Apa
Pentingnya Isu Pilihanraya Tempatan?
Muhammad
Nuruddin Bashah
Latar belakang isu
Terkini, Pengerusi Jawatankuasa
(Exco) Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Teja, menegaskan akan perlunya usaha
mengembalikan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Perak, serta ia
memerlukan kajian lanjut. Menurut beliau walaupun usaha mengembalikan pilihan
raya itu tidak disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) atau dalam
kerjasama kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN) ia wajar dikaji untuk
dilaksanakan.
"Pastinya, di bawah
portfolio saya, akan mengkaji semula sama ada dari segi perundangan,
praktikaliti, implikasi kewangan dan setakat mana kesediaan kita untuk
melaksanakan semula pilihan raya ini kerana saya rasa dalam jangkamasa panjang
ini (pilihan raya kerajaan tempatan) sesuatu yang patut kita laksanakan”[1].
Pilihan raya pihak berkuasa
tempatan (PBT) tidak pernah dilaksanakan sejak kerajaan Persekutuan
menggantungkan perlaksanaannya melalui undang-undang darurat pada tahun 1965. Namun
begitu usaha untuk menghidupkan pilihan raya PBT banyak digerakkan oleh DAP
sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi. Kerajaan Pulau Pinang sejak dari
dahulu menegaskan hasratnya untuk melaksanakan pilihan raya ini. Ia dihentikan
oleh kerajaan disebabkan antaranya
kekhuatiran ada kebarangkalian ia akan menyemarak ketegangan kaum, khususnya
tanggapan bahawa sesetengah bandar atau kawasan didominasi kaum tertentu.
Pendirian parti politik:
- Mohamad Sabu pada
Persidangan Pemimpin Pakatan Harapan meminta supaya negeri yang ditadbir
Pakatan Harapan menghidupkan semula pilihan raya Kerajaan Tempatan bagi
mengelakkan unsur penyelewengan[2].
- Presiden PAS, Tan Sri Abdul
Hadi Awang, Pilihan raya Majlis Perbandaran seperti yang diperjuangkan
oleh DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada
aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihanraya dalam jangka yang
sangat pendek. Apatah lagi apabila melihatnya dari aspek perkauman yang
boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara
penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar[3].
- Arveent Kathirtchelvan Ketua
Pemuda Sosialis PSM menyokong
kenyataan Pemuda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan yang menggesa kerajaan
untuk mengembalikan pilihanraya di peringkat wilayah dan kerajaan tempatan
di Kuala Lumpur. Parti Sosialis juga menekankan pemilihan demokratik untuk
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung[4].
- Dalam sidang Dewan Rakyat, Noh Omar (Umno- Tanjung Karang) berkata bahawa Umno Selangor juga menolak sebarang percubaan Zuraida bagi melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan[5].
Mari kita kenali jenis PBT.
Pilihanraya Tempatan diadakan
bertujuan untuk memilih wakil kerajaan tempatan. Antaranya Datuk Bandar, Yang
diPertua Majlis dan Ahli Majlis. Majoriti YDP atau datuk bandar PBT di seluruh
Malaysia dilantik dari kalangan Muslim atau banyak maslahah atau sekurang-kurangnya bukan ahli mana-mana
parti. Rasional pemilihan muslim dan bumiputera kerana banda dihuni oleh
pekerja awam majoritinya muslim dan mengurus bandar mesti mengikuti lunas-lunas
Islam untuk mengekalkan ketenteraman bandar.
Pihak berkuasa tempatan (PBT)
terbahagi kepada tiga kategori iaitu majlis bandar raya, majlis perbandaran dan
majlis daerah. PBT berkuasa dalam mengeluarkan lesen-lesen, mengenakan
cukai-cukai tertentu, merancang dan menguruskan bandar, membina
kemudahan-kemudahan awam, unit-unit perdagangan dan perumahan dan pelbagai lagi[6].
- Majlis bandar raya adalah
kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri yang mempunyai penduduk melebihi
500,000 orang dan mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM100 juta
setahun.
- Majlis perbandaran pula
adalah bandar utama atau pusat pentadbiran sesebuah negeri atau daerah
yang mempunyai penduduk melebihi 150,000 orang dan mempunyai pendapatan
sekurang-kurangnya RM20 juta setahun.
- Majlis Daerah adalah kurang
daripada di atas.
Apa rasional DAP mahukan
pilihanraya PBT?
