Rakyat kurang membaca; cabaran besar Penerangan
Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Pen DPPK Gopeng/Ketua Pen MTD Sg Rapat/Ajk Laj Penerangan N Perak
Menghadiri Persidangan ICT dan Media Baru di Taman Melewar 22 Oktober 2011 yang lalu bukanlah suatu tanggungjawab ringan memandangkan harapan yang tinggi diletakkan kepada para petugas Penerangan akar umbi untuk memperkasa aplikasi media baru dan ICT sebagai medium besar penerangan.
Sebagai anggota Penerangan di kawasan dan juga terlibat dalam gerak kerja akar umbi seumpama MTD, penulis berfikir secara ligat sepanjang program bagaimana mengimbangi gerak kerja konvensional yang kini dilaksanakan disamping cuba mevariasikan aktiviti melalui medium media baru.
Selain ceramah, dialog dan medium penerangan melalui medium dengar, kerja penerangan konvensional melibatkan bahan visual dan cetak seperti risalah, buletin dan edaran harakah telah menjadi amalan PAS sekian lamanya. Bahan visual yang dimaksudkan menggunakan medium ‘baca’ dan ‘tulisan’ untuk menyampaikan maklumat.
Akan tetapi penulis mendapat banyak maklumbalas daripada penggerak PAS sendiri bahawa keberkesanan medium melalui baca dan tulisan kini tidak lagi efisyen dan berkesan. Kata mereka, masyarakat Malaysia, adalah masyarakat yang kurang membaca dan malas melihat tulisan yang berjela-jela.
Bagaimana pula dengan media baru yang kini cuba kita maksimakan? Bukankah ia juga berasaskan baca dan tulisan?
Jika benar masyarakat malaysia tidak gemar membaca atau ‘meluat’ melihat risalah berjela-jela bagaimana pula dengan peningkatan penggunaan internet dan media baru di negara ini?
Sehingga April 2011 lebih 10 juta rakyat Malaysia adalah pengguna aktif Facebook.
Malaysia adalah pengguna Facebook tangga ke-11 dunia walaupun Negara jiran kita Indonesia menduduki tangga pertama penggunaan facebook iaitu sebanyak 39 juta akaun.
Namun secara kasar, penulis mampu membut kesimpulan bahawa, penggunaan facebook yang dimaksudkan adalah tertumpu kepada hal tidak ilmiah atau hanya hal peribadi semata-mata. Mungkin berbeza dengan blog kerana rakyat Malaysia kelihatan jarang menggunakan blog untuk menulis diari sendiri walaupun penciptaan blog sendiri bertujuan untuk mencatat diari elektronik. Rakyat malaysia kelihatan kritikal dan agresif dalam aplikasi media blog.
Jika rakyat kita tidak gemar membaca mengapa pengunjung Harakahdaily yang menulis bahan bukan hiburan masih popular hingga kini? Pengunjung Harakahdaily adalah hampir 70 000 sehari dan boleh mencecah 100 000 jika ada isu besar. (Dato’ Kamaruddin Jaafar, Persidangan ICT dan Media Baru 22 Oktober 2011).
Penggunaan Internet di Malaysia meningkat kepada 41% pada 2010 daripada 25 % pada tahun 2009, demikian menurut hasil kajian Nielsen Mobile Insight Malaysia 2010 yang dikendalikan oleh The Nielsen Co (M) Sdn Bhd.
Pengarah perkhidmatan pelanggan dan capaian pelanggannya Luca Griseri berkata penggunaan Internet tertinggi dicatatkan di kalangan kumpulan muda yang berumur antara 20-24 tahun dengan enam daripada 10 merupakan pengguna Internet.
Perkembangan penggunaan Ipad di Malaysia semakin berkembang walaupun tidak dapat menandingi Hong Kong di mana 17% rakyatnya memiliki Ipad iaitu pengguna terbesar Ipad seluruh dunia. Ipad melambangkan kegiatan rakyat kini kian terikat dengan media baru, tulisan dan semestinya mereka MESTI membaca.
Perhatikan fakta berikut (statistik di malaysia).
populasi penduduk pada 2000 : 24.6 juta orang, pengguna internet pada 2000 : 3.7 juta orang, kadar penembusan pada 2000 : 15%
populasi penduduk pada 2010 : 26.12 juta orang, pengguna internet pada 2010: 16.9 juta orang, kadar penembusan pada 2010 : 64.6%
Bermakna pertumbuhan pengguna internet tahun 2000 hingga 2010 adalah 356.8% !
