Sunday, September 29, 2013

Upah Perunding Asing; Tanda BN Tidak Mampu Tadbir Negara


Upah Perunding Asing; Tanda BN Tidak Mampu Tadbir Negara

Inferior, lemah self esteem atau westomania, itulah antara ungkapan yang boleh diberikan kepada pemimpin Malaysia yang galak mengupah konsultan luar untuk membuat beberapa polisi dan dasar di negara kita.
Bertepatan dengan pandangan Presiden MAPIM Tuan Haji Azmi Abd Hamid, apabila   diumumkan di Parlimen bahawa Kementerian Pendidikan melantik  sebuah syarikat perunding McKinsey and Co dengan bayaran RM20.56 juta untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia  ianya boleh dianggap suatu skandal besar yang melibatkan halatuju tarbiah dan pengacuan minda intelek dan sahsiah anak-anak Malaysia!

Ia bukan suatu hal yang remeh atau boleh diambil ringan.

Apakah itu konsultan dan mengapa perlu mengupah konsultan? Konsultan atau perunding diperlukan jika sesuatu perkara atau projek memerlukan kehendak-kehendak piawaian tertentu yang hanya mampu dilakukan leh perunding atau konsultan yang terlatih (certified). Jika ianya tidak memerlukan piawaian tertentu di peringkat antarabangsa sepertimana menyediakan halatuju pendidikan negara sendiri yang berdaulat, mengapa perlu menghulur sampul wang kepada konsultan barat yang jelas mengalirkan wang keluar negara.

Saya sertakan senario ringkas. Jika di kilang, jika pihak Jabatan Penyelenggaraan (maintenence) mampu menyediakan sesuatu projek, baikpulih atau pemeangan mesin baru tanpa memerlukan konsultan, pihak ketiga yang sediakan ia adalah KPI terbaik untuk jabatan berkenaan. Tetai jika ada pengurus penyelenggaraan hanya tahu mengeluar quotation (sebut harga) hanya tahu mencadang pihak ketiga tertentu untuk selesaikan tugasnya, pengurus berkenaan jelas tidak efisyen atau lebih bahaya beliau telah korup.

Isu konsultan atau perunding atau isu pihak ketiga sama juga dengan isu peraih. Peraih ikan atau peraih hasil tani misalnya suatu ketika dahulu pernah menekik darah petani dan nelayan dengan harga jualan yang tidak munasabah. Hal ini menyebabkan kerajaan menyediakan FAMA, PERDA, MARDI untuk membantu mengurangkan pengaruh orang tengah dalam memasarkan hasil kerja rakyat bawahan. Malah kerajaan juga menggalakkan para penani untuk cuba mejual sendiri hasil mereka untuk mendapat keuntungan yang optima.
Bagitu juga dalam isu konsultan negara.

 Dalam hal pembelian kapal selam misalnya, korupsi seolah-olah cuba dilindungi sehingga generasi muda di kampus pun mulai ‘dangkal’, atau lemah otak sehingga tidak memahami isu korupsi dalam pembelian kapal selam negara. Pihak ketiga dalam pembelian kapal selam yang  melibatkan pembayaran RM 510 juta adalah tindakan kepimpinan lanun yang menghabiskan wang negara dan menggadai masa depan negara. Cuba menjadi hero dalam setiap pilihanraya dengan menabur wang jutaan ringgit, menjadi hero membantu jerung-jerung kepitalis aristokrat dengan memberi habuan komisyen itu dan ini, konsultan itu dan ini, adalah tindakan yang jelas merupakan sikap bermuka-muka, pragmatik atas kepentingan sendiri dan tidak menghiraukan kesan kepada sosio kehidupan rakyat akan datang.

Perdana Menteri kita berkata, transformasi sistem pendidikan yang sedang diusahakan Kementerian Pelajaran menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 perlu terus maju seiring dengan dasar transformasi negara. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 yang antara lain bertujuan menghasilkan satu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Adakah para pemikir di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi atau sekurangnya para profesor di Malaysia sudah kering akal, tiada produktiviti  atau lembap untuk menyediakan laporan yang dikehendaki oleh Perdana Menteri?

