Tuesday, March 31, 2009

Kempen di Bukit Gantang- Isu bahasa

Saya kini dalam proses menukar tapak kerja dalam PAS dari kawasan Balik Pulau ke kawasan Gopeng, Perak. Alhamdulillah, saya telah dapat menghubungi petugas Parti di sana. Individu harakah perlu melaporkan diri di mana dia berada agar kesinambungan kerja (amal mutawasil) boleh berlaku. Sempena pilihanraya kecil Bukit Gantang ini, saya diserapkan dalam jentera Penggerak Pilihanraya Kelab Penyokong PAS Perak berpusat di Kampung Boyan. Lebih menarik apabila Kelab Penyokong PAS menaungi NGO-NGO di Perak yang bersama bekerja keras untuk mengembalikan kuasa rakyat dan keadilan di bumi Perak. Markaz ini adalah markaz NGO-NGO Perak, Jamaiy Perak serta menjadi pusat gerak kerja golongan non muslim yang bersama kami, berkempen siang dan malam di Bukit Gantang kelak.

Semalam saya sempat bermesyuarat di Pejabat PKR Bahagian Tambun bersama golongan non muslim. Mereka sedia bekerjasama dengan Kelab Penyokong PAS demi memenangkan YB Ir Nizar yang mereka kasihi.

Saya juga kini menjadi penyelaras Program Kempen Cintai Bahasa dengan kerjasama Jamaiy Perak dan Gabungan Mansuh PPSMI (GMP). Alhamdulillah, saya telah berjaya menghubungi Prof Shahrir, Prof Abdullah Hassan, Cikgu Azmi dan Ustaz Azahan (Juara Akademi Nasyid) untuk konsert Cintai Bahasa.

Program ini bakal berlangsung satu hari pada 4 April nanti. Program ini bermula sekitar pukul 2 petang iaitu menjelajah kampung ke kampung untuk menjelaskan isu PPSMI dan penataran hak bahasa Melayu. Pada pukul 5 petang pula di adakan jamuan Hi-Tea bersama pemimpin gerakan GMP, pencinta bahasa dan rakyat Bukit Gantang. Pada sebelah malam pula akan diadakan ceramah masjid ke masjid untuk menjelaskan lagi isu bahasa melayu ini. Pada pukul 9 malam akan diadakan konsert Cintai Bahasa yang disusun bersama Seniman Paksi. Insya Allah, Saudara Dinsman serta beberapa artis akan berada di Bukit Gantang.

Insya Allah kempen kali ini akan lebih bermakna di samping terus membawa isu PPSMI di peringkat massa dan peringkat akar umbi. Tanpa sokongan massa, isu bahasa ini akan dimanipulasi oleh pemerintah hingga membutakan rakyat. Isu ini bukan isu intelektual sahaja, tetapi isu rakyat.

Kali ini saya terpaksa menolak perlawaan JIM Ipoh untuk bertugas dalam Mafrel kerana perlu memberi tumpuan kerja dalam siri kempen ini. Insya Allah akan datang saya akan berada dalam Mafrel untuk belajar teknik pemantauan pilihanraya.

Muhammad Nuruddin Bashah
Ipoh Perak

Monday, March 30, 2009

Kini bersama berada dalam orbit Benar VS Batil

Artikel ini disiarkan dalam Harakah Edisi Isnin 20-23 April 2009


Kebenaran lawannya tetap kebatilan dan begitulah sebaliknya. Dalam segala rencah dan kerencaman perilaku serta ragam tindakan manusia, pasti ia akan kembali kepada orbit asal iaitu pertentangan antara hak dan batil. Bagaimana boleh dikaitkan falsafah di atas dengan realiti? Lihat kes-kes dalam negara hari ini.


Kini semua NGO di Perak akan bersatu membantu memenangkan calon pilihanraya kecil yang sanggup mempertahankan kedaulatan undang-undang Tubuh Perak di samping mengekalkan kelangsungan perjalanan selesa NGO-NGO berkenaan sejak 11 bulan dalam pemerintahan Pakatan Rakyat. NGO adalah badan bukan kerajaan. Hari ini NGO juga mulai bersuara ingin mempertahankan politik yang absah melalui jalan yang disepakati ramai iaitu demokrasi berparlimen. Bukan NGO dipergunakan malah bukan dalang yang memanipulasikan NGO. Sebaliknya NGO mula berada dalam orbit asal menentang batil secara berhadapan. Ini realitinya.

