Thursday, June 30, 2011

Ziarah Pejuang PKMM di Gopeng..Imam Majid Salleh

Selepas mesyuarat Dewan Harian Pemuda tadi, kami sepakat nak ziarah Imam Majid Salleh yang banyak menabur jasa kepada anak muda Gopeng.

Selain dari aspek kuliah-kuliah Maghrib beliau yang banyak mendidik, Imam Majid juga mempunyai pengalaman dan lautan ilmu perjuangan gerakan kiri yang pernah beliau pelopori dalam Kesatuan Buruh, PKMM dan PAS.

Jika anda kagum dengan pemikiran Dr Burhanuddin Al Helmi, apa kata anda ziarah beliau dan ajak beliau bercakap. Walaupun sukar sedikit mengamati perkataan beliau yang kian uzur, beliau tetap ingat setiap plot perjuangan sejak sebelum merdeka hingga kini.

Saya ada tanya berkenaan Logo PKMM lima jari yang memberi 5 prinsip perjuangan agama dan tanahair PKMM...beliau tersenyum lantas cuba menjelaskan hal itu. Ingatan beliau lancar sebagaimana lancarnya beliau mencurahkan pengalaman dalam buku Memoir Majid Salleh terbitan UKM suatu ketika dahulu.

Dahulu, saya kagum dengan aspirasi perjuangan kiri melalui bacaan buku pengalaman beliau itu...tanpa disangka, di Gopeng saya berjaya berjumpa secara langsung dengan beliau.

Isteri saya pun teruja sebab banyak saya telah ceritakan perjuangan PKMM dan hal Imam Majid melalui buku yang saya baca..kini beliau juga berjaya menemui insan ini...

Moga Imam terus sihat....kepada anak muda yang bijak, jangan lupa korek pengalaman beliau...

Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan DPPK Gopeng





Kerjasama politik antara kaum; rakyat jangan buta sejarah.

Kerjasama politik antara kaum; rakyat jangan buta sejarah.

Hujah yang mengajar rakyat mempersoal agenda tahaluf siasiy PAS bersama DAP dan PKR telah menjadi tugasan tetap pihak tertentu tatkala mereka kehabisan modal. PAS dikatakan bersekongkol dengan Cina dengan dengan menggariskan istilah ‘bersekongkol’ untuk menampilkan konotasi negatif (kolaboratif ke arah negatif). Malah lebih lucu apabila si pelontar isu itu sendiri sedang menyokong UMNO yang juga bersama bersepakat dalam politik bersama kaum Cina bernama MCA. Jentera penerangan parti kelihatan banyak menumpukan tenaga untuk menjelaskan dan menjawab isu ini di akar umbi. Walau bagaimanapun lontaran isu mudah sebegini banyak menjerat kaum Melayu pertengahan dan kaum veteran yang masih tidak faham sejarah asal politik plural kaum dan etnik yang telah lama diamalkan oleh ahli politik dan pejuang kebenaran sejak pra merdeka lagi.

Dahulu UMNO yang kini terpaksa bergantung erat dengan politik kaum Cina dan India untuk memerintah negara ini turut menolak pandangan Dato’ Onn Jaafar untuk menerima konsep plural kaum dalam persepakatan politik. (Istilah plural di sini bermakna jamak, bersepakat secara kolektif) Akibatnya, antara sebab Dato’ Onn keluar dari UMNO adalah disebabkan penolakan idea ‘mega’ ini. Keputusannya kita melihat IMP (Independent Malaya Party) serta Parti Negara ditubuhkan untuk merealisasikan politik baharu ini.

UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman hanya menerima kerjasama antara kaum selepas berlakunya beberapa plot politik dalam usaha memerdekakan negara ini.

PAS sendiri telah menerima persepakatan politik plural kaum dan plural ideologi politik apabila berjuang bersama Parti Negara (PN) bagi menentang Perikatan pada 1959. Pilihanraya Umum 1959 menyaksikan Dato Onn kembali ke persada politik nasional apabila memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan hasil kompromi PN – PAS. PN juga memenangi 4 kerusi DUN Terengganu walaupun kemudiannya 3 ADUN PN dibeli UMNO yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan Terengganu.

