Monday, March 30, 2009

Kini bersama berada dalam orbit Benar VS Batil

Artikel ini disiarkan dalam Harakah Edisi Isnin 20-23 April 2009


Kebenaran lawannya tetap kebatilan dan begitulah sebaliknya. Dalam segala rencah dan kerencaman perilaku serta ragam tindakan manusia, pasti ia akan kembali kepada orbit asal iaitu pertentangan antara hak dan batil. Bagaimana boleh dikaitkan falsafah di atas dengan realiti? Lihat kes-kes dalam negara hari ini.


Kini semua NGO di Perak akan bersatu membantu memenangkan calon pilihanraya kecil yang sanggup mempertahankan kedaulatan undang-undang Tubuh Perak di samping mengekalkan kelangsungan perjalanan selesa NGO-NGO berkenaan sejak 11 bulan dalam pemerintahan Pakatan Rakyat. NGO adalah badan bukan kerajaan. Hari ini NGO juga mulai bersuara ingin mempertahankan politik yang absah melalui jalan yang disepakati ramai iaitu demokrasi berparlimen. Bukan NGO dipergunakan malah bukan dalang yang memanipulasikan NGO. Sebaliknya NGO mula berada dalam orbit asal menentang batil secara berhadapan. Ini realitinya.

Isu PPSMI pada awalnya didokongi massa. Kemudiannya surut. Dihidupkan kembali oleh pakar-pakar bahasa dan sasterawan yang berhati perut terhadap bahasa warisan rantau Melayu. Isu ini akhirnya disambut massa semula melalui demostrasi jalanan yang cukup besar. Sasterawan yang berjasa mempertahankan bahasa ibunda disiram dengam air asid dan ditembak dengan gas pemedih mata! Mulalah laungan sasterawan dan ahli bahasa dimanipulasikan oleh ahli politik pembangkang. Mulalah ada tuduhan seolah-olah ideologi politik PAS merasuk dalam minda sasterawan negara. Bila benar ingin menentang yang batil….benar akan bersatu dalam pentas yang sama. Lantaran itulah PAS memilih jalan politik untuk menentang kebatilan utama di sesebuah negara iaitu pembuat dasar. Disebabkan pembuat dasar menggunakan politik berparti, maka ulama’ tahun 1950an mendaftarkan Persatuan Ulama’ Setanah Melayu sebagai sebuah parti politik. Itu sahaja sebabnya. Jika negara ini pembuat dasarnya hanya berforum dan berbengkel, dasarnya pula sekular dan bercanggah dengan Islam serta zalim, nescaya kita yakin ulama’ tahun 1950an akan mendaftarkan harakah Islamiyyah PAS sebagai sebuah persatuan agama, NGO atau sekreteriat dakwah sahaja.

Hak dan batil bukan sekadar isu agama. Hak dan batil juga melibatkan sebarang pencabulan keharmonian sediakala seperti isu bahasa melayu yang terpinggir. Yang hak adalah kekalkan bahasa melayu dan sebar luaskan pasarannya hingga menjadi bahasa bisnes. Sedang pakar bahasa dan tenaga Dewan Bahasa dan Pustaka berhempas pulas cuba menaikkan bahasa melayu dalam mahkamah dan perundangan legislatif, UMNO sekali lagi memulakan onar menaikkan bahasa Inggeris di dalam PPSMI.

Alangkah malunya UMNO apabila dalam perhimpunan UMNO baru-baru ini tiada langsung kedengaran usul untuk membantah penguasaan bahasa inggeris yang melebihi bahasa melayu iaitu bahasa UMNO. UMNO menggunakan kalimah melayu dalam nama organisasinya (walaupun ironinya kalimah UMNO sendiri adalah bahasa Inggeris), tetapi UMNO tiada dasar mewajibkan bahasa melayu dalam partinya atau meletakkan bahasa melayu pada tahap yang tinggi. Tukarlah nama UMNO kembali kepada PERKEMBAR jika benar-benar perjuangkan melayu. Isu ini menaikkan amarah pakar dan pencinta bahasa Melayu. Akibatnya, mereka bersama pendokong politik menentang dasar yang memusnahkan bahasa itu.

Golongan sekular senantiasa mencorakkan kekotoran pada politik hingga ia menjadi jijik sehingga ada berpendapat politik bukan jalan Islam. Ada yang sinis memerli ijtihad ulama’ pada tahun 1950an yang menubuhkan PAS sedangkan NGO yang menyebarluaskan hakikat dakwah seperti Persatuan Ulama’ Malaysia juga ditubuhkan atas inisiatif PAS pada tahun 1959 dengan modal sebanyak 500 ringgit. Dari persatuan inilah berkembangnya banyak NGO Islam lainnya.

Orbit benar menentang batil wujud sejak dahulu hingga kiamat. Sama ada kita melarikan diri atas kejahilan kita atau kita kerasukan ideologi sekular, ia bergantung kepada kita sendiri.

Muhammad Nuruddin Bashah
Ipoh Perak

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)