Thursday, October 20, 2011

HIMPUN HORMATI DAN SAMBUT BAIK KEPUTUSAN PAS

Kenyataan Media HIMPUN

19hb Oktober 2011

HIMPUN HORMATI DAN SAMBUT BAIK KEPUTUSAN PAS - HIMPUN MENGUNDANG SEMUA KEPIMPINAN ISLAM DARI PARTI POLITIK UNTUK HADHIR

Sekretariat HIMPUN menghormati dan menyambut baik keputusan PAS bahawa ia tidak terlibat dengan anjuran HIMPUN atas alasan bahawa ini adalah inisiatif NGO dan tidak melibatkan mana-mana parti politik.

Saya berpendapat bahawa ini menjelaskan keadaaan bahawa tidak ada pengaruh parti politik atau mana-mana agensi yang berkait dengan instrumen parti politk dalam penganjuran perhimpunan yang digerakkan oleh NGO Islam.

Persetujuan agensi-agensi kerajaan dan separuh kerajaan serta NGO untuk hadhir dan memberi sokongan adalah atas jemputan sekretariat HIMPUN .

Sesungguhnya dorongan perhimpunan adalah bertolak dari keprihatinan terhadap amanah dan kebertanggungjawaban kepada Allah untuk berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan bukan bertujuan untuk kepentingan mana-mana parti politik .

HIMPUN beriltizam untuk memastikan bahawa penyatuan ummah dapat diperkukuhkan dalam ikatan aqidah sebagai satu-satunya prinsip yang tidak mungkin umat Islam mahu berkompromi atau berpecah.

Oleh kerana itu kami terus membuka undangan kepada semua kepimpinan Islam dari semua parti politik agar bersama dalam perhimpunan tersebut supaya mendidik umat Islam bahawa aqidah umat Islam mesti dipelihara dan betapa perlunya hidup beraqidah dikalangan umat Islam diperkukuhkan dalam sebuah negara berbilang agama.

Dengan kehadhiran semua pemimpin Islam dari pelbagai parti politik diperhimpunan tersebut , kami mengharapkan semua ahli Muslim dari mana-mana parti politik yang cintakan dan prihatin terhadap isu aqidah umat Islam akan memahami bahawa isu aqidah umat Islam merentas dan mengatasi mana-mana kepentingan yang lain.

Ia juga adalah kesempatan baik semua kepimpinan Muslim di negara ini menunjukkan bahawa mereka komited kepada usaha mengekalkan keamanan dan kehidupan harmonis antara agama di negara ini berdasarkan kedudukan Islam yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan .

Sekaligus ini juga peluang kepada semua pihak dari semua kelompok dan lapisan masyarakat Islam untuk menyatakan komitmen sebagai keluarga besar ummah menghargai betapa negara ini perlu dilindungi dari sebarang konflik antara agama .

Kami benar-benar mengharapkan semua pihak memahami bahawa isu yang hendak ditampilkan oleh HIMPUN ialah persoalan mempertahankan aqidah umat Islam dari sebarang gugatan dan ia juga menegaskan komitmen untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan penganut pelbagai agama di negara ini.

HIMPUN bertujuan untuk mendidik umat Islam supaya meningkatkan keiltizaman terhadap hidup beraqidah Tauhid dan memastikan penghayatan Islam benar-benar diamalkan secara menyeluruh.

Semangat untuk mengujudkan perhubungan yang harmonis antara semua penganut agama di negara ini tetap akan dipertahankan berdasarkan hak dan kebebasan beragama seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun HIMPUN ingin menegaskan agar larangan untuk menyebar dan mengembangkan agama selain Islam kepada umat Islam hendaklah dihormati dan tidak dicabar.

Kami akur bahawa sememangnya cara mendidik dan memberi kefahaman yang mendalam adalah cara terbaik dalam memperkukuhkan aqidah umat Islam , namun usaha pihak yang sengaja mahu mengelirukan kefahaman umat Islam tetap perlu diwaspadai.

Sekali lagi kami mengundang semua kepimpinan Islam dari semua parti politik turut hadhir diperhimpunan pada hari sabtu ini dalam semangat ukhuwwah sejati untuk menjunjung amanah Allah dan mengembalikan izzah ummah.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Pengerusi HIMPUN

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)