Tuesday, January 21, 2014

Kenyataan Media- Wasatiyyah, sederhana dalam hidup, adil terhadap syariat


Kenyataan Media
21 Januari 2014

Wasatiyyah, sederhana dalam hidup, adil terhadap syariat

Saya merasakan agak tidak ketinggalan jika saya mengucapkan Selamat Menyambut Kelahiran Junjungan Mulia kita Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1435H bersamaan 2014M. Saya merasakan terpanggil untuk menyatakan beberapa perkara untuk rakyat DUN Sungai Rapat khususnya dan rakyat Malaysia amnya berkenaan hari mulia ini memandangkan tema sambutan peringkat kebangsaan bertemakan kesederhanaan.

Wasatiyyah atau dalam bahasa melayunya bererti umat Islam yang adil, sederhana serta istiqamah dalam menuruti syariah. Inilah takrifan bagi istilah wasatiyyah yang saya kutip daripada Tafsir Ibnu Kathir. Umat Islam yang memahami wasatiyyah pertamanya akan menuruti kehendak syariah yang Rasul tinggalkan malah berusaha menjadi uma yang adil, menolak perkara haram serta menegak kebenaran serta perkara halal di tempat yang sewajarnya.

Dalam suasana rakyat termasuk rakyat DUN Sungai Rapat menghadapi kenaikan kos sara hidup, dalam menerima ujian dalam pelbagai segi kehidupan duniawi, kesederhanaan adalah suatu yang wajar untuk menjamin kemandirian kita di bumi Malaysia ini.

Namun saya berpandangan kerajaan Malaysia yang menghebahkan istiah wasatiyyah saban tahun ini perlu memahami terlebih dahulu etimologinya, falsafah dan kepentingan istilah wasatiyyah.

Istilah wasatiyyah jangan dijadikan gula-gula melunakkan gelodak kemarahan rakyat akibat pemborosan harta awam, penyelewengan bajet serta pembaziran yang mengakibatkan rakyat terpaksa membayar balik hutang negara melalui kenaikan kos hidup dan penafian sebahagian besar subsidi.

Saya menyeru agar pemimpin sama ada pemimpin kerajaan mahupun kepimpinan parti pembangkang agar turut menghayati erti kesederhanaan dan gaya hidup sederhana. Janganlah kita dinilai sebagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus apabila kepimpinan sendiri tidak mengamalkan cara hidup sederhana. Saya menyampai mesej ini juga kepada diri saya serta kepimpinan parti saya sendiri Parti Islam SeMalaysia memandangkan peringatan (tazkirah) itu ada manfaatnya untuk sekalian muslimin.

Kepada para pendokong PAS saya juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan kita peri pentingnya kita memahami pengundi sebagai medium mad’u (sasaran dakwah) yang perlu dibimbing dan diasuh. Jangan sesekali kita menganggap madu’ kita rendah tarafnya atau jahil daripada kita. Kita perlu mengasuh dan terus mengajar kebenaran agar mereka memahami apa itu kebenaran dan apa itu kebatilan secara sahih dan berfakta. Perbezaan kita dengan UMNO ialah UMNO menganggap pengundi sebagai alat kemenangan menjelang pilihanraya sahaja. Ini adalah antara intipati wasatiyyah iaitu adil terhadap pengundi atau madu’ kita.

Saya juga mengingatkan kepimpinan kerajaan negeri Perak agar bersederhana dalam menjayakan sesebuah projek atau program. Suatu ketika Rasulullah dengan sifat wasatiyyahnya pernah menjalankan ‘projek’ besarnya dengan membina Masjid Nabawi dengan mengguakan pohon kurma sahaja. Cukup sederhana. Namun impaknya besar dan masjid itu bukan sahaja imarah malah berfungsi menyatukan umat Islam serta menjadi medan non muslim mendalami ilmu Islam.

Ini menunjukkan Rasulullah mementingkan program ‘high impact’ berbanding program atau projek ‘high ranking’ dengan ‘high budget’ yang hanya mengejar status dan melobi nama semata-mata. Saya merujuk hal ini juga kepada kes naik taraf lapangan terbang Ipoh yang kelihatan membazir tanpa ketelusan dan hasilnya tidak berjaya menarik pelancong sebagaimana yang dihajatkan kerajaan negeri.

Semoga hari kelahiran Nabi kita disambut dengan keinsafan. Hari kelahiran Nabi adalah hari munculnya susuk tubuh yang berfungsi hebat selepas menerima wahyu 40 tahun kemudiannya. Bersederhanalah dalam kehidupan dan bersikap adillah terhadap syariat Islam.

YB Radzi Zainon
ADUN Sungai Rapat


Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)