Bukan anggota PERKASA

Bukan anggota PERKASA

Monday, August 24, 2009

Gelombang Kelab Penyokong PAS ke Permatang Pasir

Perjuangan PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional merupakan satu lonjakan amal yang mencapah, holistik dan menepati aspirasi sebenar dakwah Rasulullah.
Sejak dahulu lagi PAS perlu melonjakan lajnah ini. Melalui Kelab Penyokong PAS yang disebarluaskan, hari ini kita boleh melihat sendiri sebuah parti ISLAM, parti agama, memiliki sekuad kempen dari kalangan bukan Islam. Mereka gagah dan berkederat waja untuk menyarung bersama baju PAS/Islam menghayun lamgkah dalam cuaca hujan untuk berkempen di perkempungan Cina di Cross Street Permatang Pasir. Kami juga bersama Kelab Penyokong PAS menjelajah rumah ke rumah di pekan Permatang Pauh.
Bermula seawal 8.00 pagi kami telah berkumpul di Markaz Perak di Permatang Pasir dan kemudiannya bergerak ke Pekan Permatang pauh. Selesai ke sana kami juga membawa sahabat bukan Islma ke Markaz Utama Permnatang Pasir iaitu pejabat Allahyarham YB Hamdan sendiri. Saudara Hamdan Fadel (AJK LPN Perak), Saudara Man Kasut (Penyelaras Kelab Penyokong PAS Perak) Saudara Vincent Lee (Penyelaras Biro keahlian KPP Pusat) dan beberapa pemimpin Kelab Penyokong PAS Pusat, Saudara Shamsul(LPN Negeri Sembilan/ YDP TERAS N.9) telah menjayakan misi ini walaupun hujan lebat dan diuji dengan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan.
Di sana berkumpul sifu Lajnah Perpaduan Nasional Pusat iaitu YB DR Mujahid bersama Peguam Hanifa Maidin. Tidak ketinggalan juga saya berjaya merakam gambar Ustaz Idris Ahmad berbincang serius dengan YB Mahfuz.
Hampir 20% kawasan Cina di DUN Permatang Pasir dan kami menjelajah sehampir 99% rumah rumah di sana bersama bekalan maklumat, ramah tamah dan komunikasi hebat Kelab Penyokong di kalangan Cina.
Saya dapat merasakan dakwah sebenar dalam hal ini apabila jelajah kempen ini berjaya membawa akhbar Harakah ke tangan kaum bukan Islam. Bayangkan kandungan Harakah yang penuh dengan aspek Islam dan tazkirah Tuan Guru, ayat Al Quran (terjemahan) dan sebagainya berjaya dihulurkan kepada non Muslim. Inilah realiti dakwah yang saya idamkan sejak dahulu. Atas nama politik dan perjuangan keadilan mereka akhirnya berpeluang menliti aspek Islam dan dapat bergaul rapat dengan orang Islam. Ini juga tarbiah kepada penggerak PAS yang 'fobia' dengan kaum bukan melayu yang terbiasa selesa berdakwah sesama bangsa sahaja.
Abg Man Kasut (Mohd Saad) Taiping tetap hadir dan bersemangat walaupun beliau baru ditimpa musibah rumah dihayun ribut sehingga memusnahkan hadapan dan ruang tamu rumahnya. Tarbiah sebegini bukan dimiliki oleh semua manusia hatta yang mengikuti tamrin-tamrin sekalipun. Tamrin sebenar adalah tamrin secara langsung dari Allah SWT.

Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Penolong Setiausaha
Lajnah Perpaduan Nasional Negeri PAS Perak

Galeri Kempen Lajnah Perpaduan Nasional di Permatang Pasir

Muslimat bersama Vincent Lee
Bersiap bergerak

YB Mahfuz bersama Ustaz Idris
Vincent Lee

Celahan rumah Cina banyak anjing, saya jumpa jenis Rod Willer, aisey..garang!! bunyi serak basah....

YB Dr Mujahid....guru awal saya dalam LPN....

Di Kedai simpang 3

Abg Man Kasut..kekanda ku...

Yang kanan tu Shamsul (Pengerusi LPN N.Sembilan)

ramai-ramai gerak...


Ini muka saya......dari Balik Pulau ke Permatang Pasir terus balik ke Ipoh lepas buka puasa...

