Sunday, December 25, 2011

Penjarakan Khir Toyo- hendak naikkan Ranking Indeks Persepsi Rasuah semula?

Bekas menteri besar selangor didapati bersalah rasuah..Indeks Rasuah negara jatuh 4 anak tangga tahun ini (tangga ke-60).
Semalam SPRM masuk TV3 ( 24 Disember 2011) ceritakan bahawa mereka siasat dengan penuh prosedur (yang mati tu sebab takdir ilahi)...
kalau nak naik kembali indeks persepsi rasuah, try bawa Taib Mahmud plak siasat...Insya Allah indeks naik semula...
Muhammad Nuruddin Bashah

Khir mangsa sembelihan 'drama politik' Umno | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hanya 'drama politik' Umno BN.

Katanya, dengan pelbagai isu rasuah yang terpalit kepada ramai pemimpin parti itu, maka Umno BN terpaksa 'menempisnya' dengan bertindak ke atas Khir, itu pun selepas Khir tidak mempunyai kuasa lagi.

Jelasnya lagi, tindakan 'memangsakan' Khir itu kononnya bagi memberi gambaran kepada Masyarakat bahawa kerajaan Umno BN secara keseluruhanya tidak berkompromi dengan rasuah.

"Selepas Umno tak mampu nak bersih najis rasuah yang (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata 'sudah busuk sampai ke usus', maka Khir jadi mangsa sembelihan untuk bersihkan semua kes rasuah dalam Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin yang memutuskan Khir bersalah atas tuduhan rasuah dan dihukum penjara setahun.

Bagi Mahfuz, apa yang cuba ditonjolkan oleh Umno BN dengan bertindak ke atas Khir itu hanya mengulangi skrip lama yang pernah dibuat ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dalam isu PKFZ.

Bagaimanapun tindakan mendakwa Ling itu selepas beliau bersara dari kerajaan.

"Saya harap Khir sabar banyak-banyak sebab dia seorang sahaja yang kena untuk dijadikan mangsa korban partinya.

"Saya yakin kalau dia masih ada kuasa, dia tak akan diambil tindakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Monday, December 12, 2011

Kerjasama politik bijak di Mesir

Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

Islam memang dijanjikan akan bangkit semula.

Pada petugas Islam dinasihati jangan ghairah dengan kemenagan sehingga menjadi rongga kecil perencanaan musuh.

Israel pening kepala Ikhwan (Parti Hurriyah wa adalah ) serta parti salafi menang besar Pilihanraya Mesir....pusingan pertama Islam menang...pusingan kedua macam mana?
US dah hantar peninjau dan pelobi untuk desak SPR Mesir buat 'sesuatu'....Parti Hurriyah hanya menang kerana kerjasama erat dengan kaum Kristian dan agama lain...aplikasi tahaluf siasiy yang bijak di Mesir....
Muhammad Nuruddin Bashah


Kemenangan besar Ikhwan menggerunkan Amerika-Israel


"Keputusan ini lebih buruk dari apa yang kita ramalkan," kata Pegawai Kanan Keselamatan Israel seperti yang dipetik dari akhbar harian Yahudi Yedioth Ahronoth.

Beliau merujuk kepada kemenangan besar puak Islam yang didominasi Ikhwan Muslimin dan Salafi dalam Pilihan Raya Umum Mesir pada pusingan pertama.

Kemenangan ini juga amat mengejutkan Amerika Syarikat yang terpaksa menghantar delegasi peninjau untuk bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir. Tindakan ini dibantah sebahagian besar rakyat Mesir, yang dianggap sebagai satu usaha negara polis dunia itu untuk campur tangan dalam PRU Mesir.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi amaran beliau bahawa akan berlaku 'Arab Spring' di Mesir yang ia bakal merebak ke seluruh negara Arab. Lebih buruk lagi bagi Israel kata Netanyahu, ianya akan menjadi 'Iranian Winter' iaitu seperti revolusi Iran tahun 1979, yang memburukkan hubungan Arab-Israel.