- Rasional mereka adalah akan
berlaku salah guna kuasa. Alasan utama mereka pemilihan yang dilaksanakan
melalui lantikan kerajaan itu didakwa mengurangkan tahap akauntabiliti.
Dakwaan ini ada asasnya. Namun demikian, masalah ini boleh di atasi dengan
melantik wakil-wakil parti politik yang memerintah kerajaan negeri menjadi
anggota majlis PBT. Mereka boleh tampil secara jelas sebagai anggota
majlis yang mewakili parti yang telah dipilih melalui pilihan raya.
- Pada 1 November 2006, ahli
parlimen Seputeh , Teresa Kok Suh Sim mencadangkan di parlimen agar
pilihan raya kerajaan tempatan ini diadakan semula berikutan Ahli Majlis
Perbandaran Klang YB Datuk Zakaria Mat Deros yang membina rumah banglonya
di Kampung Idaman tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran
Klang pada 2006. Lebih buruk anak dan isteri beliau turut dilantik sebagai
ahli Majlis Perbandaran Klang. 7 ekar tanah di Shah Alam diluluskan oleh
MPK kepada Persatuan Badminton Selangor sedangkan beliau menjadi
pengerusinya. Pelan rumah tidak diluluskan.
- Hujah pro Pilihanraya PBT
juga mengatakan 101 daripada 192
negara di dunia mengadakan pilihan raya seumpama itu tanpa menghurai terperinci
suasana ekonomi, latar belakang penduduk dan fungsi kerajaan tempatan 101 negara
berkenaan.
Kekangan laksana :
- Menurut Datuk Dr. Asyraf
Wajdi Dusuki Parlimen hendaklah
terlebih dahulu meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Ini kerana
dalam akta ini, pemilihan Ahli Majlis akan dilakukan oleh kerajaan negeri,
bukan melalui sebarang bentuk pilihanraya[7].
Namun begitu DAP berhujah bahawa dalam Perkara 113(4), Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada SPR
untuk menjalankan pilihanraya lain daripada Pilihan Raya Umum. Konflik
perundangan ini terhenti disitu.
- Enakmen Pilihanraya Kerajaan
Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 dibawa dan diluluskan,
tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan memberi komitmen untuk
melaksanakan pilihanraya[8]
kerana Akta 171.
- Pilihan raya ini menyebabkan
orang ramai 'letih' , lebih banyak berpolitik dan membuang masa untuk
membicarakan perkara remeh-temeh . Kempen pilihan raya menjadi tumpuan dan
penggunaan wang mungkin berleluasa. Tiada jaminan prestasi perkhidmatan bertambah.
Jika diadakan sekalipun, prestasi perkhidmatan belum tentu dapat
dipertingkatkan[9].
- Sekiranya pilihan raya
kerajaan tempatan dilaksanakan setiap dua tahun, tumpuan untuk memberi
perkhidmatan kepada rakyat akan terjejas kerana terlalu banyak masa dan
tenaga ditumpukan untuk kempen pilihan raya[10].
- Menurut Dr Mohd Fathi Yusuf
, realitinya rakyat di Malaysia sudah diwakili
oleh dua orang wakil rakyat (parlimen dan DUN). Penambahan seorang lagi wakil
rakyat melalui pilihan raya PBT kelihatan berlebihan jika diambil kira jumlah wakil rakyat yang sedia ada dan juga tahap kadar pewakilan yang sebenarnya sudah tinggi di Malaysia.
- Kerajaan negeri di Malaysia adalah antara yang mempunyai bidang kuasa yang
paling terhad berbanding negera pengamal federalisme lain (DAP banyak merujuk negara luar), Jadi jika diwujudkan pilihan raya kerajaan tempatan, peranan dan fungsi pilihan raya peringat negeri (DUN) semakin tidak relavan.
- Bandar bukan milik penghuni
bandar itu sahaja malah milik semua penduduk di negeri berkenaan. Misalnya
Alor setar ia bukan sahaja milik insan yang memiliki rumah di Alor Setar
tetapi ia juga dihadiri orang Sungai Petani, Pendang dan Sik yang bekerja
di sana dan menghabiskan 12 jam di sana. Ini menyebabkan mereka akan
menerima polisi yang dibuat oleh PBT Alor Setar dan polisi itu dibuat
melalui penduduk Alor Setar sahaja. Inilah punca ketegangan yang bakal
berlaku dan pernah berlaku.