Saturday, August 22, 2009

Fitnah terhadap Tuan Guru Nik Aziz

Sahabat saya Abg Man Taiping (Man Kasut) iaitu Ketua Penyelaras Kelab Penyokong PAS Perak telah mendapat sms ini;

Sempena bulan Ramadhan yang akan tiba dan untuk menyemak status anda ke syurga dan neraka, saudara/i boleh telefon terus kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di talian 0199105555 ingat jangan tak talipon tau, nanti dkatakan kita tak percaya Tok Guru susahlah kalau dia tak sokong lagupun syurga kan Nik Mat ( bapa dia) yng punya. Dari no ini; 012 42 96365

Saya rasa ada baiknya sahabat sekalian cuba-cuba telefon penfitnah ini dan beri ‘ayat-ayat cinta’ kepada beliau….

Thursday, August 20, 2009

Usaha Transformasi Sosial dan Qariah di Perak


Usaha Transformasi Sosial dan Qariah di Perak


Perlancaran Gerakan Qariah Negeri Perak berjalan dengan lancar sebentar tadi di Dewan Besar Masjid Ipoh. Program ‘realiti’ ini diusahakan oleh TERAS dan CAP bersama Jamaiy Perak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak.



Besar harapan Cikgu Azmi untuk membina kampung atau Qariah mithali seluruh negara di mana hampir 8000 qariah rasmi telah sedia ada di seluruh negara.



Sebelum ini pernah Cikgu menghulurkan manual dan projek qariah contoh sebegini kepada saya semasa saya masih bekerja di Pulau Pinang. Malangnya selepas puas mempromosi manual berkenaan, ia dipandang dingin oleh masyarakat di kampung asal saya sendiri.
Tetapi manual tersebut kini diperluaskan dan dikembangkan untuk dipraktikan seluruh negara. Malah sebelum ini pun Cikgu Azmi telah berjaya menerapkan manual ini di selatan Thailand serta didokumentasikan.



Program ini mensasarkan 300 Qariah di Perak untuk diaktivismekan serta diperkembang potensi untuk menjadi medan penyelesai permasalahan umat, masalah sosial dan kemelesetan kehidupan. Menjelang tahun 2012 pula seramai 1500 Teman (aktivis Qariah) disasarkan untuk dilatih.


Mujur juga Jamai’y Perak (Jaringan Permuafakatan Pertubuhan Islam Perak) telah berjaya membuka Pusat latihan Jamai’y di Ampang. 5 hingga 6 September nanti akan diadakan latihan Penggerak sosial Jamai’y. Kemurahan hati Dr Khairudin (Pengerusi Jamai’y) untuk mengeluar dana RM 50000 dalam usaha membina Pusat latihan tersebut adalah satu jasa untuk agama yang tidak terbalas. Tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang Jamai’y dan Teras berjaya mengumpulkan ahli qariah dan ajk NGO-NGO Islam seluruh Perak untuk merealisasikan hasrat mulia ini.




Pandangan salah seorang peserta bengkel tadi berkenaan pemisahan sosial dalam masyarakat adalah suatu realiti yang pelru difikirkan bersama. Masyarakat hari ini yang dibatasi dengan pagar tinggi dan tembok tebal di rumah masing-masing menyebabkan gejala ketidakterlibatan berlaku. Peminggiran masyarakat yang berpendapatan rendah seperti penggali kubur, peniaga kecil dan petani berlaku secara berleluasa walaupun dilaungkan persamaan taraf semasa khutbah-khutbah Jumaat serata Qariah.



Program ini pastinya akan disusuli dengan pembinaan tahap pertama Skima gerakan qariah ini iaitu melalui pembinaan aktivis seramai 5 orang. Teknik nukleus dakwah seperti sunnah Rasulullah ini diharapkan berhasil melalui kesedaran wakil-wakil qariah tadi selepas dimotivasi melalui video penindasan dan kesengsaraan umat Islam serata dunia.

Muhammad Nuruddin Bashah
Ajk Media Jamai’y Perak

Wednesday, August 19, 2009

Khidmat Nisa' Diteruskan


Kerancakan kempen mahupun sebarang persediaan yang dilakukan untuk pilihanraya kecil N11 DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini tidak membantutkan aktiviti tetap Nisa’ Bayan Baru daripada terus diadakan. Sungguhpun sumbangan Nisa’ turut diperlukan bagi melancarkan aktiviti di Permatang Pasir, komitmen dan sikap saling membantu antara ahli memudahkan perjalanan aktiviti yang dirancang. Alhamdulillah.