Manakala pengguna facebook pada tahun 2010 adalah seramai 8.16 juta orang, peratus daripada populasi : 31.2 % dan peratus daripada pengguna internet : 48.29% (fakta InternetWorldStats)
Jelas rakyat kita kian gila membaca dan tidak TAKUT dengan tulisan.
Walaupun ada statistik yang menunjukkan bahawa rakyat kita hanya membaca 2 buku setahun, kita perlu menilai semula melalui kadar pinjaman buku yang semakin meningkat di perpustakaan awam.
Begitu juga kini kita terlupa statistik pembaca buku elektronik (e-book) dan PDF yang kini mengambil tempat pembaca buku cetak.
Suatu ketika dahulu bahan tulisan Ibtrahim Yaakub berjaya membuka minda pejuang melayu di kalangan kelas pertengahan untuk berjuang memerdekakan tanahair. Bahan tulisan daripada Abu a’la Al Maududi telah dicetak ribuan tulisan (dengan stensil) untuk membangkitkan semangat pro-Islam di kampus dan bandaraya. Bahan-bahan tulisan teerjemahan arab juga menjadi resepi perjuangan pejuang tentera Sultan Mahmud Syah melawan Portugis seperti karya Hikayat Amir Hamzah yang mengambarkan semangat kaum islam Khurasan menentang Portugis.
Tahun 1998, ledakan politik cukup dahsyat. Media baru masih bertunas. Aplikasi laman web biasa sahaja yang mampu memberi info kepada rakyat. Rakyat memilih bahan bacaan dalam bentuk buku-buku politik yang sederhana tebal. Setiap isu ditulis buku dengan kadar yang cukup pantas malah hampir setiap minggu ada buku baru diterbitkan. Pasar malam, gerai-gerai di ceramah umum menjadi gelanggang untuk rakyat meendapat bahan bacaan politik. Ketua-ketua penerangan terpaksa menjadikan rumah emreka perpustakaan buku politik jika mereka ingin menangkis setiap isu. Inilah buktinya membaca adalah tabiat rakyat kita. Cuma ia menjadi senajata akhir orang melayu selepas tiada ruang untuk mereka menerima maklumat alternatif.
Penulis ada bertanya kepada saudara Ahmad Lutfi Osman (Ketua Pengarang Harakah) semasa beliau menyampai ucpan dalam Bengkel Kewartawanan PAS Perak 23 Oktober yang lalu berkenaan perihal ini. Adakah sudah sampai waktunya media cetak dan bertulisan panjang akan pupus terutama dalam dunia harian orang melayu?
Beliau masih optimis dan meyakinkan peserta bengkel betapa medium cetak selamanya akan kekal kerana sifatnya yang tahan lama, mudah dirujuk semula serta mampu menghuraikan setiap isu secara terperinci. Namun beliau juga mengakui, tulisan yang berjela-jela akan tetap kurang mengambil perhatian kecuali bagi rakyat yang perihatin serta kritikal dengan bahan sesuai isu tersebut. Soal grafik juga menjadi faktor penting untuk menarik minat pembaca risalah dan buletin. Yang jelasnya, grafik dan penjadualan yang kemas akan membantu si pembaca mengingati fakta penting yang cuba disampaikan.
Bagaimana pula jika petugas penerangan bukan ahli dalam bidang grafik? Ia suatu cabaran dan ia menjadi hambatan besar kepada pengeluar bahan tulisan, risalah dan buletin untuk meneruskan kerja dakwah mereka. Hal inilah yang penulis rasai hari ini.
Kerjasama yang erat antara penggiat media baru dengan pemerkasaan media konvensional adalah perlu. Pihak ICT dan grafik juga penentu produk penerangan boleh dinikmati semaksima yang mungkin. Manakala kerjasama daripada pihak ikon tempatan seperti bakal calon, pemimpin parti akar umbi juga perlu untuk merealisasikan wawasan penerangan ini. Berita kegiatan mereka perlu diselaraskan dengan pihak penerangan dan ICT.
Bagi penulis selain inovasi dan naik taraf media, sikap optimis dan istiqamah adalah kunci kejayaan utama gerak kerja penerangan.
Gunung Lang Ipoh 26 Oktober 2011
No comments:
Post a Comment