Jika UMNO mengajar rakyat bahawa fakta ini belum cukup kuat bagi menyaksikan bahawa amalan bergabung antara pelbagai parti adalah amalan biasa, sila lihat sorotan sejarah lebih awal lagi.

Menurut tulisan Ishak Saat (USM), percaturan politik pelbagai kaum yang pertama di Tanah Melayu adalah antara PUTERA-AMCJA pada tahun 1947. Perkara ini cukup menggambarkan suatu kerjasama erat antara kaum. PUTERA telah mengadakan Persidangan Gerakan Kiri di ibu pejabat PKMM di Jalan Batu, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1947. Dalam gabungan tersebut majoriti pertubuhan yang menganggotai PUTERA datangnya dari negeri Perak ataupun berpusat di negeri Perak, seperti PKMM, API, AWAS dan Hizbul Muslimin. (Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic Studies, Vol. 37 (2010): 68 – 85)

Melalui persidangan ini, kesepakatan antara mereka telah melahirkan PUTERA. Gabungan ini dilahirkan untuk memperkasakan pergerakan kiri di Tanah Melayu. Perlu diingatkan kepada UMNO, bahawa PUTERA turut disertai oleh PKMM yang mana antara pemimpinnya adalah juga pemimpin PAS kemudiannya. Malah dalam PUTERA wujud pimpinan Hizbul Muslimin yang kemudiannya menjadi pejuang kepada penubuhan PAS.

Memandangkan waktu itu pergerakan politik Cina turut menentang penjajah British maka PUTERA berpendapat perlulah mewujudkan kerjasama politik dalam kalangan mereka. All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) merupakan gabungan pergerakan Cina berhaluan kiri. Ini jelas menunjukkan golongan Ulama’, nasionalis agamawan negara ini telah lama menerima konsep persepakatan politik antara agama, antara ideologi atas alasan SAMA matlamat SAMA tujuan tertentu. Jelas, Hizbul Muslimin dan PKMM tidak pernah menggadai perkara asas walaupun pernah bersepakat dengan golongan sosialis mahupun komunis.

Pandangan dan langkah tersebut membuktikan bahawa kerjasama politik pelbagai kaum telah dimulai oleh golongan kiri dalam persada politik Tanah Melayu. Caturan politik PUTERA-AMCJA berjaya menyedarkan pihak penjajah, bahawa rakyat pelbagai kaum boleh bersatu untuk terus maju ke hadapan.

Gagasan Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh penjajah British ditentang oleh PUTERA-AMCJA. Lantaran itu, mereka telah melahirkan sebuah perlembagaan yang diberi nama Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. Perlembagaan ini jauh lebih maju ke hadapan berbanding apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Reid yang memasukkan jarum penjajah ke dalam kosmo adat dan politik Tanah Melayu.

British meninjau bahawa kesepaduan antara kaum di Malaya hanya akan mengundang bala kepada agenda neo-koloni yang ingin mereka terapkan. Mereka ingin kaum di Malaya hanya bersatu dalam hal tertentu yang menguntungkan penjajah tetapi kekal komunal yang menjadi aspek pencegahan kepada penolakan sistem pemerintahan warisan British. Maka diberi restu untuk kaum-kaum di Malaysia menubuhkan parti perkauman yang berpisah-pisah. Akta Pertubuhan tahun 1920 yang dikuatkuasakan di Tanah Melayu dijadikan senjata British. Akta ini bertujuan memastikan semua pertubuhan mestilah didaftarkan. Dengan berbuat demikian, ia akan memudahkan penjajah mengawasi pergerakan, perancangan dan matlamat pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Kemudian pada 15 April 1947, akta ini dipinda lagi dan seterusnya dikuatkuasakan bagi memperketat dan mengawasi perjalanan pertubuhan-pertubuhan yang bersifat penentang. Namun kebanyakan pertubuhan yang berpegang kepada konsep perjuangan anti British mengambil sikap tidak mematuhi akta tersebut sehingga kekal ideologi kiri menerbitkan parti istiqamah seperti PAS.

