PENANGAN 1MDB UMNO HANCUR ATAU
RAKYAT TERUS TERIMA AKIBAT?
Muhammad Nuruddin Bashah
Exco Penyelidikan
Bejat, fasad, korup, jahanam semua
terkeluar dari bibir sesiapa sahaja yang faham isu skandal 1MDB. Isu
ini dianggap pukulan maut yang boleh menjahanamkan politik UMNO,
menggulung tikarkan parti tua yang dianggap gergasi politik paling
lama dan angkuh.
Tidak cukup fasadkah ....
- ....Jika 1MDB yang dibangga pada awalnya rupanya hanya syarikat yang memacu perniagaan dengan ‘hutang’ bukan dengan lebihan wang keuntungan dan sebagainya malah ia dijamin kerajaan walaupun ada ikhtilaf mengatakan kerajaan hanya menjamin hutang sukuk 1MDB RM 5.8 bilion?
- ...Jika ingin mencairkan aset 1MDB sejumlah RM 51.4 bilion, Tabung Haji yang menjadi pilihan simpanan umat Islam dipilih dijadikan galang cagarnya?
- ....Jika semasa 1MDB beri hutang (modal) kepada PetroSaudi (selepas tidak jadi joint venture) ada pula hutang 1MDB terhadap PetroSaudi sebanyak US 700 juta dan hutang ini dibayar pula 1MDB kepada PetroSaudi melalui kepada akaun Swiss Bank JH Low?
- ....Jika pada awalnya Perdana Menteri mengaku dalam jawapan bertulis Parlimen mengatakan sejumlah wang AS$1.103 bilion yang dibawa pulang dari Pulau Cayman sudah ditebus dalam bentuk wang tunai dan disimpan dalam mata wang dolar AS di BSI dan kemudiannya mengakui tiada wang di Bank berkenaan?
- ....Jika 1MDB berhutang RM 10.85 bilion untuk beli beberapa janakuasa tetapi sebenarnya kos ini lebih RM 2.5 bilion dari harga sepatutnya, kemana duit itu pergi?
- ...Jika 6 bank dunia terpaksa menggesa 1MDB membayar hutang awal kerana mengeluar kenyataan palsu berkenaan aset mereka USD 1.103 bilion -dalam Swiss Private Bank, BSI Singapura yang melibatkan anak syarikat 1MDB Brazen Sky yang didakwa pihak Singapura bahawa CEO Brazen Sky mengeluar kenyataan palsu?
Ya 1MDB cukup menaikkan kemarahan
bukan sahaja rakyat non partisan dan pembangkang malah yang mendokong
Barisan Nasional juga amat marah. Marah pendokong BN ada dua
ketagori:
Pertama : isu perkauman adalah
mainan BN, boleh jadi bukan bangsanya yang mendapat laba maka isu
1MDB menjadi kemarahan mereka.
Kedua : Jika isu skandal wang zaman
Tun Mahathir dan Tun Abdullah kurang menjadi kemarahan pendokong BN,
kini berlainan kerana kelihatannya ia dibolot keluarga Najib dan
Rosmah semata-mata. Dahulu mungkin labanya dikongsi bersama-sama.
Adakah kaum melayu berubah
dengan isu semasa?
Jawapan mudah dan rambang tanpa
perlu R&D yang mendalam boleh membuat keputusan bahawa kaum
Melayu sukar meninggalkan UMNO atau sekurangnya mereka tidak mampu
meninggalkan undi untuk UMNO kerana banyak faktor. Isu besar seperti
kes Altantuya dan kezaliman terhadap mantap TPM juga masih belum
ampuh membunuh rasa cinta Melayu terhadap UMNO.
Suka untuk penulis nyatakan isu
1MDB bukanlah satu-satunya isu kebejatan ekonomi di Malaysia.
Hingga
saat makalah ini ditulis status hutang negara bagi
tahun 2015
mencecah 63.8% (RM847.9 bilion)
Daripada KDNK negara.
Manakala hutang
isi rumah di Malaysia sangat tinggi iaitu pada kadar 87.4% pada
tahun 2015yang mana telah diangkat sebagai sebuah negara yang
mempunyai hutang isi rumah yang paling tinggi di Asia.
Pendokong UMNO masih tenang, yakin bahawa pimpinan keramat mereka
mampu bermain silap mata lagi untuk menyelamatkan negara!
Jika sesiapa yang masih waras akan
mengingati sejumlah besar isu kebejatan ekonomi di zaman pentadbiran
sebelum ini untuk para pembaca nilaikan sendiri;
Zaman Tun Mahathir
- Penyuntikan modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan sebelum diambil-alih oleh bank milik Umno, Bank of Commerce lalu membentuk Bank Bumiputera Commerce (BCB).
