Friday, December 09, 2022

Apa Pentingnya Isu Pilihanraya Tempatan?

 


Apa Pentingnya Isu Pilihanraya Tempatan?

Muhammad Nuruddin Bashah

Latar belakang isu

Terkini, Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, menegaskan akan perlunya   usaha mengembalikan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Perak, serta ia memerlukan kajian lanjut. Menurut beliau walaupun usaha mengembalikan pilihan raya itu tidak disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) atau dalam kerjasama kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN) ia wajar dikaji untuk dilaksanakan.

"Pastinya, di bawah portfolio saya, akan mengkaji semula sama ada dari segi perundangan, praktikaliti, implikasi kewangan dan setakat mana kesediaan kita untuk melaksanakan semula pilihan raya ini kerana saya rasa dalam jangkamasa panjang ini (pilihan raya kerajaan tempatan) sesuatu yang patut kita laksanakan”[1].

Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah dilaksanakan sejak kerajaan Persekutuan menggantungkan perlaksanaannya melalui undang-undang darurat pada tahun 1965. Namun begitu usaha untuk menghidupkan pilihan raya PBT banyak digerakkan oleh DAP sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi. Kerajaan Pulau Pinang sejak dari dahulu menegaskan hasratnya untuk melaksanakan pilihan raya ini. Ia dihentikan oleh kerajaan  disebabkan antaranya kekhuatiran ada kebarangkalian ia akan menyemarak ketegangan kaum, khususnya tanggapan bahawa sesetengah bandar atau kawasan didominasi kaum tertentu.

Pendirian parti politik:

  1. Mohamad Sabu pada Persidangan Pemimpin Pakatan Harapan meminta supaya negeri yang ditadbir Pakatan Harapan menghidupkan semula pilihan raya Kerajaan Tempatan bagi mengelakkan unsur penyelewengan[2].
  2. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pilihan raya Majlis Perbandaran seperti yang diperjuangkan oleh DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihanraya dalam jangka yang sangat pendek. Apatah lagi apabila melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar[3].
  3. Arveent Kathirtchelvan Ketua Pemuda Sosialis PSM  menyokong kenyataan Pemuda DAP (DAPSY) Wilayah Persekutuan yang menggesa kerajaan untuk mengembalikan pilihanraya di peringkat wilayah dan kerajaan tempatan di Kuala Lumpur. Parti Sosialis juga menekankan pemilihan demokratik untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung[4].
  4. Dalam sidang Dewan Rakyat, Noh Omar (Umno- Tanjung Karang) berkata bahawa Umno Selangor juga menolak sebarang percubaan Zuraida bagi melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan[5].


Mari kita kenali jenis PBT.

Pilihanraya Tempatan diadakan bertujuan untuk memilih wakil kerajaan tempatan. Antaranya Datuk Bandar, Yang diPertua Majlis dan Ahli Majlis. Majoriti YDP atau datuk bandar PBT di seluruh Malaysia dilantik dari kalangan Muslim atau banyak maslahah  atau sekurang-kurangnya bukan ahli mana-mana parti. Rasional pemilihan muslim dan bumiputera kerana banda dihuni oleh pekerja awam majoritinya muslim dan mengurus bandar mesti mengikuti lunas-lunas Islam untuk mengekalkan ketenteraman bandar.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) terbahagi kepada tiga kategori iaitu majlis bandar raya, majlis perbandaran dan majlis daerah. PBT berkuasa dalam mengeluarkan lesen-lesen, mengenakan cukai-cukai tertentu, merancang dan menguruskan bandar, membina kemudahan-kemudahan awam, unit-unit perdagangan dan perumahan dan pelbagai lagi[6].

  • Majlis bandar raya adalah kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri yang mempunyai penduduk melebihi 500,000 orang dan mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM100 juta setahun.
  • Majlis perbandaran pula adalah bandar utama atau pusat pentadbiran sesebuah negeri atau daerah yang mempunyai penduduk melebihi 150,000 orang dan mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM20 juta setahun.
  • Majlis Daerah adalah kurang daripada di atas.