Isu PPSMI pada awalnya didokongi massa. Kemudiannya surut. Dihidupkan kembali oleh pakar-pakar bahasa dan sasterawan yang berhati perut terhadap bahasa warisan rantau Melayu. Isu ini akhirnya disambut massa semula melalui demostrasi jalanan yang cukup besar. Sasterawan yang berjasa mempertahankan bahasa ibunda disiram dengam air asid dan ditembak dengan gas pemedih mata! Mulalah laungan sasterawan dan ahli bahasa dimanipulasikan oleh ahli politik pembangkang. Mulalah ada tuduhan seolah-olah ideologi politik PAS merasuk dalam minda sasterawan negara. Bila benar ingin menentang yang batil….benar akan bersatu dalam pentas yang sama. Lantaran itulah PAS memilih jalan politik untuk menentang kebatilan utama di sesebuah negara iaitu pembuat dasar. Disebabkan pembuat dasar menggunakan politik berparti, maka ulama’ tahun 1950an mendaftarkan Persatuan Ulama’ Setanah Melayu sebagai sebuah parti politik. Itu sahaja sebabnya. Jika negara ini pembuat dasarnya hanya berforum dan berbengkel, dasarnya pula sekular dan bercanggah dengan Islam serta zalim, nescaya kita yakin ulama’ tahun 1950an akan mendaftarkan harakah Islamiyyah PAS sebagai sebuah persatuan agama, NGO atau sekreteriat dakwah sahaja.

Hak dan batil bukan sekadar isu agama. Hak dan batil juga melibatkan sebarang pencabulan keharmonian sediakala seperti isu bahasa melayu yang terpinggir. Yang hak adalah kekalkan bahasa melayu dan sebar luaskan pasarannya hingga menjadi bahasa bisnes. Sedang pakar bahasa dan tenaga Dewan Bahasa dan Pustaka berhempas pulas cuba menaikkan bahasa melayu dalam mahkamah dan perundangan legislatif, UMNO sekali lagi memulakan onar menaikkan bahasa Inggeris di dalam PPSMI.

Alangkah malunya UMNO apabila dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini tiada langsung kedengaran usul untuk membantah penguasaan bahasa inggeris yang melebihi bahasa melayu iaitu bahasa UMNO. UMNO menggunakan kalimah melayu dalam nama organisasinya (walaupun ironinya kalimah UMNO sendiri adalah bahasa Inggeris), tetapi UMNO tiada dasar mewajibkan bahasa melayu dalam partinya atau meletakkan bahasa melayu pada tahap yang tinggi. Tukarlah nama UMNO kembali kepada PERKEMBAR jika benar-benar perjuangkan melayu. Isu ini menaikkan amarah pakar dan pencinta bahasa Melayu. Akibatnya, mereka bersama pendokong politik menentang dasar yang memusnahkan bahasa itu.

Golongan sekular senantiasa mencorakkan kekotoran pada politik hingga ia menjadi jijik sehingga ada berpendapat politik bukan jalan Islam. Ada yang sinis memerli ijtihad ulama’ pada tahun 1950an yang menubuhkan PAS sedangkan NGO yang menyebarluaskan hakikat dakwah seperti Persatuan Ulama’ Malaysia juga ditubuhkan atas inisiatif PAS pada tahun 1959 dengan modal sebanyak 500 ringgit. Dari persatuan inilah berkembangnya banyak NGO Islam lainnya.

Orbit benar menentang batil wujud sejak dahulu hingga kiamat. Sama ada kita melarikan diri atas kejahilan kita atau kita kerasukan ideologi sekular, ia bergantung kepada kita sendiri.

Muhammad Nuruddin Bashah
Ipoh Perak

Tuesday, March 17, 2009

GMGBM perlu belajar siapa sebenar dalang politik dalam PPSMI

Kenyataan media ini telah disiarkan dalam akhbar harakah edisi 16-19 Mac 2009

GMGBM perlu belajar siapa sebenar dalang politik dalam PPSMI

Isu PPSMI bukan isu baru yang ingin dibahas dan diperjuangkan. Isu ini sejak tahun 2002 pernah ditentang oleh Prof Di Raja Ungku Aziz, ahli akademik dan mahasiswa-mahasiswa. Isu ini ditangguh bukan atas dasar ia tidak releven. Atas alasan mahu tunggu dan lihat implikasi akibat sistem pengajaran bahasa Inggeris dalam sains dan matematik, maka ia terpendam hampir 7 tahun lamanya.

Dato Hishamuddin berkata mengapa isu ini hanya kini dipekik terlolong. Mengapa tidak 7 atau 8 tahun dahulu diperjuangkan dan dipersoalkan dari segi perlembagaan? Jawapannya isu ini tidak pernah surut diperbahaskan. Habis ditentang oleh mahasiswa dan ahli politik, ia masih segar dibahas diperingkat ahli bahasa dan ahli akdemik kampus-kampus. Malah dalam banyak makalah dan tulisan majalah, isu ini disinggung walaupun secara tidak ketara. Namun ia masih terpendam. Jika dahulu Tun Mahathir sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab menggesa kementerian pelajaran mengubah dasar ini, dasar ini terus berjaya berjalan. Siapa berani melawan kehendak Tun Mahathir? Ahli UMNO yang turut terasa akan akibat PPSMI juga membisu kerana bahang genggaman Mahathir dalam era pemerintahan beliau.

Hari ini Ruslan Madon iaitu YDP Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) menyatakan kekesalannya bahawa isu ini didalangi oleh ahli politik dan parti politik tertentu. Sedarkah kenyataan beliau itu merendahkan lagi kehormatan majlis guru besar? Tidakkah beliau tahu bahawa keputusan mengubanh pengajaran dari bahasa ibunda kepada bahasa Inggeris bermula dari kata-kata ahli politik iaitu Tun Mahathir? Bukankah tiada suatu pun persetujuan ahli akademik dan tokoh pengajian tinggi yang didapati sebelum dasar itu dilaksanakan? Parti politik manakah yang bersetuju dengan dasar itu kalau bukan parti pemerintah? Bukankah itu didalangi oleh politik?

Beliau mungkin belum sedar di Malaysia pendidikan adalah ‘experimental field’ bagi politikus kita. Dari istilah ‘pendidikan’ diubah kepada ‘pelajaran’ ia penuh berunsur politik dan kepartian. Dari satu kementerian pendidikan dipecah kepada kementerian pelajaran dan pengajian tinggi, ia penuh dengan agenda politik serta bertujuan menghancurkan kemampuan pelajar dan mahasiswa. Pendidikan kita tidak mengikut falsafah pendidikan yang sebenar sebaliknya berkiblatkan kepada falsafah pemerintah semata-mata.

Salahkah PAS dan parti politik lain berjuang isu PPSMI? PAS bukan sehari dua dalam perjuangan bahasa. Masih ingatkah mereka peristiwa keranda 152 pada era Dato Asri?

Jika para pemikir, intelektual dan ahli akademik berbincang dalam seminar dan meja bulat untuk pertahankan PPSMI, para penyokong dan penggerak parti politik yang cintakan bahasa dan jatibangsa juga akan turut serta melalui perhimpunan, sebaran maklumat, ceramah dan desakan demi desakan. Ia adalah kerja bersepadu dan bukan suatu kerja ad hoc.

Saya berharap GMGBM berfikir semula kenyataan yang mereka keluarkan kerana ia melambangkan sikap kita sebagai alat politik dalam pendidikan bukannya penegak sistem pendidikan bermaruah dan berjatibangsa yang sejati.

Muhammad Nuruddin Bashah
Metallurgist Engineer
SU Penerangan PAS P.Pinang

Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
017 6291368
jihadin82@yahoo.com

Monday, March 09, 2009

Sehari belajar meneliti dan menilai media

Sehari belajar meneliti dan menilai media

Kelmarin ( 7 Mac 2009) saya mnghadiri sambutan Maulidur Rasul di Sek Men Al Itqan Teluk Kumbar. Walaupun terlewat hadir, Alhamdulillah masih berkesempatan berjumpa sahabat lama serta beberapa penggerak JIM P.Pinang. Saya berjumpa dengan Haji Rashid dan beliau meminta saya menggantikan beberapa ahli JIM yang tidak dapat hadir ke Media Awareness Workshop di Hotel Sunway George Town.

Saya sememangnya tidak bersedia dari segi minda dan keperluan untuk ke bengkel berkenaan. Dengan hanya berbaju melayu saya terus menuju ke lokasi bengkel untuk mendapat beberapa ilmu baru yang berguna untuk aplikasi jamaah dan Ngo Islam umumnya. Saya sememangnya telah bergiat dalam bidang media. Tetapi media peribadi adalah media yang kurang dari segi pertanggungjawabannya terutama melibatkan implikasi terhadap masyarakat. Berbanding jika menguruskan media milik gerakan Islam, milik sesuatu organisasi, ia adalah suatu yang perlu dititkberatkan pertanggungjawaban maklumat dan implikasinya.

Di sana rupanya tiada sahabat ahli JIM lain, dan saya bersendirian mungkin disebabkan imej atau perwakilan dari kelompok Islam sendiri. Saya tergelak apabila ada yang bertanya dua kali adakah JIM itu GYM atau samada saya ini mewakili kelompok sukan.

Tidak lama kemudian ramai yang menghulur tangan mahu berbincang banyak perkara dengan saya. Sambutan hangat mungkin disebabkan hanya kita dari kelompok yang membawa nama platform muslim. Kebanyakkan adalah mahasiswa media dari IPT swasta dan awam, aktivis dan blogger human right serta blogger-blogger politik. Terdapat juga pelajar undang-undang dan kelompok profesional.

Saya terlepas 2 tajuk ceramah penting seperti Democracy, Freedom, and respensibility serta tajuk Why media awareness is important: whose media, whose view?

Saya cuma sempat tajuk kemuncak iaitu Reading Media. Apa yang saya faham melalui bengkel ini, ia bukan suatu bengkel praktikal dan tektikal membina suatu ‘team’ atau kelompok media bagi sesuatu organisasi. Ia lebih kepada suatu proses pembelajaran cara mengenali media, mengetahui hegemoni dan ‘hidden agenda’ dalam setiap media perdana negara, memupuk cakna dan peka terhadap permainan media iaitu; media sebagai suatu proses pengkodan semula norma dan persepsi dalam sesuatu masyarakat.

Saya menerima tempiasan ilmu baru. Sebagaimana saya di kilang yang saban minggu menerokai ilmu-ilmu tuhan yang baru melalui dunia logam dan bijihnya, kini dalam hal analisa media dan pembacaan media ia memiliki teori yang luas dan amat praktikal dalam usaha gerakan Islam membina mesyarakat yang berilmu serta ‘tabyyun’ dalam menerima sesuatu khabar dan berita. Saya akan mendalami cabang ilmu analisa media dan pembacaan media ini untuk dikongsi kelak sesama ahli jamaah dan gerakan Islam umumnya kerana apa yang di dapati dalam bengkel lebih kepada asas dan pentas awal bagi saya.

Semestinya ALIRAN sebagai NGO yang berjuang isu hak asasi juga meletakkan batu asas liberalisasi agama dalam isi bengkel mereka. Isu nama Allah, solat dan rasul juga dibincang pada sesi awal dalam konteks domokrasi dan kebebasan media. Saya teringat semasa bersama kelompok Free Media di KL dahulu, mereka juga berjuang hak untuk mengartikulasi idea melalui komik menghina Nabi atas wazan seni dan kebebasan media. Jika saya sempat sesi ini saya bersedia juga bercakap dalam bengkel tersebut.

Dalam ramai-ramai peserta ada seorang anak muda sikh yang berminat bercakap banyak dengan saya. Dalminder Singh berusia 19 tahun, matang dan petah bercakap. Dia rupanya adalah anak saudara Karpal Singh ! Beliau bersetuju dengan saya bahawa perjuangan kini adalah menentang rasuah, penyelewengan harta, kezaliman ISA dan beberapa isu yang disepakati. Saya menyatakan kepada beliau paranoid melayu adalah istilah derhaka, ketuanan melayu, sultan dan sebagainya sehingga istilah ini diisolisasikan dan diasiosikan dengan melayu sahaja sedangkan bangsa lain juga berhak dilibatkan dengan istilah Sultan dan derhaka. Beliau berkata, Sultan juga adalah sultan mereka yang bukan berbangsa Melayu, dan pengistilahan derhaka hanya bermain dimulut pemimpin politik UMNO bukannya datang dari lisan Sultan sendiri. Adakah ada pihak lain memanipulasikan Sultan? Ini persoalannya kepada saya.