Lantaran itu, J.D. Dalley, Ketua Perisik, Malayan Security Service di Tanah Melayu telah menyenarai dan melabelkan gerakan seperti PETANI, API, PKMM, AWAS, PNI, PETA, Hizbul Muslimin, Barisan Tani SeMalaya, Gabungan Melayu Patani Raya(GEMPAR/GMPR) dan Malayan Demokratic Union(MDU) sebagai radikal dan amat berbahaya kepada British di Tanah Melayu.

Jadi , apa yag perlu kita hairankan jika PAS bersama DAP dan PKR? Mengapa perlu dipertikai PAS pernah berpisah dengan DAP kemudian kembali bersama DAP? Ia hanya adat dalam berpolitik dan tebukti pernah menjadi amalan pejuang awal pra kemerdekaan. Selagi mana persefahaman boleh dicapai atas nama menolak kezaliman, persefahaman itu adalah absah dan ia relevan untuk diamalkan di Malaysia. Komposisi kaum dan atas perkongsian nilai sejagat yang sama menghendaki semua blok politik negara ini memilih jalan persefahaman antara kaum dan ideologi untuk menjatuhkan pihak satu sama lain.

Jika ingin tahu apa pula nilai sepunya kemanusiaan antara PAS dengan Parti Negara suatu ketika dahulu yang mengakibatkan persefahaman politik berjaya dilakukan, kita perlu tahu apa yang Dato’ Onn perjuangkan bersama PAS pada 1959. Dato’ Onn pernah memberi pandangan, para Senator mestilah dilantik daripada kepelbagaian latar belakang politik supaya keputusan di peringkat Dewan Negara akan lebih adil.

Dato Onn juga menentang keras beberapa fasal di dalam Internal Security Bill 1960 (ISA) kerana wujudnya beberapa fasal yang mengekang kebebasan bersuara. Beliau berhujah bagaimana fasal-fasal tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sikap UMNO mempertikai hubungan PAS dengan DAP sama sahaja dengan sikap segelintir ahli UMNO yang pesimis terhadap idea persefahaman antara kaum Dato’ Onn pada 1951 dahulu yang akhirnya melihat UMNO sendiri terpaksa menerima cadangan seumpama Dato’ Onn semata-mata untuk kekal dalam persada politik Tanah Melayu.

Muhamad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

Tuesday, June 28, 2011

Isu negara komunis lapuk dah...

35 aktivis PSM dan Suara rakyat Malaysia (Suaram) yang ditahan di Tol Sungai Duabaru-baru ini.

SUARAM antara penggerak BERSIH dan banyak mendidik masyarakat berkenaan peraturan dan undang-undang dalam BERSIH dan perhimpunan aman.

Kesian SUARAM, sudahlah berjuang untuk menuntut pilihanraya yang adil, telus..kena pula tuduh ingin bangunkan negara komunis....

Kerajaan tiada idea terpaksa buka kamus lama perang saraf tahun 50-60an ala ago go.

Yang percaya adalah pembaca setia UTUSAN...

Golongan muda......tak jalan dah kempen ni

Monday, June 27, 2011

Sambutan 100 tahun Masjid Jamek Lama Gopeng...berjaya diimarahkan..

Kelmarin, 26 Jun 2011(Ahad), saya dan isteri menghadiri sambutan 100 tahun Masjid Jamek Lama Gopeng yang terletak di tengah pekan lama Gopeng. Jarak masjid dekat sahaja dengan rumah warisan Cina Gopeng dan Muzium Gopeng.

Saya dan isteri mengedar risalah 'Jom Imarahkan Masjid Jamek Lama Gopeng' yang kami susun isinya atas permintaan Saudara Abu Bakar (Pemuda Masjid Jamek Gopeng). Memang buat risalah dan edar risalah telah menjadi darah daging saya, ia tidak menjadi masalah.

Bahagian pameran turut disertai pihak Hospital Slim River, Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan beberapa agensi termasuk Jabatan Mufti. Yang menariknya, Jabatan Mufti mengedar beberapa bahan bacaan secara percuma.

Pelbagai pertandingan dan permainan disediakan. Aktiviti dan pameran yang diadakan turut menarik perhatian pengunjung termasuk golongan Cina Gopeng sendiri! Pemandangan yang sukar di dapati di kawasan lain.