Dalam ucapannya kepada Knesset (Parlimen Israel) bulan lepas, Netanyahu berkata, "Pada bulan Februari, apabila berjuta rakyat Mesir berdemontrasi di Kaherah, ada kalangan pemimpin Israel yang berkata, kita akan menghadapi era liberalisasi dan progres."

Kebimbangan Netanyahu itu ditegaskannya kerana beliau tahu bahawa kebanyakan rakyat Mesir tidak menerima kewujudan Israel, dengan perasaan anti-Zionis dan anti-Semitic yang begitu subur di negara Arab itu.

Selama ini pun, Israel dapat hidup dengan selesa, kerana mereka mempunyai hubungan yang akrab dengan bekas diktator Presiden Hosni Mubarak yang digulingkan rakyat Mesir.

Kebimbangan Israel bukan hanya setakat perkembangan di Mesir sahaja. Mereka terpaksa menganalisis dengan terperinci kebangkitan Islam di Tunisia, Libya dan Maghribi, di mana, satu persata ketua-ketua negara Arab yang lunak dengan mereka tumbang.

Keputusan rasmi PRU peringkat pertama

Ikhwan Muslimin dengan partinya Parti al-huriyyah wal Adalah (PJF) dan pakatan tahalufnya bersama 10 komponen parti-parti lain yang dikenali sebagai tahaful demokrasi, menang bergaya dengan menguasai 80 daripada 166 kerusi yang dipertandingkan.

Sebanyak 36 kerusi diperolehi dari kerusi individu dan 44 kerusi secara berkumpulan. Parti an-Nur Assalafi mendapat kerusi kedua terbanyak selepas PJF dangan memperoleh sebanyak 33 kerusi (6 individu, 27 berkumpulan).

PJF akan membuat kerajaan campuran sekiranya mendapat mejoriti mudah dalam pilihan raya kali ini yang akan dijangka tamat pada awal Januari 2012.

Parti-parti Islam mendapat undi percaya rakyat Mesir pada pilihan raya kali ini berbanding parti yang beraliran liberal dan sekular. Media massa menguatkan propaganda dengan memburuk-burukkan parti-parti pro Islamis kepada golongan Kristian dan masyarakat pertengahan setelah melihat banyak kerusi yang dimenangi pro Islam.

Isu undang-undang Islam, hudud,pelancongan, kebebasan berpakaian, isu kebebasan agama, hubungan luar dan ekonomi cuba diapi-apikan didalam sekmen bincang politik saluran-saluran media. Akan tetapi, semuanya dapat dijelaskan dengan baik oleh wakil-wakil parti seterusnya menyakinkan pengundi untuk terus menyokong mereka membentuk kerajaan.

Yang paling menarik, calon beragama Kristian yang pertama mendapat kerusi di parlimen Mesir adalah dari Parti al-Karamah yang bertahaluf bersama PJF. Calon tersebut menang di kerusi berkumpulan atas tiket Parti al-Huriyyah wal Adalah. PJF juga telah berjaya menempatkan wanita pertama di kerusi parlimen Mesir dan seterusnya menafikan Ikhwan Muslimin mendikriminasikan Kristian dan kaum wanita dalam menguruskan negara. Dewan Rakyat Mesir dijangka akan bersidang pada bulan Mac 2012 nanti.

