjid, menyertai qiamualail dan menemui rakyat terutama pengundi kampung semata-mata untuk memenuhi lompang besar dalam UMNO selama ini iaitu mengabaikan Islamisme walaupun agenda Islamisasi pernah dijalankan oleh Mahathir ayahnya secara kerangka dan nama sahaja.
Mungkin Mukhriz mulai sedar disamping menguasai wang negeri dan kuasa menentu itu dan ini, menghampiri rakyat yang masih kuat berfahaman primordialisme adalah suatu tindakan bijak kerana mereka adalah pengundi yang kadangkala diabai-bicara dek kerana asyik mengejar undi apung, mengejar persepsi anak muda serta menarik undi kaum bukan Islam.

Politik Malaysia walau sehebat mana pembacaan politik cendiakawan di Malaysia, realiti masih berpusat kepada politik perkauman dan keagamaan walaupun kawasan bandar mulai menilai prestasi calon dan parti merentasi kaum dan agama. Agama sebagai salah satu elemen primordial Geertz (1963) menjadi penentu kepada budaya politik kaum di Malaysia2.
Muslihat Mahathir
Jihad Tun Mahathir adalah jihad membersih UMNO bukan menyelamatkan rakyat Malaysia. Mahathir tidak mahu UMNO hancur maka ditebalkan muka menegur dengan kasih sayang seorang bapa korupsi terhadap anak-anak didiknya dalam UMNO. UMNO hanya akan musnah jika pemimpin korup mematangkan korupsinya sehingga menjadi busung.
Lantaran itu Presiden PAS memberi kenyataan ala-ala ‘ikan pedukang melawan arus’ dengan mengatakan perlunya Najib kekal di kerusi Perdana Menteri untuk bertanggungjawab terhadap kerosakan 1MDB. Apabila soalan diajukan kepada Tun Mahathir, beliau mengakui bahawa is strategi PAS untuk melihat Najib kekal mentadbir sekaligus menenggelamkan terus kapal UMNO-BN.
Penulis secara peribadi amat bersetuju dengan kenyataan dan konsep fikir Tuan Guru Presiden. Jika setiap kepincangan yang dilakukan kita berkempen tukar kepimpinan seolah-olah kita membantu UMNO kekal memerintah dengan idea Mr Clean dalam setiap pertukaran Perdana Menteri. Inilah kebijaksanaan Presiden kita.
Disebalik isu besar 1MDB apa perlu kita buat?
Jentera pilihanraya dan Penerangan PAS di akar umbi perlu mengambil berat isu ini. Mereka perlu fahamkan isu ini sebelum mereka memahamkan rakyat. Terlalu ramai mengambil mudah untuk tidak meneliti isu ini, artikel di Harakah dan Keadilan pun tidak dibaca dengan tekun inikan pula ingin memahamkan rakyat sekaligus menelengkup bahtera UMNO-BN.

Hari ini rakyat inginkan pemimpin altenatif yang cakap serupa bikin. Ada kawasan tertentu telah memiliki calon bayangan yang diset sebagai pegawai khidmat masyarakat DUN dan Parlimen. INi kerja bijak. Teruskan mendekati dan membantu rakyat lebih awal disamping memahamkan rakyat isu besar-besar yang jauh daripada kain mereka.

Hari ini juga rakyat menilai calon dan bersedia mengubah undi berdasarkan Politik performance. Prestasi calon, prestasi jentera, prestasi khidmat masyarakat, prestasi penceramah umum perlu diperkemas, diperelok agar rakyat lihat ‘produk’ yang kilang kita (PAS) hasilkan. Jangan sekadar hebat berhujah dalam isu konflik dalaman, untuk berhadapan rakyat menerang isu tidak pula bersungguh-sungguh.

Tangani isu rakyat berasas konsep al hudhur al muathir mengikut waqi’ dan sasaran rakyat agama, bangsa, negeri, adat setempat. Petugas PAS perlu menjadi pihak yang dinanti, diperlukan, disayangi dan dihormati.

Isu besar perlu diberi impak kefahaman yang mendalam pada aras pertengahan sebelum menjelang PRU. Hal ini kerana rakyat akan mulai melupai intipati isu-isu besar berkenaan beberapa bulan selepasnya. Jika sesuatu lokaliti, UPU pernah diberi penerangan dengan baik, ia mudah untuk dicetus semula ketidakpuashatian, kemarahan rakyat terhadap penyelewengan BN apabila PRU menjelma.
Jika dengan isu besar seumpama 1MDB UMNO tidak hancur, kekal diundi, disayangi, maka yang hancur adalah rakyat dan masa depan mereka. Kalaupun UMNO tidak musnah dengan 1MDB sekurangnya kita melihat kapal tua itu semakin hari semakin karam bermula;
  • Undi BN hanya mampu peroleh 47% seluruh negara
  • Perlaksanaan cukai GST paling tidak popular sehingga iklan GST ditarik kesemuanya dalam TV
  • Isu 1MDB yang memalitkan peribadi keluarga Perdana Menteri.
  • Seleweng urus dana awam

Bandar Puteri Jaya
26 Mei 2015
7.35 malam
1 Sinar Harian 8 Mei 2015

2 Primordialisme adalah fahaman masyarakat yang mempunyai kecenderungan untuk berkelompok sehingga terbentuklah suku-suku bangsa. Pengelompokan itu tidak hanya pembentukan suku bangsa sahaja, tetapi juga berdasarkan ideologi agama dan kepercayaan.

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)