Masjid menjadi terbuka dan mesra apabila setiap permainan dan acara seperti urutan tradisional dan kuiz explorace diadakan di dalam dan di persekitaran masjid.

Saya dan isteri menyertai pertandingan Explorace dan kami menjadi johan pertandingan!

Menariknya bukan pada hadiah, tetapi isi pertandingan. Bayangkan anda akan melihat golongan remaja, anak muda dan kanak-kanak berkejaran, berpusu-pusu masuk ke masjid untuk mengira batang tiang hijau dalam masjid, menyalin senarai nama penceramah kuliah bulanan, berusaha mengira bilangan kipas serta mengenali Imam, Siak dan Bilal kerana ingin memenuhi kehendak soalan kuiz. Masjid menjadi mesra kepada anak muda dan remaja.

Acara yang berlangsung bertambah meriah dengan pertandingan Paintball yang dikenakan bayaran RM 3 sahaja. Bagi saya, permainan kontemporari sebegini jika dieratkan dengan masjid cukup dijiwai oleh para anak muda.

Ramai juga anak muda dan pelawat yang menderma darah. Isteri saya juga turut menderma darah buat kali pertama dalam hidupnya.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., masjid pernah dijadikan medan untuk pelbagai acara rakyat dan komunikasi kebudayaan. Kini di Gopeng, saya juga berpeluang menyaksikannya. Tujuan permainan hanya satu...memecah blok dan jarak antara anak muda dan remaja dengan masjid. Walaupun mungkin beberapa minit sahaja berkejaran dalam masjid, tapak masjid telah berjaya menjadi kawasan mereka melakukan aktiviti dan pasti ia akan menggamit hati mereka dengan izinNya.

Beberapa remaja kelihatan bangga apabila mereka diminta membantu ramai peserta kuiz yang perlu menyenaraikan nama remaja yang mewakili masjid dalam perlawanan bola sepak. Penghargaan masjid kepada remaja ini amat tinggi.

Remaja ini bukan sekadar diikat dan dibangunkan atas nama belia, hiburan atau atas tujuan biasa yang mensia-siakan umur mereka, sebaliknya remaja ini akan diasuh dan dijadikan sahabat masjid yang setia dan berjasa untuk agama. Bakat mereka dalam bidang tahlil, azan dan sebagainya akan digilap untuk masa depan ummah bukan seperti sesetengah masjid yang tidak pernah mengizinkan remaja melaungkan azan atau berperanan dalam masjid atas sikap ego dan pesimis terhadap remaja.

Sambutan 100 tahun ini dirasmikan oleh YB Dr Lee Boon Chai AP Gopeng, ADUN Teja dan Ustaz Radzi Zainon (Timbalan YDP PAS Gopeng) dengan mepeaskan belon hijau putih beserta banting ke udara.....

Tahniah ahli jawatankuasa Masjid Jamek Lama Gopeng....saya begitu gembira sehingga membeli sehelai T Shirt berlogo Masjid Jamek Lama Gopeng untuk kenangan keluarga kami.....


Muhammad Nuruddin Bashah dan Isteri


Saturday, June 25, 2011

Panduan bagi peserta Perhimpunan Bersih 2.0

Panduan bagi peserta Perhimpunan Bersih 2.0


*Penting! **Panduan bagi peserta Perhimpunan Bersih 2.0 *

Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur.

Tuntutan Bersih 2.0:

  • Pendaftaran automatik
  • Reformasi undi pos
  • Penggunaan dakwat kekal
  • Akses kepada media
  • Masa berkempen minima
  • Pengukuhan perbadanan awam
  • Hentikan rasuah

BERSIH 2.0 has been actively advocating for electoral reform but our demands have fallen on deaf ears. Bersih 2.0 feels that, the time has come for those mandated to administer the nation to “listen to the voices of the rakyat”. There is a clamour worldwide for greater democratisation of societies and we would invite those in power to heed those voices.

Perhimpunan Bersih 2.0 is threefold: to further press for the rakyat’s demands for electoral reform, strengthening of public institutions, and to take a stand against widespread corruption at all levels of society. We would like to emphasise that this initiative is spearheaded purely by civil society with every intention of inviting all political parties to join forces with the rakyat to promote and uphold democracy in this country.