Pecahan 112 kerusi yang dimenangi secara berkumpulan seperti berikut:

- Parti al-Huriyyah wal Adalah, 44 kerusi
- Parti an-Nur Assalafi, 27 kerusi
- Kerusi berbaki dikongsi oleh 8 parti lain seperti;
o Parti Alwafd
o Parti Almisriyyin Alahrar
o Parti Aladl
o Parti Attajammuk
o Parti Misr alQaumy
o Parti Alhuriyyah
o Parti Almuwaten Almisry
o Parti Misry Alhurrah

56 kerusi Individu seperti berikut:

- Parti al-Huriyyah wal Adalah 36 kerusi
- Parti an-Nur Assalafi 6 kerusi
- Parti Alwafd satu kerusi
- Parti Almisriyyin Alahrar satu kerusi
- Parti Aladl satu kerusi
- Parti Attajammuk satu kerusi
- Parti Misr alQaumy satu kerusi
- Parti Alhuriyyah satu kerusi
- Parti Almuwaten Almisry satu kerusi
- Calon bebas 5 kerusi
- (2 kerusi masih menuggu untuk dipertandingkan semula )

Fakta PRU Mesir peringkat pertama

- Melibatkan 9 buah Negeri dari 27 buah negeri ( Kaherah, Port Said, Dumyat, Bahr Alahmar, Assuit, Kafr Syiekh, Alfoyyoum, Luxor dan Iskandariah )
- Mewakili 13.5 juta pengundi
- Mempetaruhkan sebanyak 166 kerusi parlimen ( 2/3 atau 112 kerusi berkumpulan & 1/3 atau 56 kerusi individu ).
- 2 kerusi daerah pertama di Kaherah dibatalkan dan akan diadakan pilihan raya semula.

Friday, December 02, 2011

Perhimpunan Agung bukan medan jawab isu.

Mesyuarat Agung, Perhimpunan Tahunan sesuatu parti adalah medan untuk memperkukuhkan visi dan matlamat parti, mengukuhkan kefahaman da kesatuan pemikiran ahli serta mewar-warkan gagasan dan polisi terkini parti kepada rakyat.

Namun begitu Perhimpunan Agung UMNO kerap kali disalah gunakan untuk meniup semangat perkauman berapi-api malah menunjuk-nunjuk keberanian hanya di kalangan kaum sendiri.

Lebih malang apabila Ketua Wanita Shahrizat menggunakan medan perhimpunan Agung sebagai medan menjawab tuduhan, mengamuk, maki hamun terhadap parti lain. Perhimp[una Agung bukan tempat menjawab skandal dan tuduhan.

Gunalah media dan mediumWanita UMNO hentikan aksi selinsing lengan kerana UMNO parti yang ingin bela akidah perlu juga jaga syariat iaitu jaga aurat.

Muhamad Nuruddin Bashah


Thursday, December 01, 2011

Lepas Revolusi di Mesir kini dakwat kekal pula..




Pilihanraya Mesir saksikan penggunaan Dakwat kekal sebagai cara MUDAH kesan pengundian berulang/pengundi hantu.

PM (Najib) selalu ingatkan rakyat negara kita jangan jadi Mesir, revolusi tak aman....

Hakikatnya revolusi telah mencetuskan keadilan dan ketelusan pilihanraya Mesir.

Malaysia maju, negara islam sederhana tak boleh ke contohi Mesir?

Persoalan besar....

Muhammad Nuruddin Bashah

Wednesday, November 30, 2011

Banner berlogo parti di UITM


Kerajaan berura-ura untuk meminda seksyen 15 AUKU untuk membenarkan pelajar dan mahasiswa sertai parti politik dan sebagainya.

Pindaan 2009 hanya benarkan mahasiswa berartikulasi mengenai isu politik dan menyatakan pandangan sahaja.

Tapi lihat banner ini?

UMNO/BN dah lama ubah AUKU untuk melegitimasikan tindakan sendiri...contohnya sangkut banner berlogo parti pada pagar UITM Merbok baru-baru ini.

Jika belum pinda janganlah bawa logo parti ke dalam kampus...kalau nak benarkan beri kebenaran semua parti letak banner macam itu juga...barulah TRANSFORMASI namanya...

Muhammad Nuruddin Bashah

Saturday, November 12, 2011

Lakum Deenukum wa li yadeen (isu seks songsang)

Lakum Deenukum wa li yadeen.

Ramai memberi reaksi apabila gerakan hak asasi di Negara ini mulai merentasi adab dan perilaku kemanusiaan apabila membela kelompok seks bebas dan seks songsang.