- Pengambilalihan Celcom, sebuah anak syarikat TRI oleh Telekom
- Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian besar;
- Bank Negara mendakwa kerugian RM10.1 bilion pada 1992 dan RM5.7 bilion pada 1993.
- Penyelewengan RM40 juta wang PPRT.
- Kerugian pelaburan oleh Tabung Haji.
- Kerugian RM15 bilion di Bank Negara.
- Kerugian RM40 juta AIM.
- Kerugian LRT Putra dan LRT Star terpaksa dibail out dengan dana awam.
- Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS Berhad.
- Memaksa Petronas membeli saham Proton.
- Memaksa Petronas mengambil-alih Litar Sepang.
- Memaksa Danaharta menanggung segala hutang lapuk RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain;
- Pengambilalihan syarikat Umno, Renong dan UEM oleh kerajaan melalui Danaharta.
- Kemerosotan hasil keuntungan KWSP hampir RM600 juta pada tahun 2000.
- Pemilikan 200 syarikat oleh Mirzan Mahathir.
- Kes anak Ling Liong Sik yang memiliki harta RM1b ketika berusia baru 28 tahun.
- Penglibatan keluarga Daim Zainuddin dalam pelbagai jenis perniagaan.
Zaman Tun Abdullah
- kerajaan terpaksa menanggung bebanan bernilai RM4.6 bilion akibat kegagalan projek pembangunan Perlabuhan Klang Free Trade Zone (PKFZ). Ini sakndal terkenal zaman Pak Lah.
- Menyelamatkan kroni dan korporat besar sebanyak RM 11.0 bilion
- Penswastaan dan bail out kroni
- SCOMI dapat Membaikpulih 1500 gerabak keretapi KTM RM 50 juta. Bina 400 badan bas dari Syarikat Prasarana Negara bernilai RM 120 juta. Angkut 500,000 tan arangbatu sebulan kepada TNB mulai Oktober 2006, kontrak 3 tahun. Target projek monorail di Pulau Pinang RM 1.1 bilion. RM 1.5 bilion projek Petronas. 28 Dis 2005.
- Khairy Jamaluddin dilaporkan telah membeli saham ECM sebanyak 12.9 juta saham atau bersamaan 3% saham dengan harga RM 9.2 juta.
Pendek kata 1001 skandal ekonomi
dan kewangan berlaku dalam pentadbiran Perdana Menteri UMNO -BN.
Namun kembali kepada isu 1MDB yang
dikaitkan dengan pembolotan laba oleh keluarga Perdana Menteri Dato
Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah yang menjadi punca utama
kemarahan sejumlah besar pendokong UMNO-BN.
Krisis
dalaman menajdi semakin menular sehinggakan Timbalan Perdana Menteri
sendiri menjadi sasaran Perdana Menteri kerana ‘memandai-mandi’
mengajar beliau untuk memecat Ahli Lembaga 1MDB yang gagal menjawab
persoalan rakyat berkenaan ketirisan, urusniaga yang tidak telus,
terbuka, kehilangan dana yang amat besar atas nama individu dan
terbukti Dato’ Seri Muhyidin Yasin tidak keseorangan apabila
Pengerusi
Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak serta adik kepada Datuk Seri
Najib Razak mengatakan satu audit bebas sepatutnya dijalankan serta
merta atau para ahli
lembaga penharah 1MDB perlu dipecat.
Soalnya adakah UMNO akan musnah dengan isu seperti 1MDB ini?
Lihat sahaja PRK Pengkalan Kubor sebelum ini di saat kemuncak
pelbagai isu besar umpama 1MDB, GST, TPPA dan pemborosan Rosmah.
Ternyata PAS belum berjaya menambat ketagori pengundi ‘gagal
dikenal pasti’ seramai 6671 orang. Malah boleh dikatakan sejumlah
78.5% pengundi yang tidak berpihak telah memilih BN bukannya PAS
walaupun isu besar dimainkan jentera Pakatan Rakyat. Menurut analisa
Wan Nik Wan Yusof ( Harakah 20-23 Okt 2014) keadaan PAS yang tidak
popular di kalangan pengundi tidak berpihak serta gagalnya isu besar
negara mempengaruhi mereka menjadikan mereka memilih BN.
Mazhab yang percaya Isu ekonomi termasuk 1MDB mampu
menjahanamkan UMNO-BN
Dalam aspek skala kecil, boleh dikatakan isu ekonomi mampu
menjejaskan undi terhadap UMNO-BN walaupun belum cukup ampuh untuk
menenggelamkan terus BN.