Hujan turun renyai ketika ‘Smart Class’ seperti yang dijadualkan pada setiap hari Selasa dan Rabu berjalan semalam. Semuanya berjalan dengan lancar. Kehadiran adik-adik kecil ke ‘Smart Class’ jelas menunjukkan kesungguhan mereka untuk menyiapkan kerja sekolah dengan dibantu oleh ustazah-ustazah (panggilan mereka pada ahli Nisa’ yang datang membantu). Rata-rata yang datang semalam menyiapkan pembetulan ujian yang baru berlalu ataupun membaca buku sebagai persediaan untuk menduduki ujian bulanan yang akan datang. Mana yang tidak faham terjerit-jerit memanggil, "Ustazah!Ustazah!", minta datang membantu.
Mengajar mereka sebenarnya mengingatkan diri pada adik sendiri. Mengajar, marah kerana sayang. Mudah-mudahan usaha membantu adik-adik ini diberkati dan adik di rumah juga menerima guru yang baik. Bak kata orang, 'kita ajar anak orang baik-baik, nanti ada orang yang ajar anak kita baik-baik juga.'

Malam ini adalah malam terakhir ‘Smart Class’. Kelas ini belum tamat tetapi dihentikan buat sementara waktu. Minggu depan pelajar bercuti dari bersekolah dan bersempena bulan Ramadhan yang menjelang, ‘Smart Class’ turut ditangguhkan. Pesan untuk adik-adik semalam, puasa biar penuh sebulan!


Wardah bt Abdul Rahman
Nisa' Bayan Baru

Tuesday, August 18, 2009

Sidang Dun huru hara?

Pemikiran negatif Zambry bahawa pkatan rakyat ingin membuat huru hara pada 2 September ini kerana ingin membuat sidang DUN mengambarkan beliau berada dalam keadaan gelabah.

Bagaimana mungkin beliau sebagai 'Menteri Besar' tidak sedar bahawa sebegitu lama tidak diadakan sidang DUN sejak kes rampasan kuasa di hadapan raja Nazrin tempoh hari?

Tidak dapat tidak belanjawab tahun hadapan memerlukan pengesahan DUN untuk dilaksanakan. Apa akan jadi kepada negeri Perak jika tiada untuk belanjawan tahun depan?

Pakatan rakyat cuma mengikut Undang-undang Tubuh negeri. Tiada huru-hara yang PR lakukan semenjak akurnya DAP untuk menerima YAB Dato Seri Nizar sebagai menteri Besar. Penerimaan itu satu perinsip keluhuran undang-undang yang PR praktikkan di Perak.

Sidang di bawah pokok juga adalah mengikut undang-undang. Tetapi bagi Zambry ia adalah huru hara.

Muhammad Nuruddin Bashah

Seruan untuk NGO-NGO : bersamalah ke Permatang Pasir

Seruan kepada NGO-NGO
Turunlah ke Permatang pasir...bantulah PAS bertanding di sana. Sebarkan juga agenda dan perjuangan sosial anda yang semestinya bermanfaat untuk semua.
Pakatan rakyat adalah ladang subur untuk anda merealisasikan kerja amal anda.
Bersatu tenaga dan fikrah di sana...

Pilihanraya kecil, lanjutan ke arah revolusi rakyat

Artikel ini telah disiarkan di dalam Harakah edisi Jumaat, 4-6 Sept 09
Plihanraya kecil di Permatang Pasir dimulakan dengan momentum ribuan penyokong Pakatan Rakyat berkumpul terutamanya ahli PAS dari seluruh negara di hari penamaan calon hari ini. Dengan kerapnya berlaku pilihanraya kecil seluruh negara semenjak perubahan gelombang politik rakyat Mac 2008 lalu, menyebabkan terlalu ramai pihak ingin membuat spekulasi sendiri mengapa dan apa kesannya kepada rakyat, suasana politik atau landskap sikap masyarakat kita.

Saya menyedari ada satu faktor atau satu aspek mengenai hal ini. Pilihanraya kecil yang berlaku ini adalah hikmah daripada Allah SWT yang menciptakan kita semua. Ia adalah suatu anugerah untuk kita menggerakkan revolusi rakyat di negara ini melalui pelbagai aspek yang melibatkan aspek paradigma, tanggapan/persepsi, kecenderungan dan budaya politik. Hal ini bakal menyumbang saham positif kepada perjuangan menghapuskan kezaliman di bumi Malaysia.