Apa rasional DAP mahukan pilihanraya PBT?

  1. Rasional mereka adalah akan berlaku salah guna kuasa. Alasan utama mereka pemilihan yang dilaksanakan melalui lantikan kerajaan itu didakwa mengurangkan tahap akauntabiliti. Dakwaan ini ada asasnya. Namun demikian, masalah ini boleh di atasi dengan melantik wakil-wakil parti politik yang memerintah kerajaan negeri menjadi anggota majlis PBT. Mereka boleh tampil secara jelas sebagai anggota majlis yang mewakili parti yang telah dipilih melalui pilihan raya.
  2. Pada 1 November 2006, ahli parlimen Seputeh , Teresa Kok Suh Sim mencadangkan di parlimen agar pilihan raya kerajaan tempatan ini diadakan semula berikutan Ahli Majlis Perbandaran Klang YB Datuk Zakaria Mat Deros yang membina rumah banglonya di Kampung Idaman tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Klang pada 2006. Lebih buruk anak dan isteri beliau turut dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang. 7 ekar tanah di Shah Alam diluluskan oleh MPK kepada Persatuan Badminton Selangor sedangkan beliau menjadi pengerusinya. Pelan rumah tidak diluluskan.
  3. Hujah pro Pilihanraya PBT juga mengatakan  101 daripada 192 negara di dunia mengadakan pilihan raya seumpama itu tanpa menghurai terperinci suasana ekonomi, latar belakang penduduk dan fungsi kerajaan tempatan 101 negara berkenaan.

 

Kekangan laksana :

  1. Menurut Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki  Parlimen hendaklah terlebih dahulu meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Ini kerana dalam akta ini, pemilihan Ahli Majlis akan dilakukan oleh kerajaan negeri, bukan melalui sebarang bentuk pilihanraya[7]. Namun begitu DAP berhujah bahawa dalam Perkara 113(4), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihanraya lain daripada Pilihan Raya Umum. Konflik perundangan ini terhenti disitu.
  2. Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 dibawa dan diluluskan, tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan memberi komitmen untuk melaksanakan pilihanraya[8] kerana Akta 171.
  3. Pilihan raya ini menyebabkan orang ramai 'letih' , lebih banyak berpolitik dan membuang masa untuk membicarakan perkara remeh-temeh . Kempen pilihan raya menjadi tumpuan dan penggunaan wang mungkin berleluasa. Tiada jaminan prestasi perkhidmatan bertambah. Jika diadakan sekalipun, prestasi perkhidmatan belum tentu dapat dipertingkatkan[9].
  4. Sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan setiap dua tahun, tumpuan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat akan terjejas kerana terlalu banyak masa dan tenaga ditumpukan untuk kempen pilihan raya[10].
  5. Menurut Dr Mohd Fathi Yusuf , realitinya   rakyat di  Malaysia  sudah           diwakili oleh dua orang wakil rakyat (parlimen dan DUN). Penambahan seorang lagi wakil rakyat melalui pilihan raya PBT kelihatan  berlebihan   jika  diambil  kira  jumlah wakil rakyat  yang sedia ada dan  juga  tahap kadar  pewakilan  yang  sebenarnya  sudah  tinggi  di Malaysia.
  6. Kerajaan negeri            di Malaysia adalah antara yang           mempunyai bidang  kuasa  yang          paling  terhad  berbanding  negera  pengamal  federalisme  lain (DAP banyak merujuk negara luar),  Jadi  jika  diwujudkan  pilihan  raya  kerajaan  tempatan,  peranan dan fungsi pilihan    raya  peringat  negeri (DUN) semakin tidak relavan.
  7. Bandar bukan milik penghuni bandar itu sahaja malah milik semua penduduk di negeri berkenaan. Misalnya Alor setar ia bukan sahaja milik insan yang memiliki rumah di Alor Setar tetapi ia juga dihadiri orang Sungai Petani, Pendang dan Sik yang bekerja di sana dan menghabiskan 12 jam di sana. Ini menyebabkan mereka akan menerima polisi yang dibuat oleh PBT Alor Setar dan polisi itu dibuat melalui penduduk Alor Setar sahaja. Inilah punca ketegangan yang bakal berlaku dan pernah berlaku.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

