Kami mempersoalkan dan membantah penyertaan Malaysia dalam proses perundingan TTPA adalah kerana kita tidak perlu mengikatkan diri dengan mana-mana pihak untuk berdagang. Kita harus bebas mahu berdagang dengan mana-mana negara tanpa perlu terikat dengan perjanjian yang mensyaratkan negara kepada ikatan undang-undang.
Oleh kerana terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab dan banyak pula yang dirahsiakan , maka kami merumuskan perjanjian TPPA bukan suatu perundingan yang pro rakyat akan tetapi pro bisnes semata-mata yang lebih menguntungkan kuasa besar dan melanjutkan proses penjajahan semula negara ini.
Apabila TTPA merupakan perundingan yang penuh kerahsian sehingga para penggubal undang-undang negara iaitu ahli parlimen sendiri tidak mengetahui perincian dalam perjanjian yang bakal ditandatangani itu , kami berpendapat sudah sampai masanya suatu pengumpulan suara rakyat dilancarkan untuk menentukan semada rakyat mahu atau menolak TPPA.
Kami mendapati kerajaan nampaknya tidak peka dengan suara rakyat sedangkan rakyat berhak membantah kerana ia mempunyai implikasi besar kepada kehidupan mereka.
Kami dengan itu berpendapat referendum ini akan benar-benar menggambarkan kehendak rakyat terhadap isu TPPA dan kerajaan perlu mengambil sikap terbuka dalam hal ini.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM