HARAKAH KEKAL TANGGUNGJAWAB ISTIQAMAHNYA
Muhammad Nuruddin Bashah
Pasca
Muktamar Pusat, atau pun sebelumnya, saya tidak berminat menulis dan
mengulas isu konflik secara terbuka. Apabila membaca Harakah keluaran
beberapa minggu lalu, saya tertarik dengan sisipan Fikrah yang
mengenengahkan fungsi dan kemampuan Harakah sebagai medan dakwah dan
siasah yang baik. Saya fikir ada baiknya saya menulis serba sedikit
kenangan indah saya bersama akhbar rasmi PAS ini. Harakah adalah
akhbar yang kekal bertanggungjawab secara ISTIQAMAH hingga kini.
Setiap gerakan Islam yang hebat pasti ada wadah
media yang menjadi proksi aau lidah rasmi yang mengiringi perjuangan
mereka. Akhbar, majalah, jurnal atau risalah adalah antara bahan
utama yang membantu gerakan Islam sejak awal gerakan muwajahah
silmiyyah diperkenal oleh Ikhwanul Muslimin. Teringat saya kisah
indah kehebatan akhbar-akhbar Ikhwan yang dinukilkan oleh Dr Yusuf Al
Qaradhawi di dalam buku Aku Dan Al Ikhwan Al Muslimun.
Akhbar Al Ikhwan bukan sahaja dijadikan bahan dakwah dan agenda
siasah Ikhwan, malah ia diambil kesempatan pula oleh Imam Hassan Al
Banna untuk menulis secara berkala dengan membawa agenda tarbiah
sebagai agenda besar. Kuliah setiap hari selasanya dijadikan Risalah
Selasa dan juga dimaktubkan di dalam akhbar Ikhwan.
Hal ini bagi saya tidak pelik malah ia juga amalan di Malaysia,
Mursyidul Am PAS dan Presidennya tidak kering idea dan ilmu untuk
terus menulis secara ISTIQAMAH dalam kolum khas nasihat dan tafsir
mereka masing-masing. Malah jika tidak salah saya, Presiden kita
Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang telah mengulas tafsir dalam
kolumnya sebelum menjadi presiden lagi. Inilah pengiktirafan
berterusan Harakah kepada generasi ulama’ dan tuan guru-tuan guru
berkaliber yang ada di dalam PAS. Kolum itu menjadi kegemaran saya
dan saya secara berkala masih mengumpul dan meneliti bahan-bahan
kedua Tuan Guru itu. Kepada mahasiswa atau aktivis yang bukan aliran
agama, bahan seperti ini sahaja pun mampu menyebabkan anda
berkebolehan untuk bertazkirah jika anda memanfaatkan tulisan
-tulisan ini.
Saya tertarik dengan saranan Haji Ishak Surin YDP Kawasan Batu yang
menyarankan agar golongan yang ‘berada’ atau berkemampuan untuk
membeli Harakah dan menajanya untuk diedar kepada para pengundi,
penyokong atau pihak yang tidak mengundi PAS. Bahan dalam Harakah
sarat dengan isi 3 elemen Tarbiah, dakwah dan siasah. Ia mampu
melunak hati yang keras untuk menerima kebenaran. Persoalannya ia
perlu dibaca dengan ‘ISTIQAMAH’ dan itulah peranan kita
memastikan bahan ini secara konsisten sampai ke tangan mereka.
Saranan YDP Batu itu tidak baru, suatu ketika YB Ustaz Idris Ahmad
juga pernah menyarankan untuk ahli PAS meletak Harakah di rumah-rumah
pengundi dan kedai-kedai kopi untuk dijadian bahan sembang, bahan
diskusi semasa ‘mengeteh atau mengopi’. Semasa saya menjadi Ketua
Penerangan MTD Sungai Rapat sepanjang pilihanraya yang lalu, saya
pernah membuat kertas kerja khas bagaimana UPU perlu menyahut seruan
Ustaz Idris yang telah beliau bentang dalam Liqa’ Fikri PAS Perak
sebelum itu malah saranan itu juga dimuatkan dalam artikel tetap
Ustaz Idris dalam Harakah. Alhamdulillah ada UPU yang menyahut seruan
dan memandang penting agenda ini.
Suatu ketika pasca pemecatan DSAI, Harakah menjadi terlalu laris
bagaikan ikan yang naik ke darat sebelum tsunami. Saya menghayati
fenomena itu kerana saya antara penjual Harakah sekitar tahun 1998
hingga 2002. Bapa saya sebagai pesara guru telah memiliki sebuah
kedai ubatan tradisional dan kitab telah menjadikan Harakah sebagai
salah satu bahan jualan kami. Untung tidak ke seberapa tetapi
kepuasan memberi bahan yang amat ditagih ketika itu cukup terasa.
Mungkin itulah perasa pengedar dadah, berasa puas memberi bahan tagih
kepada para penagih, jika boleh diumpamakan. Kami terpaksa menunggu
bekalan Harakah di Taman Brown Pulau Pinang daripada Pak Ibrahim
(pengedar tahun-tahun itu). Kami juga terpaksa menjadi tukang angkut
kepada pengedar Harakah lain yang tidak sempat ke Taman Brown setiap
kali keluaran muncul. Harga ketika itu adalah RM 1.30. Sekaligus
hubungan kami sesama penjual menjadi erat.
Pembeli Harakah ketika itu ada yang berseloroh, ‘dadah dah sampai
belum, kami gian dah ni’. Dalam zaman yang belum dipengaruhi sihir
media sosial dan gajet, akhbar cetak seperti Harakah menjadi tumpuan
dan ia paling terserlah berbanding akhbar pembangkang lain.
Ada yang ingin menjadi pengedar ‘segera’ mengambil bekalan kepada
kami tanpa mahu mengambil untung dan dijual dengan harga yang sama.
Fenomena apakah ini? Ya para petugas PAS ketika itu sanggup menjadi
kaki tangan Haraah secara tidak rasmi kerana Harakah benar-benar
memacu GERAK, Reformasi dan segala kebangkitan ketika itu.
Kami jual hingga ke pasar tani dan pasar malam. Hari ini kita tidak
lihat lagi suasana menjual harakah secara gerai ke gerai. Saya pernah
melakukannya apabila Harakah Isnin tiba, kami yang juga memiliki
gerai di Pasar Tani Ahad di Balik Pulau, mengelek Harakah untuk
dijual dari orang ke orang, gerai ke gerai ala-ala ‘salesmen’
kerana Harakah dikehendaki segera oleh pembaca. Ayat ‘Harakah
satu’, mai aku punya satu, ‘bagi stok lebih sikit’ adalah ayat
yang saya masih ingat semasa menjual ala ‘salesmen’ dahulu. Ada
juga yang ‘nakal’. Melempar Harakah yang saya hulur di hadapan
saya. Oh ya ketika itu penyokong Dr Mahathir kan masih ada. Mereka
cukup bencikan Harakah.
Apabila fenomena Harakah dikesan juak-juak Dr Mahathir maka beliau
geledah dan rampas Harakah sesuka hati. Stok tergencat banyak kali.
Ramai yang marah-marah pengedar seperti kami. Harakah dijadikan
keluaran 2 kali sebulan! Tidak masuk akal dan harga menjadi RM 2.50.
Harakah cukup tebal dan tidak mampu membuat liputan semua berita kena
semuanya hangat dan panas. Harakah kembali normal cuma harga tidak
kembali ke RM 1.30. Harga RM 2 cukup murah bagi anda memiliki JURNAL
HARAKI seperti Harakah.
Harakah bermaksud gerakan. Secara bahasa dan istilahnya, Harakah
memang telah terbukti menjadi akhbar gerakan dan ia bergerak secara
ISTIQAMAH. Merujuk Tema Ucapan Rasmi Presiden PAS baru-baru ini,
‘Terus ISTIQAMAH’, Harakah telah lama berISTIQAMAH dalam membawa
mesej lidah jamaah. Dalam mengharungi krisis MB Selangor, Harakah
menjadi lidah yang mengembali fokus, tidak bersifat batu api
sepertimana sihir media sosial, terus membawa isu kepincangan
Barisan Nasional, mengenengah isu ekonomi, mustadhafin dan luar
negara walaupun krisis kelihatannya lebih diminati oleh ahli PAS.
Tidak hairan portal talian, meda sosial lebih diminati ahli PAS
berbanding Harakah saat ini kerana Harakah tidak mengapikan krisis.
Saya teringat kata-kata Pengarang Harakah Ahmad
Lutfi Othman dalam Persidangan ICT & Media Baru 2011
di KUIZM, beliau menegaskan media sosial dan media alternatif bukan
mukjizat yang boleh membangkitkan rakyat atau mencorak sesuatu
revolusi. Ia hanya menghebahkan dan menyemarakkan maklumat sahaja
tanpa ada etika jurnalism dan etika kewartawanan yang berkesan. Tiada
nilai pertanggungjawaban dalam menghebah atau menulis di media
sosial. Inilah bezanya dengan Harakah. Kenyataan dalam talian cukup
pantas dan segera kadangkala tidak melalui proses perenungan
matlamat, faktor luaran dan kesam akibat sesuatu penulisan. Tidak
seperti akhbar terbit /cetak yang terpaksa melalui proses demi proses
sebelum dicetak. Kerana itu tulisannya matang.
Saya menjadikan Harakah sebagai materi utama dalam
kerja news monitoring
saya saban bulan. Sejak tahun 2007 hingga kini koleksi buku skrap
pemantauan isu telah berpuluh-puluh dan isi perutnya kebanyakkan
daripada Harakah. Kerja research dan meneliti isu secara belakang
tabir yang saya lakukan beberapa tahun lalu untuk beberapa pemimpin
jamaah juga mengambil manfaat daripada kerja news
monitoring yang saya lakukan tanpa
mengira jawatan, masa dan tanpa arahan sesiapa. Ia hobi, minat dan
kesungguhan yang terbit kerana saya tida tergamak me ‘let go’
Harakah lama saya sebagai pembalut nasi lemak dan kepada pihak
recycle paper sebelum saya membedah isi Harakah itu.
Bak kata Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dalam video biografi yang
saya tonton beberapa tahun lalu, kata beliau Harakah umpama jurnal
dan bahan separa akdemik ilmiah yang padat. Membacanya perlu teliti
dan bersungguh. Jika membaca dan meneliti Harakah Insya Allah
manfaatnya akan dirasai. Itulah antara ungkapan Mursyidul Am dalam
video berkenaan jika saya tidak tersilap ingat.
Sejak mendengar ucapan itu, saya cuba mengajar diri saya membaca
dengan tekun isi Harakah.
Agenda tarbiah juga telah lama menjadi agenda besar Harakah. Kolum
dua Tuan Guru kita, kolum Ustaz Zainuddin Hashim, Abdul Shukor Harun,
dan Kolum Ustaz Idris Ahmad. Tetapi adakah ia menjadi bahan bacaan
‘ISTIQAMAH’ ahli PAS. Adakah ahli PAS menitik beratkan menjadikan
kolum ini sebagai bacaan wajib dalam usrah-usrahnya?
Jika di sekolah adalah majalah dalam darjah, ada akhbar dalam darjah,
apa salahnya dalam usrah iaitu bilik darjah dalam jamaah diadakan
akhbar dalam darjah iaitu Harakah? Saya yakin Harakah belum dimanfaat
sepenuhnya oleh ahli dalam medan diskusi. Hal inilah yang mengganggu
keseimbangan 3 elemen pemusatan kerja dalam jamaah. Elemen tarbiah
menjadi dingin, lesu, malap dan mandom. Saban muktamar mengumandang
idea tarbiah yang dinamik tetapi hakikatnya agenda mudah membedah
Harakah pun belum mampu diISTIQAMAHkan oleh ahli dan para naqib dalam
PAS bagaimana ingin dinamik lagi?
Presiden TERAS Cikgu Hj Azmi Abd Hamid ada mengulas bahawa Harakah
telah menjadi media mainstreem. Saya juga mengikuti pemikiran dan
kerja buat beliau dalam NGO MAPIM di Utara. Beliau antara pembaca
Harakah yang tegar, setegar dua Tuan Guru kita yang membaca Harakah
walaupun di dalam wad.
Ia kekal mainstreem sudah berdekad usianya sejak tahu 1987. Sejarah
menyaksikan akhbar kebangkitan rakyat lain tidak mampu kekal seperti
Al Imam, Pengasoh, Neracha dan juga zaman kita ini bebrapa nama
akhbar yang tidak perlu kita nyatakan namanya telah terpadam
penerbitannya. Mungkin kita boleh berkata akhbar islamis yang diharam
berkenaan dilakukan oleh penjajah dan Harakah muncul di zaman moden
1980an. Tetapi realitinya Harakah bertahan dan ia mampu kekal. Faktor
utama adalah ia akhbar yang berpenyokong. Semasa saya menulis untuk
Era Pakatan sekitar tahun 2009, akhbar yang mulai naik nama itu padam
di pertengahan jalan. Ia tiada pendokong yang mahu membelanya semasa
aktiviti ‘penyaun’ mengeledah dan merampas naskhah Era Pakatan
ketika itu. Mereka rugi ribuan ringgit. Maka perlu kita sedarkan
kepada para ahli dan penyokong label akhbar untuk ahli PAS sahaja
jangan dianggap sebagai ancaman Akta Cetak sahaja. Anggaplah ia satu
motivasi bahawa ahli PAS perlu muhasabah kerana masih ramai ahli PAS
yang tidak berselera membaca Harakah akhbar jamaah sendiri malah
lebih gemar membaca akhbar rakan Pakatan Rakyat yang lain walaupun ia
tidak menjadi kesalahan.
Saya mendoakan Harakah terus ISTIQAMAH dan kekal dalam perjuangan
memartabat Islam dan rakyat di Malaysia.
Muhammad Nuruddin Bashah
AJK DPP Sungai Petani
Timbalan Ketua Penerangan DPP Negeri Kedah
Ahli PAS
Jitra 8.54 pagi
20 September 2014