 

Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil (Surah al-Nisa’: 58)

  1. Di bawah adalah senarai bandaraya yang mana ia dihidupkan oleh multi bangsa. Antara kawasan yang boleh bertukar datuk bandarnya adalah:

·         Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur :Peratusan penduduk bumiputera: 45.9%

·         Majlis Bandar Raya Ipoh: Peratusan penduduk bumiputera: 39.8%

·         Majlis Bandar Raya Petaling Jaya : Peratusan penduduk bumiputera: 46.2%

·         Majlis Banda Raya Iskandar Puteri: Peratusan penduduk bumiputera: 38.8%

·         Majlis Perbandaran Kluang:Peratusan penduduk bumiputera: 47.1%

·         Majlis Bandar Raya Pulau Pinang:Peratusan penduduk bumiputera: 33.7%

·         Majlis Perbandaran Teluk Intan:Peratusan penduduk bumiputera: 38.8%

·         Majlis Perbandaran Subang Jaya:Peratusan penduduk bumiputera: 42.3%

Sedangkan kaum bumiputera adalah antara teramai menghidupkan bandar itu melalui penjawat awam, pekerja swasta mahupun peniaga. Mereka rata-rata menetap di pinggir bandaraya atau kawasan sekitarnya kerana bandaraya didominasi kaum bukan Melayu. Hal ini perlu diambil perhatian bagi pencinta keamanan dan kestabilan. Keadilan ini adalah meletakkan sesuatu pada haknya bukannya asal logik ia terus berhak tanpa kira kesan akan datang.



  1. Tun Dr Mahathir dalam program Bicara Minda di Shah Alam pada 22 Oktober 2019  memberikan jawapan yang cukup menarik. Beliau menyentuh mengenai risiko wujud perpecahan rakyat berasaskan kaum akibat pelaksanaan Pilihan Raya PBT. Beliau mengulas:  Kita iktiraf bahawa bandar itu, kebanyakan penduduknya orang Cina. Jadi kalau kita ada pilihan raya bagi bandar dan luar bandar, maka kita pecahkan negara kita pada dua pihak iaitu satu bandar dan satu lagi luar bandar. Kita nak supaya ada ‘interplay’ antara bandar dan luar bandar. Masa belum tiba yang mana penduduk kita bercampuran dengan cara terbaik. Sekarang ini kita terasing antara satu sama lain. Bandar satu bangsa, dan luar bandar lain bangsa. Ini tidak sihat bagi negara kita[11].”

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman:

يَا ‌عِبَادِي ‌إِنِّي ‌حَرَّمْتُ ‌الظُّلْمَ ‌عَلَى ‌نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا.

Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan sifat zalim ke atas diri-Ku dan Aku jadikannya (kezaliman) haram antara kalian, maka janganlah kalian berlaku zalim sesama kalian.” (Riwayat Muslim 2577)

 

Bandar Puteri Jaya Sungai Petani

12.19 tengahari

Jumaat 9 Disember 2022



[5] Umno, PAS tolak rancangan Zuraida adakan pilihan raya tempatan https://www.malaysiakini.com/news/534572

[6] 10 bandar utama bakal dikuasai DAP jika p’raya PBT dilaksanakan  https://www.malaysiakini.com/columns/505019

[7] Pilihan raya kerajaan tempatan bukan mudah, perlu pindaan Akta 171 – Dr. Asyraf https://malaysiagazette.com/2022/12/05/pilihan-raya-kerajaan-tempatan-bukan-mudah-perlu-pindaan-akta-171-dr-asyraf/

[10] Tiada pilihan raya kerajaan tempatan, kata menteri Umno https://www.malaysiakini.com/news/602329

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)