Kebanyakan asbab semua pilihanraya berlaku adalah akibat kematian atau perletakan jawatan oleh YB di kawasan Pakatan Rakyat (PR). Walaupun tanpa wang, PR tetap bersedia bertanding sekaligus mempertahankan kawasan mereka. Jika diimbas sekali lalu mungkin kelihatan PR semakin bongkak dengan kejayaan atau takjub dengan kemenangan domino mereka. Namun begitu, dalam aspek mikro sosial yang lebih mendalam kita dapat melihat juga bagaimana sokongan tehadap PR semakin dahsyat dan marak tanpa sesiapa boleh menghalangnya lagi.

Walaupun PR tiada ruang di media perdana terutamanya media elektronik tajaan kerajaan, namun akibat pesatnya kesedaran politik kesan daripada pilihanraya kecil yang terlalu kerap ini, media alternatif PR semakin efisien dan sihat. Perluasan media baru menggunakan teknologi real player, you tube, blog dan sebagainya memangkin kebangkitan ini.

Sepanjang berkempen, PR berpeluang membuat ceramah umum yang selalunya disekat oleh BN dan alat mereka iaitu polis. Di sinilah peluang PR memanaskan semula isu kezaliman yang dilakukan oleh BN, segala penyelewengan yang berlaku serta medan utama untuk menjawab tomahan murahan ala ‘ad-hoc’ yang BN sediakan. Lihat sahaja isu ‘Derhaka’ dijawab mudah oleh Pakatan Rakyat di Bukit Gantang. Isu pembangunan ditolak lagi di Manek Urai. Kini isu ‘pengkhianat bangsa’ pula akan diwacana hebat secara kritikal di Permatang Pasir.

Pilihanraya kecil juga memainkan peranan melalui khidmat sosial yang amat ampuh. Lihat sahaja di Bukit Gantang baru-baru ini bagaimana NGO-NGO bersatu membantu PAS bertanding. Malah NGO tersebut memaparkan idea serta gagasan juang mereka sendiri di samping berkempen. TERAS, GMP, Women for Women dan Seniman Paksi serta Jamaiy Perak adalah antara NGO yang menghidupkan semangat sosial dan isu masyarakat di Bukit Gantang. Isu PPSMI disebar luas juga melalui kempen NGO bersama Lajnah Perpaduan Nasional di Bukit Gantang. Momentum ini berlarutan sehinggalah penghapusan terus dasar PPSMI baru-baru ini. Inilah ruang kerja politik yang bermanfaat.

Saya jamin, sekiranya PR benar-benar memainkan isu ISA secara konsisten di Permatang Pasir, demostrasi aman sebelum ini akan diteruskan auranya melalui kempen rumah ke rumah. Kuasa pilihanraya kecil bukan boleh dianggap enteng. Jika pilihanraya tidak efektif dalam perubahan dan perombakan sosial, mengapa pula sejak 1950an para ulama’ dan intelektual Melayu memilih pilihanraya sebagai manifestasi simbol sikap serta hasrat mereka? Inilah hikmah pilihanraya.

Tarbiah ahli PAS akan bertambah sepanjang pilihanraya kecil. Doa munajat, solat hajat dan tazkirah berkala akan diadakan di markaz-markaz setiap negeri. Mereka yang datang dari jauh berkorban masa dan wang ringgit untuk menyerah diri ditamrin melalui pilihanraya kecil. Muslimat bertungkus lumus menyebar bahan dan menyedikan makanan sekaligus mentarbiah diri mereka sendiri.


Jangan memandang rendah pilihanraya kecil. Ia adalah lanjutan untuk revolusi rakyat.

Muhammad Nuruddin Bashah
Pegawai Penyelidik dan AJK Lajnah Politik DPP Pusat


Monday, August 17, 2009

Polis biadab di Permatang pasir

Di bawah ni luahan perasaan sahabat saya melalui YM apabila melihat kekejaman polis!

mohd izzuddin (8/17/2009 11:08:27 PM): alhamdulillah...terbukti kebenaran. Lihat dalam buletin TV3 tadi, YB Padang Serai seolah-olah memukul polis2 disitu. Tetapi realitinya dalam full video di Youtube menghidangkan satu pembohongan nyata oleh TV3. YB dikasari dengan kejam oleh polis2 tersebut dan seluarnya dilondehkan. Dompet dicuri. Apakah budaya ini? Polis sejelek inikah yang dapat membela kita? Sama2 fikirkan...

saya baru sahaja menonton versi oenuh video berkenaan melalui GB.TV di kuliah politik PAS tambun sebentar tadi. dahsyat.