Firman Allah SWT:
إِنَّ
اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ
بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ
“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya
menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan
apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian
menghukum dengan adil
(Surah al-Nisa’: 58)
- Di bawah adalah senarai
bandaraya yang mana ia dihidupkan oleh multi bangsa. Antara kawasan yang
boleh bertukar datuk bandarnya adalah:
·
Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur :Peratusan penduduk
bumiputera: 45.9%
·
Majlis Bandar Raya Ipoh: Peratusan penduduk
bumiputera: 39.8%
·
Majlis Bandar Raya Petaling Jaya : Peratusan
penduduk bumiputera: 46.2%
·
Majlis Banda Raya Iskandar Puteri: Peratusan
penduduk bumiputera: 38.8%
·
Majlis Perbandaran Kluang:Peratusan penduduk
bumiputera: 47.1%
·
Majlis Bandar Raya Pulau Pinang:Peratusan penduduk
bumiputera: 33.7%
·
Majlis Perbandaran Teluk Intan:Peratusan penduduk
bumiputera: 38.8%
·
Majlis Perbandaran Subang Jaya:Peratusan penduduk
bumiputera: 42.3%
Sedangkan kaum bumiputera adalah
antara teramai menghidupkan bandar itu melalui penjawat awam, pekerja swasta
mahupun peniaga. Mereka rata-rata menetap di pinggir bandaraya atau kawasan
sekitarnya kerana bandaraya didominasi kaum bukan Melayu. Hal ini perlu diambil
perhatian bagi pencinta keamanan dan kestabilan. Keadilan ini adalah meletakkan
sesuatu pada haknya bukannya asal logik ia terus berhak tanpa kira kesan akan
datang.
- Tun Dr Mahathir dalam
program Bicara Minda di Shah Alam pada 22 Oktober 2019 memberikan jawapan yang cukup menarik.
Beliau menyentuh mengenai risiko wujud perpecahan rakyat berasaskan kaum
akibat pelaksanaan Pilihan Raya PBT. Beliau mengulas: “Kita iktiraf bahawa bandar itu,
kebanyakan penduduknya orang Cina. Jadi kalau kita ada pilihan raya bagi
bandar dan luar bandar, maka kita pecahkan negara kita pada dua pihak
iaitu satu bandar dan satu lagi luar bandar. Kita nak supaya ada
‘interplay’ antara bandar dan luar bandar. Masa belum tiba yang mana
penduduk kita bercampuran dengan cara terbaik. Sekarang ini kita terasing
antara satu sama lain. Bandar satu bangsa, dan luar bandar lain bangsa.
Ini tidak sihat bagi negara kita[11].”
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah
hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman:
يَا
عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ
مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا.
“Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah
mengharamkan sifat zalim ke atas diri-Ku dan Aku jadikannya (kezaliman) haram
antara kalian, maka janganlah kalian berlaku zalim sesama kalian.” (Riwayat Muslim 2577)
Bandar Puteri
Jaya Sungai Petani
12.19 tengahari
Jumaat 9
Disember 2022
[1] 'Perak akan kaji kesesuaian pilihan raya kerajaan tempatan' https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1035173/perak-akan-kaji-kesesuaian-pilihan-raya-kerajaan-tempatan
[3]
Hadi sanggah pandangan DAP mengenai pilihan raya kerajaan tempatan https://www.astroawani.com/berita-politik/hadi-sanggah-pandangan-dap-mengenai-pilihan-raya-kerajaan-tempatan-52675
[4] https://sosialis.net/2022/02/08/pilihanraya-tempatan-harus-dilaksanakan-di-seluruh-malaysia-serta-merta/
[5] Umno, PAS tolak rancangan Zuraida adakan pilihan raya tempatan https://www.malaysiakini.com/news/534572
[6] 10 bandar utama bakal dikuasai DAP jika p’raya PBT dilaksanakan https://www.malaysiakini.com/columns/505019
[7] Pilihan raya kerajaan tempatan bukan mudah, perlu pindaan Akta 171 – Dr. Asyraf https://malaysiagazette.com/2022/12/05/pilihan-raya-kerajaan-tempatan-bukan-mudah-perlu-pindaan-akta-171-dr-asyraf/
[8] https://sosialis.net/2022/02/08/pilihanraya-tempatan-harus-dilaksanakan-di-seluruh-malaysia-serta-merta/
[10] Tiada pilihan raya kerajaan tempatan, kata menteri Umno https://www.malaysiakini.com/news/602329
[11]Perlukah Pilihan Raya PBT? https://people.utm.my/fathi/perlukah-pilihan-raya-pbt/