Dalam Video tertutup
Muhyidin mengakui bahawa isu
1MDB perlu segera diselesaikan kerana ia hanya menjadi liabiliti
kepada kerajaan dan menyebabkan Umno tidak dipilih rakyat.
Sebelum itu Datuk
Seri Khairuddin Abu Hassan dari Umno bahagian Batu Kawan
telah menggempar juak-juak UMNO bawahan di mana keberanian beliau
membuat laporan polis berkenaan skandal 1MDB dengan beberapa
persoalan yang dianggap oleh pihak 1MDB sebagai tidak berasas dari
aspek perundangan. Namun usaha beliau pelru dipuji sebagai rakyat
celik hak dan undnag-undang. Mungkin juga beliau amat sayangkan UMNO
dan ingin menyelamatkan UMNO sepertimana Tun Mahathir.
Pemuda
Umno Pahang mengakui isu Felda dan cukai barangan dan perkhidmatan
(GST) sememangnya dekat dengan hati anak muda yang memberi kesan
kepada majoriti diperoleh BN pada PRK Parlimen Rompin
sehingga mengurangkan 41 peratus majoriti BN1.
Penganalisis politik berpandangan bahawa penurunan undi majoriti BN
di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin antaranya disebabkan oleh
isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).Pensyarah Universiti Utara
Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata,
berlakunya undi protes dikalangan pengundi disebabkan mereka
‘terhimpit’ dengan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan mulai 1
April itu
Bagi Permatang Pauh juga majoriti YB Datin Seri Wan Azizah sebanyak
8841 adalah cukup banyak berbanding duit one off yang ditabur BN.
Malah walaupun rakyat mendengar ugutan Menteri Pertanian untuk tidak
membenarkan Presiden KEADILAN itu untuk memasuki lobi Kementerian
Pertanian di Putrajaya, ditambahi isu konflik jentera pilihanraya,
konflik dalaman Pakatan Rakyat, ternyata undi Melayu tetap meningkat
kerana melayulah yang paling terkesan dengan GST.
Di Rompin undi melayu melonjak 10 peratus dengan hanya berbekal isu
Felda, GST dan kos sara hidup. Di Permatang Pauh pula undi melayu
meningkat 5 peratus.
Bermakna ada melayu sedar yang marahkan BN dengan undi mereka. Ribuah
pengundi tegar UMNO menyorok di rumah enggan diangkut kereta BN
sepanjang 2 PRK berkenaan kerana bencikan GST tetapi tidak tergamak
memangkah PKR dan PAS. Hal ini bermakna masih ada peluang untuk PAS
Kawasan memainkan peranan memahamkan rakyat.
Mazhab yang mengatakan UMNO tidak hancur hanya dengan 1MDB
Majoriti pengundi tegar UMNO berada di luar bandar. Kerajaan BN yang
memiliki undi popular 47% amat memerlukan sokongan kaum Melayu luar
bandar untuk terus hidup. Bukan sahaja isu 1MDB yang jauh daripada
amalan harian mereka GST pun mereka tidak faham dengan betul. Malah
ada jenaka mengatakan ada ditemui penduduk luar bandar menganggap GST
sebagai salah satu one off payment sepertimana BRIM. Mereka bersyukur
dengan GST!!
Misalnya apabila 1MDB gagal menjelaskan hutang RM 3.52 bilion
daripada 6 Bank antarabangsa yang menuntut bayaran awal (disebabkan
anak syarikat 1MDB menipu kenyataan asetnya di Bank Singapura)
tahukah jemaah haji dan pencarum KWSP atau mana-mana GLC seperti
Takaful akan mengurangkan dividen disebabkan impak ekonomi bencana
1MDB memandangkan GLC ini semua membeli sukuk daripada 1MDB. Adakah
kemarahan jemaah ini akan menelengkupkan UMNO? Sukar dijawab
disebabkan jiwa nurani Melayu sukar meninggalkan Pertubuhan Melayu
berkenaan.
Penulis tidak terlalu optimis untuk beria menyorak kejahanaman UMNO
hanya dengan isu-isu 1MDB yang rata-rata Melayu tidak mahu dengar
dengan teliti. Isu TPPA yang bakal menggasak budaya Islam pun
dipekakkan telinga, isu GST jika diusap, dipujuk berulang kali
mungkin akan dilupakannya juga.