Dia juga menyampaikan persoalan Karpal iaitu mengenai Hudud. Karpal pernah menyatakan bahawa jika 2 orang seorang musim dan seorang bukan muslim sama-sama membunuh adakah seorang itu akan digantung manakala yang muslim hanya di sebat?

Ada masalah maklumat Islam di situ. Pertama saya nyatakan bahawa, Hudud adalah undang-undang jenayah asas bagi muslim. Ianya hanya disabitkan jika ada bukti yang jelas dengan syarat yang amat ketat. Malah jika membunuh, tiada hukum sebat dalam hudud melainkan pancung dan diat (tebus). Bukankah ia lebih adil kerana jika tiada sabit bukti yang kukuh (menurut hudud) ia akan dikembalikan kepada kaedah takzir. Saya tanyakan kepada beliau,do you know what is takzir? Beliau agak kabur. Saya katakan kepadanya, takzir adalah sivil law dalam konteks Malaysia. Jadi sebarang perbicaraan yang gugur sabit melalui hudud adakan ditakzirkan.

Pada saya mereka bukan tiada maklumat tetapi ketiadaan kefahaman. Hudud dan sistem Islam bukan sekadar dimaklumkan. Ianya hidayah. Bahkan ramai muslim sendiri kabur dan tidak percaya dengan sistem Islam inikan pula berbangsa sikh? Saya tidak hairan malah menjadi tanggungjawab kita pula untuk menjelaskan dengan adil. Saya kaitkan pula undang-undang tort yang merupakan kod akhlak dan diterrence bagi terjadi ketidakselesaan di dalam negara. Ia bukan hudud tetapi undang-undang tort. Tort ada dalam Islam. Mengapa ia tidak digembar gemburkan? Kenapa hanya hudud ditakuti bukan Islam? Mengapa bukan tort? Kerana ia telah dipolitikkan melalui media perdana. Hanya hudud yang dipolitikkan. Jika ada pembangkang membangkitkan isu akhlak Islam tidak mustahil ia dipolitikkan oleh pihak tertentu dan akhirnya bukan Islam mulai memusuhi sistem akhlak Islam. Inilah kesnya kata saya. Media membina kesan distorsi (distortion) sehingga menyimpang kepada idea sebenar. Inilah perlunya analisa media agar mereka (bukan Islam) juga faham Islam dengan menyeluruh jika mereka benar-benar mempraktikkan analisa media yang adil dan telus.

Puan Shakila Abd Manan (penceramah) memberi contoh kes Noritta dan hanif yang dikaitkan dalam kes bunuh peragawati terkenal tersebut. Noritta walaupun mangsa bunuh dan rogol, ia tidak dilihat sebagai mangsa sebaliknya Hanif disiarkan sebagai suami bertaubat, penyayang, lemah lembut, wibawa, pandai serta ada peluang membina hidup baru. Manakala Noritta adalah gadis hanyir (kinky girl) dan seductive woman. Walaupun mungkin ada kebenarannya tentang perihal Noritta, namun media berjaya membina imej baik kepada Hanif dan imej buruk kepada Noritta.

Media boleh membina persepsi dan perspektif tertentu, mengawal aliran kefahaman dalam masyarakat sehingga mampu mengubah keputusan juri dan hakim. Inilah kuasa media.

Sebagai penulis bebas saya amat perlukan ilmu sebegini walaupun mungkin counter back issue dan pre emptive issue belum dikuasai dengan baiknya. Ia mungkin lebih selesa berada dalam dunia pengulas politik. Bagi manusia awam, elok benar bagi kita mengetahui aspek asas dalam penilaian media seperti menilai kehendak penulis sesuatu artikel melalui penilaian perbendaharaan katanya, struktur ayatnya, perumpamaan dan pensifatannya serta tema dan klausa penting yang ingin merek sampaikan. Dari sini kita berjaya membina masyarakat yang celik dan tahu membina ragam tersendiri apabila menerima bahan-bahan bacaan dari media tertentu.

Jika ada lagi bengkel sebegini saya berharap JIM P.Pinang dapat senaraikan saya sekali lagi.


Muhammad Nuruddin Bashah
Metallurgist Engineer
Prima Metal Ipoh

Ahli JIM Barat daya P.Pinang







Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)