Ya Allah hapuskan kezaliman ini walaupun menimpa kepada kaum bukan Islam seperti kami....

Muhammad Nuruddin Bashah
Ipoh

Sunday, August 16, 2009

Pemerkasaan Kelab Penyokong PAS Perak: usaha dakwah siasah PAS

YB Mohd. Zainuddin Mohd.Yusof (Lubok Merbau) yang menerajui Lajnah Perpaduan Nasional PAS Perak memang benar-benar menumpahkan kepakaran dan karismatik beliau sebagai bekas pegawai kerajaan dalam kerja buat beliau sekarang. Buktinya, pendekatan aspek pra-mesyuarat(pre-council) yang diadakan telah meminimakan perbincangan remeh-temeh dari berlaku dalam mesyuarat sebenar. Saya menerima tempiasan aura pengurusan baru ini sejak berada di Perak ini. Sumbangan dan garapan idea dari perwakilan LPN seluruh Perak sebentar tadi (di pejabat Perhubungan Negeri Perak) menunjukkan PAS kini semakin menerapkan aspek profesionalisme dan pengurusan atur Lajnah yang SMART dan efesien.
Kelab Penyokong PAS (KPP) akan diperjuang sehingga menjadi Dewan Penyokong PAS. KPP ini telah berjaya menambat sebegitu ramai bekas ahli Gerakan termasuk MCA dan MIC untuk bersama menyokong agenda Islamik PAS. Malah ahli PKR dan DAP yang berminat dengan dasar PAS juga ada yang menyertainya.
Terharu saya apabila mendengar beberapa sahabat bukan Islam menyuarakan bahawa mereka sedia ditadbir secara Islam melalui pengurusan KPP! Inilah politik Islam. Siasah yang mendekatkan diri dengan golongan bukan Islam sekaligus menggalakkan interaksi dan pemahaman Islam secara benar dan absah. Konsep Rahmatal Lil Alamin diperluaskan dan diulang-ulang juga oleh kaum bukan Muslim dalam KPP.
Saudara Nazri Sahat adalah Setiausaha Lajnah ini di peringkat Negeri Perak dan saya adalah penolongnya di peringkat negeri dan di peringkat kawasan Gopeng. Nazri turut membantu YB Zainudin menyiapkan modul pengkaderan dan pentarbiahan untuk warga lajnah dan golongan peserta/ahli bukan Muslim. Banyak modulnya. Antaranya adalah modul memperkenalkan perjuangan PAS, dasar Islam dalam PAS, perbandingan agama (sekaligus menafikan tomahan PAS tiada kerja dalam dakwah kepada bukan Muslim), modul pemahaman budaya hidup Melayu, Cina, India, modul hak bukan Islam di Malaysia serta hak Islam di Malaysia, serta modul yang paling menarik perhatian saya adalah modul pemahaman antara aktiviti keagamaan (ritual) serta bezanya dengan aktiviti kebudayaan. Hal ini memudahkan orang Melayu memahami masyarakat lain melalui perspektif agama serta menggalakkan penglibatan dan keharmonian tanpa ada lagi simptom islamofobia.
Saya bercadang untuk membina modul tambahan iaitu modul menjawab tuduhan terhadap Islam serta mengenengahkan aspek bagaimana yang dikatakan sebagai penghinaan terhadap Islam. Aspek ini akan membantu bukan Muslim menghindarkan tindakan tertentu yang boleh mencarik sensitiviti umat Islam sekaligus menghalang perpaduan berlaku.
Jelas. Saya bersetuju dengan modul sebegitu kerana UMNO dahulu memanipulasikan kejahilan orang Cina dengan mengatakan PAS akan mengkhatankan mereka jika PAS berjaya berkuasa kelak. Orang Melayu dituduh syirik apabila membawa lilin sedangkan ia perkara biasa bagi orang Cina Muslim di China. Kejahilan ini perlu dimusnahkan melalui aktiviti pengkaderan dan pendidikan LPN yang bernas dan sihat ini. Saya merasakan jika hal ini dipraktikkan di negeri majoriti bukan Islam seperti Pulau Pinang dan Melaka, ia boleh membawa satu perubahan besar, iaitu politik mencerahkan Islam.
Terdapat juga modul memasyarakatkan ahli PAS melalui aktiviti NGO. Saya mendapat tahu Cikgu Azmi,Presiden TERAS sendiri akan menjadi mentornya. Tiada apa lagi yang dapat saya katakan selain modul tersebut pasti berjaya dengan sentuhan hemah dan wibawa oleh Cikgu Azmi kelak.
Saudara Nazri dan saudara Khalilul (Setiausaha Eksekutif Pejabat PAS) adalah individu yang banyak mengintegrasikan NGO dengan PAS serta menubuhkan banyak NGO yang menjadi sayap kanan dan kiri PAS Perak. Saya mulai belajar daripada mereka.
Moga Islam terus berkembang melalui tindakan futuristik, tersusun dan berstrategi yang kita bersama garapkan. PERAK boleh menjadi makmal bagi kajian perlaksanaan dakwah yang komprehensif sebegini.
Pada saya Lajnah Perpaduan Nasional paling layak menerajui agenda 1 Malaysia menggantikan UMNO.
Muhammad Nuruddin Bashah
Penolong Setiausaha
Lajnah Perpaduan Nasional PAS Perak.

