Ulang
bicara ‘Struktur Asas Perlembagaan
Malaysia’ bukan tanda pemikiran sempit
Muhammad
Nuruddin Bin Bashah[1]
Mutakhir
ini pihak politik, NGO atau perseorangan yang mengutarakan isu kedudukan agama
Islam, bahasa Melayu dan Raja Melayu akan dimomok persepsi sebagai chauvinis melayu,
etnosentrik, jumud, tidak toleransi dengan kaum lain atau lebih parah dianggap
menunggang isu lapuk untuk keabsahan kedudukan kebudayaan kebangsaan yang
berteras melayu Islam.
Dari
mana datangnya peruntukan berkenaan kedudukan bahasa melayu, agama Islam, raja
melayu dan seangkatan dengannya itu? Benarkah ia hanya senjata untuk mengekal
kuasa orang melayu sahaja? Jangan hairan jika ada anak muda mulai ragu
kewujudan unsur ini walaupun mengenalpastinya mudah hanya dengan menekan ‘google’
sahaja.
Sebenarnya
apa yang mereka bahaskan atau hujahkan itu ada asas yang kuat dan bukan sekadar
mereka-reka naratif atau paradigma chauvinisme melayu untuk melegitimasikan
ketuanan melayu atau mengada-ngada hujah untuk cenderung kepada nilai Islam. Sebenarnya ia adalah ‘Struktur Asas Perlembagaan Malaysia
menurut perseptif Malaysia’ yang bercirikan melayu Islam serta Raja
Berperlembagaan.
Dalam
perlembagaan kita kesemua kandungan dalam Perkara 1 hingga 183 boleh dipinda
melalui sokongan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara sebelum ianya
disahkan oleh Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong melalui perkenannya. Namun 4
perkara yang berasaskan struktur asas
perlembagaan Malaysia tidak boleh diubah
melalui kuasa Dewan Rakyat atau Dewan Negara melainkan jika dipersetujui
oleh Majlis Raja-Raja dan Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong[2].
Perkara itu adalah perkara yang kerap diulang ucap oleh parti politik, NGO-NGO
tertentu iaitu ;
·
Kedudukan Agama
Islam,
·
Kedudukan Bahasa
Melayu,
·
Hak Keistimewaan
Orang Melayu dan pribumi (termasuk Sabah Sarawak)
·
Kedudukan
Raja-Raja Melayu.
Hak
dan ketetapan diatas bukan ditetap oleh parti melayu atau kelompok jumud
tertentu sebaliknya ia ditetap sejak pentadbiran Inggeris. Menurut, Prof
Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sesiapa yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara
153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak
istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami
Perlembagaan kerana hal ini sudah
ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi[3].
Memang
ada pihak yang menggunakan 4 elemen penting ini untuk membuat kenyataan hasutan
atau perkauman untuk mengherdik kaum lain. Namun reaksi Nurul Izzah Anwar
(semasa menjadi MP Lembah Pantai) menulis
dalam portal berita The Malaysian Insider bahawa idea 'hak orang Melayu' yang
dibawa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya satu gagasan ideologi
dan falsafah yang tidak berakar umbikan Perlembagan adalah komentar yang tidak
bijak dan tersasar jauh daripada subjek Pengajian Am STPM kita. Ramai pemikir
dan ‘politician’ aliran liberal dan sekularis mulai mahu mengikis unsur atau
semangat asas kerangka perlembagaan Malaysia yang berteras Melayu Islam.
Baik
mari kita teliti darimana asasnya British mengiktiraf 4 perkara yang menjadi
asas kerangka Perlembagaan Persekutuan itu?
Menurut
Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengarah
Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) :
lima
perkara pokok di bawah perlu difahami,
iaitu[4]:
1. Raja-Raja Melayu yang bertanggungjawab menandatangani Perjanjian Negeri 1948 dan
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
2. Perjanjian Negeri 1948 adalah asas
utama kepada sistem Perlembagaan moden
Kerajaan-Kerajaan Melayu (kecuali
Johor dan Terengganu
yang lebih awal memiliki Perlembagaan moden) dan
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
3. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948
dan Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu 1957 dikurnia dan dikuatkuasakan melalui kedaulatan sembilan
orang Raja-Raja Melayu (Negeri
Sembilan ditandatangani oleh Yang Di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar
Memerintah) yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu.