Walaupun diatas penulis telah nyatakan beberapa fakta mutakhir ‘mood’
rakyat membantah GST dan 1MDB dengan undi PRK, namun secara umumnya
kaum Melayu masih kaku walaupun berhadapan isu besar tempatan dan
global. Misalnya isu penghakiman DSAI, undi Melayu hanya berubah 20
peratus manakala jika berhadapan isu agama misalnya kalimah Allah,
Melayu hanya bertindak 10 peratus mengubah sokongan.
Berapa ramai marah dana awam diperguna kerajaan?
Belum ramai rakyat pendalaman faham (walaupun bakal pesara yang
sedang berkhidmat dalam kerajaan), betapa pindaan Seksyen 4A akan
menjadikan KWAP ( Kumpulan Wang Amanah Persaraan) sebagai ejen
kerajaan Malaysia. Mereka belum sedar bahawa wang berkenaan akan
digunakan untuk bail out sejumlah besar hutang kerajaan dan syarikat
kroni seumpama 1MDB.
Para petugas penerangan perlu menterjemah perbahasan ini secara
terperinci kepada masyarakat akar umbi kerana peratusan rakyat yang
marah dengan isu ini boleh dikatakan masih tahap sederhana.
Penulis nayatakan di bawah sejumlah besar aktoviti penggunaan dana
awam untuk menutup hutang/kerugian kapitalis;
- Pada Mac 2000 kerajaan arahkan petronas membeli 27.2 % saham proton iaitu sebanyak RM 1.033 bilion untuk menyelamatkan Proton.
- Kerajaan arahkan Petronas mengambil alih Litar Sepang yang tidak bermanfaat mana pun untuk rakyat pendalaman yang tegar menyokong UMNO.
- Dana Harta ditubuhkan untukmelangsai hutang RM 39.3 bilion milik Bank Bumiputera, Sime Bank dan 66 perbankan lain.
- KWSP pernah dirah untuk menanggung projek LRT Putra, meminjamkan RM 3 bilion untuk menubuhkan Felda Global venture (milik melayu pendalaman yang kini kian rugi merudum).
- Khazanah Nasional menjadi kambing hitam dipaksa mengambil 100% saham MAS pada tahun 2014 kerana MAS telah hidup segan mati tidak mahu.
Sebilangan besar hal ini berlaku pada pentadbiran Tun Mahathir namun
selepas diperkenalkan Mr Clean, BN menang besar semula dalam PRU 2004
memandangkan Melayu mudah lupa atau tidak faham pun erti dana awam
disalahguna serta impaknya kepada masa depan negara.
Melayu mudah layu dengan one off payment...
Tun Mahathir marah benar apabila Dato Seri najib masih istiqamah
melancarkan BRIM dan pelbagai kosep one off payment untuk menyejukkan
kemarahan rakyat rentetan pemansuhan subsidi dan kenaikan harga
minyak.
Namun Perdana Menteri kita tidak bodoh sebaliknya terus menerus akan
menggunakan taktik one off kerana Melayu akan cair semaksimanya
apabila menerima pemberian one off. Lantaran itu penulis percaya one
off akan digandakan lagi memandangkan sasaran GST begitu mudah
dicapai kerajaan maka kerajaan mampu berbelanja kecil untuk
mententeramkan rakyat. Maka hilangah isu isu besar di ingatan rakyat.
Melayu mampu dipujuk dengan agenda Islamisasi mee segera
Program Ya Hanana, Kedah Berselawat, Perak Berselawat atau apa sahaja
program islamisasi bersifat ‘fadhail’ amat berkesan menutup
perhatian rakyat terhadap isu besar seperti 1MDB.
Ini bukan suatu ayat pasif atau jengkel, tetapi ia realiti. Lihat
sahaja Dato Mukhriz yang siang malam naik masjid ke masjid, menyertai
qiamualail dan menemui rakyat terutama pengundi kampung semata-mata
untuk memenuhi lompang besar dalam UMNO selama ini iaitu mengabaikan
Islamisme walaupun agenda Islamisasi pernah dijalankan oleh Mahathir
ayahnya secara kerangka dan nama sahaja.
Mungkin
Mukhriz mulai sedar disamping menguasai wang negeri dan kuasa menentu
itu dan ini, menghampiri rakyat yang masih kuat berfahaman
primordialisme
adalah
suatu tindakan bijak kerana mereka adalah pengundi yang kadangkala
diabai-bicara dek kerana asyik mengejar undi apung, mengejar persepsi
anak muda serta menarik undi kaum bukan Islam.
Politik
Malaysia walau sehebat mana pembacaan politik cendiakawan di
Malaysia, realiti masih berpusat kepada politik perkauman dan
keagamaan walaupun kawasan bandar mulai menilai prestasi calon dan
parti merentasi kaum dan agama. Agama
sebagai salah satu elemen primordial
Geertz (1963) menjadi
penentu kepada budaya politik
kaum di Malaysia2.