Saturday, August 15, 2009

Saya baru diberi tanggungjawab sebagai penolong Setiausaha lajnah Perpaduan Nasioanal PAS Perak. Kemudian diminta juga bertugas sebagai Setiausaha lajnah Perpaduan Nasional PAS kawasan Gopeng.

Lajnah ini adalah lajnah yang amat saya minati. Bukan memilih-milih. Cuma jiwa lebih suka dan cenderung. Dahulu pernah menyumbang tenaga sebagai Pegawai penyelidik dalam Lajnah ini diperingkat Pusat di bawah kendalian Ustaz Mujahid. Cuma hal itu semasa saya masih belajar dan berkemungkinan kurang efisien.

Tugas penerangan mungkin akan diteruskan kerana pernah berpengalaman di Pulau Pinang tahun lepas. Insya Allah setiap ahli PAS perlu mainkan diri sendiri sebagai agen penerangan yang efektif.

Friday, August 14, 2009

Good Bye AUKU

Artikel ini telah disiarkan di dalam akhbar Harakah edisi Isnin, 17-20 Ogos 2009

Jeritan Hidup Mahasiswa berkumandang di hadapan DTC semasa selesai sahaja majlis konvokesyen sesi hari kedua di Universiti Malaya. Seperti biasa semua alumni sekolah-sekolah cina selalu riuh meraikan kemenangan sahabat mereka yang berjaya bergelar graduan di universiti bertuah ini. PMIUM bersama Pro M turut bersama meraikan senior-senior mereka yang berjuang atas nama mahasiswa sedar yang bukan sahaja dalam bidang akademik masing-masing malah juga dalam aspek perjuangan ‘hidup’ mahasiswa.

Sorakan good bye AUKU turut menarik perhatian saya. Good bye AUKU membawa makna yang cukup luas samada lega kerana lepas terhadap kongkongan AUKU yang menjerut kemampuan mahasiswa atau rasa lega kerana ruang untuk aktif berpolitik masa depan makin jelas.

Jelasnya mahasiswa terjerut dengan AUKU yang mengongkong mereka dalam mengartikulasikan idea dan minda mereka sebagai pemerhati fenomena negara, menilai situasi dan pengimbang politik. Jelasnya Parti mahasiswa Negara adalah manifestasi kepada hasrat membitarakan mahasiswa. Ia satu misi komprehensif.

Tetapi sayang juga apabila terlalu ramai mahasiswa yang ditakdirkan lepas dari AUKU tetapi mula akur dengan tekanan politik psikologi sendiri hingga ada yang sudah tidak kenal apa itu politik sebenar. Malah ada yang jika disebut politik, hanya terkerisin, malu mungkin kerana sudah lupa dunia politik.

Suatu ketika dahulu banyak kampus dan universiti di negara tertentu melatih mahasiswa menggunakan senjata dan teknik peperangan kerana negara mereka berperang dengan Amerika atau Soviet Union. Sekitar mereka menuntut mereka untuk berpolitik dengan AK 47 dan Bozooka motar.

