Wednesday, June 17, 2009

Bakti Nisa' kawasan Bayan Baru melalui 'Smart Class'


Nisa’ kawasan Bayan Baru telah menganjurkan ‘Smart Class’ sebagai aktiviti tetap mingguan. ‘Smart Class’ ini telah bermula kira-kira 3 bulan yang lalu bertempat di Dewan Ria Flat Baru Uban. Konsep yang dibawa oleh ‘Smart Class’ ini seakan-akan kelas tambahan dengan beberapa orang ahli Nisa’ menjadi fasi kepada anak-anak penghuni flat di kawasan Batu Uban ini. Cuma kelas ini sebenarnya memberi penekanan kepada kerja sekolah yang perlu disiapkan oleh peserta kelas. Dalam masa satu setengah jam, bermula jam 8 hingga 9.30 malam setiap hari Selasa dan Rabu, mereka akan diawasi dan dibantu untuk menyiapkan kerja sekolah tanpa mengira subjek.

Setiap sesi kelas dihadiri lebih daripada 15 orang pelajar yang kebanyakannya bersekolah di sekolah rendah. Nisa’ dengan kapasiti yang ada akan ‘turun padang’ bergilir-gilir bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran kelas. Adik-adik ini akan menyiapkan kerja sekolah mereka di dalam kumpulan-kumpulan kecil dengan seorang ahli Nisa’ menjadi guru mereka.

Selain memberi ruang dan masa khas supaya adik-adik ini fokus menyiapkan tugasan mereka, Nisa’ juga mengambil peluang memberi dorongan dan semangat untuk mereka belajar. Doa belajar serta zikir munajat menjadi amalan setiap kali kelas bermula dan berakhir.

Saya berpeluang menghadiri ‘Smart Class’ ini semalam. Kelas ini baru disambung semula selepas 2 minggu bercuti sekolah. Pelbagai ragam boleh dilihat. Di pertengahan kelas, 2 orang ibu datang untuk mendaftarkan anak mereka. Masing-masing menyatakan rasa gembira dan penghargaan apabila mengetahui tentang ‘Smart Class’ yang dianjurkan Nisa’ untuk anak-anak penduduk di situ. Konsep kelas ini serta aktiviti yang dilakukan juga diterangkan dengan baik.

Secara peribadi, saya memandang baik usaha yang dilakukan oleh Nisa’ ini. Idea dan usaha ini perlu diteruskan memandangkan inilah salah satu wasilah atau cara untuk Nisa’ membantu dan mempelajari hidup bermasyarakat. Seperti mana slogan Nisa’, ‘Connecting Youth’, beginilah kesungguhan Nisa' dalam merealisasikan usaha menyatukan generasi muda melalui pendekatan yang berbeza.

Mungkin juga Nisa’ Bayan Baru akan menjadi pelopor kepada ‘Smart Class’ yang diadakan di kawasan-kawasan lain. Inilah bakti Nisa’ untuk agama dan anak bangsa khasnya.


* Sms dari K. Ain Akib (ketua Nisa’ kawasan Bayan Baru)-semoga urusan yang telah berlalu dan akan datang mendapat barakah daripadaNya..ameen.



Wardah bt Abdul Rahman
Unit Nisa’ News Network Bayan Baru
Pulau Pinang.

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)