Lebih menarik apabila golongan secular melayu islam mulai menunjuk taring untuk menjuarai isu ini sedangkan merteka lebih liberal dan sekular dengan menghina hukum hudud, qisas Allah swt serta mengasaskan judi sukan sebelum ini.

Islam menggalakan tahaluf siasiy dan kerjasama politik untuk menuntut kebenaran. Islam menilia kebenaran dan kebebasan berlainan dengan perspektif liberalis dan sekular.

Walaupun gerakan islam dan Parti islam di Malaysia bersekutu dengan kelompok tertentu untuk melawan kezaliman yang lebih besar, tidak semestinya gerakan islam itu mengasimilasi falsafah perjuangan secular pihak yang menjadi kawan politiknya. Ini perlu diperhalusi secara bijak kerana kemanusiaan adalah abstrak.

Golongan secular yang bersama dengan gerakan islam untuk menentang kezaliman akan dilayan dengan baik akan tetapi prinsip mereka tetap berbeza. Inilah konsep ‘lakum deenukum wa li yadeen’ (agama kamu untuk kami dan agama kami untuk kami).

LGBTIQ = akronim bagi lesbians, gays, bisexuals, transgenders, intersex dan queer adalah gerakan yang bercanggah dengan gerakan Islam. Jika ada pengikut gerakan ini bersekutu dalam kerjasama politik menentang kezaliman, ia tetap diteruskan. Tetapi hal menghalalkan yang haram tetap akan disanggah. Jelas prinsip mudah ini.

Saya secara peribadi suka dengan kenyataan mahasiswa di bawah (Muhammad Hilmi Mohd Hamdan, UIA)

Berhati-hati dengan golongan yang mengambil peluang dari barisan perjuangan hak asasi dan demokrasi. Kita dan mereka mempunyai misi yang sama iaitu ingin melihat hak asasi rakyat terjamin, tapi skop penilaian kita dan mereka berbeza pada menilai pengisian kepada hak asasi tersebut. Lantas, mereka menggunakan platform hak asasi untuk memperjuangkan agenda busuk itu. Pejuang hak asasi, tolong waspada dengan mereka. Walaubagaimanapun,sangat tidak bijak apabila ada orang yang mempertikaikan “kesucian” perjuangan hak asasi hanya kerana kewujudan golongan ini. Bagaimana mungkin kita hendak membakar sebuah bas, hanya kerana seorang penumpangnya yang membawa bom?

Renungkanlah…

Muhammad Nuruddin Bashah

Unit Penerangan MTD Sg Rapat

Sunday, October 30, 2011

Bajet Kad Kredit


Bajet Negara kita umpama bajet Kad kredit jika benar kenyataan yang FEFSA dedahkan.

Malaysia umpama diurus oleh pasangan suami isteri, semua kemahuan isteri dibiayai oleh kad kredit suami yang ternyata adalah hutang bukannya wang simpanan sebenar si suami.

Kini kesemua imbuhan dan janji manis kerajaan kepada semua rakyat terutama penjawat awam adalah janji hutang sekadar menenangkan anak yang menangis. Alangkah rendahnya mentality rakyat yang sekadar berpuas hati jika kerajaan mampu menjanjikan kebajikan sedangkan ia sebenarnya tiada wang dan hanya mampu menambah hutang sahaja.

Tidak hairan jika Akta Pinjaman 1959 dan Akta Pendanaan 1963 terpaksa dipinda untuk membenarkan kerajaan terus berhutang sehingga melepasi 55% KDNK Negara selasgi mana ingin menerus hayat BN.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan MTD N43Sg Rapat

REFSA: Hutang negara mungkin cecah RM1 trillion

Sekiranya hutang kerajaan persekutuan berkembang pada kadar RM50 bilion setahun, ia boleh mencecah RM1 trilion menjelang tahun 2020, kata badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA).

