Kerjasama politik antara kaum; rakyat jangan buta sejarah.
Hujah yang mengajar rakyat mempersoal agenda tahaluf siasiy PAS bersama DAP dan PKR telah menjadi tugasan tetap pihak tertentu tatkala mereka kehabisan modal. PAS dikatakan bersekongkol dengan Cina dengan dengan menggariskan istilah ‘bersekongkol’ untuk menampilkan konotasi negatif (kolaboratif ke arah negatif). Malah lebih lucu apabila si pelontar isu itu sendiri sedang menyokong UMNO yang juga bersama bersepakat dalam politik bersama kaum Cina bernama MCA. Jentera penerangan parti kelihatan banyak menumpukan tenaga untuk menjelaskan dan menjawab isu ini di akar umbi. Walau bagaimanapun lontaran isu mudah sebegini banyak menjerat kaum Melayu pertengahan dan kaum veteran yang masih tidak faham sejarah asal politik plural kaum dan etnik yang telah lama diamalkan oleh ahli politik dan pejuang kebenaran sejak pra merdeka lagi.
Dahulu UMNO yang kini terpaksa bergantung erat dengan politik kaum Cina dan India untuk memerintah negara ini turut menolak pandangan Dato’ Onn Jaafar untuk menerima konsep plural kaum dalam persepakatan politik. (Istilah plural di sini bermakna jamak, bersepakat secara kolektif) Akibatnya, antara sebab Dato’ Onn keluar dari UMNO adalah disebabkan penolakan idea ‘mega’ ini. Keputusannya kita melihat IMP (Independent Malaya Party) serta Parti Negara ditubuhkan untuk merealisasikan politik baharu ini.
UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman hanya menerima kerjasama antara kaum selepas berlakunya beberapa plot politik dalam usaha memerdekakan negara ini.
PAS sendiri telah menerima persepakatan politik plural kaum dan plural ideologi politik apabila berjuang bersama Parti Negara (PN) bagi menentang Perikatan pada 1959. Pilihanraya Umum 1959 menyaksikan Dato Onn kembali ke persada politik nasional apabila memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan hasil kompromi PN – PAS. PN juga memenangi 4 kerusi DUN Terengganu walaupun kemudiannya 3 ADUN PN dibeli UMNO yang mengakibatkan keruntuhan kerajaan Terengganu.
Jika UMNO mengajar rakyat bahawa fakta ini belum cukup kuat bagi menyaksikan bahawa amalan bergabung antara pelbagai parti adalah amalan biasa, sila lihat sorotan sejarah lebih awal lagi.
Menurut tulisan Ishak Saat (USM), percaturan politik pelbagai kaum yang pertama di Tanah Melayu adalah antara PUTERA-AMCJA pada tahun 1947. Perkara ini cukup menggambarkan suatu kerjasama erat antara kaum. PUTERA telah mengadakan Persidangan Gerakan Kiri di ibu pejabat PKMM di Jalan Batu, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1947. Dalam gabungan tersebut majoriti pertubuhan yang menganggotai PUTERA datangnya dari negeri Perak ataupun berpusat di negeri Perak, seperti PKMM, API, AWAS dan Hizbul Muslimin. (Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic Studies, Vol. 37 (2010): 68 – 85)
Melalui persidangan ini, kesepakatan antara mereka telah melahirkan PUTERA. Gabungan ini dilahirkan untuk memperkasakan pergerakan kiri di Tanah Melayu. Perlu diingatkan kepada UMNO, bahawa PUTERA turut disertai oleh PKMM yang mana antara pemimpinnya adalah juga pemimpin PAS kemudiannya. Malah dalam PUTERA wujud pimpinan Hizbul Muslimin yang kemudiannya menjadi pejuang kepada penubuhan PAS.
Memandangkan waktu itu pergerakan politik Cina turut menentang penjajah British maka PUTERA berpendapat perlulah mewujudkan kerjasama politik dalam kalangan mereka. All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) merupakan gabungan pergerakan Cina berhaluan kiri. Ini jelas menunjukkan golongan Ulama’, nasionalis agamawan negara ini telah lama menerima konsep persepakatan politik antara agama, antara ideologi atas alasan SAMA matlamat SAMA tujuan tertentu. Jelas, Hizbul Muslimin dan PKMM tidak pernah menggadai perkara asas walaupun pernah bersepakat dengan golongan sosialis mahupun komunis.