Kami menjangkakan pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi dan kepercayaan akan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka khususnya dalam mendesak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia untuk mereformasikan pilihanraya.

Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, pihak kami mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu anda dan kami diperingkat penganjur dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar dan aman.

*Perkara yang perlu anda bawa/sediakan *

  1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.
  2. Duit-maksimum RM100 sahaja.
  3. 3. Memakai pakaian yang sopan-T-shirt /baju berwarna Kuning. Sebaiknya ada logo Bersih 2.0
  4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.
  5. Aksesori kempen-Button, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya boleh digunakan.
  6. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.
  7. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula.
  8. Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.
  9. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.
  10. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis *N100 Respirator, N95 Respirator *dan* Surgical facemask* untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.
  11. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.
  12. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.
  13. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.
  14. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com [Kita perlu alamat email yang boleh id lindungi dari spam/hacking, etc – siapa boleh tolong?]

*Perkara yang tidak dibenarkan*

  1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.
  2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.
  3. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal yang menghalang pergerakkan.
  4. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.
  5. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya.
  6. 6. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.
  7. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 tidak dibenarkan.
  8. Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.
  9. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun.
  10. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.
  11. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.
  12. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.
  13. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.

*Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan*

  1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.
  2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.
  3. Pastikan anda telah menunaikan ‘hajat’ sebelum memasuki perhimpunan.
  4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.
  5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.
  6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.
  7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.
  8. Jangan lupa *charge* bateri handphone dan kamera.
  9. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan — Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru
  10. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.
  11. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.
  12. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).
  13. Jangan memakai baju Bersih 2.0 sebelum perhimpunan bermula.

*Semasa perhimpunan dan perarakan*

  1. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru

dan tunggu arahan dari *Field Commander* yang dilantik.

  1. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau *Field Commander* sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada *Field Commander*
  2. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan *Field Commander*.
  3. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
  4. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.
  5. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.
  6. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.
  7. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.
  8. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.
  9. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.
  10. Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.
  11. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi *sound system* akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.
  12. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.
  13. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.
  14. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.
  15. Rakamkan suasana himpunan – gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com.
  16. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.

*Selepas perhimpunan*

  1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.
  2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila laporkan ___________________________________[KL LAC?]
  3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik.
    Dapatkan maklumat ___________________________ berkaitan untuk bebaskan mereka.
  4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.
  5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.
  6. 6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com.

*Apa anda perlu buat jika kumpulan Anti-tuntutan Bersih 2.0 buat Provokasi*

1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan *Field Commander* Unit Amal.

2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.

3. Jangan hampiri mereka.

4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.

5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.

6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.

*Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan*

  1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.
  2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.
  3. Duduk jika pimpinan arahkan.
  4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air *water canon* berwarna kuning.
  5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.
  6. Ambil gambar mereka jika sempat.
  7. Buat laporan Polis jika anda dikasari.

*Apa yang anda perlu buat jika ditahan*

  1. Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.
  2. Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.
  3. Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).
  4. Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawap yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.
  5. Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab “Masih tengah cari kerja” atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai student. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
  6. Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab
    ”Saya kerja swasta atau kerja sendiri”. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
  7. Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu diluar balai jika anda ditahan.
  8. Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab “saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja”. Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.
  9. Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut.
  10. Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.
  11. Jangan terlalu risau kerana, diluar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.

*Apa yang anda buat selepas dibebaskan*

  1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.
  2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.
  3. Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.
  4. Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.
  5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.
  6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.
  7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.
  8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.
  9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.
  10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.
  11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.

*Perhatian!*

  1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.
  2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.
  3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.
  4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini

Secara keseluruhannya, kita berharap Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.

Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak SPR dan kerajaan persekutuan mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem perundangan dan proces implementasi negara kita.

Ingat, Himpunan Bersih berjaya pada 10 November 2007 kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk mereformasikan pilihanraya, mengkukuhkan berbadanan institusi dan hentikan korupsi.

Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada *Field Commander* atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini.

Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini.