Senario yang menggerunkan itu dikemukakan semasa kajian REFSA mengenai Bajet 2012, yang memberi amaran bahawa impian menuju Wawasan 2020 boleh "berkecai" melainkan jika kerajaan berhemah dalam perbelanjaan kewangannya.

Defisit semasa negara berada pada RM437 bilion, yang menurut REFSA adalahlebih dua kali ganda bajet defisit RM217 bilion yang dilaporkan pada tahun 2004.

"Dengan kata lain, kerajaan telah menambahkan lebih banyak hutang pada enam setengah yang lalu sejak tahun 2004 berbanding dengan 47 tahun selepas Merdeka," petik laporannya itu.

Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.

Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.

"Ini adalah 1 dengan 12 sifar di belakang - RM1, 000000000000," petik laporan itu.

Dengan mengandaikan kadar faedah sebanyak lima peratus setahun, laporan REFSA berkata, bayaran faedah sahaja akan menjadi RM50 bilion setahun.

"Ia adalah hampir keseluruhan kos projek MRT. Kami belum lagi memikirkan tentang bayaran balik hutang itu lagi, "kata laporan itu lagi.

Media Baru bukan mukjizat perubahan sosial politik

Kehadiran saya ke Persidangan ICT di TM serta Kursus Kewartawanan Harakah di Ipoh minggu lalu 22-23 Okt 2011 telah mengilhamkan saya untuk menulis artikel http://landskapsiasah.blogspot.com/2011/10/rakyat-kurang-membaca-cabaran-besar.html

Ada banyak bait-bait hujah Ahmad Lutfi yang saya tertinggal daripada catatan peribadi saya. tetapi nasib menyebelahi saya apbila tulisan di bawah diasilkan pula oleh Ahmad Lutfi untuk memberi gambaran hujah beliau yang dibentang dalam 2 program menarik tersebut.

Pandangan beliau yang cuba menyorot perspektif hadirin untuk menghargai media baru sekadar medium mempercepat maklumat tanpa mengimani medium ini sebagai punca sebenar perubahan sosial, gelombang rakyat.
Perhatikan hujah beliau.

Muhammad Nuruddin Bashah

FB, kuda dan Shahrizat

Ahmad Lutfi Othman

Hujung minggu lalu, saya menghadiri dua program khusus mengenai media, di hadapan aktivis PAS yang kelihatan ghairah menanti tarikh pilihan raya umum ke-13. Pada 22 Oktober, Persidangan ICT dan Media Baru 20011, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, dan esoknya kursus kewartawanan, di Ipoh, Perak.

Membedah fenomena dunia siber -- dan kompleksiti media baru dengan segala perubahan yang begitu pantas -- tentunya bukan tugas mudah, apatah lagi dilakukan di hadapan mereka yang mahir ICT. Sebenarnya saya tertinggal jauh di belakang berbanding penguasaan dan kepakaran peserta persidangan terhadap teknologi media baru.

Di zaman internet "mendefinisikan" pergolakan politik antarabangsa, sehingga Facebook, twitter dan youtube dilihat mampu menjatuhkan sesebuah kerajaan dan menggulingkan regim, seperti ditunjukkan di Timur Tengah, saya cuba membawa perspektif agak berbeda, sambil mempersoalkan beberapa "tanggapan dan kepercayan" terhadap mukjizat kuasa siber.

Dalam konteks siasah tempatan, "padang permainan" kini hampir sama rata; tiada lagi monopoli maklumat sepertimana situasi 20 tahun lalu. Meskipun media konvensional, seperti akhbar, radio dan televisyen, masih dikongkong elit penguasa dengan pelbagai peraturan ketat, namun majoriti rakyat mempunyai pilihan dan akses terhadap media baru, yang menawarkan berita dan laporan lebih seimbang.

Faktor-faktor lain yang juga membantu kesedaran berpolitik, antaranya adalah kualiti pendidikan, meluasnya kelas menengah, pertumbuhan urbanisasi, peningkatan tahap ekonomi, celik IT, dan pengaruh globalisasi.