Muslihat Mahathir
Jihad Tun Mahathir adalah jihad
membersih UMNO bukan menyelamatkan rakyat Malaysia. Mahathir tidak
mahu UMNO hancur maka ditebalkan muka menegur dengan kasih sayang
seorang bapa korupsi terhadap anak-anak didiknya dalam UMNO. UMNO
hanya akan musnah jika pemimpin korup mematangkan korupsinya sehingga
menjadi busung.
Lantaran itu Presiden PAS memberi
kenyataan ala-ala ‘ikan pedukang melawan arus’ dengan mengatakan
perlunya Najib kekal di kerusi Perdana Menteri untuk bertanggungjawab
terhadap kerosakan 1MDB. Apabila soalan diajukan kepada Tun Mahathir,
beliau mengakui bahawa is strategi PAS untuk melihat Najib kekal
mentadbir sekaligus menenggelamkan terus kapal UMNO-BN.
Penulis secara peribadi amat
bersetuju dengan kenyataan dan konsep fikir Tuan Guru Presiden. Jika
setiap kepincangan yang dilakukan kita berkempen tukar kepimpinan
seolah-olah kita membantu UMNO kekal memerintah dengan idea Mr Clean
dalam setiap pertukaran Perdana Menteri. Inilah kebijaksanaan
Presiden kita.
Disebalik isu besar 1MDB apa
perlu kita buat?
Jentera pilihanraya dan Penerangan
PAS di akar umbi perlu mengambil berat isu ini. Mereka perlu fahamkan
isu ini sebelum mereka memahamkan rakyat. Terlalu ramai mengambil
mudah untuk tidak meneliti isu ini, artikel di Harakah dan Keadilan
pun tidak dibaca dengan tekun inikan pula ingin memahamkan rakyat
sekaligus menelengkup bahtera UMNO-BN.
Hari ini rakyat inginkan pemimpin
altenatif yang cakap serupa bikin. Ada kawasan tertentu telah
memiliki calon bayangan yang diset sebagai pegawai khidmat masyarakat
DUN dan Parlimen. INi kerja bijak. Teruskan mendekati dan membantu
rakyat lebih awal disamping memahamkan rakyat isu besar-besar yang
jauh daripada kain mereka.
Hari ini juga rakyat menilai calon
dan bersedia mengubah undi berdasarkan Politik performance. Prestasi
calon, prestasi jentera, prestasi khidmat masyarakat, prestasi
penceramah umum perlu diperkemas, diperelok agar rakyat lihat
‘produk’ yang kilang kita (PAS) hasilkan. Jangan sekadar hebat
berhujah dalam isu konflik dalaman, untuk berhadapan rakyat menerang
isu tidak pula bersungguh-sungguh.
Tangani isu rakyat berasas konsep
al hudhur al muathir mengikut waqi’ dan sasaran rakyat agama,
bangsa, negeri, adat setempat. Petugas PAS perlu menjadi pihak yang
dinanti, diperlukan, disayangi dan dihormati.
Isu besar perlu diberi impak
kefahaman yang mendalam pada aras pertengahan sebelum menjelang PRU.
Hal ini kerana rakyat akan mulai melupai intipati isu-isu besar
berkenaan beberapa bulan selepasnya. Jika sesuatu lokaliti, UPU
pernah diberi penerangan dengan baik, ia mudah untuk dicetus semula
ketidakpuashatian, kemarahan rakyat terhadap penyelewengan BN apabila
PRU menjelma.
Jika dengan isu besar seumpama 1MDB
UMNO tidak hancur, kekal diundi, disayangi, maka yang hancur adalah
rakyat dan masa depan mereka. Kalaupun UMNO tidak musnah dengan 1MDB
sekurangnya kita melihat kapal tua itu semakin hari semakin karam
bermula;
- Undi BN hanya mampu peroleh 47% seluruh negara
- Perlaksanaan cukai GST paling tidak popular sehingga iklan GST ditarik kesemuanya dalam TV
- Isu 1MDB yang memalitkan peribadi keluarga Perdana Menteri.
- Seleweng urus dana awam
Bandar Puteri Jaya
26 Mei 2015
7.35 malam
1
Sinar Harian 8 Mei 2015
2
Primordialisme adalah fahaman
masyarakat yang mempunyai kecenderungan untuk berkelompok sehingga
terbentuklah suku-suku bangsa. Pengelompokan itu tidak hanya
pembentukan suku bangsa sahaja,
tetapi juga berdasarkan
ideologi
agama dan kepercayaan.