Thursday, February 02, 2012

Ceramah Berkembar; Strategi lambang paranoid UMNO

Ceramah Berkembar; lambang paranoid UMNO

Sikap kebudak-budakan jentera UMNO Gopeng kembali terserlah di mata rakyat apabila sekali lagi UMNO Gopeng di bawah arahan YB Dato’ Hamidah Osman mengadakan ceramah bersebelahan dengan ceramah Pakatan Rakyat di UPU Kampung Pisang, Batu Gajah hari ini, 1 Februari 2012.

Sehingga kini, hanya UMNO Perak dan Melaka sahaja yang melaksanakan dasar pembutaan maklumat kepada rakyat melalui usaha menutup kehadiran rakyat ke majlis ceramah Pakatan Rakyat dengan mengadakan program ceramah serentak atau boleh dikatakan sebagai ceramah berkembar.

Jika di Barat, kita melihat demokrasi matang mereka mengakibatkan pembangkang bebas berceramah dan berpidato di merata tempat. Pihak parti lain pula akan menghormati pihak yang sedang berceramah dengan tidak menimbulkan gangguan seperti apa yang UMNO ajar kepada anak muda di Perak.

Rakyat Batu Gajah dan Gopeng dapat menilai insiden malam ini yang dimeriahkan dengan ceramah oleh Bob Lokman dan YAB Dato’ Seri Ir Nizar sebagai simbol paranoid ADUN Sg Rapat (YB Dato’ Hamidah Osman) terhadap kebangkitan rakyat Gopeng dan Batu Gajah yang bakal menolak beliau dalam PRU-13 nanti.

UMNO mengekalkan prestasi sebagai parti yang tidak membangunkan generasi berakhlak apabila sanggup mengupah remaja bermotor untuk membuat bising sambil memegang bendera BN di kawasan ceramah Pakatan Rakyat. Lebih lucu, beberapa remaja telah ditahan oleh polis yang berkawal di tapak ceramah kerana menunggang sambil memegang bendera.

Sekitar 300 orang yang menghadiri ceramah UMNO tanpa permit ini kelihatannya lebih tertarik dengan jamuan makan percuma, wang kopi dan duit minyak bagi remaja motosikal yang ditaja oleh UMNO. Malah ada yang sanggup menunggu hingga 11.30 malam semata-mata untuk pengumuman keputusan cabutan bertuah!

Adakah UMNO menilai majlis malam ini di Kampung Pisang sebagai majlis penerangan jika kehadiran di khemah-khemah UMNO hanya disertai oleh wanita-wanita Melayu, kanak-kanak, pelajar sekolah dan para penunggang motosikal remaja bawah umur? Adakah strategi UMNO memberi penerangan dengan diupah dengan cabutan bertuah?

Rata-rata rakyat menyatakan negeri Perak boleh bangkrap kerana penerangan UMNO sebegini terpaksa menelan wang belanja sebanyak RM 60 000 hanya dalam tempoh semalam! Sedangkan ceramah Pakatan Rakyat bersebelahan hanya menggunakan modal RM 1000 sahaja!

Dari jeritan dan laungan serak suara ADUN Sg Rapat melaungkan ‘Hidup UMNO’ pada jam 11.45 malam melambangkan kehampaan beliau kerana majlis penerangan UMNO itu hanya dipenuhi dengan penceramah (termasuk ADUN) yang bukan berceramah sebaliknya menjerit dan menempik sehingga beberapa remaja menutup telinga di belakang khemah.

Disebabkan mereka menjerit dan melalak dengan dahsyat dengan harapan menutup pembesar suara Pakatan Rakyat, mereka hanya mampu berceramah sehingga jam 11.30 malam sahaja, manakala Pakatan Rakyat yang berceramah tenang mampu bertahan sehingga 12.20 malam. Malah 20 minit tambahan selepas jam 12 tengah malam diberi atas kebenaran OCPD Balai Polis Batu Gajah kerana awal ceramah terganggu akibat hujan.

OCPD yang bersimpati dengan penyokong Pakatan Rakyat yang sanggup berhujan semata-mata mempertahankan majlis yang sah mendapat permit polis telah dipuji sendiri oleh YAB Dato’ Seri pada muqaddimah ceramahnya.

Ternyata paranoid UMNO Gopeng akan terus mencengkam kerana ternyata sasaran mereka untuk mengatasi majlis Pakatan Rakyat memberi maklumat dan memahamkan rakyat tidak berjaya.

Jika dibincang dari aspek majmuk kaum, ceramah Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan status sebagai majlis ceramah multi-kaum yang berkesan. Sebaliknya cukup memalukan apabila ADUN Sg Rapat mengarahkan pihak urusetia majlis UMNO memasang lagu 1 Malaysia dengan kuat sedangkan majlis mereka hanya dipenuhi dengan kaum Melayu serta ceramah yang sarat dengan perkauman dan sorakan Hidup Melayu.

Kecerdikan rakyat Gopeng dan Batu Gajah kian nampak melalui kehadiran pendengar yang semakin ramai serta konsisten sehingga tamat majlis.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Unit Penerangan MTD Sg Rapat

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)