Namun, sewaktu masih ramai yang teruja, misalnya dengan pengaruh kejayaan revolusi rakyat 18 hari di Dataran Tahrir, Kaherah, yang difaktorkan oleh pencetusnya, Khalid Said dan Wael Ghonim, melalui sumbangan besar media sosial, kita wajar menekuni semasaknya gelagat dan kerencaman politik lokal. Malaysia harus ada formula tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan realiti dunia luar, tanpa memperkecilkan suntikan semangat dan motivasi di atas kejayaan mereka.

Khalid Said adalah anak muda Mesir, 28 tahun, dibunuh kejam Amin Daulah (unit khas polis paling ditakuti di Mesir) apabila mendedahkan komplot jahat polis bersama pengedar dadah, yang dimuat-turun dalam youtube. (Perhatikan pengaruh luar biasa video bergerak melalui youtube). Kepalanya dikatakan dihentak ke dinding dan tangga sehingga mati; mayatnya dicampak ke tepi jalan tetapi polis mendakwa beliau mati disebabkan terlebih mengambil dadah.

Wael Ghonim, eksekutif muda Google, membuka akaun Facebook, 'Kulluna Khalid Said' atau 'We are All Khalid Said', memaparkan gambar ngeri Khalid, yang kemudiannya menaikkan rasa amarah amat sangat rakyat terhadap Presiden Hosni Mubarak. Di peringkat awal siapa pun tidak menjangkakan jaringan laman sosial mampu mencetuskan revolusi rakyat secara aman yang bersejarah itu.

Tarikh 25 Januari diingati sebagai "Hari Melahirkan Marah". Wael ditangkap. Penahanannya tidak meredakan malah mencetuskan kebangkitan lebih hebat. Ramai nyawa terkorban. Rasa takut yang menyelubungi rakyat Mesir selama lebih 3 dekad hilang. Melalui youtube kita saksikan mereka berani mengasak kereta perisai tentera.

Laluan internet disekat, tetapi anehnya ia makin mendorong lebih ramai membanjiri Tahrir. Ya, daripada bersembang dalam FB dan merayau di alam maya, tekad mereka lebih serius untuk berkubu di lapangan, berdada langsung menuntut perubahan. Akhirnya Hosni tinggal keseorangan, "perkakas tradisinya" seperti tentera dan media "berpaling tadah. Beliau terpaksa berundur juga.

Realiti Mesir waktu itu diasak enam isu besar: Kadar kemiskinan tinggi, merebaknya rasuah, pengangguran tidak terkawal, inflasi melonjak, gaji rendah, Hosni mungkin bertanding presiden lagi atau memberi jalan kepada anaknya, manakala suara rakyat langsung tidak dilayan.

Secara kasar, isu sama turut melanda negara kita, tetapi perinciannya agak berbeda. Malaysia nampak ke hadapan daripada segi kebebasan bersuara, agihan kekayaan dan partisipasi politik. Sistem demokrasi dan perjalanan pilihan raya kita lebih maju dan tersusun. Penyelewengannya agak "sofistikated" dan tidak begitu menjolok mata seperti Mesir.

Dalam kedua-dua majlis, di Taman Melewar dan Ipoh, saya menekankan agar aktivis arif memahami kerencaman persekitaran dan budaya-sensitiviti lingkungan. Selain menguasai perkembangan ICT dan aplikasi media baru sepenuhnya, aspek modal insan mesti diperkukuhkan ke peringkat kecemerlangan. Meskipun internet seolah-olah dianggap semacam "agama baru" di abad ke-21 ini, tidak semudah itu pengaruhnya melempah, seperti yang kita hajatkan.

Saya tertarik dengan soalan seorang peserta, yang membangkitkan keberkesanan media baru dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak. Bagi saya, internet hanya satu alat atau medium berkesan untuk kita berhubung langsung dengan pengundi. Banyak lagi aspek lain wajar ditekuni.