Ini Malaysia. Menuntut keadilan dan perjuangan apa-apa misi baik kebajikan, ruang hidup dan nilai hidup yang lebih baik serta perjuangan Aqidah menghendaki kita menuntutnya dari pemegang politik negara. Ironi yang membelakangkan politik atas dasar ingin bebas hakikatnya tidak berada dalam persekitaran yang sebenar. Mungkin berisolisasi dalam teori yang mereka sendiri tidak fahami. Politik itu memegang dasar. Dasar ada yang disepakati dan ada yang diengkari oleh rakyat atas sebab musabab keadilan. Nah, politiklah ruang untuk bertegas-tegas.

Teringat saya dalam satu Forum mahasiswa di UM baru-baru ini. Dikotomi antara keperluan mahasiswa untuk bergerak dalam massa melalui politik atau obses kepada teori intelek semata-mata. Terfikir panjang saya bila menilai tajuk wacana sebegitu. Keduanya ada keterlibatan dan signifikasi mendalam. Tetapi saya tetap berpegang kepada dasar, mahasiswa perlu ke hadapan. Buku dan idea adalah pemegang dasar bukan rangka skeleton yang mengongkong pragmatik aksi dan plan tindakan. Mahasiswa perlu melancarkan idea yang unik bukan bergantung dengan pemboleh ubah sosial yang menjerut identiti mereka. Agak malang bila mahasiswa kadang-kadang terikut dengan mana-mana persepsi sehingga menenggelamkan persepsi mereka. Akibatnya kenyataan media atau suara mereka kelihatan tidak lagi ikhlas.

Jika ingin berpolitik, berpolitiklah sehingga akhir hayat. Jika suasana politik buka lagi demokrasi, maka lainlah pula rentak pencak yang perlu ditampilkan. Di kampus, mahasiswa wajib mengambil peluang belajar politik.

Muhammad Nuruddin Bin Bashah

Sunday, August 09, 2009

UMNO tidak layak bergelar pembela Islam

Artikel ini telah disiarkan di dalam akhbar Harakah edisi Jumaat (14-16 Ogos 2009)
UMNO tidak layak bergelar pembela Islam

Rentetan kenyataan kasar YB Jeff Oi terhadap Haji razali ahli majlis Perbandaran Pulau Pinang, Pemuda Umno pula mencabar Pemuda PAS yang selama ini ini mendakwa mereka memperjuangkan Islam supaya sama-sama menyertai pergerakan itu mengutuk penghinaan terhadap agama Islam oleh pihak-pihak tertentu dalam ceramah perdana yang akan diadakan di Shah Alam pada 14 Ogos.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata UMNO ingin melihat sejauh mana pendirian dan keberanian Pemuda PAS dalam mengutuk sikap lantang pihak tertentu termasuk rakan sekutu mereka DAP yang semakin berani menghina agama Islam kata mereka (sumber Bernama 7 Ogos 2009).
"Kita rela untuk sama-sama (PAS) pada hari Jumaat akan datang, tetapi terpulang kepada PAS .. sama ada mereka merasa hendak bangkit, hendak bersuara ataupun dihina oleh pihak berkenaan," kata Khairi ala pendekar membela Islam.
Sedarkah beliau, beliau bercakap atas pentas UMNO? Tulisan ini bukan berhujah secara ‘fallacy’, tetapi mengenal hakikat sebenar yang cuba ditampilkan dalam mengerti kalimah ‘membela Islam’.

UMNO bukan sebuah litar perjuangan yang berjuang untuk Islam. Jika benar, mengapa Tuan guru dan para ulama’ keluar daripada UMNO dan menubuhkan Persatuan Ulama’ Setanah Melayu pada 1951? Mengapa antara penasihat agama UMNO keluar menubuhkan PAS yang dianggap Khairi tidak cakna dengan isu penghinaan Islam. Di mana pemuda UMNO turun ke Palestin, Afghanistan, Uyghur untuk membantu masyarakat Islam di sana yang dihina, dicabul hak mereka, dibunuh. Mereka boleh sahaja turun ke sana membela Islam atas nama kerajaan, atas nama parti utama kerajaan dan pastinya kerajaan wajib member wang kepada mereka.