Pandangan dan langkah tersebut membuktikan bahawa kerjasama politik pelbagai kaum telah dimulai oleh golongan kiri dalam persada politik Tanah Melayu. Caturan politik PUTERA-AMCJA berjaya menyedarkan pihak penjajah, bahawa rakyat pelbagai kaum boleh bersatu untuk terus maju ke hadapan.
Gagasan Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu yang dianjurkan oleh penjajah British ditentang oleh PUTERA-AMCJA. Lantaran itu, mereka telah melahirkan sebuah perlembagaan yang diberi nama Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. Perlembagaan ini jauh lebih maju ke hadapan berbanding apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Reid yang memasukkan jarum penjajah ke dalam kosmo adat dan politik Tanah Melayu.
British meninjau bahawa kesepaduan antara kaum di Malaya hanya akan mengundang bala kepada agenda neo-koloni yang ingin mereka terapkan. Mereka ingin kaum di Malaya hanya bersatu dalam hal tertentu yang menguntungkan penjajah tetapi kekal komunal yang menjadi aspek pencegahan kepada penolakan sistem pemerintahan warisan British. Maka diberi restu untuk kaum-kaum di Malaysia menubuhkan parti perkauman yang berpisah-pisah. Akta Pertubuhan tahun 1920 yang dikuatkuasakan di Tanah Melayu dijadikan senjata British. Akta ini bertujuan memastikan semua pertubuhan mestilah didaftarkan. Dengan berbuat demikian, ia akan memudahkan penjajah mengawasi pergerakan, perancangan dan matlamat pertubuhan-pertubuhan tersebut.
Kemudian pada 15 April 1947, akta ini dipinda lagi dan seterusnya dikuatkuasakan bagi memperketat dan mengawasi perjalanan pertubuhan-pertubuhan yang bersifat penentang. Namun kebanyakan pertubuhan yang berpegang kepada konsep perjuangan anti British mengambil sikap tidak mematuhi akta tersebut sehingga kekal ideologi kiri menerbitkan parti istiqamah seperti PAS.
Lantaran itu, J.D. Dalley, Ketua Perisik, Malayan Security Service di Tanah Melayu telah menyenarai dan melabelkan gerakan seperti PETANI, API, PKMM, AWAS, PNI, PETA, Hizbul Muslimin, Barisan Tani SeMalaya, Gabungan Melayu Patani Raya(GEMPAR/GMPR) dan Malayan Demokratic Union(MDU) sebagai radikal dan amat berbahaya kepada British di Tanah Melayu.
Jadi , apa yag perlu kita hairankan jika PAS bersama DAP dan PKR? Mengapa perlu dipertikai PAS pernah berpisah dengan DAP kemudian kembali bersama DAP? Ia hanya adat dalam berpolitik dan tebukti pernah menjadi amalan pejuang awal pra kemerdekaan. Selagi mana persefahaman boleh dicapai atas nama menolak kezaliman, persefahaman itu adalah absah dan ia relevan untuk diamalkan di Malaysia. Komposisi kaum dan atas perkongsian nilai sejagat yang sama menghendaki semua blok politik negara ini memilih jalan persefahaman antara kaum dan ideologi untuk menjatuhkan pihak satu sama lain.
Jika ingin tahu apa pula nilai sepunya kemanusiaan antara PAS dengan Parti Negara suatu ketika dahulu yang mengakibatkan persefahaman politik berjaya dilakukan, kita perlu tahu apa yang Dato’ Onn perjuangkan bersama PAS pada 1959. Dato’ Onn pernah memberi pandangan, para Senator mestilah dilantik daripada kepelbagaian latar belakang politik supaya keputusan di peringkat Dewan Negara akan lebih adil.
Dato Onn juga menentang keras beberapa fasal di dalam Internal Security Bill 1960 (ISA) kerana wujudnya beberapa fasal yang mengekang kebebasan bersuara. Beliau berhujah bagaimana fasal-fasal tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sikap UMNO mempertikai hubungan PAS dengan DAP sama sahaja dengan sikap segelintir ahli UMNO yang pesimis terhadap idea persefahaman antara kaum Dato’ Onn pada 1951 dahulu yang akhirnya melihat UMNO sendiri terpaksa menerima cadangan seumpama Dato’ Onn semata-mata untuk kekal dalam persada politik Tanah Melayu.
Muhamad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan DPPK Gopeng
No comments:
Post a Comment