Dalam konteks Sarawak, apakah rakyatnya dapat akses dengan media baru secara berkesan dan menyeluruh? Saya perhatikan, banyak pendedahan berfakta mengenai salahlaku dan penyelewengan Ketua Menteri, Taib Mahmud, bertaraf mega disiarkan beberapa laman, tetapi para pengunjungnya tidaklah begitu ramai. Malah, dengan hambatan keluasan negeri, kemudahan perhubungan, tahap celik IT, dan politik ugut BN terutama di kawasan luar bandar, Sarawak memerlukan lebih banyak masa untuk melakukan perubahan.

Dalam pada itu, asas penulisan dan kewartawanan perlu dihadam sebaiknya oleh aktivis dunia siber. Begitu juga selok-belok penggunaan bahasa yang baik dan indah, dengan etika terjaga. Memang internet telah menghapuskan segala hirarki dalam penerbitan media tradisi. Tulisan tidak perlu diedit dan disemak lagi. Dengan sekali klik atau tweet, kita dapat berkongsi sehingga jutaan orang. (Tapi ia tidak seindah disangka, hal jaringan ini perlu dianalisis lebih rapi).

Saya mengingatkan, tanpa kredibiliti, media (termasuk internet) akan hilang bisa dan pengaruhnya. Sedangkan, pembinaan dan pemantapan pengaruh merupakan perkara asas terpenting dalam proses reformasi. Jika akhbar pro-Umno, seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, semakin tipis pengaruhnya disebabkan hilang wibawa, maka laman-laman sosial turut terdedah kepada gugatan serupa.

Facebook atau blog tidak akan membawa impak positif jika ia hanya sarat dengan gosip dan khabar angin.

Justeru, program melahirkan lebih ramai penulis berwibawa harus digiatkan, termasuk di kalangan blogger dan 'facebooker'. Bahan yang terhidang dalam laman sosial mestilah berkualiti, baik dari segi hujah, idea, pendekatan mahupun susunan bahasa, serta dapat dipertanggungjawabkan dan mampu mempengaruhi khalayak. Biarpun lebih terdedah kepada generasi muda, mutu kandungan usah diremehkan.

Apa pun, tentulah pendekatan dan persembahan dalam laman sosial tidak perlu terikat dengan bentuk penulisan kewartawanan. Pastinya ia lebih padat tetapi santai, ringkas dan bersahaja, mudah difahami, selari dengan jiwa anak muda tetapi harus ada elemen "menggemparkan" sehingga ramai audien mahu berkongsi dan membuat pautan.

Sejumlah 12 juta pemegang akaun Facebook di Malaysia memang merupakan sasaran berpotensi, yang jika digerakkan dengan bijaksana, mampu membentuk gelombang dan menarik turun BN daripada Putrajaya. Tapi harus diingat, generasi yang bermaklumat tidak semudah itu dapat dipengaruhi. Mereka semakin bijak menilai dan menganalisis, serta menuntut pembuktian. Ya, jangan sama sekali perkecilkan minda anak muda ...

Saya kira, Facebook juga bergantung dengan capaian youtube dan ruang itu belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh aktivis Pakatan. Tidak banyak klip video mengenai senario sosio-politik-ekonomi, apatah lagi yang benar-benar kreatif, telah dihasilkan. Sedangkan "bahan-bahan mentahnya" mudah didapati di mana-mana. Klik sahaja enjin carian seperti Yahoo atau Google, segalanya di hadapan mata.

Misalnya mengenai pembentangan bajet Najib Razak dan belanjawan alternatif Pakatan. Begitu banyak fakta dan pendedahan menarik dikemukakan Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan yang lain, susulan daripada Buku Jingga, yang boleh dipakejkan dalam yotube. Tawaran Pakatan juga dapat diolah dalam bentuk animasi mudah.