Suatu ketika dahulu, ada manusia yang berani mempertikai malah meminta Majlis Raja-raja membuang nama Islam pada nama pertubuhan Islam di Malaysia. Khairi perlu sedar, bukan PAS sahaja menggunakan nama Islam tetapi juga NGO seperti ABIM dan sebagainya. Walaupun mungkin JIM tidak menggunakan kalimah Islam, sebaliknya ‘islah’, namun domino daripada tindakan menghapus nama Islam akan member genctan dan kemerosotan kepada agenda dakwah gerakan Islam seperti JIM. JIM tidak terkecuali.
Siapa pula yang menghina hukum hudud, menyekat hukum hudud di Kelantan dan Terengganu, memperlekeh mahkamah Syariah melalui memorandum kepada Pak Lah juga melobatkan sekutu UMNO.
Perbuatan Jeff Oi mengkin perbuatan peribadi seorang non muslim yang kemudiaannya ditegur oleh pemimpinnya dan kembali menarik kenyataan beliau. Malah beliau adalah golongan bukan Islam yang mungkin terjebak dengan idea islamophobia.
Saya tidak menyokong langsung tindakan Jeff malah tindakan tersebut merugikan perjuangan menghapus korupsi di Pulau Pinang serta merencatkan agenda perpaduan dan keadilan rakyat di sana. Kenyataan beliau terhadap Haji Razali akan menimbulkan bibit ketidakpercayaan masyarakat melayu Islam terhadap pentadbiran DAP. Namun sekurangnya Jeff hanya mengeluarkan kenyataan berbaur prejudis kepada umat Islam yang dikatakan ekstrim dengan optimisme sistem syariah Islam. Beliau mengeluar kenyataan yang mencerminkan Islamofobia di kalangan bukan Islam. Hal ini adalah simptom negetif yang melanda serata dunia akibat sekularisasi dan agenda ‘counterterrorist’ tajaan Bush suatu ketika dahulu. Sekurangnya beliau adalah Cina bukan Melayu seperti UMNO.
YB Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong (DAP) membuat kenyataan didalam akhbar 'The Sunday STAR' bertarikh 2 Ogos 2009 mukasurat N.12. Didalam kenyataannya, YB Ooi melemparkan kritikan hebat kepada Sdr. Mohd. Razali bin Abdullah, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang daripada PKR.YB Ooi menuduh Sdr. Mohd. Razali sebagai "Muslim extremist" kerana menjadi ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang mempunyai misi "to develop Malaysia into a country which fully adopted Syariah law by 2020" (membentuk Malaysia sebagai negara yang menerima pakai undang-undang Syariah sepenuhnya menjelang tahun 2020). YB Ooi mendesak "the council should not allow "a religious extremist" in its administration" (pihak majlis tidak sepatutnya membenarkan seorang ekstremis agama (Islam) didalam pentadbirannya)
JIM Pulau Pinang serta FORUM (Forum Gabungan NGO Islam Pulau Pinang) telah menghantar bantahan terhadap beliau malah beliau telah menarik kembali kenyataan media beliau. YB Zulkifli Nordin juga ada membuat kenyataan akhbar membantah kenyataan beliau.
Pemuda UMNO teringin menjadi pahlawan dalam isu ini kerana mereka hanya berani menghentam ‘musuh Islam’ di kalangan bukan Islam. Mereka tidak sedar dasar mereka sendiri telah banyak mengecewakan para alim ulama’ kita sejak sebeleum merdeka hingga kini. Khairi mendokong parti yang jelas menghina hudud iaitu hukum Islam secara langsung. Khairi berada dalam parti orang melayu yang dikaitkan dengan Artikel 160 iaitu melayu adalah Islam. Sebagai Islam, mereka bukan sekadar memusuhi bukan Islam yang fobia dengan Islam, tetapi perlu menegur pemimpin-pemimpin mereka yang menghina Islam, raja melayu dan institusi syariah di Malaysia. Malah persidangan UMNO meletakkan naskhah Al Quran di atas meja dalam masa yang sama pesertanya tidak menutup aurat. Ini juga adalah penghinaan terhadap Islam.

Jika benar membela Islam, silalah bantu Pemuda PAS mengubah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 agar ia memberi ruang luas untuk hukum Hudud dijalankan di Kelantan. Jangan hanya menangguk di air yang keruh.

Muhammad Nuruddin Bashah
Pegawai Penyelidik dan AJK Lajnah Politik DPPP

PAPAN TANDA

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk
Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)