Tidak cukupkah peluang Kementerian Pendidikan mendapat khidmat nasihat antarabangsa daripada pakar-pakar seperti UNESCO, yang telah menyediakan laporan terperinci mengenai pembangunan kurikulum, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan, pendidikan guru, latihan dan pendidikan teknik serta pentaksiran murid?

Tidak cukup jugakah usaha Panel Dialog Nasional Pendidikan Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Dato’ Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin juga telah menyediakan laporan hasil daripada mesyuarat-mesyuarat Townhall yang telah diadakan di 14 negeri?

Malah tidak percayakah kerajaan BN dengan PEMANDU yang ditubuhkan oleh mereka sendiri dalam  melaksanakan Makmal Pendidikan dengan sokongan pasukan NKRA Pendidikan. Makmal tersebut kini diketuai oleh pakar-pakar tempatan daripada Kementerian Pendidikan termasuk daripada Institut Aminuddin Baki.
Menjemput perunding luar tambahan pula berkaitan dengan Yahudi seumpama APCO boleh juga dianggap mengundang penjajah dalam bentuk yang baru (neo-colony). Nampaknya sejarah tidak mengajar pemimpin kita untuk berhati-hati dengan agenda penjajah bentuk baru. Suatu ketika Francis Light atas nama peniaga KHTI dijemput ke Kedah sebagai perunding, konsultan mendamaikan konflik diRaja. Stamford Raffles juga dijemput atas alasan yang sama iaitu sebagai konsultan menyelesaikan konflik dalaman. 

Akibatnya penjajah menyekolahkan pemimpin kita. Perjanjian demi perjanjian dibuat atas nama nasihat dan konsultasi politik dan polisi. Dalam sedar atau tidak, api sekam penjajah terus menjarah tanahair Melayu sehinggalah tanah ini bergelar tanah jajahan British.

Cukup sahih jika rakyat skeptikal dan marah dengan pembayaran yuran konsultasi kepada syarikat seumpama APCO dan kini pula McKinsey and Co. Itu hak rakyat untuk menyoal justifikasi dan keperluan yang mendesak sehingga tangan Barat atau setidaknya air tangan Yahudi berhak menentukan imej, dasar dan polisi negara.

Jika ditinjau daripada sumber wikipedia McKinsey & Company ialah sebuah firma perundingan pengurusan sedunia yang tertumpu kepada penyelesaian isu yang berkaitan dengan pengurusan atasan. McKinsey berkhidmat sebagai penasihat kepada perniagaan, kerajaan dan institusi terunggul di dunia, serta diiktiraf sebagai firma yang terunggul dan paling berprestij dalam industri perundingan pengurusan.
Rakyat mempersoal dan juga mempertikaikan mengapa pula sebuah firma konsultasi bukan pakar pendidikan telah dilantik sedangkan kerajaan mempunyai ramai pakar yang mampu melaksanakan tugas tersebut.

Tidak ada apa yang mampu dibangunkan oleh McKinsey selagi tangan politik mencengkam kampus, kadar peruntukan penyelidikan daripada KDNK yang jauh lebih rendah berbanding negara lain, selagi mana agenda perkauman dimainkan di beberapa kampus payungan UMNO serta beberapa tindakan kegeringan intelek yang dilaksanakan oleh kerajaan BN. 

Kesimpulan yang mampu disemat adalah ketidakmampuan BN memerintah, membina polisi jangka panjang dan menyelesai permasalahan dalam jabatan-jabatan kerajaan jelas kelihatan dengan kehadiran konsultan asing ini. Kebergantungan dengan orang tengah dalam sebarang perundingan antara negara adalah petanda korupsi yang kian parah. Menggajikan konsultan Yahudi untuk menasihati imj negara adalah lambang sejarah pemimpin melayu menjemput penjajah berulang kembali.

Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Dewan Pemuda PAS Kaw Gopeng

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)