Seorang rakan FB saya telah menunjukkan klip-klip video kempen parti-parti politik di Britain, yang dirakam untuk tayangan dalam masa hanya 60 saat. Malah ia mendedahkan fakta menarik, merujuk insiden-insiden tertentu yang berlaku dalam masa satu minit, misalnya jumlah kecurian atau pelepasan gas karbon disoksida di England. Mungkin ia boleh dijadikan rujukan sebagai persiapan kempen pilihan raya umum akan datang.

Jika pilihan raya 1999 menyaksikan ledakan laman-laman web reformasi, dan pilihan raya 2008 disendat dengan kemunculan blog dan youtube, tidak syak lagi perang PRU13 akan riuh-rendah dengan pertarungan "sengit tetapi santai" di laman-laman sosial.

Cadangan agar aktivis lebih didedahkan dengan aspek-aspek teknikal dan meneroka pengkhususan, seperti kaedah menaikkan ranking blog, wajar diberi perhatian segera. Mungkin bengkel-bengkel lebih kecil perlu diusahakan. Lagi pula, keajaiban dunia siber, khususnya berkaitan jaringan laman sosial, masih banyak misterinya. Kita belum benar-benar mengoptimumkan aplikasinya.

Apa pun, sewaktu kita begitu obses dengan media baru, usah lupa medium tradisi, yang sepatutnya menjadi pelengkap di antara satu sama lain. Internet bukannya alternatif tetapi lebih dilihat sebagai satu lagi medium untuk memperkukuhkan prasarana sedia ada. Janganlah diremehkan pengedaran risalah, pembikinan VCD, penerbitan buletin dan usaha menyebarluaskan Harakah itu sendiri.

II.

Saya belum sempat meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2010. Meneruskan tradisi daripada tahun-tahun sebelum ini, pendedahan tentang pelbagai kelemahan, kepincangan dan penyelewengan bukan lagi satu kejutan.

Tiga tahun lalu, kita digemparkan (sekadar contoh kecil) dengan harga set screwdriver RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital kodak melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

Selain itu, pihak Audit juga tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) kepada kontraktor yang terlibat dalam pembinaan 6 kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia, bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan!

Tahun ini, ia berulang lagi. RM56,350 dibelanjakan bagi sepasang teropong visi malam, iaitu 29 kali lebih tinggi daripada harga pasaran bernilai RM1,940. Komputer riba dan pencetak warna berharga RM3,428 dibeli pada harga RM11,845 (lebihan 246 peratus).

Harga 23 kuda yang dibeli Majlis Sukan Negara berjumlah RM5.66 juta dan dibuat melalui rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan. Lebih teruk, hanya lima kuda didapati layak dan dapat bertanding pada pertandingan World Endurance Championship.

Kita juga masih belum mendapat jawapan Shahrizat Jalil, seorang menteri kanan dan ketua wanita Umno, di atas kegagalan Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan National Feedlot Corporation Sdn Bhd, kepunyaan suami dan anak-anak Shahrizat.

Sasaran projek bernilai RM250 juta di atas tanah anugerah seluas 5,000 ekar itu bagi memenuhi 40 peratus permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan. Jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran adalah 1,500 ekor sehari sedangkan jumlah lembu yang kini disembelih hanya 20 ekor sehari.

Bukan setakat Shahrizat, malah Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau perlu memberi respons segera.

Benarlah rumusan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man: "Kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan Audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada peti undi."

Ya, masakan saban tahun kita belum jelak lagi dengan paparan Laporan Ketua Audit yang hampir sama. Itu belum dikira rasuah atau salahguna kuasa elit pemerintah bersama suku-sakat mereka, yang tidak dapat dihidu SPRM ...



Gambar: Ahmad Lutfi dan Editor Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam bergambar bersama Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Mohd Nuri Al-Amin Endut (duduk, tengah) dan jawatankuasa kursus kewartawanan, di pejabat Perhubungan PAS Negeri, 23 Oktober lalu.

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)