4. Kedaulatan
Raja-Raja Melayu bukanlah
ciptaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi bersusur-galur
daripada Kesultanan Melayu Melaka mengikut adat Melayu. (ini fakta yang tidak boleh dinafikan)
5. Perjanjian Malaysia 1963 pula terus
mengekalkan kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ke atas
Persekutuan yang dinamakan Malaysia.
Bukan
satu kerja mudah jika mana-mana parti politik mahu mendoktrin rakyat ‘melanggar’
4 peruntukan perlembagaan berkenaan.
Suatu
fakta lain yang mengabsahkan struktur asas perlembagaan Malaysia bercirikan 4 elemen itu adalah memahami
hakikat persekutuan Malaysia itu sendiri. Ketahuilah bahawa Persekutuan Malaysia asalnya tidak mempunyai apa-apa
seperti tanah dan tidak mempunyai
kekuasaan. Sebaliknya Persekutuan memiliki
tanah dan kekuasaan melalui kedaulatan
negeri-iaitu hasil daripada persetujuan
dan penyerahan kuasa oleh negeri-negeri. Menurut Prof. Madya Dr. Shamrahayu
binti Abd Aziz Perlembagaan Persekutuan
adalah dokumen perjanjian antara negeri-negeri[5].
Makan nilai tradisi negeri-negeri inilah yang dikekalkan dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Baiklah,
kadangkala kita melihat golongan kiri/liberal di negara ini menganggap
meminda atau mewacana untuk dirungkai 4
perkara perlembagaan itu mudah dilakukan seperti meminda akta. Mari kita lihat
bagaimana cara untuk meminda perlembagaan negara kita.
- Perkara
159 (4) menjelaskan bahawa sesetengah
perkara boleh dipinda dengan hanya memerlukan sokongan lebih 2/3 setiap
dewan, antaranya seperti sumpah dan ikrar taat setia, pemilihan dan
persaraan ahli Dewan Negara.
- Perkara
161 (E) menjelaskan sesetengah perkara
boleh dipinda, iaitu perlu mendapat sokongan 2/3 setiap dewan dan
dipersetujui oleh Yang di Pertua Negeri Sabah dan Sarawak bagi membabitkan
kepentingan Sabah dan Sarawak seperti bidang kuasa kerajaan negeri
dan kedudukan istimewa Bumiputera.
- Perkara
159 (5) menjelaskan bahawa perlu mendapat
sokongan 2/3 setiap dewan dan perkenan Majlis Raja-Raja yang membabitkan
perkara seperti kedaulatan Raja, kedudukan istimewa orang Melayu,
Bumiputera Sabah dan Sarawak, bahasa kebangsaan dan agama persekutuan.
Perkara
159 (5) inilah yang meresahkan sesetengah pihak yang galak
mewacana liberalisasi 4 tonggak utama perlembagaan negara itu.
Menurut
Prof Madya Dr Nazri Muslim dari Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia tidak
kira parti mana yang memerintah, walaupun kerajaan mendapat kerusi lebih dua
pertiga, selagi tidak diperkenankan Majlis Raja-Raja, pindaan terhadap Islam,
Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan Raja Melayu dan kewarganegaraan
tidak boleh dilakukan. Hanya isu ini akan kekal disentuh atau cuba diwacana
untuk menyatakan prinsip mereka yang
menolak unsur tradisi Perlembagaan, kebudayaan dan nilai sejarah atas nama
kebebasan, hak sama rata dan keadilan. Dalam ilmu propaganda ia adalah retorik
‘glittering generality’.
Bagi
pihak yang cintakan perlembagaan dan asas strukturnya, kita perlu fahamkan rakyat berkenaan Perkara 159 (5) ini
serta menangkis hujah dan ideologi liberalisme yang mahu membina generasi yang menolak asas keamanan negara
yang terbina sekian lama.
[1] Penulis adalah penulis sambilan
isu sosial, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan UM dan Ijazah
Sarjana Muda Pengajian Islam (Pnegurusan) OUM.
[2] Islam, Keistimewaan Melayu &
Pribumi, Bahasa Melayu & Kedudukan Raja-Raja Melayu Adalah Struktur Asas
Perlembagaan Malaysia https://www.samudera.my/islam-keistimewaan-melayu-pribumi-bahasa-melayu-kedudukan-raja-raja-melayu-adalah-struktur-asas-perlembagaan-malaysia-haniff-khatri/
[3] Khoo Kay Kim: Hak istimewa
Melayu tak boleh dipadam https://www.malaysiakini.com/news/142082
[4] jurnal QALAM International
Journal of Islamic and Humanities Research