Random Posts

Hak Anda Apabila Ditahan Polis (PDRM)

Hak Anda Apabila Ditahan Polis (PDRM)

1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam. Minta Pengenalan Diri Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”

1.2 Kad Kuasa Polis Merah. Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.

Lain-lain Warna :

• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.

• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.

• Putih : Polis Simpanan

Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.

1.3 Berpakaian seragam. Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.

1.4 Kenderaan Peronda Polis. Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.

2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN

2.1 PengenaIan Diri

Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.

2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain

Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"

2.3 Adakah anda sedang ditangkap?

Anda sedang ditangkap jika Polis:

• menjawab "ya";

• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke Balai Polis; atau

• menggari anda.

Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.

2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap?

Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).

3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN

3.1 Pernyataan 112

Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).

3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi

Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.

3.3 Membuat Pernyataan 112

Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.

• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).

• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.

• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.

• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di dalam Nota

Peribadi anda.

• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.

• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.

3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda

Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.

• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.

• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum

ditandatangani.

• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.

4. POLIS MENANGKAP ANDA

4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"

Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.

4.2 Jangan melawan semasa ditangkap

Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.

4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"

Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.

4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap

Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:

1. Keluarga atau rakan; dan/atau

2. Seorang peguam.

3. Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).

Maklumkan kepada mereka:

• yang anda telah ditangkap;

• masa, tempat dan alasan ditangkap;

• Balai Polis di mana anda dibawa.

4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap?

Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:

• Di Balai Polis, atau

• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.

5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN

5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda

boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.

5.2 Pakaian

Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.

5.3 Barangan peribadi

Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.

5.4 Kebajikan

Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.

5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda

Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).

6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM

6.1 Siapakah Majistret

Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada

24 jam.

6.2 Tujuan Perintah Reman

Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda

6.3 Berapa lamakah Perintah Reman

Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam. Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.

Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:

• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya melepaskan anda; atau

• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih pendek daripada

yang dipohon oleh pihak Polis.

Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.

6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapan seorang Majistret untuk proses reman

Maklumkan kepada Majistret:

• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu menghubungi peguam,

pusat bantuan guaman dan keluarga anda;

• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau telah dipukul;

• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa dalam tahanan;

• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau perubatan yang

wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;

• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;

• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan semasa anda dalam

tahanan.

6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat

Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila masa dan tidak akan melarikan diri" dll).

7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN

7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan

Jika anda berada di satu-satu tempat (contohnya: disko/karaoke/ pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu. Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas.

7.2 Apa yang perlu dilakukan

Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya ke dalam

pakaian anda atau kocek/saku anda.

• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu persatu,

setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.

• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/ saku/beg

anda.

7.3 Hak-hak anda

• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional dan sopan.

• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis

wanita.

• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:

1. Bantah;

2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan

3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.

8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU

8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian

• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai bukti/keterangan

berhubung kesalahan yang disyaki.

• Anda ditangkap.

• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda mempunyai hak

untuk diperiksa badan di tempat tertutup.

8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan

Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis pemeriksaan badan:-

1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah - pemeriksaan pakaian

luaran.

2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang terlarang atau

senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.

3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung and telinga.

Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.

4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek dll. di dalam

badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.

8.3 Hak anda

• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan sopan.

• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda semasa

pemeriksaan dilakukan.

• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis

wanita.

9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP

9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda

Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.

9.2 Hak anda untuk berdiam diri

Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya: bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda (Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi, anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri."

9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan

Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.

9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti

Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah, sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda boleh

menggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda semasa perbicaraan.

PUSAT BANTUAN GUAMAN / LEGAL AID CENTRES (LAC)

Kuala Lumpur : 03-2691 3005 / 03-2693 2072

Selangor : 03-5510 7007 / 03-3281 2428

Negeri Sembilan : 06-6013 844

Melaka : 06-2845 519 / 06-2864 514

Johor : 07-2235 698

Perak : 05-2550 523

Kedah & Perlis : 04-7333 467

Kelantan : 04-7448 660

Pahang : 09-5159 244 / 09-2969 410

Pulau Pinang : 04-2617 451/ 04-3108 451

Salute & Sirru Ala BarokatiLlah

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI

Komandan Muslimat (B/2.0)

B/p : Dewan Muslimat PAS Pusat

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)